Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Tuesday, January 22, 2013

Menegurlah Sebagai Manusia.



Bismillahirrohmanirrohim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..



Tegurlah Dia, sebagai manusia.

Tegur dia...
Tapi bukan dengan menyumpit peluru suara.
Berdentum memecah telinga.

Tegur dia...
Tapi bukan dengan perlian nista.
Berdesing membelah sukma.

Tegur dia...
Tapi bukan di hadapan berjuta mata.
Kau membuatnya merah muka.
Hatinya bengkak kerana terluka.
Benci mula menjalar ke dada.
Di manakah hikmah berkata-kata?

Haiwankah dia yang bisa kau ludah-ludah?
Padahal haiwan juga bisa mengaum marah.
Inikan pula manusia yang dilengkapi kod-kod jiwa & maruah.
Apakah peradaban akhlak itu hanya catatan di medan sirah?



Tegur dia, bila dia salah.
Tegur dia, bila dia khilaf.
Kita manusia sentiasa akan tersalah arah.
Graf iman selalu berubah-ubah.
Naik & turun tiada bernoktah.

Usah menegur dalam amarah.
Kerana yang tertinggal dalam hatinya,
Bukanlah nasihat yang kau hambur hujah.
Tapi kurangnya akhlakmu dalam berdakwah islah.



Tegur kerana engkau sayang.
Tegur dia kerana engkau cinta.
Hakikat mahu bersama-sama ke syurga sana.
Maka caranya...
Bukan dengan perli.
Bukan dengan herdik.
Itu tidak bisa buat dia terdidik.
Bahkan membuatnya bertambah jelik.



Bagaimana engkau dapat memantul cahaya Hidayah.
Jika engkau juga hanyalah cermin kotor yang pecah?



Dia punya perasaan, wahai engkau yang mulia.
Ketidakwajaranmu mencarik sukma manusia.
Kau beri dia barah-barah neraka.
Kau suntik dia racun-racun bahana.
Sehingga dia kesakitan tak berupaya.

Akhirnya apabila dia mengganas menghambur darah.
Padahnya, kau juga sama ikut terluka.


Jagalah air mukanya.
Kerana dia itu manusia.
Hormatilah kemanusiaannya.
Kerana dia datang dari Penciptamu yang sama.

Belajarlah melalui kekasih Dia.
Bagaimana mahu memenangi hati para manusia.

Rapatilah dia, selami sampai ke daerah jiwa.
Selitkanlah nasihatmu melalui cara halus yang bijaksana.
Nescaya walau pedih akan cuba dia menerima.
Kerana pedih itu terawat sudah, dengan akhlakmu yang mulia.


Menegurlah sebagai seorang manusia.
Bukan seperti malaikat yang suci tak bernoda.

Sedarlah bahawa kau juga hanyalah manusia.
Sama seperti dia yang berlumur noda....

Sebelum kau tunding jarimu ke wajahnya,
Perhatikanlah dahulu ke arah dirimu...

Sedarkah engkau...
Hukumanmu ke atas jemala mereka... 
Seolah engkau itu, tak pernah sekali pun berdosa....


*****





Notakaki:

Peringatan buat diri ini & semua manusia yang bergelar dai'e.. mari kita sama-sama muhasabah..


# Berjuta kali kita melakukan kesilapan, namun tidak pernah pun kita membenci diri kita sendiri. Jadi mengapa bila orang lain membuat kesilapan, baru sekali, sudah kita membencinya, melabel & menghukumnya?

Mari tapis semula cara kita 'melihat'. Lihatlah kepada kelemahan diri sendiri & perhatikanlah kebaikan orang lain. Dengan itu barulah kita sedar bahawa kita masih punya banyak sekali lompang-lompang yang perlu diperbaiki..


# Apabila kita menegur orang lain.. sedarlah bahawa, hakikatnya telinga terdekat yang menadah nasihat & teguran itu adalah telinga kita sendiri. 

Betapa besarnya hikmah peringatan yang Allah beri untuk menyedarkan kita bahawa target pertama yang perlu kita tembusi adalah diri kita sendiri, kemudian barulah orang lain. 

Hayatilah surah As-Saff.

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci disisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." [As-Saff (61): 2-3]

# Dai'e yang efektif dakwahnya ibarat sebuah cermin yang bersih & terang, yakni mampu memantulkan Hidayah Allah swt kepada orang lain. 

Maka, apabila mad'u tidak mampu meresapi dakwah islah kita, check semula hati kita. Perbaiki semula niat kita. Mungkin yang bermasalah bukan dia yang mahu kita tegur, bahkan diri kita sendiri.


# Tegurlah mad'u sebab kita sayangkan mereka. Maka, secara automatik cara kita akan lebih berhikmah dalam menegur & menasihati. 

Apabila kita menegur bukan atas dasar kasih sayang, kita akan mudah putus asa, mudah marah apabila mad'u tidak menerima apa yang kita sampaikan. Malah kita juga akan melakukan dengan sekadar melepas batuk di tangga, sekadar tangkap muat.


# Dakwah islah kita refleks kepada diri kita sendiri. Adakah kita juga bertambah dekat dengan Allah dalam kehidupan sehari-hari? 

Keberhasilan dakwah itu bukan 100% dinilai dengan berapa ramai followers blog & twitter, beratus ribu subscribers & 'like' post di facebook, tetapi sekuat mana kita tetap istiqomah menjalankan amanah yang diberikan Allah pada kita; iaitu untuk beribadah kepadaNya serta menyebarkan kebaikan & mencegah kemungkaran. 

Ingatlah, penilaian yang hakiki & adil itu adalah hak & rahsia Allah.


# Ramai orang sangat taksub dengan matlamat mahu 'memberi' hidayah kepada orang lain sampaikan terlupa meneliti cara penyampaian mereka kepada mad'u.. 

Memang terdapat pelbagai cara untuk berdakwah; sila tanya diri kita sendiri, ada masa, mungkin ya kita perlu ditegur dengan ketukan pedas untuk bangun. Namun, banyak masa kita lebih menagih nasihat dalam teguran halus & disampaikan dengan sopan & lemah lembut... betul kan..? :)

Juga, jangan sesekali lupa, akhlak yang mulia itu juga adalah dakwah. :)


# Perbaiki hubungan dengan Allah, Allah akan memperbaiki hubungan kita dengan manusia. Sekencang mana dakwah yang kita lakukan kepada manusia, tidak beerti jika hubungan dengan Allah juga seakan retak menanti belah. 

# Allah jadikan kita sebagai manusia. Manusia yang menyebarkan perkara maaruf & mencegah perkara mungkar. Allah tidak jadikan kita sebagai penghukum atas dosa orang lain, apatah lagi untuk sibuk mencari aib & salah orang lain. 

Maka, mari hentikan tabiat buruk tersebut. Ia hanya mengundang dosa.



# Sekali lagi, Allah jadikan kita manusia, yakni hanya bertindak sebagai penyeru, bukan pemberi Hidayah. Usaha dakwah islah itu bahagian usaha kita, namun, yang membuka hati para hambaNya untuk kembali ke jalan yang benar itu adalah Dia.

# Hate the sin, not the sinner. Benci kepada dosa & maksiat yang dilakukan, bukan bermakna perlu membenci pelakunya. Kita yang berlumur dosa ini juga Allah tetap berikan peluang, kasih & sayang. 

Maka, hentikanlah asyik mencari salah orang lain & melabel mereka. Selalu muhasabah, satu-satunya yang layak menilai kedudukan seseorang hamba di sisi Allah, hanyalah Dia.



# Ramai berpendapat kerja dakwah ini hanya untuk orang yang baik. Walhal, sesiapa yang bergelar muslim wajib menyebarkan dakwah. 

Ingatlah, diri kita takkan pernah sempurna dari dosa, namun begitu kita juga takkan sesekali dapat berlepas diri daripada tugas dakwah ini. Malah, pada kita sedang melakukan kesalahan yang sama. 

Memang benar amat besar kemurkaan Allah buat sesiapa yang menyeru kebaikan yang dia sendiri tidak lakukannya. Namun, adalah lebih besar kemurkaan Allah kepada mereka yang melakukan kebaikan tetapi terus melupakan seruan kepada kebaikan. Tentunya, ia adalah dosa yang berganda.


# Akhirul kalam, mari hayati pesanan berharga daripada kekasih Allah, Saidina Ali Radiallahu anh ini;

"Apabila kamu merasa letih kerana berbuat kebaikan maka sesungguhnya keletihan itu akan hilang & kebaikan yang dilakukan akan terus kekal. Dan sekiranya kamu berseronok dengan dosa, maka sesungguhnya keseronokan itu akan hilang & dosa yang dilakukan akan terus kekal." [Saidina Ali R.A]

Subhanaka laa 'ilma lanaaa illaa maa 'alam tanaa, innaka antal 'alimul hakim..

Peringatan buat diri ini terutamanya.
Semoga Allah menerima semua amalan kita. Allahumma amiin...

Allahu a'lam.

-------------
Muhammad sallallahu 'alaihi wasallam ya habibi wa qurratu aini.. :')
Eid milad ya Rasulullah! Sollu 'ala nabiy!

* kredit kepada 'perempuan hijab berhati laser' untuk raw idea bagi puisi di atas. Jazakillah khairan. :)

4 comments:

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."