Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Monday, July 23, 2012

[Ramadan] : TIPS Amalan Sunat Mengikut Sunnah



Bismillahirrohmanirrohim..

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berbuka puasa dengan rutab (kurma basah) sebelum solat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar (kurma kering). Dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. [HR Abu Daud]

Alhamdulillah.
Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah.

Syukur Alhamdulillah, sudah masuk 4 Ramadan. Mari kita mengkoreksi diri.

Bagaimana dengan amalan kita? Apa khabar iman kita? Sudah mendekatkah jarak Allah di dalam hati kita..?

Mari selalu tegur & ingatkan diri. Ramadan ini adalah bulan untuk berpesta ibadah & bukannya berpesta makan!

Imam Malik bin Anas menangis ketika hendak berbuka puasa. Ketika ditanya oleh muridnya, beliau berkata: "Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana terkenangkan Rasulullah s.a.w. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit."

Muhasabah diri.

Sudah cukuplah sudah kita merugikan diri dengan mensia-siakan Ramadan tahun-tahun yang sudah lepas. Cukup-cukuplah kita terlepas peluang untuk menambah amalan & memperbaiki iman & kecintaan kita kepada Allah.

"Hidup yang sebenarnya ialah hidupnya hati dengan iman. Berapa ramai orang yang nampak pada zahirnya hidup, hakikatnya mati. Dan berapa ramai pula orang yang zahirnya mati, akan tetapi mereka pada hakikatnya masih hidup." [Syeikh Mustafa Masyur]

Mari manfaatkan kehidupan di dunia dengan menghidupkan iman di dalam hati. Hidup dengan mengikut ajaran & syariat yang telah ditetapkan oleh Allah subhanallahu wa ta'ala. Hidup dengan menyuburkan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Oh, alangkah indahnya hidup dalam pandangan kasih sayang Allah & Rasulullah... :)

InsyaAllah, ada sedikit perkongsian tentang amalan sunat mengikut sunnah yang diambil daripada bingkisan Dr Abdul Basit Abd Rahman di dalam majalah al-Ustaz.

Berikut adalah antara amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan pada bulan Ramadan. Sama-sama kita mengambil pengajaran & mempraktikkan. InsyaAllah. :)

Semangat, semangat, yosh! (^^)/


---------------------------------

TIPS Amalan Sunat Menghidupkan Ramadan Mengikut Sunnah.

1) Membaca al-Quran
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Jibrail alahi salam membacakan al-Quran untuk baginda pada setiap tahun (pada bulan Ramadan) sebanyak sekali. Namun, pada tahun kewafatan baginda, dia membacanya sebanyak 2 kali. [HR al-Bukhari & Muslim]


2) Qiamulail
Pada Ramadan, kita akan melaksanakan 2 jihad diri:

a) Jihad di siang hari dengan berpuasa.
b) Jihad di malam hari dengan qiamulail.

Sesiapa yang berjaya melakukan 2 jihad ini dengan sebaik-baiknya, baginya ganjaran yang amat besar. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan & pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas." [HR al-Bukhari & Muslim]

Qiamulail merupakan rutin harian Nabi & para sahabat. Aisyah radiallahu anhu pernah berkata: "Jangan kamu tinggalkan qiamulail. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah meninggalkannya. Jika baginda sakit atau kepenatan, baginda akan solat sambil duduk." [HR Abu Daud]


3) Bersedekah
Ibnu Abbas radiallahu anha berkata; "Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ialah seorang yang pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Pemurahnya baginda dalam kebaikan lebih daripada angin yang kencang." [HR al-Bukhari]

4) Menjaga lidah
Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: 
"Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta & terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat pada usahanya yang tidak makan & minum (puasa)." [HR al-Bukhari]


5) Perbanyakkan doa, zikir & istighfar
Setiap saat pada bulan Ramadan adalah mulia. Justeru ambillah kesempatan ini dengan mempernbanyakkan zikir & doa khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:
a) Ketika hampir waktu berbuka. 
Nabi menyebut; 3 doa yang tidak tertolak antaranya ialah doaorang yang sedang berpuasa sehingga dia berbuka. [HR al-Tirmidzi]
b) Pada sepertiga malam ketika Allah menyeru:
"Adakah orang yang berdoa, maka Aku akan perkenankan. Adakah orang yang memohon keampunan, maka Aku akan Ampunkannya." [HR Bukhari & Muslim]


6) Memberi makan kepada orang yang berpuasa.
Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud; 
"Sesiapa yang menyediakan juadah berbuka untuk orang yang berpuasa, baginya seperti pahala orang yang berpuasa sepertimana orang yang berpuasa itu, & tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya." [HR at-Tirmidzi]


7) Umrah pada bulan Ramadan
Sabda Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud;
"1 umrah pada bulan Ramadan ganjarannya menyamai 1 haji." Dalam riwayat yang lain: "Menyamai satu haji bersama-samaku." [HR Bukhari & Muslim]


8) Beriktikaf
Khususnya pada 10 malam terakhir. Aisyah radiallahu anhu meriwayatkan: 
"Pada 20 malam terawal, Nabi mencampurkan antara solat & tidur. Apabila tiba 10 malam terakhir, baginda bersungguh-sungguh & mengetatkan kainnya." [HR Ahmad]


Bahkan Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam turut mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah supaya mereka juga tidak ketinggalan dalam mendapat kebaikan yang disediakan Allah subhanallahu wa ta'ala. Menghidupkan malam bukan sahaja dengan solat bahkan pelbagai jenis ibadah seperti membaca al-Quran, beristighfar & berdoa.

InsyaAllah, disertakan juga di sini beberapa contoh borang/checklist bagi mutaba'ah amal bagi sepanjang Ramadan ini. Mari sama-sama manfaatkan, insyaAllah. Sila 'klik' imej untuk besarkan.







And here's also top ten TIPS of productive Ramadan from ProductiveMuslim.com. Lets check it out! :)



Alhamdulillah. Setakat ini dahulu.

Mari manfaatkan Ramadan kali ini dengan bersungguh-sungguh. Ramadan adalah peluang yang jarang datang. Mungkin ini kali terakhir kita bertemu dengannya. Janganlah kita menjerumuskan diri termasuk di dalam 3 golongan celaka yang disebutkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di dalam hadisnya;


"Ada 3 golongan yg celaka. 1) Celaka sungguh orang yg mendengar nama Nabi disebut tetapi tidak berselawat ke atasnya. 2) Celaka sungguh orang yang sempat bersama Ramadan & berlalunya bulan itu tetapi dia tidak mendapat keampunan. 3) Celaka sungguh orang berkesempatan berbakti kepada kedua orang tuanya, tetapi tidak dimasukkan ke syurga." [HR Ahmad]



Nauzubillahi min zaliq.
Astaghfirullahal adzhim.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Seandainya umatku mengetahui apa yang ada di bulan Ramadhan, nescaya mereka akan berharap agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan."
[HR ibnu khuzaimah]

Minna! Selamat berpesta ibadah! InsyaAllah.


3 comments:

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."