Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Thursday, January 31, 2013

Jangan Berputus Asa.


Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Asma' Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...

"Dan Kami pasti akan menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa & buah-buahan. Dan sampaikan khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu: orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata: 'Innalillahi wa inna ilaihi roji'un." [al-Baqarah (2) : 155-156]
  
Seperti yang difirmankan Allah dalam banyak surat-surat cintaNya di dalam al-Quran, adalah normal bagi kehidupan seorang manusia diselitkan dengan pelbagai masalah, kesulitan, kesusahan, penderitaan yang Allah timpakan sebagai ujian dalam perjalanan hamba-hamba ini kembali ke alam akhirat yang abadi.

Percayalah, jika kehidupan ini disandarkan berdasarkan penilaian kita sebagai manusia yang lemah & hina, kita akan sesat & gagal dalam perjalanan ini.

Hal ini kerana pengetahuan kita selalu tersalah, 'bias' & sangat cetek.

Misalnya, jika kita menilai kejayaan sesuatu kehidupan itu berdasarkan pencapaian akademik, limpahan harta, ketinggian pangkat, anugerah yang bersusun-susun, ataupun panjangnya senarai penemuan kertas penyelidikan kita, maka mungkin segolongan manusia lain yang tidak mencapai 'status' yang disenaraikan di atas dianggap telah gagal di dalam kehidupannya.

Jangan sesekali kita tersalah anggap bahawa hidup kita telah gagal hanya kerana kita tidak bekerjaya bagus, berkereta & berumah besar, memiliki gajet terbaru, berpakaian berjenama ataupun mempunyai 3-4 akaun bank yang sudah over-limit jumlah simpanan.

Begitu juga, jangan sesekali kita menganggap kita sudah berjaya dalam kehidupan kita hanya kerana kita berjaya memiliki kesemua yang disenaraikan di atas.

Ya, memang ada disebutkan di dalam hadis bahawa antara nikmat yang boleh mendatangkan ketenangan (simbol kejayaan) bagi seseorang manusia ialah apabila memiliki kenderaan yang bagus, isteri yang solehah serta rumah yang selesa. 

Namun, ciri-ciri yang disebutkan di dalam hadis di atas tidak terhad kepada sangkaan rigid kita semata. 

Kenderaan yang bagus itu perlulah digunakan untuk tujuan kebaikan seperti mencari nafakoh yang halal untuk keluarga, pergi ke majlis ilmu serta untuk hal-hal ibadah yang lain. Maka, tiada gunanya jika berkereta berjenama mahal sekalipun jika digunakan untuk tujuan maksiat. Tentunya ia bukan sahaja tidak mendatangkan ketenangan kepada pemiliknya, bahkan meraih dosa pula kerana tiada keberkatan dalam nikmat yang dipinjamkanNya itu.

Begitu juga dengan memiliki rumah yang besar & selesa yang digunakan untuk mengimarahkan ilmu, mengharumkan kasih sayang antara ahli keluarga, disuburkan dengan bacaan al-Quran, diperhalusi dengan akhlak ahli keluarga yang lemah lembut & soleh, solehah. Subhanallah, demikianlah yang dikatakan baiti jannati yang luas & selesa kerana melahirkan rasa sakinah (ketenangan), mawaddah warohmah (kasih & sayang), kiranya makna rumah yang luas & selesa itu bukan rigid kepada saiz rumah tersebut, tetapi isian keberkatan yang mengisi ruang rumah itu..

"Dan kehidupan dunia ini hanya senda gurau & permainan. Dan sesungguhnya negeri akhirat itulah kehidupan yang sebenarnya, sekiranya mereka mengetahui." [ar-Rum (30): 64]

Sesungguhnya, keseluruhan penilaian itu terletak mutlak di tangan Allah. Kerana Allah itu Maha Adil. Maka, penilaian Allah juga adalah sangat private & confidential.

Tiada siapa yang tahu bagaimana telitinya atau mungkin bagaimana ringannya Allah menilai perihal para hambaNya. Sudah tentu hal itu tidak terjangkau oleh akal kita. Allahu a'lam.. Hanya Allah sahaja yang tahu.

Siapa antara kita yang boleh menjamin bahawa semua amalannya telah diterima Allah? Atau amalan yang mana Allah telah angkat ke langit, atau amalan mana yang Allah campak kembali ke atas bumi seperti kain buruk?

Siapa antara kita yang boleh menjamin bahawa Allah telah meredhai seluruh kehidupannya selama ini? Daripada dia lahir hingga ke saat ini Allah telah ampunkan semua dosa-dosanya...?

Siapakah juga di antara kita yang tahu di mana kedudukannya di sisi Allah berbanding semua makhlukNya yang lain...? Yang mampu menjamin bahawa kedudukannya lebih tinggi daripada si fulan, si fulan yang selalu dipandangnya rendah itu?

Kita hanya mampu menunduk malu apabila dilemparkan soalan-soalan ini.

Terasa kerdilnya diri ini di hadapan Ilahi..

Seolah-olahnya semua pertanyaan ini telah menampar perit wajah-wajah angkuh kita yang menongkah hidup selama nafas ini..

***
Bukanlah hidup ini dinilai melalui apa yang telah kita capai, tetapi kerana siapa kita berusaha untuk mencapai semua cita-cita & kejayaan tersebut.

Tanya diri kita, setakat apa yang kita capai hari ini, yang begitu kita bangga-banggakan itu, adakah telah menambahdekatkan kita dengan Allah atau sebaliknya?

Jika semua kejayaan kita matlamatnya sekadar hanya kerana dunia. Maka, rugilah kita.

Oleh itu, perbetulkanlah niat kita.
Tajdid semula niat kita.

Biarlah kerana Allah semata-mata..


-------------------





Islam sangat meraikan semua umatnya menjadi hebat, kaya, berilmu & pakar dalam sesuatu bidang. Cumanya, ia perlu disepadankan dengan syariat Islam. Kelebihan yang diperolehi diinfakkan demi kemaslahatan ummah.

Jangan kita lupa, sirah telah melakarkan betapa hebatnya para pejuang agama yang kaya raya seperti Sayyidina Uthman bin Affan, Abd Rahman bin Auf serta Khadijah binti Khuwailid. Namun, bagaimana harta tersebut diperolehi & dibelanjakan? Sudah tentunya penuh dengan keberkatan & demi membangunkan Islam.

Adalah baik untuk menjadi insan yang kaya harta. Tetapi jadilah hartawan yang beriman.
Adalah digalakkan untuk menjadi insan yang hebat. Tetapi jadilah ikon yang disegani baik oleh orang Islam juga bukan Islam.
Tentu juga lebih baik menjadi pakar di dalam sesuatu bidang. Tetapi adalah lebih baik jika kepakaran itu dimanfaatkan untuk Islam.

Jika kita termasuk di dalam kriteria-kriteria itu... ataupun tidak mampu untuk mencapainya, bukan kita telah dapat berlepas diri daripada tugas sebagai da'ie.

Kita tetap menggalas amanah Allah biarpun kerja kita hanya tukang sapu sampah, pencuci tandas ataupun suri rumah...

Malah, barangkali profesyen yang kita anggap hina di dunia seperti pemungut sampah & pencuci tandas ini adalah lebih mulia berbanding kerjaya kita yang bergaji puluhan ribu sebulan tetapi bercampur baur dengan riba & syubhah. Nauzubillah.

Oleh itu, jangan sesekali merasa rendah diri. Allah yang sedang menilai kita. Dia sangatlah Adil. Dia sangatlah Telus.

"Barangsiapa yang mengkehendaki kehidupan sekarang (duniawi), maka Kami segerakan baginya di dunia ini apa yang Kami kehendaki bagi orang yang Kami kehendaki. Kemudian, Kami sediakan baginya (di akhirat) neraka Jahannam, dia akan memasukinya dalam keadaan tercela & terusir." [al-Isra' (17) : 18]

Jika kita selalu diingatkan & mengingatkan hal ini, tentulah kita akan lebih berhati-hati dalam menyelusuri kehidupan yang penuh pancaroba ini. Juga akan meruntuhkan keangkuhan yang mula bercambah dalam diri dengan menghakimi hidup orang lain kerana jelas sekali, kita terlupa kita juga sedang diperhati & dinilai oleh Allah.

Tidak kisahlah apa pangkat, darjat, rupa & kedudukan kita. Hakikatnya, kita semua adalah da'ie. Makhluk Allah yang dihidupkan atas muka bumi ini dengan peranan yang besar. Hakikat ini perlulah dipasakkan di dalam hati kita. Sebagai repeating reminder. Supaya kita tahu apa motif kehidupan kita yang sementara ini & ke mana nak di bawa hidup ini sebenarnya.

Tidak salah bercita-cita besar, tetapi biarlah kerja keras kita di dunia ini menjadi imbalan yang baik buat timbangan kita di akhirat kelak. Yang demikian barulah benar kita telah memanfaatkan dunia ini dengan sebaiknya. 
Zuhud bukan beerti kita harus meninggalkan terus dunia, namun, ia beerti mengambil dunia sekadarnya sahaja untuk menjadi ladang bagi menuai hasil di akhirat yang kekal abadi...

Maka, usahalah sekerasnya mulai hari ini lillahi taa'la.. Agar kelak pada saat di Yaumul Mahsyar, jika Allah bertanya kepada kita apa yang telah kita lakukan di dunia yang sementara ini, kita mampu menjawab; "Aku telah berusaha ya Allah.. selebihnya aku hanya bertawakal kepadaMu.."

***

Kejayaan sebenar adalah apabila kita berjaya dengan redha Allah.

Manakala, kegagalan sebenar adalah apabila kita berputus asa daripada rahmat Allah.

"...Sesungguhnya yang berputus asa daripada rahmat Allah hanyalah orang-orang yang kafir." [Yusuf (12) : 87]

Maka, jangan sesekali berputus asa terhadap diri sendiri.
Jauh sekali untuk berputus asa kepada Allah!

We are muslims, brothers & sisters! We'll keep fighting till the end..! InsyaAllah.. :)


Wallahu a'lam..

------------
Notakaki:
# Sesibuk mana pun kehidupan kita di dunia, jangan sekali-kali meninggalkan al-Quran. Bacalah walau sekadar 1 muka surat sehari beserta maknanya.

# Bagi sesiapa yang masih belum mempunyai tafsir al-Quran sendiri, silalah dapatkan segera. Jadikanlah tafsir al-Quran mini sebagai rakan baik kita di dunia ini kerana Allah menurunkan al-Quran sebagai petunjuk, rahmat & penawar bagi para hambaNya. 

# Al-Quran mampu menguatkan hati yang kerapuhan. Al-Quran juga mampu melembutkan hati yang keras.

# Jadilah sahabat baik al-Quran di dunia, mudah-mudahan al-Quran akan menjadi penyelamat kita di akhirat kelak, insyaAllah.



2 comments:

  1. Assalamulaikum, semoge Sis terus di beri kekuatan oleh ALLAH S.W.T, untuk terus mencoret kata2 dakwah...

    ReplyDelete
    Replies
    1. wa'alaikumussalam.. insyaAllah, Allahumma amiin.. jazakillah khairan kaseero atas doa, doa yg sama utk kamu.. :)

      Delete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."