Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Monday, August 31, 2009

SELAMAT HARI KEMERDEKAAN



Salam warahmatullah kepada teman-teman semua...

MasyaAllah, dah tiba 31 Ogos..
Hari ini, genaplah 52 tahun hari kemerdekaan Malaysia... :)

Langsung jadi teringat pada perbualan aku dengan ibu masa cuti mid-sem hari tu. Ibu cerita tentang hal kemerdekaan.

Katanya anak muda sekarang lemah jati diri, tak faham makna kemerdekaan, apatah lagi untuk memahami jerih payah orang zaman dulu. Bagaimana susah payahnya hidup dalam zaman penjajahan. Makan ubi kayu setiap hari. Itu pun belum tentu makan, kata ibu.

Waktu itu, anak gadis hidup dalam ketakutan. Muka diconteng dengan arang. Takut nampak dekat tentera Jepun yang lalu lalang. Kena culik... kena rogol... Nauzubillah. Meremang bulu roma aku dengar cerita ibu. Nenek juga pernah cerita benda yang sama.

Alhamdulillah, sekarang, anak gadis tak perlu conteng muka dengan arang lagi dah. Sebaliknya conteng dengan maskara maybeline, blusher lancome dan lipstik Anna Sui kan? hehehe. Maaf, gurau...

Bagi aku sendiri, walau aku tidak merasa hidup dalam zaman penderitaan jajahan Jepun yang kejam dan British, tetapi aku, jujurnya, memang sayangkan negara ini.
Maklumlah, ibu suka tengok cerita Melayu patriotik, seperti filem Bukit Kepong, Darah Satria dan Sarjan Hassan.
Jadi, momentum semangat beliau meresap sedikit sebanyak kepada aku.


Selain itu aku juga memilih cerita Taekugi, lakonan Won Bin dan Jang dong Gun. Filem ini hebat, walau bukan produk Malaysia, sekurang2nya, dapat menaikkan semangat patriotik bagi penontonnya. Bagi saya, kita memang perlu tengok cerita2 perang, perjuangan sebelum merdeka, baca kisah2 perang zaman Rasulullah saw.

Supaya kita tahu, betapa deritanya kesan peperangan, dan supaya kita bersyukur dengan apa yang kita perolehi sekarang...

Syukur Alhamdulillah, teman2...
Kita memang benar2 beruntung, jika mahu dibandingkan dengan sahabat2 di negara lain. Walau baru-baru ini ada banyak cerita yang tidak enak berkenaan situasi negara yang dikatakan 'sudah tidak lagi berapa aman'. Harapnya Allah membuka semua kekalutan dan membiarkan nikmat kemerdekaan, aman dan makmur ini terus berkekalan. InsyaAllah.

Ayuh, teman2, walau tak pernah merasa derita sebelum merdeka, sekurang2nya kita mengambil iktibar dari peristiwa itu, dan bersama2lah kita menjaga nikmat yang Allah beri ini...


Detik-detik pengumuman kemerdekaan oleh Tun Abdul Rahman pada 1957


Selamat menyambut kemerdekaan yang ke-52.. :)

MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!



Sunday, August 30, 2009

AZAB BAGI PEMINUM ARAK

Bismillahirrahmanirrahim
Selamat buat hati-hati yang beriman...:)


Rasulullah saw bersabda;

"Siapa meminum arak di dunia, Allah akan meminumkannya racun hitam yang menghancurkan daging dan mukanya sebelum dia meminumnya. Jika dia telah meminumnya, maka mengelupaslah daging dan kulitnya hingga menyakitkan ahli neraka. Ingatlah, bahawa peminumnya, penyimpannya, penjaganya, penghantarnya dan yang memakan wangnya, semuanya terlibat dalam dosanya. Allah tidak mahu menerima solat, puasa, mahupun haji mereka sebelum bertaubat. Jika mereka mati sebelum sempat bertaubat, Allah akan menggantikan seteguk arak di dunia, dengan seteguk nanah Jahannam. Ingat, setiap yang memabukkan haram. Dan setiap arak itu haram."

Rasulullah saw bersabda;
"Tidak akan masuk syurga orang yang membiasakan minum arak."

Baginda bersabda lagi;
"Yang pertama, Tuhan melarangku setelah menyembah berhala adalah minum arak."

Allah berfirman;
"Sesungguhnya syaitan mengkehendaki supaya menjatuhkan kamu dalam permusuhan dan saling membenci kerana arak dan berjudi." (Al Maidah:91)

Allah berfirman;
"Orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan, setengahnya serupa dengan yang lain. Mereka menyuruh yang mungkar dan melarang memperbuat yang makruf, mereka menggenggem tangannya (bakhil). Mereka melupakan Allah dan Allah melupakan mereka. Sesungguhnya orang- orang munafik itu adalah orang-orang yang fasik (orang yang meninggalkan Allah dan Rasulullah saw-keluar dari petunjuk dan dalam kesesatan). Allah telah menjanjikan Neraka Jahannam untuk orang-orang munafik lelaki dan orang-orang munafik perempuan dan orang-orang kafir serta kekal di dalamnya. Itu cukup (untuk balasannya), Allah mengutuki mereka, dan untuk seksaan mereka abadi." (At-Taubah: 67-68)

Dari Suratun Nisa' ayat 140;
"Ertinya; "...sesungguhnya Allah menghimpun orang-orang munafik dan orang-orang kafir sekaliannya dalam Neraka Jahannam."

Firman Allah dalam An-Nisa' ayat 145;
"Sesungguhnya orang-orang munafik di tingkat yang paling bawah dalam Neraka, sedang engkau tidak memperolehi penolong untuk mereka itu."

Jibril berkata;
"Sesungguhnya Allah menciptakan Neraka dan Dia menyalakannya 1000 tahun sehingga menjadi merah. Lalu, dinyalakan lagi 1000 tahun sehingga memutih. Allah menyalakan lagi 1000 tahun sehingga menjadi hitam. Hitam pekat dan gelap. Demi Allah yang mengutuskan Muhammad saw sebagai pengutus, seandainya sehelai pakaian ahli Neraka ada di atas bumi, tentu ahli bumi akan mati semua. Dan seandainya setimba daripada minuman mereka ditumpahkan ke dalam air di bumi, tentulah mati semua orang yang meminumnya. Dan seandainya saja seseorang masuk ke dalam Neraka, kemudian dikeluarkan ke dunia, tentu ahli bumi mati kerana bau busuknya."


Neraka itu ada 7 pintu. Dari satu pintu ke pintu yang lain memakan waktu 70 tahun. Tiap pintu lebih panas daripada pintu yang sebelahnya berlipat 70 kali ganda. Rasulullah saw bertanya kepada Jibril tentang penghuni neraka-neraka tersebut.

Lalu Jibril menjawab;
"Pintu terbawah, di sanalah tempat orang-orang munafik. Namanya Hawiyah.

Seperti yang difirmankan Allah dalam An-Nisa' ayat 145;
"Sesungguhnya orang-orang munafik dalam Neraka yang paling bawah."

Pintu ke-2 adalah bagi orang-orang musyrik. Namanya Jahim.
Pintu ke-3 adalah bagi tempat As-shabiun (orang-orang yang menukar agamanya). Namanya Saqar.
Pintu ke-4 adalah tempat Iblis dan pengikutnya daripada golongan Majusi (menyembah api). Neraka ini namanya adalah Ladha.
Pintu ke-5 adalah tempat orang-orang Yahudi namanya Huthamah.
Pintu ke-6 Neraka Sair, tempat bagi orang-orang Nasrani.
Neraka ke-7 ialah Neraka bagi orang-orang sombong dan umat Rasulullah saw yang mati sebelum sempat bertaubat."

Berapa ramai orang tua, anak muda dan wanita dipanggil ke neraka. Kemudian wajah mereka menjadi hitam dan tubuh mereka remuk! Yang tua tidak lagi dihormati, yang muda tidak lagi dikasihani dan wanita tidak diberi pakaian.

Kita adalah orang-orang Islam, jadi mengapa harus bersikap, berpakaian, dan mengikut cara Kafir?

Sesungguhnya setiap maksiat yang berpunca dari syahwat dan nafsu masih boleh diampunkan. Sedangkan setiap maksiat yang dilakukan kerana kesombongan... tidak akan diampunkan. Sepertimana Iblis syirik kerana sifat sombongnya.

Apakah kita tegar sombong dengan Allah? Sedangkan udara yang kita sedut ini juga adalah milikNya?

Oleh itu, seharusnya kita bertaubat atas segala dosa-dosa yang tidak terkira banyaknya itu sebelum mati. Dengan harapan Allah akan mengasihani kita dan menerima taubat kita. InsyaAllah. Allah itu Maha Pengasih dan Pengampun.

Allah berfirman;
"Wahai orang-orang mukmin, bertaubatlah kamu dengan taubat nasuha..."

Rasulullah saw bersabda;
"Tiga hal yang membinasakan: menuruti hawa nafsu, kedekut, dan diikuti dengan kesombongan seseorang akan diri sendiri."




Katakanlah (Muhammad),
"Inilah jalanku, aku dan orang-orang yang mengikutiku mengajak (kamu) kepada Allah dengan yakin, Mahasuci Allah, dan aku tidak termasuk orang-orang yang musyrik," (12: 108)

Allahumma Ya Allah!
Jauhkanlah kami dari Neraka dan seksaannya serta segala perbuatan yang mendekatkan kami padanya. Masukkanlah kami ke dalam Syurga bersama orang-orang yang beruntung mendapat rahmatMu. Amin.

Harapnya Kemuliaan Ramadhan ini akan membuka hati para muslimin dan muslimat yang telah menjauh dari Allah agar pulang semula dalam jalan kebenaran. Semoga kita semua akan sentiasa diberi petunjukNya...

Allahu 'alam.





Saturday, August 29, 2009

Berbicara Tentang HATI



Bismillahirrahmanirahim...

Syeikh Ibnu 'Atoillah al Sakandari RA menyebutkan di dalam kitabnya Bahjat Al Nufus bahawa HATI adalah sebuah pohon. Bilamana ia disiram dengan air ketaatan maka buahnya akan nampak dengan jelas.

Mata akan membuahkan penjagaan. Telinga akan membuahkan perhatian terhadap Al-Quran dan ilmu. Lidah pula akan membuahkan zikir dan ucapan yang baik. Kedua tangan dan kaki pula akan membuahkan amal-amal kebajikan, taat serta sikap mahu membantu orang.

Sementara itu apabila hati menjadi kering kerana tidak disiram dengan air ketaatan, maka buahnya akan gugur dan manfaatnya turut menghilang.

Rasulullah saw bersabda;
"Hati manusia lebih bergolak daripada kuali yang sedang mendidih di atas api."


Betapa banyak orang mukmin yang hatinya kadang-kadang menyatu dengan Allah tetapi sebentar kemudian berpisah. Betapa banyak ahli ibadah yang menghabiskan malamnya dengan Allah, tetapi ketika matahari menyinsing, dia jadi lupa padaNya. Oleh kerana itu,

Rasulullah saw bersabda;
"Wahai Yang Membolak-balikkan hati dan pandangan. Teguhkanlah hatiku ini atas agama dan ketaatan padaMu."

Syeikh Ibnu 'Atoillah al Sakandari RA berkata lagi,
"Jika engkau hendak membersihkan dan membuat hatimu kembali menjadi putih serta mengangkat karat yang melekat padanya,

maka hendaklah engkau melakukan 4 perkara iaitu;
1) Banyak berzikir dan membaca Al-Quran2) Selalu berdiam dan sedikit berbicara3) Menyendiri untuk bermunajat kepada Allah Yang Maha Berkuasa dan Maha Mengetahui4) Sedikit makan dan minum. 

Sebaliknya, ada 4 perkara yang dapat mematikan hati iaitu;1) Duduk bersama orang kaya2) Berbicara dengan wanita yang bukan mahram3) Jarang berzikir4) Banyak makan.

Sebenarnya hati dan anggota tubuh badan manusia itu ada hubung kaitnya. Anggota badan manusia ibarat saluran air yang mengalir menuju ke hati dan menumpahkan airnya di sana. Maka, perlu diingat bahawa kita harus menjauhkannya dari barang2 yang kotor yang dapat merubahnya dari air yang jernih kepada najis.
Oleh itu, janganlah kita menyiram hati kita dengan perbuatan yang hina seperti mengumpat, membuat fitnah, berkata kotor, mendengar yang terlarang, melihat perkara yang tidak halal, makan makanan yang haram, dan sejenisnya. Ingatlah, bahawa hati yang tidak dikotori oleh sesuatu yang keluar darinya. Tetapi, ia dikotori oleh sesuatu yang masuk ke dalamnya.

Hati baru akan bersinar dan bercahaya dengan makan makanan yang halal, selalu berzikir, dan membaca Al-Quran dengan difahami maknanya. Demikian juga melazimi duduk bersama para ulama dan org2 mukmin yang memelihara diri dari yang terlarang dan makruh serta berasa takut untuk melakukan maksiat.
Peliharalah cahaya hati. Janganlah membuka tatapan mata kecuali untuk menambah ilmu dan hikmah. Siapa yang ingin melihat kepada pelbagai macam hati, hendaklah dia melihat kepada pelbagai jenis rumah di daerahnya. Ada rumah yang sudah rosak dan menjadi kotoran sampah. Ada rumah yang tidak bercahaya, lalu gelap gelita. Ada rumah yang menjadi tempat berkicaunya burung gagak dan hantu. Dan ada pula rumah yang ramai penghuninya, menyebarkan haruman wangi-wangian dan bunga2 serta disinari bintang begemerlapan.

Lalu perhatikanlah hati itu, sehingga benar2 mengetahui ke manakah ia sewaktu sedang solat, membaca Al-Quran, berzikir dan berkhalwat. Jika hati itu tidak hadir, maka tangisilah diri, taburilah kepala dengan tanah taubat, serta berdoalah pada Allah agar diberikan hati yang khusyu'. Ketahuilah bahawa orang yang hatinya sakit kerana maksiat dan nifak, dia tidak akan memakai baju ketakwaan.

Bila hati itu bebas daripada segala penyakit nafsu dan syahwat, beerti hamba itu telah memperolehi takwa.
Wahai para hamba Allah yang beriman!Agama merupakan modal hidup di dunia. Apabila hilang modal tersebut, sibukkanlah lisan itu dengan menyebutNya, hati dengan mencintaiNya, dan anggota badan dengan mengabdikan diri padaNya. Selain itu, bersikaplah tawaduk, temuilah para ulama' yang mengamalkan ilmunya, sampai benih datang, turunnya hujan, dan ia pun tumbuh.

Ingatlah, sesiapa yang memperlakukan hatinya seperti petani yang rajin memperlakukan tanahnya, hatinya akan bersinar dengan cahaya iman dan hikmah...



p/s Semoga ramadhan kali ini akan lebih bermakna dari sebelumnya, dapat kita menyucikan hati dengan berlumba2 mencari redhaNya. InsyaAllah..

Wednesday, August 26, 2009

Kehadiranmu Dinanti...



Bismillahirrahmanirrahim...
Selamat buat hati-hati yang beriman... :)


Salam Ramadhan buat sahabat2 semua...

Alhamdulillah, diberikan lagi nikmat oleh Allah untuk menyambut kedatangan kekasih yang dinanti, Ramadhan Al Mubarak. Bulan penyucian hati dan iman...

Kedatangan Ramadhan merupakan satu peristiwa yang sangat bermakna dan penting bagi org2 mukmin. Ramadhan amat dinanti kerana apabila menjelangnya Ramadhan, Rasulullah saw pernah bersabda;

"Sesungguhnya telah datang bulan Ramadhan, bulan yang berkat.
Allah telah mewajibkan ke atas kamu berpuasa,
dibukakan pintu2 syurga dan ditutup rapat pintu-pintu neraka
dan ditambat para syaitan.
Pada bulan ini terdapat satu malam terbaik daripada seribu bulan.
Sesiapa yang tidak berusaha mendapatkan kebaikan-kebaikannya,
maka sesungguhnya dia rugi
..."
(Riwayat Ahmad dan An-Nasai)


Marilah kita sama-sama berdoa di awal bulan yang mulia ini, untuk mendapat rahmat dan keberkatan dari Allah, supaya hati kita terus istiqamah untuk melakukan ibadah hanya keranaNya. InsyaAllah.


Bismillahirahmanirrahim...
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang...



Ertinya;
"Ya Allah,
telah tiba bulan Ramadhan
dan telah Engkau tetapkan ke atas kami berpuasa selama bulan ini.

Dan Engkau telah menurunkan Al-Quran
sebagai petunjuk manusia dan sebagai penerangan bagi petunjuk dan kebenaran.

Ya Allah,
bantulah kami untuk mengerjakan ibadah puasa.
Terimalah puasa bagi kami kemudahan
dan berilah kesihatan yang Engkau berikan kepada kami.

Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Berkuasa atas setiap sesuatu.
Wahai Yang Pemurah lagi Maha Mengasihani.
"


Semoga puasa kita semua diterima oleh Allah. Dan semoga puasa kita dapat menuntun kita menjadi hamba yang bertakwa. Kerana Allah swt telah berjanji kepada sesiapa yang benar2 berpuasa dengan sebenar-benar puasa, pasti akan mencapai darjat takwa.

FirmanNya;
"Wahai org2 yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas org2 yang sebelum kamu agar kamu bertakwa." (Al-Baqarah: 183)






p/s: Selamat berpuasa, beribadah dan bertarawikh! :)


Thursday, August 13, 2009

KAU ISTIMEWA

Bismillahirrahmanirrahim...

Hari ini, Alhamdulillah, Allah masih memanjangkan umurku. Dan hari ini juga dapatku jalani dengan mudah dengan izinNya. Namun, pertemuan kedua MyUsrah hari ini meninggalkan kesan yang amat dalam di dalam hatiku...

Puncanya? Antaranya kerana video ini.

Jadi, kukongsikan video ini dengan kalian. Agar setidak-tidaknya kalian dapat merasai sendiri perasaanku yang tidak dapat kugambarkan ini. Hayatilah dengan sepenuh hati, dengan ikhlas... nescaya kalian akan merasainya...





Kau Istimewa
Album : Sirah Junjungan
Munsyid : Raihan, Saff-One, Amrain, dan Haikal.
http://liriknasyid.com

Ya Rasulullah
Ya Habib Allah(3x)

Ya Rasulullah
Sedih dan pilu mengenangkan
Disaat umat kehilangan dirimu yang mulia
Kau diberi pilihan untuk kekal di dunia
Namun kau tekad memilih
Untuk bersama Yang Esa
Dan mereka yang diberi nikmat

Ya Rasulullah
Tiada mungkin ku lupakan
Pesanan mu yang terakhir
Buat muslimin dan muslimat
Istiqamah dalam menunaikan solat
Istiqamah dalam menunaikan solat

Pemergianmu amat sukar diterima
Sedang para sahabat sukar menelannya
Inilah hakikat yang kekal
Buat selama lamanya
Setiap yang hidup
Pastikan merasai kematian

Ya Rasulullah
Ya Habib Allah(3x)

Kau serahkan segala
Demi islam tercinta
Rela dirimu terkorban
Dan jiwa menderita
Jikalau tidak kerana segala jasa-jasamu
Tidak akan terpancar nur islam
Di hati sanubari
Dikaulah pejuang yang disegani

Walau kini kau tiada
Dirimu tetap dijiwa
Kaulah Rasulullah
Yang agung Ya Habib Allah

Pesuruh Allah
Kekasih Allah(3x)

Jikalau engkau sembah Muhammad
Diakan pergi
Jikalau engkau menyembah Allah, Dia abadi..
(3x)

* * * * * * * * * * * * * * * *


Bagaimana hatimu Rasul...

Tatkala kau berkata,

"Jangan kau seksa penduduk Taif, kerana aku mengharap dari sulbi mereka akan lahir keturunan yang beriman..." (Ketika menjawab permintaan malaikat untuk mengazab penduduk Taif yang mendustai dan melukakanmu dengan batu).

Bagaimana hatimu wahai Nabi ketika kau berkata,

"Hari ini aku maafkan kamu semua wahai penduduk Makkah. Kamu semua adalah saudaraku..." (Ketika pembebasan Kota Makkah dan memberi pengampunan beramai2 kepada orang yang pernah mengejek, menyeksa dan ingin membunuhmu dahulu).

Bagaimana hatimu wahai kekasih Allah ketika kau berkata;

"Umatku, umatku..." (Ketika hampir menemui ajal sedang Siti Aisyah kesayanganmu dan anggota keluarga lain berada di sisi, sedangkan mulutmu tetap menyebut nama kami... umatmu!)

Bagaimana hatimu ya Rasulullah saw...
Tidak terjangkau oleh hati kami yang berdosa ini...
Tidak mungkin, tidak mungkin lagi akan ada hati yang sesuci itu...

Hati yang kotor ini cuma mampu merintih;

"Berikanlah aku Ya Allah, hati yang mampu mencintai... hati yang seperti itu!"





Wednesday, August 12, 2009

Wanita Dengan Mahar TERMAHAL Di Dunia


Bismillahirrahmanirrahim...

Salam warahmatullah sahabat-sahabat sekalian. Tahukah kalian siapakah wanita yang maharnya termahal di dunia?

Post kali ini akan menceritakan tentang kisah seorang lagi wanita solehah yang mencintai Allah dan Islam melebihi dirinya sendiri.

Marilah kita sama-sama menyusuri perjalanan seorang lagi serikandi Islam ini. Harap kisah ini dapat menjadi teladan kepada kita semua...

Suatu ketika, Abu Talhah telah mengajukan pinangan untuk menikahi Ummu Sulaim binti Mulhan. Dia menawarkan mahar yang mahal. Tetapi dia sangat terkejut dan lidahnya kelu ketika Ummu Sulaim menolak lamaran itu dengan angkuh.

Ummu Sulaim berkata;

"Sesungguhnya tidak mungkin aku menikahi lelaki musyrik. Bukankah kamu mengetahui wahai Abu Talhah, bahawa tuhan-tuhan kalian dipahat oleh Abu Fulan dan apabila kalian membakarnya dia akan terbakar?"

Abu Talhah merasakan tekanan y sangat berat. Dia pun pergi begitu sahaja dan hampir tidak percaya pada apa yang dilihat dan didengarnya. Akan tetapi kerana cintanya yang amat dalam pada Ummu Sulaim, Abu Talhah kembali lagi dengan mahar yang lebih besar dan janji kehidupan yang lebih menyenangkan, dengan harapan hati Ummu Sulaim akan tunduk dan menerimanya.

Lalu, Ummu Sulaim berkata lagi; dengan nada sopan santun;

"Lamaran anda tidak sepatutnya ditolak wahai Abu Talhah, namun anda adalah lelaki kafir sedangkan aku adalah wanita muslimah. Tidak boleh dan tidak sah bagiku untuk menikah denganmu."

Abu Talhah pun berkata; "Apa yang kau inginkan?"
Ummu Sulaim kembali bertanya; "Apa keinginanku?"
Abu Talhah menyoalnya; "Apakah emas dan permata?"

Ummu Sulaim menjawab;
"Aku tidak menginginkan emas dan permata tetapi... yang aku inginkan adalah ISLAM darimu..."

Abu Talhah bertanya; "Siapa yang dapat menuntunku untuk itu?"
Ummu Sulaim menjawab;
"Rasulullah saw dapat menuntunmu untuk Islam."

Maka bergegaslah Abu Talhah menuju kepada Rasulullah saw yang ketika itu sedang duduk bersama sahabat-sahabatnya. Ketika Rasulullah saw melihat Abu Talhah, baginda berkata;

"Telah datang kepadamu Abu Talhah, sedang kedua matanya memancarkan sorotan cahaya Islam..."

Abu Talhah telah menceritakan apa yang dikatakan oleh Ummu Sulaim kepada Rasulullah saw. Akhirnya Abu Talhah menikahi Ummu Sulaim dengan mahar yang diminta wanita itu; iaitu menganut Islam.


Sesungguhnya, wanita itu adalah teladan bagi setiap wanita yang menginginkan kemuliaan dan berusaha meraih keutamaan. Lihatlah bagaimana beliau menuliskan ayat-ayat indah dalam biografi kehidupannya, bersama tanda-tanda kemuliaan dan bukti2 keimanan. Betapa besarnya pahalanya di hadapan Allah. Bagaimana dia meninggalkan pujian yang indah san memilih pahala yang besar dan penuh berkat.

Demikiannya, beliau sangat jujur dengan Tuhannya, jujur dengan dirinya, dan jujur dengan manusia. Selamat buat Ummu Sulaim dengan kenikmatan yang kekal dialaminya dan betapa beruntungnya beliau kerana mendapat mahar yang paling mahal. Mahal dari dunia dan segala isi...

Jadilah dirimu lebih lembut
Dari tiupan angin yang sepoi-sepoi...
Dan lebih tinggi cita-citanya
Dari bintang di langit dunia...



Thursday, August 6, 2009

Jalan Yang Lurus Itu Bukan Milik Kita...



FirmanNya;"Begitulah Kami mewahyukan kamu Roh (Al-Quran) daripada perintah kami. Sebelumnya kamu tidak mengetahui apakah Al-kitab itu, dan tidak juga keimanan; tetapi Kami menjadikan Al-Quran itu cahaya, yang dengannya Kami tunjuki siapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya Kami memberi petunjuk pada jalan yang lurus..." (Asy-Syura: 52)

Dikatakan, seseorang yang mendapat petunjuk itu sebenarnya telah mendapat segala-galanya di dalam kehidupan. Manakala, siapa yang gagal mendapat petunjuk sebenarnya gagal dalam segala-galanya. Benarkah kenyataan ini?

Jawapannya; benar. Apalah ertinya hidup tanpa petunjuk dan Hidayah dari Allah?

Mungkin ada yang tidak bersetuju denganku. Kalau Islam bukan pilihanmu, maka apakah pilihanmu?

Seronokkah hidup tanpa pegangan? Seronokkah hidup tanpa Tuhan? Bertemankan syaitan, berkiblatkan maksiat dan kemungkaran. Adakah zina, arak, hidup cara munafikin itu yang memberi makna bahagia? Jika benar, sampai bila keseronokan itu akan jadi kebahagiaan buatmu?

Hanya Allah sahaja yang mempunyai jawapannya. Dan memang hanya Allah saja y Maha Mengetahui dari setiap apa yang ditakdirkanNya, kita sebagai hamba perlulah sentiasa memohon kekuatan, serta petunjuk dariNya kerana bukan selamanya kita berada di bawah lembayung HidayahNya. Dan sesungguhnya, jalan yang lurus itu bukan milik kita.

Mungkin hari ini, kita hamba yang taat, umat yang soleh/solehah dan anak yang baik. Esok lusa? Mungkin kita adalah hamba, umat dan anak yang derhaka? Siapa kita untuk mengetahui apa yang akan berlaku pada hari esok? Bukan saja esok, sesaat y akan datang juga kita tidak tahu apa yang akan berlaku kepada kita...

Oleh itu, berhentilah berasa diri sendiri sudah cukup baik, beriman, soleh/solehah dan sebagainya kerana Hidayah Allah juga adalah hanya pinjaman dari Allah. Hidayah itu diberikan pada hamba-hambaNya yang terpilih sahaja. Hidayah itu hanya untuk orang-orang yang beruntung sahaja.

Maka, rendahkan hatimu serendah kedudukan pasir lautan dalam... dan ijtihadlah untuk menjaga keimanan dan hidayah Allah itu. Dan sedarlah, masih banyak perkara yang perlu kau pelajari, pelihara dan pulihara...

Dan janganlah kau melupakan sahabat2 dan saudara2mu yang masih dalam dunia kegelapannya. Doakanlah mereka, marilah kita saling berpesan-pesan dengan kebenaran dan kesabaran. Apakah kau tegar untuk masuk syurga seorang diri? Bukankah tidak lengkap keimanan seseorang itu jika dia rela membiarkan sahabat2 dan saudaranya kesesatan?

Firman Allah swt;"Iblis menjawab."Kerana Engkau telah menghukum aku tersesat, maka aku benar2 akan duduk (menghalang-halangi) mereka dari jalan Engkau yang lurus." (Al-A'raf:16)

Menginsafi bahawa keselamatan kita, baik di dunia mahupun akhirat bergantung sepenuhnya kepada belas ehsan Allah, maka berdoalah dengan doa yang Tuhan empunya jalan yang lurus ini;

Erti; "Wahai pemelihara kami, janganlah Engkau menyimpangkan hati kami setelah Engkau berikan petunjuk kepada kami, dan berilah kami pengasihan dari sisi Engkau; sesungguhnya Engkaulah Yang Pemberi." (Al-Imran:8).

Semoga hati kita sentiasa tetap dalam jalan yang lurus ini... lurus, terus menuntun kita ke dalam syurgaNya, semoga dijauhkan kita dari kelalaian, kemungkaran, dan janganlah kita tergelincir dari landasan yang lurus dan benar ini, kerana inilah satu-satunya jalan yang membawa kita ke dalam rahmatNya...

"Ya Allah,
nikmat yang paling besar yang Kau berikan pada kami
adalah nikmat iman dan islam.
Janganlah Kau tarik nikmat ini dari hati kami ya Allah...
Selamatkanlah kami dunia dan akhirat..."







Saturday, August 1, 2009

Siapa KHADIJAH di hati RASULULLAH saw?


Salam warahmatullah
...
Izinkan untukku mulakan taipan ini dengan kalam agung;
Bismillahirrahmanirrahim...


Hari ini aku diberi kesempatan oleh Allah untuk mengemas bilik. Dan aku sempat jua mengemas kotak bukuku yang 'seal'nya sudah terbuka. Lalu, Allah membukakan pintu hatiku untuk mengemas kotak itu.

Di dalamnya kuletakkan koleksi majalah kesayanganku, ANIS: pedoman wanita solehah. Lantas, mataku tertancap pada ANIS keluaran MAC 09, Nora sebagai 'cover'nya. Hatiku tergerak untuk membuka majalah itu.

Langsung mataku tertancap pada bait-bait kata tulisan di catatan bahagian editor.

Siapa Khadijah di hati Rasulullah?

Aku terdiam sesaat dua.
Ya, siapakah Khadijah di hati Rasulullah?
Siti Khadijah ialah isteri kesayangan Rasulullah saw...
Apakah yang membuatkan Rasulullah saw amat cinta pada isterinya itu?

Marilah kita sama-sama meneliti ruangan ini.
Mari kita semak, apakah faktor yang menjadikan Khadijah begitu istimewa di hati Rasulullah saw...


Sayidatina Khadijah ra mempunyai kedudukan di hati Rasulullah saw. Sehingga baginda ada bersabda:

"
Sebaik-baik wanita ialah Maryam binti 'Imran dan Khadijah binti Khuwailid." (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Nama Sayidatina Khadijah sering baginda sebut-sebut walaupun setelah isteri kesayangan baginda itu meninggal dunia. Hal ini dicemburui oleh Sayidatina Aisyah ra; sebagaimana pengakuannya:

"Aku tidak pernah cemburu terhadap salah seorang daripada isteri Nabi saw sebagaimana cemburuku terhadap Khadijah. Aku tidak pernah melihatnya. Tapi Nabi saw sering menyebut-nyebut namanya. Kadang-kadang baginda menyembelih kambing, lalu memotongnya menjadi bebrapa bahagian lalu mengirimkannya kepada kawan2 Khadijah. Terkadang aku berkata kepada baginda: "Seolah-olah di dunia ini tiada wanita lain selain Khadijah."

Dan Rasulullah saw menjawab;
"Sesungguhnya Khadijah itu seorang wanita yang utama, bijaksana dan darinya aku dikurniakan anak." (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam versi lain Rasulullah saw berkata;
"Khadijah beriman ketika orang2 kafir kepadaku, dia membenarkanku ketika orang2 mendustakanku dan dia membantuku dengan hartanya ketika orang2 memulaukanku." (Riwayat Ahmad)



Memang sukar untuk memperincikan sumbangan Sayidatina Khadijah ra kepada Rasulullah saw sehingga wafatnya, kisah hidupnya penuh dengan pengorbanan. Ketika Nabi saw menyatakan keresahan didatangi Jibril, sifat keibuan yang tinggi dan isteri yang penyayang Sayidatina Khadijah ra yang dapat menenangkan Nabi saw.

Ketika Rasulullah saw berdakwah, beliau pula menjadi pembantu perjuangan. Sayidatina Khadijah ra bukan sahaja sanggup memberikan sokongan moral tetapi juga mengeluarkan harta untuk jihad dan perbelanjaan umum. Malah, kekuatan Islam pada peringkat awal digerakkan oleh dana yang disumbangkan oleh beliau. Rasulullah saw dapat menumpukan sepenuh perhatian kepada dakwah kerana sokongan sumber kewangan Sayidatina Khadijah ra.



Untuk mendapat cinta Rasulullah saw, maka contohilah cinta dan pengorbanan Sayidatina Khadijah ra kepada baginda.
Cinta Nabi kepada Ummul Mukminin berakhlak agung ini bukanlah pada kecantikan paras rupa. Tetapi cinta sejati berasaskan pada kesetiaan Sayidatina Khadijah ra, pengorbanannya, kesabarannya, perlindungan, dan pembelaannya serta zuriat yang pernah dikandungkannya.


Marilah kita cemburu sebagaimana kecemburuan Sayidatina Aisyah ra kepada Siti Khadijah. Cemburu Aisyah bukan cemburu buta mengikut nafsu melulu. Tetapi cemburu untuk mencontohi jejak langkah wanita kesayangan Rasulullah saw itu. Kecumburuan itulah yang akhirnya memacu Aisyah ra berazam kuat untuk mengikut jejak langkah Sayidatina Khadijah ra hingga berjaya merebut cinta agung Rasulullah saw.

Tidak rugi berbuat demikian, kerana wanita solehah akan mendapat dua cinta sekaligus. Iaitu balasan cinta daripada suami dan juga cinta Rasulullah saw...


p/s: bunga2 itu lambang indah dan wanginya nama Sayidatina Khadijah ra pada ingatan penghuni bumi, dan namanya juga menjadi bualan para penghuni langit...



Keutamaan Sya'ban

Dalam hadis Bukhari dan Muslim, dari Aisyah ra;


Bismillahirrahmanirrahim...

Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana masih memberikanku peluang untuk menyedut udaraNya saat ini. Segala puji bagi Allah kerana dengan limpah kurnia dan rahmatnya, dapat kita bertemu lagi di blog ini.

Hari ini, sudah masuk 9 sya'ban, oleh itu, aku ingin mencoretkan sesuatu y aku baca tentang keistimewaan dan keutamaan bulan Allah yang mulia ini. Harapanku agar perkongsian ilmu yang amat sedikit ini dapat memberi manfaat kepada visitors dan readers blog ini.

Dirawikan dari Umamah al-Bahili ra, katanya: "Rasulullah saw bersabda:

"Manakala masuk bulan Sya'ban, sucikan dirimu dan perbaiki niatmu."

Dan dari Aisyah ra, katanya: "Rasulullah saw berpuasa sehingga kami mengatakan: "Tidak berbuka dan berbuka sehingga kami katakan tidak puasa dan kebanyakan puasanya adalah di bulan Sya'ban."

Dalam kitab An-Nasai dari hadith Usamah ra: "Aku berkata: "Wahai Rasulullah, aku tidak melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana engkau berpuasa di bulan Sya'ban." Baginda pun bersabda:

"Kerana itu bulan di mana manusia lupa darinya antara Rejab dan Ramadhan. Itulah bulan di mana amal dinaikkan dalam keadaan aku berpuasa."

Malam Nisfu Sya'ban, kadang-kadang disebut sebagai malam Bara'ah kerana malam itu dapat menghapusan dosa setahun. Sedangkan malam Jumaat boleh menghapuskan dosa seminggu dan malam Al-Qadar, dapat menghapuskan dosa seumur hidup. Ertinya bahawa menyambut malam-malam itu dengan beribadah, merupakan sebab penghapusan dosa.

Malam Nisfu Sya'ban kadang-kadang disebut sebagai malam Tafkir, atau malam Ihya'. Di mana dalam hadith marfuk disebutkan bahawa siapa yang menghidupkan dua malam raya dan malam Nisfu Sya'ban, tidak akan mati hatinya pada hari di mana hati-hati mati.

Di samping itu, ia juga disebut pula sebagai malam Syafaat. Dalam suatu hadith disebutkan bahawa Rasulullah saw pada tanggal 13, mohon kepada Allah syafaat bagi umatnya. Allah memberikannya 1 per 3. Kemudian, baginda memohon lagi pada tanggal 14, lalu diberi 2 per 3. Baginda memohon lagi pada tanggal 15 dan diberi seluruhnya kecuali org2 yang lari daripada Allah dengan membiasakan maksiat.

Malam itu juga dinamakan sebagai malam Makrifah. Imam Ahmad merawikan bahawa Rasulullah saw bersabda: "Pada malam Nisfu Sya'ban, Allah meneliti kepada hambaNya, kemudian Dia mengampuni seluruh penghuni bumi kecuali 2 org. 2 org itu ialah; orang musyrik dan orang yang memberati dengan dosa,"

Aisyah ra mendengar Rasulullah saw berdoa dalam sujudnya;

"Dengan redhaMu, aku mohon perlindungan dari kemurkaanMu, seksaanMu dan Engkau daripada Engkau. Tidak boleh aku menghitung puji ke atas Engkau sebagaimana Engkau memuji atas diriMu. Aku berkata sebagaimana saudaraku Daud berkata: "Wajahku dipenuhi debu demi Tuhanku. Dan itu telah menjadi hak Tuhanku."

Kemudian, baginda mengangkat kepalanya. Lalu Aisyah berkata: "Engkau di suatu jurang dan aku di jurang yang lain."

Kata Aisyah ra, baginda Rasulullah saw berkata kepadanya:
"Wahai Humaira', tidak tahukah engkau, ini malam nisfu Sya'ban. Sesungguhnya pada malam ini Allah membebaskan manusia dari neraka sebanyak bilangan bulu kambing. Kecuali 6 org. Org2 itu ialah:

1) yang membiasakan minum arak
2) yang menderhakai kedua org tuanya
3) yang membiasakan zina
4) yang keras kepala
5) tukang pukul
Dan org yang ke-6 ialah tukang fitnah."

*sumber: Mukasyafah Al-Qulub, tulisan Imam Al-Ghazali.


Wahai saudara-saudaraku... marilah kita membersihkan hati, meningkat ibadah pada bulan yang mulia ini. Semoga Allah sentiasa melimpahkan rahmat dan barakahNya kepada semua ummah... InsyaAllah...

"Ya Allah!
Sesungguhnya Engkau adalah Tuhanku;
tiada Tuhan yang berhak disembah, selain Engkau.
Engkau telah menciptakan diriku;
aku adalah hambaMu dan telah berjanji untuk mentaatiMu sebatas kemampuanku.
Aku berlindung kepada Engkau dari keburukan hal yang telah ku lakukan.
Aku mengakui semua nikmat yang telah Engkau berikan kepadaku,
Dan aku mengakui pula dosa-dosa yang telah ku lakukan.
Oleh kerana itu,
Ampunilah aku, Ya Allah...
Sesungguhnya tiada yang dapat mengampuni dosa-dosa,
selain Engkau..." (Hadith Riwayat Al-Bukhari)