Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Friday, March 30, 2012

Aku Bermimpi Melihatmu, Aisyah.


Hanya Allah saja yang tahu betapa aku merinduimu.

[Kredit Gambar: DeviantArt]



Bismillahirrohmanirrohim..
Alhamdulillah..

Aku berkisah lagi.
Tentang Cinta...
Tentang sebuah cinta agung...

Bermimpi melihatmu di dalam tidur. Engkau dibawa malaikat. Dengan tabir sepotong kain sutera yang sangat indah. Lalu Malaikat itu berkata kepadaku,

”Inilah isterimu!” 

Setelah aku buka tabir itu. tampaklah wajahmu dan ternyata itu adalah Engkau wahai Aisyah.."
[Bicara Rasullulah SAW kepada ‘Aisyah.]

Anas ibnu Malik sempat bertanya kepada Ummu Salamah tanpa berselindung. 

"Mengapa jika bertemu Aisyah, Rasullullah SAW langsung menciumnya sedangkan jika bertemu isteri yang lain, baginda tidaklah melakukan sedemikian?” 

Tanpa rasa iri hati dan cemburu, Ummu Salamah pun lalu berkata;

"Kerana Rasullulah tidak dapat menahan dirinya apabila tiap kali bertemu dengan Aisyah."

Kerana itu...

Kerana itu Aisyahlah yang banyak bercerita tentang gelora cintanya dengan Rasullulah. 

Bagaimana mereka minum dalam satu gelas Rasulullah SAW meletakkan bibirnya tepat dibekas bibir Aisyah. 

Juga menggigit daging bersama sambil mendekatkan wajah mereka.

Aisyah bercerita bagaimana mereka mandi bersama, & saling berebut air dari satu bejana. 

Aisyah berkisah bagaimana mereka berdua menonton orang-orang Habsyah bermain lembing sambil meletakkan pipinya dan bersandar bahu.

Aisyah juga berkisah bagaimana mereka berlumba lari. 

Aisyah berkisah bagaimana dia bersyair dan Rasul menafsir. 

Aisyah berkisah bagaimana mereka bercerita untuk menghidupkan cinta. 

Aisyah berkisah dan mengadu bagaimana fitnah yang menimpanya. 

Dan akhirnya Aisyah jugalah yang berkisah bagaimana Sang Nabi kekasih Allah itu kembali menghadap Penciptanya,

"Sesungguhnya di antara nikmat Allah yang dilimpahkan kepadaku, bahawa Rasullulah SAW wafat di rumahku, pada hari giliranku, berada dalam rengkuhan dadaku. Dan Allah menyatukan antara ludahku dan ludah baginda saat wafat." [Saidatina Aisyah R.A]

Inilah cinta manusia yang agung. 

Cinta yang diasaskan kerana Allah. 

Cinta yang benar. 

Cinta yang menjadi contoh kepada umat untuk membina Baitul dakwah yang menjadikan kasih sayang, kelembutan, kemesraan & penuh adab pekerti sebagai jalannya untuk meraih cinta Allah.

Inilah yang telah dirakamkan dan dituliskan sepanjang zaman tentang Cinta yang diredhai Allah hingga kepenghujungnya …

Apa yang boleh dikatakan lagi selepas ini tentang cinta?

Memandangkan Rasulullah SAW telah mengajarkan kita segalanya... 

Selawat dan salam padamu ya Habibullah...

Allahu'alam..



p/s: Jika kita bercinta, bercintalah dengan betul. Bercintalah betul-betul sebagaimana yang Rasulullah SAW ajarkan kepada kita.

 

Friday, March 23, 2012

"Kau Pilihanku".



''Bukanlah mencari insan yang sempurna untuk dicintai, tetapi berusaha memiliki hubungan sempurna yang membawa ke syurga." [Forum Kau Pilihanku]

Alhamdulillah..
Maha Suci Allah..

Jumaat lepas, 16 Mac 2012, Allah izinkan saya dan 5 lagi orang sahabat untuk menghadiri majlis ilmu di Universiti Teknologi Petronas (UTP), Tronoh. Walaupun mengalami beberapa kesulitan di dalam misi untuk menghadiri program Baitul Muslim ini, namun, Alhamdulillah... Allah Mengasihani kami & Mempermudahi semua urusan kebaikan ini.

InsyaAllah saya akan cuba kongsikan isi-isi penting dalam majlis ilmu tersebut yang mana sangat bermanfaat & menimbulkan keinsafan pada diri saya khususnya, secara peribadi.

Bismillahirrohmanirrohim..

Firman Allah SWT;
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia Menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia Menjadikan di antaramu rasa kasih & sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir." [surah Ar-Rum (30): ayat 21]

Dijadikan manusia oleh Allah SWT berpasangan-pasangan agar mereka merasakan sakinah. Initikata daripada ayat ini ialah, berhenti dan merasa aman. 

Dalam perihal memilih pasangan ini terdapat dua tindakan yang harus dilakukan secara berlangsung iaitu; Istikharah dan Istisyarah

Apabila datang dua pilihan atau lebih yang mana sama manfaatnya, sama baiknya, sama soleh atau solehahnya, maka perlulah kita melakukan 2 langkah yang disarankan tadi.

Istikharah ialah tawakal, doa & pengharapan kita kepada petunjuk & pertolongan daripada Allah, yang mana harus dijadikan sebagai amalan kebiasaan tatkala berhadapan dengan kebuntuan membuat keputusan-keputusan yang besar di dalam kehidupan & tidak hanya eksklusif dalam bab memilih jodoh sahaja.

Adapun begitu, istikharah ini haruslah didahului oleh istisyarah yang mana merupakan bahagian usaha kita. Kata lain yang memberi makna yang sama dengan istisyarah ini ialah musyawarah, mesyuarat. Berbincanglah dengan orang-orang tertentu yang dipercayai yang mengenali calon pasangan kita itu serta mintalah pandangan mereka tentang calon tersebut.

Kenalpasti pilihan calon pasangan kita itu dengan usaha. Usaha itulah yang dinamakan istisyarah tadi. Maknanya, tidaklah kita secara terus melakukan istikharah sedangkan usaha istisyarah tidak kita lakukan. Kedua-dua langkah ini penting dalam membantu kita membuat pilihan yang betul, insyaAllah.

"Sesungguhnya, tidak akan menyesal seseorang yang beristikharah kepada Allah & beristisyaroh kepada makhlukNya."

Namun, majoriti daripada masyarakat kita hari ini terlalu bergantung dan menunggu tanda istikharah itu termasuklah menanti mimpi dan sebagainya. Kecenderungan yang terlalu berfokus kepada tanda-tanda istikharah ini sebenarnya membuka sangat banyak ruang untuk syaitan menipu dan memperalatkan kita.

Ustaz Hasrizal mencadangkan bahawa, jika kita telah pun berusaha istisyarah & istikharah. Calon pasangan itu juga kita yakin dengan agamanya. Maka, terimalah dia dengan seadanya dengan tawakal kepada Allah. 

Firman Allah SWT;
"(Lazimnya) perempuan-perempuan yang jahat adalah untuk lelaki-lelaki yang jahat, dan lelaki-lelaki yang jahat untuk perempuan-perempuan yang jahat; dan (sebaliknya) perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, dan lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik. Mereka (yang baik) itu adalah bersih dari (tuduhan buruk) yang dikatakan oleh orang-orang (yang jahat); mereka (yang baik) itu akan beroleh pengampunan (dari Allah) dan pengurniaan yang mulia." [surah An-Nur (24): ayat 26]

Apabila kita berbicara tentang kehidupan, makanya berbincanglah dalam 'Tauhidic Mindset'. Maksudnya, kita menyakini bahawa Allah lebih Tahu apa yang baik, Allah juga lebih Tahu apa yang buruk untuk kita melebihi daripada segala pengetahuan kita sendiri.

Jodoh itu umpama rezeki. Samada dicari ataupun ditemui. Allah telah pun menetapkan rezeki buat setiap seorang daripada kita. Cuba kita renungkan kekuasaan Allah. cicak adalah haiwan yang tidak bersayap. Namun, Allah menjadikan makanannya dari haiwan yang bersayap dan terbang. Pokok periuk kera tidak bergerak. Namun, Allah Menjadikan rezekinya yang bergerak itu, sendiri datang kepadanya. Begitu juga dengan burung, rezekinya telah Allah tentukan. Cumanya dia haruslah berusaha untuk terbang mencari & menemui rezekinya itu.

Adalah merupakan kewajipan bagi kita untuk berusaha serta wajib untuk kita menerima takdir daripada usaha kita itu. 

Terdapat 2 perkara penting tentang jodoh.

1) Prinsip Asas. 
Apa niat, tujuan kita berkahwin? Sebelum itu, kita juga kena tahu, apakah tujuan kehidupan kita? Yakni sebagai hamba Allah, sebagai khalifahNya. Prinsip asa kehidupan yang jelas juga dapat menjernihkan kembali tujuan & niat untuk kita mendirikan rumah tangga.

2) Cara pendekatan serta pelaksanaan.
Proses memilih & menjaga jodoh & pasangan itu dilaksanakan dengan beradab mengikut apa yang telah disarankan oleh Rasulullah SAW. Bukan dengan cara ber-couple, ber'dating' serta tidak menjaga batas-batas ketika dalam proses mencari & memilih pasangan.


Perlu dipasakkan di dalam fikiran, apakah pasangan yang kita pilih itu boleh membantu kita mencapai visi & misi untuk meraih syurga Allah atau pun tidak? Apabila kita menjadi sayap kanan, pasangan kita itu menjadi sayap kiri pula bagi menyempurnakan penerbangan untuk ke destinasi yang abadi, iaitu syurgaNya, insyaAllah.

Ustaz Pahrol menegaskan bahawa isteri itu ialah madrasah ilmu, tarbiyyah serta akhlak buat anak-anak.
Serta, apabila kita melihat calon suami kita, apakah lelaki itu yang dimaksudkan sebagai lelaki yang mampu menjadi pemimpin kepada wanita serta keluarganya?

Bertanyalah kepada diri, yakni hati kita;  

"Apakah ini (tujuan bernikah, urusan memilih pasangan, perjalanan ke arah berbaitul muslim (mendirikan rumah tangga) benar-benar boleh kita kaitkan dengan Allah SWT?"

Maknanya, kita mestilah fokus kepada tujuan tadi. Sesungguhnya, cinta manusia itu bukanlah tujuan. Bahkan sekadar jalan. Ia juga bukanlah matlamat, bahkan cuma sebagai alat. Cinta manusia itu cuma merupakan salah satu jalan dan alat untuk meraih tujuan & matlamat yang lebih utama iaitu cinta Allah. 

Di antara dua benda yang terikat, pastilah ada benda lain yang mengikatnya. Begitu juga dengan sesuatu perkara, situasi dan hubungan. Sebagaimana batu dengan batu, adanya simen sebagai pengikatnya. Manakala di antara kayu dengan kayu, ada paku di tengah-tengahnya. Simen dan batu adalah agen yang mengikat kedua-duanya menjadi satu. Lalu, hati manusia dengan hati manusia, yang mengikatnya adalah rasa kasih sayang. Rasa sayang ini pula datangnya daripada keimanan kepada Allah SWT.


******************

Ustaz Pahrol menyenaraikan TIPS-TIPS USAHA MENCARI JODOH YANG BAIK.

1) Tidak hanya mencari, bahkan menjadi orang yang baik. Menuruti semua perintah Allah serta menjauhi laranganNya. Tagihlah janji-janji Allah bagi hambaNya yang beriman. Allah tidak akan Mengecewakan hamba-hambaNya yang menjaga hubungan baik denganNya, insyaAllah.

2) Pasrah dengan pilihan orang-orang yang baik. Orang-orang baik dan dipercayai ini termasuklah ibu bapa kita, ustaz/ustazah serta sahabat kita yang baik. Orang-orang ini perlulah memenuhi 2 kriteria iaitu; baik dengan Allah serta baik dengan kita. Jika hubungannya baik dengan Allah dan dengan kita, dia tidak akan mengkhianati kita. 

3) Pasrah sahaja dengan mengisi hati, memenuhkan hati dengan cinta kepada Allah dan Rasulullah SAW. 

Firman Allah SWT; "(Walaupun demikian), ada juga di antara manusia yang mengambil selain dari Allah (untuk menjadi) sekutu-sekutu (Allah), mereka mencintainya, (memuja dan mentaatinya) sebagaimana mereka mencintai Allah; sedang orang-orang yang beriman itu lebih cinta (taat) kepada Allah. Dan kalaulah orang-orang yang melakukan kezaliman (syirik) itu mengetahui ketika mereka melihat azab pada hari akhirat kelak, bahawa sesungguhnya kekuatan dan kekuasaan itu semuanya tertentu bagi Allah, dan bahawa sesungguhnya Allah Maha berat azab seksaNya, (nescaya mereka tidak melakukan kezaliman itu)." [2:165]

4) Mengikut cara yang disarankan, iaitu cara yang terbaik; istikharah & istisyarah tadi.


Kesimpulannya, hanya dengan menjadi baik, mengikut jalan yang baik, mengikut orang-orang yang baik sahajalah mampu menemukan kita dengan jodoh yang baik itu, dengan izin Allah. 

Dengan menjadi baik, kita menjadi seperti besi berani, magnet yang menarik semua kebaikan datang kepada kita.

Teruskanlah dengan istikharah demi meraih ketetapan hati. Istikharah menagih mujahadah, yang mana jika tidak kita jaga boleh mengundang musibah. Sesungguhnya, hidup ini tidak akan sesekali terlepas daripada ujianNya.


************************


Langkah seterusnya selepas istikharah, istisyarah, khitbah dan nikah, haruslah sentiasa 'update' diri dengan peringatan bahawa; 

"Jangan hanya membayangkan indahnya pelamin, tetapi juga bayangkan juga busuknya lampin." 

Lampin di sini merujuk kepada betapa kita akan menempuh bersama pasangan kita fasa yang seterusnya, yang mana bakal menguji kesabaran & ketabahan kita iaitu; fasa menjaga anak-anak yang kecil. Lampin ini juga merujuk kepada lampin dewasa. Betapa jauhnya pandangan kita terhadap harapan serta impian kita untuk bersama-samanya hatta sewaktu pasangan kita itu sudah uzur sekali pun.

Visi, misi & pandangan kita terhadap cinta manusia bukanlah setakat indahnya 3 hingga 4 tahun perkahwinan. Bahkan bersama meredah badai kehidupan, pahit maung, onak duri alam rumah tangga hingga ke akhir hayat. Kita bercinta, mudah-mudahan biarlah cinta itu boleh dibawa sampai ke syurga. insyaAllah.

Menurut Ustaz Hasrizal, kebanyakan pasangan muda yang bernikah awal cenderung ke arah penceraian kerana kesilapan yang disebutkan di atas tadi. Mereka hanya terbayangkan mimpi-mimpi indah sahaja selepas bernikah. Langsung tidak mempersiapkan diri menghadapi ujian-ujian yang lebih besar. Makanya, apabila berhadapan dengan permasalahan di dalam rumah tangga, senanglah diri terhanyut sama. Hal ini kerana kegagalan memandang & merancang apa yang perlu dilaksanakan, tujuan serta matlamat kita bernikah sebenarnya.

Antara punca lain rumah tangga menjadi goyah selepas beberapa tahun perkahwinan (di usia yang muda) ialah kerana mereka memandang pernikahan itu hanya sebagai cara untuk menghalalkan apa yang sebelum ini haram sahaja. 

Al-Farabi mengatakan bahawa, jika kita mencintai seseorang untuk tujuan seksual semata-mata, itu adalah cinta, keinginan serta nafsu yang Allah kurniakan untuk haiwan sahaja. Cinta yang bermatlamat demikian tidak sepatutnya terlintas pun dalam hati kita sebagai manusia yang Allah kurniakan akal, fikiran serta iman.

Ramai juga pasangan muda yang mengadu kepada beliau secara peribadi bahawa mereka berasa bosan dengan pernikahan yang dilalui walau hanya bernikah untuk setahun dua. 

"Inilah kesilapan kita, kita selalu menggunakan prinsip bermain bola sepak dalam mengendalikan cinta di dalam rumah tangga. Sebelum dapat kita kejar bagai nak gila. Namun, apabila sudah diperoleh, kita sepak pula. Sepatutnya dalam bercinta di dalam alam rumah tangga, prinsip sukan ragbi-lah yang kita pegang, yakni; cinta yang kita sambut, kita peluk, kita jaga hingga kita sampaikan ke dalam gawang destinasi (syurgaNya)" 

*****************

Ustaz Pahrol berkongsi statistik yang melaporkan 90% pasangan yang bercinta tidak berkahwin pun dengan 'couple' mereka itu. Bahkan fakta mengatakan bahawa setiap 15 minit, berlakunya 1 kes penceraian.

Beliau menegaskan berkali-kali kepada semua hadirin yang rata-ratanya masih berstatus pelajar yang bujang agar membesarkan jiwa, membesarkan cita-cita masing-masing. Kata beliau, jika kita berfikiran besar, maka, masalah yang menjengah kita pun akan kelihatan kecil.

Apa yang menjadi masalah ialah kita mengecilkan cita-cita kita. Hal itulah yang menyebabkan masalah-masalah yang menempel nampak seperti besar. Masalah-masalah itu termasuklah bab bernikah ini. Besarkanlah jiwa! Pandang kehidupan ini dengan pandangan yang lebih jauh & luas. Kejar cita-cita, maka cinta akan datang dengan sendirinya kemudian, insyaAllah.

Ramai pelajar tidak nampak cara lain untuk menyelesaikan masalah 'couple' dan masalah cinta mereka melainkan hanya dengan jalan bernikah. Mereka nampak masalah ini sangat besar sekali. Walhal, jika diikutkan, mereka sebenarnya berhadapan dengan realiti yang lebih besar lagi iaitu; menamatkan pengajian dengan cemerlang & melunaskan amanah & harapan yang diberikan oleh kedua ibubapa yang telah sekian lama berkorban untuk kita.

Renungilah kata-kata Hukama: 
"Letihkanlah dirimu dengan beribadah kepada Allah. Maka, kamu tidak akan menjumpai sedetik masa pun untuk berbuat kejahatan."

Maka, apa kata, untuk semua anak muda yang masih lagi belajar. Jika ibu bapa tidak merestui untuk bernikah di usia yang muda, apakata fokuskan fikiran dengan matlamat mahu menyempurnakan pengajian. Sibukkanlah diri dengan bergerak kerja Islam. InsyaAllah, fokus itu tidaklah terlalu tertumpu hanya pada bab bercinta, bernikah & sebagainya sahaja.

Namun, jika benar-benar telah bersedia serta ibu bapa juga merestui, maka nikah khitbah adalah solusi yang paling digalakkan. Nikah khitbah ini juga diamalkan oleh Rasulullah SAW sewaktu baginda menikahi Saidatina Siti Aisyah tetapi duduk berasingan selama beberapa tahun sehingga Siti Aisyah bersedia untuk duduk bersama baginda. Dalam tempoh 'tidak sebumbung' itu, nafkah Siti Aisyah diberikan oleh ayahandanya iaitu Saidina Abu Bakr. 

Akhir kalam: 
Ustaz Pahrol & Ustaz Hasrizal ada meninggalkan kata-kata yang sangat bermakna untuk direnung-fikirkan.

"Adalah lebih penting siapa dia selepas menikahimu daripada siapa dia sebelum & semasa menikahimu." [Ustaz Pahrol]

"Yang patut kamu risaukan bukanlah dengan siapa kamu bakal berkahwin, tetapi risaulah dengan siapa bakal suami/isteri kamu akan berkahwin." [Ust Hasrizal]

"Bernikah itu untuk memberi. Bukan untuk menerima."

"Jika niat kita mahu bernikah kerana Allah, Allah akan Membantu kita dalam menyempurnakan hasrat tersebut."

"Pernikahan itu disusuli dengan mujahadah yakni tidak beerti jika mendapat jodoh yang soleh/solehah hari ini, kita akan terus mengecapi keindahan sampai ke akhirnya tanpa usaha untuk mengindahkan rumah tangga tersebut. Begitu jugalah sebaliknya, jika jodoh kita tidak soleh/solehah pada awal pernikahan, maka mujahadah perlulah berlipat kali ganda supaya kita berjaya mentarbiyyah pasangan kita agar menjadi lebih baik daripada diri beliau sebelum bernikah dengan kita."

InsyaAllah, setakat itu sahaja dahulu yang dapat saya coretkan melalui hasil tulisan poin-poin penting dalam buku catatan sepanjang Forum tersebut berlangsung tempohari. Walaupun dilanda migrain, namun Alhamdulillah, Allah tetap izinkan saya untuk bersama-sama menyertai sahabat-sahabat yang lain menerima siraman ilmu daripada kedua-dua insan yang hebat iaitu; Ustaz Pahrol & Ustaz Hasrizal.

Diharapkan melalui perkongsian ini, dapatlah membuka minda kita semua betapa jangan disempitkan ruang lingkup tujuan & erti pernikahan itu. Sesungguhnya pernikahan bukanlah pengakhiran. Bahkan ia adalah permulaan bagi satu lagi fasa kehidupan.


Kenangan bersama sahabat-sahabat PMIUSM & Rakan Masjid UTP selepas tamat Program Forum Baitul Muslim 'Kau Pilihanku'



Alhamdulillah.

Allahu'alam.


p/s: Mohon jasa baik sahabat-sahabat untuk klik butang 'like' untuk 'share'. Mudah2an Allah meredhai usaha kita untuk menyebarkan kebaikan. insyaAllah. Jazakumullahu khairan kaseero.. :)

 

Tuesday, March 13, 2012

Jika semuanya semudah itu..



Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Jika semua yang kita kehendaki terus dapat kita miliki, 
dari mana dapat kita tahu erti keikhlasan.

Jika semua yang kita termimpi segera menjadi nyata, 

dari mana dapat kita belajar rasa kesabaran.

Jika setiap doa dipanjat terus dikabulkan, 

bagaimana dapat kita belajar berusaha & berikhtiar.

Jika setiap detik hidup ini terisi dengan kebahagiaan, 

bagaimana dapat kita bertaqarrub & mengenal lebih dekat kekuasaan Tuhan.


Yakinlah, setiap ketentuanNya kepada kita adalah yang terbaik. 
Daripada pelajaran keikhlasan, kesabaran, ikhtiar, taqarrub kepada Allah itulah dapat kita kenal siapa kita sebenarnya.

Apa erti hidup ini, dari mana kita datang, tujuan kita didatangkan serta ke mana kita akan dikembalikan..


Jangan sesekali berputus asa kerana Allah itu sentiasa sangat dekat dengan kita... 


Kerana Allah Lebih Mengetahui apa yang terlafaz, tersimpan & dirahsiakan.
Allahu'alam.


Wednesday, March 7, 2012

Aduhai, Cinta & Jodoh.



Bismillahirrohmanirrohim...
Dengan NamaMu ya Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Entri ini ditujukan buat semua diri ini terutamanya, kemudian, buat sahabat-sahabat, teman-teman, saudara-saudari seagama, para pengunjung teratak ini yang masih bujang, yang mungkin sedang 'sangat angau' memikirkan tentang perihal jodoh & cinta siang & malam.

Mari kita bermuhasabah.

Tidak dinafikan betapa Cinta adalah satu perkara yang tidak dapat dipisahkan daripada kehidupan ini. Sungguh kita mengangkat cinta menjadi salah satu perkara yang sangat penting buat diri. Percayalah bahawa, sehingga dunia ini kiamat sekalipun, perbincangan berkenaan cinta tidak akan terhenti.

Namun apa yang saya lihat merugikan adalah, keterujaan ini akhirnya membuahkan efek yang buruk kepada masyarakat, terutama dalam pembinaan kehidupan seorang remaja. Bahkan kadangkala, ianya memasuki teritori Aqidah, dan mengeluarkan pendapat tidak selari dengan Aqidah yang sepatutnya. Semua kerana mabuk dengan teori-teori cinta.

Di sini, bukanlah cinta yang kotor sahaja bermasalah. Tetapi, cinta yang dianggup suci, menjaga syara’ pun,kadangkala membawa padah.

Sememangnya yang terbaik adalah bersederhana.

Keterujaan melampau tidak akan pernah membawa kepada kebenarannya.



Itu ini Cinta. Itu ini Jodoh.

Baru berbicara sebentar, dada berdegup kencang, jiwa sudah bertanya: “Apakah dia jodohku?”

Baru berhubungan di Facebook beberapa ketika, jumpa pun tidak pernah, kemudian hati mula tersentuh sedikit, maka diri mula bertanya: “Apakah mungkin dia jodohku?”

Kadangkala di’usik’ sedikit melalui mimpi, termimpikan wajah yang iras si dia, hidup sudah jadi resah dan gelisah, lantas hati tertanya-tanya: “Apakah ini ketetapan TakdirNya? Dia Jodohku?”

Dan bermulalah kita bergerak membicarakan perihal keindahan cinta, dan bagi mereka yang masih belum tamat studi pula sibuk merangka karangan perihal Boleh Berkahwin Awal dan sebagainya. Dibangkitkanlah perihal istikharah untuk mengetahui apakah benar itu jodoh kita dan sebagainya. Tidak dilupakan juga mula mencari doa-doa mencari jodoh dan sebagainya.

Segalanya kita katakan cinta, dan dengan mudahnya kita katakan itu ini jodoh kita.

Tanpa berfikir dua-tiga kali. Tanpa membuat perancangan yang lebih kukuh lagi.

“Ala, lebih baik kahwin awal dari berzina.” Dan itulah yang sering dilontarkan sebagai justifikasi. Seakan-akan perkahwinan itu satu rekreasi, dan hanya berkait dengan dua merpati sejoli. Itu ini Cinta. Itu ini Jodoh. Dan itu sahaja yang bermain di dalam pemuda-pemudi yang dimabukkan cinta ini.



Keluarga Itu Pembinaan Ummah.

Satu perkara yang perlu jelas dan ditegaskan ke dalam diri adalah, Ummah itu dibina dari keluarga-keluarga. Justeru, hendak melahirkan ummah yang kuat, maka hendaklah kita membina keluarga yang kuat. Keluarga yang kuat adalah keluarga yang utuh dengan kefahaman agamaNya, dan mampu memberikan manfaat kepada Islam. Menjadi batu-bata yang teguh terhadap pembinaan Ummah.

Justeru, dalam perjalanan cinta seseorang itu, perlulah hakikatnya dimulakan dengan kefahaman ini. Barulah punya hati yang tegap dan mantap, juga pandangan yang jelas, berkenaan ‘apa yang dia mahukan’. Kerana, bagi yang memahami kebenaran ini, maka ‘apa yang dia mahukan’ adalah ‘apa yang Islam mahukan’.

Tidaklah dia akan mudah tersentuh dengan ‘Oh, ini mungkin jodohku’ semudah dengan hanya beberapa kali berurusan, atau mungkin pernah sekali melihat wajahnya, atau mungkin selepas berbicara lama di Facebook dan sebagainya. Tidak. Tidak sesekali dia akan dirikan keluarganya dengan dasar serapuh itu.

Perasaannya tidak akan dipandu tanpa pemandu yang jelas. Bukan dipandu oleh perasaan itu sendiri. Tetapi perasaannya akan dipandu keimanan dan kematangan. Dan dia akan bergerak membina diri dan peribadi.

‘Usik’an cinta memang akan datang. Hatta selepas kahwin. Maka apakah itu masih ‘cinta’? Selepas kahwin, kita akan katakan tidak. Maka hakikatnya, sebelum kahwin, ianya sama juga. Tinggal kitalah yang membuat pilihan, apakah itu yang kita mahukan sebagai cinta kita?

Maa sekiranya kita memahami bahawa keluarga adalah pembinaan kepada ummah, mahukan kita memilih cinta yang lekeh? Semestinya tidak!



Jodoh Sudah Tertulis Di Lauh Mahfudz.

Wujud golongan yang suka berbicara sebagaimana tajuk subtopik yang saya nyatakan di atas ini. Ya, Rasulullah SAW bersabda:
“Kejadian seseorang itu dikumpulkan di dalam perut ibunya selama 40 hari.sebaik sahaja genap 40 hari kali kedua terbentuklah segumpal darah beku. manakala genap pula 40 hari kali ketiga bertukar pula menjadi seketul daging. kemudian Allah SWT mengutuskan malaikat supaya meniupkan roh dan memerintahkan menulis empat perkara iaitu ditentukan rezeki, tempoh kematian, amalan serta nasibnya smada mendapat kecelakaan atau kebahagiaan. maha suci Allah di mana tiada Tuhan selainNya.” Hadith Riwayat Muslim.

Tetapi rata-rata mengeluarkan kenyataan “Buat apalah susah-susah usaha mencari jodoh. Allah telah tetapkan” memahami hadith ini. Kononnya, itulah dia menjaga syara’. Itulah dia menjaga diri. Tidak. Ini satu kenyataan yang jelas silap.

Allah juga menetapkan kita makanan. Tetapi apakah makanan datang dengan sendiri? Tidak. Kita perlu usaha untuk makan. Suap diri sendiri. Cari kerja. Allah telah tetapkan kita berjaya atau gagal di dalam exam, tetapi kita masih berusaha. Kerana kita berusaha untuk berjaya. Kerana kita TIDAK TAHU apa yang Allah telah tetapkan kepada kita.

Bahkan, jelas ada ‘isyarat’ untuk kita disuruh ‘berusaha’ dalam urusan pencarian pasangan.

Allah SWT berfirman:
“Dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam); dan sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. Dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk ugama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (Yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke Syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. Dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).” Surah Al-Baqarah ayat 221.

Jika benar kita hanya perlu menanti, maka buat apa Allah SWT letakkan larangan ini? Jelas sekali Allah SWT mengarahkan kita ‘memilih’ yang beriman. Bukan semata-mata menanti.

Rasulullah SAW sendiri bersabda:
“Dikahwini wanita itu (untuk dijadikan isteri) kerana empat perkara iaitu harta kekayaannya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya.  Maka utamakanlah (dalam pemilihanmu itu) wanita yang kuat  beragama, nescaya sejahtera hidupmu.”  Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim.

Buat apa dinyatakan ciri-ciri ini, jika bukan kerana disuruh berusaha mencari? Kalaulah benar menunggu, menanti, berdiam diri begitu sahaja boleh membawa kepada jodoh yang baik, mengapa perlu wujud hadith ini?

Justeru, bagaimana di dalam bab Jodoh, kita boleh kata – Tidak mengapa, saya tunggu siapa yang telah dituliskan untuk saya di Lauh Mahfudz sana. SIAPA? Anda tahu siapa? Tidak. Kita tidak akan tahu siapa jodoh kita yang sebenar-benarnya. Yang berkahwin juga bercerai, yang berkahwin juga kemalangan, dan yang hidup perlu meneruskan kehidupannya walau pasangannya mati. Ada yang berkahwin dua, tiga, empat. Ada orang, tak berkahwin langsung. Mati sebelum berkahwin.

Jadi, persoalan jodoh ini luas. Menanti bukan caranya.

Hendak sesuatu yang baik, cari. Cari dengan cara yang baik juga. Sebab itulah saya bangkitkan kefahaman bahawa Keluarga itu membina Ummah. Kerana kita perlu mencari yang baik, yang sesuai dengan kita, untuk bersama-sama dengan kita membina ummah ini. Bukan berdiam diri, tunggu bulan jatuh ke bumi.

Memahami perkara ini, tidaklah kita disibukkan dengan perbincangan remeh seperti – “Apakah kalau saya mimpi si fulan bin si fulan, maksudnya dia jodoh saya?” – TIDAK!

Tetapi kita sepatutnya menyibukkan diri dengan kefahaman Islam, cara hidup Islam, bagaimana hendak menerapkan Islam di dalam kehidupan keluarga dan anak-anak dan sebagainya. Berapa ramai yang membeli Buku Perihal Jodoh, berbanding yang membeli Buku Tarbiyatul Awlad karangan Dr Nasih Ulwan? Pernahkah kita menyelak Buku Baitun Nubuwwah?



Kahwin Awal

Dan kerana disibukkan cinta sebegini, menyebabkan kita juga disibukkan isu berkahwin awal. Ya, kahwin awal tidak pernah salah. Tetapi saya ingin bangkitkan perihal – bagaimana boleh kita kahwin awal?

Sekiranya kita tidak disibukkan perihal cinta, jodoh, hubungan lelaki perempuan, maka pada saya tidak akan timbul isu kahwin awal. Rata-rata ibu bapa, tidak membenarkan anak-anak mereka berkahwin awal bukan kerana kahwin awal itu satu keharaman atau satu dosa. Tetapi kerana mereka mengenali anak-anak mereka bagaimana!

Belum bekerja, belum punya kerjaya, belajar pun tunggang terbalik, mahu kahwin anak orang?

“Lebih baiklah daripada berzina.”

Alasan apakah ini? Apakah yang kita lakukan, sampai keluar alasan sedemikian rupa? Apakah Islam ini isunya hubungan lelaki perempuan sahaja? Tidakkah kita ada 1001 perkara lain yang lebih besar daripada isu hubungan lelaki dan perempuan untuk kita sibukkan? Justeru, bagaimana kita boleh terperangkap di dalam isu ini, dan kemudian mengeluarkan alasan sedemikian rupa? Islam ajarkah?

Tiada masalah jika bijak menguruskan hidup. Tiada masalah jika punya pendapatan. Tiada masalah jika punya matlamat yang jelas dalam melangsungkan perkahwinan. Tetapi apakah wujud pada diri kita? Atau kita kahwin awal hanya kerana teruja dengan rakan-rakan lain yang berkahwin awal juga?

Kadangkala, dengan mudah kita berbicara: “Tak mengapa, Ummi Abah saya sanggup tanggung semua.” Kematangan apakah ini?

Matlamat kita adalah membina ummah, atau matlamat kita adalah perkahwinan?



Akhirnya, Isu Yang Lebih Besar Terkubur.

Akhirnya disibukkan cinta sebegini, membuatkan kita jadi lembik. Perbincangan hanya seputar jodoh dan cinta. Tetapi pembinaan Ummah ditinggalkan. Peribadi Muslim yang baik dilupakan. Fikrinya hanya kahwin, kahwin, kahwin.

Ketika kahwinlah segala dalil ditabur keluar.

Ketika mahu menjustifikasikan cintalah, segala nas-nas diangkat tinggi.

Sedang dalam sisi-sisi pengurusan hidup yang lain, tidak pula mahu kita sentuh dengan nilaian Islam. Istikharah kita hanya istikharah jodoh dan cinta, tetapi pernahkah kita beristikharah untuk urusan yang lain juga? Suami yang baik adalah sekian-sekian, isteri yang solehah adalah sekian-sekian, tetapi pernahkah kita bincangkan bagaimana ciri pejuang Islam yang sebenar dan bagaimanakah kita mahu membina ummah?

Pendidikan anak-anak, pendidikan pasangan, tidak pula kita sentuh. Yang itu semua kita kata – “Lepas kahwin nanti pandailah.” Bagaimana ummah mahu terbina dengan baik sekiranya mentaliti kita sedemikian gayanya?

Ini menyebabkan akal dan minda kita terpenjara, dan akhirnya cycle ini membawa kita menjadi lembik dan lemah.

Itu belum kita kira dengan jalan yang salah dalam urusan jodoh& cinta ini. Jalan yang salah, hasil dari pencernaan minda yang silap. Kefahaman yang tidak jelas. Maka perlulah kita menyelesaikan perihal cinta&jodoh ini.

Jangan sesekali kita sibukkan diri kita dengannya.

Ini hanya ‘sub’ daripada kehidupan kita.

Bukan matlamat kehidupan kita.



Penutup: Bersederhanalah. Lihat perkara yang lebih besar.

Justeru bersederhanalah. Jangan terlalu teruja. Lihatlah perkara yang lebih besar. Lihatlah apa yang sebenarnya mahu kita bina. Lihatlah cinta ini hakikatnya hendak membawa kepada mana.

Kita tidak mahu keluarga kita sekadar robot-robot sistem.

Kita mahu keluarga kita adalah yaang memberikan sumbangan kepada keruntuhan sistem jahiliyyah, dan pembinaan daulah Islamiyyah.

Maka apakah pantas kita tidak bersedia bersungguh-sungguh di dalam hal ini? Maka apakah pantas diri kita yang lembik, tidak punya wawasan, tidak punya kematangan, menjadi nakhoda kepada sebuah keluarga yang menjadi batu-bata kepada ummah?

Pandanglah Cinta&Jodoh ini dengan pandangan yang benar dan teliti. Bukankah ini hanya ‘sebahagian’ daripada kehidupan kita? Mengapa perlu kita jadikannya seakan-akan matlamat?

Tidakkah kadangkala kita menilai ‘panasnya’ darah muda kita, membuatkan kita mudah teruja dengan perkara-perkara sebegini? Sedang kalau kita pandang dari skop yang lebih luas, ini semua sebenarnya sampingan semata-mata. Mengapa mesti tergesa-gesa? Mengapa mesti sambil lewa?

Mari kita memandang semula kehidupan ini!


SUMBER: Langit Ilahi

Tuesday, March 6, 2012

Demi Masa.




Bismillahirrohmanirrohim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

"Demi masa, sesungguhnya manusia berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman & mengerjakan kebaikan serta saling berpesan (menasihati) untuk kebenaran & saling menasihati dengan kesabaran." [Al-Asr (103): 1-3]

Alhamdulillah.. Saya sihat dan masih lagi dipinjamkan nyawa dan kudrat untuk meneruskan kehidupan di atas muka bumiNya ini. Saya doakan antum pengunjung blog ini juga sihat wal afiat juga hendaknya. Mudah-mudahan.. 

Mungkin agak poyo, tetapi saya minta maaf bagi sesiapa yang setia mengunjungi teratak usang ini untuk menjenguk kalau-kalau ada pengisian baru daripada hamba yang dhoif ini. Kalau tak ada, Alhamdulillah... Taklah rasa bersalah sangat. huhu. ;p

InsyaAllah, melewati hari-hari pengajian di dalam semester akhir memang sangat menguji. Bagi pelajar sains biologi yang diwajibkan untuk membuat projek tahun akhir yang merangkumi kerja-kerja lapangan dan kerja-kerja di dalam makmal, waktu ini memang sangat menguji ketabahan, kekuatan dalaman, kerajinan serta pengorbanan masa bagi sesetengah daripadanya [Paling teruji bagi student kerja makmal]. 

Kesibukan dan tahap stress itu bergantung kepada tajuk, perancangan, usaha keras, pensyarah yang memantau serta banyak faktor-faktor dalaman serta luaran yang lain.

Apa yang saya ingin tekankan dalam coretan kali ini ialah bagaimana kegagalan kita membuat perancangan serta melaksanakan perancangan yang telah dirancang boleh membenamkan kita sampai kita mengalami kesukaran bernafas pun.

Saya tidak begitu arif tentang orang lain. Tetapi insyaAllah saya kenal dengan diri saya sendiri. Tabiat buruk, tabiat kurang baik yang sangat banyak yang mana jika diri ini terlalu dimanjakan dan kehendaknya selalu benar dituruti, maka saya akan menjadi bertambah teruk dan tidak produktif.

Saya kira, ramai di antara kita yang suka menangguh-nangguhkan kerja. Ramai juga yang gagal memilih dan mengutamakan apa yang utama di dalam hidupnya. 

Natijahnya menyebabkan kerja bertimbun-timbun dan menyebabkan tiba-tiba menjadi sibuk untuk menyiapkan perkara-perkara tertentu pada waktu-waktu kritikal.

Padahal jika kerja tersebut dilakukan daripada awal dan tidak menunggu saat akhir, kesan tekanan yang dihadapi mungkin tidaklah terlalu hebat.

Memetik kata-kata Imam Nawawi di dalam kitab al-Majmuk. Terdapat dua nikmat yang selalu dilupakan oleh kita iaitu masa lapang dan sihat, kerana ia manusia selalu lapang dan sihat berbanding terlalu sibuk dan sakit. Namun, mungkin kerana terlalu banyak masa lapang & sihat itulah yang menyebabkan kita menjadi kurang bersyukur serta beralih fokus ke arah duniawi.

Kita 'berpoya-poya' dalam menggunakan nikmat masa lapang & waktu sihat ini dengan sewenang-wenangnya. Sebagai contohnya untuk pelajar tahun akhir seperti saya, waktu lapang yang ada dihabiskan dengan menonton movie, drama korea-jepun, mengadap Facebook sampai mata naik pedih dan letih. 

Masa yang lapang ini dibiarkan berlalu, padahal memang ada kerja yang sepatutnya boleh disiapkan waktu itu.

"Tak apalah... hari ni baru Isnin. Dr suruh hantar draf tu hari Jumaat."

Lalu, teruslah membazirkan masa seperti pili air bomba yang pecah. Ditakdirkan Allah, tiba-tiba hari seterusnya hari yang sepatutnya lapang yang konon-kononnya mahu dihabiskan dengan membuat kerja yang telah ditangguhkan itu, tiba-tiba sahaja menjadi sempit kerana kelas ganti tiba-tiba diadakan. 

Hah! Rasakan!
Sudahnya tercungap-cungap mahu menyiapkan proses typing & editing pada malam sebelum hari penghantaran draf.

Tidak tidur, ponteng mesyuarat, gagal menghadiri program ilmiah yang telah lama dirancang kerana kegagalan menggunakan peluang, ruang serta nikmat yang Allah berikan sebelum itu.

Kita ini... hm, terutamanya diri ini.. memang tidak cerdik dalam menyusun kerja-kerja prioriti (yang utama).
Sebab itu, perkara yang kurang penting dan prioriti kita selalu utamakan, kedepankan, dahulukan. Manakala, perkara yang prioriti, penting & segera itu kita kemudiankan.

Selepas itu, kita pun mengadu kita sibuk, kita penat, kita tak ada masa, kita terkejar-kejar masa, kita semput mengejar 'deadline' penghantaran kerja. Walhal, sebenarnya masa kita banyak.
Mana mungkin masa 24 jam itu tak cukup untuk kita. Allah tahu masa 24 jam itu berpadanan dengan kita. Masa kita cukup. Cuma, kita gagal menyusun jadual kerja kita.

Kita terlalu bersikap 'ignorant' yakni langsung tak peduli tentang kualiti & kuantiti masa yang kita ada. Kita selalu merasakan masa itu akan selalu ada untuk kita. Padahal, masa tidak pernah menunggu kita hatta untuk satu detik pun. 

Sebab kita tidak nampak betapa besarnya kerugian yang kita alami akibat daripada kelalaian, kegagalan & sikap tidak ambil peduli kita.

Persoalannya, adakah kita mahu melihat sendiri buruknya akibat sikap kita itu baru hendak kita sedar? Bak kata pepatah melayu; 'apabila sudah terhantuk baru hendak terngadah'?

Mari... mari kita sama-sama buka mata. Disebabkan sikap kita yang macam inilah kita selalu bertangguh-tangguh juga untuk bertaubat, berhijrah serta melakukan kebaikan.
Sebab kita tidak nampak betapa dekatnya hari pembalasan itu sedang berkejar ke arah kita. Kita tidak nampak betapa kita semakin laju mendekati hari perhitungan amalan itu. Sebab itu kita masih berani beralasan begini.

Firman Allah swt;
"Telah semakin dekat kepada manusia perhitungan amal mereka, sedang mereka dalam keadaan lalai (dengan dunia), berpaling (dari akhirat)." [surah 21, al-Anbiya' : ayat 1]


Astaghfirullahal adzhim...
Untuk masa yang kian berlari laju seperti angin, hingga tidak sedar kepantasannya berlalu, adalah lebih baik kita berjaga-jaga, berhati-hati serta menghargai setiap detik yang masih bersisa untuk kita.
Jangan sewenang-wenangnya menggunakan masa kita untuk perkara yang tidak berharga. Macam mana kita hendak tahu apakah kita telah menggunakan masa kita itu dengan sebaiknya?

Macam inilah...

Jika Allah tanya pada kita, 

"Apa yang telah engkau buat seharian yang Aku bagi kau pinjam hari ini?"

"Ada tak kau ingat Aku? melakukan segala perkara sambil mengingatiKu..?"

"Ataupun ada tak kau merancang & melaksanakan apa-apa yang bakal memberi kebaikan kepada agamamu, atau setidak-tidaknya kepada dirimu & keluargamu...?"

"Ataupun hari ini... sehari lagi telah kau bazirkan tanpa melakukan apa-apa perkara berfaedah pun? kau biarkan hari ini berlalu tanpa mengenang sedikit pun tentang Aku, tentang rasulKu, tentang Islam...?"

Apa agaknya yang mahu kita persembahkan kepada Allah..? 

Mari kita renungi kata-kata hikmah ini;




Hargai masa yang kita ada. Susun jadual kerja & kesibukan kita menurut keutamaan, kepentingan & kadar segeranya. Jangan bertangguh serta hormatilah masa orang lain. 
Jangan biarkan orang lain menunggu kita. Jangan biarkan kita menjadi 'pencuri' masa orang lain dengan sengaja & tanpa alasan. Boleh jadi, itu juga alasannya kita tidak diredhai Allah. Kerana dia tidak redha kita mencuri masanya. 

Hal ini selalu terjadi di dalam mana-mana meeting pun. Selalu sahaja akan ada orang yang datang lambat, sangat lambat, juga samada dengan alasan ataupun tanpa alasan yang kukuh.

Coretan ini ditujukan khasnya untuk diri ini. Saya juga selalu, sangat, sering, memang khilaf & silap. Makanya, marilah kita sama-sama memperbetulkan diri..

Sesungguhnya, janganlah sampai 'sibuk' menjadi alasan yang memperdaya kita di tengah jalan menuju syurga. 

InsyaAllah, setakat ini dahulu. Maafkan saya jika coretan ini tidak bermanfaat langsung bagi antum. 

Allahu 'alam..


-----------------

p/s: Alhamdulillah. Terima kasih Allah kerana menyelamatkan diri ini berkali-kali walau diri ini sememangnya tidak layak untuk diselamatkan.. :')