Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Monday, July 30, 2012

TIPS Sabar & Menewaskan Amarah.



Bismillahirrohmanirrohiim..

Alhamdulillah.

Allah mensyariatkan puasa Ramadan dengan tujuan yang antara lainnya adalah untuk meneguhkan ketakwaan dalam diri. Taqwa sangat berkait rapat dengan kesabaran.

Ramadan adalah medan terbaik untuk muhasabah kekurangan & kekhilafan diri & memberikan ruang terbaik untuk memperbaiki segala kekurangan. Pada diri ini, antara kekurangan yang terbesar adalah sifat tidak sabar tatkala berdepan dengan pelbagai situasi yang kurang menyenangkan. 

Maka, mudah-mudahan dengan perkongsian yang diadaptasi daripada tulisan & tazkirah oleh Ustazah Norhafizah Hj Musa ini dapat membantu kita untuk mempertingkatkan nilai sabar dalam diri, insyaAllah.


----------------------


A) TIPS Menjadi Mukmin & Mukminah Yang Penyabar


1) Mengakui bahawa diri kita masih jauh daripada sifat SABAR.
Hal ini kerana pengakuan seseorang bahawa dirinya sedang 'sakit' ialah separuh daripada penawar.

2) Menyedari bahawa kehidupan ini adalah medan ujian.
Allah menguji samada kita golongan yang bersungguh-sungguh mencari redha Allah atau yang leka & terpesona dengan keindahan sementara duniawi.

3) Mengetahui betapa hebatnya balasan buat orang yang sabar.
Antara balasan terhebat adalah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: 

"Sesungguhnya ganjaran bagi orang yang sabar itu tidak terhitung nilainya." [surah Az-Zumar, 39:10]

4) Tetap istiqomah melakukan amal soleh.
Ibnu Qayyim menjelaskan bahawa  sepatutnya amal soleh yang kita lakukan memberi kesan langsung dari segi pentarbiyyahan & penyucian hati. Semakin banyakkita membaca al-Quran, sepatutnya hati semakin tenang & tidak berkeluh kesah. Namun, antara amalan & hati, ada 'perompak-perompak'nya.

Boleh jadi, belum sampai aura amalan tersebut kepada si pelaku, syaitan & nafsu telah pun merompaknya. Mereka memusnahkan nilai kebaikan yang terdapat di dalam amalan tersebut seperti ikhlas & tawaduk, lalu digantikannya dengan virus riak, ujub, takabbur & sebagainya.

Sebab itu, kita melihat ada orang banyak melakukan amalan soleh, namun sebenarnya jiwa mereka kotor dengan sifat mazmumah. Maka, jauh sekali untuk memiliki akhlak sabar.

5) Beriman & yakin dengan takdir Allah.
Kita hendaklah sentiasa yakin bahawa ketetapan Allah adalah yang terbaik. Pasti ada rencana Allah untuk kita hambaNya yang sangat lemah. Hanya orang yang sabar (dengan berkat kesabaran mereka) akan mampu melihat hikmah yang disingkap rahsianya oleh Allah.
 
6) Mengikat diri dengan Allah melalui doa.
Berdoalah dengan bersungguh-sungguh kepada Allah beserta munajat & rintihan kerana kita amat perlu menghias diri dengan sifat sabar. Sabar itu prasyarat pertolongan Allah dalam segenap urusan. Sabar mengangkat darjat kita di sisi Allah. Sebaliknya, jika kita tidak bersabar, beerti kita telah memilih jalan kehinaan.

7) Lazimkan memerhatikan orang yang lebih susah daripada kita.
Bandingkan. Sungguhpun sukar, mereka masih boleh melalui kehidupan dengan tabah, tenang, syukur, sabar & gembira.

8) Jaga pandangan agar lebih mudah untuk kita sabar mengawal nafsu.
"Katakanlah (wahai Muhammad) kepada orang-orang lelaki yang beriman supaya mereka menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka. Yang demikian itu lebih suci bagi mereka; sesungguhnya Allah Amat Mendalam PengetahuanNya tentang apa yang mereka kerjakan." [An-Nur, 24: 30]

"Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya...." [An-Nur, 24:31]


9) Jagalah perut. Pastikan ia hanya dimasuki makanan yang halal & tidak berlebihan.

Sabda Nabi SAW;
"Mencari yang halal adalah wajib ke atas setiap orang Islam." [HR ad-Dailami]

Sabda Rasulullah SAW;
"Perbaikkanlah makananmu agar doa kamu didengari." [HR at-Tabrani]

"Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad): "Apakah (makanan) yang dihalalkan bagi mereka?" Bagi menjawabnya katakanlah: "Dihalalkan bagi kamu (memakan) yang lazat-lazat serta baik...." [Al-Maidah, 5:4]


---------------------------


B) STRATEGI Menewaskan Nafsu Amarah.


1) Bentuk rangkaian sokongan dengan orang yang rapat dan baik dengan kita. Terangkan kepada mereka & minta bantuan mereka untuk membantu kita menguruskan kemarahan kita.

Apabila kita marah, maka, kita berharap mereka akan terus menegur kita dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud:

"Jangan marah! Jangan marah! Jangan marah!" [HR al-Bukhari]


2) Hukum diri kita sendiri dengan hukuman yang munasabah setiap kali kita gagal menguruskan kemarahan dengan baik.

Hukuman bukan dalam bentuk yang memudaratkan, tetapi lebih untuk mendidik & mengingatkan diri sendiri. Contohnya, setiap kali kita gagal, hukumlah dengan mewajibkan diri bersedekah, membaca al-Quran lebih banyak daripada kebiasaan, berpuasa atau melakukan apa-apa amalan kebaikan. Kita mengambil konsep; "kebaikan menghapuskan kejahatan."


3) Buat catatan graf kemarahan kita setiap hari. Seorang mukmin yang sebenar ialah mukmin yang lebih baik hari ini daripada semalam & hari esok lebih baik dari hari ini. Catatan ini sangat perlu untuk muhasabah diri & melihat sejauh mana pencapaian kesabaran kita.

Menurut Ibn 'Ujaibah, orang yang rajin muhasabah diri akan dikurniakan 5 keberuntungan;

a) Selamat daripada keburukan lisan.

b) Selamat daripada keburukan pandangan mata.

c) Selamat daripada sahabat yang buruk.

d) Menyegarkan tubuh, emosi & menenangkan wajah.

e) Merasai kemanisan iman & kelazatan ibadah.

----------------------


InsyaAllah, mudah-mudahan dengan keberkatan & kemuliaan Ramadan kali ini, diri ini akan dapat mendidik diri agar dapat menjadi hambaNya yang lebih solehah & berakhlak mulia dengan memiliki sifat sabar di antaranya. InsyaAllah. :)  

Allahu'alam..



Monday, July 23, 2012

[Ramadan] : TIPS Amalan Sunat Mengikut Sunnah



Bismillahirrohmanirrohim..

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berbuka puasa dengan rutab (kurma basah) sebelum solat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar (kurma kering). Dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. [HR Abu Daud]

Alhamdulillah.
Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah.

Syukur Alhamdulillah, sudah masuk 4 Ramadan. Mari kita mengkoreksi diri.

Bagaimana dengan amalan kita? Apa khabar iman kita? Sudah mendekatkah jarak Allah di dalam hati kita..?

Mari selalu tegur & ingatkan diri. Ramadan ini adalah bulan untuk berpesta ibadah & bukannya berpesta makan!

Imam Malik bin Anas menangis ketika hendak berbuka puasa. Ketika ditanya oleh muridnya, beliau berkata: "Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana terkenangkan Rasulullah s.a.w. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit."

Muhasabah diri.

Sudah cukuplah sudah kita merugikan diri dengan mensia-siakan Ramadan tahun-tahun yang sudah lepas. Cukup-cukuplah kita terlepas peluang untuk menambah amalan & memperbaiki iman & kecintaan kita kepada Allah.

"Hidup yang sebenarnya ialah hidupnya hati dengan iman. Berapa ramai orang yang nampak pada zahirnya hidup, hakikatnya mati. Dan berapa ramai pula orang yang zahirnya mati, akan tetapi mereka pada hakikatnya masih hidup." [Syeikh Mustafa Masyur]

Mari manfaatkan kehidupan di dunia dengan menghidupkan iman di dalam hati. Hidup dengan mengikut ajaran & syariat yang telah ditetapkan oleh Allah subhanallahu wa ta'ala. Hidup dengan menyuburkan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Oh, alangkah indahnya hidup dalam pandangan kasih sayang Allah & Rasulullah... :)

InsyaAllah, ada sedikit perkongsian tentang amalan sunat mengikut sunnah yang diambil daripada bingkisan Dr Abdul Basit Abd Rahman di dalam majalah al-Ustaz.

Berikut adalah antara amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan pada bulan Ramadan. Sama-sama kita mengambil pengajaran & mempraktikkan. InsyaAllah. :)

Semangat, semangat, yosh! (^^)/


---------------------------------

TIPS Amalan Sunat Menghidupkan Ramadan Mengikut Sunnah.

1) Membaca al-Quran
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Jibrail alahi salam membacakan al-Quran untuk baginda pada setiap tahun (pada bulan Ramadan) sebanyak sekali. Namun, pada tahun kewafatan baginda, dia membacanya sebanyak 2 kali. [HR al-Bukhari & Muslim]


2) Qiamulail
Pada Ramadan, kita akan melaksanakan 2 jihad diri:

a) Jihad di siang hari dengan berpuasa.
b) Jihad di malam hari dengan qiamulail.

Sesiapa yang berjaya melakukan 2 jihad ini dengan sebaik-baiknya, baginya ganjaran yang amat besar. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan & pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas." [HR al-Bukhari & Muslim]

Qiamulail merupakan rutin harian Nabi & para sahabat. Aisyah radiallahu anhu pernah berkata: "Jangan kamu tinggalkan qiamulail. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah meninggalkannya. Jika baginda sakit atau kepenatan, baginda akan solat sambil duduk." [HR Abu Daud]


3) Bersedekah
Ibnu Abbas radiallahu anha berkata; "Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ialah seorang yang pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Pemurahnya baginda dalam kebaikan lebih daripada angin yang kencang." [HR al-Bukhari]

4) Menjaga lidah
Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: 
"Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta & terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat pada usahanya yang tidak makan & minum (puasa)." [HR al-Bukhari]


5) Perbanyakkan doa, zikir & istighfar
Setiap saat pada bulan Ramadan adalah mulia. Justeru ambillah kesempatan ini dengan mempernbanyakkan zikir & doa khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:
a) Ketika hampir waktu berbuka. 
Nabi menyebut; 3 doa yang tidak tertolak antaranya ialah doaorang yang sedang berpuasa sehingga dia berbuka. [HR al-Tirmidzi]
b) Pada sepertiga malam ketika Allah menyeru:
"Adakah orang yang berdoa, maka Aku akan perkenankan. Adakah orang yang memohon keampunan, maka Aku akan Ampunkannya." [HR Bukhari & Muslim]


6) Memberi makan kepada orang yang berpuasa.
Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud; 
"Sesiapa yang menyediakan juadah berbuka untuk orang yang berpuasa, baginya seperti pahala orang yang berpuasa sepertimana orang yang berpuasa itu, & tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya." [HR at-Tirmidzi]


7) Umrah pada bulan Ramadan
Sabda Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud;
"1 umrah pada bulan Ramadan ganjarannya menyamai 1 haji." Dalam riwayat yang lain: "Menyamai satu haji bersama-samaku." [HR Bukhari & Muslim]


8) Beriktikaf
Khususnya pada 10 malam terakhir. Aisyah radiallahu anhu meriwayatkan: 
"Pada 20 malam terawal, Nabi mencampurkan antara solat & tidur. Apabila tiba 10 malam terakhir, baginda bersungguh-sungguh & mengetatkan kainnya." [HR Ahmad]


Bahkan Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam turut mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah supaya mereka juga tidak ketinggalan dalam mendapat kebaikan yang disediakan Allah subhanallahu wa ta'ala. Menghidupkan malam bukan sahaja dengan solat bahkan pelbagai jenis ibadah seperti membaca al-Quran, beristighfar & berdoa.

InsyaAllah, disertakan juga di sini beberapa contoh borang/checklist bagi mutaba'ah amal bagi sepanjang Ramadan ini. Mari sama-sama manfaatkan, insyaAllah. Sila 'klik' imej untuk besarkan.







And here's also top ten TIPS of productive Ramadan from ProductiveMuslim.com. Lets check it out! :)



Alhamdulillah. Setakat ini dahulu.

Mari manfaatkan Ramadan kali ini dengan bersungguh-sungguh. Ramadan adalah peluang yang jarang datang. Mungkin ini kali terakhir kita bertemu dengannya. Janganlah kita menjerumuskan diri termasuk di dalam 3 golongan celaka yang disebutkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di dalam hadisnya;


"Ada 3 golongan yg celaka. 1) Celaka sungguh orang yg mendengar nama Nabi disebut tetapi tidak berselawat ke atasnya. 2) Celaka sungguh orang yang sempat bersama Ramadan & berlalunya bulan itu tetapi dia tidak mendapat keampunan. 3) Celaka sungguh orang berkesempatan berbakti kepada kedua orang tuanya, tetapi tidak dimasukkan ke syurga." [HR Ahmad]



Nauzubillahi min zaliq.
Astaghfirullahal adzhim.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Seandainya umatku mengetahui apa yang ada di bulan Ramadhan, nescaya mereka akan berharap agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan."
[HR ibnu khuzaimah]

Minna! Selamat berpesta ibadah! InsyaAllah.


Saturday, July 21, 2012

TIPS Ibadah Wanita 'Uzur' Di Bulan Ramadan.




Bismillahirrohmanirrohiim..


"Sesiapa yang bergembira dengan datangnya Ramadhan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka." [HR Ibn Majah] 


Alhamdulillah.. Setelah meniti Rejab & Sya'ban, selangkah demi selangkah, akhirnya kita telah pun Allah izinkan untuk sampai ke bulan Ramadhan yang penuh barakah. Alhamdulillah.. :)

Selamat menunaikan ibadah puasa kepada semua muslimin & muslimat. Kepada muslimat yang 'bercuti', insyaAllah, kita masih boleh beribadah & memanfaatkan kemuliaan & mengutip sebanyak mana rahmat & redha Allah. Jadi, janganlah bersedih ya..



Wanita Haid Pun Dapat Pahala Puasa Penuh.

Ummulmukminin Aisyah radiallahu anhu didatangi haid ketika haji. Beliau menceritakan; 
"Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam menemuiku yang sedang menangis. Baginda bertanya: 'Kenapa denganmu? Adakah kamu sedang 'uzur'?' 'Ya.'. Lalu baginda memujuk: "Inilah hakikat yang Allah telah tetapkan atas anak-anak perempuan Adam." [HR al-Bukhari]

Dalam hadis lain, baginda bersabda yang bermaksud: 
"Apabila seorang hamba itu sakit atau bermusafir, Allah tulis siap-siap pahala amalannya seperti mana yang dia lakukan ketika sihat & bermukim." [HR al-Bukhari]

Haid ialah penyakit yang menghalang seorang wanita daripada melakukan ibadah rutinnya termasuklah berpuasa di bulan Ramadan. Sekiranya beliau sememangnya komited dengan ibadah ketika sihat (suci), pahala amalannya tetap berterusan walaupun ketika dia sedang 'uzur'.

Subhanallah! Begitulah pemurahnya Allah subhanallahu wata'ala. Dia amat menghargai keikhlasan hamba-hambaNya.

InsyaAllah, dikongsikan juga di sini Tips atau senarai semak ibadah bagi wanita yang 'uzur' (didatangi haid) di waktu bulan Ramadan. Mudah-mudahan akan beroleh manfaat. insyaAllah.. :)


--------------------------------


TIPS Ibadah Wanita 'Uzur' Di Bulan Ramadan.

1) Mengikhlaskan niat beribadah hanya kerana Allah. Yakni ingin mendekatkan diri denganNya, ingin mendapat rahmat & ampunanNya serta meningkatkan iman & cinta kepadaNya.

2) Masih dekat dengan al-Quran dengan mendengar bacaan al-Quran (di radio, mp3, bacaan live ahli keluarga dan sebagainya.), menelaah tafsir & mentadabbur isi-isi al-Quran.

3) Banyakkan berdoa & memohon keampunan & beristighfar. Juga sangat digalakkan untuk memperbanyakkan sedekah.
Digalakkan berdoa (selepas membaca doa selepas azan) di antara waktu selepas azan & iqomah kerana waktu tersebut adalah waktu mustajab untuk berdoa, insyaAllah.
Disebutkan di dalam hadis; 

"Doa di antara azan & iqomah tidak ditolak." [HR at-Tirmidzi] 


4) Membantu, menggalakkan & mendesak sedikit ahli keluarga dalam beramal ibadah di bulan Ramadan. Antaranya;

i) Kejutkan ahli keluarga bangun bersahur atau bersolat subuh berjemaah.
ii) Gesa mereka supaya solat berjemaah di masjid.
iii) Mempersiapkan pakaian solat mereka.
iv) Nasihati mereka supaya giatkan amalan.


Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang membimbing ke arah kebaikan, baginya pahala orang yang mengerjakannya." [HR Muslim]


5) Berzikir & berselawat dari semasa ke semasa. Membaca al-matsurat pagi & petang.

6) Menjawab azan bagi setiap solat & berdoa selepas azan.

7) Berbakti kepada kedua orang tua, berkhidmat kepada suami (bagi muslimat yang sudah berkahwin). Meringankan beban mereka dengan membantu & memudahkan urusan mereka, mengembirakan hati mereka.

8) Menuntut ilmu samada dengan mendengar di televisyen, radio atau menelaah dari pembacaan buku ilmiah.

9) Mempersiapkan makanan berbuka dengan ikhlas & gembira.


Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud; "Sesiapa yang menyediakan juadah berbuka untuk orang yang berpuasa, baginya seperti pahala orang yang berpuasa..." [HR at-Tirmidzi]

10) Jaga hati, iman, akhlak, tutur kata & aurat. Elakkan daripada berbicara yang buruk apatah lagi mengumpat, bergosip, membuka & mencari orang lain. Sentiasa memastikan bicara yang baik-baik atau berdiam diri, memakai pakaian yang menutup aurat & banyakkan membaca bacaan yang ilmiah serta elakkan membaca majalah gosip, hiburan & melihat gambar aurat wanita lain untuk menjaga pandangan & hati.  
 





InsyaAllah, kedatangan haid bukanlah bermakna peluang untuk kita beribadah & mengumpul pahala akan berkurang. Maka, janganlah menjadikan 'keuzuran' itu sebagai penghalang untuk kita sebagai muslimat untuk melakukan kebaikan.

Ayuh! Ramadan yang mulia itu telah tiba... bergembira & berbahagialah menyambut ketibaannya & menitinya selama 30 hari ini, fastabiq al-khairat! insyaAllah.

Apapun, janganlah sampai kita menjadi Ramadaniyyin sedangkan kita sebenarnya adalah Rabbaniyyin untuk sepanjang bulan. Maknanya, janganlah kita hanya bersemangat pada bulan ini saja.
Namun, manfaatkan peluang yang diberikan Allah untuk merebut ganjaran yang Allah subhanallahu wata'ala sediakan untuk meningkatkan keimanan & amalan supaya berkekalan untuk dibawa ke bulan-bulan seterusnya. 

Sesungguhnya rahmat, keampunan & pintu syurga dibuka seluas-luasnya di bulan ini. Syaitan & sekutunya juga dibelenggu sepanjang bulan ini. Maka, bolehlah sekiranya mahu menguji sejauh mana kuatnya keimanan kita sebenarnya..

Dahulu & perbaiki amalan, ibadah yang wajib serta tingkatkan amalan, ibadah yang sunnah. InsyaAllah.

Selamat menjalani ibadah puasa & meningkatkan iman & amal disisiNya, insyaAllah.

Ramadan kareem, Allahu akram!

Senyumlah... 

Bukankah cinta Allah sedang menanti...? :')

Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar.



*sumber: Majalah SOLUSI & al-Ustaz.


-------------------------

p/s: InsyaAllah, borang mutaba'ah amal sebagai reminder akan dikongsikan di dalam entri seterusnya, insyaAllah.

mood: Sangat happy sebab dah pandai potong ayam & masak sendiri ayam tu untuk ahli keluarga bersahur esok.. Alhamdulillah.. :D

[padahal sebenarnya malu sebab baru praktik sendiri sekarang! ;p]


Tuesday, July 17, 2012

The Moon That Embraces The Sun.



Astaghfirullahal adzhim..

Terlalu banyak ketawa aku hari ini..
Ketawa yang banyak ini membuatkan jauh di sudut hatiku merasa takut kepadaNya.

Apakah tawa yang terlalu banyak mengisi ruang hariku ini akan membuat Dia memurkaiku?

Janganlah tawa yang galak ini membuatkan hatiku mati, membuatkan aku banyak menangis 'disana' nanti.
Nauzubillah.

Pada hujung-hujung waktu aku masih mengaji di USM..
Aku selalu terfikir..
Aku selalu membayangkan bagaimanalah kehidupanku setelah meninggalkan medan tarbiyyah terbesar aku selama ini kelak.

Bagaimana aku selepas berpisah daripada sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah itu agaknya.
Yang selalu menjadi perantara 'teguran' Allah kepadaku apabila akhlakku memburuk, tutur bicaraku tidak elok..
Mesti nanti aku merindui mereka yang selalu mengingatkan aku kepada Allah, hanya dengan bersuara sedikit & hanya sekadar melihat wajahnya. Subhanallah.

Aku selalu risau dan bimbang...
Bagaimanalah dapat ku harungi hari-hari tanpa langkahan ke majlis ilmu bersama sahabat-sahabat yang dicintai Allah itu...
Apakah iman, hati, akhlak dan peribadiku akan merosot dan memburuk tanpa keharuman 'taman-taman syurga' yang diserikan lagi dengan doa daripada para malaikat itu..

Apakah Allah akan menarik kembali nikmat tarbiyyah, hidayah, taufik, & sahabat yang soleh solehah itu daripadaku apabila aku meninggalkan bumi Minden itu...? Nauzubillah. T_T

Lalu, hatiku tersentuh dalam, terasa sangat besar nikmat & melimpahnya rezeki yang Allah Berikan kepadaku selama ini..

Lalu, mengalirlah air mata di dalam hati ini merayu agar Dia tidak melupakan hambaNya yang masih kekurangan ini..

Ya Allah.. diri ini masih memerlukan Hidayah & TaufikMu.
Jangan diserahkan aku kepada diriku sendiri walau hanya sedetik masa.

Bagaimanalah agaknya keadaan aku. Bagaimanalah aku akan mengharunginya.


------------------------------------------


Alhamdulillah..
Sudah lebih seminggu aku menghirup udara bumi Allah, bumi Negeri Sembilan.
Bersama ibu, ayah, adik & 2 orang sepupu kecil.

Ya... aku merindui bumi Minden. 
Aku rindukan tarbiyyah, ilmu, ukhuwah yang Allah Limpahkan di sana. 
Terasa berkah melaut & harum untuk ku hirup udaranya, lantas membuatkan hati ini seakan begitu dekat sekali kepadaNya.

Lalu, ku soal pula kepada diri ini.


"Apakah Allah itu hanya ada di bumi Penang...?"
"Apakah barokah itu hanya ada di Minden?"
"Apakah kebaikan itu hanya tinggal kenangan di USM...?"


Aku kesal pula dengan diriku.
Manusia seperti aku selalu sahaja memandang hal yang jauh-jauh.
Tanpa menghargai & menikmati rezeki & nikmat yang Dia Limpahkan di depan mataku.

Dekatnya aku dengan ibu bapaku, petanda ruang untukku menimba pahala & kebaikan juga meluas.
Dekatnya aku dengan rumah, maknanya itulah medan terbesar untuk aku gali & suburkan tarbiyyah yang selama ini aku kecapi di bumi Minden.

Jangan menyempitkan peluang & ruang yang Allah beri untuk berbuat kebaikan, menyebar kebaikan & menjadi hambaNya yang baik itu dengan pelbagai alasan!

Ibadah itu luas konsepnya. Pesanan ustaz & ustazah bagai terngiang di telinga.

Apapun perkara yang boleh mengingatkan, mendekatkan, menambahkan kecintaan aku kepada Allah, itu juga dikira ibadah.
 

Allah itu ada di mana-mana.
Allah itu letaknya terlalu dekat.
Dekat di dalam hati.


Jika alasanku mengatakan jauhnya aku daripada sahabat-sahibah, majlis ilmu, tarbiyyah & ukhuwah adalah punca imanku menurun, alasan untuk aku tidak mampu istiqomah..
Itu petandanya aku sendiri yang menyempitkan pandangan & peganganku.

Ingatlah wahai diri...
Pejuang Islam yang terpenjara itu,
Tanpa sahabat, majlis ilmu, atau terma-terma 'ilmu, hidayah, tarbiyyah & ukhuwah' yang kau gariskan sebagai 'punca' kehebatan mukmin itu..
Masih mampu istiqomah menulis tinta-tinta bukti kebesaran Allah.
Masih tetap istiqomah menitipkan bait-bait kecintaan & munajatnya kepada Ilahi.
Yang terus terwaris kepada umat hingga hari ini..

Kerana Allah itu letaknya di hati.

Hendak jadi baik,
Hendak jadi lebih baik,
Hendak berusaha memperbaik,
Hendak menyebarkan hal-hal baik,
Yang perlunya adalah usaha, gerak langkah.
Bukanlah mencari alasan untuk memperbantutkan peluang & ruang.

Mengapa mengharapkan orang, suasana, program-program yang membentuk kita untuk menjadi apa yang kita patut jadi (jadi baik)?
Jika kita terlalu bergantung kepada perkara-perkara itu barulah kita mahu menjadi baik & hebat, makanya rugilah kita.


---------------------------------


The Moon That Embraces The Sun.
Aku baru tengok siri drama korea ni. 
Heronya hensem & heroinnya cantik.
Abang heroinnya cool & peribadinya menarik.
Ok tiada kaitan dengan entri. Sila abaikan.

Please get back on the track.

Baik.

Apa kaitan matahari & bulan daripada sudut kehidupan kita sebagai hamba & dai'e?

Pada waktu siang, matahari menyinarkan cahayanya kepada alam,
Bulan akan menyerapi semua cahaya itu.
Tatkala malam menjelma,
Tidaklah dia masih mengharapkan kehadiran matahari untuk memberikan cahaya.
Bahkan bulanlah yang memantulkan semula cahaya matahari tadi kepada seisi alam.
Walau tak secerah siang, namun, bulan masih bisa membiaskan cahaya dengan saiznya yang kecil itu. 

Matahari itu ibarat Islam.
Kita pula ibarat bulan.
Yang buruk pada hakikatnya.
Namun menjadi indah di malam hari kerana memantulkan cahaya Islam.

Kita ini pun...
Jadilah bulan.

Waktu Allah letakkan kita dalam biah (suasana) soleh, solehah, islamik, barokah.
Serapilah seberapa banyak kebaikan yang kita mampu.
Apabila tercampak pula kita dalam biah yang berbeda,
Jika tidak mampu mengislahkan kesuraman biah itupun..
Setidak-tidaknya masih mampu kita istiqomah menjaga diri.
Sekurang-kurangnya.

Atau setidak-tidak istiqomah kita menjaga & mempamer akhlak baik itu..
Menjadi dakwah & islah kecil buat masyarakat sekeliling.


Mainkan peranan. Walaupun kecil.
Tetap istiqomah. Walaupun terasing.

Alone is not the reason for being astray from the right path.
Because at Yaumul Mahsyar,
Don't you realize that;
You also will be judged by Him;
Alone?

So, stay strong & keep moving on.

Allah ada. 
& Dia sangatlah dekat.
Ingat tu...

:)

Asif kiranya entri ini tiada manfaat bagi yang berkunjung & sudi membaca.

Entri ini untuk memujuk & menaikkan semangatku yang dilanda kerinduan ini.. :')
Doakan diri ini selalu di dalam rahmat, redha & cinta Allah. Moga diri ini sentiasa dikuatkan oleh Allah, insyaAllah, amiin.. :')
 
Semoga kita selamat untuk bertemu dengan ramadhan yang mulia itu sekali lagi tahun ini. InsyaAllah.
Selamat meniti kemuliaan, keampunan & rahmat di bulan ramadhan.
Mudah2an Allah akan permudahkan..

:)

Allahu'alam.