Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Showing posts with label catatan hati. Show all posts
Showing posts with label catatan hati. Show all posts

Wednesday, September 3, 2014

Indahnya Cinta Setelah Nikah.



Dan dirimu..
...Adalah salah satu kasih sayangnya Allah untukku.

***

Bismillah.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi maha Penyayang.
Selawat serta salam buat Nabi junjungan, Muhammad sollallahu ‘alaihi wa sallam.

Alhamdulillah. September datang lagi. :)

Syukur...
Allah izinkan melalui Ramadan, Syawal & insyaAllah, hari lahir tahun ini sebagai seorang isteri. 

Pejam celik, pejam celik.. 3 bulan sudah..

***


Hidup Sebagai Seorang Isteri

Masih bertatih menyesuaikan diri dengan fasa baru sebagai seorang isteri. Segala apa yang didengar, dibaca selama ini akhirnya dirasai sendiri. Syukur Allah rezekikan seorang lelaki yang lebih baik daripada apa yang tidak putus-putus didoakan selama ini. Bahkan setelah bertemu dengan empunya diri, saya masih mengalunkan doa yang sama setiap kali usai solat. 

“Allahumma sarkhirli zaujan solihan, yakhtibuni, wa yatazwwajubi, wayakunu sahibanli, fi dunya wal jannah.”

“Ya Allah, berikanlah aku seorang suami yang soleh, dia meminang & dia menikahiku, menjadi sahabatku di dunia & di syurgaMu.”

Bertemu dengannya menyedarkan saya tentang banyak yang saya tidak perasan sebelum ini.  Sejak berada disampingnya barulah saya mengerti betapa banyaknya kekurangan diri ini.

Beberapa bulan sebelum bernikah, saya rasa sangat takut untuk menempuhi alam pernikahan. Bahkan melalui fasa-fasa yang menakutkan menjelang hari-hari pernikahan. Banyak sungguh sangkaan-sangkaan buruk mengenai perkahwinan yang bakal ditempuh. Meragui abiliti dia sebagai suami, meragui diri sendiri sebagai isteri. Mampukah kami jadi pasangan yang baik. Risau & takut sehinggakan sampai berhari-hari mimpi ngeri, murung & menangis sendirian. Allah sahajalah yang tahu ‘wedding blues’ yang saya hadapi.

Saya bertambah murung apabila mendengar kawan-kawan yang bakal berkahwin sekitar tarikh yang sama, lain reaksi daripada saya. Teruja, tidak sabar, angau, gembira. Sedangkan saya asyik mengelak untuk berfikir tentang hari itu & fasa setelah itu. Saya lebih menyibukkan diri dengan assignments, presentations, exams, tests di hujung-hujung Pengajian. Meminta kekuatan daripada nasihat kawan-kawan rapat, & pendengar terbaik saya iaitu; ibu.

Hinggalah sebulan sebelum nikah. Saya bermimpikan suami yang merupakan tunang saya waktu itu. Itulah kali pertama saya betul-betul nampak wajahnya. Sepanjang hampir 2 tahun pertunangan, saya tidak pernah mimpikan dia, walau setelah solat-solat istikharah pun.

“Inilah suami saya.”

Setelah itu, saya redha sepenuhnya dengan ketentuan Allah.

Momen paling kelakar waktu hari pernikahan ialah suami tidak ingat nama saya sewaktu akad nikah. Sayalah orangnya yang gelak paling kuat waktu itu. Namun, alhamdulillah, segalanya lancar pada percubaan kedua. Pelik, saya tak menangis pun waktu itu, seperti sepatutnya yang dilihat pada kebiasaannya. Mungkin sebab adegan kelakar tadi masih mengusik hati. 

Hanya berair mata apabila bersalam & memeluk ibu yang berada di sebelah kiri, rapat dengan diri ini. Insan yang paling saya sayang di dalam dunia ini. Insan yang paling sanggup berkorban apa saja untuk diri ini. Sebab itu, air mata itu menitis. Sebab setelah akad nikah itu, akan ada insan lain yang menjadi lebih prioriti; iaitu suami. Ya, saya kini sudah bersuami.

Sejam, dua jam, sehari, dua hari, tiga hari masih lagi janggal apabila bersamanya. Masih lagi rasa takut apabila dia mendekatkan diri. Masih lagi rasa janggal duduk & bercakap berdua. Bila dia mengucapkan ‘I love you’, saya hanya diam tidak membalas. Sebab saya memang belum mencintainya. Syukurlah, dia masih boleh bersabar & memahami. 

Apabila mahu melelapkan mata, saya bertanya kepada Tuhan. Bolehkah saya menyesuaikan diri dengan insan asing ini. Berapa banyak masa yang saya perlukan untuk menerima dia sepenuhnya.

Sebulankah?

Dua bulan?

Setahun?

Rupanya sangkaan saya salah. 

Benarlah.. Allah yang memegang hati manusia. Sekejap sahaja saya sudah cair dengannya. Boleh dikatakan tidak sampai seminggu untuk saya benar-benar jatuh cinta & jatuh rindu kepadanya. 

I thought that I was not that easy. I mean, to be in love that fast to a stranger. But I was wrong. Kuasa cinta & kuasa memikat seorang suami itu memang kuat. Orang kata, auranya lebih hebat.  

Apabila berpisah dengannya untuk kembali ke universiti, apabila bangkit di waktu pagi & tersalah lihat wajah roommate sebagai wajah suami, apabila mengigau menyebut-nyebut suami (roommate menceritakan), mengertilah saya... waktu itu saya telah pun jatuh cinta kepadanya. 

Malang sekali, jatuh cinta setelah berpisah. Merana badan menanggung rindu. Seminggu berpisah dirasakan waktu itu rasa sungguh lama, tetapi menjadikan pertemuan setelah itu menjadi lebih manis.

Alhamdulillah. Kini sudah 3 bulan.

Merajuk, salah faham kecil, tidak sependapat, semua itu adalah normal bagi setiap pasangan suami isteri. Apatah lagi seperti kami, yang hanya baru ingin mengenali & mencintai setelah bernikah. Tentunya mengambil masa untuk menyesuaikan diri. Apa yang penting, bagaimana pasangan itu berusaha untuk menyelesaikan masalah serta menerima jurang perbezaan. 

***

Indahnya Bercinta Selepas Bernikah

Semasa single & masih jauh daripada plan untuk berkahwin, quote ini antara 'spirit booster' untuk mengelak diri dari terjebak dalam kancah cinta sebelum nikah. 

Namun, tatkala menjelang hari pernikahan, dalam dilema juga mengenangkan adakah benar wujudnya situasi tersebut atau sekadar quote ustaz ustazah untuk memujuk anak-anak remaja agar jangan melibatkan diri dengan budaya couple (berpacaran sebelum bernikah).

Beberapa hari sebelum bernikah, saya masih menghubungi & meminta nasihat daripada sahabat-sahabat yang saya yakin solehah & boleh dipercayai, untuk menagih nasihat untuk menenangkan hati. 

"Bolehkah saya mencintainya setulus hati?"

"Macam mana kalau lepas nikah saya tak suka dengan suami saya. Tak boleh nak hidup dengan dia." 

"Senangkah menyesuaikan diri dengan orang baru yang kita masih tidak kenal sepenuhnya?"

Antara kata-kata yang kekal dalam ingatan sehingga hari ini ialah; 

"Yakinlah jika kita jaga batas semasa sebelum bernikah, Allah akan mempermudahkan urusan setelah nikah. Semua pasangan yang berkahwin akan dilanda ujian. Macam-macam ujian.. tapi selalu akan rasa mudah & Allah tunjukkan jalan keluar."

Hakikatnya nasihat ini memang benar... 

Tak ada sesiapa boleh memberikan kebahagiaan selain daripada Allah. Jaminan apa yang kita mahu kalau bukan jaminan daripada Allah?

Percayalah, jika kita berusaha menjaga diri (jaga aurat, jaga batas pergaulan, elak perkara-perkara maksiat)semasa bujang, hatta dalam tempoh pertunangan, walau orang kata kolot, orang meragui apakah kita akan bahagia dengan orang yang kita tak kenal.. tapi percayalah.. Allah akan permudahkan semuanya. Sebab niat kita takut terjebak ke dalam maksiat & dosa.

Ya, mula-mula selepas nikah memang janggal sebab kita tak biasa. Tapi lama-lama nanti nak berenggang kejap pun rasa rindu. Hati rasa lapang, aman, tenteram.. kebahagiaan yang susah nak diungkap dengan kata-kata.. sebab semuanya sudah halal & buat apa pun diberikan ganjaran pahala. Subhanallah.

Saya masih ingat.. Perasaan tatkala kali pertama mendengar suara suami menelefon beberapa jam setelah bernikah. Itulah kali pertama dia call saya setelah hampir 2 tahun sejak dia datang ke rumah untuk meminang.

Allahuakbar. Syahdu, sebak, bahagia, jatuh cinta semuanya bercampur jadi satu. Speechless. Saya pasti orang yang dah selalu bergayut dengan kekasih semasa sebelum bernikah takkan dapat rasa nikmat ini.. Alhamdulillah. 

Buat saudara saudari yang masih bujang mahupun yang bakal menamatkan zaman bujang, syabas saya ucapkan buat yang berusaha kuat dalam menjaga batas & mengelak maksiat. Memang susah untuk mujahadah menjaga hati & menepis godaan syaitan. Tetapi yakinlah, InsyaAllah Allah akan ganjarkan kebaikan & kebahagiaan yang melimpah ruah kepada kalian setelah bernikah nanti kerana hubungan kalian dimulai dengan cara yang berkat, bebas dari maksiat, insyaAllah. 

Ingatlah.. akad nikah tidak dapat mencuci dosa yang dilakukan sewaktu kita bercouple, berpacaran, berpasangan sebelum bernikah. Hanya taubat yang mampu menyucikan dosa.

Takkan rugi orang yang bertawakal & berlindung diri kepada Allah. Yakinlah pada Allah. Dia takkan sesekali Mengecewakan hamba-hambaNya. Jagalah Allah.. Allah akan Memelihara semuanya untuk kita.. 


***

Menikmati Cinta Yang Halal

Dulu.. masa duduk dengan ibu ayah.. antara momen yang paling bahagia ialah bila ayah ibu makan & puji masakan yang dimasak oleh anak perempuannya ini. Kalau tak sedap & ada yang kurang akan diberi komen pembaikan dengan cara yang kita boleh terima, dalam jenaka mahupun cara lembut. 

Sekarang.. duduk pula dengan suami, juga antara momen yang paling bahagia ialah apabila kami sama-sama bekerjasama di dapur untuk menyiapkan makanan. Kita siang ayam, dia bersihkan. Kita goreng sambal dia siang sayur.

"Nak potong sayur ni macam mana?"
"Sayang nak abang tolong apa lagi?" 

Bila suami makan beria-ia sambil ucap terima kasih & puji masakan kita. Walau kadang bukannya special sangat pun menunya.. Allah sajalah yang tahu macam mana rasa hati. Alhamdulillah. 

Momen-momen ini sangat indah. 

---

Buat yang masih ada ibu & ayah.. jadilah anak yang baik, hargai & manfaatkanlah setiap detik dengan mereka. Kenangan-kenangan yang baik akan jadi sangat manis apabila dikenang.. 

Buat yang punya suami yang baik & rajin membantu membuat kerja-kerja rumah, bersyukurlah kepadaNya & berusahalah untuk membalasnya dengan menyenangkan hati mereka. 

Pesanan untuk saudara saudari yang masih bujang,
Jadi perempuan, rajinlah ke dapur membantu ibu. Nanti sudah kahwin.. bisa jadi panduan sebagai isteri.
Jadi lelaki pun, rajinlah ke dapur membantu ibu. Nanti apabila sudah kahwin.. tidak rasa kekok untuk membantu isteri.

---

Alhamdulillah, terima kasih Allah.. atas pinjaman nikmat yang membahagiakan. Ampunkanlah dosa-dosa mereka & redhailah mereka sebagai hambaMu. 

Abang, ibu, ayah..
I love you. 
:')

***
Penutup

Sungguh, "nikmatnya bercinta setelah bernikah..." hanya akan betul-betul dirasai oleh orang yang betul niatnya kerana Allah...sejak dari mula lagi.. kerana asas kebahagiaan hakiki adalah kerana taqwa kepada Ilahi..

Selamat menikmati cinta yang halal!  & semoga kita semua selamat sampai ke destinasi cinta syurga yang abadi.  

Peringatan khas buat saya yang menulis & buat kalian pembaca yang Allah kasihi.

Wallahu ‘alam
Astaghfirullah.

----

Buat suami yang dicintai, 
Terima kasih sayang, atas segalanya. 

Alhamdulillah.
Syukur atas nikmat cinta yang halal ini.


Monday, April 14, 2014

Damailah Hati.


Hati mereka tidak bersedih bila diberikan ujian,
Dilimpahi nikmat tak buat mereka terkesan.
Nikmat tidak menyebabkan mereka alpa.
Sukar tidak menyebabkan mereka kecewa.
Biarkan jasad mereka menanggung kesakitan.
Asalkan hati terus tenang meraih kebahagiaan.

Hati tenang ini... milik penghuni syurga.


***


Bismillah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,
Selawat & salam ke atas junjungan Nabi Sollallahu 'Alaihi Wasallam.


Firman Allah SWT; "Wahai Jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha & diredhaiNya. Maka Masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu & masuklah ke dalam syurgaKu." [al-Fajr (89) : 27-30]

Apabila Allah membangkitkan manusia di hari akhirat kelak, Allah tidak memanggil kita, 'Wahai manusia', atau 'Wahai muslimin', tetapi Allah memanggil 'Wahai jiwa yang tenang'. Jiwa yang diredhai Allah, Allah meredhai kita & kita juga redha bahawa segalanya adalah daripada Allah semata-mata.

Mengapa sakinah, yakni ketenangan hati ini amat penting bagi kita, sebagai makhluk Allah yang hidup di dalam dunia yang serba mencabar ini?

Apabila Allah mencabut 'sakinah' daripada hati seseorang hamba, maka hati itu takkan pernah merasa puas, seperti meminum air laut, makin diminum terasa semakin haus. Nafsu akan semakin membuas & sukar dipuaskan.

Hati tidak gembira apabila teman-teman kita gembira.
Hati rasa cemburu apabila teman-teman kita berjaya.
Hati rasa geram apabila teman-teman kita memperolehi semua yang dikejarnya.

Mengapa kita tidak gembira dengan kejayaan & kebahagiaan insan-insan yang ada di sekeliling kita? Bahkan hati bertambah rasa cemburu & sakit jika insan tersebut rapat dengan kita.

Kenapa dia kahwin dulu sedangkan aku lagi cantik & menarik dari dia?
Kenapa dia mampu dapat jodoh yang baik sedangkan aku lagi baik dari dia?
Kenapa dia dapat raih PhD lebih awal sedangkan aku lagi pandai dari dia?

Banyaknya soalan tidak puas hati yang tercetus dari dalam hati. Menimbulkan rasa sakit & pedih yang amat sangat. Lalu, air mata pun menitis ke pipi lantaran rasa bercampur baur yang menghentam-hentam sudut hati.

Jangan bersedih,
Mengapa tidak kita usap air mata itu, & bertanya kepada diri.

"Apakah dosa yang telah kulakukan ya Tuhan, hingga membuatkan aku sukar untuk redha dengan takdirMu, ya Allah?"

"Dosa apa yang telah kulakukan, hingga membuatkan aku tamakkan semua yang bukan aku punya ya Allah?"

Percaya kepada Qada' & Qadar Allah; antara yang tersenarai di dalam rukun iman. Namun, nampaknya kita sudah terlupa mempercayai & redha dengan Qada' & Qadar Allah ke atas diri kita & semua makhlukNya yang lain.



Apa Pesan Nabi?

Tatkala dibicarakan ini, air mata masih menitis ke pipi. Hati kita masih perit untuk menerima.

"Ya Allah.. habis tu, takkanlah aku tak boleh langsung rasa cemburu ya Allah..? Aku pun mahu hidup yang serba sempurna seperti orang lain.."

Jangan bersedih wahai hati...
Seberapa tahu kita, akan kesempurnaan kehidupan insan yang kita cemburui itu? Benarkah wujudnya kesempurnaan di dalam kehidupan duniawi yang fana ini?

Dia cantik. Kahwin muda. Dapat suami kaya. Kacak pula tu. Terus dikurniakan anak pada tahun seterusnya. Selepas bersalin pun terus kekal cantik. Suami sayang, anak comel. Rumah besar, kereta mewah, baju & perhiasan yang dipakainya cantik & mahal. 

Bukankah ini sudah cukup sempurna? Nampak dia tenang & bahagia saja setiap kali kita mengikuti perkembangan terkininya dalam media sosial.

Percayalah... semua ini cuma terhad pada nilaian kita sebagai manusia biasa.

Apa pesan Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam kepada kita untuk menjadikan kita berasa bersyukur dengan apa jua pemberian Allah? Nabi berpesan, "lihatlah orang yang lebih susah daripadamu dalam hal dunia, agar engkau tetap merasa cukup & bersyukur dengan apa jua yang Allah berikan kepadamu."

Jujur saya katakan, saya sebagai insan yang lemah, pernah juga terkesan dengan semua itu. Bukan kalian saja. Kita manusia punya nafsu, ini adalah hakikat yang perlu kita akui. Siapa tidak cemburu melihat semuanya yang nampak sempurna seperti fairytale. Namun, apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, saya banyakkan bermuhasabah diri. Apa jua yang Allah berikan kepada kita, merupakan ujian. Ujian. 

Dia insan hebat. Saya tak dapat bayangkan jika Allah memberikan ujian sehebat itu kepada saya, mungkin saya menjadi orang yang paling riak sekali apabila orang menzahirkan pujian atas segala pinjaman kelebihan yang Allah Beri kepada saya.

Mana lebih penting, bersyukur dalam segala kekurangan, tetapi membuatkan kita meraih keredhaan Allah yang bakal menyelamatkan kita daripada azabNya, ataupun kenikmatan yang bersifat merosakkan keimanan diri kita? 

Selalulah anggap kita tidak layak untuk memikul semua nikmat ujian yang Maha Berat itu. Setiap apa yang Allah beri, selalu bertepatan, sentiasa tepat & sesuai dengan kemampuan kita. Tak pernah melebihi apa yang kita mampu.

Rupa kita biasa-biasa. Sebab mungkin jika kita cantik, kita suka mempamerkannya kepada lelaki ajnabi di media sosial untuk meraih pujian. 
Jodoh kita lambat sampai. Sebab mungkin jika kita punya suami, kita tidak mampu mentaatinya, lalu menyebabkan kita sentiasa berdosa. 
Kita tak punya keluarga yang kaya raya & serba mewah. Sebab mungkin jika kita dilahirkan dalam keluarga yang sedemikian, kita menjadi lupa daratan.

Tanpa kita sedari, rupanya Allah sedang Menyelamatkan kita daripada masalah yang tidak mampu kita hadapi. Tiada siapa yang benar-benar tahu apa hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap Qada' & Qadar Allah. Maka, pilihan yang kita ada ialah sentiasalah bersangka baik kepada Allah. Supaya kita kekal bersyukur & redha atas semua pemberianNya.
  
Sementelah itu, memandangkan kita tahu diri kita ini 'fragile', mudah cemburu tatkala melihat semua itu. sebaiknya kurangkanlah aktiviti kita yang sangat suka memerhati & mengikuti insan-insan hebat yang Allah kurniakan semua kelebihan yang mampu membuatkan hati kita cemburu. 

Masa yang kita habiskan berjam-jam untuk menatap foto-foto kebahagiaan insan tersebut, baiklah kita isikan dengan mentadabbur al-Quran, memperbaiki hafazan al-Quran kita. 

Juzu' Amma semua surah sudah kita hafal? Kalau belum, bukankah sudah kerugian kita di situ? Masa yang sepatutnya boleh kita isikan dengan perkara yang mampu menaikkan darjat kita di sisi Allah, kita bazirkan dengan melakukan aktiviti yang belum tentu bermanfaat untuk akhirat kita. 


Tatkala kita cemburu melihat si dia yang nampak gembira menikmati makan mewah di Restoran Mahal, kita terlupa bahawa di suatu sudut yang lain, mereka hanya makan sisa yang tertumpah di atas lantai, sebagai satu-satunya pilihan untuk mengalas perut yang kelaparan.




Kita masih menyibukkan diri untuk cemburu pada koleksi pakaiannya yang cantik-cantik & berjenama, hinggakan kita terlupa di suatu tempat yang lain, ada insan yang menghilangkan haus hanya dengan meneguk air di lopak jalan.




Kita masih merungut akan panas, sempit, buruknya bilik tidur kita yang serba kekurangan, rasa cemburu dengan kehidupan mewah yang dipertunjukkan orang lain, hingga terlupa ada insan yang tidur hanya berbantalkan lengan, beralaskan rumput.


Astaghfirullah.

Ya Allah...
Betapa sedikitnya kami bersyukur....



Mengukur 'Sakinah'.

Jika kita mengukur 'sakinah', yakni ketenangan & kebahagiaan melalui sumber luaran, maka sungguh, Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam adalah manusia yang paling tidak tenang & tidak bahagia sekali.

Ketidaksempurnaan hidup Rasulullah bermula apabila baginda dilahirkan sebagai anak yatim. Baginda tidak pernah merasai kasih sayang seorang bapa. Hanya bertemankan seorang bonda yang miskin. 

Begitupun dalam hal dakwah baginda, penuh dengan onak duri, dipenuhi dengan pelbagai halangan. Dakwah baginda sungguh berbeza dengan pendakwah hari ini yang hadirnya dirai, siap dijamu dengan makanan & sambutan keraian yang hebat.

Baginda juga adalah manusia yang miskin, rumah baginda hanya bersaiz 7 hasta x 7 hasta, beratap pelepah tamar, berdinding bata dan tanah liat. Sangat berbeza dengan kita hari ini yang rumahnya siap berkolam renang, bilik siap berhawa dingin lengkap dengan pelbagai perabot mewah yang diimport dari luar negara. 

Di sebalik semua kepayahan & ketidaksempurnaan ini, Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam merupakan manusia yang sangat tenang, bahkan yang paling tenang. Walaupun berumah kecil & serba kekurangan, itulah rumah tangga yang paling bahagia & diberkati Allah. Rumah tangga yang menjadi qudwah hasanah sepanjang zaman. 

Wajah baginda sentiasa manis biarpun baginda adalah orang yang paling miskin. Sebab apa? Sebab ketenangan itu datangnya dari dalam jiwa & hati. Kerana jiwa baginda kaya, jiwa baginda bahagia, hati baginda redha. Inilah sumber ketenangan yang hakiki, yang tidak boleh diraih melalui kemewahan duniawi.

Bila kita bicara tentang serba kurangnya rumah baginda, & isteri-isteri baginda masih kekal redha & mensyukuri apa adanya. Lalu kita mempersoal, apakah isteri baginda bukan manusia? Tidak punya nafsu untuk hidup senang & mewah seperti isteri-isteri hartawan yang lain kala itu?

Hal ini kerana Allah berfirman di dalam surah al-Ahzab (33), ayat 28-29, Allah menyuruh Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam khabarkan kepada isteri-isteri baginda agar membuat pilihan yang tepat supaya rumah tangga mereka akan menjadi syurga dunia. Nabi memberi pilihan kepada isteri baginda, apakah yang mereka mahukan di dalam rumah tangga itu semata-mata hanya kenikmatan duniawi? Jika yang demikian pilihannya, maka putuslah ikatan yang mulia itu antara mereka & baginda Nabi kerana tidaklah mereka layak untuk menjadi isteri kepada baginda yang mulia. Bagaimanapun, jika pilihan mereka adalah semata-mata mahu mencari keredhaan Allah & suami, maka Allah akan mengganjarkan balasan yang berlipat ganda, kebahagiaan yang kekal.  

Apakah itu yang kekal abadi? Yang kekal abadi adalah kehidupan akhirat. Manakala kebahagiaan yang abadi adalah kenikmatan berada di dalam syurga Allah.

Maka, apabila diperingatkan kita tentang hal ini, bukankah hati kita sepatutnya lebih terpujuk?

Hakikat ini jualah yang memujuk & menyedarkan isteri-isteri Nabi, untuk melepaskan keghairahan mereka terhadap kemewahan & kenikmatan duniawi, demi meraih ganjaran yang lebih besar yang telah Allah sediakan untuk mereka di akhirat nanti. MasyaAllah.

Hakikat inilah yang membuatkan mereka berasa tenang & redha, biar sesukar mana kehidupan yang dilalui sebagai isteri baginda Rasulullah.




Hati, Tenang & Redhalah.

Apabila bicara soal hati, pastinya berkait rapat dengan roh yang mengisi jasad. Roh itu pula datangnya dari Allah. Maka, jika hati kita punya Allah di dalamnya, insyaAllah kita selalu akan meraih ketenangan & kebahagiaan. Bukan yang bersifat sementara, bahkan yang kekal, yang teguh mempertahankan keimanan kita tatkala dilanda pelbagai ujian & kesukaran. 

Katakanlah,
Jika sampai ke akhir tulisan ini pun masih tidak mampu untuk memujuk hati kita yang masih tetap rasa sedih, cemburu & tidak suka dengan kebahagiaan orang lain, hingga menjadikan hati kita tidak tenang, diharapkan kata-kata hikmah ini mampu memujuk sedikit kelukaan itu.

"Apa yang kita tidak dapat miliki sekarang, bukanlah bermakna kita takkan berpeluang memilikinya langsung. Mungkin ia menjadi milik kita di dalam syurgaNya kelak."

Ya.. 
Percaya & yakinlah kepada Allah.
Teruskan berdoa. 

Tatkala hati terlalu inginkan sesuatu, sungguh-sungguh kita memintanya dari Allah & kita tidak diberikan peluang untuk memilikinya, pasti hati rasa sukar untuk redha. Kita boleh memilih untuk berputus asa. Namun, Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa janganlah kita sesekalipun berputus asa dengan rahmatNya. 

Mintalah kepada Allah, insyaAllah Allah akan perkenankan. Mintalah Allah pertemukan, insyaAllah Allah akan pertemukan. Tidak di dunia ini. Mungkin di akhirat nanti. Yakin dengan Allah. InsyaAllah.

Saya menulis ini atas ingatan ke atas diri saya sendiri. Bahawa dunia ini hanyalah sementara cuma, sedangkan akhiratlah yang kekal abadi. Maka, apalah agaknya yang telah saya persiapkan untuk dibawa pulang bertemu dengan Allah nanti.

Saudara-saudariku yang dikasihi Allah,
Kesatlah air matamu. Adukanlah semuanya kepadaNya dalam sujud-sujud Tahajudmu.

Sungguh, Allah itu Maha Mendengar.

Damailah hati yang berduka. Semoga apabila di akhirat nanti, tatkala Allah Menyeru, "Wahai jiwa yang tenang, Kembalilah kepada Tuhanmu..."

Moga saat itu, jiwa-jiwa kita juga termasuk dalam golongan yang Allah redhai itu.
Allahu.. biiznillah.

Wallahu 'alam.
Astaghfirullah.

---

Notahati:
75 hari lagi menuju Ramadan.
Allahumma bariklana fii rajab wa syaban, wa balighna Ramadan ya Allah. Amiin.


Friday, March 7, 2014

Cahaya Di Atas Cahaya.

Seindah-indah musim bunga yang mewangi,
Tetap akan berakhir bila terganti musim luruh dan dingin,
Tiada yang kekal selamanya.
Begitulah kita manusia,
Takkan selamanya berulit dengan fatamorgana dunia.
Sampai masanya akan tetap pulang menemuiNya.

Bagaimana persiapan bekalan kita sahabat?

***

Bismillah.

Tersentuh membaca perkongsian seseorang baru-baru ini. Apabila teman sewaktu beliau menyambung pengajian di luar negara, yang sangat terkenal dengan tabiat liar, buruk, kasanova, berzina, minum, clubbing dan lain-lain maksiat, akhirnya berhijrah menjadi insan yang sangat dekat dengan Allah. Subhanallah.

Begitulah hati kita manusia, yang selamanya dimiliki oleh Allah. Dipegang olehNya. Seringkali berbolak-balik seiring iman yang naik & turun.

Setiap insan di muka bumi ini tidak akan pernah terlepas daripada melakukan dosa. Tiada siapa boleh menjamin  bahawa diri mereka telah benar-benar suci & diredhai olehNya, terjamin tempat di dalam syurga. 

Kita bukan sahabat-sahabat Rasulullah SAW yang mengorbankan harta, masa, tenaga, hatta nyawa di jalan Allah demi menegakkan Islam di muka bumi, hingga menemui syahid & dijamin Allah masuk ke syurga.

Kita hanyalah manusia akhir zaman yang solatnya sering terlewat, al-Quran jarang dibaca, aurat tidak ditutup, jarang ke majlis ilmu, sunnah baginda terus terlupa. Allahurobbi.. jauhnya kita dalam mempraktikkan agama dalam kehidupan.

Biarpun begitu... itu bukanlah alasan untuk kita tidak percaya bahawa Allah itu tidak akan Mengampuni kita, bahawa kita tiada peluang langsung untuk bernafas dalam harum wanginya syurga.

Percaya atau tidak..
Kita tidak akan menemui kebahagiaan di dalam kemaksiatan yang kita lakukan. Biarpun mungkin kita rasa seronok dengannya pada awalan.. namun, ia tidak kekal. Rasa seronok itu akan hilang, tetapi dosa yang dilakukan tetap kekal dalam catatan amal, melainkan dipadam dengan taubatan Nasuha.

Begitupun perihalnya dengan kebaikan. Memang kita akan merasa penat, malas, leceh apabila melakukan kebaikan. Malahan ada ketikanya kita perlu memaksa diri untuk tetap istiqomah melakukannya. 

Siapa kata bangun di tengah-tengah kedinginan malam itu mudah, sedangkan tidur dibuai mimpi itu lebih indah.
Siapa kata menutup aurat dengan sempurna itu mudah, sedangkan mempamerkan kecantikan sewenang-wenangnya itu terasa lebih memancing pujian. 

Tak mengapa, teruskanlah perlahan-lahan, insyaAllah keindahan, ketenangan & kemanisan itu akan datang hinggakan kita merasa tidak perlu sesiapa lagi melainkan hanya Dia.
 
Mujahadah itu pahit kerana syurga itu manis.

Firman Allah SWT, maksudnya:
"...Nurun 'ala nuur (cahaya di atas cahaya), Allah Memberi petunjuk kepada cahayaNya bagi orang-orang yang Dia Kehendaki, & Allah Membuat Perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. & Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [24:35]
Saat Allah panggil kita untuk kembali kepadaNya... & kita menyambut 'huluran' HidayahNya.. percayalah... saat itulah, saat yang paling bahagia & bermakna di dunia ini, kepada kita sebagai hambaNya. Yang sukar untuk diungkap dengan apa perkataan pun. Melainkan dengan deraian air mata yang tidak putus-putus sambil mengungkapkan; "Alhamdulillah.. wa astaghfirullah.. terimalah aku ya Allah, redhakanlah aku ya Allah.. sebagai hambaMu.."

InsyaAllah, waktu itu, kita tidak lagi akan meletakkan dunia ini di hati, melainkan cuma menjadikannya ladang untuk menuai bekalan di akhirat nanti, sambil memendam rindu untuk pulang bertemu Allah, berkumpul dengan Rasulullah, & bersenang-senang di dalam syurga..

Mari kembali kepada Allah. Mari kembali kepada Allah.
Selagi ada nafas, selagi itu ada peluang untuk bertaubat. 

Yakin.
Yakin Allah akan ampunkan semua dosa-dosa kita.
Yakin.
Yakin Allah akan bersihkan segala noda-noda yang menebal pada diri kita.
Yakin.
Yakin Allah akan Memberikan kekuatan & pertolongan kepada kita.
Untuk menempuhi semua kepedihan, kesakitan, air mata sepanjang proses mujahadah ini.

Jangan lihat betapa kotor & hinanya kita yang melakukan dosa, tapi lihatlah kepada Allah, Tuhan Yang Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Mengasihani, yang Mengampunkan segala dosa..

Jangan lihat betapa tak layaknya kita mendapatkan keampunan Allah, tapi lihatlah kepada betapa besarnya rahmat & keampunanNya kepada semua hambaNya. 

Ramai orang telah menemui kebahagiaan, kejayaan & ketenangan dengan menumpukan kehidupannya semata-mata mahu mencari keredhaan Allah. Bagaimana pula dengan kita, saudara-saudariku..?

Indahnya hidup dalam ketaatan kepada Allah... Bertemu kebahagiaan & ketenangan hakiki... Juga bertemu dengan cinta yang abadi..

Inilah jalan yang dilalui oleh Nabi SAW, para sahabat, para sobiriin, para syahidiin.. 

& mereka ini semuanya sedang tersenyum bahagia di dalam syurga setelah berpenat lelah melakukan ketaatan & pengorbanan sewaktu di atas dunia.

Ingatkanlah semula diri kita. 
Jalan yang payah, beronak duri inilah jalan yang dilalui para penghuni syurga.

Tanya diri kita, jalan mana yang sedang kita lalui.
Mendekati Allahkah? Atau semakin menjauhiNya?

Satu peringatan untuk yang membaca, sejuta ingatan untuk saya yang menulis. Moga Allah ampuni segala dosa.

Wallahu a'lam.
Astaghfirullah.

----
P/S: Salam sayyidul ayyam. Mari perbanyakkan selawat ke atas Nabi & jangan lupa juga membaca surah al-Kahf. 

Notakaki:  

Kenapa kita selalu susah hati? 
Kerana kita tidak yakin kepada Allah.  
Kerana kita kurang tawakal kepadaNya.


Wednesday, February 19, 2014

Tersembunyi.


Bismillah.

Bila kita lihat, sehabis cerah mentari memancar
si salju masih tetap membeku.

Beginikah lazimnya kita manusia...
secerah-cerah cahaya ilahi,
masih membeku keras,
bersama selaput bongkak dan ingkar.

Antara iblis jahanam
yang tersembunyi
di celahan nafsu
yang halus terlindung.

Bisa saja, mereka mengabu
air mata pati keimanan
dengan rasa ajaib
pada amal-amal secubit.

Dari membengkak dengan iri hati
baiklah berhenti seditik memikir
apakah untung laku itu?

Dari meninggi dengan ajaib diri
mampukah selama terapung diawangan
saat yang sama lemas di lembah kehinaan?

Kita punya tugas besar
bersihkan dirimu
teruskan melangkah...wahai diri!

Lelayar Di Lautan.


Bismillah.

Menjadi lelayar di lautan luas
Memburu daratan bagi menghilang lelah
Mencari tanah untuk berlabuh
Untuk menguji, apa betul jalan selama ini.

Bila saat kelam malam
Menjadi paling pekat
Maka cerah bintang-bintang
Menjadi tanda betapa hampir kemilau pagi.

Mengapa perit sekali
Air mata ini
seolah menjerut lapis-lapis
Kulit pipi.

Mengapa lemah sekali diri ini
Berulang tangis
Bersulam harap
Tanpa jitunya usaha.

Berputus asa kah?
Sabar dan bangkitlah
Engkau pasti melepasi saat-saat seperti ini.

Mimpi Indah Belum Pasti.



Bismillah.

Kalau aku sehelai pelepah
yang bisa dihembus angin
beralun dengan bisikan bayu
ke atas... ke mana saja...

Pasti itu indah
kerana tiada penghisaban.

Tapi aku lain
Ada tanah tuju.

Ada bahagian balas
Untuk aku rasa
Untuk aku mohon.
Oh Allah... panjangkanlah tempoh ku bersama iman...
Mungkin saja ini kali terakhir dia mengulur salam.
Dengan titis-titis
Air mata harapan.

Mimpi indah
Untuk bermain di syurga...



Ajari Aku.



Dengan Nama Allah.
Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Tuhan..
Letih.
Kadang aku letih.
Menafsir apa hikmah.
Kebaikan yang Engkau sembunyi.
Rapi tersembunyi.

Akukah yang buta.
Buta diselaputi dosa.
Mata buta.
Bahkan hatiku jua.
Terhijab pandangan kerana dosa & noda.
Atas menggunungnya curangku padaMu.
Kesan selalu berpaling dari redhaMu.

Tuhan.
Ajar aku untuk redha.
Tuhan.
Ajar aku untuk ikhlas.
Ajar aku untuk sabar.
Ajar aku untuk bersyukur.
..atas semua pemberianMu.

Tatkala aku telah seakan berjaya memujuk hati.
Bahkan redha memilihMu satunya penghuni hakiki hati.
Melepaskan dia yang pernah menuntunku kepadaMu.
Pergi bahagia meniti suratan yang Engkau tentu.

Dalam masa aku merawat hati.
Sepantas masaMu.
Kau rencanakan sesuatu di luar fikirku.
Datangnya dia tanpa disangka & diminta.
Dengan cara Kau yang begitu rahsia & istimewa.
Yang tak mampu aku perhalusi melalui jiwa hambaku.
...Jiwa hambaku yang lemah, jahil, lagi hina ini.

Aku menyangka.
Mungkin itulah penawar.
Buat kelukaan.
Buat kekecewaan.
Kala jiwaku masih retak seribu.

Cuba ikhlas menerima.
Bahawa dia yang pergi itu.
Bukan sebaiknya untuk aku.
Dia itu... 
Mungkin..
Tinggi benar untuk aku gapai.
Suci benar untuk aku sentuhi.
Hebat benar untuk aku cintai.
Mahal benar untuk aku miliki.

Aku cuba untuk percaya.
Itulah penawar yang Kau Berikan untukku.

Aku cuba untuk percaya.
Itulah penawar yang Kau anugerahkan kepadaku.

Tuhan.
Mengapa aku sukar untuk meredhai.
Mengapa aku sukar untuk ikhlas.

Hatiku ini sering berbalik-balik.
Selalu tewas dalam perhitungan diri.
Antara nafsu & iman.
Antara redha & ingkar.

Allah..
Siapalah aku untuk menolak.
Apa jua yang datangnya dariMu.

Allah.
Aku tak pernah meminta dia datang.
Tapi Engkau yang mengizinkan dia datang kepadaku.

Sungguh, Engkau Maha Tahu..
Bukan dia ya Allah, yang aku pernah minta di dalam sujud-sujudku.
Bukan dia ya Allah, nama yang aku pernah seru dalam sujud hajatku.
Bukan dia ya Allah, yang pernah aku harap dapat bertemu dalam istikharah mimpiku.

Tetapi atas izinMu.
Itulah dia pilihanMu.
Maka.. keranaMu, aku cuba untuk redha ya Robbi.
Berusaha menerima segalanya dengan gembira & syukur.

Cuba bersyukur atas semua kelebihan,
Jua berlapang dada atas semua kelemahan.
Berusaha belajar untuk meraikan.
Menghapus semua luka & harapan silam.

Aku cuba melepaskan apa yang telah berlalu.
Biar terlalu sukar bangun dari mimpi ngeri.
Kucuba lepasi melalui kekuatan yang Kau Beri.

Namun ya Allah..
Mengapa aku masih merasai segala kesakitan ini.
Mengapa aku masih melalui segala kepedihan ini.
Mengapa aku masih mengalami segala ketakutan ini.

Allah.
Pujuklah hatiku ini.

Allah.
Didiklah hatiku ini.

Aku tidak mampu ya Allah.
Untuk kecewa lagi.

Aku tidak mampu ya Allah.
Untuk dipersiakan lagi.

Hati aku ini..
Sudah terlalu luka,
Untuk disakiti lagi.

Allah.
Manusia itu terlalu lemah.
Untuk menjadi tempat aku bersandar kala aku rapuh.

Allah.
Manusia itu terlalu dingin.
Untuk menjadi pengusap setiap titisan air mataku.

Allah.
Manusia itu terlalu egois.
Untuk memahami punca senyapku, senduku, rajukku.

Allah.
Manusia itu terlalu kasar.
Untuk menyantuni kelembutan & memperbetul silapku.

Allah.
Sungguh...
Dia terlalu lemah.
Untuk menjaga, melindungiku & memimpinku.
Menghilangkan segala ketakutan yang pernah memburu.
Menghapuskan segala kesakitan yang pernah menderaku.

Terlalu jauh untuk aku rapati.
Terlalu sulit untuk aku fahami.
Terlalu sukar untuk aku cintai.

Allah.
Aku tidak perlukan sesiapa selainMu.

Allah.
Hanya kepadaMu yang aku tuju.

Allah.
Kiranya dia tidak mampu.
Engkau saja sudah cukup.  

Benar ya Allah..
Jika dia benar tidak mampu..
Engkau saja... 
..Sudah melebihi cukup.

Mungkin saja.
Aku juga bukanlah yang selayaknya.
Untuk membawa dia kepadaMu.

Mungkin saja.
Bukan aku yang sepatutnya.
Membawa dia kepadaMu.

Ampunilah aku ya Allah.
Kiranya masih gagal menyelami.
Segala hikmah pemberianMu.
Lantaran kurangnya sujudku.
Lantaran kurangnya syukurku.

Allah.
Kumohon jadikan ujian ini sebagai kifarah dosaku.
Penghapus segala dosa-dosaku kepadaMu.

---

Ya Allah, 
Apa yang terbaik & mendekatkanku kepadaMu, 
Maka berikanlah.
Mana yang terbaik & mendekatkan aku kepadaMu, 
Maka tunjukkanlah..

Ya Allah.
Jadikanlah aku ini hambaMu yang sentiasa bersyukur & bersabar dengan semua pemberianMu. 

Amiin.

---

Ammar.
Bilal.
Umair.
Khauthar.

Asif jiddan.