Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Sunday, May 19, 2013

Tribute To Ramadan : Kawal Nafsu Makan & Jaga Mulut.


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat serta salam ke atas junjungan Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..



MasyaAllah... Hari ini sudah 9 Rejab 1434H. 

Bagi yang terlepas pandang, iya sahabat, kini sudah mencecah kaki kita ke bulan Rejab. Kalau diizinkan Allah, tinggal lebih kurang 50 hari sahaja lagi hendak bertemu dengan Ramadan yang dinanti-nanti itu. 

Jadi, bagaimanakah persediaan kita dalam menghadapi bulan yang lebih baik daripada 1000 bulan itu agaknya ya...


InsyaAllah, menggunakan peluang & ruang yang dipinjamkan oleh Allah ini, mari kita sama-sama memperingati sesama saudara/saudari kita, kita sepatutnya sudah mula 'memanaskan' enjin stamina iman kita untuk kita memecut laju dalam beribadah bagi Ramadan yang mendatang, insyaAllah.

Apa kata untuk kali ini, kita memfokuskan dahulu kepada kesederhanaan dalam makan & berbicara? Ya, ianya melibatkan antara 2 anggota badan kita yang utama iaitu; perut & mulut. 

Saya yakin kita masih ingat bagaimana Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam mengajar kita supaya menjaga apa yang kita makan & memelihara percakapan kita kerana kedua-duanya mempengaruhi ibadah & hati kita.

Islam adalah syumul & sangat menitipberatkan gaya kehidupan yang bersederhana dari semua lapangan. Dua perkara penting perlu diamalkan secara berhemah & bersederhana bagi memperolehi gaya hidup sihat adalah dengan mengamalkan kesederhanaan dalam aspek makan minum & menjaga kata-kata.


***

Mengawal Nafsu Makan

Allah menjelaskan di dalam al-Quran bahawa makan & minum merupakan antara keperluan asas bagi manusia, namun yang demikian Allah juga telah memberikan panduan supaya kita tidak berlebihan apatah lagi sehingga boros dalam hal makan & minum ini.

Allah swt telah berfirman;

"Makan & minumlah & janganlah berlebih-lebihan. Sesungguhnya Allah tidak menyukai orang yang berlebihan." [al-A'raf : ayat 30]

Kemudian, Allah sekali lagi telah memperingatkan; "Makanlah antara rezeki yang telah Kami Berikan kepadamu & janganlah melampaui batas padanya yang menyebabkan kemurkaanKu menimpamu. & barangsiapa ditimpa kemurkaanKu, maka sesungguhnya binasalah ia." [Toha : 81]

Kalau kita perhatikan... sudah acapkali sebenarnya 2 peringatan Allah tersebut kita abaikan & nampaknya impak buruk akibat kelalaian kita itu semakin ketara apabila pelbagai penyakit seperti obesiti melampau, diabetes, darah tinggi & sebagainya yang semakin ketara menimpa masyarakat kita, termasuklah keluarga mahupun diri kita sendiri.

***

Membudayakan Cara Makan Rasulullah.

Jelas sekali, Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam telah banyak kali memperingatkan serta menasihatkan kita agar mengamalkan budaya makan yang betul demi menjaga kesihatan badan. Kesihatan tubuh badan adalah anugerah yang tidak ternilai kerana dengan badan yang sihat kita mampu beribadah dengan lebih banyak, bersemangat & lebih baik, insyaAllah.

Antara pesanan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam; "Tidak ada sesuatu yang dipenuhkan oleh anak-anak Adam yang lebih buruk daripada perutnya. Cukuplah bagi anak Adam beberapa suap yang dapat menegakkan tubuhnya. Walaupun mahu dipenuhkan, satu pertiga daripadanya adalah bagi makanannya, satu pertiga bagi minumannya, & satu pertiga lagi adalah bagi pernafasannya." [HR at-Tirmidzi]

Sahabat Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam, Sayyidina Umar al-Khattab juga pernah menasihatkan; "Jauhilah sikap rakus dalam makan kerana perbuatan itu merosakkan tubuh, mengundang penyakit & membuatkan kita malas mengerjakan solat. Kamu perlu bersikap sederhana kerana ini adalah lebih baik bagi tubuh kamu. Jauhkan diri daripada sikap berlebihan kerana Allah tidak menyukai orang yang alim tetapi gendut."

Jika selama ini kita berdoa, kita bertanya mengapa doa kita lambat dimakbulkan.
Jika selama ini kita beribadah, kita bertanya mengapa kita tidak merasakan kelazatan & kemanisan iman.
Mungkin ini petandanya kita perlu memeriksa kembali apa yang kita makan.

Apakah melalui makanan yang dibeli dari gaji yang bercampur riba kita mengharap agar kita terasa kemanisan beribadah?
Apakah melalui makanan yang dibuat oleh orang yang fasik & bersumber syubhah, kita mengharapkan agar doa kita Allah dengari & makbulkan?

Mari sama-sama kita lihat semula apa yang kita makan. Makanlah hanya dari sumber yang diyakini halal, jauhilah yang haram serta tinggalkanlah yang syubhah kerana apa yang kita makan tentunya akan menjadi darah daging kita yang mana tentunya akan mempengaruhi hati kita khususnya.

***

Meluruskan Lidah Untuk Meluruskan Hati.

Di dalam suatu hadis, Rasulullah pernah bersabda bahawa lidah adalah antara anggota badan yang banyak menghumban manusia ke dalam api neraka.

Dari lidah yang tidak terjagalah datangnya dusta, fitnah, buruk sangka, keji mengeji, cela mencela, menggelar orang lain dengan gelaran yang buruk. Inilah bahayanya lidah yang tidak dikawal oleh keimanan yang kukuh.


Sabda Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam; “Iman seseorang tidak akan lurus sebelum hatinya lurus & hatinya tidak akan lurus sebelum lidahnya lurus (berkata benar & baik)” [HR Ahmad] 

Rasulullah juga pernah menasihatkan kita di dalam hadis baginda; "Berkata baiklah ataupun diam."

Jika kita tidak mampu untuk berbicara hal kebaikan, maka diam. Jangan dilayan mulut kita itu untuk tetap berbicara tentang keburukan orang lain, berdusta & sebagainya sehingga mendatangkan dosa yang bertimpa-timpa pula dalam akaun dosa kita. Nauzubillah.


Abu Hurairah berpesan: "Tidak ada kebaikan di dalam berbicara yang berlebihan." Penyataan itu disokong oleh pesanan Umar al-Khattab; "Orang yang banyak cakap, maka banyaklah pula salahnya."

Imam al-Ghazali ada menegaskan bahawa bahaya kata-kata atau lisan menjadi racun pertama hati yang akan menyebabkan manusia semakin jauh daripada cahaya Hidayah Allah.

Ramadan kian menghampiri, inilah masanya untuk mendidik diri agar bermujahadah mengawal nafsu makan, memelihara mulut dari melakukan dosa, insyaAllah. Jika selama ini kita lazim bertemu kawan-kawan rapat untuk bergosip tentang perihal yang kita sendiri tidak tahu kesahihannya, maka apakata mulai hari ini kita kurangkan berbicara hal-hal yang sedemikian.

Elakkanlah bicara tentang gosip artis, cerita tentang keburukan & keaiban orang lain. Kebiasaannya kita pasti akan melampaui batas dengan menokok tambah cerita yang kita sendiri tidak pasti kebenarannya. Ketahuilah, ini sangat bahaya.



Mungkin juga ini peluangnya untuk mengubah topik bicara kita dengan teman-teman rapat. Apakata kita mula bicara tentang amalan-amalan sunat yang sudah boleh dipraktikkan menjelang ramadan, ataupun cakna berita saudara-saudari kita di Palestine, Syria & merata dunia, atau juga sudah boleh bertukar-tukar tips tentang cara menjalani hidup yang lebih sihat & sebagainya. Cari topik yang menambah ilmu & amal, insyaAllah mudah-mudahan kita terhindar dari dosa. 

***


Penutup




اللَّهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِى رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

"Ya Allah, berkatilah kami di bulan rejab dan sya'ban, serta sampaikanlah kami kepada bulan ramadan."

Allahumma amiin...

Sesungguhnya, saya menulis tulisan ini untuk memperingat & menegur diri sendiri terutamanya. Doakan saya.

Wallahu 'alam..

No comments:

Post a Comment

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."