Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Thursday, August 11, 2011

Akhlak Mahmudah & Akhlak Mazmumah.



Alhamdulillah.. fasa 1 ramadhan yang penuh dengan rahmat sudah melabuhkan tirainya. InsyaAllah, akan menjelang pula fasa ke-2 yakni fasa penuh keampunan & fasa yang terakhir yakni fasa di mana pintu syurga dibuka seluasnya, manakala pintu neraka ditutup serapat-rapatnya..

Assalamualaikum warahmatullah para pengunjung semua yang sudi menjengah ke teratak hamba yang jarang ber-update ni.. huhu. Aku sekarang agak sibuk membantu bonda tercintaku menyiapkan tempahan baju. Agak sibuk menyibuk. :D hah, alasan! 

Kagum aku melihat para sahabat-sahibah lain yang lebih penuh jadual ramadhannya, namun, tetap juga konsisten menyebarkan kebaikan melalui tinta tak berdakwat mereka di alam maya ini.. Subhanallah. Boleh bagi tips macam mana antum boleh 'menyelit' dalam kesempitan masa untuk update blog? 

Oh.. sibuk mengomel sampai terlupa akan niat utama penaipan bait-bait alfabet ini. Sebenarnya, aku mahu berkongsi dengan ilmu yang boleh dijadikan nilai tambah untuk kita semua, insyaAllah. Tempoh hari, alhamdulillah, aku berkesempatan menonton Madrasah Akhlak di saluran Astro 114, Tv AlHijrah. Ustaz Roslan Mohamed membincangkan tajuk Akhlak Mahmudah vs Akhlak Mazmumah waktu itu. 

Pertamanya; Akhlak, boleh didefinisikan sebagai kelompok sifat yang berteraskan iman dan takwa. Namun, disebabkan kewujudan kontra-nya, maka ada pula akhlak yang buruk, yakni sifat yang berteraskan perkara yang bertentangan daripada agama dan iman.
Manakala, mahmudah pula membawa makna sifat-sifat terpuji. Contohnya, pemaaf, menepati janji serta bersopan santun. Sebaliknya. mazmumah pula membawa makna sifat-sifat yang tercela. Contohnya; riak, bersangka buruk dan hasad.

Sumber mahmudah ialah daripada Al-Quran dan mewarisi dan mencontohi sifat-sifat Rasulullah saw. Manakala, mazmumah pula berpunca daripada iblis dan merupakan ciri-ciri orang yang mewarisi iblis.

Imam Al-Bahty mengatakan bahawa akhlak yang terpuji merupakan tiang kepada manusia. Hal ini membuktikan bahawa akhlak adalah sangat penting dalam pembentukan keseluruhan seseorang itu. Sebagaimana perumpamaan Solat Itu Tiang Agama menunjukkan pentingnya solat sebagai penegak kepada agama di dalam diri seseorang.

Sahabat pernah bertanya kepada Rasulullah saw; "Ya Rasulullah, apa itu agama?" Lalu, Rasulullah saw menjawab; "Akhlak yang baik (terpuji)."

Harus kita tekankan, akhlak bukanlah warisan pusaka. Maka, jika ibubapa kita tidak berapa molek akhlaknya, itu bukanlah alasan untuk kita berakhlak buruk pula. Sesungguhnya, akhlak yang mahmudah itu ditempa dengan keimanan, ilmu serta amal.

Pembentukan akhlak yang baik adalah sangat perlu yang mana akan mempengaruhi perwatakan, sikap, cara bertutur, berpakaian dan pembawakan diri seseorang itu.

Renungi sabda Nabi saw di atas tadi. Kiranya agama itu bermakna akhlak yang terpuji, maka sesiapa yang tidak berakhlak sama sahajalah dengan tidak beragama.

Maka, Allah menyarankan kita supaya mencontohi akhlak Rasulullah saw untuk membentuk sifat-sifat yang terpuji pada diri kita.

Firman Allah swt:
Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah selalu (dalam masa susah dan senang. [Al-Ahzab, 33: 21]

Akhirul kalam,

Mudah-mudahan Ramadhan kali ini, yang telah merantai iblis dan sekutunya akan dapat mendidik jiwa kita agar lebih lunak untuk berakhlak seperti mana indahnya akhlak baginda Rasulullah saw.. insyaAllah, amiin.


Selamat menyambut Fasa keampunan, semua.. 

p/s: Alhamdulillah, dapat juga update! :)

No comments:

Post a Comment

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."