Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Friday, June 21, 2013

Tanda Kita Benar Cintakan Lelaki Itu.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sollallhu 'alaihi wasallam..

Firman Allah SWT;
"Dan Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." [Luqman (31): ayat 14]

"Dan sembahlah Allah, & janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga dekat & tetangga jauh, teman sejawat, ibn sabil (orang musafir yang kehabisan bekal) dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh Allah tidak Menyukai orang yang sombong & membangga diri." [an-Nisa' (4) : ayat 36]

***

'Selamat Hari Bapa'

Ahad lepas tak silap saya, banyak sangat naik status updates ke Wall akaun Facebook tentang ucapan 'Selamat Hari Bapa'. Kebanyakannya berkisar tentang ucapan terima kasih kepada ayah yang telah banyak berkorban, mendidik, menghabiskan duit, tenaga & usia untuk memelihara & menyayangi diri.

Alhamdulillah.

Ramai yang sayangkan bapanya.

Alhamdulillah.

Namun, benarkah saudari-saudariku..
Benarkah sudah cukup manisfestasi cinta kita kepada seorang lelaki yang sehebat & seistimewa ayah kita hanya dengan sekadar mengucapkan 'Selamat Hari Bapa' kepadanya setahun sekali..?

Terlakar sudah dalam sejarah, lelaki yang terbaik di dalam dunia adalah Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. Dan tentunya cara untuk kita belajar menjadi anak yang baik adalah melalui teladan baginda & qudwah terbaik bagi kita golongan muslimat khususnya adalah anakanda baginda, Puteri tercinta Sayyidatina Fatimah rodhiallahu anha.

Sudah tentu Fatimah sangat mencintai ayahnya.

Dan kepada kita semua yang mengaku menyayangi Nabi.
Mengaku begitu menyayangi ayahanda kita.
Pernah kita teliti bagaimana cara Fatimah melahirkan rasa kasih & cintanya kepada ayahandanya baginda Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam?


- Klik imej untuk besarkan -


Peranan kita sebagai seorang anak. Bukan sekadar mengambil hati ibu bapa. Menghadiahinya hadiah yang mahal-mahal.

Bukan.

Peranan kita sebagai anak... juga mempengaruhi mana penghujung ibu ayah kita. Akhlak kita hari ini membawa cerminan kepada ibu ayah kita juga.

Tentunya dengan menjadi hamba Allah yang baiklah baru kita akan menjadi anakanda yang baik juga, insyaAllah.

Wujudnya kita sebagai anak. Tentunya bukan sekadar mengucapkan 'Selamat Hari Bapa' yang dipostkan secara rawak di laman maya. Sedangkan hakikat sebenar, belum tentu hendak kita mengelap peluh ayah yang kebasahan penat pulang daripada kerjanya, menghulurkan air penyejuk penghilang lelah dahaga. Sedangkan hakikat sebenar, boleh kira berapa banyak kali kita menelefonnya & berkata, "saya sangat sayangkan ayah & tak pernah lupa setiap hari mendoakan ampunan & kesejahteraan untuk ayah."

Menjadi anakanda yang baik... adalah lebih daripada itu.


Jika Benar Kita Cinta


Jika kita benar-benar sayang & cintakan ayah kita.. tentunya kita akan jaga hubungan kita dengan Allah. Sebab kita tahu, apabila meninggalnya ibu bapa kita kelak, doa kita inilah yang menjadi saham terbaik yang takkan terputus untuk ayahbonda di sana.

Jika kita benar-benar kasihkan ayah kita, kita akan menjaga akhlak kita. Akhlak kita dengan Allah, dengan ayah kita, ibu kita & kepada orang-orang yang menjadi kesayangan ayah kita.

Kita jaga akhlak kita dengan Allah. Bila kita berusaha menjadi hambaNya yang baik, Allah kasih kita & melimpahkan rahmatNya kepada ibubapa kita atas didikannya menjadikan kita anak yang solehah. Mudah-mudahan.

Kerana kita kasih & kasihan kepada ayah kita juga, kita jaga aurat kita. Sebab kita taknak ayah kita dikategorikan sebagai dayus kerana mendiamkan diri anak-anak perempuan dibawah tanggungannya tidak menutup aurat dengan sempurna. Apatah lagi jika ayah kita sudah meninggal dunia. Kasihan ayah kita diseksa oleh malaikat di dalam kubur kerana dosa kita yang berterusan tidak menutup aurat.

Ketahuilah, selangkah kita keluar daripada rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna, kita sebenarnya telah membenarkan ayah kita berada dekat dengan neraka. Jika kita sayangkan ayah kita, sanggupkah kita melemparkan ayah kita ke dalam neraka yang tidak terperi azabnya itu?

Jika kita benar hormatkan ayah kita, kita akan menjaga tingkahlaku kita. Bersuara dengannya dengan sopan, lemah lembut, tidak meninggikan suara & menghormati semua pandangannya. Bukannya melebihkan boyafriend, kayu 'balak' kita yang belum halal itu melebihi ayahanda kita. 

Mari buat self-recheck, ada kita minta izin & restu ayah untuk keluar ke mana-mana? Meminta pandangannya atas sesuatu kebuntuan yang menimpa kita? Atau semuanya pandai-pandai kita sahaja... mengenepikan hak ayah kita ke atas anak perempuannya yang masih bujang.

Juga, ada kita menghulurkan gaji pertama kita kepadanya, sambil memohon doanya agar Allah terus memberkati perjalanan hidup kita dihadapan?
 
***                                                                     

Mungkin ada yang keliru & tidak faham...

Apa kena mengenanya semua itu dengan ayah kita? 

Ketahuilah, kita ini saham akhirat ibubapa kita. Apakah Allah izinkan kita lahir ke dunia dengan sia-sia sahaja? 

Kita bertanggungjawab menjaga nama baik ayah kita. Sebab kita membawa nama ayah kita sekali pada nama kita. Air muka, maruah ayah kita bergantung juga bagaimana cara kita membawa diri.

Bila kita salah.... Jarang orang tunding pada diri kita.
Orang akan tunding kepada ayah ibu kita.

"Tu tengok la tu perangai macam bukan manusia. Mak ayah dia la tak pandai didik anak.."

Tak kasihankah kita kepada ibu ayah kita...?



Ada orang yang ayahnya tidak mendidiknya dengan fikrah & tarbiyah Islami sejak kecil. Bahkan dia solat & mengaji pun belajar daripada ustazah di sekolah. Tetapi, kejahilan itu janganlah disalahkan sepenuhnya kepada ayah yang sudah banyak berkorban untuk kita.
 
Hiasilah diri dengan ilmu, elakkan menunding jari kepada ibubapa yang gagal menerapkan pendidikan Islam kepada kita, kemudian implementasikan semua ilmu & pengetahuan yang dipelajari, bawa pulang semula Islam ke dalam rumah. InsyaAllah masih belum terlambat jika mulakan dari sekarang.

Daripada kita sibuk menyalahkan ibu ayah tidak mendidik kita dengan betul... mengapa kita tidak bergerak sendiri mencari Hidayah Allah & menjadi perantara untuk membawa mereka yang jahil itu kejalan yang Dia redhai..?

Jika ayah ibu kita jahil, tak solat, hidup bukan berpandukan agama. Kita sebagai anak, jangan pula menjauhkan diri daripada mereka. Bahkan, kita perlu rapati mereka, sentuh hati mereka dengan akhlak kita. Bagaimana ibu ayah hendak hormat kita jika kita berdakwah dengan cara yang kasar.

"Mak, ayah. Mak ayah kan dah tua. Tak pernah solat daripada muda.. Islam apa benda kalau tak solat? tak solat ni orang munafik tau tak. Allah benci orang munafik. Saya tak boleh makan masakan orang tak solat, syubhah!"


Tanya diri kita... inikah yang Nabi yang mulia itu ajarkan kepada kita..?

Lupakah kita... Nabi, apabila bertemu dengan ibu susuannya, Halimatun Sa'adiah.. Nabi akan mengibaskan serbannya buat alas duduk untuk ibu susuannya itu, bagi memuliakannya.

Dosa mereka tak solat, itu hutang mereka dengan Allah. 
Ingat Allah akan pandang kita dengan pandangan rahmat jika kita lukakan hati mereka dengan teguran yang tiada adab sebegitu?

Jangan membebel, bersyarah dengan mereka ini tak betul, itu salah. Berbanding kata-kata, apakata tunjukkan melalui perbuatan kita sendiri?

Mereka tak solat. Wujudkanlah ruang musolla di rumah. Tunjukkan kepada mereka, how you do it. Apa kesan solat ke atas mukmin?

Melalui akhlak kita yang baik, seolah-olah memberitahu mereka indirectly;
"Lihat mak ayah... dengan solat 5 waktu, dengan melaksanakan suruhan Allah, akhlak saya jadi sebaik ini.. Maha Suci Allah, yang menjadikan akhlak saya semulia ini..."

Maka, mereka akan lembut hati... mudah-mudahan, insyaAllah..

Selain itu, jangan sesekali lupa mendoakan mereka.
Doakan ayah ibu kita.
Doa.


Berapa banyak kali kita doakan semoga Allah bimbing ibu ayah kita ke jalan yang benar? Minta Allah bukakan pintu hati ibu ayah supaya solat, diberikan kefahaman agama, laksanakan perintah Allah, tawadhu', kurang cintakan dunia & banyak ingat mati..

Jika kita tak pernah atau jarang mendoakan mereka.. Apakata, mulai hari ini, mulakan setiap pagi dengan memohon kesejahteraan & ampunan ibu ayah kita. Minta Allah lembutkan hati ibubapa kita untuk menjadi hambaNya yang baik.


[Penutup] Buktikan Kita Sayang.


Kata orang... Jika kita sayang... Bukan hanya perlu lafazkan yang kita sayang & cinta. Kerana ianya akan menjadi fitnah jika perbuatan tak seiring apa diperkatakan.

Jika kita benar sayang & cinta seseorang kerana Allah... Tentu segala apa yang kita lakukan, hendak membawa dia lebih dekat dengan Allah. Supaya Allah meredhai kita bersama-sama. Kita takkan buat sesuatu yang akan menjadi fitnah kepada orang yang kita cinta & kasih itu, hingga menghumbannya ke dalam neraka.


Bila kita cinta.. bersungguh-sungguhlah dalam mencintai.
Tidak salah menunjukkan rasa penghargaan melalui ucapan melalui hari-hari tertentu, namun, pastikanlah jua ia seiring dengan usaha kita mencambahkan saham untuk mereka untuk ke negeri akhirat sana. Kerana sudah tentu kita tahu, bahawa hidup kita ini bukan sekadar ada di dunia sahaja.

Jika benar kita sayang & cinta ayah kita kerana Allah. Tentu kita bersungguh-sungguh berdoa & berbuat kebaikan supaya Allah menghimpunkan kita lagi dengannya bersama-sama di syurga kelak.

Itulah cinta kerana Allah, cinta yang menembus sampai ke syurga.

"Ya Tuhan kami, ampunilah aku & kedua ibubapaku & semua orang yang beriman pada hari diadakan perhitungan (hari kiamat)." [Ibrahim (14): ayat 41] 

Perkenanlah ya Allah...


Wallahu a'lam.

---------


Notahati:
Tulisan ini, teguran terutamanya untuk diri ini. Mari sama-sama kita muhasabah & memperbaiki diri. Banyak sungguh kan dosa-dosa kita dengan ayah & ibu kita... Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita, mengampuni dosa-dosa ibubapa kita & mengasihani kedua-duanya sebagaimana mereka mengasihani kita semenjak kecil. Juga, moga Allah permudahkan & menguatkan kita, untuk menjadi anak yang solehah, menjadi penyejuk mata & penenang hati ayahbonda. Amiin.





Kita ini,
saham kepada akhirat Ibu Bapa kita.
Seorang anak yang baik,
bukanlah sahaja akan bersopan santun dengan Ibu Bapanya,
tetapi juga akan berusaha menjadi hamba Allah SWT yang baik.

Kerana dengan menjadi seorang yang baik,
maka dia akan mampu menyalurkan pahala kepada Ibu Bapanya.
Semua kebaikannya,
Ibu bapanya akan mendapat saham.

Tiga perkara yang tidak terputus untuk manusia selepas kematiannya,
antaranya adalah doa anak yang soleh.

Justeru,
anak-anak yang kasihkan ibu bapanya,
tunduk dan taatlah kepada Allah SWT,
hiduplah untuk Islam,
perbanyakkanlah kebaikan dan sumbangan terhadap perjuangan agama ini.


Agar nanti di bawah pohonan syurga keluarga kita berkumpul kembali,
dan bergembira kekal abadi.

*** 
Kredit Puisi : Hilal Asyraf 
 

3 comments:

  1. Assalam, maaf tanya, siapa ye pemilik lgu Allah hu Allah ni?

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wassalam.

      insyaAllah boleh refer sini;
      http://www.youtube.com/watch?v=m_tjxz4yS_U

      Delete
  2. Assalam, maaf bertanya siapa ye pemilik lgu allah hu allah ni?

    ReplyDelete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."