Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)
TINTA PENULIS.
Dengan Nama Allah,
Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Monday, December 31, 2012
Kisah Sekeping Hati.
Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
InsyaAllah, saya ingin mulakan entri ini dengan sebuah kisah yang menarik untuk dikongsikan, untuk kita muhasabah bersama-sama, insyaAllah.
Inilah dia, kisah sekeping hati...
Suatu ketika, seorang pemuda yang tampan berdiri di tengah-tengah kota & mendakwa bahawa dia memiliki sekeping hati yang paling cantik. Lalu, diangkat hatinya setinggi yang boleh agar kilauan dari hati yang indah itu dapat dilihat oleh orang lain yang berada di sekitarnya.
Tersebar kekaguman di bibir orang ramai yang memandangnya. Sememangnya hati pemuda itu tiada cacat celanya. Tidak carik walau sedikit pun. Permukaannya licin sempurna. Warnanya juga segar & menyerlah pesona seorang anak muda.
Pemuda tampan itu mulai rasa bangga dengan pujian yang diterimanya. Sorakannya semakin kuat bagi menguar-uarkan betapa indahnya sekeping hati yang dimilikinya.
Tiba-tiba, di tengah-tengah keriuhan itu, muncul seorang tua. Langkahnya perlahan menuju ke arah pemuda yang tampan itu. Lagaknya seolah-olah dia mahu membicarakan sesuatu.
"Wahai anak muda, mengapakah kulihat hatimu hampir tidak seindah hatiku?" tanya orang tua itu dengan suara yang rendah serta agak lemah tetapi masih berkeyakinan.
Orang ramai & pemuda itu segera mengerumuni sekeliling orang tua itu.
Mereka mendengar degup yang kuat tercetus daripada hatinya, namun hati itu dipenuhi luka. Di satu sisi, kelihatan permukaannya bertampal-tampal. Ada potongan hati yang diambil & potongan yang lain dimasukkan ke dalamnya, tetapi ia kelihatan tidak berpadanan. Pada suatu sudut yang lain pula terdapat beberapa tanda patah. Bahkan di beberapa tempat terdapat lubang yang dalam, di mana seluruh bahagian permukaannya telah hilang.
Melihat hal itu, orang ramai tadi saling berpandangan sesama sendiri.
"Bagaimana orang tua ini boleh mengatakan bahawa hatinya lebih indah?" fikir mereka. Sementara itu, pemuda tampan tadi pun ketawa.
"Tentu engkau bergurau, wahai orang tua..." katanya.
"Kalau dibandingkan hatimu dengan hatiku, apa yang aku ada ini adalah sangat sempurna, sedangkan kepunyaanmu begitu berantakan dengan bekas-bekas luka & air mata." lanjutnya lagi.
"Ya, memang benar..." ulas si tua penuh kesabaran.
"Kepunyaanmu adalah sempurna, namun aku tidak sesekali akan menukarnya dengan hatimu. Andai saja kau lihat wahai anak muda, setiap bekas luka di hatiku ini mewakili setiap orang yang telah aku berikan cintaku buat mereka. Aku merobek sepotong hatiku & memberikannya kepada mereka, & setiap kali itu jugalah mereka akan memberiku sepotong dari hati mereka untuk mengisi ruang kosong di hatiku tadi. Namun, oleh kerana potongannya tidak tepat, maka ia menyebabkan ketidaksempurnaannya, bahkan ia kelihatan kasar & tidak rata."
"Namun, aku tetap menghargainya, kerana pemberian mereka mengingatkanku pada cinta yang terbina bersama antara kami." Panjang lebar bicara si orang tua. Si pemuda tampan tadi terpaku mendengar bicaranya.
"Kadang-kadang aku telah memberikan potongan hatiku tetapi orang yang menerimanya tidak membalasinya dengan potongan daripada hatinya untuk diberikan kepadaku. Inilah yang mengakibatkan wujudnya lubang-lubang ini. Kau tahu wahai anak muda, sesungguhnya memberikan cinta adalah bermakna memberikan peluang & kesempatan. Walaupun bekas robekan itu menyakitkan, ia tetap akan terbuka lantas mengingatkanku tentang cinta yang masih aku miliki untuk mereka. Dan aku berharap, suatu hari nanti, dengan izinNya mereka akan kembali & mengisi lompong-lompong kosong yang sekian lama kutunggu-tunggu agar ia diisi.."
Pemuda tampan terdiam.
"Hm... sekarang.. fahamkah engkau tentang kecantikan sejati bagi sekeping hati?" si tua mengakhiri kata-katanya dengan persoalan.
Pemuda tampan itu terus terdiam. Dia menundukkan kepala dengan air matanya mengalir di pipinya. Dia menghampiri orang tua, mengambil hatinya yang sempurna, muda & cantik itu, lalu merobek keluar satu potongan daripadanya. Dia menawarkan potongan itu kepada orang tua dengan tangan gementar.
Si tua menerima pemberian tersebut lalu meletakkannya pada hatinya & kemudian mengambil pula sepotong dari bekas luka lama di hatinya & menempatkannya untuk menutup luka di hati pemuda tersebut.
Sungguhpun ia sesuai... namun, ia tidak sempurna kerana ada beberapa kesan yang patah.
Orang muda itu menatap hatinya yang tidak lagi sempurna tetapi kini lebih indah daripada sebelumnya, lantaran cinta dari hati orang tua itu kini mengalir kepada hatinya.
Mereka bergandingan & berjalan bersama meninggalkan orang ramai yang terus terpaku menyaksikan peristiwa yang menginsafkan itu...
-------------------
Hati tersentuh tatkala membaca kisah ini.
Betapa Allah tahu sebenarnya apabila Dia Menguji kita, ujian itu akan meretakkan hati kita, mematahkan hati kita & melukakan hati kita. Namun, Allah tetap menghadirkan pelbagai ujian yang kadangkala kita rasa kita tidak mampu untuk menghadapinya kala itu, tetapi Allah tetap bantu kita melepasi waktu-waktu kritikal itu kan?
Hati yang indah & sempurna bukanlah hati yang tak pernah retak, kecewa, sedih, pedih & sekadar diisi bahagia saja. Sebaliknya, hati yang paling indah ialah apabila melalui semua keretakan, kepedihan, kekecewaan & kesedihan itu dengan hati yang penuh syukur, sabar & bahagia..
Bila ditanya; "apakah kau tidak sedih & berduka? Apakah kau tidak merasa letih & kecewa?" Hati yang indah itu menjawab dalam senyuman; "ya, aku sungguh letih & sedih. Namun, aku bersyukur atas apa yang Allah kurniakan kepadaku. Dunia ini hanya sementara. Aku mahu menjaga hatiku yang sekeping ini agar terus dipenuhi syukur, redha & sabar, agar boleh ku berbahagia di akhirat sana.."
Allahuakbar....
Betapa Allah tahu sebenarnya apabila Dia Menguji kita, ujian itu akan meretakkan hati kita, mematahkan hati kita & melukakan hati kita. Namun, Allah tetap menghadirkan pelbagai ujian yang kadangkala kita rasa kita tidak mampu untuk menghadapinya kala itu, tetapi Allah tetap bantu kita melepasi waktu-waktu kritikal itu kan?
Subhanallah... ya Allah... baiknya Allah...
Allah selalu menemani kita. Allah-lah yang paling setia menemani kita. Tak kiralah waktu kita gembira, sedih, menangis, stress, sakit, pedih, senang, susah. Allah selalu ada!
Malangnya, kita selalu lupa kepadaNya...
Apabila kita sangat hendakkan sesuatu, sangat cintakan seseorang & sangat-sangat mahu memilikinya, tetapi Allah tidak beri yang kita impikan itu kepada kita... kita selalu merasakan bahawa Allah tidak sayang kepada kita & telah menzalimi kita.
Ya, ada masanya pasti kita akan mempersoalkan juga kenapa Allah buat begitu kepada kita? Kita bertanya apa salah kita kepada Allah sampaikan Allah tidak memakbulkan doa-doa kita..
"Ya Allah... kenapa dia boleh berjaya sedangkan dia jahat. Dia berzina, dia bercouple, tiap-tiap malam clubbing, perangai buruk. Kenapa dia boleh dapat apa yang dia hendak? Kenapa aku yang selalu ikut arahanMu ini tidak Engkau pedulikan doanya..?"
"Allah... Kenapa Kau sayang dia..."
"...Kenapa Kau menzalimi aku..?"
Ya Allah... buruknya sangkaan kita kepada Allah...
Bukankah Allah itu menurut apa sangkaan kita terhadapNya?
Bukannya Allah tidak tahu hati kita remuk. Allah tahu hati kita patah, sakit & kecewa. Tetapi oleh kerana Dia sangat Mengetahui bahawa hati-hati yang sedemikianlah yang mudah merapat kepadaNya, mengadu, menangis, berdoa & memohon pengharapan kepadaNya... maka, kerana itulah Dia memikulkan bebanan ujian itu kepada kita.
Itupun... ujian yang sekadar berpadanan dengan kemampuan kita untuk memikulnya.. Subhanallah!
Allah Mahu Dengar rayuan, permohonan, doa & tangisan kita...
Boleh jadi doa & permintaan kita itu ditangguhkan olehNya kerana Allah Tahu, jika Dia Memberikan kesemua kehendak kita di dunia ini, hati kita akan dipanah asmara cinta dunia. Kita akan menjadi terlalu cinta kepada dunia hingga menjadikan hati kita buta dalam memandang akhirat yang lebih panjang, kekal & abadi.
Hati yang sering dilukai yang sembuh dengan dirawat oleh zikrullah yang istiqomah kepada Ilahi, merupakan hati yang indah, bercahaya dengan kasih & sayang daripada Allah. Ternyata walaupun parut luka masih ada, namun, dengan adanya sifat sabar, redha & memaafkan menjadi penawar buat kesan luka & memudarkan parut yang masih berbisa. Sifat-sifat mahmudah ini menjadi penawar bagi mengelakkan hati diserang virus dendam, iri hati & tidak redha yang membawa kepada derita berpanjangan...
Seperti yang dititipkan dalam pembacaan buku Cinta 3 Rasa; Andai satu ketika kita tidak mengenal erti kehancuran, kita tidak akan pernah tahu apa yang membuatkan kita terus utuh & teguh untuk menempuh hari-hari yang seterusnya.
Maka, bersyukurlah apabila dikurniakan hati yang sering terluka kerana dengannya kita belajar untuk menjadi lebih mengerti, memahami & menghargai... :)
----------------------
Alhamdulillah, saya baru selesai membaca buku 'Indahnya Hidup Tanpa Derita' tulisan Ustazah Laila Aniza. Tanpa disedari, mata saya banyak kali juga berair membaca 40 kisah benar dugaan yang dilalui (yang diceritakan kepada Ustazah Laila sendiri).
Betapa saya menginsafi diri bahawa hidup saya terlalu bernasib baik jika hendak dibandingkan dengan banyak kisah di dalam buku tersebut. Betapa tidak bersyukurnya saya selama ini... Astaghfirullahal adzhim..
Ada yang menjadi mangsa sumbang mahram bapa & abang kandung sendiri hingga melahirkan 3 orang anak luar nikah. MasyaAllah... nauzubillahi min zaliq..
Banyak kisah di dalam buku ini yang kadangkala saya tak pernah terfikir pun akan berlaku. Dengan izin Allah, Allah uji mereka. Subhanallah.. betapa besar dugaan mereka.
Begitulah... jika kita selalu memandang & mencari kekurangan di dalam diri & hidup kita, kita akan selalu fokus kepada kekurangan-kekurangan itu. Sikap yang begini akan menyebabkan kita akan menjadi kurang bersyukur, kurang bersabar & kurang gembira.
Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam;
"Lihatlah orang yang di bawah kamu & janganlah melihat orang yang di atas kamu kerana dengan ( melihat di bawah) lebih mudah untuk kamu tidak meremehkan nikmat Allah yang dilimpahkanNya kepada kamu." [HR Bukhari & Muslim]
Di dalam hal-hal keduniaan, berkisar tentang kelebihan pangkat, material, rupa paras & harta, kita disarankan agar melihat orang yang lebih bawah kedudukannya daripada kita. Hal ini akan menyebabkan kita menjadi lebih bersyukur, bersabar & gembira atas semua nikmat rezeki yang telah Allah berikan & pinjamkan kepada kita, untuk membantu kita menjalankan tugas kita sebagai khalifah atas muka bumiNya ini..
Manakala, di dalam hal-hal berkaitan akhirat, seperti mencari ilmu, membuat amalan-amalan sunat, menjaga amalan-amalan wajib & lain-lain, kita sangat digalakkan untuk melihat kepada orang yang lebih atas daripada kita. Jika kita membandingkan amalan akhirat kita yang masih sedikit dengan orang-orang soleh & solehah di sekeliling kita, kita akan menjadi lebih takut, lebih bersungguh-sungguh mengumpulkan bekalan akhirat kita. Kita akan lebih bersemangat dalam berbuat kebaikan. InsyaAllah..
Sebagai contoh, jika kita kurang senang dengan wajah kita yang tidak berapa cantik, berjerawat batu, sudahlah hitam pula & kita bandingkan rupa kita dengan artis-artis cantik, kita akan rasa stress dengan keadaan diri kita.
Bagaimana pula jika kita bandingkan diri kita dengan orang yang Allah takdirkan buta semenjak lahir tetapi hatinya terang & dapat menghafal hadis serta al-Quran?
Ya, kita akan jadi malu kepada Allah kerana kita telah Allah kurniakan sepasang mata yang cantik, tetapi jarang sekali digunakan untuk membaca al-Quran... apatah lagi untuk menghafalnya... ya Allah, malunya!
Buatlah perbandingan secara betul & adil..
Maka, kita akan dapat melihat dengan menggunakan mata hati yang masih terang, walau dua biji mata yang Allah letakkan di wajah ini telah pun semakin rabun.. insyaAllah..
----------------------
Saya pernah tanya ustazah & juga naqibah tentang bagaimana mahu memastikan Allah sentiasa di dalam hati. Jawapannya dengan menjaga hak Allah. Paling utama, jaga solat.
Selagi mendirikan solat terasa sebagai satu beban, selagi itulah hidup akan terasa bagai 1 bebanan. Hijrahkanlah solat, insyaAllah akan hijrahlah seluruh hidup.
Check semula bagaimana akhlak kita pada solat kita. Solat kita adalah hak Allah. Jagalah hak Allah, Allah akan jaga hak kita. InsyaAllah..
# Jika kita sendiri acuh tak acuh mendirikan solat.. mengapa bising-bising bila Allah acuh tak acuh sahaja dalam mengurniakan nikmat kepada kita?
# Jika kita sendiri sengaja melewat-lewatkan solat.. mengapa berani mempersoal bila Allah melewatkan kedatangan rezeki buat kita..?
# Jika kita sendiri tidak ambil berat tentang kualiti solat kita, kenapa berkira pula dengan Allah untuk ambil berat tentang perihal kita?
# Jika kita tidak menjaga hak Allah... bagaimana Allah hendak menjaga hak kita...?
Maka, jagalah Allah... Allah akan menjagamu...
Disebutkan di dalam sebuah hadis yang masyhur; dikatakan bahawa ada sekeping daging yang menjadi raja kepada seluruh jasad. Apabila baik daging itu, maka baiklah perbuatan jasad. Jika buruk kondisi daging itu, maka begitu jugalah seluruh jasad. Sekeping daging itulah namanya; HATI.
Maka, mari sama-sama menjaga hati kita. Isikan hati kita dengan perkara yang baik-baik. Suburkan hati kita dengan keimanan agar mewangi taman hati kita dengan haruman ketakwaan, bunga-bungaan akhlak mulia, buah-buahan keberkatan. InsyaAllah.. :)
Apabila Allah diletakkan di dalam hati, Allah akan menjaganya dengan sebaiknya... Maka, carilah Allah & cintailah Allah dengan mengikuti semua yang diperintahkan & menjauhi semua laranganNya. insyaAllah..
----------------------------
InsyaAllah... ini adalah entri terakhir bagi tahun masihi 2012. Mungkin juga entri terakhir yang dicoretkan di dalam teratak maya ini. Mohon maaf atas semua kekurangan, silap & salah saya ya...
Jika Allah izinkan untuk saya menghirup udara tahun 2013, harapan & doa saya;
Semoga dengan bertambah dekatnya diri dengan kematian, semakin bertambah pula dekatnya hati ini dengan Allah, bertambah cinta dengan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, menjadi hamba, umat, anak, adik, kakak, cucu, sahabat, bakal isteri & bakal menantu yang lebih solehah, insyaAllah... :)
Mudah-mudahan kehidupan yang direncana & bakal dilayari selepas ini akan lebih diredhai & diberkati oleh Allah hendaknya... amiin..
Semoga Allah meredhai sepanjang kehidupan hambaNya yang hina, lemah & keji ini... Allahumma amiin..
Mohon doa daripada semua.. InsyaAllah.
Doa saya juga selalu bersama kalian.
Saya akhiri entri ini dengan firman Allah SWT;
Saya akhiri entri ini dengan firman Allah SWT;
"Dan sesungguhnya Kami benar-benar akan Menguji kamu agar Kami Mengetahui orang-orang yang berjihad & bersabar di antara kamu, & agar Kami Menyatakan (baik buruknya) perihal kamu." [Muhammad, 47 : 31]
Allahu a'lam..
---------------
p/s kepada diri sendiri: Kadangkala, kita merasakan dugaan kitalah yang paling hebat. Padahal ramai lagi orang yang menempuhi dugaan yang jauh lebih hebat daripada kita..
Banyakkanlah bersyukur, & kurangkanlah merungut...
Labels:
catatan hati,
muhasabah diri,
tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
terima kasih ukhti atas entry yg sngt terkesan buat diri ana, sesungguhnya Allah amat mengetahui akan keadaan HambaNya,, ana sgt bersyukur kerana Allah menghadirkan ungkapan yang ana nanti2kan untuk tatapan hati ini.. Allah pertemukan ana dengan bicara ukhti.. Subhanallah, Alhamdulillah..
ReplyDeletesmoga ukhti dipermudahkan segala urusan dan mendapat keberkatan dr Allah~
Alhamdulillah.. ana sgt2 bersyukur apabila setiap pembaca yg singgah di blog ini mendapat manfaat drp perkongsian ana.. Alhamdulillah... doakan ana terus istiqomah menulis krn Allah, insyaAllah..
DeleteAllahumma amiin di atas doanya. wa'iyaki.. insyaAllah. :)
jzkk sudi singgah...
masaallah mnariknya artkel nini untk aq
ReplyDeleteAlhamdulillah.. :)
Deletesubhannallah..... alhamdulillah
ReplyDelete' termksh ats artikel ini. tetap semangat y!!