Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)
TINTA PENULIS.
Dengan Nama Allah,
Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Monday, January 7, 2013
[cerpen] : Kerana Allah Itu Tahu...
Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang...
Aina rasa jantungnya seperti terhenti. Matanya meniti bait-bait aksara yang terpapar di skrin komputer ribanya itu sekali lagi.
‘Application of Master of Science (Conservation Biology) : mode-coursework – REJECTED’
‘Short listed - NOT SELECTED.’
“Ya Allah...” Aina terpana.
-------------------------------------------
7 bulan sebelum itu.....
“Saya tak mengharap banyak pada Iqbal. Cukuplah kiranya dia boleh menjadi pemimpin & ketua keluarga yang baik untuk anak saya...” perlahan abah meluahkan harapan.
“InsyaAllah... selama yang saya kenal, saya yakin Iqbal mampu, insyaAllah...”
Abah tersenyum & mengangguk.
“Saya mohon 2 tahun diberikan buat bunga di taman untuk dia mempersiapkan diri. Bunga sekuntum masih mahu mencapai cita-citanya menggenggam segulung Master & bekerjaya dahulu. Saya yakin, waktu 2 tahun itu juga boleh dimanfaatkan oleh Iqbal untuk berbakti kepada orang tuanya dahulu.” Suara abah kedengaran sayup-sayup memecah suasana yang agak sunyi.
Aina memandang wajah pihak lelaki yang datang. Agak ramai. Matanya kini tertumpu kepada abahnya yang sedang berbincang dengan wakil pihak lelaki yang datang mahu menyuntingnya.
“InsyaAllah... saya faham... kalau begitu rancangannya, cantik benar. Ada juga masa diperuntukkan buat si kumbangnya juga untuk menjadi bakal pemimpin yang baik, insyaAllah.”
Masing-masing mengangguk sambil tersenyum.
Kemudian, abah datang sambil menyerahkan sebentuk cincin kepada pihak perempuan.
“Abah bagilah pada ibu.” Kata Aina tertunduk.
Allah sahaja tahu betapa malunya dia waktu itu.
---------------------------------------
Aina menatap surat tawaran Pengajian peringkat sarjana mod penyelidikan itu sekali lagi. Abahnya sangat beria-ia menyuruh dia menerima tawaran tersebut. Hatinya resah kembali tatkala terkenangkan permohonan sarjana mod kerja kursus yang telah ditolak.
"Aina... terima saja tawaran yang ni.. hari tu Aina dah tolak tawaran Dr Helmi tu. Sudahlah tak berbincang dengan abah & ibu... yang ni, abah harap Aina tak terburu-buru terus tolak ya..." kata abah mengingatkan agak tegas.
Aina rawan. Hatinya jelas tidak gembira.
Abah tidak tahu, betapa ramai senior & kenalannya yang mengikuti program sarjana mod penyelidikan yang terbabas bertahun-tahun kerana terikat dengan kegagalan kerja makmal yang bermasalah. Jika masalah kerja di dalam makmal itu tergendala, maka keputusan penyelidikan akan tertangguh. Hal itu akan menyebabkan bab penulisan tesis & pembentangan viva voce juga akan tertangguh sama.
Memang pada surat tawaran tertulis program itu memakan masa 1-3 tahun. Namun, ada sahaja pelajar yang extend hingga memakan 4-5 tahun.
Hal seperti itu, abah tidak tahu. Yang tahu, hanya dia.
“Abahnya, program ni 3 tahun.... kita dah janji dengan pihak Iqbal mahu ikat 2 tahun saja...” luah ibu.
“Iqbal kata dia tak kisah... insyaAllah dia boleh tunggu.” Jawab abah ringkas. Masih lagi tenang.
Walhal, di dalam hati Aina, hanya Allah sahaja yang tahu betapa risaunya dia kala itu. Pelbagai kerisauan menjamah ketenangannya. Dia hanya terdiam. Mengikut resmi anak solehah yang hanya menurut sahaja apa kehendak ibu bapa.
“Abah bukan apa Aina... biar bersusah sekarang... biarlah 3 tahun pun. Asalkan keluar ada kerja... jangan berkejar sangat nak program yang setahun tu nanti abah bimbang keluar menganggur berbulan-bulan. Nanti cita-cita Ain anak jadi pensyarah tu terkubur macam tu ja. Abah tak nak macam tu...” kata abah lagi agak tegas.
“Yelah.... Aina faham bah..” jawab Aina pendek.
‘Abah... Aina sendiri tak pasti kalau Aina mampu siapkan projek penyelidikan itu hanya dalam masa setahun dua. Aina tak boleh janji.... Aina tak boleh jamin yang Aina takkan delay hingga 3,4 ataupun tertangguh sehingga ke-5 tahun...’ hati Aina resah. Allah sahaja yang tahu.
“Umur Aina dah 25. Kalau belajar 3 tahun, keluar dah 28. Nak kerja lagi... ish... jangan sampai 30 tak kahwin-kahwin lagi...” ibu menyampuk lagi.
Aina masih diam. Dia mengiyakan hanya dalam hati. Dia tidak risau tentang umur. Dia risau tentang kenyataan bahawa ada seseorang yang sedang menunggunya.
Aina risaukan orang yang menunggunya itu. Lainlah jika dia tidak terikat kepada sesiapa lagi. Bolehlah dia merancang mengikut perancangannya sendiri.
Situasinya kini sudah tidak sama lagi. Ada janji telah diserahkan kepada seseorang.
Mahu mengejar 2 tahun. Belajar & bekerjaya.
‘Ya Allah... mampukah aku?’ Aina semakin bingung.
Abah beredar pergi. Malas berbincang lagi.
-----------------------------------------
Abah telahpun menyuarakan hasrat hatinya bahawa dia tidak berbesar hati untuk menikahkan Aina selagi Aina belum bekerja & menyempurnakan cita-citanya, cita-cita abah untuk melihatnya menjadi seorang pensyarah.
‘Abah nak anak perempuan abah kahwin bila dah bekerjaya sendiri. Abah tak mahu jadi macam kawan abah yang kahwinkan anak perempuan dia. Bila orang tanya, orang takkan jelaskan anak dia study master ke, PhD ke... orang akan cakap ‘pengantin perempuan ni sekolah lagi...’ itu yang abah tak mahu. Abah tak mahu orang rendah-rendahkan anak abah...’ luah Abah suatu ketika dahulu kepadanya berkaitan mengapa abah enggan mempercepatkan Majlis pernikahannya; mengapa abah enggan menikahkannya ketika dia masih belajar.
Di suatu ketika yang lain....
“Abah minat betul dengan kereta Honda Accord ni... yang macam ni jadilah.. yang ni... setakat 15 ribu saja boleh dapat ni... abah taklah nak yang model baru canggih-canggih tu. Dapat yang model lama ni pun jadilah...” ujar abah sambil matanya tidak lepas-lepas memandang kereta Honda Accord lama di hadapan kereta yang dipandunya.
“Kalau ikutkan.... abah dah mampu kalau nak beli. Tapi abah nak lepaskan anak-anak perempuan abah dulu. Korang semua masih belajar lagi...” sambung abah agak perlahan.
Bunyinya seperti terkilan.
Aku lebih terkilan. Di dalam diam.
Henyakan punggung ibu di sisi mematikan lamunan Aina.
“Ibu... Aina nak pulangkan balik cincin Iqbal.”
Ibu agak terkejut.
“Eh... kenapa pula....?”
“Ibu... Aina sendiri tak pasti Aina mampu ke tidak habiskan study dalam masa tu. Andaikata delay bertahun-tahun bagaimana? Semuanya bergantung kepada sejauh mana kelancaran kerja makmal & kerja lapangan yang Aina buat. Itu yang Aina mengharapkan ada rezeki buat coursework saja. Study setahun & pada semester akhir boleh terus shoot mana-mana IPT untuk jadi lecturer. Hm... malangnya perancangan Aina tak sama seperti rancangan Allah...” luah Aina dengan nafas agak berat.
Ibu menggeleng.
“Ibu pasti abah tak setuju. Abah dah sayang sangat dengan Iqbal. Ibu pun sudah suka pada dia. Susah nak cari budak baik macam dia tu sekarang nak.. jangan buat keputusan terburu-buru...” pujuk ibu beria-ia.
Aina tidak berketik. Cakap ibu itu memang ada benarnya. Dia memang boleh nampak betapa sayangnya abah pada tunangnya itu. Bahkan sewaktu Iqbal datang ke rumahnya untuk melamar, abah terus bersetuju tanpa berbincang dahulu dengannya pun. Tanda abah telah jatuh sayang pada akhlak & agama pemuda itu.
Ibu juga pernah menyatakan padanya bahawa ibu teringin bermenantukan pemuda yang kaki masjid, kaki surau, agamanya bagus, berakhlak baik biarpun tidak kaya.
Kata ibu, cukuplah kalau menantu lelakinya mampu menjadi imam solat berjemaah keluarga di rumah, boleh mengetuai majlis-majlis tahlil, yasiin dan sebagainya. Dan ibu nampak ciri-ciri itu ada pada Iqbal. Itu yang membuatkan ibu mudah suka kepadanya.
“Ibu berharap sangat adanya orang yang mampu membimbing semula keluarga kita ni. Musolla kita tu, hanya abah & ibu saja yang imarahkan. Nak harapkan abang-abang kamu memang tak payahlah. Sebab itu ibu selalu berdoa agar menantu-menantu lelaki ibu nanti dari golongan pemuda yang baik, yang boleh jadi imam. Bukan saja membimbing kamu, tetapi keseluruhan keluarga kita...” kata ibu suatu masa dahulu.
Maka, apabila Iqbal datang dengan cara yang sangat baik & berakhlak, maka ibu & ayah sangat terpikat dengan agamanya. Iqbal lebih dahulu memikat hati kedua orang tua Aina sebelum dirinya sendiri pun. Alhamdulillah.
Aina menghela nafasnya. Pendek kata, ibu & abah sudah berkenan sangat pada Iqbal. Namun, kedua orang tuanya itu enggan juga menyegerakan pernikahannya. Mereka tetap juga berkeras mahu dia habis belajar & bekerjaya dahulu. Tentunya menggapai cita-cita abah & ibu untuk melihat dia menjadi seorang pendidik.
Penglibatan abah & ibu di dalam sebahagian besar garis masa hidupnya menyebabkan Aina hanya mampu menurut apa kata kedua orang tuanya.
Rancangan untuk sambung belajar program sarjana juga atas pujukan abahnya. Cita-cita mahu menjadi pensyarah juga atas kehendak abah & ibunya. Berkahwin selepas tamat Pengajian & bekerja juga kehendak orang tuanya. Kadangkala, Aina tersepit dengan kehendak ibubapanya. Seolah-olah hidupnya telah diprogramkan oleh mereka berdua.
Apapun, Aina redha atas kehendak Allah yang lebih mengetahui. Aina juga yakin, ibu & abah berbuat demikian kerana sangat menyayanginya. Malah, jika abah & ibu memasang angan-angan bagaimana tinggi pun ke atasnya, tanpa redha & izin Allah, tentulah dia takkan sampai ke posisinya hari ini. Semuanya atas doa & redha ibu abahnya juga selama ini. Maka, dia sangat bersyukur.
“Yusra kawan Aina tu... dia kahwin masa study master juga kan?”
“Ya... masa first semester break dia kahwin. Suaminya pun student juga. Tengah siapkan master jugak...” jawab Aina.
“Tak tanya dia susah ke tidak kahwin masa study?” soal ibu.
Aina mengerling sedikit wajah ibunya. Nampak bersungguh-sungguh.
Tapi Aina tahu, ibu & abah takkan berbesar hati untuk merelakan dia kahwin selagi belum bekerja.
“Sebab diaorang sama-sama study, duduk serumah, maybe sebab itu tak jadi masalah sangat. Cuma yang pastinya memang kena berkorban banyaklah...”
“Itulah... katakanlah jika Aina kahwin masa study pun masih tak dapat tinggal bersama dengan Iqbal... hm... ini memang dugaan ni... Allah tengah menguji...” kata ibu perlahan.
Aina cuma mengiyakan dengan anggukan perlahan & senyuman tawar.
---------------------------------------
Sesungguhnya ada 3 perkara, yang apabila telah tiba waktunya, janganlah ditangguh-tangguhkan; iaitu;- Apabila kedengaran azan tanda masuknya waktu solat, hendaklah bersegera mendirikan solat.- Apabila matinya seseorang, hendaklah disegerakan pengebumian jenazahnya.- Apabila anak gadis dipinang oleh seorang lelaki yang baik agamanya, maka hendaklah segera dinikahkan.
“Apakata Aina berbincang dahulu dengan Iqbal. Minta pendapat dia. Bincang secara matang. Jangan jadi budak-budak, terburu-buru buat keputusan mahu putuskan pertunangan. Tanya dia macam mana perancangan dia...” kata ibu melontarkan pendapat.
Aina masih membeku.
Antara amanah Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam, harapan & pengorbanan ibu ayah, begitu juga dengan kegembiraan & restu abang-abang. Aina sungguh tersepit.
‘Poyo la hang, Amir... hang tok sah nak khabaq banyak la kata adik hang tu harapan keluarga la apa la... hang tengoklah nanti... belum habis belajar lagi nanti dah gatai nak kawen...’ tukas salah seorang sepupuku kepada abang ngah.
Abang ngah menggeleng.
‘Adik aku tak macam tu... adik aku lain... dia fokus study.. dia tahu dia harapan ibu ayah, abang-abang dia. Dia takkan hampakan kami....’ bersungguh-sungguh abang ngah membela aku.
Maka, apabila rombongan merisik daripada keluarga Iqbal datang kerumah, abang-abang sungguh tidak berpuas hati & amat kecewa sekali denganku kerana seolah-olah telah membenarkan telahan sepupuku suatu ketika dahulu. Bahawa aku ini sama sahaja seperti gadis lain yang telah memusnahkan harapan keluarganya.
Aina sukar melelapkan matanya apabila terkenangkan wajah abang-abangnya yang penuh harapan agar dia menjadi pembela keluarganya yang selama ini dipandang rendah oleh saudara-saudara ibu & abah kerana abang long & abang ngah sekadar bekerja sendiri; tidak makan gaji & membawa kereta besar berbuah-buah menjalar di laman rumah ayah bonda.
Ya Allah.....
Aina sebak lagi.
Haruskah dia melepaskan sahaja Iqbal pergi?
“Dah tu... kalau Aina lepaskan Iqbal... katakanlah lepas tu... tak ada siapa lagi masuk meminang. Macam mana?” duga ibu.
“Takpelah... Aina kan ada ibu & ayah...?” Aina cuba tersenyum.
“Eh... janganlah sampai macam tu... ibu ni takdelah nak strict sangat. Takdelah sampai nak kamu korbankan kehidupan sendiri. Sampai tak kahwin sebab nak berbakti pada ibu ayah...”
Aina terdiam.
Aina enggan menyalahkan ibu & abah yang tidak menerapkan nilai-nilai kepimpinan di dalam diri abang-abangnya yang sepatutnya menjadi tunggak keluarga. Yang sepatutnya diingatkan bahawa tugas merekalah membela keluarga, kerana ibu & abah masih prioriti mereka biarpun sesudah berkahwin. Sedangkan adik-adik perempuan prioriti akan berpindah kepada suaminya setelah berkahwin.
Aina enggan menyalahkan ibu & abahnya yang kurang menghayati teras Islam yang diajarkan Nabi Sallallahu ‘alaihi wasallam. Agar memudahkan urusan pernikahan bagi anak-anak perempuan apabila sudah tiba waktu yang sesuai, apatah lagi sudah dipinang oleh lelaki yang diyakini agamanya.
Aina enggan menyalahkan abang-abangnya yang menaruh harapan yang tinggi kepada adik-adik perempuan kerana kegagalan mereka untuk mengubah kehidupan mereka sekeluarga & lebih rela adik-adiknya terkorban daripada bersama-sama memberi restu & sokongan.
Aina enggan menyalahkan dirinya sendiri kerana bersetuju sahaja apabila abah menerima lamaran Iqbal tempoh hari kerana tentunya persetujuan itu dibuat setelah istikharah terlebih dahulu. Menyalahkan diri bermakna tidak yakin dengan ketentuan Ilahi.
Aina tidak mahu menyalahkan sesiapa. Aina mahu redha & bersyukur dengan kehendak Allah yang maha mengetahui...
Dia enggan menyalahkan sesiapa kerana memang tiada siapa pun patut dipersalahkan. Mencari salah orang lain takkan menambah baik & mengubah apa-apa waktu ini. Sudah ditakdirkan Allah, semuanya berjalan mengikut perancanganNya.
Dugaan datang silih berganti. Cumanya, ia berkaitan kematangan dalam berfikir, memilih antara pilihan-pilihan & kesediaan untuk berkorban.
Allah sedang menguji. Allah sedang memerhati. Seolah sedang bertanya;
“Aina.... kali ini, apakah yang bakal kau lakukan...?”
----------------------------------------
“Apabila telah datang kepadamu pinangan lelaki yang baik agamanya, lalu ditolak pinangan tersebut, maka dikhuatiri akan mendatangkan musibah & kerosakan pada kemudiannya.”
Aina kerap kali diingatkan tentang peringatan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam kepada para muslimah & ibu bapa dalam majlis-majlis ilmu yang dihadirinya. Maka, dia jadi seakan berbelah bahagi untuk memulangkan cincin Iqbal.
Selain ibu & abah... Aliya, adiknya juga tidak terlepas daripada memberikannya pandangan serta nasihat.
Aliya mencadangkan agar Aina berkahwin sewaktu study.
“Adik baca & dengar talk Ustazah Fatimah Syarha, dia kata, dah ada calon yang baik agama eloklah dipercepatkan urusan kahwin...”
Aina tersengih. Dia juga tahu itu. Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wasallam juga menggalakkan hal yang sama seperti yang disebutkan di dalam hadith-hadith baginda.
“Kamu tak usahlah risaukan akak, dik. Kamu fokus sahajalah study, habis degree nanti terus bekerja & kahwin. InsyaAllah, by 25 to 26 umur kamu dah boleh nikah. Yang penting dah kerja. Ibu & abah pun tak galakkan kamu sambung. Kamu sendiri dah ada calon, eloklah terus kerja & kahwin...” Aina memberi saranan kepada Aliya; adiknya.
"Adik tak risaukan diri adik. Adik cuma risaukan akak..."
“Liya.. kamu kena faham... keluarga kita tak sama dengan keluarga orang lain. Kita tak boleh nak salahkan abah & ibu. Mereka dah banyak berkorban untuk kita. Tentulah tak salah mereka berharap pada kita. Banyak harapan & impian yang diletakkan di bahu kita. Ingat tu...”
Aina tahu, Aliya juga mengerti bahawa mereka bukannya lahir dalam kalangan keluarga yang mempunyai tarbiyyah islamiyah yang kukuh. Malah, dia & Aliya sendiri pun mendapat pendedahan tentang perihal dakwah & tarbiyyah di luar rumah. Perlahan-lahan mereka cuba menerapkan nilai-nilai tersebut di dalam rumah pula. Walaupun kesannya masih belum ketara.
Oleh itu, Aina tidak pernah mahu membandingkan abah & ibunya dengan ibubapa sahabat-sahabatnya lain dalam hal tersebut. Malahan, Aina bersyukur Allah masih sudi meminjamkan ibu & abah yang sangat menyayanginya selama ini & sedia berkorban apa sahaja deminya & adik-beradik yang lain.
“Jika kita mahu praktis perkara-perkara yang seperti ni, akak rasa sudah tidak relevan pada masa kita. InsyaAllah, mungkin pada generasi anak-anak kita kelak. Tarbiyyatul aulad fil islam perlu diterapkan sejak dari kecil. Kena didik anak-anak lelaki sebagai pemimpin & tunggak keluarga. Kena didik anak-anak perempuan dengan bekalan akhirat. Apa yang kita lihat tidak betul sekarang, betulkan nanti.. itu cabaran & perjuangan buat kita & pasangan kita kelak. Itupun kalau Allah izinkan akak kahwin..” Ujar Aina cuba berseloroh di hujung ayatnya.
"Betul... tak boleh nak salahkan abah & ibu... tapi kalau ikutkan sunnah Nabi, memang dah kena segerakan akak kahwin ni..." ujarnya pula.
“Sampai kepada anak-anak nanti... mudahkanlah perihal jodoh & pernikahan mereka. Kena didik mereka bahawa kahwin bukanlah hal kecil sekadar memenuhi fitrah sebagai manusia. Tetapi juga kerana memenuhi amanah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam...” sambung Aina lagi.
“Ya betul... Hm... Habis tu.... macam mana hal akak & Iqbal? Takkan nak suruh dia tunggu bertahun-tahun? Dia pun mestilah ada perancangan dia sendiri kan... dahlah hari tu dah janji nak ikat 2 tahun je...”
Aina terdiam.
‘Allahu a’lam, Aliya... hanya Allah sahaja yang tahu...’
Aina berteleku lagi seorang diri.
'Iqbal... Perlukah aku melepaskan sahaja kau kepada muslimah yang lebih layak & bersedia?'
Ya Allah....
----------------------------------
'Allah baru saja mencuit sedikit. Engkau sudah gelabah begini jauh, Aina...'
Wajah abah, ibu, abang ngah & Iqbal menjengah ke layar fikirannya.
Keredhaan Allah bergantung kepada keredhaan ibu bapa. Maka, Aina mahukan keredhaan abah & ibunya.
Sebaik-baik wanita adalah yang rendah maharnya, cepat urusan jodohnya (cepat berkahwin) & cepat hamil. Aina juga mengimpikan gelaran wanita solehah itu. Mahu jadi anak solehah, mahu jadi isteri solehah, mahu jadi ibu yang solehah. insyaAllah.
Kalau Aina mahu bernikah... biarlah atas keredhaan ibu, abah & abang-abang. Biarlah semuanya gembira & merestui niat baik tersebut.
Aina mahu merealisasikan harapan & impian abah & ibu untuk melihat dia sebagai seorang yang boleh dibanggakan; bekerjaya bagus, memiliki mobil & rumah serta mampu menanggung ibu bapa & adik-beradik yang lain.
Aina juga mahu melaksanakan amanah Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam... kalau boleh, Aina mahu menyegerakan urusan pernikahannya. Demi memelihara kehormatan dirinya.
Antara amanah, keperluan & kehendak...
Ya Allah...
Mudahkanlah urusan hamba...
Hanya kepada Allah-lah Aina membawa sekeping hati, mengadu lara...
-----------------------------------
'Apabila yang engkau ingini tidak Aku Penuhi, apakah engkau akan berpaling pergi...?'
'Ya Allah... manalah mungkin aku hamba yang sangat hina & sangat dhoif ini berpaling dariMu hanya semata-mata hasrat hatiku, perancanganku tidak selari dengan kehendak & izinMu...'
Aina sujud lama bersama air mata yang jatuh membasahi sejadah.
Ketenangan ditemui dengan cara membawa sekeping hati kembali kepada pemiliknya. Sesungguhnya pengaduan kepada Allah lebih memberi ketenangan berbanding menceritakan kepada mahkluk.
Aina sedar...
Apabila dugaan mencelah, itu tandanya Allah memanggilnya.
Allah menegurnya dengan cara paling halus. Allah mahu Aina kembali merapat kepadaNya..
‘Aina... mengadulah kepadaKu dahulu...’
‘Aina... pohonlah solusi & pertolongan daripadaKu dahulu...’
‘Aina... bersabar & tunaikanlah solat dengan penuh kesungguhan...’
Aina redha...
Aina pasrah dengan anugerah & kehendak Ilahi.
Samada dia mampu merealisasikan impian & harapan ibu abah... itu masih dalam pengetahuan & rahsia Allah.
Samada dia akan menikahi Iqbal dalam setahun, 2 tahun, 3 tahun ataupun Iqbal akan bernikah dengan wanita lain... itu masih dalam pegangan & rahsia Allah.
Begitu jua, samada orang akan mengata bahawa dia berkahwin awal sewaktu sebelum habis study, ataupun dia tidak berkahwin langsung kerana leka study & membela nasib keluarga... itu masih dalam rahsia & kehendak Allah.
Malah, samada maut akan menjemputnya dahulu & membawanya pulang menemui Allah sebelum sempat ketiga-tiga telahan di atas terjadi, itu juga masih dalam khazanah kerahsiaan Allah.
Jika Allah berkehendak untuk memberi sesuatu rezeki kepada seseorang hamba, takkan ada siapa yang dapat menghalang. Namun, jika Allah tidak mahu memberikan sesuatu rezeki kepada hambaNya, takkan dapat siapa pun menyampaikan...
Maka, Aina memilih untuk terus yakin & setia kepada Allah.
Firman Allah; “Sesungguhnya tidak Aku ciptakan jin & manusia, melainkan untuk beribadah kepadaKu.”
Aina mengambil keputusan untuk menyerahkan segalanya kepada Allah. Apa yang Aina mampu lakukan ialah terus menjadi hambaNya, umat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam yang baik, anak yang baik, adik & kakak yang baik serta berusaha untuk menjadi seorang manusia yang bermanfaat kepada orang lain.
Aina sedar, dia perlu memperbetulkan semula niatnya.
Berbakti kepada ibu & abah mestilah kerana mahukan keredhaan Allah semata-mata.
Menuntut ilmu mestilah niat kerana mahu mendekatkan diri kepada Allah & membantu agamaNya.
Berkahwin dengan lelaki yang dipilih atas dasar tawakal kepada Allah juga mestilah kerana mahu meraih cinta & rahmat Allah.
Aina merasakan ada cara yang lebih signifikan untuk merespon kepada ujian & dugaan Allah kali ini. Iaitu; lebih bersungguh-sungguh membuktikan kepada Allah bahawa Aina benar-benar telah berusaha menjadi hambaNya yang solehah.
Solat yang didirikan penuh kesungguhan di awal waktu.
Sunnah-sunnah harian yang dibiasakan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam seperti menjaga solat 5 waktu, berpuasa sunat, solat sunat Dhuha, bersedekah, tahajjud & memperbanyakkan zikir, sedaya upaya dihayati & diamalkan.
Aina bersungguh-sungguh dalam menjaga hak Allah.
Aina bersungguh-sungguh dalam usaha merapatkan diri kepada Allah.
Aina bersungguh-sungguh membuktikan cintanya kepada Allah & Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam.
Sesungguhnya...
Hanya ini sahajalah caranya untuk Aina memanfaatkan kehidupannya yang sementara ini.
Sekurang-kurangnya jika impian abah & ibu gagal dilaksanakan, harapan abang-abang tidak mampu disempurnakan ataupun tidak berkesempatan mati sebagai isteri kepada lelaki pilihan, sekurang-kurangnya Aina telah berusaha untuk mempersiapkan bekalannya untuk dibawa pulang bertemu dengan Tuhan.
Allah... Kau sedang Melihat usahaku ini kan...?
UntukMu Allah... Saksikanlah...
Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidup & matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan sekalian Alam...
Aina tersenyum dalam tangisan kesyukuran.
Allahu a'lam...
---------------
p/s: Buat kamu, semoga Allah memberi kekuatan kepada kalian. Doa yang terbaik, insyaAllah. :)
p/s 2: Saya sangat teringin untuk mencuba menulis cerpen. Ini percubaan pertama kali menempelkan karya sendiri di ruang teratak peribadi ini. Harapan saya, semoga tulisan ini bermanfaat & moga sampai pengisian yang hendak disampaikan, insyaAllah... :)
p/s 3: cerita di atas hanyalah rekaan semata-mata. Tiada kena mengena dengan penulis @ orang lain. Perkaitan dengan situasi atau watak-watak tertentu hanyalah sekadar kebetulan. Harap maklum.
p/s 2: Saya sangat teringin untuk mencuba menulis cerpen. Ini percubaan pertama kali menempelkan karya sendiri di ruang teratak peribadi ini. Harapan saya, semoga tulisan ini bermanfaat & moga sampai pengisian yang hendak disampaikan, insyaAllah... :)
p/s 3: cerita di atas hanyalah rekaan semata-mata. Tiada kena mengena dengan penulis @ orang lain. Perkaitan dengan situasi atau watak-watak tertentu hanyalah sekadar kebetulan. Harap maklum.
Labels:
catatan hati,
cerita,
cerpen,
cinta,
hikmah,
isu,
jodoh,
muhasabah diri
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
Subhanallah.. Mabruk alaiki, kak :) Moga penulisan akak terus membawa pembaca yang lain dekat dengan Allah. Allahumma amin.
ReplyDeleteAlhamdulillah.. :') syukran kerana sudi menjengah sini & membaca. moga beroleh manfaat.. insyaAllah..
DeleteAllahumma amiin... jazakillah khaira kaseero atas doanya dik..