Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Friday, May 25, 2012

Kenapa Perlu Mencintai Nabi SAW?



Bismillahirrohmanirrohim.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah.
Segala pujian hanya bagi Allah. 

Hari ini Hari Jumaat, Penghulu segala hari, bersamaan dengan 4 Rejab. Bagaimanakah kecintaan & kerinduan kita kepada Allah & Rasulullah SAW pada hari ini...?

Sekeras mana pun hati kita diselaputi oleh dosa, hati kita pasti akan terusik apabila disebutkan nama baginda Rasulullah SAW yang mulia, Muhammad Rasulullah SAW. Walau tidak pernah melihat wajah indahnya, atau mendengar sendiri butir bicara hikmah baginda, seluruh isi alam hingga akhir zaman ini mengakui kehebatan & kemuliaan Junjungan Mulia ini. 

Sesiapa sahaja yang mengenali baginda melalui sirah kehidupan baginda, menghayati sifat-sifat mulai baginda & menyelusuri perjalanan jalan juang dakwah baginda, pastilah akan terjatuh cinta kepada susuk agung ini.

Cinta dan rindu baginda kepada umatnya amatlah besar. Bukan sahaja terhad kepada umat pada zaman hidupnya sahaja bahkan terhadap umat selepas ketiadaan baginda, hinggalah ke akhir zaman.
Pada saat kita belum dilahirkan lagi pun Rasulullah SAW sudah pun menanggung kerinduan & kecintaan yang sangat besar & mendalam terhadap kita.

Makanya, adalah satu kekurangan, kerugian & amat menyedihkan apabila umat Nabi SAW yang tidak mempunyai rasa cinta & rindu pada baginda. Kita wajib mencintai baginda kerana;



1) Untuk Kesempurnaan & Kemanisan Iman

Mencintai Nabi SAW adalah tanda sempurnanya iman seseorang. 

Nabi bersabda; 
"Demi nyawaku di tanganNya, tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu sehingga aku menjadi orang yang dia kasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, anak & semua manusia yang lain." [HR Bukhari]

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menyebut bahawa cinta kepada Allah & Rasul adalah salah 1 daripada 3 perkara yang perlu dimiliki oleh seorang mukmin untuk mendapatkan kemanisan iman. 

Sabda baginda;
"Sesiapa yang memiliki 3 perkara ini akan dapat merasa kemanisan iman iaitu cinta kepada Allah & Rasul melebihi segala-galanya. Kedua; mencintai seseorang kerana Allah & takut kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya sebagaimana dia benci untuk dilemparkan ke dalam api neraka yang panas." [HR Bukhari & Muslim]



2) Manifestasi Cinta Kepada Allah

Apabila kita mencintai sesuatu, seseorang, kita juga lazimnya akan mencintai apa yang dicintainya. Makanya, apabila kita mencintai Allah, kita juga mencintai kekasihNya iaitu Nabi SAW. 

Adalah digalakkan untuk melazimi doa yang dianjurkan; 
"Ya Allah, jadikan aku cinta kepadaMu, pada orang-orang yang cinta kepadaMu & pada amalan-amalan yang membawa cinta kepadaMu."

Adalah tidak sempurna pembuktian cinta kita kepada Allah jika kita meninggalkan cinta pada Rasulullah SAW. 

Firman Allah SWT; "Katakanlah! Sekiranya kamu mencintai Allah, maka hendaklah kamu mengikuti ajaranku, nescaya Allah akan mencintaimu." [surat cinta ke-3, Ali-Imran : 31]

Hayati juga sabda Nabi SAW ini; 
"Sesiapa yang mentaatiku, maka dia telah mentaati Allah. & sesiapa yang menderhakaiku, dia telah menderhakai Allah. Begitu juga sesiapa yang mentaati petugasku, maka dia telah mentaatiku & sesiapa yang menderhakai petugasku, maka dia telah menderhakaiku." [HR Bukhari, dilaporkan oleh Abu Hurairah RA]



3) Melahirkan Rasa Syukur & Terima Kasih

Sesungguhnya Rasulullah SAw sangat menyayangi umatnya. Hal ini disebut Allah SWT di dalam surah ke-9 di dalam al-Quran, surah At-Taubah ayat 128 betapa dalamnya kasih & sayang Rasulullah SAW terhadap kita, umatnya.

Firman Allah SWT; 
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, & ia pula menumpahkan perasaan belas & kasih sayangnya kepada orang-orang beriman." [At-Taubah: 128]

Maka, wajarlah kita rasa bersyukur dijadikan Allah SWT sebagai umat Muhammad SAW & rasa syukur itu perlulah diterjemahkan dengan melahirkan rasa cinta terhadap baginda Rasulullah SAW.



4) Untuk Mengharapkan Syafaat  Nabi SAW

Pada hari Kiamat, semua manusia dihimpunkan dalam hiruk pikuk di Padang Mahsyar, setiap orang mengharapkan syafaat atau pertolongan untuk menyelamatkan diri masing-masing daripada azab api neraka. 

Dan umat Nabi Muhammad SAW, bagi mereka yang mencintai baginda & memperjuangkan sunah baginda adalah antara yang mendapat keutamaan untuk memperolehi syafaat baginda SAW. 



5) Untuk Bersama Dengan Nabi SAW Di Syurga

Rasulullah SAW bersabda;
"Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dia cintai." [HR Bukhari & Muslim]

Untuk bersama-sama dengan Nabi SAW di syurga, mencintai baginda adalah prasyarat utama yang perlu disempurnakan. Apabila kita benar-benar mencintai Nabi SAW, kita akan mengikut sunnah atau perjalanan hidup baginda, malah akan memperjuangkannya. Seluruh hidup kita perlulah diusahakan agar selari dengan perjalanan hidup baginda. 

Mari mencontohi bagaimana Nabi beribadah, bermasyarakat, berhibur, berinteraksi, berkasih sayang, beraktiviti dan sebagainya. Itulah tandanya kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW.



6) Untuk Mengelakkan Kemurkaan Allah SWT

Renungilah peringatan Allah SWT di dalam surah at-Taubah, ayat 24 yang memberi maksud;
"Katakanlah! Sekiranya ayah-ayah, anak-anak, adik-beradik, para isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya & tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah SWT, RasulNya, jihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya. & Allah tidak Memberikan Petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." 

Firman Allah di atas cukup jelas mengatakan peringatan Allah terhadap para hambaNya agar tidak melebihkan cintai duniawi melebihi kecintaan kita kepadaNya, RasulNya serta untuk berjihad di jalanNya. 

Apabila cinta kita kepada duniawi melebihi cinta kita kepadaNya, RasulNya & jihad dijalanNya, adalah dikhuatiri kemurkaan Allah akan membiarkan kita tanpa diberikan petunjuk serta mengazabi kita dengan tidak terperi sakitnya pada Hari Pembalasan kelak. Nauzubillah min zaliq.

Daripada kita sibuk mengejar cinta lelaki yang kita sukai, atau wanita yang kita minati, yang belum tentu membalas cinta kita, adalah lebih baik kita mencintai Dia (Allah SWT) yang Setia Mencintai & juga Rasulullah SAW yang sangat mencintai kita, umatnya ini.
Mudah-mudahan, dengan keberkatan bulan Rejab ini, akan bertambahlah kesyukuran, kekuatan & keikhlasan kita untuk mencintai Allah, Rasulullah SAW & juga untuk berjihad di jalanNya. Amiin.


****************************

Alhamdulillah, kita masih diizinkan Allah untuk meniti hingga ke bulan Rejab. Mudah-mudahan Allah Merahmati kita semua di dalam bulan Rejab, Sya'ban serta akan menyampaikan kita kepada kekasih yang dirindui, bulan Ramadhan yang mulia. insyaAllah.

Akhirul kalam, mari memperbanyakkan membaca doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW apabila tiba bulan Rejab;

*Klik untuk besarkan*



Jumu'ah mubarak! Jangan lupa baca suratul Kahf. insyaAllah.

Alhamdulillah.
Allahu'alam.


p/s: Next week adalah minggu yang dijangkakan paling sibuk, tertekan dan memenatkan. Mohon doa kalian. Jazakumullah khairan kaseer.. 


Thursday, May 10, 2012

Jemputan 'Walimah' Untukmu.

Kredit gambar : DeviantArt


Bismillahirrohmanirrohim.

Ada satu kisah. Mari baca dan menghayatinya. Ada yang tersirat untuk direnungi, difahami & disusuli dengan tindakan dan langkah. InsyaAllah. 


Dalam sebuah kampung yang damai, tenang lagi harmoni, ketua kampung, Haji Husin berhajat untuk mengadakan kenduri kesyukuran walimah anak perempuannya. Lalu dijemputnya serata ceruk penduduk kampung, saudara mara dan sahabat handai agar dapat sama-sama memeriahkan majlis.

“Insya Allah aku datang satu keluarga tapi mungkin lewat sikit sebab pagi itu aku kena lawat tapak projek” ujar Ali, rakan karibnya sejak kecil.

“Alhamdulillah tahniah tuan haji, tak sangka dah nak dapat menantu. Jangan risau kami anak muda akan turun untuk bantu majlis tuan haji nanti” kata Razak, Pengerusi Kelab Belia Kampung.

“Tuan haji nak buat kenduri? Insya Allah saya turun dan penuhi hajat tuan haji” Pak Ya tersenyum simpul memahami maksud jemputan ketua kampung itu.

Pada hari majlis walimah ketua kampung, seawal pagi sejurus selepas subuh, kelihatan Pak Ya sudah tercegat di depan pintu pagar rumah ketua kampung.

Niat kedatangannya bukan untuk makan tetapi adalah untuk membantu agar majlis kenduri berjalan lancar. Maklumlah, semua orang kenal dengan Pak Ya sebagai seorang yang sangat mahir dalam selok-belok memasak cara kampung.

Jam hampir pukul 12 tengah hari sebelum majlis bermula, kumpulan bermotor anak muda seperti yang dijanjikan Razak nampaknya masih belum tiba.

“Mungkin sebentar lagi mereka datang” Bisik ketua kampung dalam hatinya.

…………………………………………………………………………………

Dalam menerima suatu jemputan, pemahaman dan respon si penerima jemputan adakalanya berbeza-beza. Ada yang datang hanya sekadar untuk memenuhi jemputan, ada juga yang datang kerana hari itu dapur rumahnya tidak berasap dan ada juga yang datang bukan untuk makan tetapi semata-mata untuk menghulurkan keringat dan bantuan.

Dalam sudut pandangan yang lain, sejak 1400 tahun yang lalu ‘jemputan’ untuk memperjuangkan Islam telah dilaungkan melalui lidah Rasulullah s.a.w. yang mulia. Bagaimanakah respon kita kepada seruan ini?

Ada yang hanya menanti bila Islam akan kembali gemilang, ada yang hanya sekadar memenuhi program-program Islamik dan memperbaiki diri sendiri tanpa memikirkan kerosakan masyarakat sekelilingnya.

Namun ada segelintir yang sanggup menjadi pendokong kepada perjuangan Islam ini, yang sanggup memikirkan masalah umat Islam dan bagaimana cara untuk menyelesaikannya, yang sanggup berkorban masa, tenaga dan harta demi menanam kefahaman dan cinta masyarakat kepada Islam.

Perjuangan mereka lebih hebat daripada ‘Pak Ya’. Mereka bukan hanya bercita-cita melihat kemenangan Islam tetapi mereka menjadi mata rantai kepada kemenangan Islam!

Hayatilah makna disebalik Surah As-Saff : 14

“Wahai orang-orang yang beriman! Jadikanlah diri kamu penolong-penolong (agama) Allah sebagaimana (keadaan penyokong-penyokong) Nabi Isa ibni Maryam (ketika ia) berkata kepada penyokong-penyokongnya itu: "Siapakah penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah? Mereka menjawab: "Kamilah penolong-penolong (agama) Allah! ...."


Kad jemputan sudah diedarkan. Mari kita berangkat bagi meraikan 'walimah' itu! insyaAllah.

Allahu'alam..