Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Tuesday, June 11, 2013

Indah dalam Hati, Jelita pada Wajah.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..

Ada satu kisah yang menyentuh hati ini.
InsyaAllah, akan dikongsikan di sini.

Moga beroleh manfaat.


***


Suatu ketikanya, berlangsung majlis makan di rumah saudagar terkaya di kota Basrah, bernama Muslim bin Umran. Majlis itu dihadiri pembesar & pegawai tinggi termasuk Ahmad bin Aiman. Tetamu yang turut serta dalam majlis itu adalah 2 putera Muslim bin Umran, yang tampan rupa paras & halus budi bahasa.

Semua hadirin berasa kagum pada keelokan sifat anak-anak itu. Ahmad bin Aiman terpegun melihat rupa paras kedua-dua putera Muslim bin Umran. 

"Subhanallah, aku belum pernah melihat boneka seindah dua anak ini. Seakan-akan malaikat yang memberinya pakaian. Pasti ibu bagi kedua-dua anak ini secantik bidadari."

Muslim bin Umran membalas, 
"Saudara, doakanlah perlindungan untuk anak-anak ini. Usahlah mengagumi begitu sahaja." 

Muslim bin Umran begitu mengharapkan segala kebaikan yang dikurniakan Allah kepada kedua-dua anaknya beroleh keberkatan yang berkekalan.

Ahmad bin Aiman menghampiri kedua-dua anak itu sambil mengusap-usap kepala mereka beserta doa memohon kesejahteraan. Lantas, dia menyambung perbualannya dengan Muslim bin Umran, 
"Engkau memang pandai memilih isteri. Lihatlah betapa halusnya budi pekerti mereka. Tentu ibunya puteri yang membawa didikan dari istana."

Muslim bin Umran pantas menjawab; 
"Engkau silap saudara. Isteriku bukan begitu. Wajahnya hodoh & cacat pula."

Berubah air muka Ahmad bin Aiman tatkala mendengar kata-kata Muslim bin Umran yang dianggapnya keterlaluan. 
"Engkau melampau, tergamak engkau menghina isteri sendiri. Tak mungkin ibu yang hodoh melahirkan anak yang menawan."

Ahmad bin Aiman memang sukar mempercayai kata-kata Muslim bin Umra. Matanya melihat kecantikan pada wajah & tingkah laku anak, tidak mungkin yang indah lahir daripada yang hodoh.

Muslim bin Umran juga mengerti perihal kekeliruan yang ditimbulkan oleh sahabatnya, maka terpaksalah beliau menceritakan perihal sebenar bagaimana beliau membuat pilihan & bertemu dengan jodohnya.


***



Muslim bin Umran memulakan kisahnya dengan tenang & perlahan.

"Semuanya bermula ketika aku memulakan hidup sebagai pedagang. Sejak bertolak dari kediaman asal di Ubullah, aku berharap pada suatu hari nanti akan beroleh isteri yang jelita lagi solehah.

Hidup sebagai pedagang membawaku merantau jauh. Sehingga aku sampai ke Balakh, ibu kota Khurasan. Di sana aku bertemu Imam yang terkenal, Abu Abdullah al-Balakhi. Aku sangat tertarik dengan ceramahnya, beliau menghuraikan maksud hadis, 

"Seorang wanita yang hitam lebih baik daripada wanita yang mandul."

Hitam yang dimaksudkan disini ialah bukan sekadar warna kulitnya, bahkan rupa keadaan yang sama sekali tidak menarik pandangan lelaki. Hadis itu diungkapkan bertujuan mengangkat nilai martabat seorang wanita. Bermakna wanita dinilai pada kemampuannya melahirkan zuriat & mendidik anak-anak dengan sebaiknya.

Al-Balakhi juga menceritakan, Ahmad bin Hanbal sewaktu membuat pinangan untuk dirinya, memilih yang buta, tetapi cerdik akal. Dia menolak yang cantik, tetapi kurang ilmu. Walaupun pada pandangan umum, kekurangan fizikal itu tidak sepadan, namun kesempurnaan di bahagian akal melengkapkan segalanya. Melaluinya, wujud keadaan saling memerlukan daripada pasangan terlibat, lantas mewujudkan keserasian dalam rumah tangga antara suami & isteri.

Selepas penjelasan imam itu, perasaanku menjadi tenang. Aku mulai menaruh harapan untuk memperolehi isteri yang benar-benar solehah, walaupun cacat. Lama juga aku merantau & mencari, namun tidak juga aku temui calon isteri seperti yang aku hajatkan. 

Sehinggalah aku pulang semula ke Basrah, di sini aku mendapat tahu ada seorang alim yang mempunyai anak gadis yang menjadi rebutan. Ramai yang meminang, tetapi ditolak oleh bapanya. Aku memberanikan diri untuk melamar anak orang alim itu. 

Aku nyatakan hajat & pendirianku yang menginginkan jodoh yang solehah walaupun cacat.

Akhirnya pinanganku diterima. Walaubagaimanapun aku dikenakan syarat iaitu hanya boleh melihat wajah jodohku selepas ijabkabulkan. 

Aku pasrah & menyerahkan segala ketentuan jodohku dalam urusan Allah. Aku yakin Allah menentukan yang terbaik buat diriku. Aku pujuk pandangan mataku tunduk kepada pandangan hatiku & memohon kepada Allah supaya aku tenang menerima isteri yang akan membawaku kepada redha Allah.



***



Apabila bernikah & diraikan dengan jamuan yang sederhana, aku kemudiannya disuruh untuk menemui isteriku.

Setelah melihat wajahnya buat pertama kali.... Aku nyata sangat terkejut. Hampir sahaja aku pengsan melihat kebenaran perihal wajah isteriku yang hodoh & cacat. Semakin aku memandangnya, tidak terfikir olehku melainkan terngiang-ngiang kata-kata al-Balakhi, "Seorang wanita yang hitam lebih baik dari wanita cantik yang mandul."

Sekarang kenyataannya, aku berhadapan dengan wanita yang seperti itu. 

Isteriku memegang tanganku lalu berkata; 

"Aku mengerti betapa kecewanya matamu. Begitu juga yang menyeksa perasaanku, sekiranya kejelitaanku yang dirimu harapkan. Ambillah dua kelebihan daripadaku ini. Pertamanya, aku sentiasa taat & menuruti segala kehendakmu. Keduanya, ambil hartaku & menikahlah lagi menurut kehendakmu, asalkan aku kekal sebagai isterimu."

Aku terdiam. 
Lalu, kemudiannya, aku pula menyatakan isi hatiku kepada isteriku.

"Demi Allah... aku jadikan dirimu sebahagian dari duniaku. Kelak kusanjung & kumuliakan sepanjang hayatku, hanya engkau wanita yang mengisi hatiku. Aku pasti menutup rapat mataku & memalingkan pandanganku daripada wanita lain."


***



Keyakinan Muslim bin Umran kepada Allah menjadi limpahan rahmat yang sungguh membahagiakan kehidupannya. Isteri yang hodoh pada pandangan mata orang lain menyejukkan pandangan mata Muslim bin Umran. Diri wanita itu yang dahulunya ibarat pohon terbiar seolah-olah menerima hujan rahmat yang menyubur & menyegarkannya.

Perjalanan kehidupan mereka seterusnya membuktikan wanita yang dikahwininya itu adalah wanita yang bijak & cerdas. Kelebihan akalnya menjadi bukti kepada kecantikan hakiki. Perlahan-lahan hodoh wajahnya menghilang & yang terlihat hanyalah keindahan akhlak & tingkah lakunya yang sungguh terpelihara. Begitu hasil pengorbanan yang tinggi, selayaknya beroleh ganjaran yang luar biasa.

Isteri Muslim bin Umran bersungguh-sungguh berdoa mengharapkan lahirnya anak-anak yang soleh yang dapat memikat pandangan. Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang tidak mensia-siakan pengorbanan hati suami isteri itu. Mereka dikurniakan dua putera yang cantik rupa paras & sopan tingkah lakunya. 

Begitu tinggi nilai iman & taqwa sehingga mampu menerbitkan keserasian yang membahagiakan. Segala yang indah pada pandangan hati berupaya mengalahkan kejelitaan lahiriah pada pandangan mata. Ganjaran daripadaNya juga adalah luar biasa hebatnya.

***




Penutup - oleh Ummu Anas.

Sekiranya kita renungi dengan lebih teliti perihal rahsia kebahagiaan suami isteri itu, dapatlah kita simpulkan bahawa kebahagiaan tidak hanya terletak pada rupa paras yang memikat sahaja. 

Keutamaan adalah melalui keteguhan pegangan agama & ketaqwaan menjadi yang terbaik, serta dapat menutupi kekurangan pada warna kulit yang hitam & rupa paras yang tidak menarik.

Suami akan lebih berbahagia sekiranya isteri yang solehah & tulus menjaga kehormatan dirinya apabila ditinggalkan oleh suaminya. 

Secara lengkapnya, dalam memilih calon suami ataupun isteri yang serasi, semestinya hasil itu membawa kita semakin dekat dengan Allah.

***

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Sollallhu 'alaihi wa sallam bersabda;

"Allah swt berfirman,
'Aku Sediakan untuk hambaKu yang soleh,
Sesuatu yang tidak pernah dipandang mata,

Tidak pernah didengari telinga,

& Tidak pernah terlintas di hati manusia...'"
[HR Bukhari & Muslim]

Sesungguhnya... takkan kecewa seorang hamba yang berpegang teguh kepada Tuhannya, yang menyerahkan seluruh urusan kehidupan dunia & akhirat kepada Dia. Keyakinan yang utuh & tawakal yang sungguh-sungguh dipanjatkan hanya buat Allah, Tuhan seluruh alam semesta.

Moga kita diberikan kekuatan untuk bertawakal kepada Allah sehebat Muslim bin Umran.
InsyaAllah.

Wallahu a'lam.

-----------

Notahati:
1) Pesta Peperiksaan Akhir bermula minggu ini. Doakan kejayaan saya; moga Allah permudahkan semua urusan & meredhai segalanya.
2) New record, akhirnya berjaya memandu sendiri kereta tanpa pantauan & di depan pandangan mata ibu ayah. Alhamdulillah. Terima kasih Azizah, sudi turutkan kehendak hati ini yang macam-macam. ;p
3) People won't hate you because of yourself but they hate your bad attitude. 
4) People would adore you because of your advantages basically based on outer appearance, but people surely will love & respect you because of your akhlak, good attitude.
5) Akhlak yang terpancar adalah tanda penyempurnaan iman & taqwa. Semakin beriman seseorang itu, semakin baik & indahlah akhlaknya. Tentunya, sebaik-baik manusia yang punya akhlak terbaik adalah Rasul tercinta, Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. 

"Ya Allah... perelokkanlah akhlakku.. & pertemukanlah aku dengan hamba-hambaMu yang baik akhlaknya & membaikkan akhlakku.."
Amiin.


2 comments:

  1. SubhanAllah.. moga Allah mengurniakan kepada kita akhlak yang baik..

    ReplyDelete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."