Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Showing posts with label PRU. Show all posts
Showing posts with label PRU. Show all posts

Friday, April 26, 2013

Mari Memilih Dengan Iman.




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam..


Undi Kita, Jihad Kita.

Dalam seminggu dua ini...
Di mana-mana seakan berpesta. Pesta bendera. Pesta promosi pilihan calon, pilihan parti dan sebagainya. Di dalam rumah, di jalan raya, di universiti, di bilik, di kelas, di dalam bas. Sana dan sini semuanya bicaranya hampir sama; berkisar tentang pilihan raya.




Alhamdulillah..
Syukur ke hadrat Allah.. jika Allah izinkan, inilah kali pertama saya akan participate sebagai pengundi bagi pemilihan saf pimpinan, kerajaan yang seterusnya, insyaAllah.

Dalam keterujaan ini.. ada rasa sedih & kecewa menerpa.

Ada yang saya dengar awal-awal sudah mahu membuat undi rosak. 

Ada juga yang bercadang untuk tidak mahu keluar mengundi pada hari penting tersebut.

Hal ini sangatlah tidak bertanggungjawab sebenarnya. 







Saya menyeru kepada diri sendiri & sahabat-sahabat semua, jangan lupa untuk menunaikan kewajiban kita sebagai rakyat untuk mengundi pemimpin pilihan. Kelak, kita akan ditanya di akhirat, siapa yang telah kita pilih untuk menjadi pemimpin kita. Walaupun kita tidak mengundi, tetapi dengan sikap kita tidak mengundi, ia juga memberi kesan kepada siapa kepimpinan negara akan diamanahkan.


Saya masih ingat taujihat yang disampaikan oleh para ustaz. Menegakkan Islam sebenarnya bermula dari sekecil usaha memangkah pilihan pemimpin. Sekurang-kurangnya ia antara jihad kita, usaha kita untuk menegakkan Islam di negara kita. Jika selama ini kita bertanya, manakah dia ruang & peluang untuk kita menyumbang sesuatu demi Islam?

Nah... inilah dia ruang & peluangnya.

***

Ciri Pemimpin Yang Kita Cari. 


"Dan janganlah kamu mengikuti sesuatu yang tidak kamu ketahui. Kerana pendengaran, penglihatan & hati nurani, semua itu akan diminta pertangungjawabannya." [al-Isra' (17) : 36]

Ketika memilih imam solat berjemaah, tentunya yang akan kita pilih sebagai imam adalah orang yang paling kita percayai agamanya yang mana; kita yakini bagus bacaannya, faham hukum hakam, rukun solat dan sebagainya kerana jika berlaku sesuatu di dalam solat itu, kesilapan dan sebagainya, dia boleh mengatasinya dengan ilmu yang sohih. Begitu juga dengan makmum. Kedua-duanya perlu mempunyai ilmu. Itu hal dalam memilih imam solat berjemaah. 

Kalau memilih bakal pasangan pun kita cerewet, termasuklah usaha buat istikharah, istisyarah, semak background family dia, stalk akhlak dia dengan ibu bapanya, sahabat-sahabatnya (& lain-lain), serta meneliti peribadinya di alam realiti mahupun maya, sebagai ijtihad agar tidak tersalah memilih bakal suami/isteri, bakal ibu/bapa anak-anak kita... sedangkan itu baru maratib amal di tangga yang kedua bagi kehidupan muslim.

Inikan pula dalam perihal memilih imam negara, antara maratib amal paling atas dalam kehidupan seorang muslim.  

Sudah tentu lebih besar tanggungjawab kita.




Dia yang kita pilih, pemimpin yang akan kita ikuti. Yang kita serahkan kepercayaan kita kepadanya untuk mempimpin kita dengan ilmu, yang kita harapkan akan membawa kita lebih dekat kepada Allah, kepada akhirat..

Pemimpin kesayangan & sanjungan seluruh ummat, Nabi Muhammad sollallhu 'alaihi wasallam adalah pemimpin terbaik sepanjang zaman. Maka, sudah tentulah pemimpin yang perlu kita pilih hari ini adalah berdasarkan siapa yang jelas mahu menyambung perjuangan baginda, insyaAllah.




Pilihlah Islam.
Pilihlah untuk berada di pihak yang mengandungi ramai ulama' warisan anbiya' di dalamnya.
InsyaAllah, mudah-mudahan kita akan selamat dengan berada di pihak yang benar. Ini juga sebahagian daripada ijtihad kita sebagai rakyat marhaen.



***

Promoter, Jentera, Jagalah Akhlakmu!

Saya sangat berbesar hati & meraikan usaha rakan, taulan, sahabat handai, saudara-saudari yang sangat aktif mempromosikan parti pilihan masing-masing yang mereka percayai akan memperjuangkan Islam, memperjuangkan hak-hak rakyat. Ini adalah satu usaha yang murni.

Namun, kemurnian itu boleh dicacatkan dengan buruknya bahasa yang kita guna serta akhlak yang kita pamerkan.

Sekalipun kita menolak pihak lawan kita, janganlah sampai mencercanya, mengejinya, memfitnahnya serta menamakannya dengan gelaran yang buruk. Nauzubillah. Sesungguhnya Rasulullah sollallhu 'alaihi wasallam tidak pernah mengajar kita sedemikian. 

" Musim pilihanraya menyaksikan ramai orang menggunakan bahasa 'dosa' dalam percakapannya. Iaitu kejian, cercaan, sangka buruk, sindiran memuaskan nafsu sendiri & menyakitkan orang, mentakwilkan kenyataan nasihat baik kepada buruk lalu mencaci yang menasihat secara umum, marah-marah, mengulas tanpa adab dan lain-lain.  
Adakah pencaci berbahasa kotor & kesat ini fikir, 'bahasa busuk' yang digunakan BOLEH menjadi ASBAB kemenangan yang akan DIBERKATI ALLAH?. Astaghfirullah..  "
[Ustaz Zaharuddin Abd Rahman]

Sekali lagi... saya menyeru kepada diri sendiri & kepada semua saudara saudari yang mengaku diri mereka sebagai promoter & jentera kepada perjuangan Islam agar menjaga akhlak (bahasa percakapan, bahasa penulisan, mimik muka & komen-komen membalas hujah) sepanjang membantu usaha menegakkan Islam sepanjang proses pilihan raya kali ini, insyaAllah..




Ingat, jika kita tidak mampu untuk menjadi permata yang membuatkan Islam semakin bersinar, janganlah sampai kita menjadi fitnah kepada Islam yang indah ini.

Jangan kerana rosaknya akhlak kita menyebabkan kekalahan Islam & perjuangan yang murni ini hilang keberkatannya di mata Allah.

Nauzubillah.

***

Buatlah Pilihanmu.

"Ingatlah ketika pemuda-pemuda itu berlindung di dalam gua, lalu mereka berdoa; "Ya Tuhan kami. Berikanlah rahmat kepada kami dari sisiMu & sempurnakanlah petunjukMu yang lurus bagi kami dalam urusan kami." [al-Kahf (18) : 10]




Alhamdulillah, InsyaAllah... saya sudah pun memasakkan pilihan saya di dalam hati. Saya memilih untuk berada di pihak yang benar-benar boleh saya percayai.

Dan saya memilih Islam.

Bagaimana pula dengan anda?

:)

Mari memilih dengan iman.
Sesungguhnya apa yang kita pilih, juga tentu tercatat dalam catatan amal.

Pilih kerana Allah.
Selebihnya kita bertawakal hanya kepadaNya.

Semoga Allah mengampuni segala dosa-dosa kita, terus memberikan petunjukNya kepada kita & memberikan kemenangan kepada Islam. Amiin.

Selamat mengundi.

Wallahu 'alam.

-----------

p/s: Siapa pun yang kita pilih, di PARTI mana pun kita berdiri & memihak... kita tetap saudara seagama. Maka, hormatilah & tetaplah menunaikan hak-hak sesama kita. Jaga akhlak kita, jaga iman kita, jaga hubungan dengan Allah & dengan manusia. Ini cuma sebahagian fasa di dalam kehidupan dunia. Jangan terlalu ektremis sampai terlupa kehidupan akhirat kita di sana.. Peringatan buat diri ini terutamanya. 

Tuesday, April 23, 2013

Ini Kalilah!




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam ke atas junjungan mulia Muhammad sollallhu 'alaihi wasallam..


Dahulu saya adalah yang berpendapat bahawa politik itu kotor. Hingga kini, saya masih berpendapat sedemikian rupa. Bukanlah kerana praktis 'politik' itu diharamkan oleh Islam, kerana jelas Allah SWT menciptakan manusia untuk menjadi khalifah, maka politik adalah sebahagian daripada Islam.

Tetapi dek kerana kotornya sikap manusia yang mempraktikkannya, dengan fitnah dan caci maki, dengan selak aib dan penipuan, belum dikira pula dengan yang mengamalkan gengsterisme dalam berpolitik, dan sebagainya.

Kadang, yang berakhlak baik selama ini pun sama ada terpalit, atau terlarut sama. Itu membuatkan dahulu saya menjauhi politik dan tidak suka dengannya. Saya tidak mencampurinya. Kerana umur masih terlalu belia, dan dek kerana fahaman saya yang sedemikian rupa.

Hari ini masih sama fahaman itu, tinggalnya saya memilih untuk turun mencampuri urusan politik ini. Bukan untuk menyibuk, tetapi kerana akhirnya saya menyedari bahawa politik walaupun kita tidak berminat dengannya, politik sentiasa berminat dengan kita. Masa hadapan negara kita berkait dengan keadaan politik semasa. Saya mula sedar bahawa peningkatan taraf hidup, sedikit sebanyak adalah bergantung kepada keadaan politik negara, siapa yang memerintah, bagaimana pemerintahan dijalankan, dan sebagainya.

Saya melihat, sebagai anak muda, saya tidak lagi boleh sekadar hidup selesa dengan kemudaan saya. Saya terjun mencampuri urusan politik, memberikan suara dan pandangan, memerhati dan melontarkan komentar, adalah untuk mencabar diri saya sendiri dan mengutip pengalaman. Hari ini mungkin masih dikira sebagai budak mentah, tetapi saya yakin jika sedari awal saya mencampuri urusan ini, saya akan menjadi semakin matang dan berilmu akannya. Untuk berbicara, perlu baca lebih banyak buku, kena lebih rajin memerhati suasana politik antarabangsa, melihat kenyataan-kenyataan kepimpinan politik hari ini dan sebagainya. Memang renyah, tetapi kalau nak amanah, kenalah belajar bersusah payah.

Politik memang kotor hari ini dan pendapat saya itu mungkin tidak akan berubah buat beberapa masa ini. Tetapi kekotoran ini adalah liku-liku yang perlu dilalui dan ditempuhi. Guru saya sering mendidik akan 'uzlah syuuriah tammah'(pengasingan syu'ur secara total), dan itulah yang saya usahakan. Supaya politik masa hadapan nanti, untuk generasi akan datang, adalah politik yang bersih. Politik yang lebih menawarkan khidmat dan memenangkan rakyat, politik yang lebih berintergriti, bukan politik yang bermain dengan sentimen, bukan politik siapa lebih terlondeh aibnya, bukan politik ungkit jasa-jasa kemudian suruh rakyat bersyukur sahaja.

Saya mula sedar akan kepentingan hal ini ketika saya berumur 21 tahun. Saya mula melihat, kalau sebagai pemuda, saya hanya fikir fasal diri saya semata-mata, alangkah sia-sianya hidup saya.

Hari ini kita lihat, Pakatan Rakyat VS Barisan Nasional, merupakan pertembungan yang banyak melibatkan kisah-kisah silam, dan kadangkala sukar hendak berpolitik tanpa pihak sebelah sana ungkit begini dan begitu punya cerita, pihak sebelah sini ungkit begini dan begitu punya cerita dan sebagainya.

Saya sentiasa mengharapkan, mungkin, 10-20 tahun lagi, akan ada sebuah parti yang tidak membawa kisah-kisah lama, tidak pula sekadar fokus kepada satu-satu bangsa dan satu-satu agama semata-mata, dan parti ini mampu memberikan nafas baru untuk Malaysia kita.

Parti seperti itu, nak menjadikannya sebuah realiti,
perlu bermula dari hari ini.

Bukanlah saya nak buat parti sendiri. Saya tiada kredibiliti itu, dan bukannya orang yang layak.

Tetapi mungkin, anak-anak muda yang ada kesedaran macam saya, yang lebih berkemampuan, yang lebih memandang jauh ke hadapan, yang hendak merubah suasana politik Malaysia hari ini, sudah boleh merangka-rangka. Sudah boleh mula kuatkan pembacaan, dan belajar-belajar daripada parti-parti dan suasana politik Malaysia hari ini. Buat kajian, buat perbincangan bersama rakan yang sama-sama nak melihat Malaysia yang lebih indah, yang sama-sama nak berbakti dan berjuang untuk rakyat, mula dari sekarang. Mula membahagi tenaga, mula membina networking, mula pengkaderan, mula wujudkan pakar-pakar dalam bidang ekonomi dan politik, budaya dan sejarah, sains dan pendidikan, serta pelbagai lagi, untuk mempersiapkan diri dengan 'tenaga kerja' untuk parti yang lebih perkasa.

Masa itu, mungkin saya masih seorang rakyat marhaen, penulis, motivator, tetapi pada masa itu saya akan sokong parti tersebut bersungguh-sungguh, dan menggunakan segala apa yang saya ada untuk membantu menangkan parti tersebut.

Apakah akan wujud suasana sedemikian rupa?
InsyaAllah.
Tetapi kita kena berubah dan mula cakna serta peka,
jauhi permainan sentimen dan akhlak buruk pada diri,
jauhi sikap dan sifat fanatik,
mula membina peribadi yang bersih dan baik,
mula fokus melihat orang yang lebih miskin daripada kita dan bertanya kenapa mereka sedemikian rupa?
mula melihat dengan teliti orang-orang yang lebih kaya dan mewah pula hidupnya dan bertanya kenapa mereka sedemikian rupa?
mula melihat luar dari kerangka bangsa kita semata-mata dan bertanya mengapa bangsa lain begitu dan begini style mereka?
mula melihat dan mendalami makna Islam itu sebenar-benarnya, dan bertanya mengapa Allah firmankan begini dan begitu serta mengapa Rasulullah SAW hidup dan memilih, bertindak, mengarahkan, begini dan begitu?

Untuk kita ada satu kerangka fikir yang matang dan mantap.
Peribadi yang bersih dan hebat.
Minda dan jiwa yang utuh dah kuat.

Mulakan semua itu hari ini.
Bukan untuk membina parti, tetapi lebihnya adalah untuk membina masyarakat madani yang hakiki.

Anak-anak muda, rakan-rakan saya,
Inikalilah kita start.
Jangan lain lain kali.

10-20 tahun lagi insyaAllah adalah zaman kita,
dan ini merupakan sebuah seruan.

Wallahu 'alam.

----------
sumber: Hilal Asyraf Official

Notahati:
Ya Allah... berikanlah kemenangan kepada pihak yang benar-benar ingin menegakkan Islam di bumiMu ini ya Allah.. bantulah pihak yang mahu menyuburkan kembali keimanan di dalam diri rakyat jelata, membawa kami ke jalanMu. Bantulah pihak yang benar ini ya Allah... amiin ya robbal 'alamiin..