Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)
TINTA PENULIS.
Dengan Nama Allah,
Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Sunday, December 29, 2013
Hebatnya Nikah : Persiapan Bakal Pengantin.
menemukan dua hati berlainan jantina dalam sebuah ikatan pernikahan.
Di dalamnya terdapat suatu rahsia yang sungguh luar biasa.
Bagi jiwa yang mendambakan redha Rabb-Nya.
***
Bismillah,
Menarik untuk dikongsikan. Seminggu dua ini, terpapar dibanyak saluran media eletronik, media maya dan juga media cetak tentang suatu isu yang evergreen sehingga kini, iaitu tentang perkahwinan. Menurut kajian yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seramai 2.5 juta penduduk di negara Malaysia yang berumur 25 tahun ke atas tidak berkahwin dengan beberapa faktor yang dinyatakan.
Saya terfikir dan merenung seketika pagi tadi. Akal menerawang jauh seolah-olah mengamati realiti itu. Ya. Sebenarnya soal jodoh, perkahwinan dan pembentukan keluarga itu sangat-sangat dekat dengan kita semua. Semua orang punyai impian, hasrat dan harapan untuk melalui fasa-fasa itu bukan?
Anda pula bagaimana?
Namun, ada sesuatu yang harus dilihat ialah tentang pandangan masyarakat tentang “dunia” perkahwinan itu sendiri. Wujudnya suatu kelompok dan golongan yang menyatakan bahawa tentang kesengsaraan, kesusahan, huru hara dan pahitnya dunia perkahwinan itu. Akibatnya, kini ramai mulai bertimbang-timbang dan berkira-kira untuk tidak memilih untuk berkahwin.
Saya terbaca banyak artikel-artikel yang menonjolkan beberapa public figure, tokoh korporat dan para artis-artis yang memilih untuk hidup membujang kerana pelbagai faktor. Dan menariknya, ada dikalangan mereka begitu “teruja” dan mengesyorkan agar hidup membujang tanpa pasangan itu sebagai suatu pilihan yang baik untuk anak-anak remaja hari ini. Terdiam saya membacanya.
Lihatlah di dada akhbar hari ini, yang ditonjolkan ialah konflik rumah tangga, isu-isu pergaduhan suami isteri, cerita-cerita naik turun-naik turun mahkamah antara pasangan artis dalam menyelesaikan kemelut rumahtangga mereka, perebutan harta antara keluarga-keluarga dan sebagainya. Justeru, akhirnya imej perkahwinan itu kian tercemar dan tercalar.
Lalu, timbullah slogan-slogan dan imej-imej yang negatif tentang perkahwinan. Saya sendiri dihubungi oleh beberapa orang adik serta kenalan yang mengutarakan suatu perasaan bahawa mereka sangat-sangat takut, gerun dan bimbang untuk melalui alam perkahwinan ini.
“ Abang, saya rasa takutlah dan bimbang untuk berkahwin. Bolehkah kalau kita tak kahwin?,”
“ Ustaz, jika kita memilih untuk membujang sehingga akhir hayat agak-agak boleh diterima kah dalam pandangan Islam?,”
Lebih kurang begitu bentuk-bentuk perkongsian yang diterima. Ia membuatkan saya terfikir, termenung jauh juga. Agak sukar untuk merespon tentang hal-hal sebegini.
***
Imej Perkahwinan : Ia harus “dicerahkan” sebersih-bersihnya
Sahabat pembaca, bagaimanakah kalian memandang tentang dunia perkahwinan itu sendiri? Adakah ia suatu yang mesti dan perlu dilalui? Atau kita akan berkahwin kerana semua orang disekeliling kita berkahwin?
Atau, ada yang berpandangan ia hanya pelengkap dalam lalui kehidupan kita sahaja. Terpulang kepada kita sendiri dengan pengalaman, pendapat dan kebijaksanaan “akal” kita dalam menilainya. Justeru, usahlah kita terlalu mementingkan fasa ini dalam kehidupan. Adakah begitu?
Jika itulah yang kita fahami setakat ini, harusnya kita lihat ia dengan kacamata Islam dan bagaimana Islam meletakan perkahwinan sebagai salah satu aspek terpenting dalam peradaban kemanusiaan. Menurut, Sheikh Tariq Ismail Kakhia dalam bukunya, Az-Zauji al-Islamy(Perkahwinan di dalam Islam) menyatakan bahawa Islam sungguh-sungguh mementingkan soal perkahwinan ini. Sehingga, perkahwinanlah dapat memenuhi separuh keagamaan dan keimanan seseorang muslim. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud :
“ Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah pun melengkapi separuh daripada agamanya. Maka bertaqwalah ia kepada Allah di separuh yang belum lagi.” ( Riwayat Baihaqi)
Seruan Rasulullah SAW kepada para pemuda-pemudi dengan suatu signal yang sangat jelas dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud :
“ Wahai golongan pemuda-pemudi! Siapa diantara kamu yang mempunyai kemampuan, maka hendaklah dia berkahwin, kerana dari perkahwinan boleh menyelamatkan penglihatan dan kemaluan kamu. Dan siapa yang tidak mempunyai kemampuan, maka hendaklah ia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu boleh melemahkan syahwatnya.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud)
Apa hebatnya dengan perkahwinan dan pernikahan ini?
(1) Berkahwin dapat mendekatkan dan menghampirkan kita dengan Allah SWT. Kemanisan iman itu akan tertingkat jika kita meletakkan matlamat pernikahan itu pada asasnya yang betul dan benar.
(2) Bernikah itu akan memberikan suatu jalan yang bersih, suci dan halal dalam kita melempiaskan keinginan hawa nafsu kita. Malah, hubungan suami isteri itu dikira sebagai ibadah dan diganjari pahala daripada Allah SWT.
(3) Ia juga akan memberikan suatu perasaan yang sungguh membahagiakan, menenangkan dan melapangkan bagi pasangan suami isteri. Indahnya apabila ada insan yang mencintai, menyayangi dan melindungi kita.
(4) Berkeluarga itu adalah suatu anugerah Allah SWT. Ia akan mendewasakan dan mematangkan lagi suami isteri dalam mengurus hal-hal rumah tangga secara bersama. Anugerah ini jika dilalui dengan bersama, wujudnya persefahaman dan serasian ia adalah bentuk-bentuk kejayaan yang akan membawa ahli-ahli keluarga kepada keredhaan Allah SWT.
(5) Suami isteri adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Titik-titik kelemahan dan kekurangan yang ada akan dibantu oleh pasangan untuk sama-sama perbaiki dari satu tahap ke satu tahap. Hal ini, amat sukar difahami kecuali hanya bagi yang telah berkahwin. Nak tahu lebih lanjut? Anda kenalah kahwin dulu.
(6) Satu lagi, perkahwinan itu boleh menambahkan rezeki manusia. MasyaAllah, benar. Ini sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : Dari Aisyah Radiallahu-Anha, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta. (Riwayat Al-Imam Al-Bazzar).
(7) Perkahwinan itu satu perkongsian. Bak kata pepatah : Sharing is caring. Dengan berkongsi cita-cita, harapan dan impian – kita akan lebih kuat, hebat, luar bisa dan bersemangat untuk mencapai serta menggapainya. Itulah hebatnya perkahwinan, jika pasangan hidup kita adalah pasangan yang hebat maka kita akan tertempias aura atau gelombang kehebatannya.
(8) Manusia itu akan sunyi dan sepi tanpa pendamping, teman dan pasangan. Islam memberikan suatu kaedah dalam mengubati kesunyian itu melalui perkahwinan. Melaluinya, pasangan suami isteri dapat berkongsi perasaan, cerita dan segala-galanya secara bersama.
(9) Melalui perkahwinan, insyaAllah – Allah SWT akan anugerahkan cahaya mata dan anak. Ia adalah buah hati yang tidak tergambar bagaimanakah perasaan bagi yang memilikinya. Anak bukanlah bebanan, tetapi suatu amanah yang harus dipelihara dengan sebaiknya.
(10) Rumahtangga ini adalah umpama suatu bentuk organisasi berskala kecil yang di dalamnya terdapat suatu sistem pengurusan yang menyeluruh. Bagi yang berkahwin, mereka akan berusaha mengurusnya sebaik mungkin agar keluarga yang dibina dapat dikendalikan dengan seimbang, teratur dan sistematik.
MasyaAllah – inilah sunnah yang besar manfaat, pahala dan kebaikan bagi yang melihatnya melalui kacamata keimanan dan ketaqwaan.
***
Tips : Harus milik 3 kunci sebelum bernikah
Saya teringat, ketika bersembang-sembang dengan beberapa orang sahabat saya pada suatu hari. Isu yang paling diminati oleh kebanyakan orang.
“ Sebelum berkahwin, biasanya seseorang itu perlu ada tiga “kunci”,” Kata seorang sahabat saya. Ajuan pertanyaan kepada kami semua yang ada.
“ Apa tiga kunci itu?,” Sampuk seorang daripada kami.
“ Haa.. cuba teka,” Katanya.
Semua berfikir-fikir sambil berusaha menjawab. Bicara kami diteruskan sambil menikmati juadah rojak ayam dan nasi ayam di kedai D’Bagan yang sangat menyelerakan.
Terus dia berkata :
“ Pertama, kunci pejabat,”
“ Kedua, kunci kereta,”
“ Ketiga, kunci rumah,”
Kemudian dengan spontan saya berkata, :
“ Ada satu lagi, cuba teka?,”
“ Kunci Syurga!,” Ada yang cuba menambah.
Saya tersenyum sambil menyuap makan ke mulut.
“ Ada satu lagi, tahu apa dia ?,”
“ Kunci spare!,” Kata Saya.
Masing-masing ternaik kening dan riak muka sedikit teruja. – Smile -
Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti sebelum ini adakah saya benar-benar bersedia atau tidak di saat melangkah kaki ke alam rumah tangga. Namun, dengan ilmu serta pengalaman yang amat-amat sedikit dan terbatas saya melalui dengan penuh usaha untuk lakukan yang terbaik serta meletakan sepenuhnya pergantungan hanya kepada Allah SWT. Kepada-Nya jualah diri ini kembali.
Dan, selain itu juga hasilnya ialah tanggapan saya tentang dunia perkahwinan sebelum berkahwin amat berbeza dengan tanggapan saya tentang alam perkahwinan selepas melaluinya.
Mungkin benarlah, apa yang murabbi saya sebut : “ Lalui dunia perkahwinan dengan persepsi yang sederhana, dan di saat-saat melaluinya teruslah belajar dan belajar serta perbaiki diri dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.”
Justeru, apakah yang seharusnya kita lakukan?
Wallahu’alam, berdasarkan bual bicara bersama mereka-mereka yang telah lama dalam fasa ini – bersedialah bersungguh-sungguh sebelum melangkah ke alam berumah tangga. Ia meliputi minda, hati, fizikal dan rohani. Saya ringkaskan ia berdasarkan apa yang pernah dikongsikan oleh murabbi saya melalui cetusan pandangan oleh Sheikh Hisham al-Wady. Katanya 3 kunci persediaan yang harus ada bagi bakal pengantin sebelum mendirikan rumah tangga iaitu :
(1) Memahami dan mendalami Deen Islam sebagai cara hidup
(2) Mengamati dan fahami perbezaan antara lelaki dan perempuan (Serius : Hal ini sangat-sangat penting & ramai yang terlepas pandang)
(3) Mengutip kefahaman sedalamnya tentang dunia perkahwinan itu sendiri
Dan, antara persedian dan persiapan yang paling penting ialah persediaan kejiwaan. Di sinilah titik kekuatan yang paling utuh dan ampuh dalam menghadapi rumahtangga kelak.
3 kunci ini harus kita pegang dan miliki sebelum melangkah ke alam pernikahan atau perkahwinan. Dan, ingin saya kongsikan beberapa buah buku yang baik yang harus kita baca, fahami dan teliti sebagai rujukan untuk mendirikan rumahtangga. Antaranya ialah :
Bahagia Merayakan Cinta, Tulisan Ustaz Salim A.Fillah. Versi Melayu.
Buku ini sangat baik kupasan. Bahasanya menyentuh jiwa dan miliki sentuhan perasaan yang sangat “halus”.
Mutiara Perkahwinan Menurut Pandangan Islam, tulisan Sheikh Muhamad Ali Qutb. Tulisan asas dan basic tentang dunia perkahwinan. Hujjah, dalil dan kupasannya sangat mudah difahami.
Mencapai Pernikahan Barakah, tulisan Mohammad Fauzil Adhim. Buku ini saya baca dengan bersahaja dan sungguh menyenangkan jiwa. Salim A. Fillah ketika menulis bukunya, banyak mencatatkan point-point penting dari buku ini.
Beginilah Seharusnya Suami Isteri Saling Mencintai, tulisan Sheikh Fathi Muhammad Ath-Thahir. Tulisan amat menarik, sesuai untuk pasangan yang baru berkahwin dan yang telah lama berkahwin. Bacalah, hati pasti berbunga-bunga.
Ini sebahagian sahaja buku yang sempat saya kongsikan saat ini. Mudah-mudahan saya boleh kongsikan pelbagai lagi rujukan dan bahan bacaan di masa-masa mendatang.
***
Penutup : Penikahan itu sebahagian daripada batu-bata kehidupan
Hebatnya kita sebagai mukmin, apabila apa sahaja kita lakukan matlamat dan niatnya jelas. Begitu juga dalam soal perkahwinan ini. Fasa-fasa yang dilalui dalam kehidupan bermula daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan seterusnya melangkah ke alam dewasa menjadi sesuatu yang akan dilalui bagi setiap insan di dunia ini. Fasa-fasa ini adalah titik perubahan yang meninggalkan pengaruh, kesan dan bekas kepada setiap manusia yang mengalaminya.
Begitu juga, dalam konteks alam rumah tangga. Setiap manusia yang normal, secara fitrahnya memiliki hasrat dan keinginan untuk mendirikan rumah tangga. Impian untuk mempunyai pendamping hidup, peneman dan insan yang dikasihi serta disayangi secara lebih dekat itu dengan suasana hidup secara bersama. Mereka ingin dikat serta berkongsi hidup secara halal, suci, bersih dan sah. Namun, suatu persoalan yang harus jelas tertanam dalam benak kita ialah apakah sebenarnya tujuan kita mendirikan rumahtangga melalui jalan pernikahan ini?
Hebatnya Nikah, Jika Semuanya Untuk Allah!
Wallahu 'alam.
Sumber asal : Bro Hamzah, Langit Ilahi
--
p/s: Bagi yang bertanya, background instrumental blog ini ialah; Arwen's Vigil by Piano Guys.
Labels:
catatan hati,
cinta,
fardu ain,
khitbah,
muhasabah diri,
tazkirah,
ulasan buku,
usrah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."