Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Showing posts with label khitbah. Show all posts
Showing posts with label khitbah. Show all posts

Sunday, December 29, 2013

Hebatnya Nikah : Persiapan Bakal Pengantin.



Sungguh ajaib ketentuan Allah SWT,
menemukan dua hati berlainan jantina dalam sebuah ikatan pernikahan.
Di dalamnya terdapat suatu rahsia yang sungguh luar biasa.
Bagi jiwa yang mendambakan redha Rabb-Nya.

***

Bismillah,

Menarik untuk dikongsikan. Seminggu dua ini, terpapar dibanyak saluran media eletronik, media maya dan juga media cetak tentang suatu isu yang evergreen sehingga kini, iaitu tentang perkahwinan. Menurut kajian yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seramai 2.5 juta penduduk di negara Malaysia yang berumur 25 tahun ke atas tidak berkahwin dengan beberapa faktor yang dinyatakan.
Saya terfikir dan merenung seketika pagi tadi. Akal menerawang jauh seolah-olah mengamati realiti itu. Ya. Sebenarnya soal jodoh, perkahwinan dan pembentukan keluarga itu sangat-sangat dekat dengan kita semua. Semua orang punyai impian, hasrat dan harapan untuk melalui fasa-fasa itu bukan?
Anda pula bagaimana?
Namun, ada sesuatu yang harus dilihat ialah tentang pandangan masyarakat tentang “dunia” perkahwinan itu sendiri. Wujudnya suatu kelompok dan golongan yang menyatakan bahawa tentang kesengsaraan, kesusahan, huru hara dan pahitnya dunia perkahwinan itu. Akibatnya, kini ramai mulai bertimbang-timbang dan berkira-kira untuk tidak memilih untuk berkahwin.
Saya terbaca banyak artikel-artikel yang menonjolkan beberapa public figure, tokoh korporat dan para artis-artis yang memilih untuk hidup membujang kerana pelbagai faktor. Dan menariknya, ada dikalangan mereka begitu “teruja” dan mengesyorkan agar hidup membujang tanpa pasangan itu sebagai suatu pilihan yang baik untuk anak-anak remaja hari ini. Terdiam saya membacanya.
Lihatlah di dada akhbar hari ini, yang ditonjolkan ialah konflik rumah tangga, isu-isu pergaduhan suami isteri, cerita-cerita naik turun-naik turun mahkamah antara pasangan artis dalam menyelesaikan kemelut rumahtangga mereka, perebutan harta antara keluarga-keluarga dan sebagainya. Justeru, akhirnya imej perkahwinan itu kian tercemar dan tercalar.
Lalu, timbullah slogan-slogan dan imej-imej yang negatif tentang perkahwinan. Saya sendiri dihubungi oleh beberapa orang adik serta kenalan yang mengutarakan suatu perasaan bahawa mereka sangat-sangat takut, gerun dan bimbang untuk melalui alam perkahwinan ini.
“ Abang, saya rasa takutlah dan bimbang untuk berkahwin. Bolehkah kalau kita tak kahwin?,”
“ Ustaz, jika kita memilih untuk membujang sehingga akhir hayat agak-agak boleh diterima kah dalam pandangan Islam?,”
Lebih kurang begitu bentuk-bentuk perkongsian yang diterima. Ia membuatkan saya terfikir, termenung jauh juga. Agak sukar untuk merespon tentang hal-hal sebegini.

***
Imej Perkahwinan : Ia harus “dicerahkan” sebersih-bersihnya
Sahabat pembaca, bagaimanakah kalian memandang tentang dunia perkahwinan itu sendiri? Adakah ia suatu yang mesti dan perlu dilalui? Atau kita akan berkahwin kerana semua orang disekeliling kita berkahwin?
Atau, ada yang berpandangan ia hanya pelengkap dalam lalui kehidupan kita sahaja. Terpulang kepada kita sendiri dengan pengalaman, pendapat dan kebijaksanaan “akal” kita dalam menilainya. Justeru, usahlah kita terlalu mementingkan fasa ini dalam kehidupan. Adakah begitu?
Jika itulah yang kita fahami setakat ini, harusnya kita lihat ia dengan kacamata Islam dan bagaimana Islam meletakan perkahwinan sebagai salah satu aspek terpenting dalam peradaban kemanusiaan. Menurut, Sheikh Tariq Ismail Kakhia dalam bukunya, Az-Zauji al-Islamy(Perkahwinan di dalam Islam) menyatakan bahawa Islam sungguh-sungguh mementingkan soal perkahwinan ini. Sehingga, perkahwinanlah dapat memenuhi separuh keagamaan dan keimanan seseorang muslim. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud :
“ Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah pun melengkapi separuh daripada agamanya. Maka bertaqwalah ia kepada Allah di separuh yang belum lagi.” ( Riwayat Baihaqi)
Seruan Rasulullah SAW  kepada para pemuda-pemudi dengan suatu signal yang sangat jelas dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud :
“ Wahai golongan pemuda-pemudi! Siapa diantara kamu yang mempunyai kemampuan, maka hendaklah dia berkahwin, kerana dari perkahwinan boleh menyelamatkan penglihatan dan kemaluan kamu. Dan siapa yang tidak mempunyai kemampuan, maka hendaklah ia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu boleh melemahkan syahwatnya.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud)

Apa hebatnya dengan perkahwinan dan pernikahan ini?
(1) Berkahwin dapat mendekatkan dan menghampirkan kita dengan Allah SWT. Kemanisan iman itu akan tertingkat jika kita meletakkan matlamat pernikahan itu pada asasnya yang betul dan benar.
(2) Bernikah itu akan memberikan suatu jalan yang bersih, suci dan halal dalam kita melempiaskan keinginan hawa nafsu kita. Malah, hubungan suami isteri itu dikira sebagai ibadah dan diganjari pahala daripada Allah SWT.
(3) Ia juga akan memberikan suatu perasaan yang sungguh membahagiakan, menenangkan dan melapangkan bagi pasangan suami isteri. Indahnya apabila ada insan yang mencintai, menyayangi dan melindungi kita.
(4) Berkeluarga itu adalah suatu anugerah Allah SWT. Ia akan mendewasakan dan mematangkan lagi suami isteri dalam mengurus hal-hal rumah tangga secara bersama. Anugerah ini jika dilalui dengan bersama, wujudnya persefahaman dan serasian ia adalah bentuk-bentuk kejayaan yang akan membawa ahli-ahli keluarga kepada keredhaan Allah SWT.
(5) Suami isteri adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Titik-titik kelemahan dan kekurangan yang ada akan dibantu oleh pasangan untuk sama-sama perbaiki dari satu tahap ke satu tahap. Hal ini, amat sukar difahami kecuali hanya bagi yang telah berkahwin. Nak tahu lebih lanjut? Anda kenalah kahwin dulu.
(6) Satu lagi, perkahwinan itu boleh menambahkan rezeki manusia. MasyaAllah, benar. Ini sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : Dari Aisyah Radiallahu-Anha, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta. (Riwayat Al-Imam Al-Bazzar).
(7) Perkahwinan itu satu perkongsian. Bak kata pepatah : Sharing is caring. Dengan berkongsi cita-cita, harapan dan impian – kita akan lebih kuat, hebat, luar bisa dan bersemangat untuk mencapai serta menggapainya. Itulah hebatnya perkahwinan, jika pasangan hidup kita adalah pasangan yang hebat maka kita akan tertempias aura atau gelombang kehebatannya.
(8) Manusia itu akan sunyi dan sepi tanpa pendamping, teman dan pasangan. Islam memberikan suatu kaedah dalam mengubati kesunyian itu melalui perkahwinan. Melaluinya, pasangan suami isteri dapat berkongsi perasaan, cerita dan segala-galanya secara bersama.
(9) Melalui perkahwinan, insyaAllah – Allah SWT akan anugerahkan cahaya mata dan anak. Ia adalah buah hati yang tidak tergambar bagaimanakah perasaan bagi yang memilikinya. Anak bukanlah bebanan, tetapi suatu amanah yang harus dipelihara dengan sebaiknya.
(10) Rumahtangga ini adalah umpama suatu bentuk organisasi berskala kecil yang di dalamnya terdapat suatu sistem pengurusan yang menyeluruh. Bagi yang berkahwin, mereka akan berusaha mengurusnya sebaik mungkin agar keluarga yang dibina dapat dikendalikan dengan seimbang, teratur dan sistematik.
MasyaAllah – inilah sunnah yang besar manfaat, pahala dan kebaikan bagi yang melihatnya melalui kacamata keimanan dan ketaqwaan.
***
Tips : Harus milik 3 kunci sebelum bernikah
Saya teringat, ketika bersembang-sembang dengan beberapa orang sahabat saya pada suatu hari. Isu yang paling diminati oleh kebanyakan orang.
“ Sebelum berkahwin, biasanya seseorang itu perlu ada tiga “kunci”,” Kata seorang sahabat saya. Ajuan pertanyaan kepada kami semua yang ada.
“ Apa tiga kunci itu?,” Sampuk seorang daripada kami.
“ Haa.. cuba teka,” Katanya.
Semua berfikir-fikir sambil berusaha menjawab. Bicara kami diteruskan sambil menikmati juadah rojak ayam dan nasi ayam di kedai D’Bagan yang sangat menyelerakan.
Terus dia berkata :
“ Pertama, kunci pejabat,”
“ Kedua, kunci kereta,”
“ Ketiga, kunci rumah,”
Kemudian dengan spontan saya berkata, :
“ Ada satu lagi, cuba teka?,”
“ Kunci Syurga!,” Ada yang cuba menambah.
Saya tersenyum sambil menyuap makan ke mulut.
“ Ada satu lagi, tahu apa dia ?,”
“ Kunci spare!,” Kata Saya.
Masing-masing ternaik kening dan riak muka sedikit teruja. – Smile -
Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti sebelum ini adakah saya benar-benar bersedia atau tidak di saat melangkah kaki ke alam rumah tangga. Namun, dengan ilmu serta pengalaman yang amat-amat sedikit dan terbatas saya melalui dengan penuh usaha untuk lakukan yang terbaik serta meletakan sepenuhnya pergantungan hanya kepada Allah SWT. Kepada-Nya jualah diri ini kembali.
Dan, selain itu juga hasilnya ialah tanggapan saya tentang dunia perkahwinan sebelum berkahwin amat berbeza dengan tanggapan saya tentang alam perkahwinan selepas melaluinya.
Mungkin benarlah, apa yang murabbi saya sebut : “ Lalui dunia perkahwinan dengan persepsi yang sederhana, dan di saat-saat melaluinya teruslah belajar dan belajar serta perbaiki diri dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.”
Justeru, apakah yang seharusnya kita lakukan?
Wallahu’alam, berdasarkan bual bicara bersama mereka-mereka yang telah lama dalam fasa ini – bersedialah bersungguh-sungguh sebelum melangkah ke alam berumah tangga. Ia meliputi minda, hati, fizikal dan rohani. Saya ringkaskan ia berdasarkan apa yang pernah dikongsikan oleh murabbi saya melalui cetusan pandangan oleh Sheikh Hisham al-Wady. Katanya 3 kunci persediaan yang harus ada bagi bakal pengantin sebelum mendirikan rumah tangga iaitu :
(1) Memahami dan mendalami Deen Islam sebagai cara hidup
(2) Mengamati dan fahami perbezaan antara lelaki dan perempuan (Serius : Hal ini sangat-sangat penting & ramai yang terlepas pandang)
(3) Mengutip kefahaman sedalamnya tentang dunia perkahwinan itu sendiri

Dan, antara persedian dan persiapan yang paling penting ialah persediaan kejiwaan. Di sinilah titik kekuatan yang paling utuh dan ampuh dalam menghadapi rumahtangga kelak.
3 kunci ini harus kita pegang dan miliki sebelum melangkah ke alam pernikahan atau perkahwinan. Dan, ingin saya kongsikan beberapa buah buku yang baik yang harus kita baca, fahami dan teliti sebagai rujukan untuk mendirikan rumahtangga. Antaranya ialah :

Bahagia Merayakan Cinta, Tulisan Ustaz Salim A.Fillah. Versi Melayu.
Buku ini sangat baik kupasan. Bahasanya menyentuh jiwa dan miliki sentuhan perasaan yang sangat “halus”.

Mutiara Perkahwinan Menurut Pandangan Islam, tulisan Sheikh Muhamad Ali Qutb. Tulisan asas dan basic tentang dunia perkahwinan. Hujjah, dalil dan kupasannya sangat mudah difahami.

Mencapai Pernikahan Barakah, tulisan Mohammad Fauzil Adhim. Buku ini saya baca dengan bersahaja dan sungguh menyenangkan jiwa. Salim A. Fillah ketika menulis bukunya, banyak mencatatkan point-point  penting dari buku ini.
Beginilah Seharusnya Suami Isteri Saling Mencintai, tulisan Sheikh Fathi Muhammad Ath-Thahir. Tulisan amat menarik, sesuai untuk pasangan yang baru berkahwin dan yang telah lama berkahwin. Bacalah, hati pasti berbunga-bunga.

Ini sebahagian sahaja buku yang sempat saya kongsikan saat ini. Mudah-mudahan saya boleh kongsikan pelbagai lagi rujukan dan bahan bacaan di masa-masa mendatang.
***

Penutup : Penikahan itu sebahagian daripada batu-bata kehidupan
Hebatnya kita sebagai mukmin, apabila apa sahaja kita lakukan matlamat dan niatnya jelas. Begitu juga dalam soal perkahwinan ini. Fasa-fasa yang dilalui dalam kehidupan bermula daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan seterusnya melangkah ke alam dewasa menjadi sesuatu yang akan dilalui bagi setiap insan di dunia ini. Fasa-fasa ini adalah titik perubahan yang meninggalkan pengaruh, kesan dan bekas kepada setiap manusia yang mengalaminya.
Begitu juga, dalam konteks alam rumah tangga. Setiap manusia yang normal, secara fitrahnya memiliki hasrat dan keinginan untuk mendirikan rumah tangga. Impian untuk mempunyai pendamping hidup, peneman dan insan yang dikasihi serta disayangi secara lebih dekat itu dengan suasana hidup secara bersama. Mereka ingin dikat serta berkongsi hidup secara halal, suci, bersih dan sah. Namun, suatu persoalan yang harus jelas tertanam dalam benak kita ialah apakah sebenarnya tujuan kita mendirikan rumahtangga melalui jalan pernikahan ini?
Hebatnya Nikah, Jika Semuanya Untuk Allah!

Wallahu 'alam.

Sumber asal : Bro Hamzah, Langit Ilahi

--

p/s: Bagi yang bertanya, background instrumental blog ini ialah; Arwen's Vigil by Piano Guys. 


Sunday, October 6, 2013

Menerima Calon Pasangan Yang Tidak Dikenali.


"Dan di antara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia Menciptakan pasangan-pasangan untukmu dari jenismu sendiri, agar kamu cenderung & merasa tenteram kepadanya, dan Dia Menjadikan di antaramu rasa kasih & sayang. Sungguh, pada demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir." [surah ar-Rum (30) : ayat 21]





***


Bismillah..

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Selawat & salam buat junjungan Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..


Semua orang yang normal rasanya tidak terkecuali menginginkan kehidupan berumah tangga yang bahagia, bernikah dengan lelaki pilihan yang dipilih kerana Allah. Suami itu mencintai kita dengan bersungguh-sungguh kerana Allah ta'ala. Begitu juga dengan kita pun, mencintainya kerana mengharapkan redha Allah semata-mata & kita mengharapkan hubungan cinta ini berkekalan sampai ke syurga sana.

Ramai juga di antara kenalan, mahupun sahabat sejemaah yang bila ditanya siapakah bakal suaminya, menjawab dia tidak mengenalinya tetapi menerima pinangan itu atas dasar tawakal kepada Allah SWT atas persetujuan walinya.

Allahuakbar. Bertuahnya bagi wanita yang Allah beri ketetapan hati untuk menerima bakal pasangan sekalipun mereka saling tidak mengenali.

Begitupun, tidak terkecuali... ada yang masih lagi keraguan biarpun janji sudah pun diserahkan. Dalam rasa tawakal kepada Allah, masih berbelah bagi juga jauh di sudut hati.

Sering tertanya diri..

Betulkah aku hendak nikah dengan dia?
Betulkah dialah bakal suami aku? 
....Manusia yang kelak aku wajib taat setelah Allah & Rasul?

Adakalanya soalan-soalan ini muncul bertalu-talu di dalam hati.
Namun, segera ditangkis dengan istighfar & doa.

"Saya solat istikharah sudah banyak kali... tetapi sekalipun tak pernah mendapat apa-apa tanda yang mampu menyakinkan saya bahawa dia itu jodoh saya yang terbaik. Sedangkan pinangan itu sudah pun wali saya terima..."


Ada juga terjadi situasi sebegini dalam kalangan muslimah di luar sana. 



Biarpun wajah nampak tenang & terus dimaniskan tatkala berdepan dengan insani. Ketahuilah bahawa di dalam lubuk hatinya masih tersimpan rasa yang bercampur baur, namun kegelisahan ini dipujuk dengan keyakinan, tawakal & doa yang tidak putus-putus ke hadrat Allah SWT.


Persoalan adakah kita telah membuat pilihan yang benar tatkala menerima calon atau bakal pasangan yang kita belum kenali sepenuhnya pasti tidak akan pernah terlepas dari fikiran. Biarpun sejenak hati rasa tenang & nekad setelah mengadu harap kepada Allah dari sujud ke sujud, namun syaitan pasti akan terus membisikkan kata-kata hasutan untuk membuahkan keraguan di dalam hati hambaNya yang memasang niat mahu bernikah demi mencari redha Allah.

Semua perempuan, hatta dia muslimah mahupun bukan... semuanya menginginkan suami yang mampu menjadi pelindung, pembimbing, seseorang yang mampu dipercayai & mencintai diri kita seadanya. Namun, tidak semua perempuan memilih jalan syubhah yakni berusaha mengenali bakal pasangannya dengan cara bercinta & berhubungan secara rapat sebelum bernikah/berkahwin.

Ramai di antara muslimah yang limited & special edition masih menolak 'couple' sebelum nikah. Ya... memangnya tiada pacaran sebelum bernikah di dalam Islam. Ianya tiada dalam ajaran Rasulullah SAW. Makanya, sesi taaruf ini diteruskan melalui pertunangan.

Walaupun begitu... ada juga yang masih tidak bertaaruf dengan tunangannya secara direct sepanjang tempoh bertunang ini kerana masing-masing teguh pada prinsip mahu menghadkan komunikasi antara mereka bagi menjaga hati selagi belum akad nikah. Alhamdulillah. Tahniah.

Hal ini berkait rapat dengan prinsip yang dipegang, yakni terpulang kepada individu itu sendiri. Jika sesi bertunangnya pendek ataupun hari bahagia semakin menghampir, tentunya banyak yang perlu dibincangkan sementelah hari penyatuan bakal tiba. Berpeganglah pada fatwa hati masing-masing. Sekiranya hati sudah rasa tidak senang jika selalu benar berhubung... ataupun kerap benar terbabas berbicara mula keluar topik & bukan lagi atas urusan yang syari'e... sebaiknya limitkanlah. Sekiranya signal hati masih hijau lantaran masing-masing bercakap atas dasar urusan, menjauhi dari berkata yang lagho, tidak bergurau secara berlebihan tanpa keperluan, insyaAllah, Allah pasti akan menjaga kalian.


Sesungguhnya hati yang beriman itu sangat sensitif terhadap dosa. Makanya, tentunya ia tidak akan senang melakukan perkara-perkara yang boleh membuatkan Allah murka. Sebagaimana niat kita hendak bernikah adalah kerana Allah... maka usahakanlah untuk melalui proses itu juga dengan cara-cara yang membuatkan Allah terus meredhai kita. insyaAllah, akan ada keberkatannya hatta selepas meniti titian rumah tangga.



***


Kita tidak kenal siapa bakal suami kita. Hendak mengintipnya terasa keterlaluan. Hanya berpandu pada sekilas pandang kala berdepan yang mana kita rasa belum cukup meyakinkan.

Kita rasa sangat takut jika kita tersalah pilih.. macam-macam hal bermain di dalam fikiran.. bagaimana sebenarnya akhlak dia, ibadah dia ketika hanya berdua-duaan dengan Allah, apakah sama seperti yang kelihatan semasa dia bermusafir berdua wali kita, atau semasa dia datang berkunjung ke rumah, atau semasa kita menziarahi rumahnya. Adakah akhlak yang baik itu jugalah yang dipamer semasa dia dengan sahabat-sahabatnya, saudara-maranya, majikannya, rakan sekerjanya...? kita benar-benar takut & merisaukan hal itu.

Siapa dia ketika berseorangan dengan Tuhan? Bagaimana akhlaknya sewaktu bersama teman-temanan? Adakah sama seperti dia berdepan dengan kita sewaktu menziarahi wali di kala menitip lamaran atau bagaimana sebenarnya dia ini...? Kita terus tertanya-tanya sampaikan kita gusar, risau, bimbang, takut, sedih... takut tersalah pilih.


Namun... pernahkah kita terfikir... kala kita kegusaran tentang perihal dia.. tentang abilitinya dalam menjadi pemimpin keluarga.. mungkin dalam masa yang sama dia juga gusar memikirkan yang sama tentang kita. Mampukah kita ini menjadi isteri/bakal isterinya yang solehah... menjadi ibu/bakal ibu yang solehah kepada mujahid, mujahidah yang dilahirkan/bakal dilahirkan..?



Allah...
Sesungguhnya manusia itu sifatnya memang suka berkeluh kesah, sering risau kan..? sama seperti yang Allah firmankan di dalam ayat-ayat cintaNya.




Astaghfirullah.
Moga Allah mengampuni kita yang terlalu memikirkan makhluk melebihi mengingatiNya.

***


Muslimah yang disayangi kerana Allah..

Untaian kata-kata ini dititipkan untuk renungan kita bersama..

Engkau mungkin akan berkahwin dengan lelaki yang sangat keji, sebagaimana Asiyah berkahwin dengan Firaun tetapi itu tidak sedikit pun mengubahnya & keimanannya kepada Allah. 

Engkau mungkin akan berkahwin dengan lelaki yang sangat soleh sebagaimana Nabi-nabi Allah namun itu tidak mampu menyelamatkanmu dari seksaan & kemurkaan Allah seperti isteri Nabi Lut AS. 

Engkau juga mungkin tidak berkahwin dengan mana-mana lelaki pun sepanjang kehidupanmu sebagaimana Maryam AS, namun Allah telah mengangkat darjatnya melebihi mana-mana wanita di dalam dunia ini & menghuni syurgaNya yang abadi. 
Muslimah.. Ketahuilah keutamaanmu. Mengapa terus membiarkan diri terus memikirkan siapa dia yang engkau kahwini @ bakal kahwini hinggakan engkau terlupa untuk bermuhasabah merenung diri;  
"Siapakah aku di hadapan Allah...? Adakah Allah sedang meredhaiku?"

Saudari-saudariku yang dicintai kerana Allah...
Sedarilah.. hakikatnya jika Allah mengurniakan kita lelaki yang sangat soleh sekalipun sebagai pasangan hidup, tetap kita tidak mampu menjejaki syurga Allah jika di hati kita tiada sebenar taqwa kepadaNya.


Bagaimana kita dengan Allah... siapa kita di sisi Allah... Mana Allah di dlm hati kita... Banyak mana usaha kita mempersiapkan bekal akhirat kita.. itu yang lebih penting sebenarnya yang patut lebih kita risaukan setiap saat sebenarnya... kerana seorang wanita yang solehah itu... insyaAllah akan masuk ke syurga Allah jika suaminya & Allah meredhaiNya biarpun tanpa suaminya bersama.. 



Namun, seorang lelaki yang bergelar suami tidak akan semudah itu berlepas diri kerana dia akan dipertanggungjawabkan atas ahli-ahlinya iaitu isteri & anak-anaknya.

Meletakkan harapan & impian yang tinggi kepada pasangan @ bakal pasangan adalah fitrah... semua orang berhak berharap & berdoa untuk hal yang terbaik... tetapi jangan sampai melebihi harapan & impian kita kepada Allah kan para akhowat..? sandaran kita sepatutnya tentunya kepada lebih kukuh, iaitu Allah.

.... Kerana bila Allah Menguji, kiranya dia bukan seperti yang kita harapkan, kita masih mampu berbahagia, kerana kita tahu... itulah yang terbaik daripada sisiNya..



***


Allah yang izinkan lelaki itu datang, meminang, menjadi tunang & insyaAllah menjadi suami @ bakal suami kita. Allah yang izinkan dia hadir ke dalam hidup kita... subhanallah, bukankah hal ini sudah cukup untuk membuatkan hati kita tenang?

Allah memasukkan kita ke dalam fasa ini, agar kita lebih merenungi diri, agar kita bermuhasabah..

Subhanallah.. besarnya sebuah hikmah..


"Maka nikmat Tuhanmu yang manakah yang dapat engkau dustakan?" [surah ar-Rahman (55)]


Maka, mari kita sama-sama memandang pemberian Allah ini sebagai nikmat kerana menjadikan kegusaran & kerisauan ini sebagai jalan untuk diri menambahdekatkan diri kita yang hina ini kepada Allah SWT khususnya.

Hakikatnya... sepanjang proses kita berperang dengan kegusaran hati & perasaan ini... kita sendiri boleh rasa... hubungan dengan Dia bertambah dekat, begitu juga dengan ahli keluarga, nampaknya bertambah rapat.... samada kita perasan ataupun tidak... Alhamdulillah.

Akhowat... dalam hal yang sulit & melebihi batasan kemampuan kita yang sebegini, adalah sebaiknya kita serahkan & tawakal kepada Allah. Pergantungan kita kepadaNya dibuktikan melalui pembaikan ibadah kita kepada Allah... bagaimana kesungguhan kita untuk mengharapkan pertolongan Allah dalam setiap urusan kita.

Memang kebiasaannya akan ada salah faham, salah sangka, misscommunication semasa dalam tempoh ta'aruf, tambahan pula jika kadangkala ada campur tangan pihak lain... walau apapun, berbaliklah semula kepada bagaimana tawakalnya kita semasa menerimanya pada jawapan istikharah.

Jaga niat kita. Lillahi ta'ala...


Bukankah... Kita telah istikharah...Kita telah istisyarah.... juga telah berusaha menyelidik akhlaknya setakat yang kita mampu...?

Maka, kembalikanlah segalanya semula kepada Allah.. 


Jika engkau bercinta dengannya berpuluhan tahun, ataupun engkau bersamanya 24 jam seumur masa... apakah engkau menjamin engkau akan benar-benar mengenali siapa dirinya? 

.... jika tanpa keizinan Allah?



"Ya Allah... rezekikanlah aku suami yang soleh, lemah lembut & penyantun. Dia mencintaiku dengan bersungguh-sungguh keranaMu ya Allah & aku juga mencintainya dengan bersungguh-sungguh demi mengharap redhaMu. & jadikanlah cinta & kebahagiaan ini berkekalan sehingga ke syurgaMu. Sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik Pemberi Warisan."

***

Kita belum lagi benar-benar mengenali dia..
tetapi Allah kenal...

Dia juga belum lagi benar-benar mengenali siapa kita..
tetapi Allah kenal..

:')

Maka, mengapa tidak kita sama-sama merapati Dia yang lebih Mengetahui segala-galanya itu...?

Subhanallah..

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya." [Surah At-Thalaq: 2-3]


Innalillahi wa inna ilaihi roji'un..

Sesungguhnya kami ini milik Allah & kepadaNya-lah kami akan dikembalikan..

Wallahu 'alam..
-----------

p/s: saya menulis ini sekadar dari pandangan peribadi saya yang hina & dhoif ini sebagai peringatan & nasihat buat diri sendiri terutamanya.. moga menjadi asbab kepada kebaikan... mohon maaf andai tersilap kata... moga Allah ampunkan dosa-dosa penulis blog ini. Amiin.
p/s 2: Andai sudi, jemputlah saya juga ke walimah kalian... :)


Notahati:

1) Sejuk hati tengok gambar-gambar walimah sahabat-sahabiah sepanjang ketiadaan. Nampaknya tema warna peach & gold popular tahun ini... :)

2) Bercinta selepas nikah itu memang wujud... & telah pun dibuktikan oleh mereka yang soleh & solehah itu ya Allah.. subhanallah... :')
3) Nikah itu insyaAllah... tetapi mati itu pasti.. Sungguh, semua ini hanyalah untuk Allah Ta'ala.. 





Moga Allah memelihara kita daripada tergelincir dari landasan rahmat & keberkatanNya.. amiin. :)

Wednesday, May 8, 2013

Bertunang..... Perlukah?

-gambar hiasan-

Bismillahirohmanirrohim.

Tahniah kepada semua sahabat-sahabiah-teman-rakan-taulan yang sudah bertunang. Semoga urusan kalian untuk menghampiri gerbang pernikahan akan dipermudahkan serta diredhai oleh Allah SWT.

Entri ini dipetik dari SUMBER ASAL : MyIham.com yang dikongsikan di sini untuk manfaat bersama, insyaAllah. Untuk kita beringat-ingat dalam mengemudi kehidupan yang sementara ini agar terus diredhai oleh Allah..

***


2015?

Ya. Saya agak tidak seronok apabila mendengar berita seorang kenalan yang mahu bertunang tahun ini (tahun 2011 - ketika artikel ini ditulis) tetapi hanya mahu berkahwin 4 tahun akan datang. Mungkin dia ada alasan sendiri, tetapi perlukah sehingga meletakkan target sebegitu jauh? Itu mungkin salah satu dari ribuan kisah lain yang sudah menjadi kebiasaan berlaku dalam masyarakat kita. Seronok mahu bertunang, tetapi takut untuk berkahwin.

Lalu tarikh berkahwin sebolehnya dilontar jauh-jauh ke hadapan. Ataupun perancangan ke arah perkahwinan pun masih kabur. 

Saya mahu bercakap secara ringkas tentang pertunangan. Selepas anda membaca artikel ini, mungkin anda boleh fikirkan kembali tindakan mana yang lebih tepat untuk anda lakukan dengan merujuk kepada kondisi masing-masing.


BERTUNANG

Hukumnya disebut oleh para ulamak sebagai Sunat, meskipun ada juga ulamak yang menghukumnya sebagai Harus. Bermakna, amalan tersebut digalakkan di dalam Islam demi mencapai Maqasid ( tujuan ) yang tertentu. Apabila kita melihat kepada hukum, maka kita juga perlu meneliti kepada maqasid ataupun Hikmah di sebalik hukum tersebut. Dari situ, barulah kita akan jelas dengan apa yang perlu kita lakukan.

Bertunang, ada tujuan dan hikmahnya yang tersendiri. Antara tujuannya adalah supaya kedua-dua pasangan boleh mengambil sedikit masa untuk bersedia ( mental dan fizikal ) serta mengambil peluang untuk mengenali antara satu sama lain, sebelum melangkah ke alam perkahwinan. Antara lain, tujuan bertunang itu juga adalah supaya keluarga kedua-dua belah pihak dapat membina hubungan sebelum bergelar besan. Kita selalu dengar orang tua-tua menyebut; apabila kita berkahwin, kita bukan berkahwin dengan lelaki atau wanita itu sahaja, tetapi kita juga ‘berkahwin’ dengan keluarganya sekali.

Bermakna, proses ta’aruf itu sangat penting. Sebab itu, dalam misi mahu bertunang ini, apabila seorang lelaki sudah bertekad mahu mengambil wanita itu menjadi isterinya, maka dia diharuskan untuk melihat wajah dan tangan wanita tersebut. Dalam hal ini, tiada istilah ‘malu-malu’ atau ‘aurat’. Semua itu, tujuannya adalah supaya si lelaki beroleh momentum tersendiri untuk menuju perkahwinan.


BAGAIMANA PERTUNANGAN BERLAKU?

Pertama sekali, kita perlu membezakan antara amalan dalam masyarakat yang dipanggil sebagai ‘uruf ( adat ) dan juga konsep sebenar amalan tersebut mengikut syarak. Dalam bab pertunangan, ia tidak berhajat kepada majlis besar-besaran atau hebahan seumpama mahu bernikah. Ia juga tidak memerlukan kepada hantaran, dulang-dulang dan sebagainya.

Pertunangan itu secara mudahnya adalah lamaran seorang lelaki ke atas seorang wanita untuk dijadikan isterinya. Sebagai contoh :

Ali : Saya sudah membuat keputusan dan berfikir masak-masak, saya mahu melamar awak untuk dijadikan isteri saya serta ibu kepada anak-anak saya nanti. 

Fatimah : Saya terima dengan hati yang terbuka dan semoga Allah permudahkan urusan kita.

Itu contoh bagaimana pertunangan berlaku. Tetapi perlu diperhatikan juga beberapa perkara : Antaranya , wanita tersebut perlulah seorang yang sudah matang dan berkelayakan untuk membuat keputusan. Kalau masih dirasuk jiwa remaja dan angin cinta entah dari mana, maka jawapan dari si wanita atau si gadis dianggap tidak layak. Maka sebaiknya, melamarlah terus kepada bapa atau ahli keluarga si wanita tersebut, jika benar-benar ikhlas dan serius.

Apabila lamaran diterima, maka mereka berdua dianggap sah menjadi tunangan masing-masing, samada diketahui orang ataupun tidak, dan si lelaki atau wanita tidak boleh dipinang lagi oleh orang lain selagi mana ikatan pertunangan itu masih berlangsung. Ini kerana ia merupakan ‘perjanjian’ , maka ia perlu dijaga sebagai satu amanah dan tidak boleh dikhianati. Kerana itu Nabi s.a.w mengharamkan pinangan atas pinangan.



MASALAH DALAM PERTUNANGAN :

(1) Bercouple

Sebenarnya, terlalu banyak masalah yang berlaku melibatkan hal ehwal pertunangan ini. Saya pernah menulis salah satu masalahnya ialah bertunang tetapi bercouple. Sedangkan hakikatnya, dalam pertunangan si lelaki tidak ada hak langsung ke atas si wanita melainkan ikatan atau ‘perjanjian’ tersebut sahaja.

Tetapi dalam bab keluar bersama-sama tanpa mahram, berdua-duaan tanpa maslahat (keperluan yang mendesak), keluar pagi balik petang, menghantar mengambil dari tempat kerja, tinggal bersama-sama dan segala jenis perbuatan seumpama itu yang lain, maka hukumnya adalah HARAM.

Anehnya, masih ramai yang menyangka diri mereka mempunya hak ke atas tunangan masing-masing, sehingga kehidupan mereka tidak ubah seperti suami isteri walaupun masih belum berkahwin. Ibu bapa pula ramai yang menjadi dayus dengan membiarkan sahaja anak gadis mereka keluar berduaan bersama tunangan masing-masing dengan alasan ‘mereka sudah bertunang’. Sedangkan dalam tempoh bertunang itu, si gadis masih berada di bawah tanggungjawab walinya, justeru tindakan membiarkan si gadis tenggelam dalam maksiat itu adalah tindakan tidak bermaruah dan walinya dikira sebagai dayus. Sabda Nabi s.a.w : Orang dayus tidak akan masuk syurga.


(2) Tempoh

Seperti yang saya sebutkan di awal artikel ini, terlalu ramai orang yang bermudah-mudah dalam bab pertunangan tetapi tidak serius dalam misi mahu berkahwin. Keadaan ini bertambah buruk apabila keluarga masing-masing terlalu mendewa-dewakan adat ataupun membesarkan-besarkan perkara materialistik sehingga mengabaikan nilai beragama dalam diri anak masing-masing.

Mereka sudah suka sama suka, keluarga juga sudah berkenan, lalu diatur majlis pertunangan. Tempoh bertunang diletak sehingga 3-5 tahun semata-mata beralasan supaya mereka bersedia, ada kerja, ada rumah, ada kereta dan sebagainya. Lalu dalam tempoh tersebut, anak masing-masing dibiarkan berhubung sebagaimana layaknya pasangan bercinta - atas alasan supaya lebih kenal mengenali - dan dibiarkan keluar ke mana sahaja yang mereka suka atas alasan supaya membina rasa tanggungjawab dan persefahaman.

Lebih parah, ada juga ibu bapa yang langsung tidak risau kiranya anak mereka itu terjatuh ke kancah zina, kerana beralasan ; mereka sudah bertunang dan akan datang pun, tetap juga menjadi suami isteri. Sesungguhnya, amat tebal kejahilan mereka tentang qadha’  qadar dan percaturan daripada Allah.

Tanya kembali kepada diri, adakah itu maqasid/ tujuan / hikmah Allah mensyariatkan pertunangan? Supaya berlaku zina? Mukaddimah zina? Boleh bercinta sebebas-bebasnya? Boleh berduaan ke mana suka? Boleh lakukan apa sahaja?


(3) Jahil atau Tidak Serius

Mereka tidak tahu kenapa mereka bertunang. Sama juga isunya, lelaki dan wanita bertunang atau mahu bertunang, tetapi langsung tidak mengambil berat kenapa mereka bertunang. Adakah hanya semata-mata suka? Adakah hanya semata-mata mahu ‘chop’ si gadis dari disambar orang lain?

Bahkan tidak pelik, terlalu ramai orang yang bertunang tetapi masih tidak tahu hukum berkahwin padanya itu samada wajib, sunat ataupun makruh. Isu kahwin enggan difikir, lantaran merasa ‘selesa’ dengan tempoh bertunang yang sebegitu lama. Seronoklah masing-masing bermain cinta, dengan menggunakan ‘tiket agama’!

Akhirnya Syaitan mendominasi rasa, terbuai hanyut entah ke mana, lalu jadilah mereka mangsa kepada nafsu durjana. Rasa bersalah mula mengisi jiwa, perasaan terhadap pasangan mula hambar tidak seperti mula-mula, akhirnya dengan mudah mengungkap kata ; "Awak, baik kita putus tunang saja."

Masa bercinta semuanya indah belaka, bila sampai bab tanggungjawab semua benda jadi keruh belaka. Alasannya ; masih belum puas enjoy zaman remaja!


(4) Putus Tunang

Mengapa saya sebutkan ini sebagai salah satu masalah dalam pertunangan? Sebab fenomena malang inilah yang seringkali berlaku kepada pasangan yang bertunang akibat daripada :

1- Tidak faham mengapa mereka bertunang

2- Tidak menjaga ikhtilat ( perhubungan ) semasa bertunang

3- Tidak benar-benar ikhlas dan serius mahu bernikah

4- Tempoh bertunang yang terlalu lama

Cuba anda fikir, dalam bab putus tunang ini sahaja, berapa banyak malapetaka yang berlaku?

Malapetaka pertama , sudah tentulah isu perasaan. Kecewa, tertekan, putus asa dan malu, lebih-lebih lagi kalau bertunang riuh sekampung.

Malapetaka kedua, tertutup ruang dan peluang bagi lelaki yang lain untuk masuk melamar si wanita. Contoh situasi yang banyak berlaku :

Bertunang 5 tahun. Tahun pertama ok, tahun kedua mula ada masalah sikit, tahun ketiga mula rasa hambar. Belum sampai tahun kelima. Dalam tempoh tersebut, katakan si wanita benar-benar mahu berkahwin. Dia sudah betul-betul bersedia untuk menjadi isteri orang dan dia juga benar-benar tidak suka dengan ikhtilat yang tidak terjaga dalam tempoh bertunang. Tetapi apabila diajak berbincang untuk mempercepatkan pertunangan, si lelaki berdolak dalih dengan pelbagai alasan. Tidak bersedia, mahu kukuhkah ekonomi, perlu fokus kerja dan macam-macam lagi.

Akhirnya si wanita terpaksa menunggu dan terus menolak lamaran demi lamaran dari lelaki lain dalam tempoh tersebut, semata-mata kerana statusnya yang sudah bertunang. Masuk tahun keempat, si lelaki terjatuh hati dengan wanita lain. Berlaku konflik antara mereka dan si lelaki dengan mudahnya memutuskan pertunangan. Jadi siapa yang merana?

Itu satu contoh malapetaka yang seringkali berlaku dalam bab pertunangan, di mana punca terbesarnya adalah faktor MASA.


JIKA DILAMAR

Saya mahu sebutkan beberapa perkara kepada wanita terutama yang belum dilamar.

Pertama : Anda mempunyai nilaian yang mahal. Mahal anda bukan kerana rupa, tetapi kerana agama dalam diri anda. Akhlak, peribadi, budi bahasa dan kebaikan yang ada pada diri anda adalah satu ‘seni’ paling unik yang sekaligus menjadikan anda punya nilai yang mahal.

Kedua : Disebabkan anda mahal, jangan beri peluang untuk lelaki ‘murah’kan anda. Caranya, jangan buka hati kepada lelaki murahan. Lelaki murahan itu bagaimana? Antaranya lelaki yang hanya tahu bermadah cinta, tetapi langsung tidak dewasa ( tidak matang ), lelaki yang hanya mahu suka-suka tetapi tidak serius mahu memimpin kita ( menjadikan isteri ) dan lelaki yang mudah mengajak kita bertunang tetapi begitu susah mengajak kita berkahwin.

Ketiga : Anda sesungguhnya tidak tahu siapakah lelaki yang terbaik untuk anda. Tetapi DIA Maha Tahu. Jadi, apabila anda telah bersedia untuk menjadi suri kepada seorang lelaki, mohonlah pada DIA, lelaki yang terbaik untuk anda. Jangan ikat diri anda dengan seorang lelaki yang sengaja ‘menyimpan’ anda lama-lama, kerana anda sendiri tidak tahu adakah lelaki itu benar-benar bakal menjadi suami anda ataupun tidak. Terlalu banyak tragedi sekeliling anda yang boleh dijadikan iktibar.

Keempat : Bincang dengan mak dan ayah, jika seorang lelaki masuk melamar atau mahu bertunang, tempohnya hendaklah tidak lebih dari setahun. Ini pendapat peribadi saya sahaja. Saya merasakan, pertunangan dalam tempoh yang lama itu lebih banyak membawa mudharat dari manfaat.



KESIMPULAN

Bertunang itu maqasidnya jelas, maka fokuslah kepada maqasid tersebut. Jangan jadikan pertunangan sebagai tiket untuk melambat-lambatkan pernikahan sekaligus melengah-lengahkan masa untuk memikul tanggungjawab. Jangan ambil kesempatan bertunang untuk bermain cinta, kerana sesama tunang tidak ada bezanya dengan bukan tunang.

Kalau perlu kepada bertemu atau berbincang, bawalah mahram bersama. Tetapi praktikalnya, mungkin terlalu jarang berlaku di mana tunangan keluar dengan membawa ayah atau abang mereka bersama. Mereka kononnya mahukan privacy. Akhirnya, privacy makan diri.

Justeru, timbang-timbangkanlah segala perkara yang disebutkan ini dan tanyalah kembali kepada diri masing-masing, perlukah anda bertunang? Jika perlu, kenapa? Kemudian, berapa lama? Kemudian, adakah target untuk bernikah benar-benar telah menjadi fokus utama?

Buatlah keputusan yang terbaik untuk diri dan agama, juga untuk masa depan anda di akhirat sana.

Sekian.

Wallahu a'lam.

-----------