Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Saturday, April 21, 2012

The Best Reminder.



Katakanlah, "Malaikat maut yang diserahi untuk (mencabut nyawa)mu akan mematikan kamu, kemudian kepada Tuhanmu, kamu akan dikembalikan." [As-Sajdah, 32: 11]

Alhamdulillah..
Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah..

Akhir-akhir ini... telingaku, mataku, banyak benar menghadam berita, coretan, cerpen, bait-bait kata tentang cinta. Sehinggakan tanpa sedar sedikit sebanyak ia mempengaruhi mood & suasana yang mengisi hatiku.

Dalam monthly planner pun sudah ada 2 undangan walimah daripada teman-teman satu sekolah dahulu.

Berita tentang teman-teman persekolahan yang bakal melangsungkan pernikahan, tancapan mata pada coretan teman-teman yang bahagia menjalani fasa-fasa baru selepas mendirikan Baitul Muslim dengan calon pasangan impian.

Oh... siapa sangka, aku juga menjadi seakan terbuai-buai pula...
Mulalah merangka plot cerita fantasi..

Ish, ish, ish.. *sambil geleng-geleng kepala*

Teman-teman...

Hati kita, jiwa kita, bolehlah kita umpamakan sebagai periuk yang kosong. Terpulanglah kembali kepada kita untuk memilih pengisian apa yang harus diisikan ke dalam periuk tadi. Lauk ayam kurma, rendang ayam cili api, tom yam, kari, ataupun gulai basi yang telah ditinggalkan berhari-hari...?

& apa yang disikan di dalam periuk itulah yang bakal kita keluarkan kembali menggunakan senduk untuk dihidang kepada orang lain.

Gulai apa yang mahu kita hidangkan?

Sama jugalah perihalnya dengan hati & jiwa kita tadi. Jika perkara baik yang kita hadam, itu jugalah yang bakal mempengaruhi pandangan kita, perasaan kita, akhlak kita, serta tutur kata kita.

Jika kita isikan hari-hari kita dengan menonton & mendengar dialog-dialog kurang sopan & cara yang kasar dari filem-filem gangster tempatan mahupun luar, makanya secara langsung atau pun tidak, sedikit atau banyak, ia tetap akan mempengaruhi diri kita sebenarnya.

Suka atau tidak. Kita harus mengakui bahawa kita ini tidak kebal. Kita bukan seperti keluli yang kalis air. Bahkan kita sebenarnya boleh diibaratkan seperti kain yang berupaya menyerap larutan bendasing yang ada di sekitarnya.

Cuma, keupayaan untuk 'mengebalkan' diri menghadapi anasir-anasir luar, negatif atau positif itu tergantung kepada diri setiap individu masing-masing. Bergantung kepada kekebalan iman & taqwa kita kepadaNya..

Jika saban masa kita hanya menghidangkan hati, jiwa & rohani kita dengan tazkirah tentang bab cinta, jodoh & nikah sahaja, maka pastinya kita takkan dapat lari daripada terbuai-buai, terangau-angau, berangan-angan dan sebagainya untuk ke arah itulah. Terutamanya yang lemah iman & taqwa seperti saya ni..

Bukanlah saya menafikan terus kita perlu ilmu rumah tangga. Memang benar hanya dengan nikah sajalah penghasilan & pembentukan ummah dapat dilangsungkan.

Tetapi ianya tetap perlu berpada-padalah. Setiap perkara, perlu ada batasnya supaya tercetuslah keseimbangan dalam kehidupan. Tidak cukup hanya dengan ilmu tentang 'cinta' sahaja yang kita khatamkan. Jangan bab 'cintan-cintun' saja kita laju. Bab-bab ibadah yang lain juga kita mesti laju juga..

Jangan bab couple halal atau haram saja kita pakar. Bab-bab lain pun kita kena tahu. Islam bukan sempit. Dan jangan kita yang menjadi penyebab Islam menjadi sempit & dipandang sempit.

Bukan bab munakahat saja yang ada di dalam kitab 'Indahnya Hidup Bersyariat' bahkan banyak perkara lain yang juga sama penting bahkan ada yang jauh lebih penting sebenarnya kan.. kan...?

Apakata kita buka & bicara bab kehidupan yang lebih 'killer' untuk dibincangkan, direnungkan, disegerakan persiapannya.

Jom kita bincang bab seterusnya. 
Bab kematian pula. 
Bagaimana?

Kebanyakan daripada kita hari ini, sangat sibuk, kecoh benar apabila berbicara tentang cinta. InsyaAllah, banyak dalil yang kita ingat.. Nampak benar kita bersungguh-sungguh dalam bab jodoh ini. Bagi yang masih bujang remaja, kita sangat berusaha untuk mempersiapkan diri tentang impian berbaitul muslim di usia yang muda.

Namun, pernahkah kita bersungguh-sungguh dalam mempersiapkan diri jika Maut dulu menghampiri kita di usia kita masih muda ini?

Berapa banyak kali di dalam sehari 24 jam yang dipinjamkan Allah kepada kita ini, kita sisipkan ingatan kepada kematian...? Dan pernahkah kita renungkan kembali sudah berapa banyak bekal yang kita sediakan untuk dibawa pergi selepas mati kelak?

Firman Allah SWT;
"Sesungguhnya di sisi Allah ilmu tentang hari kiamat, & Dia Menurunkan hujan, & Mengetahui apa yang ada di dalam rahim. & tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui (dengan pasti) apa yang akan dikerjakannya pada besok hari. & tidak ada seorang pun yang dapat mengetahui di bumi manakah dia akan mati. Sungguh Allah Maha Mengetahui, Maha Mengenal." [surah ke-31 (Luqman): ayat 34]

Berumah tangga itu insyaAllah. Hidup sampai usia 30,40 tahun itu insyaAllah. Namun, mati itu adalah pasti. Kita pasti akan mati suatu masa nanti. Takkan tertangguh walau sesaat. Sampai masa yang ditetapkan, datanglah Malaikat Maut di hadapan muka pintu rumah kita, wad, pejabat, bilik air hatta di dalam tempat persembunyian yang paling sulit sekali pun...

Allah Mengingatkan kita dalam surat cintaNya yang ke-63, ayat ke-9,
"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah harta bendamu & anak-anakmu melalaikan kamu daripada mengingati Allah. Dan barangsiapa yang berbuat demikian, maka mereka itulah orang-orang yang rugi." [surah al-Munafiqun]

Di dalam surah yang sama, Allah menjelaskan lagi di dalam ayat yang terakhir;
"Dan Allah tidak akan Menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang. Dan Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan." [63: 11]

Harus kita akui, saya terutamanya, hati saya ini masih banyak sangat cinta kepada dunia. Hati saya dijangkiti penyakit wahan (cintakan dunia & takutkan kematian). Iman ini terlalu lemah. Gagal memandang bahawa keluasan akhirat itu sangat jauh lebih luas daripada dunia yang sementara ini.

Tak apalah. Kita manusia. Manusia memang fitrahnya selalu lupa.

Maka, kembalilah semula kepada 2 perkara yang Nabi SAW pesan kepada kita agar pegang molek-molek sehingga mati; itulah dia Al-Quran & As-Sunnahnya. InsyaAllah, Nabi SAW beri jaminan, jika kita berpegang teguh kepada 2 perkara ini, kita akan selamat dunia & akhirat.


Rasulullah SAW bersabda;
"Hati itu akan berkarat seperti karatnya besi."

Sahabat-sahabat pun bertanya, bagaimana mahu membersihkannya.

Maka, Rasulullah SAW pun menjawab;
"Membaca al-Quran dan banyak mengingati mati."


Bacalah Al-Quran. Renungilah maknanya. Tidak ada gunanya jika kita berbuih mulut membacanya jika kita tak tahu apa yang Allah sampaikan di dalam setiap ayat-ayat yang kita baca itu.

Al-Quran diturunkan kepada umat Islam bukan untuk dijadikan perhiasan di dalam rumah. Sekadar dibiarkan berhabuk di atas almari tanpa dibuka langsung. Bukan setakat dihias indah untuk dijadikan hantaran perkahwinan. Ataupun diletakkan di bawah bantal kerana takut dikacau hantu.

Al-Quran diturunkan sebagai petunjuk & pedoman untuk kita, apakah gambaran seluruh kehidupan, acuan yang seharusnya kita ikut untuk membentuk hidup kita yang singkat ini untuk kita persembahkan kepada Allah & Nabi SAW kelak di akhirat, insyaAllah.

"Maka, tidakkah mereka menghayati al-Quran, ataukah hati mereka sudahpun terkunci?" [Muhammad (47): ayat 24]

Ayat pertama, wahyu Allah pertama yang disampaikan Jibril kepada Rasulullah SAW ialah perkataan 'Iqra'! Yakni maknanya 'Bacalah'.

Buat sahabat-sahabat yang masih belum memiliki tafsir al-Quran, bersegeralah membelinya hari ini. Jadikanlah tafsir itu pedamping terdekat kita. Teman terbaik kita di kala kita kerapuhan. Teman terbaik yang mampu mengingatkan kita kepada Allah sebaik sahaja kita melihat wajahnya.

Tafsir mini tidaklah mahal & insyaAllah mampu dimiliki. Jika ada kawan-kawan kita yang belum ada kerana kesempitan wang, apakata kita hadiahkan sebuah buatnya. InsyaAllah, setiap kali mereka membuka al-Quran itu & membacanya, ada debit untuk kita di situ.

Ada masanya, memang kita memerlukan masa untuk bersendirian. Hati kita, jiwa kita memberontak apabila kawan-kawan datang menjengah. Ya, waktu itu kita mahu bersendirian. Maka, ambillah masa untuk itu & jadikanlah Al-Quran sebagai peneman. Jangan kita biar hati kita yang kosong itu terus dibiarkan kosong tanpa pengisian yang mengingatkan kita kepada Allah.

Jika kita tidak mengisi hati kita dengan Allah. Maka Iblis akan mengisikannya dengan perkara-perkara maksiat yang menjauhkan kita daripada Allah.

Bagi yang baru berjinak-jinak ke majlis ilmu, mahu kembali semula ke jalan Allah setelah menyedari kehidupan sebelum ini dijalani dengan cara yang Allah murkai, maka, teruskanlah langkah anda.

Hidayah Taufik itu perlu dikejar. Jangan kita terlalu malas & sekadar mengharap 'seru' datang betul-betul di hadapan biji mata kita barulah kita mahu kembali kepadaNya.

Apabila kita lihat, kita ada sahabat yang soleh, solehah, mereka selalu bersegera melakukan kebaikan, hampirilah mereka & sertailah mereka.

Jangan kita 100% mengharapkan mereka datang ke muka pintu kita dan mengajak kita mengerjakan kebaikan. Ya, mereka punya tanggungjawab untuk membawa kita ke arah kebaikan. Namun, tanggungjawab kita terhadap diri sendiri adalah lebih besar daripada mereka.

Hidup kita, pilihan kita.

Kejarlah Hidayah Allah. Bersegeralah berbuat kebaikan. Ya, dalam larian itu, kita pasti akan ada masanya terjatuh, dipulaukan, disisihkan, rasa putus asa, rasa lemah.
Namun, mengapa kita terlalu banyak memikirkan apa yang makhluk pandang & fikir tentang kita sedangkan kita tahu, pengorbanan & tujuan kita melakukan kebaikan itu demi siapa?

Bukankah segala-galanya demi Allah?
Bukankah kita ada Allah...?


*Klik image untuk besarkan*

Seorang ibu yang sedang dalam proses mengajar anaknya bertatih berjalan, pasti ada masanya membiarkan anaknya berjalan, bertatih, jatuh & bangun semula. Namun, bila kita terjatuh, terluka dan menangis. Ibu kita akan berkejar ke arah kita & memujuk kita kan...?

Ibu kita bukan tidak sayang kita. Namun, disebabkan terlalu sayangkan kitalah dia membiarkan kita terjatuh. Kerana dia mahu kita belajar & segera pandai.

Begitu jugalah Allah. Ada masanya, Dia membiarkan hati kita tercarik luka, sampaikan kita rasa kita tidak mampu menakhodai kehidupan ini. Namun, Dia akan selalu ada di sisi kita & mengasihi kita Melebihi kita sayang diri kita sendiri.

Malah, sayang & cinta Allah kepada kita melebihi kasih seorang ibu kepada anaknya pun.

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahu akbar.

Jadi, seharusnya sebagai seorang manusia yang dilahirkan sebagai seorang Islam, kita seharusnya selalu muhasabah diri & bertanya;

"Kenapa Allah Pilih aku?"
"Kenapa aku dilahirkan sebagai Islam...?"   

Setiap dari kita adalah penting. Setiap dari umat Islam itu dengan yang lainnya adalah seperti batu bata yang saling melengkapi untuk mendirikan sebuah bangunan yang tersergam indah, itulah Islam.
Tanpa seorang daripada kita, maka tidak sempurnalah bangunan tersebut.

Maka, mainkanlah peranan masing-masing. Buang perasaan hasad dengki, busuk hati & bersangka buruk kepada saudara-saudara seagama dengan kita.

Sayangilah mereka seperti kita menyayangi diri kita sendiri. Sesungguhnya seperti disebutkan dalam sabda Nabi SAW, orang yang beriman itu mengasihi saudaranya melebihi dirinya sendiri. 

Jangan cemburu melihat orang lain berbuat kebaikan. Kejarlah mereka & sama-sama kita memperbaharui iman.

Jangan dengki orang lain berjaya daripada kita. Koreksi silap diri kita & berusahalah memperbaiki kekurangan.

Jangan sesuka hati menilai baik buruk orang lain sebagaimana kita pun tidak suka dibanding-banding dan dinilai-nilai. Ingatlah, sebaik-baik Penilai & Hakim adalah Allah. Selalu bertanya kepada diri; hebat sangatkah kita untuk ambil tempat Allah & menilai orang lain?

Perbanyakkanlah mencari aib & merenungi dosa sendiri. Perkuatkanlah langkah untuk kembali kepadaNya. 

Kita lihat kesusahan & kesedihan sahabat kita bertatih mencari jalan pulang, raihlah tangannya dan bawalah Dia mengenal Tuhan.

Kita lihat hebatnya kesungguhan sahabat kita beribadah kepada Tuhan. Jangan kita anggap mereka ekstrim & berlebih-lebihan. Bahkan raikanlah cara mereka mengekspresikan cinta & syukur kepada Tuhan.

Kita lihat teman-teman kita kurang melibatkan diri dalam gerak kerja. Jangan bersangka buruk dan memandang rendah kepada mereka. Di belakang kita & bersaksikan Allah, mungkin sudah segunung amalannya diangkat ke langit. Sedangkan kita yang mengaku hebat bergerak kerja mungkin Allah baru pandang sedikit.
Kita lihat sahabat-sahabat kita tidak menang tangan menyelesaikan tugasan kerja dakwah. Bantulah sahabat kita jika kita diberikan Allah ruang & peluang. Rebutlah peluang ini untuk memperhebatkan dakwah, ibadah & ukhuwah sesama sahabat-sahabat.

 Ya.. kita manusia. Punya perasaan. Senang terguris. Senang terluka. Rasa merajuk jika tidak diraikan & dipandang oleh orang yang kita percaya & harapkan seperti ibu bapa, adik beradik, sahabat, suami dan lain-lain.

Namun, insyaAllah.. sekali lagi, kita pujuklah hati untuk selalu bersangka baik. Bersangka baik kepada Allah, sekaligus bersangka baik juga dengan makhluk Allah.  

Renungi kata-kata hikmah daripada sahabat Nabi SAW yang dicintai Allah;

"Tidak akan kau berasa gundah walau sekali atau sesaat jika kau tahu apa yang kau cari..." [Saidina Umar Al-Khattab] 

Mardhotillah.
Lillahi ta'ala..
Hasbunallah wa ni'mal wakiil..
 
Ya Allah...
Astaghfirullahal adzhim.. 

Hidup ini terlalu singkat sebenarnya. Ianya hanya antara kadar waktu azan & iqamat. Antara waktu kita dilahirkan & waktu kita akan dikembalikan.

Bagi para muslimat, waktu memakai telekung sebelum menghadap Allah, renungilah wajah kita di cermin & tersenyumlah.
Mudah-mudahan waktu kita dikhafankan, & wajah kita dihadapkan kepada Allah kelak, senyuman itu masih menghiasi wajah kita.

Tanda Allah Meredhai Kehidupan kita.
Tanda Allah Menerima semua amalan kita.

Allahuakbar.

Kerja kita masih sangat banyak.
Sedangkan masa semakin menyuntuk.

Sesungguhnya waktu kita dikembalikan kepada Allah itu boleh jadi saat yang paling Indah & juga sangat Yang Paling Mengerikan.

Maka, terpulanglah kembali kepada kita.
Sesungguhnya cukuplah kematian sebagai peringatan terbaik.

Allahu'alam.


p/s: Doa saya... mudah-mudahan Allah bersihkan hati saya agar dapat saya menyentuhi hati-hati kalian semua agar kita sama-sama kembali kepadaNya.. insyaAllah, aamiin ya robb..

4 comments:

  1. salam kak intan, thanks for this post. ;')

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wasalam, anis nurdiniey..

      syukran ilallah.

      Mudah2an Allah meredhai..

      Delete
  2. Assalamualaikum...

    Terima kasih atas ingatan ini... semoga dikurniakan Allah ilham2 yang baik untuk entri2 yang akan datang juga... Terima kasih.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Waalaikumussalam..

      syukran ilallah..

      insyaAllah, aamiin, aamiin ya robbal 'alaamiin..

      terima kasih juga sudi singgah & baca ya ukhti.. :')

      Delete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."