Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Saturday, November 26, 2011

TIPS Awal Sebelum Bertudung Labuh.



Bismillahirrohmanirrohim.

"...Allah memimpin sesiapa yang dikehendakiNya kepada nur hidayahNya itu...." [surah 24; an-Nur; ayat 35]

"Demi sesungguhnya, Kami telah menurunkan ayat-ayat yang menerangkan (hakikat kebenaran dengan berbagai dalil dan bukti); dan Allah memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus." [surah 24; an-Nur; ayat 46]


Saya percaya... ramai sahabat-sahabat, adik-adik mahupun kakak-kakak diluar sana yang hatinya telah lunak & lembut disapa bayu Hidayah Allah swt.

Hidayah ini menyapa tanpa disedari melembutkan hati untuk merapatkan diri kepada Ilahi. Hati terasa teruja melakukan kebaikan, langkah laju diatur ke denai-denai majlis Ilmu, bibir pula tak henti melafazkan zikrullah mahupun doa agar Allah menguatkan hati untuk terus ada di jalan yang benar ini.

Apabila meneliti keadaan penampilan diri yang agar tidak sempurna penutupan auratnya, hati tiba-tiba terasa malu kepada Allah. Mengenangkan kejahilan diri melanggar perintah & garis panduan yang telah ditetapkannya.

Namun, di saat diri mahu berubah. Di celah-celah semangat itu dilunturkan pula dengan tohmahan orang sekeliling. Lantas lantaran dek mengenangkan kata-kata perlian & kejian yang bakal dilalui. Tambahan pula diri dilahirkan dalam keluarga yang 'biasa-biasa' sahaja penerapan & pelaksanaan agamanya, diri terkenang pula apa kata keluarga jika tiba-tiba berubah penampilan kelak.

Situasi ini kerap kali melanda hati, diri yang baru 'dipanggil' pulang oleh Allah. Respon bagi panggilan tersebut ada 3;

1) Ramai di antara hamba-hamba yang diuji Allah ini berjaya melalui liku-liku tersebut dengan sabar & tabah sebelum istiqomah menyarungkan tudung labuh. Alhamdulillah. 

2) Namun, ramai juga yang cuma separuh jalan menyahut panggilan Hidayah Allah lantaran memikirkan kata-kata orang & keluarga. Ramai juga meninggalkan penampilan tudung labuh kerana kembali 'terpikat' dengan keduniaan seperti terpengaruh dengan fesyen, takut tidak bertemu jodoh ataupun kerana menggunakan alasan susah mencari pekerjaan dengan pakaian tersebut.

3) Ramai juga yang langsung tidak mengendahkan ketukan Hidayah Allah yang dibiarkan berlalu sepi. Mereka ini terlepas peluang keemasan apabila menyangka Hidayah itu boleh dibeli dan akan tiba hanya dengan menanti.

Kepada sahabat-sahabat, adik-adik serta kakak-kakak yang dikasihi Allah, pilihlah untuk menjadi hamba-hambaNya seperti respon yang pertama,

Renungilah firman Allah; 
"Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk; (Iaitu) mereka yang percaya dengan yakin bahawa mereka akan menemui Tuhan mereka, dan bahawa mereka akan kembali kepadaNya."  [surah 2; al-Baqarah; ayat 45-46]

Kuatkanlah hati. Kuatkan semangat. Berbanyaklah berdoa kepada Allah agar ditetapkan hati untuk melalui jalanNya ini. Bukan calang-calang orang yang terpilih untuk memiliki HidayahNya. Bersyukurlah jika kita di antara insan-insan yang terpilih untuk kembali kepadaNya.

Sesungguhnya, biar kita hilang 'seseorang' atau 'sesuatu' demi Allah. Daripada demi 'seseorang' & 'sesuatu' kita kehilangan Allah. Nauzubillah.

Apabila hati tiba-tiba terasa insaf dan ingin kembali, namun, masih keliru apa yang perlu dilakukan.

Mungkin TIPS-TIPS AWAL di bawah ini dapat membantu untuk memulakan langkah;

1) Mulakan dengan memakai stokin kaki & sarung lengan. Biasakan memakai baju yang longgar dan melepasi punggung. Tukarkan penggunaan seluar jeans dengan seluar slack yang longgar. 
2) Cari & sertailah kumpulan usrah yang benar. yakni yang diyakini agama naqibah (ketua usrah) nya serta hala tujunya selari dengan syariat. insyaAllah.
3) Perhebatkan langkah menyertai majlis-majlis ilmu seperti kuliah maghrib di Masjid, ceramah-ceramah oleh ustaz/ustazah untuk menambah input dalam diri. InsyaAllah, akan bertemu sahabat-sahabat baru yang baik di majlis-majlis tersebut.
4) Bersungguh-sungguh memperbaiki ibadah-ibadah asas seperti solat, puasa & sebagainya. Boleh rujuk ustaz/ustazah, sahabat2 yang diyakini agama, kitab-kitab fardu ain, ataupun mendengar ceramah-ceramah online (kalau boleh, semua ini seiring).
5) Perbanyakkan membaca al-Quran & mentadabbur (mengkaji) maknanya. Tidak ada gunanya pembacaan al-Quran tanpa memahami isinya. Milikilah tafsir mini sebagai teman karib. :)
6) Apabila hati sudah semakin kuat, yakni semakin sudah yakin dengan pilihan yang dibuat (untuk berhijrah lillahi taala) maka, perlahan-lahanlah mulakan langkah untuk memperbaiki penampilan. Mulalah memakai baju yang menutupi peha (mencecah lutut). Paling popular, T-shirt Muslimah. Namun, hati-hati, seeloknya pastikan ukurannya mencecah lutut kerana T-shirt yang tidak menutupi peha berpotensi untuk menampakkan bentuk peha jika dipakai dengan seluar.
7) Mulakan dengan memakai tudung bidang 50 (melepasi bahu). Pinkan secara lurus. Kalau dipinkan silang ke dada, kelihatan agak singkat. Kebiasaannya muslimah memilih untuk memakai Tudung Turki atau Tudung Mesir.


contoh 1: Tudung Akel bidang 50.


Contoh 2: Pashmina (selendang menutupi dada & tidak jarang)

8) Setelah semakin selesa, mulalah memakai pula tudung Tudung Turki/Mesir/Bawal bidang 60. Tudung jenis ini kebiasaannya labuh mencecah siku & menutupi punggung. Sebenarnya, tudung jenis ini pun sudah memadai untuk menutupi aurat dengan sempurna. Namun, agak renyah sebab penggunaan pin.. ( kalau tudung jahit terus sarung je. lagi mudah kan? ) ^ ^


contoh Tudung Turki jenama Akel bidang 60.


9) Dalam pada berusaha menjaga penampilan, langkah 1-6 masih dipraktikkan dengan istiqomah (berterusan). Iman ditingkatkan, ibadah diperhebatkan, akhlak dipermantapkan. insyaAllah.
10) Kemudian, setelah bersedia untuk memakai tudung labuh berjahit, bolehlah mulakan dengan berselang-seli dengan Tudung Turki/Mesir bidang 60 sebelum istiqomah dengan tudung labuh berjahit. Serta kurangkan pemakaian seluar serta mengantikannya dengan memakai kain. Memakai t-shirt muslimah dengan kain tidak ada salahnya. Bahkan lebih manis dipandang mata. :)


contoh tudung labuh berjahit. Kain jenis koshibo.


CUBALAH dahulu. InsyaAllah, sekali cuba... masyaAllah, perasaan kali pertama itu terasa sangat indah sekali. Terasa sangat selamat, terasa Allah berasa sangat dekat. Subhanallah! Jika kita ikhlas berhijrah & memakai tudung labuh dengan niat untuk mendapatkan keredhaan Allah, insyaAllah Dia akan membantu mempermudahi jalan kita. 

Secara tidak langsung, akhlak kita juga seakan terpelihara sebagaimana terpeliharanya maruah kita dilindungi kelabuhan tudung yang dipakai. Kita akan jadi segan untuk berakhlak buruk & melakukan kemungkaran.  

Sebenarnya, boleh sahaja kalau hendak terus memakai tudung labuh. Namun, seeloknya, kita mulakan secara perlahan-lahan agar diri lebih yakin & bersedia. Tidaklah nanti perubahan itu terlalu drastik & takut diri tidak dapat mengadaptasi dengan penampilan baru itu. Cepat atau lambat, yang penting, perubahan itu ikhlas & istiqomah. Jadi, banyak-banyakkan berdoa agar Allah mempermudahi jalan kita untuk meraih redhaNya.  

Firman Allah swt; "Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka...." [surah 24, an-Nur; ayat 31]

Kuatkan semangat, kuatkan semangat, kuatkan semangat serta mohonlah kekuatan daripada Allah. Sesungguhnya tidak salah berubah jika perubahan itu ke arah kebaikan & mendekatkan jarak kita dengan Allah. Yakinlah bahawa Allah akan menganjarkan kebaikan kepada kita di atas pengorbanan kita.


Firman Allah swt;
"Dan barangsiapa yang berjihad (melakukan kebaikan), maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sungguh, Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam." [surah 29; al-ankabut; ayat 6]




"Sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan & seindah hiasan dunia adalah wanita yang solehah." [HR Bukhari & Muslim]


Teruskan mencari, belajar & berusaha untuk memperbaiki diri. :) Sesungguhnya, kalian bukanlah keseorangan kerana Allah sentiasa ada di sisi kita.

Semoga bermanfaat, insyaAllah.

Salam Maal Hijrah. Taqaballahu minni wa minkum. 
 
Wallahu 'alam.


p/s: Melalui pengalaman saya sendiri, saya mencintai penghijrahan saya. Malah, tips-tips di atas ditulis berdasarkan pengalaman saya sendiri. Alhamdulillah, saya bersyukur Allah kuatkan hati saya untuk tetap di jalan ini. Malah, sejak penghijrahan saya, saya berasa lebih tenang & gembira. 

Tak dinafikan memang banyak ujian & cabaran. Namun, Alhamdulillah, Allah mempermudahi semua kesukaran yang saya hadapi.  

Saya berdoa semoga Allah menggerak & menguatkan hati sahabat2, adik2 serta kakak2 yang saya kasihi kerana Allah semua untuk turut berhijrah kembali kepadaNya & merasai keindahan rasa menutup aurat dengan sempurna. insyaAllah :) 


Ikuti sambungan entri ini di sini: CABARAN BAGI BEGINNERS TUDUNG LABUH

Rajin-rajinlah juga membaca catatan ini:  KELEBIHAN BERTUDUNG LABUH




Thursday, November 17, 2011

Kasarnya Tapak Tangan Ibu.



"Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa." [surah al-Isra’ 17: ayat 23]

Pada suatu pagi, berlangsungnya satu temuduga di sebuah syarikat yang terkenal di Malaysia.

Semasa menemuduga salah seorang calon, pengurus syarikat tersebut mendapati seorang calon temuduga perempuan mempunyai rekod akademik yang baik sejak dari sekolah menengah sehinggalah sepanjang pengajiannya di universiti. Setiap semester calon tersebut memperoleh keputusan yang cemerlang.
Pengurus itu bertanya, "Adakah awak mendapat apa-apa biasiswa di sekolah atau universiti?" 
Gadis itu menjawab "Tidak."

Pengurus itu  bertanya lagi, "Jadi  adakah ayah awak yang membayar semua yuran pengajian?"
 
Gadis itu menjawab,"Ayah saya telah  meninggal ketika saya berusia satu tahun, ibu saya yang telah membayar semua yuran pengajian saya."

Pengurus meneruskan soalannya, "Ibu awak bekerja di mana?" Gadis itu menjawab,"Ibu saya bekerja sebagai pencuci kain dari rumah ke rumah."

Pengurus meminta gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya dan gadis tersebut menunjukkan tapak tangannya yang halus seperti tidak pernah membuat kerja berat.
Pengurus berasa hairan lalu bertanya lagi, "Awak tidak pernah membantu ibu awak mencuci kain dahulu?"

Gadis itu menjawab, "Tidak pernah. Ibu selalu berpesan supaya saya belajar bersungguh-sungguh untuk berjaya dalam kehidupan. Tidak pernah dia meminta saya untuk menolongnya membasuh pakaian. Lagipun ibu membasuh lebih cepat daripada saya."

Pengurus tersebut memberitahu dia mempunyai satu permintaan, dia menyuruh gadis tersebut membantu ibunya membersihkan tangan apabila gadis itu pulang ke rumah nanti dan berjumpa semula dengannya keesokan harinya.

Gadis itu merasakan peluang untuk memperoleh jawatan tersebut semakin tinggi. Dia pulang ke rumah dengan gembira untuk membersikan tangan ibunya.

Di rumah, ibunya berasa pelik tetapi tersentuh dengan keinginan anaknya membersihkan tangannya sambil menghulurkan kedua-dua belah tapak tangan kepada anaknya.
Gadis itu membersihkan tangan ibunya perlahan-lahan. Tanpa disedari air matanya mengalir ketika itu. Inilah kali pertama dia mendapati tangan ibunya begitu kasar dan terdapat banyak calar di tangan ibunya. Kadangkala ibunya mengaduh kesakitan apabila terkena air di tangannya.

Lama-kelamaan  gadis itu mula menyedari bahawa tangan ini lah yang bersusah payah membasuh kain setiap hari untuk mendapatkan sedikit wang membiayai pengajiannya di sekolah dan universiti.

Calar-calar itulah harga yang perlu ibunya bayar demi kejayaannya  yang cemerlang dan juga demi masa depan seorang anak. Setelah selesai membersihkan tangan ibunya, gadis itu secara senyap-senyap membasuh semua pakaian ibunya yang masih tertinggal.

Keesokkan harinya, gadis itu kembali semula ke pejabat.
Pengurus tersebut menyedari air mata bergenang di mata gadis tersebut lalu dia bertanya : "Apa yang telah awak buat dan pelajari semalam di rumah?"

Gadis itu menjawab : "Saya membersihkan tangan ibu saya dan membasuh semua baki pakaian yang masih tertinggal."

Pengurus itu bertanya lagi, "Apa yang anda rasa?"

Gadis itu menjawab : "Pertama, saya sedar apa itu pengorbanan seorang ibu, tanpa ibu, tiada kejayaan saya pada hari ini. Kedua, dengan bekerja bersama dengan ibu saya sahaja saya dapat belajar dan mengerti  betapa sukarnya mendapat sedikit wang untuk hidup. Ketiga, saya tahu betapa pentingnya hubungan kekeluargaan."

Pengurus itu tersenyum lalu berkata, "Ini adalah apa yang saya mahukan, saya ingin mencari pekerja yang dapat menghargai bantuan orang lain, orang yang tahu penderitaan orang lain dan orang yang tidak akan meletakkan wang sebagai perkara utama dalam hidupnya. Awak diterima untuk bekerja di sini."

Gadis itu bekerja dengan tekun dan menerima rasa hormat dari rakan-rakan sekerjanya. Prestasi syarikat juga semakin meningkat.

Pengajaran dari cerita ini adalah kita hendaklah menghargai jasa ibu bapa yang banyak bersusah payah demi masa depan kita sebagai anak-anak.

Ringan-ringankan diri untuk membantu ibu atau ayah melakukan kerja-kerja di rumah. Dari situ, kita akan belajar untuk menghargai kesusahan dan keperitan yang dialami oleh mereka.

"Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibubapa." [al-Nisa’ 4:36]

"Katakanlah: "Marilah, supaya aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibubapa.[al-An’aam 6:151]


Saturday, November 5, 2011

Panduan Solat Sunat Aidilfitri & Aidiladha.


PANDUAN SOLAT SUNAT AIDIL FITRI & AIDIL ADHA.



Solat Sunat Hari Raya ada 2; iaitu Hari Raya Fitrah pada 1 syawal & Aidil Adha pada 10 zulhijjah. 

Waktu solat ini dimulai dari terbit matahari sampai tergelincirnya. Hukum bagi solat hari raya ini adalah sunat muakkad bagi lelaki & wanita, bermukim atau musafir.

Cara mengerjakannya:

1) Setibanya di masjid, sebelum duduk disunatkan untuk menunaikan solat sunat Tahiyatul Masjid sebanyak 2 rakaat. 

Lafaz niat solat Tahiyatul Masjid:


 



2) Kemudian duduklah bertakbir hingga tiba waktu solat sunat Aidil Fitri berjemaah. Lafaz niat solat sunat Aidil Fitri ialah; 


Ertinya; "Aku solat sunat Aidil Fitri 2 rakaat (makmum/imam) kerana Allah taala"


Lafaz niat solat sunat Aidil Adha pula ialah;

 

3) Pada rakaat pertama sesudah takbiratul ihram, bacalah doa iftitah, kemudian bertakbir (Allahu Akbar) sebanyak 7 kali & setiap habis takbir disunatkan membaca:



4) [Solat Bersendirian] Setelah bertakbir 7 kali & membaca tasbih tersebut. kemudian bacalah Al-Fatihah & disambungkan dengan bacaan surah yang disukai, yang lebih utama membaca surah al-Qaf atau surah al-A'laa (Sabbihisma Rabbikal)

5) [Solat Berjemaah] Setelah bertakbir 7 kali & membaca tasbih tersebut, dengarkanlah bacaan daripada imam.

6) Pada rakaat ke-2, bertakbirlah sebanyak 5 kali & setiap takbir disunatkan membaca tasbih tersebut seperti pada rakaat pertama tadi. Kemudian bacalah Al-Fatihah & diteruskan dengan bacaan surah yang kita sukai (jika berjemaah, sekadar mendengar bacaan imam). Lebih utama adalah membaca surah al-Ghasyiah.

7) Khutbah dilakukan sesudah solat sunat hari raya 2 rakaat. Iaitu pada khutbah pertama takbir dibaca 9 kali & pada khutbah ke-2 takbir dibaca 7 kali & pembacaannya adalah berturut-turut.

8) Hendaklah dalam khutbah Aidil Fitri berisi penerangan tentang zakat fitrah & pada Hari Raya Haji berisi penerangan tentang ibadah haji & hukum korban.

Perkara-perkara yang dilakukan sebelum solat hari raya.

1) Disunatkan mandi & berhias dengan pakaian yang terbaik & bau-bauan yang diharuskan.
2) Sunat makan sebelum solat sunat Aildil Fitri & sunat makan selepas solat sunat bagi Hari Raya Aidil Adha.
3) Pergi mengerjakan solat & pulang dengan menggunakan jalan yang berlainan.
4) Membaca takbir.
5) Pada Hari Raya Aidil Fitri disunatkan bertakbir bermula dari terbenam matahari sehingga imam berdiri untuk mengerjakan solat sunat Hari Raya. 
6) Pada Hari Raya Haji disunatkan bertakbir dimulai dari Subuh pada Hari Arafah (9 Zulhijjah) pada tiap-tiap solat Fardhu yang 5 sehingga waktu asar 13 Zulhijjah.
7) Disunatkan juga berpuasa pada hari Arafah (9 Zulhijjah) kerana sabda Nabi SAW menyebutkan bahawa;
"Puasa itu dapat menebus dosa setahun yang telah berlalu & setahun yang akan datang." [HR Muslim]

 
Pada Hari Raya Aidil Fitri & Aidil Adha digalakkan kanak-kanak, orang tua & muda supaya menunaikannya, bahkan wanita-wanita yang sedang haid pun dianjurkan keluar ke padang sekalipun mereka tidak ikut bersolat.


Nabi SAW bersabda;


Ertinya; "Daripada Ummi 'Athiyah katanya; "Kami diperintahkan pergi solat hari raya, bahkan anak-anak gadis keluar daripada pingitannya. Juga perempuan-perempuan yang sedang haid tetapi mereka hanya berdiri sahaja di belakang orang ramai & turut takbir & berdoa bersama-sama & mereka mengharapkan beroleh keberkatan & kesucian hari itu."

Akhirul kalam, selamat menyambut Hari Raya Aidil Adha sambil menghayati sebenar pengorbanan. Teringat kata-kata cetusan Akhi Hilal Asyraf di laman Facebooknya;

"Kalau kisah Nabi Ibrahim a.s diambil sekadar cerita, & Aidiladha dikira sebagai pesta tahunan & cuti am semata, maka rugilah para hamba, tidak memahami apa Tuhan telah berikan buat mereka.

Tanpa pengorbanan, mustahil kan bertemu kejayaan."

Taqaballahu minna wa minkum..

Allahu 'alam.

SUMBER: KITAB ASAS-ASAS FARDHU AIN-USTAZ SULAIMAN ENDUT


p/s: Anda digalakkan untuk "share" kepada sahabat-sahabat yang lain. Jom mengimarahkan masjid di pagi 10 Zulhijjah nanti! InsyaAllah. :) 


Tuesday, November 1, 2011

Pandanglah Kehidupan Dari Sudut Pandangan Allah.



"Kenapa muka akak nampak lain..?" 

"Apa yang lain? hehe. Sama jek akak rasa.." balasku dalam sisa sengihan.

"Muka akak nampak tak ceria. Mata akak nampak sedih..." jawabnya sambil merenung wajahku.

Aku hanya kebisuan. Tak menyangka langsung, itu yang akan keluar daripada mulutnya. Sangat jujur.

"Stress FYP ke?" soalnya.

Seketika kemudian, hanya senyuman ku ukir tanda balasan.


***************


Bukanlah layak aku, sebagai hamba, sekadar hamba mahu merungut kepada Allah atas aturanNya, atas ketentuanNya, atas berat ujianNya buatku.

Siapalah aku mahu Allah mengaturkan semudah-mudah kehidupan buatku?

Tanpa ujian, hanya nikmat, nikmat, nikmat... Bodoh sungguh aku, bukankah ujian itu juga adalah nikmat daripada Allah?

Aku mengatakan tidak cukup 24 jam masa buatku. Aku terkejar-kejar kuliah, lab-work, report, test, quiz, FYP lagi, usrah lagi, mahu menyaingi sahabat-sahabat lain ke majlis ilmu juga. Ya Allah, 24 jam tak cukup! 

Konon...

Bagaimana pula dengan Rasulullah saw dahulu? Baginda adalah Rasulullah SAW, pemimpin negara, imam, ketua perang, suami, ayah, datuk, itu tidak termasuk lagi perihal melayan persoalan dan aduan sahabat-sahabat serta umatnya kala itu. 

Lalu, mengapa Rasulullah SAW yang lebih, lebih, lebih, sangat, sangat, sangat jauh lebih sibuk dari aku, dapat menyempurnakan semua urusannya dalam 24 jam? Malah masih sempat bertahajjud tanpa gagal!

Maka, apakah alasan aku?

Adakah aku dengan jahilnya menjawab;

"Itu baginda Rasulullah SAW.. aku ni hanya manusia akhir zaman..."

Sepatutnya dengan kesedaran bahawa aku ini adalah manusia akhir zamanlah aku lebih laju mengatur langkah lariku mengejar redha Allah. Hal ini kerana aku ini manusia akhir zaman. Manusia yang sangat jauh dari jaminan masuk syurga Allah.

Lalu, menjawablah lagi...

Aku letih, Aku penat. 

Ingatlah, ada suatu ketikanya, Fatimah az-Zahra, puteri kesayangan Rasulullah SAW mengadu kepada baginda bahawa dia berasa sangat letih dan penat, serta tidak mampu untuk menguruskan rumah tangganya seorang diri. Dia meminta ayahandanya baginda Rasul untuk menghadiahinya seorang hamba suruhan untuk membantunya melakukan kerja-kerja rumah.

Lalu; jawab Rasulullah SAW;

"Wahai Fatimah! mahukah engkau aku beritahu tentang perkara yang jauh lebih baik daripada orang suruhan yang kau minta itu?"

"Iaitu..."

"Berzikirlah kamu dengan menyebut Subhanallah, Alhamdulillah, Allahuakbar sebanyak 33 kali selepas solatmu. InsyaAllah, Allah akan menghantar penolong yang lebih baik daripada orang suruhan yang kau minta itu." 

:)

Manusia takkan dapat menolong kita. Manusia takkan faham apa yang kita fikir dan rasa. 

Hasbunallah wa ni'mal wakiil.. Cukuplah Allah sebagai penolong & pelindungku. Sesungguhnya, Dialah sebaik-baik penolong & pelindung. 

Fatimah Az-Zahra, wanita jaminan syurga menghadapi kesusahan dalam kehidupannya. Bukan senang-senang, bukan calang-calang ujian yang Allah timpakan padanya.

 Itu puteri kesayangan nabi.

Sedarlah mana tahap dirimu wahai diri.. Seharusnya engkau harus mengingati & berzikir kepada Allah berkali ganda lebih banyak daripada Fatimah puteri Nabi..


Ingatlah, sesungguhnya 'alaa bizikrillahi tatmainnal qulub. "Hanya dengan mengingati Allah-lah bahawa hati akan menjadi tenang." [Ar-Ra'du: 28]

Berhentilah mengeluh, merungut dan merungut.. Selalu muhasabah diri, bila mana iman terasa rapuh (kita insan lemah, iman naik & turun) selalulah ingat, ketentuan Allah adalah yang terbaik. Dia tahu apa yang terbaik buat kita.




****************

Life seems so hard, right? Frustrated, tired, lose hope. Tak siapa yang mengerti kesusahan & kepayahan kita. Itu yang kita fikir.

Mari kita luangkan masa, kita muhasabah sebentar.
Segala apa yang dilakukan selama ini untuk siapa? Masihkah untuk Allah & keredhaanNya?

Mari tetapkan semula niat & matlamat. :)
Jangan sedih & berputus harapan, sesungguhnya Allah sentiasa bersama-sama dgn hamba2 yang selalu mengingatiNya.."

Firman Allah;
"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu mengenai Aku maka (beritahu kepada mereka): sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa hampir (kepada mereka); Aku perkenankan permohonan orang yang berdoa apabila ia berdoa kepadaKu. Maka hendaklah mereka menyahut seruanku (dengan mematuhi perintahKu), dan hendaklah mereka beriman kepadaKu supaya mereka menjadi baik serta betul." [2:186]
 
Coretan ini hanyalahtazkirah & peringatan buat diri sendiri terutamanya. Ambillah jika bermanfaat, tinggalkanlah jika tidak.

Mudah-mudahan bermanfaat.

Allahu 'alam.