Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Monday, December 30, 2013

Wanita : Setelah Bergelar Suri.


Kak, saya risau. Rasa takut. Bukan takut apa.
Takutkan tanggungjawab & amanah yang sangat besar yang bakal digalas.
Bagaimana hendak menjadi isteri & ibu yang hebat.
Hingga melahirkan zuriat yang menjadi mujahid mujahidah hebat 
Hingga ada yang syahid, menjadi harta di akhirat.

Ringkas sahaja pesanan Naqibahku yang solehah itu;
"Perbetulkanlah niat sedari bila hati terdetik untuk bernikah. Biarlah kerana Allah. 
Untuk Allah. Untuk agamanya."

***


Bismillah.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Selawat & salam buat junjungan Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam.

Entri kali ini juga masih bicara tentang topik pernikahan & rumah tangga, insyaAllah. Moga bermanfaat.

Ramai orang yang sebelum berkahwin tidak mempersiapkan ilmu tentang perkahwinan (termasuklah diri saya sendiri), ramai pula yang setelah berkahwin baru merasakan diri belum bersedia untuk menghadapi alam rumahtangga. Sebelum berkahwin, rata-rata tidak diperkenalkan dengan situasi alam rumahtangga yang terisi pahit manis, yang diimpi dan dihajati hanyalah kemanisan tanpa ada secubit garam yang sebenarnya perencah untuk menyedapkan lagi rasa.

Setiap kemanisan, pasti akan ada sedikit rasa pahit supaya kita lebih menghargai erti kemanisan tersebut. Apabila yang terhidang sentiasa manis, maka kita tidak lagi melihat kemanisan tersebut bermakna sehinggakan kita merasa apa yang kita ada tidak bermakna apa-apa dibandingkan dengan apa yang orang lain miliki. Walhal, setiap ciptarasa pahit manis tersebut terpulang kepada diri kita sendiri untuk menilai dan menikmatinya. Begitu jugalah dengan sebuah kehidupan.

Seorang wanita, apabila setelah menjadi isteri pastilah banyak perubahan yang sepatutnya berlaku ke atas dirinya. Biasanya wanita akan menganggap bahawa dirinya tak berubah apa-apa sebelum dan setelah menikah terutama dikalangan rakan-rakan, samada tidak mahu mengaku akan perubahan diri atau tidak sedar yang mana dirinya sedang mengalami proses perubahan.

Wanita, setelah berkahwin tanggungjawabnya berpindah kepada ketaatan untuk suami. Ibubapa bukan lagi menjadi keutamaan yang paling utama. Ramai wanita yang tidak sedar akan hal ini. Setelah menikah, banyak suami yang makan hati kerana isteri tidak mahu berpisah dari ibubapa, ada yang memberi alasan merasa bertanggungjawab terhadap ibubapa. Hakikatnya, keutamaan yang paling utama adalah suaminya.

Sebelum menikah, qadhi akan bertanya kepada wanita, "Adakah kamu bersetuju untuk menjadi isterinya?", apabila wanita menjawab "Ya", maka ia sama seperti "ya untuk kesemua kata-katanya kecuali yang mensyirikkan Allah."

Ingat lagi, semasa akad nikah dilafazkan oleh suami suatu ketika dahulu?

"Aku terima nikahnya...."

Suami sedia memikul dan bertanggungjawab terhadap semua keperluan dunia dan akhirat, melindungi, menyayangi, memikul dosa-dosa isteri disebabkan kelalaian suami.

Indah fasa akad nikah bukan hanya dengan sepersalinan pakaian pengantin yang indah, dikerumuni sanak saudara dan rakan taulan untuk menyerikan majlis tetapi ia adalah sebuah akad yang memindahkan sebuah tanggungjawab ibubapa dalam mendidik dan menjaga anak perempuan kepada seorang lelaki bergelar suami, penerimaan tanggungjawab seorang lelaki untuk meneruskan kelangsungan tarbiyah kepada isteri.



Suami Tidak Sama

Usahlah sesekali membandingkan rumahtangga kita dengan rumahtangga jiran (mahupun rakan-rakan) kerana pengemudi dan penghuninya tidak sama meskipun zahirnya tampak sama (ada suami, ada isteri dan mungkin anak-anak).

Bahtera kita dikemudikan oleh suami yang sudah pasti tidak sama dengan suami orang lain, maka janganlah kita mengharapkan rumahtangga kita 'sebiji' jalan ceritanya seperti rumahtangga orang lain.

Usah cemburu atas riang ketawa dan bahagia yang terzahir pada orang lain, kerana kita tidak tahu kisah duka dan air mata yang mereka lalui sepanjang hari. Usah cemburu atas kemewahan dan kejayaan yang terzahir pada orang lain, kerana kita tidak tahu kisah perit dan jerih yang mereka lalui sebelum hari ini.

Rumahtangga bukan mengenai seorang suami atau seorang isteri tetapi ia kisah lakaran dari sepasang suami isteri. Yakinlah, pasangan yang paling mencintai Allah akan paling mendalam cintanya terhadap pasangannya!

Orang yang cintanya mendalam kepada Allah, dia akan sentiasa melihat jalan kebaikan untuk berbuat bakti kepada pasangan tanpa mengharap balasan. Dia akan beri dan terus memberi khidmat kerana dia mencintai Allah dan sunnah Rasulullah maka dia mahu menjadi orang yang bermanfaat.

Maka, kalau benar cintamu mendalam kepada Allah dan Rasulullah, nikmatilah perjalanan yang telah Allah sediakan buatmu dengan pemberian seorang suami di sisimu.

Seringkali manusia suka membandingkan kehidupannya dengan kehidupan orang lain. Kemanisan yang dilaluinya tidak lagi dirasakan manis di matanya sebaliknya dia sentiasa melihat orang lain yang lebih bahagia dari dirinya lalu dia tidak nampak kebahagiaan yang dia lalui kerana hatinya sentiasa melihat apa yang orang lain ada tanpa melihat apa yang dia miliki.



Kehidupan Yang Berbeza

Ada suami yang tidak kisah kalau isterinya bekerja, malah menyokong dan menyukai apa yang disukai oleh isteri (untuk bekerjaya). Ada suami yang tidak kisah kalau isterinya memiliki PhD sedang suami hanya memiliki diploma atau pendidikan yang lebih rendah dari isteri. Ada suami yang tidak kisah kalau isterinya bekerja dan belajar pada waktu yang sama.

Tetapi...

Tidak semua suami begitu. Kerana setiap orang bukan bersuamikan lelaki yang sama, maka 'jalan cerita' bagi kehidupan rumahtangga adalah berbeza sekali antara satu dengan yang lain.

Ada suami yang suka isterinya duduk di rumah tanpa bekerja meskipun isterinya memiliki kelulusan akademik yang cemerlang. Ada suami yang suka isterinya duduk di rumah meskipun sebelum menikah isterinya aktif bergiat di dalam kanvas masyarakat. Dalam satu siri kuliah Ustaz Haslin, apabila ditanya adakah isterinya bekerja, beliau menjawab. "Tidak, saya cemburu kalau sekiranya saya balik rumah, isteri saya tiada di rumah."

Allah :)



Mencari Redha Allah

Seorang hamba Allah yang berkahwin setelah menamatkan zaman persekolahan sering ditanya oleh gurunya bilakah beliau akan menyambung pengajiannya. Setiap kali wanita tersebut memanjangkan soalan kepada suaminya, suaminya menjawab dengan senyuman, "Saya sedang belajar, untuk menjadi isteri."

Dan semakin lama usia pernikahan, guru wanita tersebut masih tidak lupakan soalan bilakah wanita itu akan menyambung pengajiannya sehingga beberapa waktu yang menyebabkan gurunya kecewa dengan sikap wanita tersebut yang hanya diam dan tersenyum setiap kali diajukan soalan berkenaan pengajiannya. Akhirnya, guru tersebut merasakan bahawa wanita tersebut tiada matlamat hidup dan 'menamatkan' perjalanan kembara ilmunya setelah menikah.

Suatu hal yang tidak diketahui oleh guru tersebut ialah matlamat wanita tersebut hanya mahukan redha Allah.



Raikan Mereka

Ada wanita apabila sudah berkahwin hatta memiliki 6 orang anak pun masih mampu untuk menyelesaikan pengajian PhD bersama-sama suami.

Ada wanita apabila sudah berkahwin boleh bekerja dan menyambung pengajian dalam waktu yang sama.

Ada wanita apabila sudah berkahwin boleh meneruskan pengajiannya bersama suami.

Ada wanita apabila sudah berkahwin boleh terus aktif bergiat di lapangan masyarakat.

Namun, tidak semua wanita boleh memiliki kehidupan yang sama keadaannya sebelum bernikah dan selepas menikah. Setelah bergelar seorang SURI kepada lelaki bergelar SUAMI maka kehidupannya seolah diletakkan kepada keputusan dari suami.

Seorang sahabat wanita datang menemui Rasulullah saw memberitahu dirinya dipinang, beliau bertanya "apakah kewajipan seorang isteri terhadap suami, kalau aku mampu lakukan pasti aku akan berkahwin dengannya."

Rasulullah menjawab, tidak akan tertunai tanggungjawab seorang isteri ke atas suaminya meskipun si isteri menjilat lelehan darah dan nanah yang mengalir dari hidung suami. Sekiranya diperbolehkan seorang manusia bersujud kepada manusia lainnya pasti ku perintahkan isteri bersujud di kaki suami mereka.

Allahu Allah.

Jangan pernah memandang seorang atau merasakan pelik kenapa seorang yang punya master atau PhD tetapi hanya menjadi surirumah sepenuh masa. Mereka mungkin tidak dapat berbakti kepada masyarakat di luar sana yang mana lebih ramai dan besar peluang dakwah, hal ini kerana mereka sedang membina 'ummah' yang kecil dari dalam rumah dengan tangan dan ilmu yang mereka miliki. Boleh jadi, isteri yang duduk di rumah lebih bahagia dan tenang kerana taat dengan perintah suami dibandingkan dengan wanita yang bekerjaya di luar tanpa redha dari suami.

Indahnya kehidupan ini diukur dengan neraca kita, manisnya nikmat berumahtangga bukan dilihat dengan mata orang lain tetapi dengan mata hati setiap pasangan itu sendiri.

Bak kata Dr Harlina Siraj,
"Seorang suami yang banyak bertolaransi dengan isteri akan memudahkan wanita menjadi isteri solehah!"

:)

Isteri solehah itu bukan 'macam isteri si fulan' atau 'si fulanah', ia bergantung kepada suami masing-masing kerana setiap suami itu berbeza ciri dan wataknya. Asal saja menurut acuan syariat dan sunnah, maka berusahalah untuk terus merebut hati dan cinta pasangan masing-masing.

Wallahua'lam.

Insyirah Soleha,
Bertatih menjadi isteri...

sumber : Niqob Girl

Sunday, December 29, 2013

Hebatnya Nikah : Persiapan Bakal Pengantin.



Sungguh ajaib ketentuan Allah SWT,
menemukan dua hati berlainan jantina dalam sebuah ikatan pernikahan.
Di dalamnya terdapat suatu rahsia yang sungguh luar biasa.
Bagi jiwa yang mendambakan redha Rabb-Nya.

***

Bismillah,

Menarik untuk dikongsikan. Seminggu dua ini, terpapar dibanyak saluran media eletronik, media maya dan juga media cetak tentang suatu isu yang evergreen sehingga kini, iaitu tentang perkahwinan. Menurut kajian yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seramai 2.5 juta penduduk di negara Malaysia yang berumur 25 tahun ke atas tidak berkahwin dengan beberapa faktor yang dinyatakan.
Saya terfikir dan merenung seketika pagi tadi. Akal menerawang jauh seolah-olah mengamati realiti itu. Ya. Sebenarnya soal jodoh, perkahwinan dan pembentukan keluarga itu sangat-sangat dekat dengan kita semua. Semua orang punyai impian, hasrat dan harapan untuk melalui fasa-fasa itu bukan?
Anda pula bagaimana?
Namun, ada sesuatu yang harus dilihat ialah tentang pandangan masyarakat tentang “dunia” perkahwinan itu sendiri. Wujudnya suatu kelompok dan golongan yang menyatakan bahawa tentang kesengsaraan, kesusahan, huru hara dan pahitnya dunia perkahwinan itu. Akibatnya, kini ramai mulai bertimbang-timbang dan berkira-kira untuk tidak memilih untuk berkahwin.
Saya terbaca banyak artikel-artikel yang menonjolkan beberapa public figure, tokoh korporat dan para artis-artis yang memilih untuk hidup membujang kerana pelbagai faktor. Dan menariknya, ada dikalangan mereka begitu “teruja” dan mengesyorkan agar hidup membujang tanpa pasangan itu sebagai suatu pilihan yang baik untuk anak-anak remaja hari ini. Terdiam saya membacanya.
Lihatlah di dada akhbar hari ini, yang ditonjolkan ialah konflik rumah tangga, isu-isu pergaduhan suami isteri, cerita-cerita naik turun-naik turun mahkamah antara pasangan artis dalam menyelesaikan kemelut rumahtangga mereka, perebutan harta antara keluarga-keluarga dan sebagainya. Justeru, akhirnya imej perkahwinan itu kian tercemar dan tercalar.
Lalu, timbullah slogan-slogan dan imej-imej yang negatif tentang perkahwinan. Saya sendiri dihubungi oleh beberapa orang adik serta kenalan yang mengutarakan suatu perasaan bahawa mereka sangat-sangat takut, gerun dan bimbang untuk melalui alam perkahwinan ini.
“ Abang, saya rasa takutlah dan bimbang untuk berkahwin. Bolehkah kalau kita tak kahwin?,”
“ Ustaz, jika kita memilih untuk membujang sehingga akhir hayat agak-agak boleh diterima kah dalam pandangan Islam?,”
Lebih kurang begitu bentuk-bentuk perkongsian yang diterima. Ia membuatkan saya terfikir, termenung jauh juga. Agak sukar untuk merespon tentang hal-hal sebegini.

***
Imej Perkahwinan : Ia harus “dicerahkan” sebersih-bersihnya
Sahabat pembaca, bagaimanakah kalian memandang tentang dunia perkahwinan itu sendiri? Adakah ia suatu yang mesti dan perlu dilalui? Atau kita akan berkahwin kerana semua orang disekeliling kita berkahwin?
Atau, ada yang berpandangan ia hanya pelengkap dalam lalui kehidupan kita sahaja. Terpulang kepada kita sendiri dengan pengalaman, pendapat dan kebijaksanaan “akal” kita dalam menilainya. Justeru, usahlah kita terlalu mementingkan fasa ini dalam kehidupan. Adakah begitu?
Jika itulah yang kita fahami setakat ini, harusnya kita lihat ia dengan kacamata Islam dan bagaimana Islam meletakan perkahwinan sebagai salah satu aspek terpenting dalam peradaban kemanusiaan. Menurut, Sheikh Tariq Ismail Kakhia dalam bukunya, Az-Zauji al-Islamy(Perkahwinan di dalam Islam) menyatakan bahawa Islam sungguh-sungguh mementingkan soal perkahwinan ini. Sehingga, perkahwinanlah dapat memenuhi separuh keagamaan dan keimanan seseorang muslim. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud :
“ Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah pun melengkapi separuh daripada agamanya. Maka bertaqwalah ia kepada Allah di separuh yang belum lagi.” ( Riwayat Baihaqi)
Seruan Rasulullah SAW  kepada para pemuda-pemudi dengan suatu signal yang sangat jelas dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud :
“ Wahai golongan pemuda-pemudi! Siapa diantara kamu yang mempunyai kemampuan, maka hendaklah dia berkahwin, kerana dari perkahwinan boleh menyelamatkan penglihatan dan kemaluan kamu. Dan siapa yang tidak mempunyai kemampuan, maka hendaklah ia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu boleh melemahkan syahwatnya.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud)

Apa hebatnya dengan perkahwinan dan pernikahan ini?
(1) Berkahwin dapat mendekatkan dan menghampirkan kita dengan Allah SWT. Kemanisan iman itu akan tertingkat jika kita meletakkan matlamat pernikahan itu pada asasnya yang betul dan benar.
(2) Bernikah itu akan memberikan suatu jalan yang bersih, suci dan halal dalam kita melempiaskan keinginan hawa nafsu kita. Malah, hubungan suami isteri itu dikira sebagai ibadah dan diganjari pahala daripada Allah SWT.
(3) Ia juga akan memberikan suatu perasaan yang sungguh membahagiakan, menenangkan dan melapangkan bagi pasangan suami isteri. Indahnya apabila ada insan yang mencintai, menyayangi dan melindungi kita.
(4) Berkeluarga itu adalah suatu anugerah Allah SWT. Ia akan mendewasakan dan mematangkan lagi suami isteri dalam mengurus hal-hal rumah tangga secara bersama. Anugerah ini jika dilalui dengan bersama, wujudnya persefahaman dan serasian ia adalah bentuk-bentuk kejayaan yang akan membawa ahli-ahli keluarga kepada keredhaan Allah SWT.
(5) Suami isteri adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Titik-titik kelemahan dan kekurangan yang ada akan dibantu oleh pasangan untuk sama-sama perbaiki dari satu tahap ke satu tahap. Hal ini, amat sukar difahami kecuali hanya bagi yang telah berkahwin. Nak tahu lebih lanjut? Anda kenalah kahwin dulu.
(6) Satu lagi, perkahwinan itu boleh menambahkan rezeki manusia. MasyaAllah, benar. Ini sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : Dari Aisyah Radiallahu-Anha, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta. (Riwayat Al-Imam Al-Bazzar).
(7) Perkahwinan itu satu perkongsian. Bak kata pepatah : Sharing is caring. Dengan berkongsi cita-cita, harapan dan impian – kita akan lebih kuat, hebat, luar bisa dan bersemangat untuk mencapai serta menggapainya. Itulah hebatnya perkahwinan, jika pasangan hidup kita adalah pasangan yang hebat maka kita akan tertempias aura atau gelombang kehebatannya.
(8) Manusia itu akan sunyi dan sepi tanpa pendamping, teman dan pasangan. Islam memberikan suatu kaedah dalam mengubati kesunyian itu melalui perkahwinan. Melaluinya, pasangan suami isteri dapat berkongsi perasaan, cerita dan segala-galanya secara bersama.
(9) Melalui perkahwinan, insyaAllah – Allah SWT akan anugerahkan cahaya mata dan anak. Ia adalah buah hati yang tidak tergambar bagaimanakah perasaan bagi yang memilikinya. Anak bukanlah bebanan, tetapi suatu amanah yang harus dipelihara dengan sebaiknya.
(10) Rumahtangga ini adalah umpama suatu bentuk organisasi berskala kecil yang di dalamnya terdapat suatu sistem pengurusan yang menyeluruh. Bagi yang berkahwin, mereka akan berusaha mengurusnya sebaik mungkin agar keluarga yang dibina dapat dikendalikan dengan seimbang, teratur dan sistematik.
MasyaAllah – inilah sunnah yang besar manfaat, pahala dan kebaikan bagi yang melihatnya melalui kacamata keimanan dan ketaqwaan.
***
Tips : Harus milik 3 kunci sebelum bernikah
Saya teringat, ketika bersembang-sembang dengan beberapa orang sahabat saya pada suatu hari. Isu yang paling diminati oleh kebanyakan orang.
“ Sebelum berkahwin, biasanya seseorang itu perlu ada tiga “kunci”,” Kata seorang sahabat saya. Ajuan pertanyaan kepada kami semua yang ada.
“ Apa tiga kunci itu?,” Sampuk seorang daripada kami.
“ Haa.. cuba teka,” Katanya.
Semua berfikir-fikir sambil berusaha menjawab. Bicara kami diteruskan sambil menikmati juadah rojak ayam dan nasi ayam di kedai D’Bagan yang sangat menyelerakan.
Terus dia berkata :
“ Pertama, kunci pejabat,”
“ Kedua, kunci kereta,”
“ Ketiga, kunci rumah,”
Kemudian dengan spontan saya berkata, :
“ Ada satu lagi, cuba teka?,”
“ Kunci Syurga!,” Ada yang cuba menambah.
Saya tersenyum sambil menyuap makan ke mulut.
“ Ada satu lagi, tahu apa dia ?,”
“ Kunci spare!,” Kata Saya.
Masing-masing ternaik kening dan riak muka sedikit teruja. – Smile -
Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti sebelum ini adakah saya benar-benar bersedia atau tidak di saat melangkah kaki ke alam rumah tangga. Namun, dengan ilmu serta pengalaman yang amat-amat sedikit dan terbatas saya melalui dengan penuh usaha untuk lakukan yang terbaik serta meletakan sepenuhnya pergantungan hanya kepada Allah SWT. Kepada-Nya jualah diri ini kembali.
Dan, selain itu juga hasilnya ialah tanggapan saya tentang dunia perkahwinan sebelum berkahwin amat berbeza dengan tanggapan saya tentang alam perkahwinan selepas melaluinya.
Mungkin benarlah, apa yang murabbi saya sebut : “ Lalui dunia perkahwinan dengan persepsi yang sederhana, dan di saat-saat melaluinya teruslah belajar dan belajar serta perbaiki diri dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.”
Justeru, apakah yang seharusnya kita lakukan?
Wallahu’alam, berdasarkan bual bicara bersama mereka-mereka yang telah lama dalam fasa ini – bersedialah bersungguh-sungguh sebelum melangkah ke alam berumah tangga. Ia meliputi minda, hati, fizikal dan rohani. Saya ringkaskan ia berdasarkan apa yang pernah dikongsikan oleh murabbi saya melalui cetusan pandangan oleh Sheikh Hisham al-Wady. Katanya 3 kunci persediaan yang harus ada bagi bakal pengantin sebelum mendirikan rumah tangga iaitu :
(1) Memahami dan mendalami Deen Islam sebagai cara hidup
(2) Mengamati dan fahami perbezaan antara lelaki dan perempuan (Serius : Hal ini sangat-sangat penting & ramai yang terlepas pandang)
(3) Mengutip kefahaman sedalamnya tentang dunia perkahwinan itu sendiri

Dan, antara persedian dan persiapan yang paling penting ialah persediaan kejiwaan. Di sinilah titik kekuatan yang paling utuh dan ampuh dalam menghadapi rumahtangga kelak.
3 kunci ini harus kita pegang dan miliki sebelum melangkah ke alam pernikahan atau perkahwinan. Dan, ingin saya kongsikan beberapa buah buku yang baik yang harus kita baca, fahami dan teliti sebagai rujukan untuk mendirikan rumahtangga. Antaranya ialah :

Bahagia Merayakan Cinta, Tulisan Ustaz Salim A.Fillah. Versi Melayu.
Buku ini sangat baik kupasan. Bahasanya menyentuh jiwa dan miliki sentuhan perasaan yang sangat “halus”.

Mutiara Perkahwinan Menurut Pandangan Islam, tulisan Sheikh Muhamad Ali Qutb. Tulisan asas dan basic tentang dunia perkahwinan. Hujjah, dalil dan kupasannya sangat mudah difahami.

Mencapai Pernikahan Barakah, tulisan Mohammad Fauzil Adhim. Buku ini saya baca dengan bersahaja dan sungguh menyenangkan jiwa. Salim A. Fillah ketika menulis bukunya, banyak mencatatkan point-point  penting dari buku ini.
Beginilah Seharusnya Suami Isteri Saling Mencintai, tulisan Sheikh Fathi Muhammad Ath-Thahir. Tulisan amat menarik, sesuai untuk pasangan yang baru berkahwin dan yang telah lama berkahwin. Bacalah, hati pasti berbunga-bunga.

Ini sebahagian sahaja buku yang sempat saya kongsikan saat ini. Mudah-mudahan saya boleh kongsikan pelbagai lagi rujukan dan bahan bacaan di masa-masa mendatang.
***

Penutup : Penikahan itu sebahagian daripada batu-bata kehidupan
Hebatnya kita sebagai mukmin, apabila apa sahaja kita lakukan matlamat dan niatnya jelas. Begitu juga dalam soal perkahwinan ini. Fasa-fasa yang dilalui dalam kehidupan bermula daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan seterusnya melangkah ke alam dewasa menjadi sesuatu yang akan dilalui bagi setiap insan di dunia ini. Fasa-fasa ini adalah titik perubahan yang meninggalkan pengaruh, kesan dan bekas kepada setiap manusia yang mengalaminya.
Begitu juga, dalam konteks alam rumah tangga. Setiap manusia yang normal, secara fitrahnya memiliki hasrat dan keinginan untuk mendirikan rumah tangga. Impian untuk mempunyai pendamping hidup, peneman dan insan yang dikasihi serta disayangi secara lebih dekat itu dengan suasana hidup secara bersama. Mereka ingin dikat serta berkongsi hidup secara halal, suci, bersih dan sah. Namun, suatu persoalan yang harus jelas tertanam dalam benak kita ialah apakah sebenarnya tujuan kita mendirikan rumahtangga melalui jalan pernikahan ini?
Hebatnya Nikah, Jika Semuanya Untuk Allah!

Wallahu 'alam.

Sumber asal : Bro Hamzah, Langit Ilahi

--

p/s: Bagi yang bertanya, background instrumental blog ini ialah; Arwen's Vigil by Piano Guys. 


Wednesday, December 25, 2013

Mim. Alif. Ta. Ya.


Andai kita diciptakan untuk berbahagia selamanya di dunia,
Nescaya Syurga itu akan kehilangan istimewanya.
Dan pastilah kematian itu dicipta tiada.

***

151213


Bismillah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Selawat & salam buat Nabi junjungan, Nabi Muhammad sollallhu 'alaihi wa sallam.

Baru-baru ini sangat meluas berita kesyahidan almarhum Ahmad Ammar, seorang pemuda yang berjiwa besar & memainkan peranan yang sungguh hebat dalam perjuangannya menyebarkan dakwah di bumi Turki. Bahkan almarhum juga disemadikan di kawasan persemadian sahabat Nabi, Abu Ayyub al-Ansari. Subhanallah.

Dalam pada pemuda pemudi seusianya yang mabuk dengan syndrom mahu 'berbakal imam', 'berbakal makmum', sibuk dengan virus k-pop & trend-trend terkini, Almarhum mengejar matlamat & cita-cita yang lebih mulia; yakni syahid memperjuangkan agama. Subhanallah. Apa lagi kemenangan yang lebih bermakna melainkan bertemu Allah dengan cara yang diredhaiNya, bahkan mendapat ganjaran syurga & disandingkan dengan bidadari yang suci lagi terpelihara? Allahuakbar.

"Mungkin dunia ini terlalu kotor untuk menampung jenazah Ammar yang mulia, tapi bukankah Nabi pernah bersabda di dalam hadis baginda bahawa, seseorang yang soleh apabila dia mati, akhirat adalah kerehatan baginya setelah dia kepenatan di dunia." [Ust Hasrizal, Program 'Ammar Bertemu Bidadarinya'] 

Allahuakbar... :'(

Belum pun surut perihal kesyahidan Ammar yang meninggal di usia yang muda, berapa ketika selepas itu, diberitakan pula seorang sahabat sewaktu sama-sama menuntut ilmu di USM dahulu kembali ke rahmatullah. 

Rata-rata dalam kalangan kami semuanya terkejut arwah meninggal dalam usia yang muda; 23 tahun. Benarlah usia tua & penyakit bukanlah syarat wajib kematian. Boleh sahaja kita mati dalam usia yang kita anggap masih muda, boleh juga kita mati dalam pada kita menyangka kita sihat segar bugar segala. 

Sebak terasa membaca catatan-catatan sahabat-sahabat yang menukilkan momen bersama almarhum. Almarhum dipuji sebagai sahabat yang baik, soleh serta sentiasa bersemangat dalam gerak kerja dakwahnya.

Hari yang sama, malam itu... sewaktu hendak tidur, tiba-tiba sahaja diri ini terasa sebak & insaf apabila terpandangkan katil.

"Malam semalam pun arwah seperti aku. Tidur di atas tilam. Tetapi malam ini arwah tidur di dalam tanah.... siapa tahu, mungkin esok lusa giliran aku pula tidur di dalam liang lahad..."

Astaghfirullah. :'(

***

Ketahuilah saudara saudariku...

Malam ini mungkin kita tidur di atas katil yang empuk, berselimut tebal menepis rasa kedinginan. Malam esok siapa tahu kita akan tidur di dalam liang lahad, diapit kiri kanan oleh tanah, berselimut hanya dengan kain kafan.

Ada pepatah menyebut: "tomorrow never die." Tetapi jangan kita lupa.. "tomorrow maybe we'll die.."

Sungguh... kematian itu sungguh dekat. 
Sungguh... cukuplah kematian sebagai peringatan & nasihat..

Periksa bagaimana kita menjalani kehidupan kita seharian. Telitilah apa perbuatan yang kita lakukan untuk mengisi masa kita dalam sehari-hari.

Jika kita banyak isikan ruang masa itu dengan keduniaan, kita akan rasa kehidupan akhirat itu seperti jauh sangat lagi. Kadangkala sampai terasa seakan-akan akhirat itu tiada. Disebabkan terlalu sibuk dengan kehidupan dunia, kita terlupa akan kewujudan kehidupan akhirat yang abadi.

Teliti semula, apa yang kita banyak lihat. Adakah lebih rancak kita melihat program hiburan yang melalaikan melebihi program ilmiah yang penuh pengisian? Adakah kita lebih banyak lihat perkara-perkara lagho & haram seperti cerita yang pelakonnya tidak menutup aurat, jalan ceritanya tiada manfaat atau kita banyak melihat wajah-wajah ulama' memberikan ceramah & peringatan untuk pedoman di masa mendatang?


Apakah kita lebih banyak menghabiskan masa di laman sosial berbanding melihat al-Quran?

Jom muhasabah diri, apa yang banyak kita ingati, lirik lagu terkini ataupun surah-surah untuk dihafazkan?


Mari semak semula, apa yang kita banyak kita dengar. Adakah kita lebih banyak mendengar gelak ketawa terbahak-bahak daripada program keduniaan, atau lebih banyak telinga kita mendengar kalam al-Quran, mahupun murobbi memberikan pengisian & tips menjalani kehidupan yang lebih barokah?



Juga mari kita amati semula, apa yang banyak kita sebut. Adakah banyak bibir kita mengalunkan kalam mulia kalam al-Quran, berzikir mahupun beristighfar ataupun lebih banyak kita mengumpat, atau menyanyikan bicara-bicara keduniaan? 


Mencicip kalam Ustazah Norhafizah Musa sewaktu mengisi tazkirah usai maghrib semalam; "Muslimin yang tidak pergi ke masjid, bertanyalah kepada dirinya, jika dia mati, dia hendak bawa jenazahnya ke mana? Masjid tidak kenal siapa dia kerana tidak pernah bertamu mencecahkan dahi untuk bersujud kepada Allah."

Astaghfirullah. Ampunilah segala dosa-dosa kami, ya Allah. :'(

***

Bukanlah kematian itu yang patut ditakuti, tetapi takutlah mengenangkan dosa yang mana bakal mengubah cara kita mati (mudah atau penuh derita), penghujung waktu kita mati (dalam kemuliaan atau kehinaan), & bagaimana kehidupan kita selepas mati (diseksa di dalam kubur @ lena damai dalam kerehatan).

Para murobbi selalu berpesan, jangan kita takut mati.. kerana kita semua akan mati & akan dikembalikan semula kepada Allah; pemilik kita yang abadi. Oleh itu, jangan takut mati. Tetapi berusahalah untuk memilih penghujung yang baik.. insyaAllah. 

Bukankah seumur usia kehidupan atas kehidupan ini adalah persiapan untuk kita ke negeri akhirat? & alam barzarkh adalah transit untuk ke perkampungan asal kita yang abadi.

Sayidina Bilal tatkala saat-saat menghadapi sakaratul maut hanya tersenyum melihat isterinya yang cantik rupawan menangisi keadaannya yang sudah nazak.

"Sungguh... tiada di dalam kehidupanku yang lebih menghibakanku melainkan saat ini.. saat untuk aku berpisah denganmu wahai suamiku yang sangat aku cintai.." ujar isterinya dengan tangisan pilu.

Sayidina Bilal lalu menjawab: "janganlah bersedih sayangku kerana saat ini adalah saat-saat yang paling aku tunggu-tunggu.. saat yang paling indah di dalam hidupku.. saat untuk aku bertemu dengan Allah & rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam yang sangat aku rindu... selama ini kehidupan inilah yang menyekat aku daripada berkumpul semula dengan mereka yang aku rindui."

:') Allah..

Bebezanya cara ahli syurga memandang kematian & kehidupan akhirat berbanding kita ini...


***

Firman Allah SWT,

"Katakanlah (Muhammad), "Apakah perlu Kami Beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya?" 

"Iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedang mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya." 

"Mereka itu adalah orang yang mengingkari ayat-ayat Tuhan mereka & tidak percaya terhadap pertemuan denganNya. Maka sia-sia amal mereka & Kami tidak akan memberikan penimbangan terhadap (amal) mereka pada hari kiamat." 

"Demikianlah, balasan mereka itu neraka jahannam, kerana kekafiran mereka, & kerana mereka menjadikan ayat-ayatKu & rasul-rasulKu sebagai bahan sendaan (olok-olok)" 

[Surah 18; al-Kahf : ayat 103-106]

Gerun apabila mentadabbur ayat ini. Seolah-olah kita sangat confident memasuki dewan peperiksaan, confident sewaktu menjawab soalan & dengan confident kita akan skor dengan cemerlang. Namun, apabila keputusan peperiksaan diumumkan, kita memperolehi D atau E bagi semua subjek yang diambil. 

Terkejut? Kecewa? Hampir gila apabila memikirkan mengapa kita boleh gagal sedemikian rupa? Analogi ini sekadar contoh picisan, kehidupan dunia. 

Manakala jika kita gagal di akhirat, seperti yang Allah gambarkan di dalam surah ke-18 ayat 103-106 itu, ternyata waktu itu tiada apa makna kehidupan kita berpuluh-puluh tahun di dunia itu. Sia-sia. Kita muflis. Kita gelandangan di akhirat. 

Sedangkan orang-orang lain, bergembira atas nikmat kurniaan Allah, balasan syurga yang tidak tergambar indahnya, dapat menatap keindahan wajah Allah, dapat bertemu dengan Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam. Sedangkan kita, Allah tak nak bertemu kita. Nabi sollallahu 'alaihi wasallam tak kenal siapa kita, tak mengaku kita ini umat baginda. 

Astaghfirullah.
Allahumma solli 'ala sayyidina muhammad.

***

Pesanan ini untuk diri ini & kalian yang membaca,

Liang lahad itu boleh jadi tamanan mengharum mewangi & nyaman seperti pelukan kasih sayang seorang ibu andai kita ini hamba yang Allah redhai & taat sepanjang kehidupan atas dunia ini.

Liang lahad itu juga boleh menghimpit tubuh badan hingga rusuk bertemu rusuk & disengat ular & jengking yang berbisa andai kita ini hamba yang Allah murkai sepanjang di dunia yang fana ini.

Maka, pilihlah.

:'(

Moga Allah ampuni semua dosa-dosa kita & menerima semula amalan kita yang tidak sempurna. Amiin.

Wallahu 'alam.

---
Notakaki:


Tuesday, November 26, 2013

Memandang Akhirat Melalui Dunia.



Selamanya Allah adalah pemilik kita yang mutlak.

***


Bismillah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.

Selawat & salam buat junjungan Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wa sallam.

Hari ini sudah 22 Muharram 1435H.
Mari kita muhasabah... 
bagaimana telah kita mengisi tahun baru kita ini...

***

Demi Masa

Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda yang membawa maksud; 

"Allah Memberikan dunia kepada hamba yang Dia cinta & juga Dia Beri kepada hamba yang Dia tidak cinta. Namun, Allah hanya Memberikan agama kepada hamba yang dicintaiNya."

Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya, antara tandanya ialah Allah Memberikannya kefahaman agama.

Kita ini hanyalah manusia yang hina & keji. Tetapi dengan rahmat kasih sayang Allah-lah, Allah telah memuliakan kita melalui cintaNya, melalui Islam.

Kita ini Muslim bukan kerana kita dilahirkan sebagai Muslim, tetapi kerana rahmat kasih sayang Allah Memberikan petunjukNya kepada kita agar kita mencariNya, mendekatiNya, mengabdikan diri kepadaNya melalui ilmu-ilmu dan makrifatNya.

Berapa ramai yang dilahirkan sebagai Muslim namun, hanya Muslim pada namanya sahaja. Tidak menunaikan solat, tidak menutup aurat, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat. Astaghfirullah.

Apabila Allah tidak menghendaki kita lagi,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan dunia,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan anak-anak,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan menjalankan perniagaan,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan menambahkan harta dunia,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan mencari pengaruh, pangkat & kuasa,
Alangkah ruginya kerana semuanya akan ditinggalkan.... akan hancur... 
Allah... 

Sekiranya kita mampu bertanya pada orang-orang yang telah pergi terlebih dahulu menemui Allah. Dan jika mereka diberi peluang hidup sekali lagi. Semestinya mereka tidak akan pilih untuk bermati-matian bagi merebut dunia, kerana tujuan kita hidup adalan untuk menyembah Allah & beribadah kepadaNya.

Tidak akan Allah ciptakan manusia sekiranya untuk merebut habuan dunia kerana sebenarnya apa yang kita perolehi hingga ke saat ini pun adalah ketentuan dari Allah SWT.

Kita mungkin cemburu melihat manusia lain lebih dari kita daripada segi pangkat, harta & sebagainya.

Kenapa 
Kita tidak pernah cemburu melihat ilmu orang lain lebih tinggi dari kita...?
Mengapa kita tidak pernah cemburu melihat amalan orang lain lebih baik dari kita...?
Kita tidak pernah cemburu melihat manusia lain bangun disepertiga malam, tahajjud & munajat kepada Allah.

Sebaliknya, kita cemburu melihat orang lain menukar kereta mewah, sedangkan jarang kita cemburu melihat orang lain khatam quran dua kali sebulan..


Kesemua petanda-petanda ini menunjukkan dunia di akhir zaman. Apabila harta, pangkat, wang mengatasi segala-galanya.

Setiap kali hari lahir kita, kita sibuk meraikannya sebaik mungkin, tetapi kita telah lupa bertambahnya umur, makin dekat kita akan dijemput Ilahi..

Muhasabah bersama wahai teman.

Masa kita kian suntuk. Umur Masihi kita mungkin baru 25 tahun sedangkan umur hijri kita sebenarnya sudah 26 tahun. Itu petandanya usia kita makin pendek. Waktu kita menyiapkan bekal semakin singkat. 

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam pernah meminta Zaid Ibn Tsabit mempelajari & menguasai bahasa, tulisan & pertuturan bangsa Yahudi kerana baginda ingin mengetahui tentang bangsa tersebut. Dengan keizinan Allah, Zaid Ibn Tsabit menguasai bahasa, tulisan & bertutur dengan baik di dalam bahasa Yahudi hanya dalam masa 14 hari!

Subhanallah.
Lihatlah betapa berkatnya masa mereka.
Lihatlah betapa bersihnya hati mereka.

Hari ini.. cuba kita renung...
Berapa banyak bibir kita mengalunkan istighfar meminta ampun.
Berapa banyak bibir kita mengucapkan syukur atas semua nikmat.
Berapa banyak selawat di panjatkan kepada Nabi memohon syafaat.

Masa kita banyak dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.
Masa kita sekejap sahaja sudah berlalu tanpa diisikan dengan ibadah yang bermakna.

Astaghfirullah...

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman & beramal soleh (mengerjakan kebajikan) serta saling menasihati (berpesan-pesan) dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran." [al-Asr (103 :1-3]

***

Hijrah & Niat

Ketahuilah. Setiap dari kita pasti bercita-cita tinggi. Memasang angan-angan yang besar untuk memanfaatkan dunia ini agar kita boleh menuai hasilnya di akhirat kelak.

Kalau boleh, kita juga mahu menggenggam segulung PhD. Mahu bergelar ilmuan & pakar di dalam bidang yang diceburi.

Namun, apabila semakin tinggi kita mencedok ilmu Allah, akan kita mengerti bahawa sesungguhnya ilmu Allah itu terlalu luas untuk ditakluki. Semakin banyak yang dipelajari semakin banyak juga yang tidak diketahui. Terasa semakin jahil.

Sungguh... kita rugi jika setinggi ini Allah telah meletakkan diri, gagal mendekatkan kita kepada Ilahi. 

Sungguh... kita rugi... jika sudah ke tahap ini Allah meletakkan diri, gagal menjadikan Dia paling tinggi di dalam hati.

Ketahuilah setinggi manapun kejayaan dunia berjaya kita takluki, jika bukan niat kita kerana Allah... maka semuanya akan jadi kosong.

Jika setahun awalan kita berjaya menggenggam title 'Dr.' di pangkal nama menjadikan kaki tidak jejak ke bumi, namun semuanya akan tawar menjelang hari-hari, apabila keterujaan itu perlahan-lahan sirna.

Mahu berjaya di dunia, mahu berjaya di akhirat... pertamanya kita mesti menjaga niat, khas hanya untuk Allah. Jika kita mahu berjaya di sisi Allah, kita mesti ingatkan diri untuk sentiasa menjaga niat. Sentiasa perlu perbetulkan niat.

Bila kita berhijrah mahu pakai tudung labuh kerana seorang lelaki yang soleh, warak. Kita akan jadi putus asa, kecewa apabila mendapat tahu Ustaz tersebut memilih gadis lain untuk menjadi suri hatinya. Begitulah sebaliknya.

Bila kita berusaha mencapai sijil dekan setiap semester kerana mahu ibu bapa sayang kita melebihi anak-anak yang lain, hati kita akan memberontak & mengeras apabila ibu bapa tetap sayangkan adik beradik lain dengan layanan yang sekata.

Apa sahaja yang kita lakukan... jika bukan kerana Allah, jika cinta bukan kerana Allah, jika menuntut ilmu bukan kerana Allah, jika beribadah bukan kerana Allah, jika bernikah bukan kerana Allah, jika berjual beli bukan kerana Allah, jika seronok & bersedap-sedap bukan kerana Allah, maka kita akan mudah merasa jemu, perasaan yang indah itu akan terhakis secara perlahan-lahan. 

Sebab apa? Sebab sandaran kita kepada yang fana. Jika kita menyandarkan segalanya kepada Allah yang kekal abadi selamanya, insyaAllah... Allah tidak akan sesekali mensia-siakan kita.

Bila Allah Menyertai kita,
Harta yang sedikit terasa banyak.
Hidup yang sempit terasa luas,
Situasi yang sukar terasa senang.
Kerana keberkatanNya melengkapi semua kekurangan & mencukupi semua kelompongan.

Allah....

Sungguh...
Mujahadah itu sukar.
Terutama sekali waktu hendak istiqomah.

Namun yakinilah bahawa tiada mujahadah yang senang kerana pasti ada kesukaran & ujian dalam setiap mujahadah yang kita lakukan. Oleh itu, berpenat-penatlah, bersakit-sakitlah untuk Allah.

Islam tidak ajar kita bergantung banyak kepada dunia, bergantung kepada manusia. Tetapi Islam ajar kita agar banyakkan bergantung kepada Allah.

Dunia tidak mampu memuliakan kita.
Harta tak mampu memuliakan kita.

Kecantikan takkan mampu memuliakan kita. 
Ketahuilah apabila manusia terpesona denganmu, sebenarnya mereka terpesona dengan kekuasaan, rahmat & kasih sayang Allah yang Menyembunyikan semua aib-aibmu. 
Tanpa Allah. Tanpa izin Allah. Tanpa rahmat Allah.

Kita ini bukanlah apa-apa.

Bila kita letakkan Allah di dalam hati kita, mencintaiNya, mempercayaiNya melebihi apapun yang ada di dunia.. kita kira Allah akan Mengecewakan & Menzalimi kitakah?

Tidak...

Allah Sedang Melihat Kita.
Dia takkan sesekali Mensia-siakan kita...

Yakin.

***

Falfasah 7P.

Untuk hijrah & istiqomah... insyaAllah 7P ini mungkin boleh menjadi pedoman kita.

1) Penuntut : 
Rajin-rajinkanlah diri untuk terus menuntut ilmu. Menuntut ilmu tak semestinya secara official mendapat program diploma, master, ijazah dan sebagainya di mana-mana universiti.

Dengan mengikuti majlis talaqqi, majlis ilmu yang dianjurkan oleh madrasah, sekolah pondok, surau, universiti, masjid tempat berdekatan kediaman apabila kita kelapangan pun sudah dikira baik. Setidak-tidaknya dilakukan 2 kali seminggu paling kurang.

Menghadiri majlis ilmu adalah antara cara untuk mengubati hati. Hal ini kerana dalam majlis ilmu ada rahmat malaikat menaungi majlis kebaikan, terdapat orang-orang soleh di dalamnya, juga terdapat rahmat Allah bersamanya. Bahkan, menambah ilmu juga adalah salah satu cara memperbaharui iman.

Suami sebagai ketua keluarga perlu menggalakkan isteri & anak-anak untuk ke majlis ilmu. Biasakan membawa anak-anak kecil sedari mereka masih bayi ke masjid & ke majlis-majlis ilmu seperti ceramah, forum, majlis tilawah, solat jemaah, khatam quran dan sebagainya agar hati yang masih lunak & suci itu dibiasakan dengan tarbiyyah islami. InsyaAllah.


2) Pengajar :
Sesungguhnya semua burung-burung, semut-semut, makhluk-makhluk Allah merata di muka bumi ini mendoakan pengajar ilmu yang membawa manusia kepada Allah. Seiring dengan usaha menyebarkan ilmu & kebaikan kepada manusia lain, si murobbi ini juga perlulah seiring melakukan pembaikan ke atas dirinya sendiri agar tidak dicela oleh Allah seperti firmanNya di dalam surah as-Saff;

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." [as-Saff (61) : 2-3]


3) Pemurah :
Perbanyakkanlah bersedekah. Sesungguhnya sedekah adalah magnet kepada kebaikan. Semakin banyak kita memberi di jalan Allah, semakin berganda-ganda jugalah Allah akan Membalas kebaikan kepada kita baik di dunia mahupun di akhirat.

Firman Allah;

"Barangsiapa yang meminjami (menginfakkan hartanya di jalan Allah) dengan pinjaman yang baik maka Allah akan Melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah Menahan & Melapangkan rezeki & kepadaNya-lah kamu akan dikembalikan." [al-Baqarah (2) : 245] 

Firman Allah;

"Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai,pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah Melipatgandakan bagi siapa yang Dia Kehendaki, & Allah Maha Luas, Maha Mengetahui." [al-Baqarah (2) : 261]


4) Peneman Yang Soleh & Solehah :
Carilah sahabat baik yang soleh, solehah hatta hanya seorang kerana yang seorang itu lebih berharga dari 10 orang teman yang membawa kita kepada maksiat dan kehancuran. Merapatlah dengan ahli keluarga yang soleh & solehah. Carilah pasangan yang soleh & solehah supaya apabila kita tergelincir dari landasan Tuhan, dia akan menghulurkan tangan menunjuki jalan pulang menemui semula Allah. insyaAllah.

Bergabunglah juga dengan jemaah yang soleh. Jemaah ini boleh jadi membentuk usrah ataupun holaqoh. Peneman kita ke majlis ilmu. Mengingatkan kita waktu kita buntu.

Bandingan sahabat yang soleh & tidak soleh ini seperti pembuat minyak wangi & tukang besi. Lihatlah kepada siapa kita menghampir.. jika teman kita soleh, maka dia seperti pembuat minyak wangi. Kita juga akan berbau wangi. Manakala bagi teman yang tidak soleh pula sepeti tukang besi, jika kita menghampir kepadanya, jika tidak baju kita terkoyak kerana terpercik api, baju kita juga busuk kerana bau bakaran besi.

Carilah, temuilah, bersamalah, cintailah sahabat-sahabiah yang membawa kita, mengingatkan kita kepada Allah. Mereka ini ibarat bintang yang menyinar di langit kala malam hari. Berjauhan pasti akan rindu, berdekatan pasti tidak jemu. Subhanallah.


5) Persekitaran yang baik (biah solehah) : 
Sama seperti point no 1 & no 3. Carilah sahabat sahabiah yang soleh solehah & sentiasalah pergi ke majlis ilmu untuk menambah ilmu pengetahuan serta memperbaharui keimanan. 

Iman adalah seperti pakaian. Jika dipakai dalam tempoh yang lama akan lusuh & berbau. Maka, kita perlu menyucikan kekotoran & memperbaharuinya. Iaitulah dengan bertemu dengan orang-orang yang soleh, pergi ke majlis-majlis ilmu yang diumpamakan sebagai taman-taman syurga.


6) Pencetus Kebaikan :
Alhamdulillah, semakin ramai anak muda yang mengorak langkah sebagai pencetus kebaikan untuk menjadi role-model kepada para remaja Islam.

Sebagai contohnya Hilal Asyraf, Aiman Azlan, Ameen Misran, Afdholul Rahman, Almarhum Ahmad Ammar yang syahid di Turki, Afiq Sazlan, Aisyah Syakirah, Dena Bahrin, Insyirah Soleha, Asma Suardi dan lain-lain (sekadar menamakan beberapa contoh). Mereka ini remaja Islam yang hebat. Alhamdulillah. Subhanallah.

Jika kita tidak mampu menjadi pencetus kebaikan pada seantero dunia, menjadi pencetus dalam dunia sekecil dunia keluarga kita sahaja pun masih dikira satu usaha yang besar. Dengan mempamerkan akhlak yang baik, menutup aurat dengan sempurna sedangkan dalam keadaan famili kita masih tidak tutup aurat, masih tidak solat, insyaAllah, moga Allah pandang usaha itu sebagai jihad di sisiNya. Amiin.

Tiada yang kecil pada sisi Allah. Hatta kebaikan sekecil zarah akan dibalas.
Tiada yang terlepas dari sisi Allah. Hatta kejahatan sebesar zarah akan dibalas.
Semuanya akan mendapat balasan setimpal.


7) Penawar :
Mesti ada ujian dalam setiap yang kita lakukan... rentetan daripada point no.6, mungkin ada yang akan tiba-tiba Allah uji dengan kemahsyuran, populariti. Dr Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman pernah berpesan bahawa populariti buat pejuang agama itu ibarat panah yang berbisa, jika tidak disediakan penawarnya nescaya kita akan hancur.

Penawarnya tentulah Allah.

Apabila kita ingat, kita sedar bahawa kita ini adalah milik Allah & akan dikembalikan kepada Allah. Bahawa dunia ini bersama isinya akan hancur berkecai seperti debu, & kita akan tergolong dalam golongan yang menerima buku amalan samada melalui tangan kanan ataupun kiri... samada akan sepantas kilat memasuki syurga tertinggi atau tergelincir di titian sirat terjatuh ke lembah neraka yang azabnya tidak terperi...

Allah sahajalah yang mampu merawat hati daripada jatuh cinta kepada duniawi. InsyaAllah.


****

Ada sebagian dari kita yang tidak sabar.... 

Menyakini hari akhirat. Menyakini adanya hari pembalasan. Tetapi merasakan semua itu terlalu jauh.

"Akhirat jauh sangat lagi... mujahadah ini sukar sangat. rasa panjang sangat... bila semua ini akan berakhir...???"

Terasa lelah sangat. Melayan onak dunia.
Terasa letih sangat. Mengharungi ujian dunia.

Mari kita selak kembali helaian sirah untuk sama-sama bermuhasabah diri, insyaAllah.

***

La Tahzan

Ketika berduaan di dalam gua... dalam ruangan yang hanya memuatkan 2 orang manusia yang seorangnya merebahkan diri ke peha seorang laginya. Sayidina Abu Bakr rasa gementar mengenangkan kalau-kalau tempat persembunyiannya & Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam diketahui oleh pihak musuh.

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam yang menyedari akan kegusaran bapa mertuanya itu merebahkan kepalanya ke peha Sayidina Abu Bakr untuk melegakan sedikit resah hati lelaki itu.

Tatkala itu tawakal Rasulullah kepada Allah melebihi segala-galanya. Apabila Allah Berkehendak, Allah Bisa Mentakdirkan apapun..

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam kemudiannya berkata kepada sahabat baiknya itu; 

"La tahzan... innallaha ma'ana."

"Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama dengan kita."

Lalu Allah menurunkan ketenangan ke lubuk hati Sayidina Abu Bakr. Kata-kata itu memujuk hati Abu Bakr. Subhanallah.

Allah juga membantu mereka dengan bala tenteraNya yang tidak terlihat oleh pandangan mata kasar manusia biasa.

Firman Allah itulah Yang Maha Tinggi.
Allah-lah Yang Maha Perkasa. 
Allah-lah Yang Maha Bijaksana.

***

Syurga Merinduinya.

Ketika orang-orang bertanya kepada Nabi, siapakah pemuda cadangan Nabi untuk dinikahkan dengan anak gadis mereka. 

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam menjawab; 
"Bagaimana dengan Bilal?"

Mereka berasa berat hati dengan saranan Nabi. Lalu kemudiannya mereka balik. Dan mereka datang kembali. Bertanyakan soalan yang sama. Dengan harapan akan ada nama pemuda lain yang akan timbul dari mulut Nabi.

Namun Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam masih menjawab dengan cadangan yang sama. "Bagaimana dengan Bilal?"

Mereka kemudiannya kembali ke rumah masing-masing. Kemudian mereka datang kembali. Bertanyakan soalan yang sama. Meminta cadangan Nabi, tentang calon pemuda yang baik & soleh buat anak-anak gadis mereka.

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam tetap menjawab dengan jawapan yang sama. 

"Bagaimana dengan Bilal?" 

Kali ini Nabi menjelaskan mengapa Bilal menjadi pilihannya. 

..... "Dia adalah lelaki syurga." 
"Jika kita semua merindukan syurga.... sebaliknya syurga itu merindukan Bilal..." 

"Bilal adalah pemuda syurga... Syurga rindu kepada Bilal..."

:'(
Allahuakbar.


*** 

Jika kita hanya melihat melalui pandangan nafsu. Apalah pandangan mata kasar kita ini akan nampak?
Kita hanya nampak dunia.

Kita masih menilai sesorang melalui rupa parasnya.
Warna kulitnya, hartanya, pangkatnya, kereta apa yang dia guna, jumlah gajinya, berapa tingkat & luas keluasan rumahnya.

Tetapi Allah..
Allah tidak memandang itu semua.

Syurga Allah tidak mengira hanya orang yang kaya, atau hanya yang kacak, atau hanya yang bersih licin kulitnya, atau yang kurus ramping tubuhnya yang boleh masuk ke dalamnya.

Allah memandang taqwamu.
Syurga hanya menerima engkau yang diredhai oleh Tuhanmu.

Ketika kita sibuk melihat dengan pandangan keduniaan.
Seakan lupa mengapa kita diwujudkan.
Seakan lupa kemana kita akan dikembalikan...

Bilal yang hitam, tiada rupa itu.
Yang ditolak cadangannya agar dijadikan menantu pilihan kerana rupa parasnya.
Kerana dia hanya hamba abdi atau bekas hamba abdi.

Dia itu adalah kekasih Allah.
Dia itu adalah kesayangan Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam.

Kita yang masih mengagung-agungkan dunia yang sementara, nikmat yang hanya pinjaman ini...
Siapa kita di mata Allah & Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam?

***

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, maka gementarlah hatinya & apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah kuat imannya & hanya kepada Tuhan mereka bertawakal." 

"Iaitu orang-orang yang melaksanakan solat & yang menginfaqkan sebahagian dari rezeki yang Kami Berikan kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi darjat yang tinggi di sisi Tuhannya & ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia." 

[surah al-Anfal (8) : 2-4]

Segala apa yang ada di dunia, dunia ini & segala isinya hanyalah alat untuk kita mencari Allah, mendapatkan keredhaan Allah. Letakkanlah cinta makhluk di tangan & biarkan hanya cinta Allah menakluki hati. 

Mudah-mudahan Allah meredhai kita semua sebagai hambaNya & menerima semua amalan kita yang compang camping itu. 

Saya menulis ini untuk peringatan diri sendiri.
Astaghfirullah.

Wallahu 'alam.

***
Notahati:
1) Sebenarnya saya semakin sukakan merah jambu tanpa saya sedari.
2) Sejak akhir-akhir ini semakin addicted dengan Nasi Ayam Penyet.
3) Mari bersemangat menulis thesis yang sudah lama tergendala.

Robbuna yusahhil. Amiin.