Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Tuesday, November 12, 2013

Ikhtilat, Peliharalah Dirimu Dari Maksiat.


Mengenali, dikenali, tapi tak mudah didekati..
Menyayangi, disayangi, tapi tak mudah mencintai..

Ibarat sang permaisuri,
Yang sentiasa terjaga rapi..


Apalah guna dikelilingi lelaki,
jika tidak ada seorang pun yang layak dijadikan suami.

Jadilah seperti sang puteri,
Dikenali tapi tak mudah di dekati.


[Quoted by Asma Suardi]


***


Bismillah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat Nabi junjungan, Muhammad sollallahu 'alaihi wa sallam.

Firman Allah SWT;"Dia Mengetahui apa yang ada di langit & di bumi, & Mengetahui apa yang kamu rahsiakan & apa yang kamu nyatakan. Dan Allah Maha Mengetahui segala isi hati." [at-Taghabun (64) : 4] 

"Iaitu mereka yang menjauhi dosa-dosa besar & perbuatan keji, kecuali kesalahan-kesalahan kecil. Sungguh, Tuhanmu Maha Luas ampunanNya, Dia Mengetahui tentang kamu, sejak Dia Menjadikan kamu dari tanah lalu ketika kamu masih di dalam janin perut ibumu. Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dia Mengetahui siapa yang bertaqwa." [an-Najm (53) : 32]

***

KISAH 1: Adakah Isterimu Telah Gemuk?

Seorang lelaki bertanya kepada Sheikh :

"Wahai sheikh.... aku telah lama berkahwin dan mempunyai anak-anak.... tapi semenjak beberapa tahun ini.... aku merasakan aku tidak lagi tertarik kepada isteriku.."

Sheikh mula bertanya : "Adakah isterimu telah gemuk??"

Lelaki itu menjawab : "Tidak... dia kelihatan sama seperti dulu.."

Sheikh lalu bertanya lagi : "Adakah dia terlibat dalam kemalangan yang menyebabkan dia cacat??"

Lelaki itu menjawab : "Tidak... dia masih kelihatan sama seperti dulu.."

Maka sheikh bertanya lagi : "Adakah kamu mempunyai kesukaran menundukkan pandanganmu kepada wanita-wanita yang berjalan di hadapanmu ?? Adakah kamu meminati pornografi??"

Lelaki kemudiannya menjawab jujur : "Ya... bagaimana sheikh tahu perkara tersebut?"

Sheikh kemudiannya berpesan : "Bila kamu terlibat dengan perkara HARAM... suka kepada yang haram... tidur makan dan bernafas kepada perkara yang haram.... maka yang HALAL akan MENJADI JIJIK bagimu!!"

Astaghfirullah.

***

KISAH 2: Wanita Solehah & Tukang Besi


Pada suatu ketika, si tukang besi duduk di rumahnya melepaskan lelah setelah seharian bekerja, tiba-tiba terdengar pintu rumahnya dikertuk seseorang. Si tukang besi keluar untuk melihat. Kemudian pandangannya tertancap pada susuk wanita cantik yang merupakan jirannya.

“Saudaraku, aku menderita kelaparan. Jika bukan karena tuntutan agamaku yang menyuruh untuk memelihara jiwa (hifdz al-Nafs), aku tidak akan datang ke rumahmu. Mahukah engkau memberikan makanan padaku kerana Allah?" Tanya wanita itu.



Ketika itu, memang sedang musim kemarau. Sawah dan ladang mengering. Tanah pecah berbongkah-bongkah. Padang rumput menjadi tandus hingga haiwan ternak menjadi kurus dan akhirnya mati. Makanan menjadi terhad, maka tak hairanlah kebuluran melanda sebahagian besar penduduk desa itu. Hanya sebahagian kecil sahaja yang masih bisa bertahan.

“Tidakkah engkau tahu bahawa aku mencintaimu? Akan kuberi engkau makanan, tetapi engkau harus melayaniku semalam." kata tukang besi itu mengajak wanita itu berzina.

Si tukang besi memang menaruh hati kepada jirannya itu. Dia merayunya dengan berbagai cara dan taktik, namun tak juga berhasil melembutkan hati wanita itu.

“Lebih baik aku mati kebuluran daripada aku derhaka kepada Allah," ujar wanita itu lagi sambil berlalu menuju rumahnya.

Setelah dua hari berlalu, wanita itu kembali mendatangi rumah si tukang besi dan mengatakan hal yang sama. Demikian juga jawapan si tukang besi. Ia akan memberi makanan asalkan wanita itu mahu menyerahkan dirinya. 

Mendengar jawapan yang sama, wanita itupun kembali ke rumahnya.

Dua hari kemudian, wanita itu datang lagi ke rumah tukang besi itu dalam keadaan payah. Suaranya parau, matanya sayu, dan punggungnya membongkok kerana menahan lapar yang tiada tandingan. Ia kembali mengatakan hal serupa. Begitu juga jawapan si tukang besi, sama dengan yang hari yang sebelumnya. Wanita itu kembali ke rumahnya dengan tangan kosong untuk kali ketiga.

Ketika itulah, Allah memberikan hidayah-Nya kepada si tukang besi. 

"Sungguh celaka aku ini, seorang wanita mulia datang kepadaku, dan aku terus berlaku zalim kepadanya," tutur tukang besi dalam hatinya. 

"Ya Allah aku bertaubat kepada-Mu dari perbuatanku dan aku tidak akan mengganggu wanita itu lagi selamanya."

Si tukang besi itu bergegas mengambil makanan dan pergi ke rumah wanita itu. Diketuknya pintu rumah wanita itu. Tak lama kemudian, terlihat pintu terbuka dan muncullah seorang wanita yang nampak kuyu. Melihat si tukang besi berdiri di depan pintu rumahnya, wanita itu bertanya,

“Apa keperluanmu datang ke rumahku?"

“Aku bermaksud menghantarkan sedikit makanan kepunyaanku. Jangan khuatir, aku memberinya kerana Allah," jawab si tukang besi itu.

“Ya Allah, jika benar apa yang dikatakannya, maka haramkanlah dia dari api di dunia dan akhirat," doa wanita itu seraya menadahkan kedua tangannya ke langit.

Si tukang besi itu pulang ke rumahnya. Ia memasak makanan yang tersisa buat dirinya. Tiba-tiba secara tak sengaja bara api mengenai kakinya, namun kaki si tukang besi itu tidak terbakar. Lalu, bergegaslah dia menemui wanita itu lagi.

“Wanita yang mulia, Allah telah mengabulkan doamu," ujar si tukang besi.

Seketika itu, wanita itu sujud syukur kepada Allah.

“Ya Allah engkau telah mewujudkan doaku, maka cabutlah nyawaku saat ini juga." Terdengar suara lirih dari mulut wanita itu dalam sujudnya. 

Allah kembali mendengar doanya. Wanita itupun pulang ke Rahmatullah dalam keadaan sujud.

Demikianlah kisah seorang wanita yang menjaga kehormatannya meskipun harus menahan rasa lapar yang tiada tara.

Subhanallah.

***

KISAH 3 : Genggaman Dibalas Genggaman.


Pernah diceritakan kisah seorang lelaki yang bertaqwa, menjaga solatnya, berpuasa dan menjaga ibadahnya kepada Allah Taala. Isterinya juga seorang yang bertaqwa. Suatu hari, apabila dia pulang ke rumah dia melihat air muka isterinya berubah dan menjadi kemerah-merahan. Dia sangat terkejut dengan keadaan tersebut.

Lalu, si suami bertanya kepada isterinya perkara yang telah berlaku, tetapi isterinya enggan menceritakannya. Apabila dia berterusan meminta isterinya menceritakan apa yang berlaku, isterinya bertanya:

“Adakah kamu mengenali pengisi air itu?”

– Pengisi air yang dimaksudkan adalah orang yang mengisikan air ke dalam tempayan untuk diminum oleh tuan rumah.

Suaminya menjawab : “Ya.”

Isterinya meneruskan kata-katanya: “Berapa lamakah dia telah berkhidmat dengan kita?”

Suaminya menjawab, “Lebih dari 30 tahun.”

Isterinya bertanya lagi : “Adakah kamu mengetahui kejahatan atau keburukan pada dirinya?”

Jawab suaminya : “Tidak.”

Isterinya pun berkata : “Hari ini dia telah melakukan satu perbuatan yang buruk.”

Lelaki itu bertanya : “Apakah yang telah dia lakukan?”

Isterinya pun menjawab : “Ketika dia datang untuk mengisi air ke dalam tempayan di dalam rumah kita seperti kebiasaannya, aku pun membuka tempayan tersebut. Apabila aku menutup kembali tudung tempayan tersebut, tiba-tiba dia pun memegang tanganku dan menggengam pergelangan tanganku kuat sedikit.”

Apabila suami itu mendengar cerita tersebut, dia menangis sepuas hatinya. Kemudian, suaminya bangun solat taubat sebanyak dua rakaat meminta pengampunan dengan Tuhannya.

Si isteri bertanya : “Mengapa dengan kamu? Mengapa kamu tidak pergi kepadanya dan menghukumnya?”

Si suami menjawab : “Tidak, apa yang berlaku berpunca daripada diriku sendiri.”

Perhatikan maksud kata-kata ini ;
“Apa yang berlaku berpunca daripada diriku sendiri...”

Isteri bertanya : “Bagaimana begitu?”

Jawab lelaki tersebut: “Telah datang kepadaku seorang wanita hari ini, dia meminta aku membaiki gelang tangannya yang diperbuat daripada emas. Ketika dia masukkan gelang tersebut ke tangannya untuk ditunjukkan kepadaku untuk menunjukkan saiznya, aku tidak menundukkan pandanganku. Aku melihat tangannya melebihi had yang sepatutnya. Nafsu menguasai diriku dan aku meletakkan tanganku pada gelangnya dan menggengam sedikit tangannya seperti lelaki tersebut menggengam tanganmu.”

Ketika mereka tidur, datanglah seorang dalam mimpi si suami lalu dia berkata:
“Gengaman dibalas gengaman. Sekiranya kamu melakukan lebih daripada itu kepada perempuan tersebut, lelaki itu juga akan melakukan lebih dari itu kepada isterimu.”

Astaghfirullah.


***



IBRAH DARI KISAH INI: 
1) Tundukkan pandangan dari melihat perkara yang diharamkan oleh Allah Taala seperti mengelak dari memandang lelaki yang tidak halal, wanita yang tidak halal, aurat lelaki & wanita yang ajnabi, meninggalkan tabiat menonton pronografi (tak sepatutnya dilakukan oleh seorang Muslim). 
2) Allah Taala akan membalas segala perkara buruk yang kita lakukan samada direct kepada diri kita sendiri mahupun melalui insan-insan yang berada dekat di sisi kita seperti ibu, bapa, isteri, suami, anak-anak, mahupun ahli keluarga yang lain. Memang benar, Allah berfirman bahawa tiada manusia yang menanggung dosa manusia lain, tetapi tiada yang mustahil bagi Allah jika Allah Mengkehendaki (mungkin itu caraNya supaya kita bertaubat). Sebagai contoh jika kita merogol seorang wanita, tak mustahil jika Allah membalasnya melalui isteri mahupun adik beradik perempuan kita pula, dianiaya oleh lelaki perogol. Nauzubillah. 
3) Sebagaimana kita tidak suka orang yang kita sayangi disakiti, kita juga perlu menjaga diri dari menyakiti orang lain. Muhasabah semula diri sendiri, semuanya bermula dengan diri kita sendiri. Jika kita berbuat baik kepada orang lain, insyaAllah Allah akan mengganjarkan yang sama kepada diri kita & insan-insan yang kita sayangi.    
4) Bersegeralah memohon keampunan dari Allah Taala apabila melakukan dosa dengan sebenar-benar taubat dan berazamlah untuk tidak mengulanginya lagi. Sesungguhnya keampunan Allah sangat luas berbanding kemurkaanNya. Allah itu Maha Pengampun Lagi Maha Penyayang.. 
5) Mohonlah perlindungan dari Allah supaya tidak terjebak dalam perkara yang dimurkaiNya. Sebagaimana Nabi Allah, Nabi Yusuf AS memohon perlindungan Allah sewaktu digoda oleh Zulaikha, baginda meminta perlindungan daripada Allah agar melindunginya daripada terjebak dengan zina. Allahuakbar. 
6) Berusahalah menjadi hambaNya yang mentaati suruhanNya dan meninggalkan maksiat kepadaNya. Sebaiknya elakkanlah daripada menjerumuskan diri ke arah perkara-perkara yang boleh menjebakkan kita kepada maksiat. Contohnya jika kita mudah terjebak kepada maksiat jika terpandang wanita yang cantik, maka usahakanlah untuk menundukkan pandangan ataupun perbanyakkan berpuasa bagi memelihara nafsu, insyaAllah Allah akan mempermudahi jalanmu. 
7) Basahkan lidah dengan istighfar. Dalam masa yang sama, hiasi diri dengan amalan ketaatan dan meninggalkan maksiat sebagai tanda benarnya istighfar yang diucapkan. Dengan memperbanyakkan istighfar bukan sahaja dapat menenangkan hati bahkan juga dapat menjadikan urusan kita lebih mudah. Jika kita berdepan dengan masalah & ujian yang sukar, insyaAllah berkat amalan berzikir & beristighfar ini, Allah akan menunjukkan kita jalan keluar.

Subhanallah.
Astaghfirullah.


"Perempuan ajnabi & lelaki ajnabi itu seperti daun kering & api. Amatlah berbahaya bagi keduanya untuk bercampur." 

Wallahu 'alam.


***

Sumber: Seperti yang diceritakan oleh Habib Ali al-Jufri.



Mohon untuk dengar & tonton tazkirah yang sangat bermanfaat ini juga:




***
Kredit:
1) Kisah Wanita Solehah & Tukang Besi
2) Muhammad Faris Zulkharnane & Asma Suardi


Untuk TIPS Bagi Mengawal Hawa Nafsu @ Tips Meninggalkan Maksiat (pornografi, zina) bolehlah rujuk ke link ini : 
1) TIPS Mengawal Hawa Nafsu
2) TIPS Elak Zina


Notahati:
Semoga Allah sentiasa memelihara kita, seluruh ahli keluarga, seluruh muslimin & muslimat daripada terjebak di dalam kemungkaran & maksiat, insyaAllah. Mudah-mudahan Allah memberikan kekuatan iman yang teguh kepada setiap dari kita insyaAllah. 

Saya menulis ini kerana Allah, sebagai peringatan khusus buat diri ini terutamanya. 


No comments:

Post a Comment

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."