Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Showing posts with label seminar. Show all posts
Showing posts with label seminar. Show all posts

Tuesday, May 13, 2014

Cinta Di Rumah Rasulullah SAW.


Rasulullah, sekiranya berbicara dengan seseorang.. 
ketawa baginda, senyum baginda sewaktu bicara itu adalah seikhlas hati. 
Menggambarkan bahawa orang itu benar-benar ada di dalam fikiran & jiwa Rasulullah waktu itu. 
Subhanallah. Begitulah hebatnya Rasulullah dalam menzahirkan rasa cinta & kasih.

***



Bismillah.
Dengan menyebut nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,
Selawat & salam buat Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wa sallam.


Cinta Di Rumah Rasulullah SAW.

Demikianlah Firman Allah SWT di dalam surah al-Ahzab (33), ayat 21: "Sungguh, telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah & kedatangan hari Kiamat & yang banyak mengingati Allah." 

Jika kita mencari-cari contoh.. untuk membina rumah tangga yang Allah redhai, tentulah rumahtangga Rasulullah SAW yang wajib menjadi sumber teladan & inspirasi.

Post kali ini, insyaAllah ingin membicarakan tentang cinta di dalam rumah tangga Rasulullah SAW. Moga insyaAllah sama-sama kita beroleh manfaat & kebaikan..

***

1) Menjadikan Redha Allah sebagai matlamat.

Apabila berbicara tentang Rasulullah SAW, tentang cinta baginda, tentulah ianya berkait rapat dengan Allah. Di dalam hati Rasulullah, cinta Allah memenuhi hatinya.

Sesiapa yang mencintai Allah, pasti akan sanggup letih, mengantuk, lapar, dahaga kerana agama.

Jika pasangan kita, menangis di balik tabir masjid, menangis bersama beberapa orang yang lain... mampukah kita menyakini yang mana satu tangisan pasangan kita? 

Belum tentu. Mengapa? Hal ini kerana kita tidak kenal dengan bunyi tangisan mahupun esakan pasangan kita itu. 

Mengapa kita tidak kenal? Sebabnya pasangan kita jarang menangis demi agama. 

Isteri-isteri Rasulullah SAW, Aisyah RA, kenal akan tangisan suaminya, tangisan Rasulullah SAW. Kerana tidak ada satu hari pun berlalu tanpa Rasulullah menangis mengenangkan umatnya, mengenangkan nasib agama ini, mengenangkan pelbagai hal berkisarkan agama.

Tatkala sahabat Nabi SAW Saad bin Muaz meninggal dunia, Arasy Allah bergegar kerana Allah sangat rindu mahu berjumpa dengannya. Agaknya kalau kita mati... adakah Allah mahu bertemu dengan kita? 

Astaghfirullah. 
Hinanya kita, jika tiada cinta Allah di dalam diri kita. 
Astaghfirullah. 
Hinanya kita jika Allah tidak sudi memandang & menerima kita.

Hari ini... anak-anak kita, lebih kenal watak kartun, lebih kenal nama artis, tapi sayang.. tidak kenal kepada Nabi. tidak kenal kepada Allah. 

Ya Allah.... apakah musibah yang lebih besar melainkan ummat ini tidak mengenali siapa Nabi & Allah yang Menciptakan mereka? Mari kita sungguh-sungguh minta ampun kepada Allah. Sesungguhnya kita berdosa kepada Allah.

Sungguh, semuanya bermula daripada niat kita sebelum bernikah. Bagaimana cara kita memanfaatkan pernikahan. Dengan bernikah, menjadikan jalan lebih cepat, lebih mudah untuk kita ke syurga Allah, tetapi kita mensia-siakan peluang ini.

Terlakar di dalam sirah, Abu Bakr as-Siddiq menyuruh Abdullah, menantunya menceraikan anaknya Atikah hanya kerana menantunya gagal menghadirkan diri solat Subuh berjemaah di masjid beberapa kali. Abu Bakr menegur Abdullah, "Ceraikanlah Atikah. Sesungguhnya dia melalaikan engkau daripada agama." 

Lihatlah bagaimana tegasnya sahabat-sahabat dalam menjaga agama & ibadah mereka.

Hanya setelah Abdullah & Atikah bertaubat barulah mereka merujuk semula pernikahan mereka setelah itu & berazam untuk lebih bersungguh-sungguh beribadah kepada Allah. Subhanallah. Inilah rumahtangga yang bermatlamatkan untuk mencari redha Allah.

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang sohih, sesungguhnya sekiranya kamu mengetahui betapa besarnya pahala & keistimewaan solat subuh berjemaah, nescaya kamu akan datang biarpun dalam keadaan merangkak. Sesungguhnya sekiranya engkau mengetahui betapa besar pahala & keistimewaan solat zuhur berjemaah, nescaya engkau akan datang biarpun dalam keadaan berlari.

Inilah cinta yang Rasulullah SAW ajar kepada kita, bahawa menjadikan Allah sebagai asas bagi segalanya. Redha Allah adalah segalanya. 

Semua yang menjauhkan kita daripada Allah, kita sanggup tinggalkan meskipun kita sangat cinta. Kerana Allahlah segala-galanya buat kita. 

***

2) Sentiasa Belajar Untuk Mengenal Allah

"Awaluddin makrifatullah" - yang pertama dalam agama ialah mengenal Allah.

Sahabat-sahabat menbicarakan bahawa, "kami belajar iman, kemudian baru kami mempelajari al-Quran."

Ingatlah, dalam tempoh 13 tahun Rasulullah SAW berdakwah, 13 tahun hanyalah untuk menyediakan hati-hati manusia. Rasulullah SAW mengambil masa ini untuk menanamkan iman & kecintaan ummat kepada Allah. Sebab itu, tatkala suruhan & tuntutan Allah mengharamkan arak, mereka segera meninggalkannya biarpun arak ketika itu dengan masyarakat Arab adalah seperti isi dengan kuku. Perumpamaannya sama seperti kita dengan nasi, makanan ruji, sudah sebati dalam kehidupan. Tetapi mereka meninggalkannya tanpa teragak-agak atau mencuri-curi minum kembali kerana kuatnya iman mereka terhadap Allah.

Orang yang beriman adalah orang yang paling takut kepada Allah, orang yang paling bijak, paling berani. Meskipun nyawa akan melayang, mereka terus melangkah demi agama ini. Kerana mereka yakin pada Allah & segala janjiNya.

Tanamkan nama Allah di dalam hati. Bahawa hanya yakin kepada Allah. Hanya takut kepada Allah. Yakin bahawa hanya Allah boleh beri rezeki. Yakin bahawa hanya Allah yang beri bahagia. 

Bila sedih ingat kepada Allah. Ingatlah, Rasulullah SAW juga berpesan yang sama kepada sahabat kala mereka sedih & takut. Apa kalimah yang Nabi gunakan untuk memujuk? "La tahzan.. Innallaha ma'ana.. (jangan bersedih, sesungguhnya Allah bersama dengan kita.)"

Pujuklah pasangan kita, pujuklah ahli keluarga, anak-anak, dengan ungkapan yang serupa tatkala mereka rasa sedih & takut.

Ingatlah Allah setiap masa melalui zikir. Selalulah berzikir. Teruskanlah berzikir.

Ingatlah, hanya Allah yang mampu memudahkan segala-segalanya..

***

3) Jagalah Solat, Allah akan Menjagamu

Jika agama itu berdiri sebagai sebuah rumah, solat adalah sebagai tiang-tiangnya. Apabila kita lihat orang islam di sekeliling kita tidak bersolat, mintalah semoga Allah berikan hidayah taufik kepadanya. Rasa kasihan kepada dia. 

Sesungguhnya solat itu adalah tanda kehambaan. Tanda kita sebagai hamba Allah.

Mulakan, hidupkan suasana bersolat jemaah dalam keluarga. Mulakan daripada diri sendiri. Yang muslimin berusaha untuk berjemaah. Yang muslimat berusaha solat di awal waktu.

Apabila ibu bapa kita tidak menunaikan solat, menangislah doakan mereka, rasa kasihan kepada mereka.

Hidupkan majlis ilmu, biasakan membaca hadis sewaktu berkumpul semua ahli keluarga. Hidupkan ibadah sesama ahli keluarga, sebagai contohnya solat sunat dhuha secara berjemaah. InsyaAllah kita akan rasa hal-hal sebegini memberikan sinar baru buat keluarga kita. 

Sentiasa berpesan kepada keluarga agar mengutamakan pandangan Allah pada setiap masa. Jika saya buat begini, apa pandangan Allah terhadap saya? Dengan sungguh-sungguh merasakan bahawa Allah sedang Melihat.

Belajarlah untuk sentiasa mengingati Allah. Ketahuilah bahawa sesungguhnya kebahagiaan yang sebenar bagi seorang hamba adalah pada waktu kita sujud kepada Allah. 

Sentiasa anggap itu solat kita yang terakhir. Nabi SAW pernah berpesan bahawa dirikanlah solatmu seolah-olah itulah solatmu yang terakhir.

Walaupun bermusafir, walau ke mana kita pergi, apa yang kita lakukan... sentiasalah jaga solat. Jangan sesekali tinggalkan solat.

***

4) Kasih Sayang Rasulullah SAW

Di dalam sebuah hadis riwayat Bukhari ada menyatakan bahawa Nabi SAW itu ketika tidur, hanya jasadnya sahaja yang tidur, tetapi hatinya sentiasa berjaga dalam mengingati Allah. 

Tidur Rasulullah, hanya mata baginda sahaja yang terpejam, tetapi hatinya berjaga, sentiasa berjaga.

Rasulullah, sekiranya berbicara dengan seseorang.. ketawa baginda, senyum baginda sewaktu bicara itu seikhlas hati. Menggambarkan bahawa orang itu benar-benar ada di dalam fikiran & jiwa Rasulullah ketika itu. 

Subhanallah. Begitulah hebatnya Rasulullah dalam menzahirkan rasa cinta & kasih. 

Bagaimana pula dengan kita? Adakah kita memperlakukan ibu, ayah, suami, isteri & anak-anak dengan seikhlas hati, seikhlas hati menzahirkan perasaan sayang kita pada mereka?

Ada kita dukung, peluk, cium & memegang erat tangan mereka?

Sesungguhnya ketika kita melihat ibu, ayah, suami, isteri mahupun anak-anak dengan penuh kasih sayang, ketahuilah betapa Allah juga pada ketika itu sedang Memandang kita lebih-lebih lagi dengan Kasih SayangNya. Subhanallah.

Nabi SAW bersabda; "sebaik-baik orang ialah yang memperlakukan yang paling baik terhadap ahli keluarganya, & akulah orang paling baik terhadap ahli keluargaku."

Jika ditakdirkan, bahawa hanya kita sahaja ketika ini yang diberikan Allah kefahaman agama. Manakala seluruh ahli keluarga yang lain masih dalam kejahilan, sentiasalah bersangka baik kepada Allah bahawa barangkali kita merupakan asbab & jalan Hidayah Taufik yang Allah mahu berikan kepada mereka, insyaAllah. 

Maka, janganlah sesekali berputus asa berdakwah & islah kepada ahli keluarga. Sentiasa muhasabah diri, pandang mereka dengan perasaan kasihan. 

"Maafkan saya, salah saya ibu, ayah, adik-beradik semua masih tidak kenal Allah... salah saya sebab terlalu sedikit mengingatkan kalian kepada Allah.." 

Muhasabah yang demikian akan menumbuhkan rasa tangungjawab untuk membawa mereka pulang kepada Allah.


---

[Penutup]

Jadikanlah agama ini sepenuhnya jalan dalam kehidupan. Bermula daripada kita membukakan mata setiap pagi, ingatlah kepada Allah kerana masih memberikan peluang kehidupan, peluang untuk bertaubat daripada dosa-dosa silam. 

Khadijah binti Khuwailid mempunyai kira-kira 300 tampalan di bajunya tatkala menghembuskan nafasnya terakhir. Apa lagi yang tidak wanita ini korbankan demi agama? Pernah Khadijah berkata kepada Nabi, "Ya Rasulullah, sekiranya tulang belulangku ini boleh ku infaqkan ke jalan agama, maka ambillah & jualkanlah kesemuanya." Subhanallah.

Agama ini sangat mahal, saudara-saudariku. Pernahkah kita mengucapkan syukur atas ihsan Allah mengizinkan kita dilahirkan sebagai seorang muslim? Berada atas jalan yang benar, dihidupkan sebagai ummat Muhammad.?

Ketika di Padang Mahsyar, semua orang hanya memikirkan tentang nasib mereka sendiri. Kala itu, kalau ada orang yang paling cinta kepada kita semasa di dunia pun sudah tidak ingat lagi kepada kita. Semuanya sibuk memikirkan tentang diri mereka sendiri. 

Hatta para Nabi & Rasul terdahulu juga merayu kepada Allah untuk menyelamatkan diri sendiri. Semua orang sangat takut kepada Allah. 

Tiada apa yang boleh menyelamatkan kita daripada azab Allah, melainkan belas kasihan Allah kala itu. Maka semua orang merayu agar Allah menyelamatkannya. Namun, ada seorang insan yang tidak pernah melupakan kita.

"Selamatkan umatku, umatku ya Allah..."

Siapakah dia insan mulia ini.. kalau bukan Rasulullah?

Apa lagi yang tidak Nabi korbankan untuk ummat? 

Pernah diceritakan ketika Fatimah RA datang membawa daging ke rumah Rasulullah, Rasulullah berkata kepadanya, "Inilah makanan pertama yang ayah makan setelah 3 hari.."

Itulah dia.. susuk tubuh yang sangat mencintai ummat ini..

Hari ini... anak-anak kita tercari-cari role model dari luar untuk dijadikan teladan & sumber kekuatan. Mengapa tidak kita meneladani Rasulullah SAW dalam kehidupan seharian kita & menunjukkan kepada anak-anak & isteri kita bahawa Rasulullah SAW itu ada di dalam kehidupan mereka. Bukan sekadar hanya teori dalam catatan sirah.. tetapi boleh mereka tatap dalam akhlak kita sehari-hari... 

Bukanlah kekayaan harta benda yang menjadi kayu pengukur kejayaan & kebahagiaan sesebuah keluarga, bahkan semuanya terletak pada ketaqwaan yang dititipkan teguh dalam hati setiap ahli keluarga itu.

Dunia hari ini bukanlah kekurangan orang yang kaya, atau orang yang pandai... Tetapi dunia sangat kekurangan orang yang IKHLAS. 

Jika ada seorang sahaja manusia yang seikhlas Nabi SAW mahupun para sahabat dalam memperjuangkan agama ini, pasti dunia hari ini akan tidak seperti yang kita lihat sekarang..

Allah... :'(

Allahumma tsabits qulubana ' ala deenika. Allahummaghfirlana warhamna. Amiin.

Moga Allah, Allah mengampunkan segala dosa-dosa kita.
Atas sedikitnya yang telah difikirkan untuk kebaikan ummah ini.
Moga Allah, Allah mengampunkan segala dosa-dosa kita,
Atas sedikitnya yang telah kita korbankan untuk kebaikan agama ini.


Astaghfirullah.

Wallahu 'alam.

----
Notakaki:
Alhamdulillah, Allah beri kesempatan untuk berkongsi serba sedikit pengisian yang sempat saya catat semasa mengikuti seminar Keluarga Sunnah anjuran Transform Training & Consultancy pada 4 Mei 2014 yang lalu bertempat di Dewan Besar UPM Serdang.

Terdapat 3 Slot sepanjang seminar. InsyaAllah, saya akan cuba berkongsi apa yang Allah izinkan telinga saya cicip, tangan saya catat & hati saya dengar sewaktu majlis ilmu yang penuh dengan kerberkahan & keinsafan. Ada banyak point yang telah diedit tambah untuk tujuan eloborasi. Semoga kita sama-sama beroleh manfaat & mempraktikkan segala ilmu yang telah didapati ke dalam kehidupan seharian.

Slot 1 : Cinta Di Rumah Rasulullah SAW [Ustaz Ebit Liew]

Slot 2 : Didik Anak Mengikut Sunnah [Ustaz Pahrol Mohd Juoi]

Slot 3 : Forum "Dengan Keluarga Aku Bahagia" [Ustaz Rahman Lew, Dr Farhan Hadi, Ustazah Fatimah Syarha]

InsyaAllah, sekadar ini dulu. Doakan saya, mudah-mudahan Allah izinkan untuk menyambung catatan di perkongsian yang lain. insyaAllah.


Monday, September 9, 2013

Solat khusyu' Penenang Jiwa.


Kalaulah bumi itu boleh bicara...
Mungkin tanah ini akan berkata...

"Aku merindui sujud hamba-hambaNya."

****



Bismillahi tawakaltu'alallah..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Selawat & salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sollallhu 'alaihi wasallam..

Sebagai manusia yang lemah, hina & rapuh... pelbagai ujian, kepahitan, onak & duri yang kita tempuhi di atas dunia ini kadang membuatkan kita semakin tertekan, rasa letih & tercari-cari tempat sandaran untuk melepaskan lelah. 

Adapun... sebagai manusia yang beriman bahawa Allah itu Maha Mengetahui, Maha Bijaksana, Maha Mengasihani.. mustahil Allah hendak menzalimi kita melebihi apa yang kita mampu tanggung. 

Hakikatnya, kepahitan demi kepahitan yang dirasakan di dalam hidup ini adalah semuanya baik. Semuanya baik belaka.

Sebab... ia dari Allah.. bukan?
Mustahil apa yang datang daripada Allah itu tidak baik. 

Manusia mencari keajaiban sepanjang perjalanan permusafirannya, mencari kalau-kalau ada eleksir atau posyen ajaib yang boleh mencantumkan diri yang pernah retak bahkan pernah berkecai juga merawatkan luka yang pernah berdarah bahkan membusuk menjadi nanah.

Allah menimpakan ujian. Bahkan Allah jua telah pun memberikan solusinya dengan jelas di dalam kitab cintaNya.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar & solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." [al-Baqarah (2) : 153]

Sabar.
Solat.

Maka, mari semak bagaimana solat kita..

Jika kita rasa sugul, semak kepala, stress, murung, sedih sewaktu mendatangi Allah melalui solat... apakah kita kemudiannya beroleh ketenangan setelah mendirikan solat kita itu..?

Mari, kita hayati firman Allah swt ini,
"Iaitu orang-orang yang beriman & hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram." [ar-Ra'd (13) : 28]

Hati menjadi tenteram.
Hati...

HATI : tempat berlabuhnya rasa khusyu'.

Ya..
Sebelum menghadapkan wajah yang penuh hina ini kepada Allah, seperti yang disuarakan dalam bacaan iftitah, apakah hati kita turut hadir dengan rasa penuh kehinaan kepadaNya..?

Persiapan khusyu' itu ada 3;
1) Sebelum solat
2) Semasa solat
3) Selepas solat

Firman Allah swt;
"Sungguh, manusia itu diciptakan bersifat suka mengeluh. Apabila dia ditimpa kesusahan dia akan berkeluh kesah, & apabila mendapat kebaikan (harta) dia menjadi kedekut. KECUALI ORANG-ORANG YANG MELAKSANAKAN SOLAT, MEREKA YANG TETAP SETIA MELAKSANAKAN SOLAT, & orang-orang yang dalam harta yang disiapkan bahagian tertentu untuk orang miskin yang meminta & tidak meminta, & orang-orang yang mempercayai hari pembalasan, & orang-orang yang takut tehadap azab Tuhannya, sesungguhnya terhadap azab Tuhan mereka, tidak ada seorang yang merasa aman (dari datangnya) & orang-orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki maka sesungguhnya mereka tidak tercela. Maka barangsiapa mencari di luar itu (seperti zina, homoseks & lesbian), mereka itulah orang yang melampaui batas. Dan orang-orang yang memelihara amanat & janjinya, & orang-orang yang berpegang teguh kepada kesaksiannya, & ORANG-ORANG YANG MEMELIHARA SOLATNYA. Mereka itu dimuliakan di dalam syurga." [al-Ma'arij (70) : 19-35)

Memang kita ini manusia yang dilengkapi dengan sifat yang suka berkeluh kesah, merungut & suka mengeluh. Apabila kita diuji, kita membalas Allah dengan rasa yang sungguh marah sekali. Seolah-olah ujian-ujian yang Allah timpakan itu tiada penawar baginya. 

Bila Allah memberi kita nikmat, kita suka menjadi penghalang kepada nikmat orang lain. Kedekut, kurang bersedekah, hendak makan harta yang Allah pinjamkan itu seorang diri & kroni-kroni sahaja hingga terlupa di dalam nikmat yang Allah berikan kepada kita itu punya hak bagi hambaNya yang lain.

Antara lain masalah kita ialah…. kita terlalu mudah terpesona dengan makhluk.

Bila lihat orang yang sopan santun, berakhlak mulia, lemah lembut, cantik, manis, kacak, rajin berjalan kaki ke masjid menunggu waktu solat berjemaah...
MasyaAllah.... mudahnya kita melting....

MasyaAllah... solehnya dia... rajin solat...
MasyaAllah... solehahnya dia... selalu jadi imamah solat...
MasyaAllah... bagusnya dia... bacaan solatnya lunak & sempurna..

Saudara-saudariku...
Mengapa ya...


Mengapa kita tidak/jarang sekali terpesona dengan Allah yang menciptakan kita, menciptakan dia yang kita puji-puji itu...  
Kenapa tidak kita terpesona, tidak kita terjatuh hati... tidak kita melting dengan Dia yang kita sembah sewaktu solat?

Mengapa tidak kita terpesona & melting dengan Allah Yang Maha Sempurna itu…?

***

Sesungguhnya, terdapat 3 sifat yang dapat menumbuhkan rasa khusyu' di dalam solat.
1) Rasa ingin dekat dengan Allah.
2) Tinggi perasaan takut & harap kepada Allah.
3) Kemampuan melihat keagungan & kesempurnaan Allah.

Sebelum kita bertemu Allah melalui solat, Allah telah melihat pun diri kita. 

Dengan wajah yang bagaimana kita datang bertemu denganNya.
Dengan hati yang bagaimana kita datang menghadapNya. 
Dengan perasaan yang bagaimana kita menghampiriNya.

Mari saudara-saudariku,
kita bertanya kepada diri sendiri... 
'Apakah benar pernah terlintas di dalam hati ini hendak bertemu dengan Allah...?'

Tanya.
Hati itu takkan mampu menipu…

:’(
Ya Allah… ampuni kami..

Kita sebenarnya sudah rasa terlalu aman dengan makhluk, dunia, harta benda sedangkan kita sendiri tidak pasti apakah Allah telah meredhai kita ataupun tidak..

Bila kita punya masalah... siapa dulu yang kita cari..?
Telefon girlfriend?
Telefon boyfriend?
Texting sahabat-sahabiah rapat?
Call ayah ibu..?

Tanpa sedar... kita mencari makhluk dahulu. Sedangkan Allah memanggil kita 5 kali di dalam sehari, untuk memberi peluang kita bertemu denganNya, mengadu keluh kesah, menangis, memohon doa, mengharapkan belas kasihan & pertolongan daripadaNya..

Mengapa tidak kita menikmati luahan hati antara kita dengan Allah... Dia sudah tahu apa yang ada di langit, di bumi & apa yang ada di antaranya.. apatah lagi sekadar apa yang terbuku di dalam hati kita. Allah tahu... tetapi Dia masih mendengar tatkala kita meluahkan segalanya kepada Dia...

Subhanallah... hebatnya Allah.. Baiknya Allah..

Jika selama ini kita mencari kekuatan daripada Allah, Takkan ada rasa hilang arah dalam hidup kita. Sebab apa? Sebab kita ada Allah.

Kalaulah kita tahu, ramai saudara-saudari kita di alam barzakh sana mahu dikembalikan ke dunia untuk kembali menunaikan solat. Kita pula Allah masih beri peluang & ruang untuk memperbaiki solat, mendirikan solat dengan kehadiran hati & jasad.

Untungnya kita kan…. Allah masih kasihan dengan kita, beri peluang untuk kita membasuh diri yang berlumur dosa maksiat & jahiliyah.

Selalulah bisikkan di dalam hati kita...
"Inilah kebahagiaan yang hakiki... bahagia saat bertemu dengan Allah..."

Siapa yang ingin bertemu dengan Allah, Allah lebih-lebih lagi ingin bertemu dengan dia.
Siapa yang benci bertemu dengan Allah, Allah lebih-lebih lagi tidak mahu bertemu dengannya.

Jika di dunia lagi kita selalu bertangguh-tangguh, selalu berkira bila hendak bertemu dengan Allah.... macam mana agaknya di akhirat nanti... bila Allah juga bertangguh-tangguh, Allah juga berkira untuk bertemu dengan kita?

Pernah kita bertanya diri...
Macam mana kalau Allah tak mahu jumpa kita di akhirat nanti...?

***

Memang asyik kehidupan dunia..

Ada suami yang sayang kita.
Ada anak yang menjadi penyejuk mata kita.
Ada kawan-kawan yang selalu disamping kita.

Tetapi kasih, sayang & cinta ini bukanlah bandingan buat cinta, kasih & sayang Allah. Semua yang kita miliki hari ini adalah milik Allah yang bila-bila masa Dia boleh mengambilnya kembali. Oleh itu, tanamlah perasaan inginkan mencintai & dicintai oleh Allah...

Para asatizah selalu berpesan bahawa hidup boleh hilang manis & barokahnya jika kita sering melewat-lewatkan solat, apatah lagi apabila kita meninggalkan solat.. 
Apa yang tinggal di dalam hidup ini?

Ibnu Katsir pernah menggambarkan gambaran hari akhirat. Waktu itu, semua makhluk akan dibangkitkan & dikumpulkan semuanya di Padang Mahsyar.

Golongan pertama ialah manusia. Semua manusia akan berkumpul, kemudian dikelilingi oleh lapisan kedua golongan jin, kemudian dikelilingi lapisan ketiga iaitu malaikat yang menjaga setiap lapisan langit. Tiba-tiba kedengaran bunyi yang sangat kuat, semua makhluk tertanya-tanya… apakah itu Allah?

Rupanya turun malaikat penjaga Arasy yang turun. Lalu malaikat itupun bertanya kepada kumpulan makhluk yang telahpun berkumpul ini tadi.

"Mahukah kamu aku tunjukkan makhluk yang Allah angkat maqamnya ke tempat yang terpuji...?"

Semua makhluk ini tertanya sendiri…. Siapakah makhluk yang Allah angkat maqamnya ke tempat yang terpuji itu?

Firman Allah swt:
"Lambung mereka jauh dari tempat tidurnya (mereka tidak tidur pada waktu kebiasaan semua orang tidur, untuk Qiamulail), mereka berdoa kepada Tuhannya dengan rasa takut & penuh harap & mereka menginfakkan sebahagian rezeki yang Kami berikan kepada mereka." [as-Sajdah (32) : 16] 
Kemudian Allah berfirman lagi;
"Maka tidak seorang pun mengetahui apa yang disembunyikan untuk mereka iaitu (bermacam-macam nikmat) yang menyenangkan hati sebagai balasan terhadap apa yang mereka kerjakan." [as-Sajdah : 17]

Di saat orang lain lena tidur... golongan ini bangun meninggalkan tilam empuk, membuang selimut panas... bangun, bangun mengangkat wudhu' dengan air yang dingin. Demi siapa? Demi Allah...

Waktu inilah mereka datang melucutkan pakaian dunia, menghadapkan wajah penuh hina dengan hati yang rindu, harap dan takut kepada Allah. Rindu berbicara hati dengan Allah. Takut dengan azab Allah bagi maksiat yang dilakukan kala sendirian. Mengharapkan ampunan & rahmat daripada Allah melebihi segala-galanya yang ada di dunia ini...

Mengharap hanya kepada Allah.
Takut hanya kepada Allah.

Jangan meletakkan sewenangnya kepada manusia... kita hanya memberi peluang untuk menzalimi diri sendiri. 
Sangat berbeza apabila kita menyandarkan harapan hanya kepada Allah...

Mari ambil momen ini..
Kita beriman sejenak.
Mari kita bermuhasabah diri.

Kepada siapa selama ini kita menyandarkan diri…?

***

4 rukun khusyu' digariskan (M.A.T.A)
1) Muraqobah (rasa Allah selalu memerhatikan)
2) al-Mahabah (rasa kasih, sayang & cinta Allah)
3) Takzim (mengagungkan Allah)
4) al-Tadharru' (rasa hina diri di hadapan Allah)

Allah berfirman dalam surah Toha (20) ayat 14;
"Sungguh Aku ini Allah, tiada Tuhan selain Aku, maka sembahlah Aku & laksanakanlah solat untuk mengingati Aku."

Subhanallah.. Jelas sungguh peringatan ini.
Apa yang mahu diperkatakan lagi.

Bicara tentang khusyu’… Ada satu kisah hendak dikongsikan di sini.

Seorang pemuda bermusafir, lalu berjumpa sebuah masjid. Dia mendirikan solatnya di situ. Hari itu, dia merasakan sungguh khusyu' di dalam solatnya. Dia sungguh menikmati ibadah solatnya. Maka, keesokan harinya dia kembali semula ke masjid itu untuk menunaikan solat supaya tetap merasakan khusyu'. Namun, kali ini tidak merasa khusyu' di dalam solatnya.

Kemudian dia tersedar akan sesuatu..

Sungguh... jika kamu mencari khusyu', kamu tidak akan menjumpainya.
Sungguh... jika kamu mencari Allah... kamu akan menemuinya.. 

Lalu... selama ini.... Siapa yang kita cari.. siapa yang kita ingin bertemu...?

Allah.
Allahu ghoyatuna.

Maka, apakah tanda solat kita itu khusyu'?

Terdapat 5 tanda khusyu' solat:

1) Tenang pada hati & fikiran - boleh menyingkap hikmah hidup dengan bijaksana. Bila diberi nikmat akan bersyukur, bila ditimpa musibah akan bersabar.
2) Merendah diri di dalam kehidupan - memperbaiki akhlak menjadi akhlak yang mulia.
3) Selalu memuji Allah - Apabila hati merindu, apabila hati mencinta, akan selalu teringat, bila teringat, mulut akan selalu menyebut.. apa-apa hal ingat Allah, apa-apa nikmat puji Allah.
4) Gementar apabila diperlihatkan kebesaran Allah - Apabila melihat kebesaran dunia, akan teringat betapa Allah Maha Besar. 
5) Lembut hati - hati mudah terusik sekadar bila diperingatkan tentang Allah, teringat tentang dosa, rasa takut kepada Allah, mata akan berair, hati akan sebak.


MasyaAllah....
Hebatnya manusia yang terlahir daripada solat yang khusyu'. 

Benarlah firman Allah... "sesungguhnya solat itu mencegah diri daripada perbuatan keji & mungkar."

Solat yang beerti ialah kita mampu menjadi lebih baik di dalam kehidupan sehari-hari. Kita takkan dilalaikan dengan limpahan nikmat. Kita takkan lemah dengan limpahan ujian. Sebab apa?

Sebab kita mengingati Allah setiap detik. Sebab kita rasa Allah selalu memerhati. Kita tahu Allah sedang menilai kehidupan kita..

Kadangkala, kita rasa tidak tenang bila bersandar dengan Allah... Kenapa ya..? 
Jawapannya… Hal ini adalah kerana kurang tawakal & yakin kepada Allah.

Tiada yang kurang Allah beri di dalam kehidupan ini.. Yang kurangnya ialah rasa yakin & tawakal kita kepadaNya..

Ramai orang tercari-cari ketenangan.

Mereka mencarinya melalui pergi ke tempat-tempat tertentu yang dirasakan boleh menenangkan hati. Atau mereka mencarinya melalui pelbagai cara memuaskan nafsu sendiri. 

Malangnya mengapa ketenangan itu hanya sebentar?

Tenang itu bukan terletak pada hidup tetapi terletak pada hati yang hidup Allah di dalamnya. Sekali lagi… pada sekeping HATI itulah tempat berlabuhnya ketenangan…

Subhanallah.

Pelihara diri kita daripada menjadi 5 golongan yang terhalang daripada menikmati khusyu' di dalam solatnya; iaitu:
1) Sombong
2) Hati batu
3) Putus asa
4) Lalai
5) Tergesa-gesa

Semoga Allah memelihara kita dari perbuatan maksiat yang keji & mungkar kerana berjayalah orang yang membersihkan hatinya, bilamana hati yang bersih mampu meningkatkan keinginan untuk bertemu Allah. Iaitulah dengan mendirikan solat dengan menghadirkan seluruh jiwa sewaktu menunaikannya.

Sekadar ini dahulu catatan kali ini. Perkongsian ini adalah dari point yang sempat saya note down semasa perkongsian Ustazah Norhafizah Musa sewaktu Konvensyen Bidadari 2013 tempohari. Moga bermanfaat, insyaAllah.

Waktu mendengar tazkirah ustazah... banyak yang membuatkan hati ini tersentuh & tersentap.. mari sama-sama kita perbetulkan diri & menjadi hambaNya yang lebih baik lagi..

Saya menulis ini untuk nasihat, teguran & peringatan buat diri ini terutamanya. Moga Allah ampunkan dosa-dosa penulis blog ini, memberi rahmat & memberikan Hidayah Taufik kepadanya. Amiin.

Allahu 'alam.


08092013
07.56am

---------
Notahati:
The blind cannot lead the way. We must equip ourselves with a true knowledge about Islam since only those who are energized can energize the others. 

Thursday, April 25, 2013

Menjadi Insan 'High Class'- Part 2




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan tercinta, Rasulullah sollallhu 'alaihi wasallam..


InsyaAllah, saya mulakan entri ini dengan sebuah hadis Nabi untuk kita renung-renungkan bersama..


Dari Abu Hurairah, Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam pernah berpesan;

"Sentiasa wasiatkan kebaikan kepada para wanita, kerana mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok daripada jalinan tulang rusuk ialah tulang rusuk bahagian atas. Sekiranya kalian memaksa diri bagi meluruskannya, tulang itu pasti patah. Tetapi sekiranya kalian mendiamkannya sahaja, tulang itu akan tetap bengkok. Oleh itu, wasiatkanlah kebaikan kepada para wanita." [HR al-Bukhari] 


Subhanallah. Betapa Islam sangat memelihara & mengasihi kaum wanita. :') Oleh itu, hendaklah kita berbahagia dilahirkan sebagai wanita Islam. Hendaklah kita bertambah bahagia tatkala menjalankan tuntutan-tuntutan yang disyariatkan Allah kepada kita, yang tentunya bukan untuk menyusahkan kaum hawa, bahkan untuk mengangkat maruah & kehormatan mereka, insyaAllah. :) 

InsyaAllah, entri kali ini adalah sambungan bagi entri 'Menjadi Insan "High-Class" - Part 1'. Kali ini saya kongsikan bahagian soalan & jawapan oleh yang berbahagia al-fadhilah Ustazah Laila Aniza pula, insyaAllah.

Semoga bermanfaat.. :)


***

Soalan:
Adakah perempuan punca kerosakan? Perempuan dikatakan punca lelaki terjebak ke dalam maksiat. Malah, jika jenayah zina & membunuh bayi dimediakan, yang ditangkap adalah wanita. Yang ditonjolkan di dalam berita di muka televisyen & akhbar adalah wajah wanita yang terlibat. Wanita ditonjolkan sebagai pesalah melebihi lelaki yang terlibat sama dalam hal itu. Mohon penjelasan.

Jawapan: 
(Ustazah Laila Aniza)

Pertamanya; Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah pun berpesan sebelum baginda wafat; “Bahawa tiada fitnah yang lebih besar setelah ketiadaanku melainkan fitnah wanita.”

Rasulullah telah pun memberi peringatan, memberi amaran kepada kita semua bahawa wanita adalah fitnah (ujian) terbesar bagi lelaki kerana minat & keinginan utama lelaki adalah terhadap wanita. Maka, wanita boleh menjadi aset untuk lelaki memasuki syurga ataupun menjadi fitnah lelaki yang mengheretnya ke neraka.

Oleh itu amatlah perlu untuk lelaki & wanita mengetahui, memahami & menjayakan amanah & tanggungjawab masing-masing untuk mengelakkan fitnah & kerosakan seperti yang diperingatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis di atas.

Siapa yang bercinta sekarang, sedangkan dia dengan kekasihnya itu tiada ikatan akad nikah yang sah, sesungguhnya dia sedang mengalami kerugian yang sangat besar.

Semua orang jatuh cinta. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam juga sangat mencintai isteri-isterinya. Mencintai & dicintai adalah fitrah. Namun, lihatlah bagaimana kita menguruskan fitrah tersebut. Jika kita bermujahadah untuk mengelakkan fitnah, maka tentu ada jalannya. Islam menganjurkan pertunangan, taaruf untuk mengenali bakal pasangan, bukannya dengan bercinta tanpa pengawasan orang yang lebih tua & faqqih agama.

Tentunya dalam fasa berkenalan (bertunang) itu juga masih perlu menjaga ikhtilat (batas pergaulan antara lelaki & perempuan bukan mahram) dengan sebaiknya kerana hubungan tersebut masih belum halal.

Jangan memandang bab ikhtilat ini sebagai perkara yang remeh, terlalu mengongkong & menyekat.

Sesungguhnya, yakinlah bahawa tidak rugi menjaga ikhtilat. Bukan sahaja maruah terjaga, bahkan pandangan lebih terjaga, bahkan hati juga tetap terpelihara. Dengan maruah, pandangan & hati yang masih terpelihara itulah yang kita bawa menghadap Allah ketika solat kita. Demikianlah caranya untuk memperolehi kemanisan beribadah kepadaNya.

Hayatilah Hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ini;
“Syaitan akan menyesatkan kamu dalam perkara yang kamu rasa perkara itu betul, padahal hal itu adalah salah sebenarnya.”

Perempuan selalu tertipu apabila melihat seorang lelaki itu nampak beragama, pandai baca al-Quran, fasih membahaskan hadis, tapi bila lelaki itu menghantar SMS, mengajak bertemu yang mana semuanya adalah tanpa keperluan, apabila lelaki itu bergurau dengannya tanpa keperluan, memandangnya tanpa rasa segan seperti pandangannya itu telah menembusi tubuh gadis itu, gadis itu tidak tahu bahawa perkara itu adalah SALAH. Kerana ia telah dibutakan dengan kelebihan lelaki itu.

Untuk mengetahui siapa seorang lelaki itu, lihatlah dengan siapa dia berkawan. Semak siapa sahabat-sahabatnya. Semak rutin hariannya. Semak akhlaknya.

Lelaki yang gagal menunaikan solat Subuh, masih belum boleh dikira sebagai lelaki yang baik kerana jika hubungannya dengan Allah juga dia gagal sempurnakan, bagaimana dikira dia sebagai lelaki yang baik?

Lelaki yang berkasar dengan ibu & adik perempuannya juga bukan lelaki yang baik kerana jika dia tidak menghormati wanita melahirkannya & wanita yang lahir dari rahim yang sama, bagaimana dia mahu menghormati wanita lain, menghormati isterinya kelak?

Lelaki yang tidak menjaga pandangan, tidak menjaga kehormatan & tidak menjaga ikhtilat juga masih belum boleh dikategorikan sebagai lelaki yang baik. Maka, jangan tertipu dengan lelaki yang sebegini.

Ingatlah bahawasanya wanita tidak akan mampu menjadi high-class jika suaminya low-class. Wanita hanya akan mampu menjadi high-class apabila suaminya high-class. Maka, berhati-hatilah dalam membuat pilihan siapa suamimu. Ia menentukan soal agamamu, menentukan soal akhiratmu..

Jika kita tidak mampu bermujahadah melawan nafsu iaitu dengan mengikuti apa yang Allah syariatkan di dalam al-Quran untuk menjaga pergaulan dengan bukan mahram, menjaga pandangan, menjaga kemaluan melainkan hanya untuk yang halal, maka janganlah salahkan orang lain sedangkan kesilapan yang lebih besar datangnya dari diri kita sendiri.

Tips: Kepada lelaki yang bercita-cita mahu memperbaiki diri & menjadi lelaki yang lebih baik & soleh, maka konsistenlah untuk solat berjemaah di masjid setiap kali, selama mana kedudukannya boleh mendengar laungan azan, maka bersegeralah pergi ke masjid. Rajin-rajinkan diri ke majlis ilmu, merapati murobbi yang soleh, sekali sekala apabila berkelapangan, pergilah menuntut ke mana-mana pengajian di pondok, madrasah, majlis taklim dan sebagainya untuk menambah ilmu hatta walau mampu cuma sekali dua dalam seminggu. InsyaAllah, amalan-amalan ini boleh menghadang diri daripada maksiat.


***


Soalan:
Wanita bekerjaya menyebabkan wanita menjadi low-class?

Jawapan:
(Ustazah Laila Aniza)

Bagaimanakah caranya untuk seorang wanita itu mengangkat darjatnya meskipun dia bekerjaya? Pertamanya, lihatlah kepada Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau adalah wanita yang bekerjaya, usahawanita yang sangat berjaya pada zamannya. Beliau juga merupakan isteri pertama, wanita yang sangat dicintai baginda Nabi. 25 tahun perkahwinannya bersama Nabi, Khadijah adalah satu-satunya isteri yang menghiasi hidup & jiwa Nabi; perkahwinan tanpa poligami.

Lihat bagaimana selama perkahwinannya, bagaimana ‘high-class’nya Khadijah di sisi Nabi hingga membuatkan Nabi terus mencintai, merindui & selalu menyebut-nyebut Khadijah walaupun setelah lama dia meninggal dunia, hingga menerbitkan kecumburuan kepada isteri baginda yang lain, terutamanya Aisyah. Subhanallah.

Wanita yang beriman, yang taatkan Allah, Nabi, taat kepada suaminya, samada dia bekerjaya mahupun tidak tentu tidak akan mengekangnya daripada menjadi high-class.

Allah mengangkat darjat wanita dengan menamakan salah satu surah di dalam al-Quran yang mulia dengan nama wanita; surah an-Nisa’ (surah ke-4 di dalam al-Quran). Sampai begitu sekali Allah memuliakan para wanita. Maka, wanita perlulah mencintai al-Quran, menghayati panduan-panduan serta syariat yang telah digariskan Allah di dalam al-Quran yang mendidik wanita agar menjadi high-class. InsyaAllah.

Sebagaimana yang disebut di dalam hadis Nabi yang mahsyur tentang 4 syarat utama bagi seorang wanita untuk memasuki syurga Allah; melalui solat, puasa, menjaga maruah serta taat kepada suami.

Namun, sekali lagi diingatkan. Solat yang didirikan itu mestilah dilakukan atas kesedaran bahawa kita adalah hamba Allah yang mahu menunaikan hak Allah. Solat yang didirikan dapat mencegah perbuatan keji & mungkar (seperti mengumpat, buruk akhlak dan sebagainya), menjaga ikhtilat, menutup aurat dengan sempurna agar tidak dipandang & menarik perhatian lelaki yang bukan mahramnya.

Sebelum keluar ke mana-mana; bertanyalah kepada diri sendiri sewaktu sedang melihat cermin;
“Ya Allah… adakah pakaianku ini pakaian wanita syurga ataupun pakaian wanita neraka?”
Wanita yang high-class ialah wanita yang memegang kalimah 2 syahadah dengan kukuh melalui tutur kata, perbuatannya & cara dia melalui hidupnya seharian. Solatnya dijaga agar sentiasa di awal waktu. Jika sudah masuk waktu solat, yang muslimin teruslah pergi solat berjemaah di masjid. Manakala, para muslimat segera menunaikan solat di biliknya. Bersegeralah menunaikan hak Allah, jangan bertangguh, jangan berlengah.

Wanita yang high-class berdisiplin di dalam kehidupannya, mengamalkan undang-undang patuh syariah (mengikut garis panduan yang ditetapkan Allah) kerana dia yakin Allah sedang melihatnya. Membaca doa setiap kali mahu melakukan sesuatu bermula dari dia bangun tidur hingga tidur semula; termasuklah melihat cermin, makan, pergi ke tandas, naik kenderaan. Semuanya dimulakan dengan doa atau sekurang-kurangnya dimulakan dengan ‘Bismillah’. Ini akhlak & adab wanita yang high-class. Sudah tentu lelaki yang high-class juga begitu.

Jika kita menyedari, hakikatnya bahawa segala perlakuan kita memerlukan adab. Ini yang diajarkan oleh Rasulullah. Bahkan untuk minum air juga punya adabnya yang tersendiri. Melihat bibir gelas sahaja sudah dapat pahala (memastikan jangan minum gelas sumbing). Melihat air juga adalah pahala (memastikan minuman yang diminum tidak bersemut). Tidak bernafas di dalam gelas sewaktu sedang minum. Rasulullah juga mengajar kita agar jangan minum daam keadaan tergesa-gesa yang mana boleh mengakibatkan sifat tidak sabar, tergopoh-gopoh & tergesa-gesa.

Belajar juga daripada sirah, di mana kala Sayidina Umar & Sayidina Abu Bakr bertengkar di hadapan rumah Nabi dengan suara yang agak kuat, hingga turun ayat yang menegah perkara tersebut. “Janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi.”

Lihat… sampai begitu sekali Allah menyuruh kita menjaga adab kita. Walhal kedua sahabat itu bukanlah benar-benar bertengkar di hadapan Nabi...

Bersuaralah dengan suara yang sekadarnya sahaja. Tidaklah perlu melebihi keperluan. Tak perlulah menempik-nempik, ataupun ketawa terbahak-bahak. Itu semua mencerminkan siapa diri kita. Adakah kita benar-benar telah menginterpretasikan cinta kita kepada baginda Nabi melalui adaptasi sunnah baginda dalam hidup seharian kita?

Wanita, jangan banyak bermasam muka. Banyakkanlah senyuman, berdoa banyak-banyak, ingat & puji Allah selalu serta berkatalah yang baik-baik. Lelaki juga sama. Mari sama-sama menjadi high-class… untuk Allah, untuk Nabi, insyaAllah.


Selalulah tersenyum. InsyaAllah, dapat pahala. Ia juga adalah sunnah.

Senyum sikit.... 
Ha... kan manis tu... 

:)

Wallahu a’lam.

----------

Notahati:
# Kehidupan & keperibadian kita di dunia adalah antara cerminan hidup & peribadi kita di akhirat kelak. Mari koreksi diri; apakah kita sedang berakhlak sebagai para penghuni syurga ataupun seperti ahli neraka (Nauzubillah)? :'(

# Perbanyakkan taubat (istighfar), selalu bersyukur, kurangkan merungut. Mari menjadi hamba Allah, bukan menjadi hamba dunia. InsyaAllah.. Robbuna Yusahhil.