Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Thursday, May 10, 2012

Jemputan 'Walimah' Untukmu.

Kredit gambar : DeviantArt


Bismillahirrohmanirrohim.

Ada satu kisah. Mari baca dan menghayatinya. Ada yang tersirat untuk direnungi, difahami & disusuli dengan tindakan dan langkah. InsyaAllah. 


Dalam sebuah kampung yang damai, tenang lagi harmoni, ketua kampung, Haji Husin berhajat untuk mengadakan kenduri kesyukuran walimah anak perempuannya. Lalu dijemputnya serata ceruk penduduk kampung, saudara mara dan sahabat handai agar dapat sama-sama memeriahkan majlis.

“Insya Allah aku datang satu keluarga tapi mungkin lewat sikit sebab pagi itu aku kena lawat tapak projek” ujar Ali, rakan karibnya sejak kecil.

“Alhamdulillah tahniah tuan haji, tak sangka dah nak dapat menantu. Jangan risau kami anak muda akan turun untuk bantu majlis tuan haji nanti” kata Razak, Pengerusi Kelab Belia Kampung.

“Tuan haji nak buat kenduri? Insya Allah saya turun dan penuhi hajat tuan haji” Pak Ya tersenyum simpul memahami maksud jemputan ketua kampung itu.

Pada hari majlis walimah ketua kampung, seawal pagi sejurus selepas subuh, kelihatan Pak Ya sudah tercegat di depan pintu pagar rumah ketua kampung.

Niat kedatangannya bukan untuk makan tetapi adalah untuk membantu agar majlis kenduri berjalan lancar. Maklumlah, semua orang kenal dengan Pak Ya sebagai seorang yang sangat mahir dalam selok-belok memasak cara kampung.

Jam hampir pukul 12 tengah hari sebelum majlis bermula, kumpulan bermotor anak muda seperti yang dijanjikan Razak nampaknya masih belum tiba.

“Mungkin sebentar lagi mereka datang” Bisik ketua kampung dalam hatinya.

…………………………………………………………………………………

Dalam menerima suatu jemputan, pemahaman dan respon si penerima jemputan adakalanya berbeza-beza. Ada yang datang hanya sekadar untuk memenuhi jemputan, ada juga yang datang kerana hari itu dapur rumahnya tidak berasap dan ada juga yang datang bukan untuk makan tetapi semata-mata untuk menghulurkan keringat dan bantuan.

Dalam sudut pandangan yang lain, sejak 1400 tahun yang lalu ‘jemputan’ untuk memperjuangkan Islam telah dilaungkan melalui lidah Rasulullah s.a.w. yang mulia. Bagaimanakah respon kita kepada seruan ini?

Ada yang hanya menanti bila Islam akan kembali gemilang, ada yang hanya sekadar memenuhi program-program Islamik dan memperbaiki diri sendiri tanpa memikirkan kerosakan masyarakat sekelilingnya.

Namun ada segelintir yang sanggup menjadi pendokong kepada perjuangan Islam ini, yang sanggup memikirkan masalah umat Islam dan bagaimana cara untuk menyelesaikannya, yang sanggup berkorban masa, tenaga dan harta demi menanam kefahaman dan cinta masyarakat kepada Islam.

Perjuangan mereka lebih hebat daripada ‘Pak Ya’. Mereka bukan hanya bercita-cita melihat kemenangan Islam tetapi mereka menjadi mata rantai kepada kemenangan Islam!

Hayatilah makna disebalik Surah As-Saff : 14

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? Mereka menjawab: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah! ...."


Kad jemputan sudah diedarkan. Mari kita berangkat bagi meraikan 'walimah' itu! insyaAllah.

Allahu'alam..


No comments:

Post a Comment

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."