Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Showing posts with label opinion. Show all posts
Showing posts with label opinion. Show all posts

Saturday, March 30, 2013

Sebelum Mencemburuinya... Lihatlah Dirimu Dahulu.




Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Pertamanya.. saya menulis ini sebagai teguran, nasihat & peringatan untuk diri sendiri. Semoga bermanfaat bagi yang membacanya juga, insyaAllah. Tulisan ini merupakan sambungan daripada entri ini.

***

Kebanyakan daripada kita lebih memilih untuk melihat kejayaan & kebahagiaan orang lain serta berasa cemburu berbanding mahu menyelidiki rahsia di sebalik kejayaan, kebahagiaan itu disamping mengambil iktibar & peringatan atas rentetan ujian, onak duri, mehnah juga tribulasi yang dilalui oleh mereka sebelum mereka menjadi seperti yang kita lihat hari ini.


Kes 1

"Untungnya dia... kaya dah kan dengan berniaga ni.. Padahal baru setahun dua start bisnes online dah boleh beli kereta sendiri, siap boleh hadiahkan mak gelang emas baru. Bestnya... bestnya... nak kaya jugak..."

Kita ni.... 

Nak kaya.. nak berjaya. Tapi tak mahu usaha. Tanya tentang matlamat pun tiada, apatah lagi soal perancangan, persediaan dan sebagainya.

Saat sahabat ni tadi sibuk mengikuti pelbagai seminar menambah ilmu tentang perniagaan, meningkatkan skil bagi menjadi usahawan yang berjaya... kita masih sibuk menghadap Facebook & Twitter 24 jam.

Pada saat sahabat ini tadi penat berjalan kaki melakukan street marketing untuk mempromosikan produk jualannya. Kita pula sibuk berjimba ramba menghabiskan duit pergi Mall untuk menonton wayang, membeli pakaian-pakaian mewah untuk kepuasan diri sendiri.

Pada saat sahabat ini tadi bersengkang mata menyiapkan tempahan (katakanlah dia berniaga tudung labuh bulat yang perlu dijahit) kita sibuk melagho berbuat perkara-perkara yang tiada memberi manfaat & nilai tambah.

Pada saat dia mengikat perut untuk duit tersebut dijadikan modal perniagaan, kita sibuk mencari gajet baru untuk dibeli.

Kemudian kita kata, dia beruntung. Kemudian, kita cemburu dengan kejayaannya.

Kita lebih senang lihat sisi terangnya sahaja. Walhal, dalam setahun dua perniagaannya itu mungkin banyak kali dia kerugian, kekurangan duit, ditipu, penat & kurang tidur atas urusan mengendalikan permintaan pelanggan serta pelbagai lagi kesulitan lain.

Kita hanya lihat kejayaannya mampu membeli kereta sendiri & menghadiahkan mak gelang emas sahaja. Tetapi kita tak berminat pula untuk mengetahui & menjadikan inspirasi bagaimana dia bangun semula tatkala jatuh, apa yang memotivasikannya sewaktu dilanda kegagalan, bagaimana dia menetapkan matlamat, perancangan & persiapan serta disiplinnya dia mengejar matlamat tersebut.

Kita juga tidak berminat hendak mencontohi amalan-amalannya yang mengikut sunnah baginda; agar dimurahkan rezeki seperti istiqomah mendirikan solat sunat Dhuha, membaca surah al-waqiah setiap hari, tidak pernah tinggal al-matsurat pagi & petang, istiqomah bangun tahajjud sekurang-kurangnya 2-3 kali dalam seminggu serta rajin bersedekah kepada fakir miskin, selalu bersedekah & mewakafkan sesuatu bagi membantu pihak pengurusan pengajian pondok yang kekurangan dana & hal-hal lain.

Perkara-perkara belakang tabir begini kita tidak minat hendak tahu...

Kita suka lihat kisah gembira sahaja.
Kita jarang hendak selidik, teliti & belajar tentang kisah deritanya.

Ya. Kita suka lihat hasilnya sahaja.
Jarang hendak melihat kesusahannya yang dilalui sebelum-sebelum itu.

Memetik statement Hilal Asyraf pada salah statusnya di Page Rasminya;

"Hidup ini kalau hendak berjaya. Pertama, matlamat kena jelas. Kedua, jangan banyak merungut. Ketiga, jangan jadi pemalas. Keempat, kena ada strategi. Kelima, kena ada organisasi. Keenam, jaga hubungan dengan Ilahi (paling penting!)"


***

Kes 2

Kita cemburu salah seorang sahabiah kita yang solehah yang sungguh hebat amalannya, yang cukup mantap ilmunya padahal sahabiah ini tadi baru sahaja berhijrah. Sedangkan waktu zaman jahiliyahnya dia tidak menutup aurat, tidak jaga ikhtilat, mengaji juga tidak pandai.

Kini, lunak pula dia mengaji dari kita dengan ke mana-mana pun al-Quran pasti di tangannya, akhlaknya lebih mulia pula dari kita, kata-katanya menyentuhi hati sesiapa yang mendengar, bahkan dia lebih dihormati & disayangi pula dalam kalangan sahabiah-sahabiah berbanding kita yang lebih dahulu disapa tarbiyyah & mendapat pendidikan agama dari institusi yang lebih baik dari dia.

Kita cemburu sebab dahulu kitalah antara orang yang menarik tangannya & memperkenalkan apa itu usrah, tarbiyyah dan sebagainya. Kita tahu kisah hitamnya.. kita tidak sangka akan sehebat itu dia akan menjadi hari ini.

Kenapa jadi begitu?

Pertamanya, ingatlah... sekiranya Allah Mahu Menjadikan seseorang hamba itu baik, Dia akan memberikannya kefahaman dalam beragama.

Hidup ini berganti hari, pakaian juga sentiasa kena berganti kalau tidak tentulah akan lusuh dimakan matahari serta berbau tidak menyenangkan. Begitu juga dengan iman, ilmu & amal.

Setiap hari iman perlu diperbaharui. Dari buka mata di awal pagi sehinggalah mata itu ditutup kembali... apa yang telah kita isikan di dalamnya sepanjang 24 jam yang diberikan Allah itu?

Imannya bertambah kerana dia rajin pergi ke majlis ilmu tatkala kita sibuk menonton 'Running Man' di bilik. Di kala kita sibuk menangis lihat hero Korea mati di dalam drama cinta, dia pula menangisi segala dosa-dosanya kepada Allah di penghujung malam-malam yang sunyi.

Ilmunya bertambah kerana dia rajin bertanya jika dia tidak tahu kepada ustaz/ustazah serta memasuki kelas-kelas agama, sedangkan kita asyik masyuk melayan Facebook sehari suntuk. Dari tidak tahu langsung mengaji, akhirnya sedikit demi sedikit dia mempelajarinya dengan orang yang faqqih lalu akhirnya dia semakin mencintai al-Quran. Berbanding kita yang hanya berbangga bekas SMKA itu, madrasah ini tetapi sangat kurang digunakan ilmu itu bagi mentadabbur & mempraktikkan di dalam kehidupan.

Akhlaknya bertambah baik kerana dia bergaul dengan sahabiah yang mulia akhlaknya, serta natijah dari sikapnya yang suka mengkaji sirah isteri-isteri & anak-anak Nabi yang berakhlak mulia.

Dia juga pandai mengambil hati insan-insan yang tidak sefikrah kerana dia pernah berada dalam fasa yang sama seperti mereka. Berbanding kita yang suka menghukum orang lain tanpa ada usaha untuk memahamkan mereka tentang suruhan & tuntutan Allah yang sebenar.

Kita cemburu dia menjadi semakin baik, disayangi & dihormati. Sepatutnya kita jadikan dia sebagai perangsang untuk menjadi lebih baik lagi. Jangan jadikan cemburu itu sesuatu yang negatif, bahkan jadikan ia sebagai positif.

Jika kita memandangnya secara negatif, kecemburuan itu menjadi negatif & kita tak akan ke mana-mana melainkan hanya membuatkan hati kita menjadi busuk. Manakala, jika kita memandang perubahan & peningkatan sahabiah ini tadi sebagai sesuatu yang positif, kita akan mensyukuri Allah menjadikan dia sebaik itu, menjadikan dia dai'e yang baik bagi menyebarkan dakwah kepada orang lain disamping membuatkan kita bermuhasabah kembali tentang kekurangan kita yang perlu penambahbaikkan.

Lihat diri kita dahulu.
Lihat bagaimana usaha kita untuk memperbaiki diri.
Lihat bagaimana lajunya langkah kita untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.

Dia menjadi dia atas usahanya dengan rahmat Allah.
Kita kekal menjadi kita kerana tiadanya usaha kita untuk menjadi lebih baik.

Kemudian kita sedar... tiada sebab untuk kita rasa tidak puas hati terhadap dia atau Allah. Yang patut kita rasa tak puas hati itu adalah kepada diri sendiri...

***

Kes 3

Pelbagai komen-komen berbaur kecemburuan & melempiaskan anganan, impian yang sama terhadap gambar sepasang pasangan pengantin yang beriringan ke majlis walimah mereka. Yang lelaki memakai jubah putih, diletakkan kain selendang (kain tabaruk) hijau di bahu kanannya lengkap dengan kopiah putih. Manakala yang perempuan ayu mengenakan pakaian longgar berwarna putih, bertudung labuh bersulam hijau di tepi tudung lengkap berpurdah warna senada.

"Best gila dapat suami soleh macam ni..."
"Untungla dapat isteri solehah gini..."
"Alangkah bahagianya kalau aku dikurniakan pasangan yang hebat seperti ini...."

Kita lebih senang mengharapkan pipih datang melayang & yang bulat datang bergolek terus ke dalam pelukan kita. Walhal, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya insan yang dilihat tadi bermujahadah melawan nafsu sepanjang sebelum berkahwin dengan pasangan yang baik ini tadi.

Perkenalan dimulai dengan orang tengah, perhubungan diteruskan tanpa perlu bercouple, berdating seperti yang kebiasaan. Mereka menjaga pandangan, mereka menjaga ikhtilat baik di alam realiti, bahkan di alam maya selagi belum diijabkabul. Paling penting, mereka menjaga hubungan mereka dengan Allah.

Kita... sebelum kita berani membandingkan diri kita dengan mereka.. mari kita lihat kembali diri kita. Mari semak semula hubungan kita dengan Allah..

Waktu kita sibuk mengupdate status 'Wahai bakal imamku...' 'Wahai tulang rusukku yang dinanti...', mereka ini telah pun bergerak secara lebih realistik bagi mempersiapkan diri dengan memperbaiki ilmu, amal & akhlak. Bukan sekadar melontar perasaan yang terdesak di laman sosial, tetapi jarang pula meminta sendiri kepada Allah pada penghujung solat di dalam doa dengan air mata pengharapan.

Semua orang suka bab-bab ini. Jangan menafikan. Ianya fitrah. Jika tidak suka... masakan seminar, forum & ceramah yang bertajuk tentang cinta, nikah, baitul muslim selalu pesertanya melimpah ruah hingga ke luar dewan & masjid berbanding kuliah fiqh? Namun, berapa ramai dari kita yang benar-benar memahami makna 'imam' & 'makmum' itu kalau diri sendiri pun jarang menjadi makmum solat berjemaah di masjid & di rumah, apatah lagi hendak mengimamkan solat...

Bagaimana kita hendak membina ummah jika diri sendiri pun kita gagal hendak bina..
Bagaimana hendak kita bina akhirat kita, jika dunia gagal dimanfaatkan sebaiknya...

Maka bila masanya hendak bicara soal ummah, aqidah, siasah..?
Sedarkah kita...
Untuk meraih kemanisan iman itu memerlukan mujahadah, disiplin & usaha yang sangat keras bagi melawan nafsu...?


***




Bijaklah Memanipulasi Kecemburuan Itu.

Tak sepatutnya kita cemburu terhadap kejayaan & kebahagiaan orang lain sedangkan kita tidak mengetahui apa yang dilalui oleh mereka, berapa banyak yang telah dikorbankan oleh mereka untuk berada di tempat yang kita lihat mereka sekarang (dengan izin & rahmat Allah).

Saya ingin kongsikan di sini beberapa quote yang saya perolehi dari beberapa insan yang besar jiwanya, insyaAllah bermanfaat untuk kita renungkan bersama.

# "Hargailah kehidupan engkau. Engkau ada hak untuk bahagia. Sampai bila mahu terpaku di hadapan kebahagiaan orang lain?" [Ahmad Syafiq - MyIlham.com]

# "Buang masa cemburu dan dengki dengan kejayaan orang lain. Mereka berjaya sebab mereka usaha. Nak berjaya? Apa lagi, USAHA!" [Hami Asraff]

# "Usah cemburu dengan kejayaan orang lain sekiranya kita tidak tahu apa yang telah dia lalui untuk berada pada tahap itu." [Asma Suardi]

# "Berapa ramai orang yang gagal dalam hidup bukan kerana mereka tak mampu, tapi kerana mereka tak mencuba." [Syed Alwi Alatas]

:)


***

Kita juga punya kehidupan kita sendiri, yang Allah pinjamkan untuk kita tetapkan matlamat, merancang, membuat persiapan & bergerak mencapainya tanpa melupakan hakikat sebenar tujuan penciptaan manusia.

Jangan terlalu sibuk mencemburui orang lain sampaikan kita terlupa hendak bergerak mencapai cita-cita kita sendiri. 

Iya.. hargai kehidupan kita yang sementara ini. Jadi lebih hebat. Jadi lebih bermanfaat. Tiada penciptaan yang Allah ciptakan dengan sia-sia. Percayalah setiap dari kita pasti ada kelebihannya yang tersendiri yang Allah lebihkan dia daripada orang lain.. Maka, carilah kelebihan itu dan syukurilah pinjaman itu dengan menggunakannya ke jalan yang Allah redhai..

Cemburu tak salah. Tapi biarlah cemburu yang kena pada tempatnya. Contohnya, menjadikan kecemburuan itu sebagai motivasi untuk menjadi lebih baik untuk masa hadapan, menjadi hambaNya yang lebih bertaqwa. Cemburu yang menembus sampai ke dunia akhirat. Itu baru cemburu yang 'cerdik'.

Maka, apabila melihat dia & kamu cemburu, fikirkan... cemburu itu membawa kamu kepada siapa & ke mana. Jika ia membawa kamu lebih dekat kepada Allah, membawa kamu ke arah yang lebih positif, baik & maju seiring tuntutan Allah... maka, cemburu kamu itu adalah comel... :)

***

Refresh Niat, Besarkan Matlamat.

Saya terjumpa satu perkongsian yang menarik daripada seorang senior di akaun Facebook-nya. InsyaAllah bagus untuk kita renungkan bersama.

"sedar tak sedar kebahagiaan yang kita kerap paparkan mengundang duka di hati mereka yang masih belum memilikinya.... mari muhasabah.. perkongsian itu untuk apa.. untuk siapa... ada insan kesayangan selalu ingatkanku jangan semua hendak di-expose sangat....buat aku berfikir...." 

Sentiasa refresh niat.
Semoga semuanya untuk Allah, demi kemaslahatan ummah.

Sebelum share & publish apa-apa, tanya diri; 

"Apa yang aku post ni bakal mendekatkan aku & mereka kepada Allah atau tidak?"

"Segalanya yang aku buat ini masuk dalam catatan malaikat di bahu kanan ataupun kiri?"

Alangkah baiknya jika setiap apa yang kita kongsikan itu mengingatkan manusia kepada Allah. Kalau pun mereka cemburu, insyaAllah cemburu mereka itu membawa mereka pulang semula kepadaNya. Mereka akan menyedari betapalah kerana jauhnya mereka dengan Allah selama ini menyebabkan mereka sukar berjaya & bahagia. Malah, hidup juga tiada motif & tidak tenang.

Sebagai contoh, apabila adik Nik Nur Madihah berkongsi kisahnya yang sanggup menyalin kamus Bahasa Arab yang tebal itu dengan bantuan ibunya lantaran tiada wang yang untuk membeli kamus tersebut. Saya yakin, kita akan hormat dengan caranya itu. Bagaimana bersungguh-sungguhnya dia mahu menuntut ilmu. Bagaimana dia begitu menghargai sesuatu ilmu.

Sebagai contoh lagi, apabila Ustazah Fatimah Syarha berkongsi kisah mujahadahnya dengan suaminya sewaktu sesi pertunangan yang mencecah 2 tahun, begitu juga dengan Hilal Asyraf & isterinya... perkongsian begini sedikit sebanyak membuat pembaca tersentak. Bertanya pada diri; "Apakah mereka telah sedaya upaya berusaha bermujahadah seperti mereka agar kisah cinta itu menjadi sehebat mereka selama tempoh sebelum nikah." Perkongsian begini akan membuatkan kita terinspirasi untuk menjadi wanita & lelaki yang terbaik untuk pasangan masing-masing.

***

Penutup

Share, publish, tulis, letaklah gambar-gambar di laman sosial kita perkara-perkara yang apabila kita mati, ia menjadi amalan kebaikan yang terus mengalir masuk ke dalam akaun pahala kita.

Rugilah kalau followers berjuta-juta, penge'like' berjuta-juta. Tetapi gagal memanfaatkan ruang untuk menyumbang sesuatu untuk ummah & kehidupan akhirat kita. Lebih malang lagi, bila kita mati, dosa berterus-terusan dikira masuk dalam akaun catatan dosa kita. Nauzubillah.

Hati-hati.
Segalanya akan dipersoalkan kelak.

"Allah Melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia Kehendaki & Membatasniya bagi siapa yang Dia Kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan dunia, padahal kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang sedikit dibanding dengan kehidupan akhirat." [Ar-Ra'd (13) :26]

***

Tulisan ini teguran untuk diri ini terutamanya. 
Mari kita sama-sama mengingatkan dengan kesabaran & kebenaran, insyaAllah.

Saya sayang kalian semua kerana Allah.

Semoga Allah Memberikan kita semua Hidayah TaufikNya. Amiin.



Wallahu a'lam.

----------
p/s: Tulisan ini serta kes yang ditulis di atas tiada kena mengena dengan sesiapa. Mohon maaf jika ada serba sedikit persamaan situasi. Saya menulis ini hanya kerana Allah & untuk peringatan buat saya di masa depan, insyaAllah.

-----

Notahati:
Aku 'cemburu'... sungguh terinspirasi kepada manusia yang laju menambah amalan, mempersiapkan bekalan, menyebarkan kebaikan sepanjang jalan, di saat manusia lain berebut-rebut mengejar pujian manusia di dunia-dia memburu redha Allah & anugerah di syurga. 

Aku 'cemburu'... sungguh kagum dengan insan hebat yang pertama kali bersua terus rasa sayang, kehadirannya disenangi, kepergiannya dirindui, namanya diseru Allah di langit, didoakan para malaikat akan kesejahteraannya.

Kekasih Allah sedang menghirup harumnya syurga. Aku pula masih hangat mabuk cinta dengan dunia yang fana. Kasihan.

:'(


   

Tuesday, September 11, 2012

Bila Bermasalah. Kita Patut Cari Siapa?





Bismillahirrohmanirrohiim...

Sabda Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam;“Tinggalkanlah apa yang meragukanmu. Kerjakanlah apa yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan & dusta itu menimbulkan keraguan.” [HR at-Tirmidzi]

Meluahkan perasaan & masalah di alam maya merupakan salah satu kesilapan & sikap tidak cerdik yang dilakukan oleh kebanyakan kita hari ini, termasuklah hambaNya yang dhoif ini.

Ya, kadangkala disebabkan rasukan emosi marah, geram, tidak puas hati, kita melempiaskan amarah kita melalui kata-kata perlian, sindiran di laman maya seperti di blog, Facebook & Twitter. 

Mungkin kita menulis kata-kata itu secara general tanpa menujukan secara langsung kepada siapa yang kita target sebenarnya. Bagi kita, itu mungkin cara terbaik, dengan harapan pihak yang kita target itu akan ‘menangkap’ makna sindiran kita itu. Ataupun, kita sekadar meluahkan apa yang kita rasa tanpa niat untuk menujukan statement itu kepada sesiapa pun.

Namun, sedarkah kita bahawa tindakan kita yang memerli secara indirectly (tanpa menyebut nama sesiapa itu) sebenarnya umpama peluru yang ditembak secara rambang? Maknanya, sesiapa sahaja boleh terkena ‘tembakan’ kata-kata hamburan kita itu. 

Natijahnya, ramai pula yang salah anggap status, kata-kata & perlian tersebut walhal kita bukannya menujukan ayat tersebut kepada mereka.

Ah... sudah...

Small mistake leads to a big damage.
Kesilapan remeh, natijahnya besar.

Hubungan yang baik, menjadi retak.

Pelbagai prasangka mula muncul akibat hati yang panas & sakit.

Syaitan pula mula membakar-bakar perasaan kita. Menjadi batu api.

Malah, tambah memburukkan lagi keadaan, pihak yang kita sindir itu langsung tidak terkesan dengan ‘tembakan’ kata-kata kita tetapi ia ‘mengenai’ orang lain pula.

Maknanya, secara tidak langsung, ramai yang terasa hati dengan kita. Realistiknya, kita seolah-olah telah membuat senarai baru manusia yang tidak puas hati & memusuhi kita.

Allah.... :’(







Sebahagian daripada kita mungkin boleh berbaik sangka apabila terbaca luahan, amukan & hamburan perasaan orang lain di laman maya.

"Ah.. dia bukan tujukan dekat aku tu.."

Namun, itu tidak bermakna kita sepenuhnya boleh menganggap manusia lain juga boleh berbaik sangka kepada kita...

Hati manusia ini sangat sensitif. 

Sebagaimana kita tidak suka hati kita disakiti, begitu jugalah dengan orang lain...


Antara kita sedar atau tidak...


Ramai di antara kita cenderung untuk menjadi silent reader, silent visitor, silent stalker. Maknanya, ada orang datang senyap-senyap mengunjungi blog kita, wall Facebook & Twitter kita, membaca kata-kata yang tertulis & meninggalkan laman tersebut tanpa komen, like, jejak & reply.

Ini sangat bahaya. Bahaya untuk 'penembak' yang suka menghambur kata-kata secara rambang tadi.

Kita tidak tahu, pengunjung tadi pergi dengan hati yang bagaimana.

Mungkin dia terluka dengan status kita. Walhal, tulisan itu bukanlah untuk dia.

Mungkin dia rasa sakit hati. Mungkin juga dia geram lalu menyimpan dendam barangkali. Nauzubillah.

Tulisan yang asalnya ditujukan untuk insan X telah melukakan hati insan Xi, X2 & Xii pula. Ataupun lebih ramai lagi...

Paling kritikal, apabila dia (non-target person) yang tidak ada kena mengena tadi tiba-tiba membuat status baru untuk menghentam kita kembali. Ayat yang lebih pedas berapi, membidas ayat-ayat kita tadi dengan juga membuta tuli.

Eh... 
Kan dah kita pula yang terasa.... 
Kita pula yang sedih. Frust dan sebagainya.

Apa yang boleh dilakukan?
The damage had been done. 
Lalu, terwujudlah satu calar di dalam hubungan yang asalnya baik tadi disebabkan tindakan kita yang tidak cerdik tadi.

Namun, sedarkah kita..


Bukankah ini masalah yang kita mulakan?
Bukankah luka ini tadi kita yang carikkan dahulu?

Jadi, tiada siapa yang harus dipersalahkan melainkan kita harus akui, inilah natijah ketidakcerdikan tindakan kita.



Menjadi Manusia Yang 'Lurus'.

Jadi, apakata mulai hari ini, kita sama-sama mencuba untuk mengelak daripada menghambur emosi secara membuta tuli, menyindir tidak tentu hala, marah-marah & sebagainya di laman maya (Blog, FB, Twitter dll). Ia terbukti sebagai satu tindakan yang sangat tidak cerdik.

Jika kita tidak puas hati dengan seseorang atau sesuatu pihak, lebih bijak & baik sekiranya kita langsung pergi private message/direst message dia untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi secara terus & telus. Jika sakit hati pun, ianya antara kita dengan pihak yang betul. 

Bukannya mencari masalah baru dengan melukakan hati entah siapa-siapa yang lain pula. 

Astaghfirullah al adzhim..

Sabda Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam;“Iman seseorang tidak akan lurus sebelum hatinya lurus & hatinya tidak akan lurus sebelum lidahnya lurus (berkata benar & baik)” [HR Ahmad]

Maka, jadilah manusia yang bijak. 

Jika sakit hati, tidak puas hati, bermasalah dengan manusia, langsungkanlah penyelesaian dengan insan yang terlibat. Private message boleh. Opsyen lain, telefon ada, telefonlah. Atau tidak pun, lebih afdhol pergi bersemuka terus.

Jika mempunyai masalah di dalam kehidupan pula, sekali lagi, menulis status di laman maya bukanlah penyelesaian terbaik sebenarnya.

Ya, saya faham..

Banyak juga daripada kita yang sangat ‘dahagakan’ perhatian manusia. Sebagai contoh:
Bukan hanya setakat busy meng-upload pelbagai gambar yang tidak perlu, mulalah status tentang dia bergaduh dengan kekasih tak halal pun dia nak hebahkan di FB & twitter. Ataupun mengutuk-ngutuk pihak yang cuba merampas kekasihnya itu. Pendek kata, perang kata-kata la ni..

Ataupun, status sedih atas musibah yang melanda.

Memanglah, sesetengah daripada kita kadangkala memerlukan moral support from outsiders seperti kawan-kawan & sebagainya. Jadi, apabila mereka komen status FB atau reply TL twitter kita, kita jadi gembira kan. Terasa macam lega dapat share dengan orang lain tentang perasaan kita.

Namun, percayalah...
Kelegaan itu hanyalah seketika.

Ia takkan dapat diselesaikan pun sebenarnya.. sebab kita tidak pergi pun kepada 'punca' datangnya semua itu yang pastinya mempunyai solusi akan masalah kita itu.

Kenapa kita perlu mencari manusia walhal sebenarnya kita punya problem listener yang lebih setia & paling baik; iaitu Allah?

“Ala.... tak sama! Mengadu dengan Allah terbatas one-sidedly je! Tulis dekat FB, twitter, at least kita dapat direct feedback daripada kawan-kawan. Simple & faster...”

:)

:')

:'(

Istighfar jom. 

Sedih Allah bila kita cakap macam tu. 
Mudah-mudahan Allah ampunkan dosa-dosa kita.

"Hasbunallah wa ni’mal wakiil, ni’mal mawla wa nikmal nasiir." 
Cukuplah Allah sebagai penolong & sebaik-baik pelindung.
“Apabila kita selalu stress & bermasalah. Cuba recheck bagaimana keadaan hubungan kita dengan Allah.” [Pesan Ustazah]



Kenapa kita rasa mengadu dengan Allah tu sukar & menyukarkan? 
Sebabnya kita tiada hubungan hati ke hati yang kuat dengan Allah. Kalau kita boleh share dengan kawan baik yang kita anggap sekepala & memahami kita.. Yakinlah, Allah-lah Yang Paling Memahami kita sebenarnya...


Jom kita buat refleksi ringkas dengan menyoal diri sendiri.

1) Ada kita cuba bangun di sepertiga malam & menangis meluahkan segala yang terbuku di hati kita selama ini? 

2) Ada tak kita serahkan betul-betul pengharapan & doa kepada Dia di samping sangat yakin bahawa pertolongan itu sangatlah dekat?

“Orang yang berzikir dalam kelalaian itu lebih baik daripada orang yang melalaikan berzikir.”



Sebaik-baik Tempat Kembali. Sebaik-baik Solusi.

Sahabat-sahabat yang Allah kasihi sekalian.

Jangan tuduh Allah yang tidak-tidak bila kita belum pun mencuba lagi untuk mendekatkan diri kepadaNya. Lalu, bagaimana nak Dia kurniakan kemanisan iman & beribadah kepadaNya..?

Saya teringat, saya pernah membaca buku catatan, rahsia kecemerlangan Nik Nur Madihah. Pelajar muslimah yang hebat dari Kelantan yang mencatatkan keputusan cemerlang di dalam SPM beberapa tahun yang lalu.
Seperti yang kita lihat di dada akhbar, teratak tempat keluarga gadis solehah ini berteduh adalah sangat uzur. Tetapi mereka bahagia & terus bersyukur.

Ditanya kepadanya, apakah rahsia dia menjadi begitu tabah, kuat & tidak pernah menangis di hadapan keluarganya walau sesusah mana sekalipun ujian Allah menimpanya & keluarga. 

Ketabahan & kekuatannya itu sangat terserlah hinggakan ibubapanya menggelarkan dia gadis berhati besi.

Kalian tahu apa rahsianya?

Rahsianya adalah hubungannya yang sangat erat & hebat kepada Allah. Dia akan bangun di sepertiga malam melaksanakan ibadah qiamulail seperti solat sunat, berzikir & membaca al-Quran.

Pada waktu itulah air mata yang selama ini ditahan-tahan daripada penglihatan manusia akan ditumpahkan di hadapan Allah. Merintih, mengadu kekuatan daripada Allah. Dia menghamburkan semua kesedihan, ketidakupayaannya kepada Allah & sangat yakin Allah sedang berada dekat dengannya serta mendengar semua rintihan hatinya itu.

Subhanallah. 

Terlahirnya seseorang yang hebat, adalah hasil kehebatan hubungannya dengan Allah. Hal ini kerana jika seseorang hamba itu berusaha keras memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki segala-galanya buat dia.

MasyaAllah. 
Hebatnya. 
Hebatnya.

Jauh, longgar & lemahnya pegangan kita kepada Allah menyebabkan senang saja kita berburuk sangka kepadaNya.

Astaghfirullah al adzhim...

Kita sangka Allah tidak mendengar doa kita. Kita sangka Allah takkan selesaikan masalah kita. Kita sangka Allah takkan tolong kita. Kita sangka tiada apa-apa kesan pun jika kita mengadu & berdoa kepada Allah. Kita rasa Allah itu sangatlah jauh...

Lalu, kita memilih untuk lebih percayakan manusia.

Apabila ada khabar buruk diterima, kita akan telefon kekasih luar nikah kita dahulu. Kita akan hebah-hebahkan di laman maya dahulu. 

Yang terakhir sekali, barulah kita teringatkan Allah.

Dahsyatnya kita.

Ahklak apakah yang sedang kita pamerkan ini?

Beginikah selayaknya seorang hamba menjadi apabila menerima return-call (musibah) daripada Allah?


"Dan jika Kami Berikan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, pastilah dia menjadi amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur." [11:9] 
"Dan jika Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai)." [Hud : 11;10]

Cari Allah dahulu.
Mengadulah kepada Allah dahulu.
Kemudian barulah pergi kepada manusia.

Itupun, pilihlah manusia yang boleh mengembalikan semula kita kepada Allah dengan nasihat, akhlak & ilmunya.


“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang sabar.” [ali-Imran; 3: 146]

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” [ali-Imran; 3 : 159]






InsyaAllah, saya akhiri entri kali ini dengan mutiara kata daripada Imam Syafi’e buat muhasabah (renungan) diri  bersama-sama.

“Ketika aku menjadi pemaaf & tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan. Ketika musuhku lalu dihadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu aku lakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan. Aku nampakkan keramahanku, kesopananku & rasa persahabatanku kepada orang-orang yang tidak kusukai, sebagaimana aku pamerkan akhlak yang mulia itu kepada orang-orang yang kucintai.” [Imam Syafi'e]

Subhanallah..
Apa lagi yang boleh dikatakan atas mulianya akhlak kekasih Allah ini.



Penutup.





Saya buat silap. Kalian juga mungkin pernah melakukan kesilapan yang sama. Kita insan biasa yang tidak pernah lekang & sunyi daripada melakukan khilaf & dosa.

Jadi, jom kita sama-sama perbaiki diri.

Gunakanlah kemudahan yang ada untuk menulis, berkongsi serta menyebarkan seberapa banyak kebaikan.

Sesungguhnya Allah sedang Memerhatikan kita, bukan hanya di alam realiti tetapi juga di alam maya.

Malaikat di bahu kanan & kiri juga sentiasa menemani hari-hari kita. Lalu, malaikat yang disebelah manakah kala ini yang sedang sibuk mencatat amalan kita agaknya..?


Berhati-hatilah di atas apa yang kita tulis & kongsikan di alam realiti & maya sekalipun. Pastinya, semua bait-bait itu akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah di akhirat kelak..

Allahuakbar.

Mari kembali kepada Allah & menjadi pengiklan terbaik buat Islam yang indah ini dengan memperindahkan akhlak,  menambah ilmu & mempertingkatkan ibadah kita kepadaNya. insyaAllah.


Perhebatkan habluminnallah (hubungan dengan Allah). Perbaiki habluminnannas (hubungan dengan manusia). 

Sungguh...

Saya sayang kalian semua kerana Allah.

Maafkan semua kesilapan saya di atas kata-kata yang tidak menyenangkan. Teguran, tembakan & nasihat ini tentunya ditujukan buat diri ini terlebih dahulu. Seterusnya buat muhasabah kita bersama.

Semuanya diserahkan kepada Allah untuk penilaian terbaik, insyaAllah.


"Katakanlah (Muhammad), 'Apakah perlu Kami Beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya? iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya." [al-Kahf, 18: 103-104]
---
Yang terakhir..
Bila ada masalah... carilah Allah dahulu. Luahkan, kongsikan, ceritakan kepada Dia... bukannya pergi mengadu dekat Facebook, Twitter & manusia-manusia yang gagal mengingatkan kita kepadaNya.

Allahu'alam..



**************


Notakaki:
# Kurangkan merungut, banyakkan bersyukur.
# Tiada orang baik yang tidak mempunyai masa lampau. Tiada orang jahat yang tidak mempunyai masa hadapan. Setiap orang berhak mendapat peluang kedua.
# Jujur dengan diri, jujur dengan orang lain. InsyaAllah akan membawa bahagia...




Friday, June 29, 2012

Burung Kecil Itu...



Bismillahirrohmanirrohim..

Alhamdulillah. Alhamdulillah.. Segala pujian hanya bagi Allah. Untuk peluang kehidupan yang masih diberikan kepada hambaNya yang berlumur dosa ini dengan pilihan untuk menjadi lebih solehah & segera bertaubat kepadaNya.

Alhamdulillah.. peperiksaan akhir semester 2 sesi 2011/2012 di USM berakhir hari ini. Allah izinkan, semalam telah berlangsungnya final exam; last paper di USM tercinta ini. Syahduku memandang seisi dewan yang bakal ditinggalkan selepas ini. Chewah..

Masihku ingat lagi, aku mula aktif berblogging juga adalah pada ketika aku mendaftar masuk ke USM, 3 tahun yang lepas. How time flies. Dahulu macam tak terbayang langsung bagaimana rasanya meniti hari-hari terakhir di sini.

Hari ini Allah takdirkan aku menghirup lagi udara Bumi Allah, Bumi Minden ini sambil menanti detik-detik terakhir penghujung semester yang bakal berakhir Ahad depan. InsyaAllah.

Menyelusuri kenangan di USM ini, banyak sebenarnya yang sangat manis. Apatah lagi di Bumi inilah yang menyaksikan bagaimana Hidayah Allah menyapa hati hitamku ini untuk berhijrah baik dari segi penampilan & cuba berusaha untuk berubah akhlak & peribadi juga ke arah yang lebih baik..




Allahuakbar... 3 tahun sudah berlalu rupanya..

Di USM inilah aku mula-mula mengenal erti apa itu usrah. Apa itu Naqibah. Apa itu sahabat-sahibah. Erti sebenar & merasa sendiri manisnya ukhuwah fillah. Bergenang air mata mengenangkan betapa Allah sudi menghulurkan cahayaNya kepadaku bagi menyuluhi ke arah jalanku menuju ke arah redhaNya, insyaAllah. Mudah-mudahan.

Daripada tudung biasa, Allah Melabuhkan tudungku agar sempurna menutupi auratku. Daripada menjadi anak usrah hinggalah Allah izinkan aku mempunyai anak-anak usrah sendiri. Daripada hanya punya 2-3 manusia yang dikenali di USM ini kepada perkenalan dengan ramai manusia yang soleh & solehah yang menjadi contoh untuk diteladani. 

Allahuakbar. Allah Bukakan mataku yang selama ini hanya memandang kehidupan ini daripada satu sudut kepada cara sudut pandang yang lain pula. MasyaAllah, barulah aku sedar betapa sebenarnya cara aku menjalani hidup ini bakal memaknai kedudukanku di mataNya.

Dalam ramai hamba-hambaNya yang masih bergelumang dengan kejahilan, kemungkaran, permainan duniawi, mata buta, telinga tuli...
Aku antara yang Allah pilih, untuk menerima cahayaNya itu.. 

Ya Allah, tidakkah patut aku bersyukur...?

Bukanlah aku mengatakan sekarang aku sudah cukup bagus. 

Astaghfirullahal adzhim.. jauhilah aku ya Allah daripada niat selainMu & sifat takabbur. 

Aku masih banyak kelemahan & kesilapan. Cumanya, aku bersyukur, aku tidak menyangka Allah sudi memandang aku & mengeluarkan aku daripada kejahilan lalu untuk memperbaiki diri menjadi hambaNya yang insyaAllah lebih baik sekaligus membantu aku menafsir hakikat kehidupan ini sebenarnya.

Tujuan, Strategi dan pelaksanaan untuk mencapai tujuan kehidupan itu tadi. 

Tujuan kehidupan itu, adalah menuju kepada Allah. Tujuan hidup di dunia ini adalah persiapan untuk hidup yang selamanya bahagia & berjaya di akhirat.

Dengan semua kenangan manis itu, pastinya USM akan kekal 'special' di dalam hatiku ini, insyaAllah.





Alhamdulillah.. malam semalam sempatlah aku menggodek-godek, mengorek semula entri-entri dan tulisan lama yang pernah kunukil dan kukongsikan di teratak ini. 

Ya Allah... tak dapatlah aku menahan sengihan, senyuman membaca sendiri tulisanku yang setahun, dua tahun, dan posts yang mula-mula dikongsikan. 

"Sangat tak matang... Haish.. apalah yang aku fikir masa taip entri ni.." itu antara kata-kata yang tercetus daripada bibir ini.

Yalah.. manusia berubah. A yang kamu kenal waktu sekolah dahulu jika jumpa setelah 5-10 tahun, tentulah banyak yang berubah kan... kalau tidak fizikalnya yang berubah, tentu ada sedikit perubahan kepada sikapnya. Tidak banyak berubah pun adalah sedikit.

Perubahan, penghijrahan, kembali kepada fitrah & apa-apa juga 'term' yang digunapakai, jika ia menuju kepada kebaikan, makanya ia perlu. Ia adalah baik & positif.

Penulis novel yang berpengalaman pun, jika kita bandingkan karyanya yang pertama dengan yang terkini juga tentulah ada yang berbeza. Termasuklah cara penyampaian & gaya bahasanya. Sebab apa, sebab kematangan yang didapati daripada pengalaman demi pengalaman.

Sungguh betullah kata bijak pandai, melalui penulisan seseorang itu pun sudah cukup memberi idea untuk kita describe macam mana jenis peribadi penulisnya. Ya, dia sempoi, dia santai, dia kelakar, dia jiwang, dia puitis, dia berjiwa halus dan sebagainya. Mungkin taklah 100% betul andaian kita itu. Namun, bolehlah diambil kira walau hanya 10-20% ketepatannya. Mungkin. :D

Ada juga entri-entri yang bila aku terbaca, aku juga jadi tersentak, tersedar. 

"Kau yang tulis sendiri, kau balik yang sentap." :D

Ya, biasalah... Ilham yang datang sewaktu kita menaip laju macam air terjun Lata Iskandar itu bukanlah 100% daripada akal fikiran, hati atau diri kita. Bahkan semuanya lahir atas keizinan daripada Allah SWT. Jadi, jangan pula nak rasa riak dengan tulisan sendiri. Kononnya.

Ayat gediknya; "Oh please, jangan perasan pun dengan apa yang bukan kau punya.. semua Allah punya ok..?"


Ya, tiada apa pun yang mampu kita lakukan tanpa keizinan & perkenan daripada Allah Azza wajalla. Lagipula, semua ini adalah kepunyaannya semata-mata & akan kembali semula kepadaNya.

Kadangkala, apabila mengenangkan firman Allah di dalam surah As-Saff. Aku menjadi gusar & bimbang. Kadangkala nak saja aku private-kan blog ini. Biar aku menulis, membebel, menasihati hanya khusus buat diriku sahaja. 

Yalah, kalau perasan bagus, poyo & sentap pun.. aku sendiri sahajalah yang mengadap.

Tapi, cukup lepaskah alasan aku ini di hadapan Allah..?



Aku sangat takut apabila katakanlah aku terlalu asyik sangat berusaha sebarkan dakwah & islah kepada semua pembaca, maka datanglah ujian Allah bertimpa-timpa ke wajah aku, menguji semula apa yang aku sampai & dakwahkan.

Aku sangat takut Allah menguji itu bukan kerana Allah Mahu Mengingatkan aku, tetapi disebabkan Allah Murka kepadaku kerana aku terlalu leka menasihati orang lain sampaikan terlupa untuk memperbaiki diriku sendiri. Allahurobbi... T_T

Ya Allah, janganlah Kau uji aku dengan ujian yang melebihi kemampuanku & ujian yang menyebabkan aqidahku terpesong daripadaMu. Nauzubillah.

Ya Allah, janganlah Kau Hukum aku tentang apa yang mereka katakan tentang diriku kerana mereka tidak tahu tentang diriku. Sesungguhnya hanya Engkaulah mengetahui betapa hinanya sebenarnya aku di sisiMu & jadikanlah aku jauh lebih baik daripada apa yang mereka sangkakan. Amiin, amiin ya Allah..

Namun, adakah kerana ketakutan ini, membuatkan kita berasa mahu futur (tercicir) daripada menyebarkan nasihat & peringatan? Bukankah Nabi SAW pernah bersabda, sampaikanlah daripadaku walaupun hanya satu ayat?

Allah SWT juga berfirman;


Bantulah Agama Allah! Sebarkanlah ayat-ayat Allah! Bantulah manusia di sekelilingmu untuk kembali mentauhidkan Allah! Allah tidak melihat hasil usahamu. Dia Mampu melakukannya tanpa diriMu. Jika kamu futur, Allah akan menggantikan tempatmu dengan hambaNya yang lain. Maka, siapa yang rugi?

YANG RUGI ITU KAMU. KAMU PENGECUT. KAMU KEMBALI KEPADANYA DENGAN BEKALAN KOSONG.

Monolog ini bermain-main di dalam hatiku. 

Allahurobbi.. Dia Mengetahui... apa yang kita sembunyikan, apa yang kita zahirkan. Jika aku melakukan kerana aku mahukan perhatian manusia. Rugilah aku. Rugilah aku.

Jika aku melakukan kerana Allah... Allah akan Memuliakanku di sisiNya. 

Allahuakbar.

Aku pun manusia biasa. Iman naik & turun. Aku menitipkan pesanan & nasihat di sini, bukan semata-mata mahu bersyarah macam pandai sangat, banyak ilmu sangat kepada semua. Melainkan tulisan-tulisan di sini, teguran & nasihat itu adalah yang pertamanya ditujukan kepada diriku sendiri, selepas itu barulah ditujukan kepada semua pembaca yang sudi singgah & membacanya. 

Bahkan ada masanya apabila aku 'down', aku akan datang semula ke teratak maya ini untuk menceduk kembali tazkirah untuk bermuhasabah diri, membina kekuatan atas segala apa yang pernah aku coretkan. 

Bukankah Allah berfirman di dalam suratul Asr bahawa kita semua di dalam kerugian melainkan manusia yang beriman, yang berpesan-pesan sesama mereka kepada kebenaran & kesabaran.




Kita manusia hanya penyeru. 
Yang Membukakan hati-hati manusia & memberikan Hidayah itu adalah Allah SWT.
Bahkan Allah lebih Mengetahui, hambaNya yang manakah lebih layak untuk diberikan Hidayah. 

Makanya, tugas kita hanyalah menyambung tugasan itu. Perjuangan ini, bukanlah kita pemulanya. Bukan juga kita pengakhirnya. Kita hanya penyambung rantaian itu. Jika kita futur daripada menjadi mata rantai perjuangan ini, masih ramai lagi hambaNya yang lain akan menggantikan tempat kita.

Kita berbuat baik. Bukan untuk sesiapa. Bukan untuk kebaikan Allah. Bahkan Allah tiada mendapat menfaat apa-apa daripada segala amalan kita. Samada kita berbuat maaruf (kebaikan) atau bermaharajalela melakukan kemungkaran, hakikatnya perbuatan itu tidak memberikan manfaat atau keburukan pun kepada Allah. Allah tidak terkesan apapun dengan tingkahlaku kita. Tidak memberi kesan sedikit pun hatta sebesar biji sawi.

Jika kita berbuat baik, itu adalah untuk kebaikan kita sendiri. Jika kita berbuat jahat, yang mendapat natijahnya juga adalah diri kita sendiri. 

Hayati firman Allah ini;




Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.

Allah sudah menjelaskan segala-galanya kepada kita melalui surat-surat cintaNya. Terpulanglah kepada kita samada kita mahu menghayati setiap penjelasan Allah itu atau pun tidak.

Jalan ini dimulakan oleh pejuang-pejuang yang hebat; mereka itulah para anbiya' termasuklah kekasih tercinta, junjungan besar Nabi Muhammad SAW. Mereka dimuliakan Allah SWT.

Adakah kita akan sekadar memerhatikan orang lain berpusu-pusu menjadi mata rantai perjuangan ini yang akhirnya dengan izin Allah akan membawa mereka bertemu dengan susuk tubuh agung Muhammad SAW di syurgaNya...?

Adakah kita hanya akan sekadar memerhati?

Statiklah kamu di situ. Mereka yang lain bakal mengisi kekosongan kamu itu. Maka, janganlah pula nanti di akhirat kamu teruskan pemerhatian itu dengan pandangan terkilan & mulut yang terlongo menyaksikan orang lain berpusu-pusu memasuki syurga Allah. Sedangkan kamu hanya membawa bekalan kosong kerana kelalaian, kejahilan, bodoh sombong & tertipu oleh keduniaan.

Aduhai... ruginya waktu itu...

RUGI!



Allah sudah memberi peringatan. Amaran.

Apa yang kita tunggu lagi..

Ayuh! *sambil menarik tangan & menyertai langkahan. Alhamdulillah. :) Namun, tiba-tiba*

"Eh... apa kena mengena entri ini dengan tajuk Burung Kecil Itu...? Mana dia burungnya. langsung sepatah perkataan pun tak ada sebutnya."

*Menampar dahi sambil tersengih-sengih*

Aduhainya pun...

Sebenarnya. Mahu kaitkan pengisian kali ini dengan peristiwa burung kecil yang memadam api bakaran Nabi Ibrahim.. Rasanya sudah disebut dalam post sebelum ini. Namun masih mahu mengulangi kisah tersebut.

Berlaku kisah di zaman Nabi Ibrahim semasa Baginda dibakar oleh kaumnya, seekor burung kecil terbang berulang alik mengisi air dalam paruhnya lalu menyiram ke atas api yang membakar. Itulah yang dilakukannya berulang kali.

Tingkah lakunya diperhatikan makhluk Allah yang lain lalu bertanya kepada burung kecil itu:

“Untuk apa kau berpenat lelah mengambil air berulang alik, sedangkan api yang membakar Nabi Ibrahim tidak akan terpadam dengan air yang kau siramkan itu.”
 Lalu dijawab oleh burung berkenaan:

“Memang ia tidak akan dapat memadamkan api itu, tetapi aku lebih takut kepada Allah kerana Allah akan menyoal aku nanti, apakah yang aku sudah lakukan untuk agama Allah, dan Allah tidak akan bertanya sama ada aku berjaya memadamkan api itu atau pun tidak.”

Nah! 

Aku adalah seperti burung kecil itu. 
Ilmuku sedikit. Amalku pun belum membukit. Ruang usahaku juga masih sempit.

Namun, aku takutkan azab Allah. Aku takut akan pertanyaan Allah. Aku juga melakukan ini sebagai manifestasi cintaku kepadaNya.

Belum lagi cinta kalau belum dilafazkan. Belum lagi jika tanpa pembuktian perlakuan.

Jika kita cintakan sesuatu, kita akan sanggup lakukan apa saja untuknya. 
Jika cintakan Allah, tentulah kita sanggup redah apa saja untuk menegakkan agamaNya kan..?

Patutnya begitulah.

Tidak apa jika kita burung kecil yang sayapnya kecil, terbangnya juga tidak sepantas helang yang bersayap lebar itu. Namun, jika tidak memulakan usaha kecil, mana datangnya usaha-usaha yang seterusnya kan...?

Setiap kejayaan yang besar, mulanya bukankah dengan permulaan langkah yang kecil...?

Burung kecil ini, selalu saja memasang angan-angan mahu terbang masuk ke dalam syurgaNya bertemu dengan Rasulullah SAW, isteri-isterinya... :)

dan Saidina Uthman... ;p

Oho.. sila abaikan anganan burung kecil itu. 

Allahua'lam.