Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Monday, April 14, 2014

Damailah Hati.


Hati mereka tidak bersedih bila diberikan ujian,
Dilimpahi nikmat tak buat mereka terkesan.
Nikmat tidak menyebabkan mereka alpa.
Sukar tidak menyebabkan mereka kecewa.
Biarkan jasad mereka menanggung kesakitan.
Asalkan hati terus tenang meraih kebahagiaan.

Hati tenang ini... milik penghuni syurga.


***


Bismillah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang,
Selawat & salam ke atas junjungan Nabi Sollallahu 'Alaihi Wasallam.


Firman Allah SWT; "Wahai Jiwa yang tenang! Kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang redha & diredhaiNya. Maka Masuklah ke dalam golongan hamba-hambaKu & masuklah ke dalam syurgaKu." [al-Fajr (89) : 27-30]

Apabila Allah membangkitkan manusia di hari akhirat kelak, Allah tidak memanggil kita, 'Wahai manusia', atau 'Wahai muslimin', tetapi Allah memanggil 'Wahai jiwa yang tenang'. Jiwa yang diredhai Allah, Allah meredhai kita & kita juga redha bahawa segalanya adalah daripada Allah semata-mata.

Mengapa sakinah, yakni ketenangan hati ini amat penting bagi kita, sebagai makhluk Allah yang hidup di dalam dunia yang serba mencabar ini?

Apabila Allah mencabut 'sakinah' daripada hati seseorang hamba, maka hati itu takkan pernah merasa puas, seperti meminum air laut, makin diminum terasa semakin haus. Nafsu akan semakin membuas & sukar dipuaskan.

Hati tidak gembira apabila teman-teman kita gembira.
Hati rasa cemburu apabila teman-teman kita berjaya.
Hati rasa geram apabila teman-teman kita memperolehi semua yang dikejarnya.

Mengapa kita tidak gembira dengan kejayaan & kebahagiaan insan-insan yang ada di sekeliling kita? Bahkan hati bertambah rasa cemburu & sakit jika insan tersebut rapat dengan kita.

Kenapa dia kahwin dulu sedangkan aku lagi cantik & menarik dari dia?
Kenapa dia mampu dapat jodoh yang baik sedangkan aku lagi baik dari dia?
Kenapa dia dapat raih PhD lebih awal sedangkan aku lagi pandai dari dia?

Banyaknya soalan tidak puas hati yang tercetus dari dalam hati. Menimbulkan rasa sakit & pedih yang amat sangat. Lalu, air mata pun menitis ke pipi lantaran rasa bercampur baur yang menghentam-hentam sudut hati.

Jangan bersedih,
Mengapa tidak kita usap air mata itu, & bertanya kepada diri.

"Apakah dosa yang telah kulakukan ya Tuhan, hingga membuatkan aku sukar untuk redha dengan takdirMu, ya Allah?"

"Dosa apa yang telah kulakukan, hingga membuatkan aku tamakkan semua yang bukan aku punya ya Allah?"

Percaya kepada Qada' & Qadar Allah; antara yang tersenarai di dalam rukun iman. Namun, nampaknya kita sudah terlupa mempercayai & redha dengan Qada' & Qadar Allah ke atas diri kita & semua makhlukNya yang lain.



Apa Pesan Nabi?

Tatkala dibicarakan ini, air mata masih menitis ke pipi. Hati kita masih perit untuk menerima.

"Ya Allah.. habis tu, takkanlah aku tak boleh langsung rasa cemburu ya Allah..? Aku pun mahu hidup yang serba sempurna seperti orang lain.."

Jangan bersedih wahai hati...
Seberapa tahu kita, akan kesempurnaan kehidupan insan yang kita cemburui itu? Benarkah wujudnya kesempurnaan di dalam kehidupan duniawi yang fana ini?

Dia cantik. Kahwin muda. Dapat suami kaya. Kacak pula tu. Terus dikurniakan anak pada tahun seterusnya. Selepas bersalin pun terus kekal cantik. Suami sayang, anak comel. Rumah besar, kereta mewah, baju & perhiasan yang dipakainya cantik & mahal. 

Bukankah ini sudah cukup sempurna? Nampak dia tenang & bahagia saja setiap kali kita mengikuti perkembangan terkininya dalam media sosial.

Percayalah... semua ini cuma terhad pada nilaian kita sebagai manusia biasa.

Apa pesan Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam kepada kita untuk menjadikan kita berasa bersyukur dengan apa jua pemberian Allah? Nabi berpesan, "lihatlah orang yang lebih susah daripadamu dalam hal dunia, agar engkau tetap merasa cukup & bersyukur dengan apa jua yang Allah berikan kepadamu."

Jujur saya katakan, saya sebagai insan yang lemah, pernah juga terkesan dengan semua itu. Bukan kalian saja. Kita manusia punya nafsu, ini adalah hakikat yang perlu kita akui. Siapa tidak cemburu melihat semuanya yang nampak sempurna seperti fairytale. Namun, apabila berhadapan dengan situasi seperti ini, saya banyakkan bermuhasabah diri. Apa jua yang Allah berikan kepada kita, merupakan ujian. Ujian. 

Dia insan hebat. Saya tak dapat bayangkan jika Allah memberikan ujian sehebat itu kepada saya, mungkin saya menjadi orang yang paling riak sekali apabila orang menzahirkan pujian atas segala pinjaman kelebihan yang Allah Beri kepada saya.

Mana lebih penting, bersyukur dalam segala kekurangan, tetapi membuatkan kita meraih keredhaan Allah yang bakal menyelamatkan kita daripada azabNya, ataupun kenikmatan yang bersifat merosakkan keimanan diri kita? 

Selalulah anggap kita tidak layak untuk memikul semua nikmat ujian yang Maha Berat itu. Setiap apa yang Allah beri, selalu bertepatan, sentiasa tepat & sesuai dengan kemampuan kita. Tak pernah melebihi apa yang kita mampu.

Rupa kita biasa-biasa. Sebab mungkin jika kita cantik, kita suka mempamerkannya kepada lelaki ajnabi di media sosial untuk meraih pujian. 
Jodoh kita lambat sampai. Sebab mungkin jika kita punya suami, kita tidak mampu mentaatinya, lalu menyebabkan kita sentiasa berdosa. 
Kita tak punya keluarga yang kaya raya & serba mewah. Sebab mungkin jika kita dilahirkan dalam keluarga yang sedemikian, kita menjadi lupa daratan.

Tanpa kita sedari, rupanya Allah sedang Menyelamatkan kita daripada masalah yang tidak mampu kita hadapi. Tiada siapa yang benar-benar tahu apa hikmah yang tersembunyi di sebalik setiap Qada' & Qadar Allah. Maka, pilihan yang kita ada ialah sentiasalah bersangka baik kepada Allah. Supaya kita kekal bersyukur & redha atas semua pemberianNya.
  
Sementelah itu, memandangkan kita tahu diri kita ini 'fragile', mudah cemburu tatkala melihat semua itu. sebaiknya kurangkanlah aktiviti kita yang sangat suka memerhati & mengikuti insan-insan hebat yang Allah kurniakan semua kelebihan yang mampu membuatkan hati kita cemburu. 

Masa yang kita habiskan berjam-jam untuk menatap foto-foto kebahagiaan insan tersebut, baiklah kita isikan dengan mentadabbur al-Quran, memperbaiki hafazan al-Quran kita. 

Juzu' Amma semua surah sudah kita hafal? Kalau belum, bukankah sudah kerugian kita di situ? Masa yang sepatutnya boleh kita isikan dengan perkara yang mampu menaikkan darjat kita di sisi Allah, kita bazirkan dengan melakukan aktiviti yang belum tentu bermanfaat untuk akhirat kita. 


Tatkala kita cemburu melihat si dia yang nampak gembira menikmati makan mewah di Restoran Mahal, kita terlupa bahawa di suatu sudut yang lain, mereka hanya makan sisa yang tertumpah di atas lantai, sebagai satu-satunya pilihan untuk mengalas perut yang kelaparan.




Kita masih menyibukkan diri untuk cemburu pada koleksi pakaiannya yang cantik-cantik & berjenama, hinggakan kita terlupa di suatu tempat yang lain, ada insan yang menghilangkan haus hanya dengan meneguk air di lopak jalan.




Kita masih merungut akan panas, sempit, buruknya bilik tidur kita yang serba kekurangan, rasa cemburu dengan kehidupan mewah yang dipertunjukkan orang lain, hingga terlupa ada insan yang tidur hanya berbantalkan lengan, beralaskan rumput.


Astaghfirullah.

Ya Allah...
Betapa sedikitnya kami bersyukur....



Mengukur 'Sakinah'.

Jika kita mengukur 'sakinah', yakni ketenangan & kebahagiaan melalui sumber luaran, maka sungguh, Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam adalah manusia yang paling tidak tenang & tidak bahagia sekali.

Ketidaksempurnaan hidup Rasulullah bermula apabila baginda dilahirkan sebagai anak yatim. Baginda tidak pernah merasai kasih sayang seorang bapa. Hanya bertemankan seorang bonda yang miskin. 

Begitupun dalam hal dakwah baginda, penuh dengan onak duri, dipenuhi dengan pelbagai halangan. Dakwah baginda sungguh berbeza dengan pendakwah hari ini yang hadirnya dirai, siap dijamu dengan makanan & sambutan keraian yang hebat.

Baginda juga adalah manusia yang miskin, rumah baginda hanya bersaiz 7 hasta x 7 hasta, beratap pelepah tamar, berdinding bata dan tanah liat. Sangat berbeza dengan kita hari ini yang rumahnya siap berkolam renang, bilik siap berhawa dingin lengkap dengan pelbagai perabot mewah yang diimport dari luar negara. 

Di sebalik semua kepayahan & ketidaksempurnaan ini, Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam merupakan manusia yang sangat tenang, bahkan yang paling tenang. Walaupun berumah kecil & serba kekurangan, itulah rumah tangga yang paling bahagia & diberkati Allah. Rumah tangga yang menjadi qudwah hasanah sepanjang zaman. 

Wajah baginda sentiasa manis biarpun baginda adalah orang yang paling miskin. Sebab apa? Sebab ketenangan itu datangnya dari dalam jiwa & hati. Kerana jiwa baginda kaya, jiwa baginda bahagia, hati baginda redha. Inilah sumber ketenangan yang hakiki, yang tidak boleh diraih melalui kemewahan duniawi.

Bila kita bicara tentang serba kurangnya rumah baginda, & isteri-isteri baginda masih kekal redha & mensyukuri apa adanya. Lalu kita mempersoal, apakah isteri baginda bukan manusia? Tidak punya nafsu untuk hidup senang & mewah seperti isteri-isteri hartawan yang lain kala itu?

Hal ini kerana Allah berfirman di dalam surah al-Ahzab (33), ayat 28-29, Allah menyuruh Nabi sollallahu 'alaihi wa sallam khabarkan kepada isteri-isteri baginda agar membuat pilihan yang tepat supaya rumah tangga mereka akan menjadi syurga dunia. Nabi memberi pilihan kepada isteri baginda, apakah yang mereka mahukan di dalam rumah tangga itu semata-mata hanya kenikmatan duniawi? Jika yang demikian pilihannya, maka putuslah ikatan yang mulia itu antara mereka & baginda Nabi kerana tidaklah mereka layak untuk menjadi isteri kepada baginda yang mulia. Bagaimanapun, jika pilihan mereka adalah semata-mata mahu mencari keredhaan Allah & suami, maka Allah akan mengganjarkan balasan yang berlipat ganda, kebahagiaan yang kekal.  

Apakah itu yang kekal abadi? Yang kekal abadi adalah kehidupan akhirat. Manakala kebahagiaan yang abadi adalah kenikmatan berada di dalam syurga Allah.

Maka, apabila diperingatkan kita tentang hal ini, bukankah hati kita sepatutnya lebih terpujuk?

Hakikat ini jualah yang memujuk & menyedarkan isteri-isteri Nabi, untuk melepaskan keghairahan mereka terhadap kemewahan & kenikmatan duniawi, demi meraih ganjaran yang lebih besar yang telah Allah sediakan untuk mereka di akhirat nanti. MasyaAllah.

Hakikat inilah yang membuatkan mereka berasa tenang & redha, biar sesukar mana kehidupan yang dilalui sebagai isteri baginda Rasulullah.




Hati, Tenang & Redhalah.

Apabila bicara soal hati, pastinya berkait rapat dengan roh yang mengisi jasad. Roh itu pula datangnya dari Allah. Maka, jika hati kita punya Allah di dalamnya, insyaAllah kita selalu akan meraih ketenangan & kebahagiaan. Bukan yang bersifat sementara, bahkan yang kekal, yang teguh mempertahankan keimanan kita tatkala dilanda pelbagai ujian & kesukaran. 

Katakanlah,
Jika sampai ke akhir tulisan ini pun masih tidak mampu untuk memujuk hati kita yang masih tetap rasa sedih, cemburu & tidak suka dengan kebahagiaan orang lain, hingga menjadikan hati kita tidak tenang, diharapkan kata-kata hikmah ini mampu memujuk sedikit kelukaan itu.

"Apa yang kita tidak dapat miliki sekarang, bukanlah bermakna kita takkan berpeluang memilikinya langsung. Mungkin ia menjadi milik kita di dalam syurgaNya kelak."

Ya.. 
Percaya & yakinlah kepada Allah.
Teruskan berdoa. 

Tatkala hati terlalu inginkan sesuatu, sungguh-sungguh kita memintanya dari Allah & kita tidak diberikan peluang untuk memilikinya, pasti hati rasa sukar untuk redha. Kita boleh memilih untuk berputus asa. Namun, Allah menegaskan di dalam al-Quran bahawa janganlah kita sesekalipun berputus asa dengan rahmatNya. 

Mintalah kepada Allah, insyaAllah Allah akan perkenankan. Mintalah Allah pertemukan, insyaAllah Allah akan pertemukan. Tidak di dunia ini. Mungkin di akhirat nanti. Yakin dengan Allah. InsyaAllah.

Saya menulis ini atas ingatan ke atas diri saya sendiri. Bahawa dunia ini hanyalah sementara cuma, sedangkan akhiratlah yang kekal abadi. Maka, apalah agaknya yang telah saya persiapkan untuk dibawa pulang bertemu dengan Allah nanti.

Saudara-saudariku yang dikasihi Allah,
Kesatlah air matamu. Adukanlah semuanya kepadaNya dalam sujud-sujud Tahajudmu.

Sungguh, Allah itu Maha Mendengar.

Damailah hati yang berduka. Semoga apabila di akhirat nanti, tatkala Allah Menyeru, "Wahai jiwa yang tenang, Kembalilah kepada Tuhanmu..."

Moga saat itu, jiwa-jiwa kita juga termasuk dalam golongan yang Allah redhai itu.
Allahu.. biiznillah.

Wallahu 'alam.
Astaghfirullah.

---

Notahati:
75 hari lagi menuju Ramadan.
Allahumma bariklana fii rajab wa syaban, wa balighna Ramadan ya Allah. Amiin.


1 comment:

  1. Penuh dengan pengisian.. Tersentap diri ini apabila membaca article ukhti...

    ReplyDelete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."