Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Friday, June 28, 2013

Asas Tentang Puasa Ramadan.




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat Nabi junjungan Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..

Salam Jumaat penuh barokah.. :)

Ramadan kian menjelma lebih kurang 10 hari sahaja lagi, insyaAllah. Kita semua teruja menanti Ramadan kan? 


Jadi, bagaimana dengan persiapan bagi bertemunya?

Alhamdulillah... apakata mari kita ulangkaji sedikit asas-asas tentang Puasa Ramadan dalam entri kali ini. InsyaAllah, semoga bermanfaat. :)


***

Pengertian
Puasa dari segi bahasa bererti menahan diri daripada sesuatu. Manakala dari segi syara' pula ialah menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari, dimulai dengan niat untuk puasa, untuk mengharapkan keredhaan Allah SWT.


1) PUASA RAMADAN

Berpuasa pada bulan Ramadan hukumnya wajib (fardu ain) berdasarkan Quran, hadis & ijmak ulama'.



Dalil al-Quran 
Firman Allah SWT;


Maksudnya: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang sebelum kamu semoga kamu bertaqwa." [surah al-Baqarah (2) : 183]


Syarat-syarat Wajib Puasa

1) Islam : tidak wajib bagi orang bukan Islam.
2) Baligh : tidak wajib bagi mereka yang belum cukup umur, namun kanak-kanak digalakkan untuk berlatih berpuasa.
3) Berakal : tidak wajib bagi orang gila.
4) Sihat : Jika puasa akan menambah mudarat, tidak diwajibkan berpuasa kebiasaannya orang tua & terlalu uzur. Namun, hendaklah mereka membayar fidyah.
5) Bermukim : Musafir tidak wajib berpuasa tetapi wajib mengqada (menggantikan) selepas bulan Ramadan.
6) Suci : Suci daripada haid & nifas bagi wanita.


Niat Puasa


"Sengaja aku berpuasa pada esok hari dalam menunaikan fardu bulan Ramadan pada tahun ini kerana Allah taala."


Syarat-syarat Sah Puasa
1) Islam
2) Berakal & mumayyiz (tahu membezakan yang mana najis & yang mana tidak).
3) Suci daripada haid & nifas.
4) Apabila nyata masuknya bulan Ramadan.


Rukun Puasa
1) Orang yang berpuasa
2) Berniat
3) Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.


Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa
1) Makan ataupun minum dengan sengaja walaupun sedikit (jika terlupa tidak membatalkan puasa tetapi wajib berhenti sewaktu menyedari bahawa diri sedang berpuasa).
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga tubuh dengan sengaja.
3) Muntah dengan sengaja.
4) Keluar haid & nifas,
5) Gila.
6) Murtad (keluar dari Islam)
7) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
8) Bersetubuh (melakukan hubungan kelamin pada siang hari bulan Ramadan).


Perkara-perkara Sunat dalam Berpuasa
1) Segerakan berbuka puasa.
2) Berbuka puasa dengan buah tamar atau sesuatu yang manis.
3) Membaca doa sekurang-kurangnya;


"Ya Allah, bagi Engkaulah amalan puasaku ini kepada Engkau aku beriman & dengan rezeki Engkaulah aku berbuka."
4) Melambatkan waktu bersahur kerana ada keberkatan padanya.
5) Memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, berselawat & membuat amal-amal yang baik.
6) Banyak bersedekah kepada fakir miskin & anak-anak yang kurang bernasib baik.
7) Jauhkan bercakap perkara yang sia-sia & tidak berfaedah.
8) Mandi junub awal sebelum masuknya waktu Subuh.


Adab Ketika Sedang Berpuasa.
1) Jauhkan diri daripada melakukan perkara yang tidak baik & maksiat.
2) Mengelak & menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa.
3) Menahan diri daripada mengikut hawa nafsu.
4) Ketika berbuka, makanlah secara bersederhana & tidak membazir.
5) Kurangkan tidur terutama pada waktu siang.
6) Sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca al-Quran, berzikir & tidak membuang masa dengan mendengar muzik yang sia-sia serta terlalu banyak menonton televisyen.
7) Mengharapkan ibadat puasa yang dilakukan itu adalah sebaik-baik ibadat & akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.


Bagi wanita, haid & nifas ialah 2 keuzuran yang sering dialami. Ketika bulan Ramadan, jika wanita didatangi keuzuran ini, mereka tidak diwajibkan berpuasa & dikehendaki berbuka (wajib mengqada bilangan hari yang tidak berpuasa).

Mereka yang tertinggal puasa perlu menggantikan jumlah puasa yang tertinggal itu setelah habis bulan Ramadan kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa.


Hari-hari yang Diharamkan Berpuasa.
1) Hari Raya Aidilfitri pada 1 syawal.
2) Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah.
3) Tiga hari Tasyriq iaitu; 11, 12 & 13 Zulhijjah.
4) Pada hari syak iaitu hari yang diragui antara 30 Sya'ban atau sudah masuk 1 Ramadan.





Ahlan Wasahlan Ya Ramadan! :)

Wallahu a'lam.


----
Bahagian 2 tentang Puasa Sunat akan disambung dalam entri seterusnya, insyaAllah. :)

p/s:
Salam Jumaat, saudara-saudari..!
Jangan lupa membaca al-Kahf.. :)



Friday, June 21, 2013

Tanda Kita Benar Cintakan Lelaki Itu.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sollallhu 'alaihi wasallam..

Firman Allah SWT;
"Dan Kami perintahkan manusia berbuat baik kepada kedua ibu bapanya; ibunya telah mengandungnya dengan menanggung kelemahan demi kelemahan (dari awal mengandung hingga akhir menyusunya), dan tempoh menceraikan susunya ialah dalam masa dua tahun; (dengan yang demikian) bersyukurlah kepadaKu dan kepada kedua ibubapamu; dan (ingatlah), kepada Akulah jua tempat kembali (untuk menerima balasan)." [Luqman (31): ayat 14]

"Dan sembahlah Allah, & janganlah kamu mempersekutukanNya dengan sesuatu apapun. Dan berbuat baiklah kepada orang tua, kaum kerabat, anak-anak yatim, orang-orang miskin, tetangga dekat & tetangga jauh, teman sejawat, ibn sabil (orang musafir yang kehabisan bekal) dan hamba sahaya yang kamu miliki. Sungguh Allah tidak Menyukai orang yang sombong & membangga diri." [an-Nisa' (4) : ayat 36]

***

'Selamat Hari Bapa'

Ahad lepas tak silap saya, banyak sangat naik status updates ke Wall akaun Facebook tentang ucapan 'Selamat Hari Bapa'. Kebanyakannya berkisar tentang ucapan terima kasih kepada ayah yang telah banyak berkorban, mendidik, menghabiskan duit, tenaga & usia untuk memelihara & menyayangi diri.

Alhamdulillah.

Ramai yang sayangkan bapanya.

Alhamdulillah.

Namun, benarkah saudari-saudariku..
Benarkah sudah cukup manisfestasi cinta kita kepada seorang lelaki yang sehebat & seistimewa ayah kita hanya dengan sekadar mengucapkan 'Selamat Hari Bapa' kepadanya setahun sekali..?

Terlakar sudah dalam sejarah, lelaki yang terbaik di dalam dunia adalah Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. Dan tentunya cara untuk kita belajar menjadi anak yang baik adalah melalui teladan baginda & qudwah terbaik bagi kita golongan muslimat khususnya adalah anakanda baginda, Puteri tercinta Sayyidatina Fatimah rodhiallahu anha.

Sudah tentu Fatimah sangat mencintai ayahnya.

Dan kepada kita semua yang mengaku menyayangi Nabi.
Mengaku begitu menyayangi ayahanda kita.
Pernah kita teliti bagaimana cara Fatimah melahirkan rasa kasih & cintanya kepada ayahandanya baginda Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam?


- Klik imej untuk besarkan -


Peranan kita sebagai seorang anak. Bukan sekadar mengambil hati ibu bapa. Menghadiahinya hadiah yang mahal-mahal.

Bukan.

Peranan kita sebagai anak... juga mempengaruhi mana penghujung ibu ayah kita. Akhlak kita hari ini membawa cerminan kepada ibu ayah kita juga.

Tentunya dengan menjadi hamba Allah yang baiklah baru kita akan menjadi anakanda yang baik juga, insyaAllah.

Wujudnya kita sebagai anak. Tentunya bukan sekadar mengucapkan 'Selamat Hari Bapa' yang dipostkan secara rawak di laman maya. Sedangkan hakikat sebenar, belum tentu hendak kita mengelap peluh ayah yang kebasahan penat pulang daripada kerjanya, menghulurkan air penyejuk penghilang lelah dahaga. Sedangkan hakikat sebenar, boleh kira berapa banyak kali kita menelefonnya & berkata, "saya sangat sayangkan ayah & tak pernah lupa setiap hari mendoakan ampunan & kesejahteraan untuk ayah."

Menjadi anakanda yang baik... adalah lebih daripada itu.


Jika Benar Kita Cinta


Jika kita benar-benar sayang & cintakan ayah kita.. tentunya kita akan jaga hubungan kita dengan Allah. Sebab kita tahu, apabila meninggalnya ibu bapa kita kelak, doa kita inilah yang menjadi saham terbaik yang takkan terputus untuk ayahbonda di sana.

Jika kita benar-benar kasihkan ayah kita, kita akan menjaga akhlak kita. Akhlak kita dengan Allah, dengan ayah kita, ibu kita & kepada orang-orang yang menjadi kesayangan ayah kita.

Kita jaga akhlak kita dengan Allah. Bila kita berusaha menjadi hambaNya yang baik, Allah kasih kita & melimpahkan rahmatNya kepada ibubapa kita atas didikannya menjadikan kita anak yang solehah. Mudah-mudahan.

Kerana kita kasih & kasihan kepada ayah kita juga, kita jaga aurat kita. Sebab kita taknak ayah kita dikategorikan sebagai dayus kerana mendiamkan diri anak-anak perempuan dibawah tanggungannya tidak menutup aurat dengan sempurna. Apatah lagi jika ayah kita sudah meninggal dunia. Kasihan ayah kita diseksa oleh malaikat di dalam kubur kerana dosa kita yang berterusan tidak menutup aurat.

Ketahuilah, selangkah kita keluar daripada rumah tanpa menutup aurat dengan sempurna, kita sebenarnya telah membenarkan ayah kita berada dekat dengan neraka. Jika kita sayangkan ayah kita, sanggupkah kita melemparkan ayah kita ke dalam neraka yang tidak terperi azabnya itu?

Jika kita benar hormatkan ayah kita, kita akan menjaga tingkahlaku kita. Bersuara dengannya dengan sopan, lemah lembut, tidak meninggikan suara & menghormati semua pandangannya. Bukannya melebihkan boyafriend, kayu 'balak' kita yang belum halal itu melebihi ayahanda kita. 

Mari buat self-recheck, ada kita minta izin & restu ayah untuk keluar ke mana-mana? Meminta pandangannya atas sesuatu kebuntuan yang menimpa kita? Atau semuanya pandai-pandai kita sahaja... mengenepikan hak ayah kita ke atas anak perempuannya yang masih bujang.

Juga, ada kita menghulurkan gaji pertama kita kepadanya, sambil memohon doanya agar Allah terus memberkati perjalanan hidup kita dihadapan?
 
***                                                                     

Mungkin ada yang keliru & tidak faham...

Apa kena mengenanya semua itu dengan ayah kita? 

Ketahuilah, kita ini saham akhirat ibubapa kita. Apakah Allah izinkan kita lahir ke dunia dengan sia-sia sahaja? 

Kita bertanggungjawab menjaga nama baik ayah kita. Sebab kita membawa nama ayah kita sekali pada nama kita. Air muka, maruah ayah kita bergantung juga bagaimana cara kita membawa diri.

Bila kita salah.... Jarang orang tunding pada diri kita.
Orang akan tunding kepada ayah ibu kita.

"Tu tengok la tu perangai macam bukan manusia. Mak ayah dia la tak pandai didik anak.."

Tak kasihankah kita kepada ibu ayah kita...?



Ada orang yang ayahnya tidak mendidiknya dengan fikrah & tarbiyah Islami sejak kecil. Bahkan dia solat & mengaji pun belajar daripada ustazah di sekolah. Tetapi, kejahilan itu janganlah disalahkan sepenuhnya kepada ayah yang sudah banyak berkorban untuk kita.
 
Hiasilah diri dengan ilmu, elakkan menunding jari kepada ibubapa yang gagal menerapkan pendidikan Islam kepada kita, kemudian implementasikan semua ilmu & pengetahuan yang dipelajari, bawa pulang semula Islam ke dalam rumah. InsyaAllah masih belum terlambat jika mulakan dari sekarang.

Daripada kita sibuk menyalahkan ibu ayah tidak mendidik kita dengan betul... mengapa kita tidak bergerak sendiri mencari Hidayah Allah & menjadi perantara untuk membawa mereka yang jahil itu kejalan yang Dia redhai..?

Jika ayah ibu kita jahil, tak solat, hidup bukan berpandukan agama. Kita sebagai anak, jangan pula menjauhkan diri daripada mereka. Bahkan, kita perlu rapati mereka, sentuh hati mereka dengan akhlak kita. Bagaimana ibu ayah hendak hormat kita jika kita berdakwah dengan cara yang kasar.

"Mak, ayah. Mak ayah kan dah tua. Tak pernah solat daripada muda.. Islam apa benda kalau tak solat? tak solat ni orang munafik tau tak. Allah benci orang munafik. Saya tak boleh makan masakan orang tak solat, syubhah!"


Tanya diri kita... inikah yang Nabi yang mulia itu ajarkan kepada kita..?

Lupakah kita... Nabi, apabila bertemu dengan ibu susuannya, Halimatun Sa'adiah.. Nabi akan mengibaskan serbannya buat alas duduk untuk ibu susuannya itu, bagi memuliakannya.

Dosa mereka tak solat, itu hutang mereka dengan Allah. 
Ingat Allah akan pandang kita dengan pandangan rahmat jika kita lukakan hati mereka dengan teguran yang tiada adab sebegitu?

Jangan membebel, bersyarah dengan mereka ini tak betul, itu salah. Berbanding kata-kata, apakata tunjukkan melalui perbuatan kita sendiri?

Mereka tak solat. Wujudkanlah ruang musolla di rumah. Tunjukkan kepada mereka, how you do it. Apa kesan solat ke atas mukmin?

Melalui akhlak kita yang baik, seolah-olah memberitahu mereka indirectly;
"Lihat mak ayah... dengan solat 5 waktu, dengan melaksanakan suruhan Allah, akhlak saya jadi sebaik ini.. Maha Suci Allah, yang menjadikan akhlak saya semulia ini..."

Maka, mereka akan lembut hati... mudah-mudahan, insyaAllah..

Selain itu, jangan sesekali lupa mendoakan mereka.
Doakan ayah ibu kita.
Doa.


Berapa banyak kali kita doakan semoga Allah bimbing ibu ayah kita ke jalan yang benar? Minta Allah bukakan pintu hati ibu ayah supaya solat, diberikan kefahaman agama, laksanakan perintah Allah, tawadhu', kurang cintakan dunia & banyak ingat mati..

Jika kita tak pernah atau jarang mendoakan mereka.. Apakata, mulai hari ini, mulakan setiap pagi dengan memohon kesejahteraan & ampunan ibu ayah kita. Minta Allah lembutkan hati ibubapa kita untuk menjadi hambaNya yang baik.


[Penutup] Buktikan Kita Sayang.


Kata orang... Jika kita sayang... Bukan hanya perlu lafazkan yang kita sayang & cinta. Kerana ianya akan menjadi fitnah jika perbuatan tak seiring apa diperkatakan.

Jika kita benar sayang & cinta seseorang kerana Allah... Tentu segala apa yang kita lakukan, hendak membawa dia lebih dekat dengan Allah. Supaya Allah meredhai kita bersama-sama. Kita takkan buat sesuatu yang akan menjadi fitnah kepada orang yang kita cinta & kasih itu, hingga menghumbannya ke dalam neraka.


Bila kita cinta.. bersungguh-sungguhlah dalam mencintai.
Tidak salah menunjukkan rasa penghargaan melalui ucapan melalui hari-hari tertentu, namun, pastikanlah jua ia seiring dengan usaha kita mencambahkan saham untuk mereka untuk ke negeri akhirat sana. Kerana sudah tentu kita tahu, bahawa hidup kita ini bukan sekadar ada di dunia sahaja.

Jika benar kita sayang & cinta ayah kita kerana Allah. Tentu kita bersungguh-sungguh berdoa & berbuat kebaikan supaya Allah menghimpunkan kita lagi dengannya bersama-sama di syurga kelak.

Itulah cinta kerana Allah, cinta yang menembus sampai ke syurga.

"Ya Tuhan kami, ampunilah aku & kedua ibubapaku & semua orang yang beriman pada hari diadakan perhitungan (hari kiamat)." [Ibrahim (14): ayat 41] 

Perkenanlah ya Allah...


Wallahu a'lam.

---------


Notahati:
Tulisan ini, teguran terutamanya untuk diri ini. Mari sama-sama kita muhasabah & memperbaiki diri. Banyak sungguh kan dosa-dosa kita dengan ayah & ibu kita... Moga Allah ampunkan dosa-dosa kita, mengampuni dosa-dosa ibubapa kita & mengasihani kedua-duanya sebagaimana mereka mengasihani kita semenjak kecil. Juga, moga Allah permudahkan & menguatkan kita, untuk menjadi anak yang solehah, menjadi penyejuk mata & penenang hati ayahbonda. Amiin.





Kita ini,
saham kepada akhirat Ibu Bapa kita.
Seorang anak yang baik,
bukanlah sahaja akan bersopan santun dengan Ibu Bapanya,
tetapi juga akan berusaha menjadi hamba Allah SWT yang baik.

Kerana dengan menjadi seorang yang baik,
maka dia akan mampu menyalurkan pahala kepada Ibu Bapanya.
Semua kebaikannya,
Ibu bapanya akan mendapat saham.

Tiga perkara yang tidak terputus untuk manusia selepas kematiannya,
antaranya adalah doa anak yang soleh.

Justeru,
anak-anak yang kasihkan ibu bapanya,
tunduk dan taatlah kepada Allah SWT,
hiduplah untuk Islam,
perbanyakkanlah kebaikan dan sumbangan terhadap perjuangan agama ini.


Agar nanti di bawah pohonan syurga keluarga kita berkumpul kembali,
dan bergembira kekal abadi.

*** 
Kredit Puisi : Hilal Asyraf 
 

Wednesday, June 19, 2013

"Alhamdulillah, Allah 'Hadiah'kan Tudung Labuh Untuk Aku."


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..

***

Saya masih ingat.. ketika adinda tercinta saya menggunting kain berwarna turqoise lembut untuk dijahit tudung untuk dipakai di hari konvokesyennya hujung tahun lepas. Wajahnya nampak bahagia tatkala menggunting kain ela koshibo yang dihadiahkan oleh tunangnya itu.

"Cantik warna ni... Pandai dia pilih warna yang sesuai dengan kamu." puji saya.

Waktu itu, saya juga rasa gembira sekali untuknya & mendoakan bagi kebaikan Allah limpahkan bagi kedua-duanya agar dipermudahkan urusan & diperkuatkan jodoh jika itu yang terbaik dari sisiNya untuk mereka berdua.

Kemudian kan.. waktu itu, spontan hati saya terdetik.

"Ya Allah... tak ada sesiapa ke nak hadiahkan aku sehelai tudung labuh...?"

Allah...

Eh.
Cepat-cepat saya beristighfar & berlalu ke dapur.

***


Hari ini (ketika draf artikel ini ditulis),
16/6/2013

Ada yang menghadiahkan saya tudung labuh.
Tahu siapa?

Kekasih saya.
:) 
Allah telah menghadiahkan saya sehelai tudung labuh.

Subhanallah.
Kala ini, saya rasa sungguh bahagia. 
Alhamdulillah.


***




Berdasarkan petikan daripada timeline photos 'Sufy Solehah Collection'.

Bismillah...

Pertama sekali kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyertai peraduan yang kami anjurkan. Sehingga, ada yang dari Indonesia dan ada juga kaum adam yang berminat menyertai peraduan ini. Namun, keutamaan diberikan kepada muslimah (Malaysia) sahaja.

Ramai yang sangat berbakat dan dapat menulis dengan baik, kisahnya terkesan dan menyentuh hati. Tapi, pihak kami telah memutuskan untuk memilih hanya 2 orang pemenang sahaja selepas memastikan peserta tersebut mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan (asalnya cuma seorang). Antaranya, hendaklah menulis PENGALAMAN sendiri, bermakna bukan hanya cerita/cerpen, tetapi kisah hidup penulis tersebut.

Berikut adalah 5 senarai yang terbaik pada penilaian dan pemerhatian pihak kami. :)


Dan pemenang bertuah yang menjadi pilihan kami adalah:
>> Ukhti Syauqah Nur
>> Ukhti Waznah Alhamra

Manakala hadiah saguhati untuk perkongsian yang mendapat 'like' terbanyak dimenangi oleh:
>> Ukhti Menang atau Syahid

Kepada pemenang yang bertuah, sila PM nama penuh, alamat & no hp anda untuk tujuan penghantaran hadiah. Insyaallah, jika ada ruang & peluang, pihak kami akan menganjurkan peraduan lain pula nanti, biiznillah.

Tahniah semuanya dan teruskan berkarya! :)

p/s: sila klik pada nama untuk membaca perkongsian.


***

:') 


Subhanallah. Alhamdulillah.

Siapa sangka, pertama kali Allah bukakan pintu hati ini untuk menyertai pertandingan buat julung-julung kali & Alhamdulillah, terpilih pula sebagai peserta yang bertuah yang menjadi pilihan juri. Maha suci Allah yang semua pujian hanya layak ke atasNya.

Saya sedang berbual-bual dengan roommate sewaktu notification daripada Sufy Solehah Collection naik ke Home Wall Facebook saya.

Baca sekilas. 
Saya nampak nama saya.

Eh.
Saya langsung baca sekali lagi.

Subhanallah.. terus tersenyum.
Ya Allah... MasyaAllah..
Macam tak percaya Allah rezekikan sehelai tudung labuh percuma untuk saya.

Langsung saya PM manager Sufy Solehah Collection untuk pengesahan. 


Alhamdulillah. :)

Daripada Allah-lah punca segala-galanya...

1) Allah gerakkan hati saya untuk menghantar perkongsian.
2) Allah juga gerakkan hati sahabat-sahabat untuk 'like' (walaupun jumlah 'like' saya taklah sebanyak perkongsian akhowat lain) ;p.
3) Allah jugalah yang menggerakkan hati juri pertandingan memilih perkongsian saya di antara 48 peserta yang menghantar perkongsian.

Subhanallah, baiknya Allah pilih saya yang banyak kekurangan ini... padahal banyak lagi penulisan yang lebih hebat & menyentuh hati.

Saya bukan berbangga kerana menang. Bahkan sejujurnya saya tidak menyangka pun saya akan dipilih Allah kerana jujurnya saya tidak beria-ia pun berharap & promote penyertaan saya itu kerana rasa rendah diri apabila membaca kisah hijrah akhowat lain yang jauh lebih mantap, menyentuh kalbu serta telah dibaca & di'like' oleh beratus-ratus 'likers'. 

Sungguh, yang membuatkan saya tersenyum & sungguh gembira sebenarnya apabila hati ini tak henti berbisik berkali-kali;
"Alhamdulillah. Allah hadiahkan tudung labuh untuk aku. Allah yang hadiahkan untuk aku.." :')

Tak fasal-fasal teringat persoalan hati sewaktu peristiwa bersama adinda tercinta tahun lepas. Seperti yang dicoretkan di awal catatan.
;D
Alhamdulillah..


***
 Saudara-saudari yang dikasihi Allah sekalian,

Jangan rasa segan hendak berkongsi pengalaman bagaimana kita berhijrah. Siapa tahu perkongsian kita boleh menjadi pengantaraan untuk Allah membuka hati hambaNya yang lain untuk berubah menjadi hambaNya yang lebih baik. Mudah-mudahan. 


Bercerita tentang kisah hijrah kita, bagaimana kita membebaskan diri dari jahiliyyah adalah tidak sama dengan mencerita & membuka aib serta dosa silam. Sila bezakan. Maka, hati-hati, pastikan apa yang bakal dikongsi demi meraih redha Ilahi, mengingatkan yang mendengar kepada kekuasaan Ilahi... bagi menjadi teladan buat hati-hati yang mahu disentuhi, insyaAllah..
 

Maka, jangan rasa segan hendak berkongsi. Setiap orang punya kisah hijrah masing-masing, yang membawa kita kembali semula kepada Allah. Setiap orang punya kisah silam masing-masing. Kisah gelap masing-masing. Sebab semua orang pernah buat silap, buat dosa. Kita hanyalah manusia biasa. Jadi jangan sesekali rasa malu.  
 
Kita sendiri rasa sangat sayang & bersyukur setiap kali mengenangkan saat-saat kali pertama Allah menyentuh hati kita untuk berhijrah kan..? MasyaAllah, manis kan...


Yakinkan diri (supaya tidak berputus asa dengan hambatan dosa lalu), Allah judge kita bukan berdasarkan masa lalu kita (yang telah kita pun memohon ampun & bertaubat sungguh-sungguh kepadaNya. Moga Allah terima taubat kita. Amiin.) Allah judge kita hari ini, saat ini.. jadi, bagaimana lebih baik telah kita berusaha menjadi? 

Ingatkan diri, masa lalu tak dapat diubah, tapi kita boleh kenang & learn something from it. Focus on betterment of ourselves. InsyaAllah, kita boleh berubah...
 

Setiap orang punya masa lalu, dosa & silap. Ingat, sesungguhnya bulan yang terang menderang bercahaya di waktu malam pun punya sisi gelapnya yang tersendiri. Setiap orang ada sisi gelap masing-masing. Kita buat salah, pernah buat salah, kita pernah gagal... semua itulah yang membuatkan kita menjadi sebagaimana kita hari ini kan..? 

Bersyukurlah.
Alhamdulillah.



***


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jazakumullah khairan kaseero kepada para penge-'like' yang sudi baca & 'like' perkongsian saya termasuklah sahabat-sahabat yang dikenali, yang baru dikenali, followers blog ini & yang sudi request 'friend' di akaun Facebook saya (tetapi maaf saya tak menerima request orang yang tidak dikenali. Asif jiddan).

Saya menghantar perkongsian kisah hijrah saya ke pertandingan ini awal bulan lepas. Hasrat hati saya  sekadar mahu berkongsi kisah hijrah saya kepada semua muslimat, mudah-mudahan boleh dijadikan contoh teladan ataupun 'spirit booster' untuk sama-sama merasai rasa manis saat pertama kali memakai tudung labuh. 

Selain itu, saya juga teruja sebenarnya untuk meraikan niat baik pihak Sufy Solehah Collection yang menganjurkan pertandingan yang sangat bagus pada pengamatan saya untuk menggalakkan muslimat memakai tudung labuh, insyaAllah. Saya tak dapat menahan rasa excited daripada turut serta. Moga Allah rahmati niat & usaha baik mereka. Amiin.

Kalian boleh membaca semua kisah hijrah daripada 43 peserta yang lain (5 peserta telah saya sertakan link pada nama mereka di atas) yang Allah bukakan hatinya untuk berkongsi kisah hijrah masing-masing, pengalaman bagaimana mereka dibukakan hati oleh Allah untuk mengenakan tudung labuh & memakai niqob : lillahi ta'ala di <SINI>. 

Dialu-alukan untuk membacanya. InsyaAllah perkongsian akhowat lain juga sangat menginsafkan & menyentuh hati. Moga Allah rahmati mereka semuanya, amiin. 

Oh ya.... jangan lupa untuk 'like' Page 'Sufy Solehah Collection' untuk mendapatkan koleksi kelengkapan pakaian Muslimah & barangan kesihatan yang lain, insyaAllah.

Alhamdulillah.
Jazakumullah khairan kaseero kepada kalian semua.


***



Secebis catatan. Renungan buat peringatan.

Buat si tudung labuh... Memakai tudung labuh bukan bererti seorang perempuan itu benar-benar telah solehah. Makna solehah itu bukan maqam kita sebagai hamba untuk menilainya. Selayaknya hanya kepada Dia kita serah & sandarkan segala. 

Perempuan bertudung labuh, maklumilah bahawa mereka bukanlah insan maksum suci daripada dosa & khilaf. Solehah itu mahal harganya. Bukan semudah mengeja, menaip atau menyebutnya.

Pemakai tudung labuh juga adalah manusia biasa yang sedang bertatih menuju ke arah Tuhannya. Kita yang melihat, jangan sesekali menghakimi mereka.. bahkan tolong sama-sama doakan mereka. InsyaAllah, mudah-mudahan kejayaan itu milik mereka akhirnya. 


Kejayaan meraih mardhotillah.

InsyaAllah.

***

Sungguh, saya menulis coretan ini kerana ingin berkongsi betapa saya bersyukur Allah mendatangkan kebahagiaan di dalam hati ini. Minggu ini, banyak peristiwa yang mentarbiyyah diri. Membuatkan hamba kerdil ini berasa sungguh-sungguh bersyukur ke hadrat Ilahi. :')

Alhamdulillah ya Allah..
Hamba rasa sungguh dicintai..

Ya robbi.. berilah hamba kekuatan untuk membalas cintaMu itu kembali.

Allahumma tsabits qolbi 'ala deenik.
Allahumma amiin.

Wallahu a'lam. 

-----------
Notahati:
Perkongsian saya berdasarkan entri Kisah Hijrah Seorang Syauqah
Moga bermanfaat, moga Allah meredhai. 

Doakan agar Allah terus memberi saya kekuatan, ilmu & ilham untuk menulis kebaikan, menyeru kebaikan & melakukan kebaikan untuk menjadi hambaNya yang baik. InsyaAllah. Amiin. Jzkk.

---

p/s: 


Kepada semua follower blog ini a.k.a 'Para Pencinta' yang dirahmati Allah, di sini saya ingin menghadiahkan sesuatu untuk kalian. :)

Nah!

  
 < klik imej untuk besarkan >

Sudilah jika kalian menerimanya..  walaupun tak berapa kreatif. huhu.
:)

Barakallahufikum.

Tuesday, June 11, 2013

Indah dalam Hati, Jelita pada Wajah.



Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..

Ada satu kisah yang menyentuh hati ini.
InsyaAllah, akan dikongsikan di sini.

Moga beroleh manfaat.


***


Suatu ketikanya, berlangsung majlis makan di rumah saudagar terkaya di kota Basrah, bernama Muslim bin Umran. Majlis itu dihadiri pembesar & pegawai tinggi termasuk Ahmad bin Aiman. Tetamu yang turut serta dalam majlis itu adalah 2 putera Muslim bin Umran, yang tampan rupa paras & halus budi bahasa.

Semua hadirin berasa kagum pada keelokan sifat anak-anak itu. Ahmad bin Aiman terpegun melihat rupa paras kedua-dua putera Muslim bin Umran. 

"Subhanallah, aku belum pernah melihat boneka seindah dua anak ini. Seakan-akan malaikat yang memberinya pakaian. Pasti ibu bagi kedua-dua anak ini secantik bidadari."

Muslim bin Umran membalas, 
"Saudara, doakanlah perlindungan untuk anak-anak ini. Usahlah mengagumi begitu sahaja." 

Muslim bin Umran begitu mengharapkan segala kebaikan yang dikurniakan Allah kepada kedua-dua anaknya beroleh keberkatan yang berkekalan.

Ahmad bin Aiman menghampiri kedua-dua anak itu sambil mengusap-usap kepala mereka beserta doa memohon kesejahteraan. Lantas, dia menyambung perbualannya dengan Muslim bin Umran, 
"Engkau memang pandai memilih isteri. Lihatlah betapa halusnya budi pekerti mereka. Tentu ibunya puteri yang membawa didikan dari istana."

Muslim bin Umran pantas menjawab; 
"Engkau silap saudara. Isteriku bukan begitu. Wajahnya hodoh & cacat pula."

Berubah air muka Ahmad bin Aiman tatkala mendengar kata-kata Muslim bin Umran yang dianggapnya keterlaluan. 
"Engkau melampau, tergamak engkau menghina isteri sendiri. Tak mungkin ibu yang hodoh melahirkan anak yang menawan."

Ahmad bin Aiman memang sukar mempercayai kata-kata Muslim bin Umra. Matanya melihat kecantikan pada wajah & tingkah laku anak, tidak mungkin yang indah lahir daripada yang hodoh.

Muslim bin Umran juga mengerti perihal kekeliruan yang ditimbulkan oleh sahabatnya, maka terpaksalah beliau menceritakan perihal sebenar bagaimana beliau membuat pilihan & bertemu dengan jodohnya.


***



Muslim bin Umran memulakan kisahnya dengan tenang & perlahan.

"Semuanya bermula ketika aku memulakan hidup sebagai pedagang. Sejak bertolak dari kediaman asal di Ubullah, aku berharap pada suatu hari nanti akan beroleh isteri yang jelita lagi solehah.

Hidup sebagai pedagang membawaku merantau jauh. Sehingga aku sampai ke Balakh, ibu kota Khurasan. Di sana aku bertemu Imam yang terkenal, Abu Abdullah al-Balakhi. Aku sangat tertarik dengan ceramahnya, beliau menghuraikan maksud hadis, 

"Seorang wanita yang hitam lebih baik daripada wanita yang mandul."

Hitam yang dimaksudkan disini ialah bukan sekadar warna kulitnya, bahkan rupa keadaan yang sama sekali tidak menarik pandangan lelaki. Hadis itu diungkapkan bertujuan mengangkat nilai martabat seorang wanita. Bermakna wanita dinilai pada kemampuannya melahirkan zuriat & mendidik anak-anak dengan sebaiknya.

Al-Balakhi juga menceritakan, Ahmad bin Hanbal sewaktu membuat pinangan untuk dirinya, memilih yang buta, tetapi cerdik akal. Dia menolak yang cantik, tetapi kurang ilmu. Walaupun pada pandangan umum, kekurangan fizikal itu tidak sepadan, namun kesempurnaan di bahagian akal melengkapkan segalanya. Melaluinya, wujud keadaan saling memerlukan daripada pasangan terlibat, lantas mewujudkan keserasian dalam rumah tangga antara suami & isteri.

Selepas penjelasan imam itu, perasaanku menjadi tenang. Aku mulai menaruh harapan untuk memperolehi isteri yang benar-benar solehah, walaupun cacat. Lama juga aku merantau & mencari, namun tidak juga aku temui calon isteri seperti yang aku hajatkan. 

Sehinggalah aku pulang semula ke Basrah, di sini aku mendapat tahu ada seorang alim yang mempunyai anak gadis yang menjadi rebutan. Ramai yang meminang, tetapi ditolak oleh bapanya. Aku memberanikan diri untuk melamar anak orang alim itu. 

Aku nyatakan hajat & pendirianku yang menginginkan jodoh yang solehah walaupun cacat.

Akhirnya pinanganku diterima. Walaubagaimanapun aku dikenakan syarat iaitu hanya boleh melihat wajah jodohku selepas ijabkabulkan. 

Aku pasrah & menyerahkan segala ketentuan jodohku dalam urusan Allah. Aku yakin Allah menentukan yang terbaik buat diriku. Aku pujuk pandangan mataku tunduk kepada pandangan hatiku & memohon kepada Allah supaya aku tenang menerima isteri yang akan membawaku kepada redha Allah.



***



Apabila bernikah & diraikan dengan jamuan yang sederhana, aku kemudiannya disuruh untuk menemui isteriku.

Setelah melihat wajahnya buat pertama kali.... Aku nyata sangat terkejut. Hampir sahaja aku pengsan melihat kebenaran perihal wajah isteriku yang hodoh & cacat. Semakin aku memandangnya, tidak terfikir olehku melainkan terngiang-ngiang kata-kata al-Balakhi, "Seorang wanita yang hitam lebih baik dari wanita cantik yang mandul."

Sekarang kenyataannya, aku berhadapan dengan wanita yang seperti itu. 

Isteriku memegang tanganku lalu berkata; 

"Aku mengerti betapa kecewanya matamu. Begitu juga yang menyeksa perasaanku, sekiranya kejelitaanku yang dirimu harapkan. Ambillah dua kelebihan daripadaku ini. Pertamanya, aku sentiasa taat & menuruti segala kehendakmu. Keduanya, ambil hartaku & menikahlah lagi menurut kehendakmu, asalkan aku kekal sebagai isterimu."

Aku terdiam. 
Lalu, kemudiannya, aku pula menyatakan isi hatiku kepada isteriku.

"Demi Allah... aku jadikan dirimu sebahagian dari duniaku. Kelak kusanjung & kumuliakan sepanjang hayatku, hanya engkau wanita yang mengisi hatiku. Aku pasti menutup rapat mataku & memalingkan pandanganku daripada wanita lain."


***



Keyakinan Muslim bin Umran kepada Allah menjadi limpahan rahmat yang sungguh membahagiakan kehidupannya. Isteri yang hodoh pada pandangan mata orang lain menyejukkan pandangan mata Muslim bin Umran. Diri wanita itu yang dahulunya ibarat pohon terbiar seolah-olah menerima hujan rahmat yang menyubur & menyegarkannya.

Perjalanan kehidupan mereka seterusnya membuktikan wanita yang dikahwininya itu adalah wanita yang bijak & cerdas. Kelebihan akalnya menjadi bukti kepada kecantikan hakiki. Perlahan-lahan hodoh wajahnya menghilang & yang terlihat hanyalah keindahan akhlak & tingkah lakunya yang sungguh terpelihara. Begitu hasil pengorbanan yang tinggi, selayaknya beroleh ganjaran yang luar biasa.

Isteri Muslim bin Umran bersungguh-sungguh berdoa mengharapkan lahirnya anak-anak yang soleh yang dapat memikat pandangan. Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang tidak mensia-siakan pengorbanan hati suami isteri itu. Mereka dikurniakan dua putera yang cantik rupa paras & sopan tingkah lakunya. 

Begitu tinggi nilai iman & taqwa sehingga mampu menerbitkan keserasian yang membahagiakan. Segala yang indah pada pandangan hati berupaya mengalahkan kejelitaan lahiriah pada pandangan mata. Ganjaran daripadaNya juga adalah luar biasa hebatnya.

***




Penutup - oleh Ummu Anas.

Sekiranya kita renungi dengan lebih teliti perihal rahsia kebahagiaan suami isteri itu, dapatlah kita simpulkan bahawa kebahagiaan tidak hanya terletak pada rupa paras yang memikat sahaja. 

Keutamaan adalah melalui keteguhan pegangan agama & ketaqwaan menjadi yang terbaik, serta dapat menutupi kekurangan pada warna kulit yang hitam & rupa paras yang tidak menarik.

Suami akan lebih berbahagia sekiranya isteri yang solehah & tulus menjaga kehormatan dirinya apabila ditinggalkan oleh suaminya. 

Secara lengkapnya, dalam memilih calon suami ataupun isteri yang serasi, semestinya hasil itu membawa kita semakin dekat dengan Allah.

***

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi Sollallhu 'alaihi wa sallam bersabda;

"Allah swt berfirman,
'Aku Sediakan untuk hambaKu yang soleh,
Sesuatu yang tidak pernah dipandang mata,

Tidak pernah didengari telinga,

& Tidak pernah terlintas di hati manusia...'"
[HR Bukhari & Muslim]

Sesungguhnya... takkan kecewa seorang hamba yang berpegang teguh kepada Tuhannya, yang menyerahkan seluruh urusan kehidupan dunia & akhirat kepada Dia. Keyakinan yang utuh & tawakal yang sungguh-sungguh dipanjatkan hanya buat Allah, Tuhan seluruh alam semesta.

Moga kita diberikan kekuatan untuk bertawakal kepada Allah sehebat Muslim bin Umran.
InsyaAllah.

Wallahu a'lam.

-----------

Notahati:
1) Pesta Peperiksaan Akhir bermula minggu ini. Doakan kejayaan saya; moga Allah permudahkan semua urusan & meredhai segalanya.
2) New record, akhirnya berjaya memandu sendiri kereta tanpa pantauan & di depan pandangan mata ibu ayah. Alhamdulillah. Terima kasih Azizah, sudi turutkan kehendak hati ini yang macam-macam. ;p
3) People won't hate you because of yourself but they hate your bad attitude. 
4) People would adore you because of your advantages basically based on outer appearance, but people surely will love & respect you because of your akhlak, good attitude.
5) Akhlak yang terpancar adalah tanda penyempurnaan iman & taqwa. Semakin beriman seseorang itu, semakin baik & indahlah akhlaknya. Tentunya, sebaik-baik manusia yang punya akhlak terbaik adalah Rasul tercinta, Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam. 

"Ya Allah... perelokkanlah akhlakku.. & pertemukanlah aku dengan hamba-hambaMu yang baik akhlaknya & membaikkan akhlakku.."
Amiin.