Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Saturday, December 31, 2011

Hukum Sambut Tahun Baru.


Bismillahirrohmanirrohim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

InsyaAllah entri ini adalah entri terakhir untuk tahun 2011..


Soalan
Saya pernah terbaca bahawa haram bagi kita umat Islam menyambut perayaan Tahun Baru pada malam 31 Disember? Apa pandangan ustaz dalam perkara ini?

 

Jawapan

Pertamanya, sebagai umat Muhammad SAW, kita di ajar untuk mengira peredaran hari menggunakan bulan Islam, ia terlebih afdhal. Pengiraan zakat perlu menggunakan bulan Islam bagi mengetahui "hawl" (tempoh wajibnya) sudah sampai atau belum. Justeru, secara umumnya adalah lebih baik untuk kita mengingati bulan Islam ini bagi terus menjaga identiti Islam yang tersendiri. Islam juga telah meletakkan dua hari raya yang patut disambut dan dirayakan oleh Umat Islam iaitu Eidil Fitri dan Eid Adha.


Oleh itu, sebarang sambutan majlis lain mestilah tidak menyerupai sambutan perayaan dua hari raya Islam tadi. Islam juga terbuka dalam menilai sambutan keraian yang tidak bersifat keagamaan, diterima adat dan tiada unsur yang bercanggah dengan hukum dalam sambutannya.


Tidak dinafikan bahawa terdapat para ulama yang mengharamkan sama sekali sambutan tahun baru dalam apa jua bentuk. Namun, menyambut tahun baru Masehi (yang mengikut kiraan Gregorian calendar ciptaan Pope Gregory), menurut pandangan saya, ia adalah HARUS secara bersyarat serta bergantung kepada cara sambutan dan keraian yang dibuat.


Walaupun kalendar masehi adalah ciptaan bukan Islam, namun melihat kepada penerimaan kalendar moden ini, ia tidak lagi kelihatan bersangkut paut dengan agama malah amat ramai yang tidak lagi mengetahui dan ambil endah tentang asal usulnya, apatah lagi kaitannya dengan mana-mana agama. Ia sudah dikira sebagai sebuah kalendar moden yang diterima di atas asas adat dan kebiasaan. 


Namun begitu, syarat-syarat seperti berikut mestilah diambil perhatian dalam sambutannya:-


* Sambutan tersebut dilakukan atas asas ‘Uruf atau ‘Adat dan bukannya di anggap sebagai suatu upacara keagamaan. Jika ia diasaskan atas dasar ibadah maka ia perlu mempunyai sandaran dalil yang jelas. Bagaimanapun jika menyambutnya atas asas adat dan diisi dengan progam yang boleh membawa kesedaran keagamaan dan kebaikan, maka saya masih berpendapat ia adalah HARUS kerana ia termasuk di bawah umum kelebihan majlis ilmu.


Justeru, sambutan tahun baru menurut adat setempat adalah HARUS DENGAN SYARAT berdasarkan penerimaan Islam terhadap adat yang tidak bercanggah dengan Islam. Kaedah Islam yang menerima adat seperti ini adalah " Al-‘Adat Muhakkamah"

Ertinya : "Adat yang tidak bercanggah dengan Syara' boleh menentukan hukum sesuatu perbuatan dan tindakan". (Rujuk Al-Madkhal al-Fiqhi Al-‘Am, Syeikh Mustafa Az-Zarqa, 2/885 ; Syarh alQawaid al-Fiqhiyyah, Syeikh Ahmad Az-Zarqa, ms 219).

Terdapat satu keadah lain berbunyi : " Innama tu'tabaru al-‘Adat iza attaradat aw ghalabat"


Ertinya : Sesungguhnya diiktiraf sebagai adat (yang tidak bercanggah) apabila ianya berterusan dilakukan dan dilakukan oleh majority". (Al-Qawaid al-Fiqhiyyah, Ali Ahmad An-Nadawi, ms 65)


* Tiada percampuran rambang lelaki dan wanita yang bukan mahram yang dikebiasaan membawa kepada maksiat. Bagaimanapun, syarat ini hampir mustahil untuk dijaga pada zaman ini kecuali jika dianjurkan oleh badan agama yang disertai mereka yang mempunyai ilmu agama yang baik dan bukan terbuka sebagaimana sambutan besar-besaran umum. Tatkala itu,  sambutan akan menjadi haram jika syarat ini tidak dijaga. Namun ia tidak semestinya menjadikan seluruh sambutan menjadi haram jika percampuran itu tidak menjadi satu agenda penganjur, tatkala itu, mereka yang bercampur atas kehendak sendiri melakukan dosa secara individu dan ia dari jenis 'haram lighairihi' atau haram yang datang akibat dari sebab-sebab luaran.


* Tidak dicampur adukkan dengan hiburan-hiburan yang bertentangan dengan kehendak Islam. Seperti lagu-lagu memuji muja kekasih, wanita, arak. Tidak kira samada ianya lagu biasa atau nasyid (terutamanya dengan kebanjiran kumpulan nasyid hari ini tersasar dari tujuan asal mereka sehingga memperkenalkan lagu-lagu memuji-muja wanita sebagai kekasih).


* Kandungan majlis sambutan ini juga mestilah bertepatan dengan kehendak syara'. Majlis sambutan tahun baru dengan penganjuran majlis ilmu sebagai mengambil sempena cuti umum adalah diharuskan pada pandangan saya.


Allahu 'alam..

 

Friday, December 30, 2011

Exam Feverians.



Bismillahirrohmanirrohim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagu Penyayang..


Alhamdulillah.. Dhuha Jumaat ini begitu indah sekali. Sudahkah kita menunaikan sunat Dhuha hari ini? Rasulullah SAW tidak pernah meninggalkan solat sunat dhuha. Sesungguhnya fadhilat solat Dhuha yang paling utama ialah sebagai 'Magnet Rezeki.'


Di USM, minggu ini boleh dikatakan antara minggu kritikal, minggu study week, minggu untuk mempersiapkan diri sebelum menghadapi peperiksaan yang bakal menjelma mulai minggu hadapan, insyaAllah.


Tak dinafikan, memang tertekan menjalani hari-hari terakhir sebelum 'berperang' di dalam peperiksaan akhir yang tidak pernah berakhir pun sebenarnya. huhu. Hakikatnya kami tetap menghadapinya sehingga 6-8 kali di setiap penghujung semester.


Waktu-waktu kritikal beginilah semua pelajar dikatakan bakal mengalami simptom-simptom penyakit demam peperiksaan (Exam Fever) termasuklah lena bermimpi ngeri, makan tidak kenyang, mandi tak terasa basah, dada berdebar-debar, perut rasa sebu bila mengenangkan soalan-soalan yang bakal ditanya oleh pensyarah masing-masing. Bertambah debar apabila subjek tersebut memang terkenal sebagai 'Killer Subject' atau subjek pembunuh. Pembunuh CGPA. :D


Usai Subuh tadi, saya mengambil masa bermuhasabah kembali. Merenung seketika meja study yang sangat bersepah dengan pelbagai jenis notes. Saya terfikir.. peperiksaan yang bakal saja hadapi minggu depan ini adalah peperiksaan yang bakal menentukan mana tahap CGPA saya kelak. Berjayakah saya mencapai target saya untuk memperbaiki CGA yang jatuh teruk semester lepas?


Mari teman-teman.. kita ambil masa yang seketika ini untuk bermuhasabah (merenung kembali)...


Peperiksaan ini hanyalah salah satu daripada peperiksaan kecil yang kita hadapi di dunia ini. Dalam kita sibuk mengulangkaji, membuat notes dan sebagainya, kita perlu selalu sematkan di dalam hati bahawa ilmu itu adalah kepunyaan Allah. Tak kisahlah walau apa bidang sekali pun yang kita ceburi, ia tetap milik mutlak Yang Maha Bijaksana itu.

Maka, seharusnya, dalam usaha kita mahu mencedok ilmu tersebut, banyak perkara yang perlu kita ambil kira. Belajar bukan semata-mata mahu CGPA tinggi. Ia adalah lebih daripada itu sebenarnya. 

Perhatikan semula, niat kita, adab kita serta usaha kita untuk meraih keberkatan ilmu tersebut.

Apa sebenarnya niat kita belajar? Adakah semata-mata mahu meraih keduniaan? Mahu pekerjaan yang bagus, CGPA yang tinggi, kereta besar, rumah besar, gaji hebat & pelbagai lagi hasrat yang besar-besar.


Ya, bukanlah Islam ini melarang kita mempunyai impian yang besar & hebat. Namun, dasar niat kita itu perlulah dikembalikan kepada Allah dahulu.


Renungi semula, adakah semua ini hanya untuk tujuan kesenangan diri sendiri di hadapan semata-mata? Apakah langsung tiada perancangan kita untuk memanfaatkan kepakaran kita kelak demi kemaslahatan ummah? Tiadakah langsung rancangan kita untuk ummah?  Atau sekurang-kurangnya demi menyenangkan hati kedua ibu bapa kita..?


Kita, berilmu biarlah kerana Allah.

Abu Hurairah RA berkata; Rasulullah SAW bersabda; "Siapa mempelajari ilmu yang biasanya ditujukan untuk mencari keredhaan Allah, tiba-tiba dia tidak mempelajarinya kecuali untuk mendapatkan dunia (sebagai tujuan), maka, dia takkan mendapatkan bau syurga pada hari kiamat."


Bagaimana pula adab kita dalam mencari ilmuNya? Seelok-eloknya, kita memperbanyakkan berdoa di awal & pada pengakhiran sesi pembacaan & ulangkaji kita.


Bagaimana pula usaha kita menjaga keberkatan usaha mencari ilmu itu? Adakah kita terlalu sibuk belajar sehinggakan terlalai menunaikan kewajipan solat lima waktu? Atau kerana terlalu fokus, kita mengurangkan bacaan & tadabbur al-Quran daripada 4 muka kepada 1 muka sahaja? Alasannya masa itu emas, mahu meneruskan ulangkaji?


Atau mungkin kerana kita terlalu sibuk mahu mengejar kefahaman di dalam suatu subjek sukar, kita pun belajar secara berkumpulan. Tetapi ahli kumpulannya bercampur gaul lelaki & wanita serta terlalu banyak gurau senda, sentuhan serta perkara-perkara yang tidak dijaga batasannya? 


Boleh jadi juga minggu kritikal ini menambah rapatkan hubungan kita dengan pasangan cinta luar nikah kita, study dari pagi ke petang berdua-duaan di perpustakaan? 


Renungi kata-kata ini;
"Ilmu itu adalah cahaya & cahaya itu tidak akan menyimbah di hati orang-orang yang melakukan maksiat." [Imam Syafi'e]


Saya bukan pelajar yang hebat CGPA-nya. CGPA saya masih berada di tahap Second Class Upper sahaja. Tidak pun mencecah First Class Honour. Namun, saya sedar, selama ini apa pun keputusan peperiksaan yang saya perolehi, Allah kurniakan memang sangat bertepatan dengan usaha saya sendiri. 


Kita usaha sedikit, Allah bagi sedikit jugalah. Kalau anganan sahaja mahu Dean List, tetapi usahanya setakat mahu cukup-cukup makan 3 pointer sahaja, setakat itu sahajalah yang Allah bagi. 

Allah berfirman;
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." [Surah Ar-Ra’d (13) : ayat 11]


Walau bagaimana pun, ada juga terjadi situasi yang mana apabila sekuat mana kita usaha pun, kita masih gagal mencapai kejayaan. Hal ini terjadi kerana Allah berkehendak untuk menguji keimanan serta kesabaran kita.


Anda pernah menonton drama popular Jepun; One Liter of Tears? Drama ini adalah adaptasi berdasarkan kes sebenar yang berlaku di negara tersebut. Seorang gadis yang diserang penyakit saraf & perlahan-lahan hilang abiliti untuk berjalan, menulis, bercakap. 


Saya memang sarankan antum menonton drama ini. Ianya sangat memberikan inspirasi. Bagaimana gadis ini sangat kuat semangat untuk menulis buku-buku motivasi yang akhirnya dibukukan & di-publishkan.


Walaupun beliau semakin hilang daya & kekuatan untuk menulis dengan baik kerana penyakit yang dihadapi, beliau masih berusaha kuat demi menyumbang sesuatu demi masyarakat, iaitu dengan menulis pengalamannya, puisi motivasi serta kata-kata yang memberikan inspirasi.


Di sini saya sertakan salah satu Quote kegemaran saya yang diambil dari drama hebat tersebut;

"What's wrong with falling down? It's okay as long as you can always stand up again." [Ekuichi Aya]


Oleh itu, tidak kisahlah kalau sebelum ini kita pernah gagal di dalam peperiksaan semester yang lepas. Namun, kita perlulah kuatkan semangat serta terus berusaha seiring dengan doa & tawakal yang tidak putus-putus kepada Allah. InsyaAllah, Allah akan Mengasihani kita & akan akhirnya Memberikan kejayaan kepada kita.


Saya tersenyum menulis entri ini. Tulisan ini sebenarnya lebih kepada reminder untuk diri ini & menaikkan semangat saya sendiri sebenarnya. Namun, saya harap ia juga memberikan manfaat kepada antum semua, pembaca & pengunjung yang dirahmati Allah sekalian.. insyaAllah, saya harap! :)


Seperti yang dinyatakan di atas tadi, peperiksaan di sekolah, di matrikulasi, di IPTA/S ini hanyalah sekadar peperiksaan kecil sahaja. Jangan kita lupa kita bakal menghadapi peperiksaan yang jauh lebih besar kelak. Ia bukan peperiksaan yang bila kita gagal kita dapat 'retake' atau 'repeat' semula. Atau sekurang-kurangnya untuk dibuat KSCP (Kursus Semasa Cuti Panjang) untuk memperbaiki gred.

Ia adalah peperiksaan yang kita ambil sekali sahaja. Persediaannya bukanlah sekadar sepanjang minggu Study Week sahaja bahkan sepanjang hidup kita! Itulah dia peperiksaan Sijil Alam Barzarkh (SAB) dan Sijil Padang Mahsyar' (SPM) kelak.

Tiada soalan past year yang boleh kita pinjam daripada senior-senior. Tiada tips-tips yang dapat kita perolehi daripada tenaga pengajar. Tiada. Hanya iman kita yang mampu menjawabnya. Hanya pancaindera kita yang menjadi saksi segalanya.


Menyeramkan bukan? Lebih jauh menakutkan bukan...?


Bukankah, seharusnya peperiksaan akhir SPM & SAB ini lebih membuatkan simptom demam kita bertambah teruk?


InsyaAllah.


Mudah-mudahan, dalam usaha kita menempuhi hari-hari terakhir study week ini membuatkan kita bertambah dekat dengan Allah. Mudah-mudahan bertambah kuat pergantungan kita kepada Tuhan. Bertambah khusyu' solat kita, bertambah panjang doa kita, bertambah kuat tawakal kita padaNya. insyaAllah..


Cukup dahulu setakat ini. Mari perbaiki semula niat kita, adab kita, serta usaha kita untuk menjaga keberkatan ilmu itu. 


Untuk semua pembaca, pengunjung teratak saya yang banyak kekurangan ini serta sahabat-sahabat yang setia mengikuti perkembangan blog ini, saya ingin memohon kemaafan andainya selama saya menulis & berkongsi di sini, banyak kata-kata saya yang mengguris hati kalian. Maafkan saya atas kekurangan saya. 


Kepada semua yang bakal menghadapi peperiksaan akhir semester, saya ucapkan selamat berusaha & menuju kejayaan, insyaAllah. 

Mudah-mudahan usaha & kejayaan yang bakal kita miliki membuatkan kita semakin rendah diri, kagum & takut dengan kekuasaan Allah. Semakin banyak ilmu yang kita tahu, semakin membuktikan betapa Allah itu Maha Berkuasa & Bijaksana.


Doakan kejayaan saya, doakan kejayaan kita bersama. InsyaAllah, ini semua demi meraih keredhaanNya & bakal dimanfaatkan untuk agamaNya. amiin.

"...Barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan membukakan jalan keluar baginya." [surah ke-65: At-Thalaq: ayat 2]


All the best!


Wallahu 'alam.



p/s; Bacalah surah Al-Insyirah sebelum memulakan sesi ulangkaji & pembacaan dengan niat meminta Allah memudahkan kita menerima ilmuNya. insyaAllah.


Thursday, December 22, 2011

Soalan Pop Kuiz. :)



Bismillahirrohmanirrohim..
Dengan Nama Tuhanku Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

"Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman & mengerjakan kebaikan serta saling berpesan (menasihati) untuk kebenaran & saling menasihati dengan kesabaran." [Al-Asr (103): 1-3]

InsyaAllah.. kurang lebih 10 hari daripada sekarang, tahun 2011 bakal ditinggalkan. Angka 2012 pula bakal menjelma. Ada yang sudah pun menyiapkan list azam baru mereka. Tak kurang juga masing-masing dengan pelbagai perancangan itu & ini..

Namun... sedarkah kita.. bertambahnya tahun itu bermakna sudah semakin dekat kita dengan penghujung zaman.

Firman Allah swt;
"Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat)." [surah 21, al-Anbiya' : ayat 1]

Sebelum 2011 menemui penghujung & 2012 memunculkan dirinya, apa kata, kita ambil sejenak masa untuk bermuhasabah kembali.

Apakah sebenarnya tujuan kehidupan kita ini? Pernahkah kita terfikir mengapa Allah menghidupkan kita & memberikan peluang kepada kita untuk bernafas hingga ke saat ini?

Adakah semata kita hidup untuk bersuka-suka, bersenda gurau, tidur, makan, tidur, makan & berhibur?

Berdasarkan al-Quran, tujuan manusia diciptakan mempunyai 3 peringkat; iaitu;

1) Yang pertama, sebagai hamba kepada Allah. yakni untuk beribadat kepadaNya.
"Dan tidaklah Aku menciptakan jin & manusia melainkan agar mereka beribadat kepadaKu." [surah 51, adz-Dzariyyat; ayat 56]


2) Yang kedua, sebagai pendakwah yang menyeru kebaikan & mencegah kemungkaran.
"Dan hendaklah di antara kamu ada segolongan orang yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh (berbuat) yang makruf, & mencegah dari yang mungkar. Dan mereka itulah orang-orang yang beruntung." [surah ke-3, ali-Imran; ayat 104]

"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf & mencegah dari yang mungkar, & beriman kepada Allah..." [surah 3, ali-Imran; ayat 110]


3) Peringkat yang ke-3 ialah sebagai khalifah di bumiNya.
"Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada para malaikat, "Aku hendak menjadikan khalifah (pemimpin, penguasa) di bumi." Mereka berkata,"Apakah Engkau hendak Menjadikan orang yang merosak & menumpahkan darah di sana, sedangkan kami bertasbih memujiMu & menyucikan namaMu.?" Dia berfirman; "Sungguh, Aku Mengetahui apa yang tidak kamu ketahui." [surah ke-2; al-Baqarah; ayat 30]


Di antara tiga peringkat ini, kita sudah berada di tahap yang mana? 


Golongan 1, 2 atau Alhamdulillah, sudah sampai ke tahap yang ke-3? Ataupun paling malang sekali, kita belum mencecah tahap 1 sekali pun...? :'(  ya Allah, sedihnya.

Merujuk kata-kata Ustaz Naim dalam pengisiannya tempohari, kita, selaku ummat baginda Rasulullah saw seharusnya, sekurang-kurangnya sudah sampai di tahap yang ke-2. Bukan setakat hamba, & beribadat kepada Allah sahaja bahkan sudah pun menjadi golongan yang Allah katakan di dalam firmanNya dalam surah ali-Imran di atas.

Amat rugi... amat sayang sekali apabila ramai di antara kita yang terleka & terlalai dengan keduniaan lalu mengabaikan tugas & amanah yang diberikan oleh Allah ke atas bahu kita ini. Kita lupa tujuan sebenarnya kita dihidupkan di atas muka bumi ini.


Kita terlalu dilekakan dengan keduniaan. Kita sibuk mengejar kedudukan, harta, pangkat, gelaran. Kita hanyut dibuai hiburan. Kita buta dihijab virus 'TakPedulisme'.

"Tak kisahlah apa nak jadi pada ummah sekali pun.. Yang penting aku happy, gaji aku naik, CGPA aku maintain, yang penting bulan ni aku dah shopping latest shawl & maxi dress yang baru tu 2 helai. yang penting aku, yang penting aku..."

Kita sudah tidak kisah pun dengan apa yang berlaku di sekeliling kita. Masalah ummah kita buat tak endah, masalah saudara di Palestin kita tidak ambil kira, Revolusi Syria yang kian hangat diperkatakan pun kita pandang dingin sahaja..

"What ever... itu luar k.. kita sekarang in Malaysia. Jaga tepi kain sendiri sudahlah...!"

Apa masalah kita yang sebenarnya..?

Mengapa sampai begini sekali kita mementingkan diri sendiri..?

Banyak mana hendak kita timbunkan harta yang dicari. Bangga setakat mana dengan keputusan PNGK yang tinggi. Bahagia setakat mana yang hendak kita capai dengan 'buaya'friend dan 'geli'friend kita itu? Cantik setakat mana kita hendak nampak dengan fesyen yang kita kisahkan sangat itu..? 

"Sesungguhnya Kami telah Menjadikan apa yang ada di bumi sebagai perhiasan baginya, untuk Kami Menguji mereka, siapakah di antaranya yang terbaik perbuatannya (amalan)." [surah al-Kahfi (18): ayat 7]


Apa alasan kita untuk tidak berdakwah (bukan islam) dan melakukan pengislahan (kepada ummat Islam)? 


Alasan kita selalunya..

Tak cukup ilmu. Tak cukup bagus. Tak layak. Banyak dosa dan pelbagai lagi seribu alasan yang boleh digunakan untuk mengelak tanggungjawab yang Allah sudah amanahkan pada kita ini.

Sampai bila kita mahu lari dari tanggungjawab & amanah ini? Kalau pun kita terlepas di dunia ini, adakah kita yakin kita akan terlepas di akhirat kelak? Kita jamin kita akan terlepas dari pertanyaan Allah & azab seksa nerakaNya yang Maha Hebat itu?

"Sesungguhnya aku sedang menasihati kamu, bukanlah bererti akulah yg terbaik dalam kalangan kamu. Bukan juga yang paling soleh dalam kalangan kamu, kerana aku juga pernah melampaui batas untuk diri sendiri. Seandainya seseorang itu hanya dapat menyampaikan dakwah apabila dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah. Maka akan jadi sikitlah org yg memberi peringatan" [Imam Hasan Al-Basri]


"Dan aku tidak menyatakan diriku bebas dari kesalahan, kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali nafsu yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhan-ku Maha Pengampun, Maha Penyayang." [surah ke-12: Yusuf: ayat 53]


"When you wash dirty clothes, both your hands and and the clothes get clean. Same thing with da'wah." :) [Dakwah Tips] 

Kita menyeru kepada kebaikan kepada orang lain, kita juga sebenarnya mengingatkan kepada diri kita sendiri. Apabila kita menegur kekhilafan & kesilapan orang lain, kita sebenarnya mengingatkan diri kita bahawa jangan melakukan salah & dosa tersebut. Hakikatnya, kita akan menjadi lebih baik tanpa kita sedar, dengan izin Allah, insyaAllah. Jadi jangan takut untuk menegakkan "Amar Maaruf & Nahi Mungkar" itu. Sambil kita berusaha, kita juga perlu berdoa agar hati mad'u (orang yang didakwahkan) itu dibukakan hatinya oleh Allah & doakan juga moga Allah tetapkan hati kita untuk melakukan apa yang kita seru & kita tegur itu..

Wahai pemuda pemudi Islam, kalaulah tujuan kehidupan kita ini hanya untuk kesenangan diri sendiri, semuanya untuk diri sendiri, tentulah ia sangat mudah & lapang. Namun, cuba kita hidup untuk ummah. 

Fikirkan apa yang boleh kita sumbangkan untuk ummah. Lakukan kerja-kerja yang memberi kebaikan kepada ummah. Gerakkan pencegahan maksiat dan kemungkaran yang membarah dalam celah-celah ummah. Pastilah kita akan tahu, bahawa peranan kita itu tidak mudah. Kita punya peranan, lalu, jiwailah peranan itu!


Di USM, dalam talk tentang Palestin tempohari: Mahasiswa dan Agenda Pembebasan Palestina oleh YDP MPP Unimas, Akhi Muhammad Mus'ab, beliau ada berbicara bab ini. Mendengar kata-kata perkongsian beliau membuatkan betapa selama ini berapa cebis benar usaha kebanyakan dari kita dalam membantu saudara-saudara kita di Palestin.


Usaha boikot pun masih ramai yang tidak jayakan. Bayangkan, hanya untuk menahan nafsu dari memakan McDonalds pun kita tak berdaya, jangan bermimpilah untuk bercakap soal agenda membantu saudara kita di Palestin. Akui sahajalah, kita terlalu lemah!

Kalau hendak menahan diri dari ber-couple dengan lelaki/perempuan bukan mahram kita pun kita masih tidak kuat, jangan beranganlah hendak bicara soal usaha membanteras zina dalam kalangan ummah kita, 

Allahurobbi...

Anak-anak kecil di Somalia yang kebuluran, anak-anak kecil di Palestin yang ketakutan, mereka tahfiz, hafal al-Quran. Sekecil-kecil mereka sudah tahu apa itu syahid di jalan Allah. Mereka sudah berniat untuk syahid, untuk mati syahid kerana Allah.

Sedangkan kita di sini..? Sangat enak dibuai dengan hiburan yang melalaikan. Dari sekecil remaja belum baligh hinggalah ke umur emas, semua rancangan pun berbentuk hiburan.

Hal-hal beginilah yang menyebabkan kita lupa apa sebenarnya tujuan kehidupan kita, iaitu 3 matlamat mutlak di atas.

Kita lebih kenal artis-artis K-pop dari pejuang Islam Salahuddin al-ayubbi, Saad bin Waqas, Khalid al-Walid. Paling menyedihkan, kita lebih ingat tarikh lahir artis pujaan kita dari tarikh lahir baginda Rasulullah saw pun.. 

Allahurobbi... layakkah kita ini dipanggil ummat Rasulullah saw yang mulia itu? Kita inikah yang sangat dirindui dan disayangi oleh baginda Rasul. Kita inikah yang disebut-sebut baginda waktu di hujung hayat baginda..? Kita inikah ummat itu?

Apabila tanya hal-hal artis, semua khatam. Biografi semua tahu, tanya hal-hal keduniaan semua pakar. Tapi bila disuruh mengaji, tanya syarat istinjak, pembahagian najis, tanya tajwid nun mati bertemu ba apa dia, semua garu kepala. Majoriti ahli dunia hanya pandai ilmu dunia, tapi jahil bab akhirat. [Ustaz Azhar Idrus]

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah & rasul & juga janganlah kamu mengkhianati amanah yang telah dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." [surah ke-8; al-Anfal; ayat 27]


Mari sahabat-sahabat, saudara-saudariku yang dikasihi Allah sekalian,

Selalulah memuhasabahkan diri dengan tiga soalan mudah. iaitu;

1 - Dari mana kita datang?
2 - Mengapa kita didatangkan?
3 - Ke mana kita akan pergi?

Jawapan kepada persoalan ini, adalah yang menentukan kita ini siapa, dan membantu kita dalam memilih tindakan yang hendak kita lakukan di atas dunia.


Berkerutkah dahi memikirkan jawapan kepada soalan di atas?

Padahal, jawapannya sangat senang. Kita datang dari Allah, Kita didatangkan kerana Allah. Dan kita akan dikembalikan kepada Allah. 


Setakat saat ini... apakah sumbangan kita kepada Islam agaknya? Berapa banyak sudah masa, tenaga, harta kita digunakan ke jalan Allah? Atau semuanya hanya dihabiskan untuk diri sendiri?

Saidina Abu Bakar ada berkata; Barangsiapa yang masuk ke dalam kubur tanpa ilmu dan amal sebagai bekal. Maka, dia seperti pergi ke tengah laut dan terjun ke dalamnya tanpa perahu dan pelampung. 

Saudara-saudari seagamaku yang dikasihi Allah sekalian,

Dinamakan kita sebagai insan kerana kita ini selalu melakukan kesilapan dan kesalahan. Sebab itulah kita tak bernama Nabi & Rasul. Kerana kita memang bukan nabi & rasul yang suci dari dosa (maksum). Nabi manusia seperti kita, namun dia istimewa, luar biasa, special di sisi Allah.

Oleh itu, kalau kita melakukan kesilapan, selalulah bermuhasabah. Kembali semula kepada fitrah bahawa manusia melakukan kesilapan. Belajar dari kesilapan tersebut untuk menjadi manusia yang lebih bermanfaat kepada orang lain.
Dan yang jelasnya, kalau kita sudah tahu ilmu kita sedikit, amal pun kurang, berusahalah keluar, gerakkan kaki ke Majlis-majlis ilmu, kuliah agama, ceramah, forum dan sebagainya. Ini juga salah satu usaha menambah ilmu & memperbaharui iman. Bukannya merungut "Aku masih jahil, tak layak jadi pendakwah", lalu menjadi katak di dalam gelas! Sekadar duduk di bilik dan mengadap laptop 24 jam! [Nasihat ini saya tak ingat saya baca di mana]


Tidak boleh menyumbang banyak, kita sumbangkan sedikit. Asalkan kita menyumbang sesuatu. Ambillah ibrah dari kisah burung kecil yang berusaha memadamkan api yang membakar tubuh Nabi Ibrahim Alaihisalam.

Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.

Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu:
 
“Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.”

Lalu dijawab oleh burung berkenaan:
 

“Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”


Nah! Itu burung... Adakah kita manusia ini menyedari hakikat tersebut? 


Menjadi penyeru. Menyampaikan kebaikan & mencegah yang mungkar ini perlukan 3 perkara;
1) Ilmu
2) Iman
3) Amal

Selain itu, perlukan kesabaran, adab dan akhlak untuk mengiringi 3 perkara di atas. Contohilah Nabi SAW yang sentiasa berakhlak dalam menyeru kebaikan (berdakwah) dan mencegah yang mungkar. Hatta sewaktu baginda dibaling dengan batu dan najis, baginda masih menolak pelawaan gunung untuk menghempap ummatnya yang derhaka itu. Begitulah agung & sucinya hati Rasulullah. Yang mana kebanyakan manusia kembali menganut Islam kerana cair dengan kehebatan sabar dan kemantapan akhlak baginda yang terpuji.

Berdasarkan hadis, inisiatif untuk mencegah kemungkaran ini dengan 3 anggota; iaitu yang paling baik dengan menggunakan tangan, jika tidak mampu, gunakanlah lidahmu, jika masih tidak mampu, gunakanlah dengan hati iaitu dengan membenci maksiat itu dan berdoa agar pelakunya diberikan Hidayah. Inilah selemah-lemah iman.

Sahabat-sahabatku yang dimuliakan Allah sekalian,

Satu hakikat yang perlu kita pasakkan di dalam hati, bahawa jalan dakwah & islah (pencerahan) ini, jalan mujahadah ini bukan senang. Bukan sedikit masa, tenaga, wang ringgit yang perlu dikorbankan. Malah, terkadang membanjirnya air mata & keringat. 

Allah tak pernah menjanjikan jalan ini mudah & indah. Allah tidak pernah kata berjuang ke jalanNya itu adalah senang & seketika. Allah tak pernah janji perkara itu. Namun, Allah banyak menjanjikan balasan-balasan yang setimpal dengan kepayahan yang dihadapi oleh hamba-hambaNya yang berjuang di jalanNya, insyaAllah.


Jangan harapkan sekali kita menasihati mad'u kita, mereka dapat terus menerima nasihat kita seperti kain yang menyerap air yang tumpah. Jangan kita harapkan dengan sekali kita menegur itu mereka akan terus berubah. Kalaulah dakwah & islah semudah itu... tentulah Rasulullah saw tidak perlukan 23 tahun untuk menyebarkan risalah Islam di dunia ini...

Allah berfirman; "Barangsiapa mengkehendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami akan segerakan baginya (di dunia) ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian Kami sediakan baginya (di akhirat) neraka Jahannam; dia akan memasukinya dalam keadaan tercela & terusir." [surah al-Isra' (7): ayat 18]

Pilihlah, kita mahu bersenang-senang di dunia & menderita di akhirat, atau mahu bersusah payah di dunia & bersenang-senang selamanya di syurgaNya tanpa keluh kesah?

"...Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu & sempurnakanlah petunjuk yang lurus bagi kami dalam urusan kami." [Al-Kahfi (18): 10]

Ya Allah, terimalah semua amalan kami sejak kami masih di dunia lagi. Kuatkanlah hati kami untuk terus di jalan ini. Moga kami akan dapat bertemu dengan Rasulullah saw di dalam syurgaMu dan meminum air dari tangan baginda yang akan menghilangkan haus kami buat selama-lamanya. insyaAllah.

Akhirul kalam, 

Apalah gunanya kita kaya, kalau harta itu tak digunakan untuk Islam. Apalah gunanya kita pandai, andai tak dimanfaatkan kepada Islam. Apalah gunanya kita popular & cantik, andai kita menjadi fitnah kepada Islam. Apalah gunanya kita berkedudukan & berpangkat besar andai kita gagal melaksanakan hukum hakam Islam.


Suatu saat nanti, kita akan berhenti untuk bekerja dengan manusia. Namun, tak akan pernah kita berhenti bekerja untuk Allah. 'Pencen'nya kita nanti hanyalah selepas kita mati. Selagi nyawa dikandung badan, usaha berdakwah & islah itu perlu tetap diteruskan...



Renungilah...

Kalau kita hidup tiada apa-apa sumbangan untuk Islam... 

Apalah maknanya kita hidup selama ini?


Maafkan semua kekurangan saya,
Wallahu'alam..  Kerana Dia Lebih Mengerti.


Ilham & rujukan:

1) Status FB Hilal Asyraf (Official)
2) Blog
3) Cebisan pengisian ceramah Ustaz Naim di dalam Usrah Kubro Ahad lepas.
4) Rancangan Lau Kana Bainana [Tv AlHijrah]
5) Cebisan pengisian kuliah maghrib Ustaz Azhar Idrus di penang yang lalu. 
6) Talk Mahasiswa & Agenda Pembebasan Palestin 

 
p/s: Entri ini terbengkalai sejak Isnin yang lepas oleh kerana lemahnya diri memanfaat luangnya masa dalam kesibukan. Namun, alhamdulillah, Allah akhirnya beri kekuatan untuk menyambung semula nukilan. Semoga bermanfaat. 


Sudikanlah untuk klik butang like & share ke FB antum. Syukran.


 APA ITU TAZKIYAH DIRI? JOM BACA DI SINI : TAZKIYAH DIRI


Monday, December 12, 2011

Belum Sedia Nikah, Namun Hati Merindu.



Bismillahirrohmannirrohim..
Dengan NamaMu Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Alhamdulillah, Jumaat lepas, saya diizinkan Allah untuk pergi menyertai Taman Syurga (yakni Majlis Ilmu) Forum Istikharah Cinta anjuran Persatuan Mahasiswa Islam USM (PMIUSM). Panelisnya adalah Ustaz Syaari Abd Rahman (Penulis Buku Kepimpinan Al Fateh) & zaujahnya yang tercinta, Ustazah Nurul Shuhadah Shuib.

Namun, saya belum berkesempatan untuk menulis review tentang forum itu & isi-isinya. InsyaAllah, saya akan tulis pada entri yang akan datang.

Kali ini, saya mahu berkongsi satu permasalahan & lengkap dengan jawapan yang saya kongsikan di sini. Ilmu ini saya kutip di blog Ustaz Ubaidillah Alias iaitu: Ustaz Cinta.

Saya kira masalah ini kerap juga berlaku dalam kalangan akhowat yang telah 'ter'jatuh cinta dengan seseorang namun malu untuk memulakan langkah untuk mengkhitbah lelaki tersebut atas dasar malu, rendah diri, belum bersedia & tidak yakin. 

Untuk mengetahui apa respon Ustaz Ubaidillah tentang masalah ini, teruskanlah membaca hingga ke titik akhir entri ini. Semoga bermanfaat.



***********************

"Emel ini datang dari seorang wanita yang berhati tulus. Wahai lelaki, bacalah dengan kemuliaan jiwa seorang khalifah. Bacalah dengan nawaitu untuk menjadi pemimpin sebuah keluarga yang akan memasuki pintu syurga Allah di akhirat kelak.

Assalamualaikum ya Ustaz

Sebagai manusia biasa, saya tidak dapat lari dari fitrah dan naluri ingin bercinta. Saya pernah sekali bercinta ketika umur saya 19,namun ia putus ditengah jalan. Saya dikecewakan . Saya terpaksa mengambil masa yang lama untuk membasuh kekecewaan hati saya dan untuk melupakan dia. Saya menyepi dan bersendiri untuk buang rasa cinta. Setelah pulih, saya mampu bangkit semula. Hati saya yang kecewa, saya rawat dengan selalu dekat bersama Allah. Saya takut untuk jatuh cinta lagi kerana saya tahu ianya akan buat saya kecewa.

Namun, dugaan Allah silih berganti dan saya diuji lagi. Saya bertemu dengan seseorang ditempat saya belajar. Sekali saya terlihat dia, hati saya seolah-olah terpaut. Dari fizikalnya, dia telah memenuhi ciri-ciri lelaki idaman saya. Tapi saya tak kenal dia. Saya tak tahu dia orang yang macamana. Setelah bersahabat, baru saya tahu dia seorang yang alim dan menjaga hubungannya dengan Allah. Dia sering menasihati saya dan menyedarkan saya dalam setiap perlakuan saya. Saya rasa jatuh hati pada dia tanpa saya tahu apa sebabnya. Saya impikan dia sebagai khalifah hidup saya namun saya tidak pasti siapakah yang tertulis di Luh Mahfuz untuk saya.

Saya tahu matlamat dia untuk berubah menjadi lebih baik. Saya juga begitu. Saya tidak mahu menjadi racun dalam hidupnya. Maka saya buat keputusan untuk tinggalkan dia. Bukan niat saya untuk putus silaturrahim, namun saya memberikan jarak dan ruang untuk kami capai impian terlebih dahulu.

Ustaz, sesungguhnya saya telah menemui seseorang yang saya dambakn selama ini. Seorang yang mampu menjadi imam dalam solat saya, yang dapat menjadi khalifah mengemudi bahtera keluarga dan mampu menjadi abi kepada anak-anak saya. Tapi saya belum pasti adakah dia yang tercipta untuk saya dan adakah saya tulang rusuknya. Ustaz pernah cakap dalam artikel sebelum ni bahawa kalau kita dah jumpa lelaki seperti ini, kita kena pegang cepat2. Tapi apa yang saya buat adalah melepaskan dia kerana kami masing-masing belum bersedia. Ustaz, apakah saya perlu hadir dalam hidupnya lagi setelah saya lepaskan dia? Bantu saya, ustaz.

RESPON USTAZ 

Bismillahirrahmanirrahim

Terima kasih saudari sudi bertanya, soalan dan polemik yang sangat wajar untuk dibincangkan. Semoga saudari mendapat kebaikan. Ustaz juga manusia biasa, tidak tahu meramal masa depan. Ustaz tidak tahu apa yang terbaik buat saudari... tetapi Allah tahu. Maka, kita perlu berdoa sepanjang masa agar dibantu oleh hidayah Allah.

BILA SUDAH KETEMU LELAKI YANG DICARI...

Jika benar saudari merasakan dia lelaki terbaik untuk saudari. Maka, beritahu ibubapa dan minta mereka buat risikan. Jika boleh, cari maklumat pasal keluarganya dari masa ke semasa. Jika ibubapa bersetuju. Maka cadangkan lelaki agar masuk menghantar wakil untuk tanda. Tidak salah bertunang awal. Walaupun belajarnya masih lama. Kerana semasa bertunang, tidak perlu berjumpa atau berbual. Bertunang adalah tanda... maka, bila sudah tanda. Hati tidak runsing lagi.

Inilah tindakan terbaik jika mahu menjaga ikatan sekarang agar membawa ke jenjang pelamin. Sebolehnya, biarlah pihak lelaki juga serius dahulu. Buat majlis ringkas saja. Tidak perlu besar-besar. 

JIKA MASING-MASING MASIH BELUM BERSEDIA...

Maka, tidak perlu fikir panjang. Banyakkan berdoa dan sambil itu fokus kepada pengajian. Kerana, tidak semua yang kita fikir baik... adalah baik di sisi Allah. Tidak semua yang kita nampak comel, maka ia juga comel di sisi Allah. Boleh jadi ada sesuatu yang kita tidak tahu dalam perhubungan. Anggaplah bahawa saudari sedang melalui proses ujian dan kesabaran.

Walaupun hubungan hati tidak putus, tidak perlu luahkan. Tidak perlu dedahkan. Allah maha mengetahui dan dia yang berkuasa menentukan perhubungan ini berjaya atau tidak. Bukan kita yang tentukan. Oleh itu, banyakkan berdoa. Lagi besar harapan dan dalam cinta kita kepada bakal pasangan, biarlah lagi banyak doa dan munajat. Bukan lagi banyak angau dan berangan. Maka, jika hal ini dapat diteruskan... bererti, saudari sedang melalui jalan yang diberkati. Insya Allah.

MASA DEPAN MILIK ALLAH SECARA MUTLAK

Kerana masa depan adalah milik Allah, kita boleh berusaha dengan apa yang kita mampu. Keputusannya kita serahkan kepada Allah. Banyak sangat fikir, membuang masa. Kena ada azam dan tawakkal. Barulah kita boleh fokus kepada pengajian. Bila sampai masa, kita boleh teruskan dengan pertunangan dan perkahwinan. Insya Allah."


***************************

RESPON SAYA:

Saya tahu, saya faham, bab hati & perasaan ni memang susah nak dikawal & diduga. Tak ada siapa yang kata senang hendak mengawal nafsu. Nafsu nak tengok muka dia, nak bertemu dia, stalk page dia, nafsu nak SMS dia, tanya khabar, dah pelbagai lagi.

Apatah lagi kita hanyalah manusia yang mudah benar tergoda & rapuh imannya. Bukanlah saya kata kita tak boleh berperasaan langsung. Siapa kata tiada cinta sebelum kahwin? Ada. Yang sepatutnya tiada ialah hubungan cinta tidak halal sebelum kahwin. Itu yang tidak wajar ada.

Kalau kamu cinta, & mahu meminang dia, maka gunakan orang tengah & bernikahlah. Masalahnya sekarang, kita cinta, suka, angau, malangnya tak nampak langsung hasrat & jalan untuk menuju ke arah pernikahan. Ini yang bahaya. 


Kalau sudah terang-terangan kita masih belum bersedia ke arah pernikahan, eloklah kita rahsiakan sahaja dahulu hasrat hati kita padanya itu. Kalau hendak kita luahkan padanya pun, tak ada kesinambungannya. Benar kata Ustaz, eloklah kita fokus dahulu dalam pengajian kita & fokus dalam usaha untuk terus memperbaiki diri.

Boleh jadi, perasaan itu cuma satu ujian kecil daripada Allah SWT buat kita bagi menguji sekuat mana cinta kita kepadaNya. Allah Mahu Tahu, adakah kita benar-benar cinta padaNya ataupun kita mudah membuang cintaNya demi meraih cinta makhluk. Begitu rapuhkah? Begitu mudahkah hati kita digugah dengan cinta selain dariNya? Mungkin itu tujuan Allah sebenarnya.

Maka, kuatkan hati. Jangan pula dilangsungkan perasaan itu dengan meluahkan padanya, berlangsung lagi dengan berhubung dengannya, chatting, SMS, menjadi lebih rapat & seterusnya terus-berterusan membuka satu persatu pintu ke lembah zina. 

Awalnya hanya zina hati, terbayang-bayang, angau, termimpi-mimpi. Kemudian, diikuti dengan zina tangan, berSMS, chatting. Diikuti pula dengan zina mulut, melafazkan cinta buat dia yang belum halal, berkata rindu, sayang, cinta & lain-lain yang melalaikan. Kemudian? kemudian, syaitan memujuk lagi, sehinggalah kita terjebak ke dalam zina seksual. Nauzubillah. Astaghfirullah.


Nampak tak permainan syaitan? Ingatlah, syaitan takkan pernah berhenti 'memujuk' kita dengan 'keindahan-keindahan' palsu ciptaannya. Keindahan-keindahan yang palsu ini akan menjerut batang leher kita dengan dengan tali dosa besar yang kemudiannya akan mengheret kita ke dalam neraka Allah kelak.


"Iblis menjawab: Kerana Engkau telah menyesatkan aku, pastilah aku akan selalu menghalangi mereka (manusia) dari jalanMu yang lurus, kemudian, aku akan mendatangi mereka dari depan, belakang, dari kanan & kiri mereka. & Engkau tidak akan Mendapati kebanyakan mereka bersyukur." [surah al-A'raf; 7: 16-17]


Itu janji Iblis apabila Allah halau dia dari syurga setelah enggan sujud kepada Nabi Adam. Sejurus saja 'janji' tersebut dikatakan, dia terus menggoda Nabi Adam & Hawa agar memakan buah khuldi yang telah Allah larang dari mereka mendekatinya. Itu Nabi Adam & Hawa. Jadi, siapa pula kita untuk menyangka kita cukup kuat untuk mengindar godaannya dari melakukan zina yang disenaraikan di atas?


Daripada elok-elok niat kita suci, mahu mendekatkan diri kepada kepada Allah & memperbaiki diri, hanya kerana kegagalan kita mengendalikan 'ujian kecil' ini, kita bertambah jauh pula daripada Allah. Astaghfirullahal adzhim..  


Firman Allah SWT:
"Dan janganlah kamu mendekati zina; sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan yang keji & suatu jalan yang buruk." [Surah ke-17, al-Isra': ayat 32]

Maka, berhati-hatilah wahai muslimin & muslimat sekalian, jagalah hati kalian. Ingatlah bahawa tiada perhubungan antara lelaki & wanita yang Allah redha melainkan hanya dengan pernikahan.

Simpanlah segala bentuk ungkapan cinta dan derap hati dengan rapat. Allah akan menjawab dengan lebih indah disaat yang lebih tepat. Sebelum Allah mengizinkan. Belum tentu yang kau cintai adalah yang terbaik untukmu. Siapakah yang lebih mengetahui selain-Nya?

Pegang prinsip ini;
"Cintaku kepada Tuhan kerana aku adalah ciptaan-Nya. Cintaku terhadap seseorang itu adalah kerana perasaan yang dicipta-Nya. Manakan boleh cintaku kepada ciptaanNya melebihi Penciptanya? Wajiblah bagiku untuk mencintai Pencipta hamba & perasaan itu melebihi makhluk yang juga ciptaanNya.."

Point terakhir, bukankah kita mensolehahkan diri ini hanya untuk mempersiapkan keadaan diri dengan sebaik-baiknya sebelum bertemu dengan Allah? Jadi Solehah bukan untuk ganjaran jodoh Soleh. Jadi Solehah kerana mahu redha, rahmat & ampunan Allah. Kerana mahu masuk ke syurgaNya dengan hati yang tenang & diredhai.. 

Jika kita mencintai Allah, kita kira, adakah Allah akan membiarkan kita begitu sahaja? Saya yakin berdasarkan janji-janjiNya yang jelas & nyata di dalam al-Quran bahawa Allah akan Menganjarkan hambaNya yang bertakwa dengan ganjaran yang setimpal.

InsyaAllah, kalau tiada jodoh kita dengan ikhwan di duniaNya ini, mudah-mudahan Allah sediakan seorang pemuda syurga yang mungkin sedang menunggu kita di Jannatul FirdausiNya yang indah itu...

Janji Allah itu Pasti. Allah Pasti akan Menganjarkan balasan yang setimpal dengan usaha & amal kita, insyaAllah. Jadi, hanya tinggal kita sahajalah: Mahu terus terleka dengan dunia inikah? Ataupun makin laju mempersiapkan diri untuk bertemuNya?


Mintalah kekuatan daripada Allah. Sesungguhnya, selama ini, Yang Menguatkan kita & Mempermudahi semua urusan kita itu hanyalah Dia. Jadi, mengapa tidak, kesempatan begini, dilanda ujian begini, kita kembali semula kepadaNya?

Mudah-mudahan Allah akan mempermudahi semua urusan kebaikan kita dari dunia hingga ke akhirat. Amiin.


Allahu'alam.


*Sekiranya antum rajin membaca lagi; bolehlah membaca coretan ini juga: BICARA HATI.


p/s: Bulan ini, saya menerima 2 undangan walimah. Kak Has & ukhti Farhana. Saya doakan jodoh mereka berkekalan hingga ke syurga & diredhai oleh Allah. :)



Sunday, December 4, 2011

Tudung Labuh: Onak & Ujian.





Bismillahirrohmanirrohim..

"Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan, & janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sungguh, ia musuh yang nyata bagimu." [surah al-Baqarah: ayat 208]

Dengan Nama Pencipta Yang Maha Agung, Tuhan sekalian alam.

Alhamdulillah, saya rasa berbesar hati atas respon yang menggalakkan bagi post saya yang terdahulu tentang TIPS Awal Sebelum Bertudung Labuh. Alhamdulillah, saya bersyukur sekiranya perkongsian tersebut memberi manfaat kepada sahabat-sahabat, adik-adik, kakak-kakak yang dikasihi oleh Allah sekalian.

Saya doakan semoga hati-hati yang telah dibukakan oleh Allah itu akan terus kuat bagi menggerakkan jasad mengatur langkah perjuangan meraih keredhaanNya. insyaAllah.

Adapun begitu, kadangkalanya niat hati yang suci & azam yang berkobar-kobar itu menjadi merudum lantaran diuji dengan pelbagai ujian. Di kala itulah waktu kritikal yang paling sesuai untuk membina sebuah ketakwaan & kesandaran kepadaNya.

Berikut mungkin antara 'laluan berhalangan' yang harus ditempuhi sepanjang menyelusuri denai cahaya HidayahNya itu. Ada di antaranya saya tulis berdasarkan pengalaman diri, sahabat-sahabat lain, kenalan-kenalan mahupun melalui luahan-luahan peribadi usrati kepada saya. 

Namun, ujian setiap dari kita mungkinlah tidak sama. Cuma, harapan saya, ambillah iktibar & ibrah jika bermanfaat. Mungkin catatan ini dapat 'memujuk' hati 'beginners' sekalian supaya jangan berputus asa dalam mencari jalan pulang, insyaAllah.


1) Halangan daripada Keluarga. 

Keluarga sakinah, mawaddah, warohmah menjadi impian semua.


Haruslah kita akui, bukan semua setiap daripada kita bertuah dilahirkan dalam suasana keluarga yang menitipkan dakwah & tarbiyyah dalam pendidikan anak-anak mahupun seisi keluarga. Bukan semua institusi kekeluargaan di Malaysia ini mempraktikkan sunnah mendidik anak-anak menurut cara Islami. 

Mungkin kita terasa kuat apabila berada di kampus bersama-sama sahabat yang masing-masing menyokong hijrah kita. Namun, ujian sebenar bermula apabila kita pulang ke kampung & terasa sukar untuk berdepan dengan keluarga. Adalah perit menerima perlian & cemuhan. Bertambah perit jika kata-kata pedas itu dilontarkan oleh ahli keluarga darah daging sendiri. 

Pertama sekali, kita haruslah kuatkan semangat & kemaskan genggaman tawakal kita kepadaNya. Bersabar & mohonlah perlindungan & kekuatan daripadaNya. Kita harus faham keadaan keluarga kita yang mungkin terkejut dengan perubahan drastik kita itu. Tambahan lagi, kita memang daripada kecil memang kurang diterapkan dengan nilai-nilai agama. Mungkin jua di antara kaum hawa pertama yang mengenakan tudung, tudung labuh pula tu.

"Tak payah bertudung labuh pun tak apalah. Nanti orang kata apa pula, anak bukan main alim. Mak dengan adik beradik lain tudung pun entah ke mana. Jangan buat malu la." 

"Kau tu muda lagi. Pakai bungkus tudung besar-besar tu nampak macam orang tua. Tak payahlah pakai macam ustazah tu. Orang mengaji sekolah agama pun pakai tudung biasa je."
 
Biarkan saja kata-kata seperti ini berlalu pergi. Percayalah, keluarga kita juga adalah manusia biasa. Jikalau perubahan penampilan kita disertai dengan keindahan akhlak kita, insyaAllah lambat laun, ibu, ayah, abang, kakak mahupun adik kita akan perlahan-lahan dapat menerimanya. 

Sentuhlah hati mereka dengan akhlak kita. Perelokkan tutur kata, jadilah lebih sopan, menurut kata, ringan tulang membuat kerja rumah. InsyaAllah, hati mereka akan tersentuh & cair juga akhirnya walau menentang keras pada mulanya. InsyaAllah, mereka akan lebih menyenangi akhlak & penampilan baru kita itu.

Cuma, lambat atau cepat penerimaan itu, Allah lebih Tahu. Usaha itu hak kita. Tapi yang Menentukan itu adalah hak Allah. :)

Berbekal dengan doa & kesungguhan kita untuk istiqomah, mudah-mudahan Allah akan membukakan pintu hati semua ahli keluarga kita untuk menjadi hamba-hambaNya yang lebih soleh & solehah..  amiin.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman & orang-orang yang berhijrah & berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." [surah al-Baqarah; ayat 218]


2) Kekasih Luar Nikah.

Ramai sahabat-sahabat saya yang 'menangguhkan' penghijrahan' mereka kerana alasan yang ini. Hanya kerana seorang lelaki yang dicintai sebelum bernikah

Bukanlah asing budaya "love-couple" (bercinta & berpasangan) sebelum akad nikah di negara kita ini. Bahkan pada usia belum baligh pun sudah ada anak-anak remaja yang terlibat dengannya. Astaghfirullahal adzhim..

Dalam keasyikan kita bercinta dan berpasangan, entahlah bagaimana tiba-tiba sahaja Allah menghantarkan hidayahNya kepada kita. Rasa angau, enak, indah & lazat bercinta dengan kekasih luar nikah kita itu tiba-tiba sahaja Allah nampakkan sebagai hodoh, busuk & menjelikkan. 

Kita ingin kembali. Kita rasa berdosa dengan kesilapan kita. Kita mahu menjadi perempuan solehah yang mahal harga dirinya. Kita mahu menyertai wanita-wanita syurga yang sangat mantap penjagaan batasan pergaulan (muamalat/ikhtilat) dengan lelaki yang bukan mahramnya. Namun, kita tak tahu harus berbuat apa.

Nak ditinggalkan lelaki itu, kita sudah banyak termakan budi dengannya, kita sudah lama menjalin cinta dengannya. Tidakkah nampak zalim kalau kita tiba-tiba meninggalkan dia dengan drastik? Itu persoalan yang mungkin bertalu singgah di hati.

Hati kita lalu berbelah bahagi. Memilih kembali kepada Allah atau meninggalkan kekasih hati? Kalau kita berhijrah namun masih melakukan kemungkaran tersebut, seakan tidak sah pula taubat kita itu. Itu yang kita fikir & sangkakan. Lalu, kita terus menjadi buntu.

Allah berfirman, Ertinya:
"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa bila dikatakan kepada kamu, "Berangkatlah untuk (berperang di jalan Allah)" Kamu merasa berat & ingin tinggal di tempatmu? Apakah kamu lebih menyenangi kehidupan dunia daripada kehidupan di akhirat? Padahal kenikmatan hidup di dunia itu (dibandingkan dengan akhirat) sangatlah sedikit." [surah 9; At-Taubah: ayat 38]

Apalah hebatnya lelaki itu, yang cuma makhlukNya juga yang hina & berdebu dosa seperti kita jika hendak dibandingkan dengan Allah? Layakkah dia untuk menjadi penghijab jalan kita daripada pulang kepada Allah?

Lepaskanlah apa yang belum menjadi halal bagimu. InsyaAllah, Allah akan menjaganya lebih baik daripadamu. Kuatkanlah iman & bertawakallah kepada Allah. 

"....Barangsiapa bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan Membukakan jalan keluar baginya." [surah 65; at-Thalaq: ayat 2]

"Dan barangsiapa yang berhijrah di jalan Allah, nescaya mereka akan mendapatkan di bumi ini tempat hijrah yang luas & rezeki yang banyak. Barangsiapa yang keluar dari rumahnya dengan maksud hijrah kerana Allah & rasulNya, kemudian kematian menimpanya (sebelum sampai ke tempat yang dituju), maka sungguh, pahalanya telah ditetapkan di sisi Allah. & Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang." [surah an-Nisa', 4: ayat 100]

Saya faham, untuk mengambil langkah berpisah & meninggalkan kekasih luar nikah kita itu cukup susah & benar-benar menguji kita. Sesuatu yang telah kita buang perlulah digantikan dengan sesuatu yang lebih baik.

Gantikanlah tempat yang telah ditinggalkan oleh kekasih kita itu dengan cinta Allah. InsyaAllah, luka & parut itu akan Allah sembuhkan dengan cintaNya.

Percayalah, jika kita melepaskan keduniaan semata-mata kerana mahukan ampunan & keredhaan Allah, nescaya Allah akan melimpahkan kebaikan kepada kita & menganjarkan sesuatu & seseorang yang lebih baik daripada dia yang telah kita tinggalkan kerana Allah. insyaAllah.


3) Dibayangi Dosa Lalu.

Halangan ini datangnya daripada kita sendiri. Kita menganggap, dosa kita yang terlalu menggunung itu takkan dapat terhapus hanya dengan taubat. Kita juga takut sekiranya kita akan mengulangi kembali dosa silam itu setelah bertaubat. 

"Aku banyak dosa. Aku dah sesat terlalu jauh. Nak ke Allah ampunkan aku kalau aku bertaubat? Aku pernah couple, berzina, tipu parents, minum arak. Nak ke Allah ampunkan aku...?"

Astaghfirullahal adzhim... siapalah kita untuk bersangka-sangka kepada Allah? KeampunanNya amat luas jika hendak dibandingkan dengan kemurkaanNya.

Allah berfirman dalam surah ke-4; An-Nisa' ayat ke 106; Ertinya:
"& mohonlah ampunan kepada Allah. Sungguh Allah Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang."

Kemudian Allah berfirman lagi dalam surah sama ayat ke 110, Ertinya:
"Barangsiapa berbuat kejahatan & menganiaya dirinya, kemudian dia memohon keampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapati bahawa Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."

Subhanallah! Baiknya Allah! :') Walau sejahat mana pun kita, Allah tetap menerima taubat kita selagi kita berusaha meraih ampunanNya. Dengan syarat, kita mestilah menyesali dosa terdahulu, berazam untuk tidak mengulangi serta berusaha untuk mengelakkan diri dari terjebak kembali ke arah maksiat itu.  

InsyaAllah, selagi dosa itu bukan dosa syirik, insyaAllah, Allah sentiasa membukakan pintu ampunanNya dan menerima taubat kita.

Setiap orang daripada kita melakukan dosa. Kerana kita adalah manusia yang bernafsu. Iman juga naik & turun. Pastilah kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Namun, adalah sangat berbeza berdosa lalu bertaubat & sentiasa berusaha untuk mengikutiNya dengan pendosa yang senang dengan dosanya & berat untuk bertaubat. 

Fitrah manusia bernafsu, namun, itu bukanlah alasan kita untuk tidak bertaubat & kembali kepada Allah. 

"Telah semakin dekat kepada manusia hari perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia) & berpaling (daripada akhirat.)" [surah al-Anbiya' ayat 1]

Tidak dinafikan, walau kita sudah bertaubat & memperbaiki diri sekalipun, kita masih ada masanya lalai & leka. Namun, segeralah kembali kepada Allah.
"Dan aku tidak (menyatakan) diriku bebas (dari kesalahan), kerana sesungguhnya nafsu itu selalu mendorong kepada kejahatan, kecuali (nafsu) yang diberi rahmat oleh Tuhanku. Sesungguhnya Tuhanku Maha Pengampun, Maha Penyayang." [surah ke-12; yusuf: ayat 53]

Mohonlah pertolongan daripada Allah, "...maka katakanlah; "Cukuplah Allah bagiku; tidak ada Tuhan selain Dia. Hanya kepadaNya aku bertawakal, & Dia adalah Tuhan yang memiliki Arasy (singgahsana) yang agung." [at-Taubah; 9: 129]


4) Persepsi Tudung Labuh Hanya Untuk Golongan SMKA, Maahad.

"Aku jahat. Tudung labuh hanya untuk orang yang alim, banyak ilmu agama, aku bukan anak imam, ustaz atau lulusan maahad B, SMKA A. Aku sekolah biasa. Keluarga pun bukan orang masjid. Aku tak layak...."

Kalau boleh, buang sikap suka bersangka-sangka begini. Jika kita ingin berbuat kebaikan, demi mendekatkan diri kepada Allah swt, hayunkan sahaja terus langkah kaki itu bergerak ke arah matlamat kita. Elakkan bertangguh-tangguh dan bersangka-sangka negatif begini.

"Bila aku pakai tudung labuh, orang ingat aku banyak ilmu agama. Padahal aku baru jek nak bertatih-tatih pulang kembali padaNya. Kalau orang tanya hal-hal kemusykilan pada aku & aku tak dapat jawab, bukankah malu nanti?" 

Ini juga antara halangan atau mungkin juga alasan lain yang menjadi tembok bagi penghijrahan kita. Hakikatnya persepsi orang tidaklah boleh kita halang, kita juga tidak punya kuasa jika mereka fikir kita serba tahu.

Oleh itu, amatlah perlu perubahan penampilan itu seiring dengan penambahan ilmu, peningkatan ibadah & pemantapan akhlak. Rujuklah orang yang lebih faham agama seperti ustaz & ustazah. Ringankan kaki untuk pergi ke Majlis-Majlis ilmu untuk menambah lagi kefahaman agama kita yang mungkin kurang.

Namun, jangan pula kita fikir perkara ini perkara senang. Allah tidak menjanjikan keindahan, kewangian serta kemanisan sepanjang jalan mujahadah ini. Pasti akan ada ujian yang datang kepada kita untuk menguji. Namun, jangan sesekali kita berputus asa dengan rahmat Allah & teruskan berusaha.

"Dan sungguh, Kami benar-benar Menguji kamu sehingga Kami Mengetahui orang-orang yang benar-benar bersabar di antara kamu; & akan Kami uji perihal kamu." [surah Muhammad, ayat 31]

Ingatlah, tak bermakna kita perlu menjadi anak imam, lulusan universiti al-Azhar, maahad, SMKA atau kita hafizah yang hafal al-Quran barulah kita boleh memakai tudung labuh. Tudung labuh bukan beerti kita maksum dari dosa, lengkap & cukup faqqih dalam ilmu agama, atau peribadi yang langsung tak ada cacat celanya. Kita ini manusia. Bukannya malaikat yang tak punya nafsu. Kita ini manusia biasa. Bukan para Nabi yang maksum. Pasti ada kekurangannya dalam diri kita. Namun, itu semua bukanlah alasan untuk tidak kembali kepadaNya.


5) Musuh Terbesar : Diri Sendiri

Percaya atau tidak, diri kita sendiri merupakan halangan terbesar buat diri kita sebenarnya. Diri kita boleh jadi musuh yang paling jahat & tidak boleh dipercayai. Kita menyangka halangan untuk kita kembali adalah datang daripada sekeliling kita. Walhal sebenarnya, kita sendiri yang membina persepsi tersebut. Kita sendiri yang banyak beralasan seolah-olah ragu-ragu, tidak yakin & berat hati untuk berhijrah. 

Oleh itu, haruslah kita muhasabah diri kita kembali. Apakah & siapakah sebenarnya yang menghalangi kita daripada berbuat kebaikan? Padahal kita tahu itulah kebenaran, namun mengapakah hati kita berat untuk bergerak ke arahNya? Apakah kerana hati kita terlalu tebal dengan debu-debu dosa? 

Elakkan beralasan, bertangguh-tangguh. Memang apabila kita memilih untuk bertudung labuh, kita akan berusaha untuk menjadi ghuraba (asing), kita tidak akan menarik perhatian lelaki. Lelaki tidak akan memandang kita. Penampilan kita akan sederhana. Bukanlah mengikuti trend semasa, fesyen ala-ala korea, ala-ala artis kesayangan kita, gaya tudung model terkenal, gaya tudung si A, si B yang nampak anggun & cantik itu. 

Anggaplah ini semua sekadar ujian kecil buat kita. Biarkanlah mereka dengan gaya kain jarang, berbelit-belit & 'seciput' yang menutupi kepala namun, mendedahkan aurat mereka itu. Yang disangkakan mereka cantik & mengikut arus semasa, lelaki memandang mereka & mereka juga suka apabila dipandang lelaki. Walhal itu semua hanyalah mengundang murka Allah sebenarnya.

Wahai sahabat-sahabat, adik-adik serta kakak-kakakku yang dikasihi Allah sekalian.

Biarlah lelaki tidak memandang kita, asalkan kita dipandang Allah. Biarlah kita dikatakan kuno tidak trendy, asalkan itu yang mengundang redha Allah. Biarlah peluh yang mengalir kerana penampilan kita yang sempurna menutupi aurat kita, andai itu yang menjadi saksi untuk meraih syurga Allah kelak. Panas di dunia bukanlah apa-apa dibanding dengan panasnya api nerakaNya.

Ingatlah, dunia ini hanyalah sementara. Bukanlah tempat untuk kita bersuka-suka, bersenang-senang. bergembira. Dunia ini adalah tempat menguji iman bagi orang yang beriman. Mereka menyekat nafsu mereka, mereka menahan dengan sabar, bagi mereka, dunia ini tempat untuk mengumpul bekal, tempat untuk mempersiapkan diri bertemu Allah di akhirat kelak.

"Barangsiapa mengkehendaki kehidupan dunia dan perhiasannya, pasti Kami memberikan balasan penuh buat mereka atas pekerjaan mereka di dunia & tidak akan dirugikan. Itulah orang-orang yang tidak memperolehi sesuatu pun di akhirat kecuali neraka, & sia-sialah di sana apa yang telah mereka usahakan di dunia & terhapuslah apa yang telah mereka kerjakan." [surah Hud: ayat 15-16]

"...Mereka tidak mampu mendengar & tidak dapat melihat kebenaran. Mereka itulah orang yang merugikan dirinya sendiri, & lenyaplah dari apa yang selalu mereka kerjakan. Pasti mereka itu menjadi orang yang paling rugi di akhirat." [surah Hud: ayat 20-22]

Jika kita memegang teguh kepada Allah, semata-mata mahu meraih keredhaan & ampunanNya, kita kira Allah akan melepaskankah tangan kita itu? 

Tentulah tidak. 

Allah berfirman, "Dan apabila hamba-hambaKu bertanya tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka mengikut perintahKu & beriman kepadaKu, agar mereka memperolehi kebenaran." [surah al-Baqarah: ayat 186]

"Allah pelindung orang yang beriman. Dia mengeluarkan mereka daripada kegelapan kepada cahaya (iman). Dan pelindung bagi orang-orang kafir adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka dari cahaya & memasukkan mereka ke dalam kegelapan. Mereka adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya." [surah 2; al-Baqarah; ayat 257]

6) Halangan-halangan kecil lain

Sahabat yang baik, apabila kita terpandang wajah & akhlaknya, kita teringatkan Allah.


a) Sahabat baik/ teman rapat/ kawan karib.

Ada kemungkinannya juga, penghijrahan ini bakal 'mengusir' pergi kawan-kawan baik, teman-teman rapat mahupun sahabat sejati. Namun, insyaAllah, jika mereka benar-benar kawan yang baik, teman yang rapat & sahabat yang sejati, mereka akan memahami malah menyokong perubahan ke arah kebaikan ini.

Pada awalnya mereka mungkin terkejut & menjauhi kita. Hal ini kerana mereka menyangka kita sudah 'lain' daripada mereka. Namun, gunakan jugalah pendekatan yang sama dengan pendekatan yang kita gunakan pada halangan nombor 1. InsyaAllah, mudah-mudahan perubahan & penghijrahan kita ke arah yang lebih baik juga dapat melunakkan hati mereka untuk kembali.

Apabila sudah merasa cukup kuat, ajaklah juga kawan, teman & sahabat ini untuk sama-sama mengadiri usrah, ceramah serta majlis-majlis ilmu. Sambil berdoa juga agar Allah membukakan pintu hati mereka. Jangan sesekali meninggalkan mereka kerana sudah menganggap diri kita suci, baik & sebagainya. Nauzubillah.!

Semua orang yang berdosa itu perlu dibimbing, bukannya ditinggalkan. Jika benar persahabatan kita kerana Allah SWT, maka kita akan bersungguh untuk mencapai matlamat yang lebih besar, yakni mahu sama-sama masuk ke syurgaNya. Bukannya kita meninggalkan sahabat kita itu terkontang kanting dengan masalahnya. Ini sepatutnya menjadi prinsip kita dalam bersahabat. Ini yang sepatutnya dipraktikkan. InsyaAllah. 

b) Antara halangan kecil lain ialah penerimaan masyarakat

Hal ini mungkin nampak kecil, namun, pada sesetengah orang, halangan ini besar & berpotensi untuk menggugah semangat untuk tetap istiqomah.

Saya sendiri, di awal penghijrahan, diuji dengan ujian yang ini. Ayah & ibu saya agak dikenali & banyak memegang jawatan penting di kawasan kediaman kami. Maka, apabila saya tiba-tiba pulang dengan gaya 'berbungkus' yang kemudiannya membawa pula kepada penghijrahan adik-adik saya, mungkin ada pihak yang memandang kami dengan sinis. 

Waktu kami ke salah satu walimah di tempat kami tinggal, kami telah digelakkan & diperli oleh sekumpulan makcik-makcik serta anak-anaknya yang berkumpul di sebelah tempat kami makan. Serta merta kami menjadi perhatian.

Kata-kata mereka itu memang sangat pedih & melunturkan semangat buat beginners seperti kami yang masih rapuh tercari-cari.

Waktu itu, bergenang air mata saya. Hampir saja air mata menitis ke dalam pinggan nasi yang sedang di makan. Dada terasa sakit menahan kesebakan. Saya tidak berani membalas pandangan ibu yang nampak hampa & pilu di kejauhan. Saya tak berani memandang adik-adik yang ada di sebelah. Tangan saya menggigil menahan rasa & hati rasa sungguh sayu.  

Waktu itu, doa saya, pinta saya, moga Allah kuatkan hati saya, ibu & adik-adik. Saya pandang, ganjaran Allah lebih besar dari pandangan & cemuhan mereka. Saya redha walaupun kejadian itu nyata memang melukakan.

Tambah melukakan, apabila hati tertanya, bagaimana pula agaknya terluka hati Rasulullah saw sewaktu menyampaikan risalah Allah kepada ummatnya yang jauh lebih menguji baginda. Apalah sangat kejadian itu jika mahu dibandingkan dengan rasa kasih baginda pada kita. 

Saya kuatkan hati sendiri & adik-adik. Nasihat saya pada mereka, kita usaha jadi baik untuk dimuliakan Allah. Bukan untuk manusia. Kita jadi baik untuk bertemu Allah & rasulullah saw dalam syurgaNya. Maka, kuatkan semangat, ini hanyalah ujian yang sangat kecil, kata saya.

Alhamdulillah, kini sudah bertahun penghijrahan ini. Syukur yang sangat tinggi saya panjatkan kepada Allah kerana menguatkan hati saya, adik-adik untuk terus tsabat dalam jalanNya.

Kalau saya yang lemah ini boleh, pastinya sahabat-sahabat, adik-adik serta kakak semua yang jauh lebih hebat dari saya akan dapat mengatasi semua halangan ini, insyaAllah. :) saya yakin, antum boleh. Boleh, insyaAllah dengan kekuatan & pertolongan Allah.


Penutup: Mujahadah ini Payah, Namun... 

Allah sentiasa menanti taubat & 'kepulangan' kita kepadaNya.


Perjalanan menuju syurga itu dipenuhi onak & duri. Manakala perjalanan menuju ke neraka itu dipenuhi dengan suka, gembira & indah. Yang suka, gembira & indah itu adalah perangkap iblis & syaitan buat kita supaya menjadi sebahagian daripada mereka & menyertai mereka masuk ke dalam neraka & menjadi bahan bakarnya.

"Diwajibkan atas kamu berperang, padahal itu tidak menyenangkan bagimu. Tetapi boleh jadi kamu tidak menyenangi sesuatu, padahal itu baik bagimu. & boleh jadi kamu menyukai sesuatu, padahal ia tidak baik bagimu. Allah Mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui." [al-Baqarah, 2: ayat 216]

"Wahai orang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah & Rasul & juga janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." [surah 8; al-Anfal: ayat 27]

Sahabat-sahabat, adik-adik, kakak-kakak serta saudari-saudariku yang dikasihi Allah sekalian,

Mujahadah itu payah, jalannya sukar beronak duri, kadangkala kita tersungkur dan terluka. Namun, itulah harga yang perlu dibayar untuk syurgaNya.
Isian syurga yang hebat itu adalah insan-insan yang telah banyak bersabar, mereka telah banyak berkorban harta, masa, tenaga bahkan nyawa sekalipun demi Allah swt. Mereka itulah penghuni syurga yang indah bersih wajahnya, suci hatinya. Di sinilah tempatnya Rasulullah saw, isteri-isterinya, sahabat-sahabatnya, para sabirin, para mujahidin berkumpul. 

Tak inginkah kita menyertai mereka? 

Maka, teruskanlah bersabar, berusaha & berdoa. Mudah-mudahan semua amalan kita diterima & mudah-mudahan kita semua akan masuk ke syurgaNya tanpa perlu singgah ke nerakaNya dahulu. insyaAllah, amiin. 


Mudah-mudahan menjadilah kita wanita solehah yang bakal menjadi bidadari yang diredhai Allah. amiin.

Cukup dulu untuk kali ini, semoga bertemu lagi. Ambillah mana yang bermanfaat, maafkanlah atas kekurangan, kekasaran bahasa yang digunakan. Mudah-mudahan Allah pandang saya yang hina ini.

Allahu 'alam.


p/s: RAJIN-RAJINKAN DIRI MEMBACA CATATAN JUGA: SEMUDAH-MUDAH KEHIDUPAN