Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Monday, July 30, 2012

TIPS Sabar & Menewaskan Amarah.



Bismillahirrohmanirrohiim..

Alhamdulillah.

Allah mensyariatkan puasa Ramadan dengan tujuan yang antara lainnya adalah untuk meneguhkan ketakwaan dalam diri. Taqwa sangat berkait rapat dengan kesabaran.

Ramadan adalah medan terbaik untuk muhasabah kekurangan & kekhilafan diri & memberikan ruang terbaik untuk memperbaiki segala kekurangan. Pada diri ini, antara kekurangan yang terbesar adalah sifat tidak sabar tatkala berdepan dengan pelbagai situasi yang kurang menyenangkan. 

Maka, mudah-mudahan dengan perkongsian yang diadaptasi daripada tulisan & tazkirah oleh Ustazah Norhafizah Hj Musa ini dapat membantu kita untuk mempertingkatkan nilai sabar dalam diri, insyaAllah.


----------------------


A) TIPS Menjadi Mukmin & Mukminah Yang Penyabar


1) Mengakui bahawa diri kita masih jauh daripada sifat SABAR.
Hal ini kerana pengakuan seseorang bahawa dirinya sedang 'sakit' ialah separuh daripada penawar.

2) Menyedari bahawa kehidupan ini adalah medan ujian.
Allah menguji samada kita golongan yang bersungguh-sungguh mencari redha Allah atau yang leka & terpesona dengan keindahan sementara duniawi.

3) Mengetahui betapa hebatnya balasan buat orang yang sabar.
Antara balasan terhebat adalah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: 

"Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang sabar itu tidak terhitung nilainya." [surah Az-Zumar, 39:10]

4) Tetap istiqomah melakukan amal soleh.
Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa  sepatutnya amal soleh yang kita lakukan memberi kesan langsung dari segi pentarbiyyahan & penyucian hati. Semakin banyakkita membaca al-Quran, sepatutnya hati semakin tenang & tidak berkeluh kesah. Namun, antara amalan & hati, ada 'perompak-perompak'nya.

Boleh jadi, belum sampai aura amalan tersebut kepada si pelaku, syaitan & nafsu telah pun merompaknya. Mereka memusnahkan nilai kebaikan yang terdapat di dalam amalan tersebut seperti ikhlas & tawaduk, lalu digantikannya dengan virus riak, ujub, takabbur & sebagainya.

Sebab itu, kita melihat ada orang banyak melakukan amalan soleh, namun sebenarnya jiwa mereka kotor dengan sifat mazmumah. Maka, jauh sekali untuk memiliki akhlak sabar.

5) Beriman & yakin dengan takdir Allah.
Kita hendaklah sentiasa yakin bahawa ketetapan Allah adalah yang terbaik. Pasti ada rencana Allah untuk kita hambaNya yang sangat lemah. Hanya orang yang sabar (dengan berkat kesabaran mereka) akan mampu melihat hikmah yang disingkap rahsianya oleh Allah.
 
6) Mengikat diri dengan Allah melalui doa.
Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah beserta munajat & rintihan kerana kita amat perlu menghias diri dengan sifat sabar. Sabar itu prasyarat pertolongan Allah dalam segenap urusan. Sabar mengangkat darjat kita di sisi Allah. Sebaliknya, jika kita tidak bersabar, beerti kita telah memilih jalan kehinaan.

7) Lazimkan memerhatikan orang yang lebih susah daripada kita.
Bandingkan. Sungguhpun sukar, mereka masih boleh melalui kehidupan dengan tabah, tenang, syukur, sabar & gembira.

8) Jaga pandangan agar lebih mudah untuk kita sabar mengawal nafsu.
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." [An-Nur, 24: 30]

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya...." [An-Nur, 24:31]


9) Jagalah perut. Pastikan ia hanya dimasuki makanan yang halal & tidak berlebihan.

Sabda Nabi SAW;
"Mencari yang halal adalah wajib ke atas setiap orang Islam." [HR ad-Dailami]

Sabda Rasulullah SAW;
"Perbaikkanlah makananmu agar doa kamu didengari." [HR at-Tabrani]

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik...." [Al-Maidah, 5:4]


---------------------------


B) STRATEGI Menewaskan Nafsu Amarah.


1) Bentuk rangkaian sokongan dengan orang yang rapat dan baik dengan kita. Terangkan kepada mereka & minta bantuan mereka untuk membantu kita menguruskan kemarahan kita.

Apabila kita marah, maka, kita berharap mereka akan terus menegur kita dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Jangan marah! Jangan marah! Jangan marah!" [HR al-Bukhari]


2) Hukum diri kita sendiri dengan hukuman yang munasabah setiap kali kita gagal menguruskan kemarahan dengan baik.

Hukuman bukan dalam bentuk yang memudaratkan, tetapi lebih untuk mendidik & mengingatkan diri sendiri. Contohnya, setiap kali kita gagal, hukumlah dengan mewajibkan diri bersedekah, membaca al-Quran lebih banyak daripada kebiasaan, berpuasa atau melakukan apa-apa amalan kebaikan. Kita mengambil konsep; "kebaikan menghapuskan kejahatan."


3) Buat catatan graf kemarahan kita setiap hari. Seorang mukmin yang sebenar ialah mukmin yang lebih baik hari ini daripada semalam & hari esok lebih baik dari hari ini. Catatan ini sangat perlu untuk muhasabah diri & melihat sejauh mana pencapaian kesabaran kita.

Menurut Ibn 'Ujaibah, orang yang rajin muhasabah diri akan dikurniakan 5 keberuntungan;

a) Selamat daripada keburukan lisan.

b) Selamat daripada keburukan pandangan mata.

c) Selamat daripada sahabat yang buruk.

d) Menyegarkan tubuh, emosi & menenangkan wajah.

e) Merasai kemanisan iman & kelazatan ibadah.

----------------------


InsyaAllah, mudah-mudahan dengan keberkatan & kemuliaan Ramadan kali ini, diri ini akan dapat mendidik diri agar dapat menjadi hambaNya yang lebih solehah & berakhlak mulia dengan memiliki sifat sabar di antaranya. InsyaAllah. :)  

Allahu'alam..



7 comments:

  1. salam..
    terima kasih atas perk0ngsian..
    sngt2 memerlukan :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. wassalam warahmatullah..
      Alhamdulillah. semoga bermanfaat..

      Delete
  2. asalamalaikum..tips diatas sngat berguna..sebab susah pada ari ni nak cari manusia yang benar2 bersabar ngan takdir Allah..

    ReplyDelete
    Replies
    1. wsalam..
      Alhamdulillah..
      Moga kita termasuk dalam golongan hamba yg bertuah itu, yg bersabar apabila diberi ujian & yg bersyukur apabila diberi nikmat.. InsyaAllah.

      Delete
    2. mudah mudahan kita semua tergolong dalam golongan yang penyabar :)

      Delete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."