Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Friday, May 24, 2013

Nukilan Untuk Para Wanita.


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..

[Prolog] 

Aku melihat 'dinding' akaun Facebooknya. Penuh dengan tinta-tinta yang menggambarkan betapa dalam luka di dalam hatinya. 
11 tahun menyulam cinta. Akhirnya genap tahun ke 11, lelaki itu memutuskan hubungan yang terjalin atas dasar cinta itu dengan tiba-tiba. Lebih memedihkan apabila lelaki itu bertunang dengan wanita lain tidak sampai sebulan selepas itu & melangsungkan pernikahan dengan tunangnya itu lebih kurang 3-4 bulan setelah mengikat tali pertunangan. 
Speechless.
Aku pasti dia juga terkejut & buntu dengan situasi itu. 

***

Inilah hakikat.

Bercinta tanpa ikatan 'akad adalah ibarat membina rumah dengan hanya menyusun batu-batuan tanpa simen. Binaannya sangat rapuh & mudah roboh. Tiada siapa dapat menjamin apakah hubungan itu akan berkekalan hingga ke jinjang pelamin.

Diulang; tiada siapa dapat menjamin.

Aku menyayangimu para wanita yang dikasihi Allah & Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam sekalian...
Betapalah aku tidak mahu maruah & hati kita diperkotak-katikkan hatta walau sekelumit hama.

Maruah kita tinggi.
Harga diri kita mahal.
Hati kita tidak ternilai.

Kita layak dihormati.
Kita berhak dicintai.
Kita layak didengari.

Tiada siapa layak mencampakkan kita ke dalam penderitaan.
Tiada siapa layak mempermainkan kita punya hati & perasaan..

Oleh itu aku menulis ini sebagai ingatan, untuk kita sama-sama saling menguatkan & saling mengingatkan, bahawa kita adalah wanita yang diangkat Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam melalui Islam.

Maka, mari.... mari kita muliakan diri kita melalui Islam.


***





Wanitaku...
Engkau dicipta bukan dari tulang kaki, untuk dipijak separa hamba abdi,
Bukan dicipta melalui tulang kepala untuk dijunjung tinggi selayak Ilahi,

Engkaulah permata yang bersinar..
Yang kedudukannya Allah jadikan dari tulang rusuk,
Begitu dekat dengan hati untuk dicintai, untuk dikasihi..

Namun wanitaku...
Mengapa engkau membuka pintu 'rumah'mu & membiarkan pencuri masuk lalu mencuri 'barang-barang berharga' di dalam 'rumah'mu?

Engkau membiarkan tangan-tangan yang tidak halal itu menyentuh tubuh badanmu... 

Engkau membiarkan mereka mengambil alih kedudukan Allah & Nabi di dalam hatimu lalu membiarkan mereka menghancurkannya walhal mereka belum halal bagimu..

Engkau membiarkan mata-mata yang tidak halal itu meratah kecantikanmu..  sedangkan sepatutnya mereka perlu membayar mahar kepadamu & perlu meminta keizinan walimu melalui 'akad nikah...

Jika begitu, tidaklah layak untuk engkau menyalahkan mereka seratus peratus kerana engkaulah yang merelakan agar mereka merendah-rendahkanmu & menzalimimu..

Bukan mereka yang menzalimimu..
Jauh sekali bukan Allah yang menzalimimu...

Engkaulah.. engkaulah sebenarnya yang telah menzalimi dirimu sendiri...


***

Para sahabiah, adik-adik, kakak-kakak & temananku yang tercinta..

Tahukah kita, sedarkah kita, betapa Allah & Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam sangat mencintai, menyayangi & memelihara kita kaum hawa?

Allah membuktikan sayangNya itu hinggakan surah ke-4 dalam al-Quran Nur Karim dinamakan sebagai surah an-Nisa' (perempuan).

Allah berfirman, yang maksudNya:

"Lelaki (suami) itu pelindung bagi perempuan (isteri) kerana Allah telah melebihkan sebahagian mereka lelaki atas sebahagian yang lain (perempuan) & kerana mereka (lelaki) telah memberikan nafkah dari hartanya..." [an-Nisa' (4) : 34]

"....Maka perempuan-perempuan solehah adalah mereka yang taat (kepada Allah) & menjaga diri ketika suaminya tidak ada, kerana Allah telah menjaga mereka." [an-Nisa' (4) : 34]

Melalui firman ini Allah telah mewajibkan kepada suami akan menggauli (melayani) isterinya dengan baik. 

Subhanallah.... Lihat, betapa Allah memelihara para wanita. Lihat betapa Allah menjaga para wanita yang taat kepadaNya.

Rasulullah sollallhu 'alaihi wasallam juga mewasiatkan kepada para suami agar berbuat baik kepada ahli-ahlinya (isteri & keluarga) kerana sesungguhnya baginda Nabi adalah orang yang terbaik kepada isteri & ahli keluarganya.

Aku juga yakin kita masih ingat bahawa di dalam khutbah terakhir juga baginda Rasulullah sempat berpesan kepada para kaum lelaki agar melayani perempuan-perempuan di bawah tanggungannya dengan sebaik-baiknya. Subhanallah.

Lelaki yang beriman pasti akan noted down pesanan Rasulullah ini. Mana mungkin dia layak dipanggil lelaki yang soleh jika dia mencalarkan maruah wanita yang ajnabi baginya melalui bercinta tanpa 'akad, SMS tanpa keperluan, menyentuhmu sewenang-wenangnya tanpa rasa malu kepada Allah sedangkan dia tahu, dia belum halal bagimu.

Dan tentunya.. jika engkau merelakan semua itu berlaku kepadamu, engkau juga telah mengkhianati amanah yang Allah berikan kepadamu, untuk engkau memelihara maruahmu melainkan bagi mereka yang haram untuk engkau nikahi, yakni mahram-mahrammu, serta lelaki yang telah menikahimu & memberikan mahar yang direlakan baginya untukmu.

Yakinlah... engkau layak untuk perihal yang terbaik.
Maka, berusahalah untuk menjadi yang terbaik.
Selebihnya bertawakallah kepada Allah.

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati Allah & Rasul & juga janganlah kamu mengkhianati amanat yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui." [al-Anfal (8) : 27]


***



Aku tahu... wanita fitrah hatinya sangat lembut. Fitrahnya ingin benar disayangi, dihormati, didengari. Bahkan memang fitrah kejadian kita telah Allah jadikan akan punya rasa untuk mencintai & menyayangi terhadap lain jenis. Sejajar dengan firman Allah dalam surah ar-Rum. 

Namun, sayangku, mengapa tidak kita salurkan fitrah tersebut melalui jalan yang Allah redhai...?

Mengapa mengejar cinta yang tidak pasti & bakal mengheretmu ke lembah kehinaan... sedangkan sudah Allah bentangkan pilihan yang lebih terjaga & memuliakanmu?

Wahai wanita yang disayangi...
Raihlah cinta Allah, balaslah cinta Rasulullah, teguklah kasih sayang bapamu, bergaullah mesra dengan saudara-saudara lelaki yang mahrammu, insyaAllah, yang demikian itulah lebih memelihara hati & maruahmu. Inilah cara yang lebih berkat, terjaga, menghindarkanmu jauh dari dosa..

Ingatlah para wanita yang dikasihi Allah sekalian..
Tiada siapa mampu melukakanmu tanpa keizinanmu.
Tiada siapa mampu menyakitimu tanpa kerelaanmu.

Jagalah hubunganmu dengan Allah..
Nescaya Allah akan Menjagamu dengan sebaik-baiknya..


***



Dalam usrah kubra gabungan bersama sahabat muslimin, kami para muslimat pernah dinasihatkan agar kuat menjaga maruah diri, sebagai ingatan untuk kami untuk terus menghunus duri : bahawa sekiranya memang benar seorang lelaki itu menginginkanmu untuk diletakkannya di tempat yang mulia disisinya, dia juga akan mencari jalan yang mulia & terjaga untuk menyuntingmu.

Bahkan Syeikh Tantawi juga pernah berpesan kepada semua muslimat tentang perihal yang sama.

Maka, pasakkanlah di dalam hatimu, bahawa engkau itu mahal harganya. Hanya layak untuk lelaki yang punya harga diri yang mahal juga.

Perihal 'mahal' ini bukan tergantung pada banyak mana hantaran yang diletakkan untukmu. Tetapi sekuat mana engkau mempertahankan maruah & kesucianmu. Sebab engkau terlalu mahal, hanya yang layak sahaja yang mampu memilikimu.  Sebab kita ini wanita eksklusif.

Limited edition.

Mahalmu tak mampu terbayar oleh wang ringgit.
Mahalmu tak mampu dinilai oleh harta benda duniawi.

Tolonglah saudariku..
Pasakkan ini di dalam hati.

***



Di dalam suatu hadis.. Rasulullah pernah bersabda bahawa di dalam tubuh jasad Anak Adam itu mempunyai seketul daging yang mana jika baik daging itu, maka baiklah keseluruhan jasadnya. Jika buruk & busuk daging itu maka pincanglah keseluruhan jasadnya.. Daging itu adalah HATI.


"Di dalam hati manusia itu terdapat hajat, tidak terbendung kecuali dengan kecintaan kepada Allah, memohon kepadaNya, ikhlas, & sentiasa berzikir kepadaNya." [Ibnu Qayyim]

Saudariku...

Hati itu... adalah yang tempat terbaik untuk mencintai. 

Tempat terbaik untuk meletakkan sesuatu untuk dicintai...

Pastinya tempat yang terbaik itu juga perlu diisi dengan perihal yang terbaik..

& tentunya manalah ada yang lebih daripada Allah untuk lebih kita cintai & rindui?


Maka... sangatlah perlu untuk kita memelihara hati itu dengan sebaik-baiknya.. Bukankah hati yang sekeping itulah hendak kita bawa bertemu dengan Allah di akhirat yang kekal abadi nanti...?

Bila datang perasaan tidak menentu.
Datang hasutan halus yang menggebu.
Membuat serba tidak kena di dalam hati itu..

Letaklah tangan di dadamu & berbisiklah...

"Mafi qolbi ghoirullah..."
"Tiadalah di dalam hatiku melainkan hanya diriMu, ya Allah..."

:'(

Kemudian... beristighfarlah..

"Astaghfirullah..."

"Astaghfirullah.."

"Astaghfirullah... ampunkanlah aku ya Allah..."

"Ampunilah segala dosa-dosaku ya Allah..."

"Astaghfirullahal adzhim.."

"Astaghfirullah..."

"Astaghfirullah..."

Ulanglah..
Ulanglah..
Berkali-kali hingga timbul 'rasa' di dalam hatimu.

"Astaghfirullah..."

Ulanglah..
Ulanglah..
Hingga merembes air matamu...

Ketahuilah..
Moga dengan cara itu..
Engkau akan menemui semula Tuhanmu...

 ***




"Dan Aku Melimpahkan kepadamu kasih sayang yang datang daripada Aku, supaya kamu diasuh di bawah pengawasanKu." [Toha : 39]


Wahai muslimah yang dicintai Allah..
Mari renungkan kata-kata yang indah ini...

Seorang muslimah dilahirkan ke dunia ibarat sebutir permata, apabila digilap akan memancarkan kilauan cahaya. 

Apabila diletak ditempat yang mulia akan disanjung sebagai pemaisuri. 
Apabila dibekal ilmu di dada akan menjadi cendekiawan bestari. 

Seorang muslimah tetap istimewa sebagai suri hati sang jejaka, menjadi ibunda kepada puteri & putera serta menjadi bualan penghuni langit dunia.

Maha Suci Allah... Ya Allah.. alangkah indah & istimewanya muslimah yang punya Allah di dalam jiwanya..


***




Mari saudariku, adinda-adindaku, kekanda-kekandaku, teman, rakan, taulan..

Mari kita memegang amanah yang Allah berikan dengan sebaik-baik selagi nyawa masih dikandung badan. Ingatlah betapa hancurnya hati Rasulullah sollallhu 'alaihi wasallam tatkala melihat azab seksa yang tidak terperi yang telah ditimpakan kepada wanita yang mengingkari janji-janji mereka kepada Allah..

Ingatkan diri... sebahagian besar isi neraka itu adalah terdiri dari kalangan wanita.. Apakah kita mahu menjadi salah satu kayu bakarnya? Nauzubillah..

Saudariku..
Dunia ini cuma sementara..
Akhiratlah yang kekal selamanya..

Hiasilah peribadimu dengan iman.
Lengkapkan dirimu dengan ilmu & amalan.
Perbanyakkanlah sedekah.
Perbanyakkanlah istighfar.
Didiklah diri untuk selalu bangun mengerjakan solat malam.
Tutuplah auratmu sesempurna mungkin..

Peringatkanlah diri sendiri...
Tatkala kita sibuk menempel krim ke wajah & tubuh agar kulit mulus.
Tatkala kita sibuk makan pelbagai macam benda untuk memutihkan kulit tubuh kita.
Adakah kita telah terlupa bahawa yang pertama Allah pandang adalah TAQWA di dalam HATI kita?

Lalu, bagaimana hati kita? Apa warna hati kita?
Sudahkah kita bermujahadah & bertaubat menyucikan dosa-dosa hitam yang melekat di permukaannya?

Saudariku...
Ingatkanlah diri kita...
Bahawa kecantikan yang kita ghairah mahu pamerkan ke seluruh duniawi.
Itu adalah semuanya milik Ilahi...

Ingatkanlah diri kita..
Cantik mulus kulit kita..
Kurus ramping tubuh kita..

Yang kita bangga-banggakan itu..
Itu hanyalah jasad...

Jasad yang bakal hancur dimamah bumi..
Dihancurkan sehancur-hancurnya dengan pukulan malaikat yang bertanya.
Dimamah sehancur-hancurnya oleh bumi yang kuat menyeksa..
Andai iman kita tiada menerangi..
Gelaplah pusara.
Terseksalah kita..

Dunia ini hanyalah sementara.
Ada lebih banyak dunia yang bakal kita tempuh.
Dunia barzarkh.
Dunia hisab segala amalan.
Dunia di Yaumul Mahsyar.
Dunia akhirat, syurga atau neraka..

Apakah kita semua telah terlupa itu wahai saudari-saudariku...?

Semuanya adalah milik Allah..
Dan bakal dikembalikan segalanya kepada Allah..



***



Kala kita memakai telekung sebelum mengerjakan solat & melihat wajah ke dalam cermin. Tersenyumlah & tanyalah diri kita..

"Akhiranku kelak.. Beginilah pakaian putih yang akan menyelimuti tubuhku.. cuma apakah kala itu... aku masih mampu tersenyum seperti ini...?"

:'(

Ya Allah..
Ampunkanlah kejahilan & dosa-dosa kami..
Jadikanlah kami bidadari syurga ya Allah..
Hidupkan kami dengan iman.
Mati kami dengan iman.
Serta masukkanlah kami ke syurgaMu dengan iman...

***


Sungguh.. tentunya tulisan ini aku tujukan kepada diriku terlebih dahulu & mudah-mudahan Allah akan menyentuhi hati kalian yang membaca dengan Nur petunjuk. Moga Allah akan terus memberikan hidayah taufikNya kepada kita semua.. amiin..

Aku menyayangi kalian kerana Allah..
Walau di mana pun kalian berada..
Mudah-mudahan Allah akan mengumpulkan kita kembali bersama-sama di dalam syurgaNya kelak. amiin.

"Wahai orang yang beriman, apabila kamu bertaqwa kepada Allah, pasti Allah memberikan petunjuk serta mengampuni dosa-dosamu kerana Allah memberikan petunjuk serta menghapuskan segala kesilapanmu." [surat cintaNya ke-8; al-Anfal : ayat 29]
***

[Epilog]


Aku lihat dia kini lebih tenang meniti hari-hari.

Rupanya ujian itu telah menjadikan dia semakin mendekati Allah..
Subhanallah. Maha Suci Allah..
Betapalah Hanya Dia Yang Mengetahui apa yang terbaik buat setiap hambaNya... 

Sesungguhnya apabila diuji kita sesuatu ujian,
Maka katakanlah:
"Innalillahi wa inna ilaihi roji'un.. sesungguhnya dari Allah kami datang & kepadaNya-lah kami kembali.. Ya Allah, bantulah daku dalam menghadapi musibah ini, & berikanlah daku ganti yang lebih baik."  Amiin.
Aku kagum dengannya yang masih mampu tersenyum biarpun di dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu betapa dia menderita. Doa yang baik-baik kupanjatkan kepada Allah untuk dia yang kukasihi sebagai teman. Moga Allah menggantikannya dengan hambaNya yang lebih baik & soleh. Amiin.



Wallahu 'alam..

--------------
NOTAHATI:


[Puisi Untukmu]

Para muslimah penggegar ummah,
Tubuh kalian itu walaupun mungkin nampak lemah,
Tapi janganlah dikorbankan maruah,
Pada lelaki yang 'membeli' engkau dengan harga yang murah.
Yang melamarmu melalui facebook, emel dan sms,
Tidakkah kalian lihat mereka telah merendah-rendahkan nilai diri kalian?

Janganlah mudah tertarik dengan kebaikan yang terlindung,
Kalian belum benar-benar kenal yang terselindung,
Lelaki begini hanya melamarmu untuk ke neraka Allah,
Bukan ingin memimpinmu ke syurga.


Wanita solehah adalah penggegar dunia,
Yang dengan solehahnya,
Membuatkan syurga rindu kepadanya,
Yang dengan peribadi mulia pada dia,
Seluruh dunia terselamat dari derita.


Puteri-puteri Maryam dan Asiah,
Yang bakal menjejak langkah Fatimah dan Khadijah,
Kalian adalah yang tertinggi di sisi Allah,
Kiranya kalian tampil sebagai mukminah.

Tapi dirimu kalau tidak dipelihara syakhsiah,
Ramai bakal terjerat dalam medan fitnah.


Wanita termahal di dunia,
Adalah wanita yang menjaga imannya,
Di saat yang lain merebut anugerah dunia,
Dia sibuk mengejar anugerah di syurga.

Dunia tidak lengkap tanpa wanita,
Senyum indah mereka membangkitkan cinta,
Tiap bait kata mereka bak mutiara berharga,

Tetapi, siapakah wanita termahal di dunia?

Wanita termahal adalah yang akrab dengan Dia,
Sinarnya umpama sang suria,
Dunia bahagia dengan adanya mereka,
Dunia gelap tanpa mereka.


Wanita yang membahagiakan dunia,
Adalah wanita yang tampil dengan imannya.

Menganjaklah wahai wanita menjadi seperti Nasibah bt Kaab,
Mujahidah perkasa yang tidak ada gentarnya,
Di mana Nabi berada di situ ada dia,
Daripada seorang tukang rawat hinggalah senjata pun turut diangkat,
Tangisnya bukan kerna hilang anak dan suami di medan laga,
Tetapi kerna sudah tidak ada wakil yang ingin dihantarnya ke syurga.

Bahagia bukan bila dirinya ceria,
Tetapi bila wanita seperti dia ada sumbangan untuk ummahnya.

Jangan bunuh masa depan akhiratmu dengan dosa dan maksiat.
Isilah masa sekarang dengan iman untuk masa depan yang penuh kebahagiaan.

Mudah-mudahan menjadilah kalian, muslimah harapan, yang dibanggakan kekasih Tuhan.



***

4 comments:

  1. terima kasih atas peringatan buat dri sy yg slalu lupa..terima kasih Allah :')

    ReplyDelete
    Replies
    1. sama2 kita saling menasihati, mengingatkan dgn kesabaran & kebenaran insyaAllah.. :)

      Alhamdulillah..

      Delete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."