Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Sunday, January 16, 2011

Khaulah Adalah Pejuang Misteri Itu.



Siapakah yang menerbangkan debu pasir,
Dengan deruan kuda yang ditunggangnya,
Selendang yang menutupi wajahnya,
Menjadi pelindung hiasan dunia,
Halus jemarinya menghunus senjata,
Lembut tingkahnya bertukar perkasa...

Salam warahmatullah...

Aku ingin berkongsi kisah mujahidah yang menyertai peperangan menentang Kafir. Kisah ini ku petik dari pembacaanku dalam buku Riwayat Bidadari Syurga tulisan ustaz Munif Ahmad.

Mari kita susuri perjalanan sirah serikandi terbilang ini.

Khaulah binti al-Azwar Al-Kindi adalah seorang wanita yang berani yang mempunyai semangat  dan sifat juang yang tinggi dan cekap menunggang kuda. Ayahnya Al-Azwar adalah seorang pahlawan yang terbunuh sewaktu mempertahankan Rasulullah SAW. Saudaranya pula ialah Dhirar bin Al-Azwar, seprang penunggang kuda yang terkenal. Khaulah dibesarkan dalam keluarga yang mulia dan berani.

Suatu hari, Khaulah keluar  Khaulah bersama saudaranya untuk menyertai tentera muslimin dibawah pimpinan panglima Khalid bin Al-Walid. Mereka menuju ke Syam untuk menakluki negeri itu. Khaulah telah turut serta dalam pertempuran itu.

Ketika pertempuran itu berlaku, Panglima Khalid Al-Walid sedang memerhatikan seorang tentera berkuda yang tinggi dan cekap menunggang kuda. Orangnya tinggi dan tiada apa yang kelihatan di wajahnya melainkan kedua matanya sahaja. Dia telah menutupi seluruh tubuhnya dengan kain hitam dan di kepalanya terdapat serban hijau yang dilabuhkan ke paras dada. Dia selalu di hadapan, bertarung dengan cekap dan pantas di atas kudanya. Lagaknya seperti seorang lelaki yang melawan musuhnya dengan penuh keberanian. Tiada siapa yang menyangka dia adalah seorang wanita.

Setelah selesai peperangan itu, semua pejuang muslimin yang lain tertanya-tanya siapakah gerangan beliau. Maka, Khalid Al-Walid telah memintanya membuka kain penutup wajahnya. Namun Khaulah enggan berbuat demikian. Setelah itu Khalid memintanya menyebutkan namanya. Itu juga tidak dipenuhi oleh beliau hingga menaikkan darah panglima itu.

Setelah melihat Khalid Al-Walid seakan marah kepadanya, lalu dia pun menjawab;
“Aku Khaulah binti Al-Azwar. Aku sedang bersama sekumpulan wanita, kemudian datang kepadaku khabar yang mengatakan saudaraku Dhirar telah ditawan musuh. Maka, aku pun terus menunggang kudaku dan menyertai pertempuran ini.”

Khalid merasa kagum dan memuji Khaulah di atas keberaniannya bertempur dan keikhlasannya terhadap saudaranya. Lalu tentera muslimin sekali lagi menggempur sisa-sisa tentera Rom. Di bawah pimpinan Rafik, seramai 100 tentera Islam telah mengejar sebahagian tentera Rom yang telah pulang ke Hims untuk membebaskan Dhirar. Khaulah turut menyertai pasukan tersebut. Mereka berjaya membebaskan Dhirar selepas bertempur dengan sengit.

Seterusnya Khaulah turut serta dalam penaklukan Mesir sehingga namanya menjadi terbilang dan disebut-sebut oleh wanita-wanita Arab dan kaum lelakinya. Dia terus menjadi seorang pejuang Islam yang menyertai pelbagai peperangan sehinggalah menemui ajalnya di bawah pemerintahan Khalifah Uthman bin Affan.

Khaulah telah meninggalkan nama yang harum mewangi, yang keharumannya akan dirasai oleh kita semua di sepanjang zaman.

Semoga coretan ini akan dapat membakar semangat kita semua untuk menjadikan semangat juang beliau sebagai teladan untuk meneruskan kehidupan ini. InsyaAllah..

Allahu 'alam...

No comments:

Post a Comment

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."