Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Saturday, August 14, 2010

Checklist Amalan Harian.

Firman Allah;
"Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang2 yang terdahulu sebelum kamu, supaya kamu bertaqwa.." [Al Baqarah: 183]

Salam warahmatullah..

Salam ramadhan kareem semua. Alhamdulillah sudah masuk ramadhan ke-4 hari ini. Rasa sungguh kejap masa berlalu. Ketagihan attending solat tarawih berjemaah di masjid juga sudah semakin kuat. Kejap saja sudah jatuh cinta dengan suasana solat saf berlapis-lapis.. :)

Firman Allah;
"Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berperang untuk membela agamaNya, dalam barisan yang teratur rapi, seolah-olah mereka sebuah bangunan yang tersusun kukuh." [Al-Saf (61): 4]

Bagaimana dengan kita semua? Adakah 4 hari ramadhan ini sudah kita manfaatkan dengan sebaiknya? Sudahkah kita penuhkan setiap detik dalam bulan rahmat, kemuliaan serta keampunan Allah ini dengan ibadah memperkukuhkan iman?

Alhamdulillah, pada usrah pimpinan PMI khamis lepas, kami diberi satu checklist.
Nama diberi;


CHECKLIST AMALAN HARIAN.

Hari: ...................
Tarikh: ........... ramadhan.

"Saya sudah buat perkara2 di bawah bagi menyemarakkan bulan yang penuh barakah ini:

1) Bangun sepertiga malam & berdoa.
2) Bersuci, berwuduk & berdoa.
3) Solat sunat Taubat, Tahajud & Hajat.
4) Membaca Al-Quran
5) Bersahur & niat puasa.
6) Solat sunat di rumah.
7) Menjawab azan subuh.
8) Berdoa selepas azan.
9) Solat sunat sebelum subuh.
10) Solat subuh berjemaah.
11) Pergi bekerja sambil berzikir & beristighfar.
12) Bekerja, belajar, berniaga & sbgnya niat lillahi taala.
13) Solat sunat Dhuha.
14) Menjawab azan zuhur.
15) Berdoa selepas azan.
16) Solat sunat sebelum zuhur.
17) Solat zuhur berjemaah.
18) Solat sunat selepas zuhur.
19) Membaca Al-Quran selepas solat zuhur.
20) Meneruskan kerja sambil berzikrullah.
21) Menjawab azan asar.
22) Berdoa selepas azan asar.
23) Solat asar berjemaah.
24) Membaca Al-Quran setelah solat asar.
25) Membuat persiapan berbuka puasa.
26) Bersedekah dan menderma.
27) Membaca doa berbuka puasa.
28) Segera berbuka dengan kurma & air.
29) Solat maghrib berjemaah.
30) Bersiap ke masjid atau ke surau.
31) Solat tahiyatul masjid.
32) Menjawab azan isya'
33) Berdoa setelah azan isya'
34) Solat sunat rawatib.
35) Solat isya' berjemaah.
36) Solat tarawih berjemaah.
37) Solat witir berjemaah.
38) Tadarus Al-Quran.
39) Mendengar kuliah atau tazkirah agama.
40) Bertadabbur Al-Quran.

Kami dikehendaki membuat salinan checklist tersebut kepada 30 salinan utk sebulan ramadhan ini. Setiap perkara kebaikan yang telah dibuat, ditandakan pada bahagian tepi kolum. Tujuan utama pemberian checklist ni kpd kami adalah supaya menaikkan semangat kami untuk menyempurnakan kesemua perkara kebaikan yang disenaraikan.

Nampak banyak, tapi kalau kita berusaha, insyaAllah Allah akan mempermudahi semua urusan kebaikan kita. Dengan syarat, kena berniat hanya kerana Allah taala. :)

Bagaimana sahabat-sahibah sekalian? Sila take note checklist ini untuk sebulan ramadhan kamu. Tandakan pada perkara yang telah kamu sempurnakan dengan niat lillahi taala. Mari kita bersama-sama menyempurnakan kesemua perkara yang tersenarai. (^^)/

Sekadar perkongsian agar dapat kita meningkatkan ketaqwaan kepada Allah.

Selamat menunaikan ibadah puasa sebulan ramadhan! semoga Ramadhan kali ini dapat mendidik, mengubahi, serta menguatkan keimanan kita agar terus menjadi utuh.

Amatlah rugi bagi orang yang memasuki bulan ramadhan & keluar melaluinya tetapi tidak mendapat apa-apa daripadanya.

Wallahu 'alam.





p/s: selamat berbuka kepada semua umat islam yang berpuasa apabila masuk waktunya nanti.. :)

Monday, August 9, 2010

Bukan Paras Rupa...


Firman Allah;
"Dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan yang sia-sia dan hiburan yang melalaikan: dan demi sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertaqwa. Oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir?" [Al-An'am (6):32]

Salam alaik..

Setelah lebih seminggu menyepi, kali ini, aku mahu bercerita tentang seseorang yang sangat mengagumkanku.

Jika melihatnya tanpa mengenalinya, atau melihatnya dengan mata kasar secara sepintas lalu, ku rasa, ramai yang akan kata tak ada apa-apa yang istimewa tentang dirinya.

Bukan langsing badan bak Hymenoptera yang ada padanya, bukan putih kuning kulitnya bak Grylloblattaria, atau mata galak Kim Tae Hee yang bersinar bak Odonata.

Bukan. Bukan. Kakak ini kulitnya hitam manis, serta badannya berisi. Bagi seorang yang beautylistic, mungkin tiada apa yang menarik ada pada dirinya.

"Kak, kenapa tu...?" soalku perihatin tatkala kami terserempak semasa sama-sama menjemur pakaian di ampaian depan bilik. Mataku tertancap pada bibir atasnya yang membengkak dan berwarna kelebaman [ungu kehitaman].

"Memang macam ni... kamu tak perasan ke? bibir akak ni memang sensitif sikit... ada masanya memang terjuih jadi macam ni.. hodoh kan.." jawabnya sambil sempat tersenyum.

Aku segera menggeleng.

"Buruk-buruk pun pemberian Allah..." katanya bermakna.

Demi Allah, aku kagum dengan ketabahan & ketenangannya. Sedang aku baru Allah uji sedikit sudah banyak merungut.

Dan setelah lama ku perhatikan dirinya, ku kini menyedari betapa banyaknya keistimewaan yang Allah berikan kepadanya yang mungkin tidak ada dalam diriku yang hina ini.

Suatu subuh, sayup2 kudengar suara perempuan mengaji. Mataku yang ralit [hampir terlelap] tiba-tiba jadi segar. Segera aku bangun untuk lihat jam.

"Baru pukul 6." bisikku. Selalu kalau tidak ada kelas pagi, aku bangun pukul 6.15-6.30 pagi. Atau lebih awal kerana suara azan yang berkumandang dengan izhar halqi [jelas & nyata] dari bilikku.

Lalu, ku amati suara tersebut. Tidak terlalu kuat, tetapi dapat kudengar jelas butir bacaannya.

Spontan ada genangan dalam mataku.
"Ya Allah... sedapnya suara..." bisikku perlahan.

Aku tahu.. itu kakak sebelah bilik. Ku kenal suaranya kerana selalu ku dengar dia mengaji selepas solat maghrib. Bibir & mulut yang selalu ramah menegur & menyedekahkan sebuah senyuman ikhlas buatku.

Seterusnya, ada suatu malam yang dingin... saat aku sibuk menyiapkan tugasan. Waktu itu aku lihat jam sudah melewati pukul 3 lebih. Mata mula mengantuk. Ku tahan lagi 5 minit, tersengguk-sengguk jadinya. Langsung aku mengalah & bangkit untuk mencuci wajah & mengangkat wudhu' sebelum ke 'peraduan'.

Sewaktu berada di bilik air, ku terserempak lagi dengan kakak itu. Dia tidak perasan akan kelibatku. Ku lihat dia leka mengangkat air wudhu'-nya. Setelah selesai dia berwudhu' barulah ku menegurnya.

"Lewat tidur kak?"

Kulihat dia tersenyum. Dia menggeleng.

"Taklah. Baru bangun tidur..."

"Stay up ke? Ada test?" Tak tahulah kenapa aku begitu benak sekali waktu itu sehingga menyoalnya sebegitu.

Dia tersengih lagi. Lalu menggeleng.

"Nak dating. Malam-malam macam ni tak ada orang ganggu. Tenang sikit..." katanya ringkas sebelum meminta diri untuk pulang ke biliknya.

Disebabkan kelembapan neuronku menghantar impuls ke otak, maka lambat aku menginterpretasikan makna 'tersirat' di sebalik kata-kata beliau itu.

Pap! Wajahku terasa panas.

Ya Allah! Tahajud malam hari!

Astaghfirullah.. berkali-kali aku memohon keampunan Allah atas ketidaksopanan kata-kataku kepada kakak itu sebentar tadi.

Maka, biar ku beritahu kamu keistimewaan dirinya..

Bukan wanginya dia dari perfume berjenama, bukan cantiknya dia dari perhiasan ratusan harga, bukan manisnya dia dari lenggok langsing badan Jamu Mak Dara...

Tapi aku merasa sangat rendah diri apabila berhadapan dengannya. Solatnya sentiasa awal waktu, selalu berjemaah ke surau sedang aku masih terkocoh-kocoh menyiapkan diri, sering bertahajud malam saat aku masih dibuai lena, lunak suaranya mengalunkan kalamullah menggetar naluri rasa...

Mungkin inilah yang Allah ingin tunjukkan padaku... makna sebenar daripada ayat ini;

"Sesungguhnya Aku jadikan apa yang di muka bumi sebagai perhiasannya, supaya Kami uji manakah di antara mereka yang lebih amalannya. Sesungguhnya, Kami jadikan di muka bumi tanah yang kering (tidak ada tumbuh-tumbuhannya.) [Al-Kahfi: 8-9]

Sabda Rasulullah SAW;
"Sepeninggalanku, sungguh akan datang dunia yang memakan imanmu bagai api yang membakar kayu.."

Baginda bersabda lagi;
"Dunia itu mencari dan dicari. Pencari akhirat akan dicari dunia hingga di situ sempurnalah rezekinya. Sedangkan pencari duniaakan dicari akhirat sehingga maut datang mencengkam lehernya."

Ramai orang yang berbibir mungil, kemerahan, seksi, tapi sibuk mahu terjuih2, perasan tangkap gambar sendiri dan tunjukkan di fb untuk dipuji & dipuja oleh yang bukan halal.

Jika begitulah gayanya, mahal & indah lagi bibir kakak yang selalu memuji-muji Tuhan dalam Tahajudnya. Mengalunkan ayatul Quran untuk membersihkan hatinya!

Benar kata Rasulullah SAW, wanita negro yang hitam dan tebal bibirnya itu lebih baik dari wanita yang indah parasnya jika dilihat dari agamanya.

Tujuan utama aku menulis entri ini adalah untuk menegur diriku yang selama ini terlalu merisaukan penampilan diri. Berat badan naik risau, jerawat naik risau... padahal, begitu banyak hal lain yang patut dirisaukan selain hal keduniaan.

Ingatlah, buruk, cantik, gemuk atau hodoh, semuanya adalah Allah yang punya. Dari merisaukan apa yang bukan milik kita, baik kita merisaukan apa yang kita patut miliki tetapi belum kita miliki; amalan kita!

Orang lain amal dah bertimbun... kita masih lagi terbuai dalam lena. Orang lain dah sampai ke bulan. Kita masih berkayuh dalam sampan bocor...

Dalam banyak-banyak perkara yang sangat kurindui dari sidang lepas adalah suara roommate-ku yang syahdu mengalunkan ayatul Quran. Namun, subhanallah, Maha suci Allah, Dia menggantikan suara syahdu itu dengan suara lunak dari kakak; jiran sebelah bilikku.

Kepada akak yang manis, terima kasih kerana menyedarkanku kembali tentang matlamat sebenar hidupku ini..

Akhir kalam,
Renungilah firman Allah;
"Dan diletakkan buku (amalan tiap2 manusia) maka kau lihat orang2 yang berdosa gementar ketakutan, kerana melihat apa yang ada & tertulis dalam buku amalannya." [Al-Kahfi: 49]

Ukuran nilai seseorang hamba di mata Allah adalah bukan melalui kecantikannya, kedudukannya, pangkat & rimbunan hartanya, tetapi melalui ukuran ketaqwaannya...

Wallahu 'alam..






Sunday, August 1, 2010

Dalam Kerugian.


MasyaAllah... sehari lagi sudah berlalu. Tak tahu apa kata orang lain, tapi aku merasakan masa berlalu terlalu pantas dari hari ke hari. Tak sedar sudah hampir sebulan aku kembali ke alam kampus & kuliah.

Sungguhnya, demi masa, manusia memang sentiasa berada dalam kerugian. Melainkan bagi mereka yang beramal soleh dan sentiasa berpesan-pesan dengan kebaikan & penuh kesabaran. [Surah Al-Asr]

Yang rugi itu aku.

Hari ini, emosi aku sangat teruk. Tak mahu kata apa-apa, tak mahu buat apa-apa, tak mahu apa-apa pun. Rasa nak lari jauh-jauh. Rasa nak terbang tinggi-tinggi. Rasa nak menyorok dalam lubang paling dalam. Nak menjauh, jauh yang sangat jauh sampai tak siapa dapat menemui aku.

Pernahkah kamu rasa macam apa yang aku rasa saat ini?

Aku, masih baru dalam dunia gerak kerja dakwah ini. Ya, aku masih mentah, kurang pengalaman, kurang dedikasi, kurang karismatik, kurang, ya banyak sangat yang kurang. Tapi, sekurang-kurangnya aku berusaha! [ayat menyedapkan hati sendiri.. :) ]

“Aku suka kepada orang-orang soleh, padahal aku bukan termasuk golongan mereka. Harapanku hanyalah agar aku juga mendapat syafaat, kelak bila bersama mereka. Dan aku benci orang-orang yang menjadikan maksiat sebagai perniagaan mereka dalam hidup ini, walaupun aku sendiri mungkin seperti mereka yang melakukan maksiat tersebut.” – [Imam As-Syafi'ie]

Hairan sungguh aku... dengan orang-orang yang suka benar, cepat benar bersangka buruk dengan orang.

Hairan aku.. dengan orang yang sangat berani melemparkan komen sinis buat sahabat dan sahibahnya sendiri.

Hairan aku... bagaimana seseorang itu boleh mempunyai sungguh banyak watak dalam satu-satu masa.

Hairan sungguh aku... kenapa boleh jadi macam ni?

“Satu maksiat yang menyebabkan kamu merasa kerdil, rendah diri, hina dan hancur hati (kerana penyesalan dan taubat) lebih baik dari melakukan taat yang menjadikan kamu merasa agung, bangga dan hebat (sehingga tahap ujub)” [Syeikh Ibn Atoillah As-Sakandari]

Aku tak tahu apa yang kamu fikir. Tapi Rasulullah SAW tak pernah ajar kita untuk berburuk sangka sesama muslim. Baginda tak pernah suruh kita bersikap 'pilih bulu' dalam menjalankan gerak kerja dakwah islamiah. Rasulullah SAW tak pernah ajar kita bermusuh dengan orang, sekalipun dengan musuh kita sendiri!

Adab itu penting. Pekerti itu penting. Akhlak itu penting. Sangat perlu untuk sentiasa menjaga akhlak, adab dan pekerti kita. Kita orang Islam. Kena jadi betul-betul Islam. Berkeperibadian Islam.

Mana kita nak pergi? Mana kita nak lari?

Siapa kata Islam hanya untuk 'orang-orang tertentu'..?

Kamu Islam kan...? Agama kita sama kan..? Kita menyembah Tuhan yang sama kan...? Maka, maka perlu ada perbezaan pada kita?

Aku berada di celah-celah dua jenis manusia. Satu yang ramai orang kata golongan baik. Golongan alim, beragama, rapat dengan Tuhan, kuat ibadahnya. Dan aku juga dikelilingi golongan yang 'biasa-biasa'.

Demi Allah, percayalah.. tak semua orang yang nampaknya baik itu adalah benar-benar baik. Dan bukan semua orang yang nampak tak baik itu adalah jahat.

Manusia berubah. Manusia selalu berubah. Hari ini kita mungkin jahat, esok, siapa tahu Allah beri Hidayah buat kita dan kita jadi baik. Dan paling menakutkan, selama ini kita adalah manusia yang baik, tiba-tiba berubah menjadi ke arah yang bertentangan..

Sebagaimana seseorang pernah memberitahuku;
"Seseorang manusia yang kita nilai buruk, pasti memiliki sisi baik dalam dirinya... Seseorang yang kita nilai baik, belum tentu tidak memiliki sisi buruk dalam perilakunya..."

Walau apapun, haruslah kita ingat, kita semua hanya manusia. Kita hanya pendosa, kita hanya hamba, kita tak layak menghakimi, apatah lagi menghukum.

Islam itu mengajar kita untuk hidup bermasyarakat. Bergaullah dengan masyarakat, kita lihat, kita amati, ambillah semua yang positif darinya dan jauhkan segala macam anasir negatif yang ada di dalamnya.

Jauhkan berburuk sangka, umpat mengumpat, tikam menikam dari belakang, khianat mengkhianati. Semua itu adalah racun berbisa yang boleh membunuh kasih sayang & persaudaraan yang terbina.

Ikhlaskanlah hati, jangan mendekati seseorang kerana ingin mengambil kesempatan darinya. Sebaliknya lakukan amal perbuatan itu semata-mata mahu mencari keredhaan Allah.

Percayalah, sesebuah perhubungan yang dijalinkan atas nama Allah yang dibajai dengan keikhlasan, kejujuran dan kemaafan itu sangat indah.

Sampai bila mahu menipu, sampai bila mahu berselindung, berpura-pura dan hipokrit? Kita hanya akan menyakiti diri sendiri apabila kita menyakiti orang lain.

Akhir kalam, renungilah sebaris firman Allah;
".....Janganlah kamu anggap dirimu bersih, Dia tahu benar siapa yang bertaqwa di antaramu..." (An-Najm: 32)

Tatkala kamu-kamu & kamu yang ku hormati mengeji, mengutuk, 'menikam belakang' sahibahmu di hadapan diri ini... buat aku terasa seperti aku yang dikhianati, buat aku terasa seperti aku yang disalah erti...

Buat aku tidak berdaya untuk mempercayai sesiapa di muka bumi ini melainkan Allah semata-mata..

Sungguh, hanya Dia yang paling jujur dan paling boleh dipercayai. Kerana Allah adalah sebaik-baik tempat kembali...

Hasbunallah wa nikmal wakiil. Cukuplah Allah sebagai penolong..

Wallahu 'alam.





* sedang merajuk dengan diri sendiri. Terlena sampai pagi [mungkin atas kesan ubat yg dimakan sebelum tidur], lalu mungkir janji pada sahibah usrah untuk sama2 berjalan ke masjid, terlepas peluang untuk qiam berjemaah.

Mudah-mudahan masih ada peluang untuk memperbaiki diri. Permudahkanlah ya Allah..