Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Tuesday, September 28, 2010

Hasbunallahu wa ni'mal wakiil.


Dengan nama Allah yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Allah berfirman;
"Sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan, sesungguhnya sesudah kesulitan itu ada kemudahan."(Surah Al-Insyirah: 5-6)

Tempohari, ada seseorang datang dengan mata yang bengkak kepadaku. Mengadu sangat tertekan dengan pelbagai hal yang melanda dirinya. Dia bagai kehilangan arah kerana katanya selalunya setiap kali dia stress, teman lelakinya akan menenangkannya & memberinya pelbagai solusi untuk menangani tekanan yang beliau hadapi.


1 persoalan yang aku lontarkan buatnya;

“Bagaimana kalau suatu hari nanti dia tak ada? Kamu nak bergantung pada siapa?”

Lantas dia diam.

Pernah dengar madah ini? Kalau kita mencintai bunga, bunga akan layu, jika kita mencintai manusia, manusia akan mati.. Lantas, cinta manakah yang paling abadi?

Cintakan Allah nescaya kekal abadi. Itu jawapan madah tersebut.

Sekarang, tanyakan kepada diri kita, jika kita dilanda masalah yang maha memberat, kepada siapakah tempat pertama kita meluah rasa & berkongsi masalah? Siapakah ‘dia’ yang pertama kita bercerita menghambur semua reluk rasa di pelusuk jiwa kita itu?

Benar, kita berhak memilih kepada siapa kita ingin berkongsi rasa, tetapi tidak bolehkah kita melihat situasi ini dalam konteks yang lebih luas? Buka mata kita, buka hati kita, untuk menilai kepada siapa yang paling molek untuk kita bergantung harapan & pertolongan.

Ujian itu dari Allah, musibah itu datangnya dari Allah, bala itu datangnya dari Allah. Maka, mengapa kita mengharapkan manusia untuk menjadi tempat kita bermohon & bergantung harap sedangkan semua itu adalah datang dari Allah?

Seharusnya, dari mana, dari siapa kita datang, maka, kepada Dia jugalah kita kembali. Ayuh, mari kita meletakkan diri kita sebagai hamba. Kita ini hanyalah hamba yang tiada apa-apa jika bukan tanpa belas & kasihan daripada Allah swt. Makan kita, pakai kita, pancaindera, gerak langkah, malah, keupayaan untuk menyedut nafas ini juga adalah datangnya dari Allah.

Ibn al-Qayyim al-Jawziyyah dalam kitabnya, Al-Fawaid mengungkapkan, “kemaksiatan yang dilakukan oleh manusia sama ada besar atau kecil berpuca dari tiga perkara iaitu meletakkan pergantungan kepada selain Allah, menuruti kekuatan marah dan menuruti kehendak hawa nafsu”.

Jika kamu pernah membaca kisah Nik Nur Madihah, pelajar cemerlang yang memperolehi 20A di dalam peperiksaan SPMnya. Beliau digelar ‘wanita besi’ oleh ahli keluarganya kerana tidak pernah dilihat menitiskan air matanya di hadapan keluarganya. Saat ditanyakan sebabnya; beliau mengatakan, beliau selalu mengadu kepada Allah tentang semua kesusahan & masalah yang dihadapinya waktu bertahajjud & sewaktu menunaikan solat dhuha. Dari Allah-lah datangnya kekuatan itu.

Jika kita meletakkan Allah yang paling tinggi di dalam hati kita, insyaAllah, Allah juga akan melapangkan hati kita walau kita sedang ditimpa masalah & ujian yang berat sekali pun. Hati lapang walau susah, hati gembira walau sakit, hati tetap bersyukur walau serba kekurangan. Itulah sebaik-baik hati bagi seorang hamba. Tetap redha & lapang dada menerima ujian daripada Allah.

Tidak ada salahnya, kita mahu berkongsi rasa dengan ibubapa, adik-kakak, kawan-kawan, tetapi haruslah tetap meletakkan tawakal kita kepada Allah di tempat yang pertama. Mengadu kepada Allah dahulu, mohon petunjuk Allah dahulu. Utamakanlah Allah dalam apa jua yang berlangsung dalam hidup kita, insyaAllah.

Dengan meletakkan Allah di tempat pertama, hati kita takkan rasa resah jika tiadanya manusia yang menyokong kita di sisi kerana kita telah pun meletakkan sehabis tawakal & pergantungan kepada Allah. Tidaklah kita merasa resah jika tidak ada si polan, & si polan. Tanpa kita sedar, seolah-olahnya kita telah meletakkan pergantungan kita kepada manusia tanpa disedari. Mudah-mudahan saja kekhilafan itu tidak dikira sebagai syirik di mata Allah. Nauzubillah.

Firman Allah;
"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah, nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya. Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah, nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya." (Surah At-Thalaq: 2-3)

Malah, Allah sendiri telah mengingatkan kita;

Allah berfirman;
"Cukuplah Allah untuk (menolong) kami, dan Ia sebaik-baik pengurus (yang terserah kepadaNya segala urusan kami)". [Ali Imran: 173]

Juga ingatlah; 17 kali dalam sehari kita membacakan ayat ini;
“Engkaulah sahaja (Ya Allah) Yang Kami sembah, dan kepada Engkaulah sahaja kami memohon pertolongan.” [Al-fatihah: 5]

Maka, janganlah kita memungkiri janji kita kepada Allah dengan memohon pertolongan & meletakkan pergantungan kepada selain dari Allah, apatah lagi daripada makhluk, yang juga diciptakan oleh Allah, sama seperti kita.

Wahai orang-orang yang beriman, tetaplah berpegang teguh pada tali Allah, mudah-mudahan Allah akan terus memberikan taufik & hidayahNya kepada kita semua.

Wallahu ‘alam.




p/s: sedang menghadapi hari-hari yang sibuk. Mudah-mudahan Allah mempermudahkan semua urusan. insyaAllah.


2 comments:

  1. salam kak..

    hanya padaNya tmpat kita bertawakkal..

    makasih entrinya kak..

    as usual..really nice..^_^

    ReplyDelete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."