Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Showing posts with label kesal. Show all posts
Showing posts with label kesal. Show all posts

Tuesday, December 4, 2012

Kisah Hijrah Seorang Syauqah.


Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

"Sungguh beruntung orang-orang beriman, iaitu orang yang khusyu' dalam solatnya, & orang yang menjauhkan diri dari perbuatan & perkataan yang tidak berguna, & orang yang menunaikan zakat, & orang yang memelihara kemaluannya kecuali terhadap isteri-isteri mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki, maka sesungguhnya mereka tidak tercela." [al-Mukminun : 1-6]

Saya percaya, setiap orang ada kisah hijrahnya masing-masing. 

Takdir indah yang membawa seseorang itu kembali ke pangkuan Dia yang paling dicintai..

Apabila kaki terasa longlai meniti jalan cahayaNya, mari memandang ke belakang. Inilah masanya mengenang kembali & menghayati semula bagaimana sukarnya kita menggapai HidayahNya suatu ketika dahulu..

Dan apabila terimbaunya kenangan manis itu, akan menimbulkan rasa kesyukuran, timbul kekuatan untuk kembali berjuang, insyaAllah..

Maka, di sinilah tercoret sebuah kisah antara berjuta-juta kisah hijrah para hambaNya.

Kisah hijrah seorang hambaNya yang bernama Syauqah.

Semoga bermanfaat.
InsyaAllah..

---------------------------------


Nama aku Syauqah. Inilah kisah hijrahku.
Maka, izinkanlah aku bercerita. 


Rintihan Hati Di Dalam Hujan.

Awal tahun 2008;

Hari itu, hari Sabtu, aku menyertai kawan-kawan serumah turun ke Pasar Jalan TAR yang terletak berhampiran Sogo, KL. Kami sepakat mahu makan mee sup panas hari itu. Lantas kami memilih salah satu gerai yang agak sesak, namun masih ada ruang kosong, cukup untuk kami semua. 

Ada seorang gadis rupawan duduk di sebelah mejaku. Jelas sekali, pekerja gerai itu seringkali kulihat mencuri-curi pandang wajahnya sambil tersenyum gatal.

Pemuda itu datang ke arah gadis di sebelahku sambil mula mengayat. Ayat-ayat manis yang dilemparkan. Pelik, entah bagaimana ayat-ayat palsu itu boleh mencairkan hati gadis rupawan itu dalam sekelip mata. Mungkin juga kerana pemuda itu berwajah agak tampan. 

Gadis itu tersenyum-senyum. Telefon bimbitnya dihulurkan kepada pemuda itu. Mereka bertukar nombor telefon. Selepas itu, gadis itu beredar.

Aku terkejut apabila pemuda itu tiba-tiba melabuhkan duduk di sebelahku. Agak menjengkelkan apabila pemuda tadi melakukan hal yang sama kepada aku pula. Dia cuba mengoratku pula bagi mendapatkan nombor telefonku.

Astaghfirullah al adzhim..
Aku rasa sesuatu. 

Bukan gembira. 
Bukannya suka. 
Bukan.
Apa dia... 

Semakin pemuda itu tersenyum-senyum, semakin kuat aku merasainya.

Benci.

Aku benci.

Ya, aku benci diperlakukan sebegitu.

Bukan kerana aku sudah punya teman lelaki.
Tidak. 
Aku tidak pernah berpacaran pun.
Baik sebelum aku berhijrah apatah lagi setelah itu.
Syukur Alhamdulillah.

Cuma aku tidak suka caranya itu.
Takkanlah aku semurah itu.

Apa pemuda itu menyangka dia boleh memiliki semua gadis dengan hanya melemparkan ayat-ayat manis yang palsu?

Aku menolak dengan gelengan kepala. Memalingkan pandangan ke arah lain tanda protes.

"Sombongnya awak ni..." 

Aku masih mematungkan diri.

Dia akhirnya malu sendiri. Lalu, beredar sebelum bertambah malu kerana tidak dilayan aku.

Hujan turun renyai-renyai.

"....kamu tidak seperti perempuan-perempuan yang lain jika kamu bertaqwa. Maka janganlah kamu melemah lembutkan suaramu) dalam berbicara sehingga bangkit nafsu orang yang ada penyakit dalam hatinya, & ucapkanlah perkataan yang baik.." [al-Ahzab : 32]

Demi Allah...
Inilah kali terakhir aku dipikat dengan cara yang keji & murah seperti itu. 

Demi Allah...
Aku tidak semurah ini ya Allah...

Jika aku ingin mencintai seorang lelaki..
Bukan lelaki jenis macam ini ya Allah..

Ya Allah..
Aku bukan perempuan jahat kan...?
Masih ada waktu untukku kan...?

Hatiku meratap pilu nasib diri.
Hanya kepada Allah aku mengadu..

----------------------------


Muslimah Solehah Di Dalam Tren.

Sebulan selepas itu;


Tren KTM pada petang itu agak sesak... ketika itu mula berkumandang suara seorang staf KTMB mengumumkan tren sudah tiba di stesen UKM melalui pembesar suara. 

Pintu koc terbuka. Aku lihat beberapa orang wanita & lelaki keluar dari koc. Sementara itu ada beberapa muslimat bertudung labuh memasuki ruang tengah koc. Aku menelah mereka adalah pelajar UKM barangkali. 

Salah seorang daripada mereka mengambil tempat di ruang antara tempat aku duduk. Berhadapan dengan aku ketika itu adalah seorang pemuda berbangsa cina. 

Tren pun mula bergerak. 

Kebetulan mataku tertancap pada wajah pemuda cina itu yang ketika itu sedang memerhatikan muslimat yang bertudung labuh tadi, termasuklah muslimah yang berdiri di hadapannya.

Tren bergerak agak laju. Entah bagaimana, muslimah di hadapanku itu gagal mengawal kedudukannya lalu dia terempuh kaki pemuda cina itu. Dia terus meminta maaf berkali-kali. 

Menariknya, pemuda itu cuma tersenyum lalu mengangguk sambil mulai berdiri, dia mengisyaratkan agar muslimah itu duduk, menggantikan tempat duduknya sebentar tadi.

Awalnya muslimah itu enggan duduk. Namun, akhirnya dia duduk juga apabila pemuda cina itu mengatakan;

"You duduklah.. You perempuan, nanti you jatuh..." sambil kepalanya menunduk hormat kepada muslimah itu.

MasyaAllah... hatiku tersentuh.
Muslimah itu dihormati.

Apabila muslimah itu sudah mengambil tempat duduk, aku berpeluang menatap wajahnya. 
Nampak berseri-seri. 
Wajahnya tanpa make-up. 
Hanya wajahnya yang asli beserta senyuman nipis.

MasyaAllah, cantiknya muslimah ini..
Selepas itu aku lihat dia membuka tafsir al-Qurannya yang berwarna turqoise muda & mula membaca ayat-ayat suci al-Quran.

Sukar untuk ku gambarkan perasaanku waktu itu.
Namun, nyatanya mataku berkaca melihat figura indah itu.

Di dalam hatiku sayu berdoa;

"Ya Allah... jadikanlah aku hambaMu yang lebih baik daripadanya ya Allah... berilah HidayahMu kepadaku..."

Selepas insiden itu, setiap kali aku menaiki bas, menaiki tren atau sewaktu keluar bersama kawan-kawan serumah, mataku seringkali mencari figura wanita bertudung labuh. 

Untuk aku teliti akhlaknya.
Untuk aku teliti gelagatnya.
Jika bernasib baik, untuk aku dengar apa yang diperkatakannya. 
Dengar bagaimana cara seorang muslimah bertudung labuh menuturkan kata-katanya.

Jarang aku lihat wanita bertudung labuh diganggu oleh lelaki-lelaki di tepi jalan. Malah, sewaktu di dalam pusat membeli belah, aku sendiri melihat lelaki-lelaki jenis tersebut seakan segan untuk menatap wajah-wajah muslimat yang berpakaian sedemikian, apatah lagi untuk mengoratnya.

Aku rasa terusik.

Di dalam sudut hatiku yang paling dalam..
Timbul satu rasa pelik.
Bukan satu. Banyak.
Ianya bercampur baur.

"...katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu & setiap isteri orang mukmin, "Hendaklah mereka melabuhkan tudung mereka menutupi dada mereka; ke seluruh tubuh mereka." Yang demikian itu agar mereka lebih mudah untuk dikenali, sehingga mereka tidak diganggu. Dan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." [al-Ahzab : 59]

Mataku berkaca-kaca.

Semua perempuan itu tidak ternilai harganya. Dan harga seorang muslimah itu bergantung kepada dirinya sendiri. 

Bagaimana dia mahu dihormati jika dia sendiri tidak menghormati dirinya sendiri? 
Bagaimana dia mahu dilayan seperti perempuan mahal jika dia sendiri kelihatan seperti perempuan murah?

Harga diri.
Maruah.

Air mataku menitis ke pipi.

Ya. Aurat seorang muslimah adalah maruahnya. 
Semakin banyak auratnya terdedah, semakin murahlah maruah dirinya.

Bunyinya kasar tetapi itulah kenyataannya.
Dipandang murah. 
Dipandang hina oleh mata-mata jahat.

Aku tidak mahu!

Ya Allah...
Baru kini kusedar..
Auratku adalah maruahku.


"Seorang muslimah menjaga auratnya dengan sempurna kerana Allah, lalu Allah memelihara maruahnya dengan sebaik-baiknya.."


----------------------------------


Mimpi Indah Yang Menyentuhi Hati.

Di keheningan suatu penghujung malam;

Dalam suasana gelap itu, aku nampak seorang muslimah bertudung labuh dengan berpakaian serba putih. Dia menunduk sambil membaca al-Quran sambil duduk bersimpuh. Tubuhnya seakan bercahaya kerana cahaya terang menyuluh dari atasnya. Suaranya perlahan membaca satu persatu ayat al-Quran.

Aku yang berada di dalam gelap ini bergerak perlahan-lahan ke arahnya. Anehnya, aku seakan cam ayat yang sedang dibacakannya.

Surah an-Nur... 

Aku mengamati wajah muslimah itu.
Aku amati betul-betul.
Lalu, menitislah air mataku.

Muslimah itu memandangku.
Dia tersenyum.

Maha Suci Allah.
Air mataku semakin galak menitis ke wajah.
Ternyata muslimah bertudung labuh & berpakaian serba putih itu adalah aku!

Aku teresak-esak.
Dan esakan itu menyedarkan aku daripada mimpi indah itu.

Dengan air mata yang bersisa di hujung mata.
Aku mencari al-Quran.
Aku menyemak setiap ayat surah an-Nur.
Mengamati ayat yang manakah yang aku bacakan di dalam mimpi itu.

Alhamdulillah.
Aku bertemu maknanya.

"Allah (Pemberi) cahaya (kepada) langit dan bumi. Perumpamaan cahayaNya, seperti sebuah lubang yang tidak tembus, yang di dalamnya ada pelita besar. Pelita itu di dalam tabung kaca, dan tabung kaca itu bagaikan bintang yang berkilauan, yang dinyalakan dengan minyak dari pohon yang diberkahi, iaitu pohon zaitun yang tidak tumbuh di timur dan tidak pula di barat, yang minyaknya saja hampir-hampir menerangi, walaupun tidak disentuh api...."

Mata & hatiku, kedua-duanya meniti setiap tafsir makna ayat itu.
Hingga menimbulkan rasa sebak yang sangat dalam. 

"......Cahaya di atas cahaya (berlapis-lapis), Allah Memberi petunjuk kepada cahayaNya bagi orang-orang yang Dia kehendaki, dan Allah membuat perumpamaan-perumpamaan bagi manusia. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu." [an-Nur; ayat 35]

Wajahku basah dengan air mata.
Aku tidak mampu lena sampai ke Subuh kerana tangisanku yang berlarutan.

Aku rasa Allah itu sungguh dekat.
Aku rasa aku ingin menyentuhiNya dengan taubatku yang bersungguh-sungguh.

Demi Allah.. Aku ingin kembali kepadaMu..
Ya Allah.. pimpinlah aku ke jalan yang Kau redhai..

------------------------------

Hijrah Bukan Mudah.

"Ibu... kalau Nur pakai tudung labuh macam mana?" soalku kepada ibu.

Ibu ternyata hanya senyum.

"Alhamdulillah, baguslah kalau macam tu."

"Ibu... Nur nak pakai tudung labuh...."


Tudung labuh warna ungu itu aku pegang.
Aku mencubanya.
Hatiku rasa berdebar-debar.

'Ya Allah... labuhnya. Betulkah aku nak pakai tudung ni?'

Aku laju melipatnya & menyimpannya semula ke dalam laci.
Aku rasa ragu-ragu. Aku seakan tidak mempunyai kekuatan untuk memakai tudung selabuh itu.

Namun sekali lagi... malam itu aku bermimpi yang sama.
Untuk kali ke-3.

Aku bangun.
Aku menangis lagi.

"Syauqah... Allah memanggilmu.." bisikku kepada diri sendiri.

Aku teresak.

"Ya Allah... jangan Kau ambil kembali hidayah yang telah Kau sentuh kepadaku. Aku ini hina & lemah ya Allah... Bimbinglah aku... bantulah aku... aku memerlukan belas kasihanMu..." aku mengongoi dalam tangisan panjang.

Hijrah.

Kiranya ia semudah itu.
Tidak.
Banyak halangan ku tempuhi.

Keluarga.
Kawan-kawan.
Masyarakat sekeliling.
Hatta halangan daripada diriku sendiri.

Apapun, aku masih sangat-sangat bersyukur kepadaNya. Pada zaman sebelum aku berubah memakai tudung labuh, aku pun bukanlah jenis perempuan yang sosial. 

Aku bersyukur, aku tidak berpacaran dengan mana-mana lelaki waktu itu kerana aku lihat ramai insan lain terhanyut lebih jauh seperti berzina dan sebagainya. Nauzubillah.

Alhamdulillah.. 
Syukur ya Allah, di atas masa silamku yang masih terpelihara.. :')

Jika ada kekhilafan yang menyebabkan ku tersungkur sekali dua, aku sungguh memohon agar Allah mengampuniku di atas kejahilanku kala itu.. Sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri.. Allahurobbi..



***


Tudung labuh. 
Ada yang berpendapat, ia hanya sekadar sehelai kain.. yakni, kain yang lebih besar untuk menutupi tubuh. 
Namun, bagi aku, ia adalah wasilah untuk aku semakin mencintai Ilahi. 
Kerana itulah aku bersungguh-sungguh untuk memakai sehelai kain itu ke atas kepalaku..

Adakalanya aku rasa seperti ingin berputus asa sahaja dengan niatku untuk berhijrah memakai tudung labuh.
Banyak yang terpaksa aku korbankan, lupakan & perjuangkan.
Namun, demi Allah, semestinyalah ia berbaloi..

Aku berazam untuk berdikit-dikit.
Dengan ilmu, dengan dalil al-Quran & hadis Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam, aku mengkaji syariat penutupan aurat seorang muslimah secara sempurna.

Jika selama ini aku memakai tudung bawal yang dipin secara lurus (masih menutup dada), aku menggantikannya dengan tudung bidang 60 yang lebih sempurna menutup tubuhku.

Pergelangan tangan & aurat kaki yang yang selaluku terlepas pandang juga kini ku ambil berat. Aku akan memakai sarung lengan & juga stokin apabila keluar ke tempat awam.

Aku sungguh takut memikirkan bagaimanalah hinanya aku di sisi Allah disamping para hambaNya yang lain; yang jauh lebih solehah, baik, taat & berakhlak mulia..

Banyak masaku yang terluang dihabiskan dengan bermuhasabah diri.
Menilai semula siapa diriku. 
Aku nilai semula semua keburukan akhlak & peribadiku.
Aku cuba memperbaikinya.

Tidak hanya hijrah penampilan, biarlah hijrah keseluruhan...

Kata-kataku yang kasar cubaku lembutkan.
Panas baranku yang selalu menyinga aku cuba sejukkan.
Egoku yang melangit tinggi cuba kulenturkan.
Semuanya kerana aku ingin bertemu Allah.

Aku ingin sekali Allah memandangku dengan pandangan & kasih sayangNya.
Sebagaimana dilimpahkan kepada para hambaNya yang beriman..

Perjalanan hijrah menuju Allah ini panjang...
Namun, dalam perjalanan menujuNya itulah aku mengenali siapakah diriku yang sebenarnya.

Dari mana aku datang.

Mengapa aku didatangkan.

Dan ke mana kelak aku bakal dikembalikan...

"Barangsiapa mengharap pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu yang dijanjikan Allah pasti akan datang. Dan Dia Maha Mendengar, Maha Mengetahui." [al-Ankabut : 5]

------------------------------------

Usrah Pertama, Manisnya Tarbiyyah.

Pertengahan 2009;

Aku bersyukur Allah memilihku untuk menyambung pengajianku di tempat yang lebat dengan majlis ilmu, tarbiyyah melata, ramai pemuda soleh & pemudi yang solehah. Ramai muslimat bertudung labuh yang kujumpai.

Hati aku rasa tenang melihat mereka.

Aku mencari-cari dahan berpaut; yakni sahabat-sahabat solehah yang mampu menasihatiku, membimbingku, menyayangiku & mengingatkan aku kepada Allah...

Tatkala aku bertemu dengan seorang dua muslimah bertudung labuh yang kukenal sebagai lebih senior, aku akan bertanya jika masih ada usrah yang  boleh kusertai.

Alhamdulillah.
Allah memudahkan hasrat hatiku.

Bertemunya aku dengan seorang naqibah usrah yang solehah dan menganggap aku seperti adik sendiri yang akhirnya menemukan pula aku dengan ahli-ahli usrah yang dahagakan ilmu & tarbiyyah seperti aku.

Hati aku dilanda cinta...
Cinta yang sebenar-benar cinta..

Aku selalu menangis kesyukuran apabila aku mengenang waktu aku mula-mula disapa tarbiyyah. Melalui usrah aku merasakan semua itu, termasuklah menikmati erti ukhuwah kerana Allah.

Seperti watak-watak wanita solehah yang kujumpai di dalam bacaan tarbiyyah pertamaku; Novel Tautan Hati karya Ustazah Fatimah Syarha, aku bagaikan berada di alam mimpi. 

Aku kini dikelilingi oleh ramai wanita solehah.. Subhanallah, ternyata aku berada di alam nyata!

Ya Allah..
Betapa bersyukurnya aku...
Allah memilih aku untuk berubah menjadi hambaNya yang lebih baik di kala Allah membiarkan segolongan hambaNya yang lain terus bermaksiat, melakukan kemungkaran & melupakanNya..

Alhamdulillah..
Sujud syukur hanya padaMu ya Robbi..
Kerdilnya diriku ini terasa..

------------------------------

Cahaya Mawar Berduri.

'Oleh kerana begitu payah untuk mencuri hatimu, perempuan  yang mahal harga dirinya layak diberi gelaran syauqah wardah.'

'Syauqah wardah?'

'Mawar berduri. Seperti mawar berduri. Cantik dipandang, namun sukar untuk disentuhi... apatah lagi untuk dimiliki.'

Gelaran itu lekat terus di dalam hati. 
Aku merasakan gelaran itu sebagai peransang & kata semangat untuk aku menjadi lebih baik lagi.

"Mengapa namamu Syauqah Nur? Bukankah syauqah itu maknanya duri? Duri Cahaya? Mengapa pelik benar?"

Hatiku tersenyum.

"Ia tidak pelik. Syauqah itu untuk sesiapa yang tidak halal bagiku. Nur itu hanya untuk mereka yang mencintaiku kerana Allah.."

Aku juga suka namaku itu.
Syauqah Nur.

Ya Allah..
Berikanlah aku kekuatan untuk terus menghunus duri bagi mereka yang bukan halal untukku agar maruahku ini terus dipertahankan.. Dan permudahkanlah jalan bagiku untuk menjadi Nur cahaya buat insan-insan yang halal & telah banyak mendoakan, membimbing & mencintaiku keranaMu..


Alhamdulillah..

Inilah kisah hijrahku. 
Kisah Hijrah Seorang Syauqah.

Bagaimana dengan kisah hijrahmu? :)


------------------------

[Penutup] : Catatan Penulis

Hijrahkan Dirimu!


Ketahuilah... tidak ada manusia yang tidak pernah melakukan dosa.
Kita akan sentiasa lalai & leka.
Namun, itu bukanlah petanda kita harus terus hanyut dibawa arus dunia.


Kesilapan, dosa-dosa yang telah dilakukan, pasti tetap akan berbekas, sebagai pengajaran & pedoman di masa mendatang. Maka, peluang dihadapan jangan pula dipersia & dimusnahkan. Perbaiki diri, perbanyakkan amalan, taati perintah Allah & jauhilah laranganNya dengan bersungguh-sungguh. 
Kebaikan yang dilakukan dengan ikhlas & istiqomah, melalui masa, Allah pasti akan membantu merawat luka yang lepas & memudarkan parut yang berbekas.

Apabila HidayahNya telah mengetuk pintu hati..
Bersegeralah membuka pintu & biarkanlah cintaNya menghuni segenap hatimu itu...


Ingatlah bagaimana sirah melakarkan para sahabat meninggalkan harta yang bakal dituai semata-mata kerana mahu menurut perintah Allah & Rasulullah untuk berjuang di dalam Perang Tabuk. 
Lihatlah bagaimana Allah menggantikan semua yang telah mereka tinggalkan kerana ingin meraih redha Allah dengan nikmat yang berganda-ganda lebih baik. Harta rampasan perang yang bertimbun-timbun dimiliki tanpa perlu berperang! Subhanallah.

Beri peluang kepada diri sendiri. Kita mampu menjadi jauh lebih baik daripada kita hari ini & semalam. 
Sahutlah Hidayah Allah & hijrahlah. 
Kita tidak akan menyangka ke mana Allah akan membawa kita ke darjat yang lebih baik disisiNya..

"Dan berjihadlah kamu di jalan Allah dengan jihad yang sebenar-benarnya. Dia telah Memilih kamu, & Dia tidak Menjadikan kesukaran untukmu dalam agama....... Maka laksanakanlah solat & tunaikanlah zakat, & berpegang teguhlah kepada Allah. Dialah Pelindungmu, Dia sebaik-baik Pelindung & sebaik-baik Penolong." [al-Hajj : 78]

Mana mungkin semua lumpur-lumpur dosa yang menebal dapat dibersihkan dalam masa sehari.

Mana mungkin untuk menyapu dosa-dosa hitam di dalam hati hanya dalam masa yang singkat...


Proses hijrah & memperbaiki diri memang panjang. Ia tidak akan mampu menjadi sempurna dalam masa sehari, bahkan ia adakalanya memerlukan kerja keras memakan masa bertahun..

Namun, jangan sesekali berpaling semula ke arah jahiliyyah & kemaksiatan. Kuatkanlah semangat & berpegang teguhlah kepada tali yang paling ampuh; iaitu Allah.

Jangan putus asa... Allah sentiasa ada di sisi menemani.

Hijrah kita tidak akan pernah berakhir.
Setiap hari kita berhijrah.
Setiap hari kita berazam untuk menjadi lebih baik.
Setiap hari kita usahakan untuk menjadi hambaNya yang Dia redhai..
Kita hanya berhenti apabila kita mati & di akhirat kelak tempat kita diperhitungkan kembali.

Carilah Allah... 
Usahakanlah caranya, jalannya..
InsyaAllah.. Pasti akan bertemu.

"Dan sungguh beruntung orang yang memelihara amanat-amanat & janjinya, serta orang yang memelihara solatnya. Mereka itulah orang yang akan mewarisi yakni yang akan mewarisi syurga Firdaus. Mereka kekal di dalamnya." [al-Mukminun : 8-11]

Taqabballahu minni wa minkum..
Taqabballahu minni ya Allah...


Sesungguhnya memang benar, tiada perkara yang lebih indah selain daripada jatuh cinta kepada & kerana Allah..

Wallahua'lam..


--------------
p/s: Sebetulnya catatan hati ini mahu ditulis sewaktu awal Muharram tempohari tetapi niat itu tertangguh. :)

Saya suka mendengar & membaca kisah hijrah orang lain. Baru-baru ini saya terbaca bingkisan kisah hijrah Prof Muhd Kamil. Saya menangis membaca kisah hijrah beliau. Betapa gigihnya beliau mula belajar solat & mengaji pada umur hampir mencecah 40-an rentetan taubatnya kepada Ilahi. Subhanallah.. betapa hebatnya kuasa Allah memberikan kekuatan kepada hambaNya yang mahu berubah baik..

Kepada sahabat-sahabat yang ada berkongsi kisah hijrahnya di alam maya. Sudikanlah menyertakan link di ruangan komen. Ataupun coretkanlah sedikit tentang kisah hijrahmu. InsyaAllah, saya berbesar hati untuk membacanya..

Kita sama-sama bermuhasabah diri, insyaAllah.. :)

------------

Notakaki: 
[Ditambah & diedit semula pada 5/12/12, 9pm]
# Ada yang bertanya adakah kisah syauqah ini adalah kisah hijrah saya, orang lain ataupun sekadar rekaan. Disebabkan pertanyaan itu, saya telah edit & menambah sedikit isi entri ini di beberapa bahagian bagi mengelakkan salah faham. :) 

Mudah-mudahan kita lebih memandang ibrah daripada kisah ini berbanding menyiasat samada kisah ini benar-benar terjadi atau tidak. Begitu adalah lebih baik kan...? :)

Semoga Allah meredhai kita semua & sentiasa memelihara keimanan kita.. Allahumma amiin.. insyaAllah. :) 

-------------

Credit Link : References:


Tuesday, September 11, 2012

Bila Bermasalah. Kita Patut Cari Siapa?





Bismillahirrohmanirrohiim...

Sabda Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam;“Tinggalkanlah apa yang meragukanmu. Kerjakanlah apa yang tidak meragukanmu, sesungguhnya kebenaran membawa ketenangan & dusta itu menimbulkan keraguan.” [HR at-Tirmidzi]

Meluahkan perasaan & masalah di alam maya merupakan salah satu kesilapan & sikap tidak cerdik yang dilakukan oleh kebanyakan kita hari ini, termasuklah hambaNya yang dhoif ini.

Ya, kadangkala disebabkan rasukan emosi marah, geram, tidak puas hati, kita melempiaskan amarah kita melalui kata-kata perlian, sindiran di laman maya seperti di blog, Facebook & Twitter. 

Mungkin kita menulis kata-kata itu secara general tanpa menujukan secara langsung kepada siapa yang kita target sebenarnya. Bagi kita, itu mungkin cara terbaik, dengan harapan pihak yang kita target itu akan ‘menangkap’ makna sindiran kita itu. Ataupun, kita sekadar meluahkan apa yang kita rasa tanpa niat untuk menujukan statement itu kepada sesiapa pun.

Namun, sedarkah kita bahawa tindakan kita yang memerli secara indirectly (tanpa menyebut nama sesiapa itu) sebenarnya umpama peluru yang ditembak secara rambang? Maknanya, sesiapa sahaja boleh terkena ‘tembakan’ kata-kata hamburan kita itu. 

Natijahnya, ramai pula yang salah anggap status, kata-kata & perlian tersebut walhal kita bukannya menujukan ayat tersebut kepada mereka.

Ah... sudah...

Small mistake leads to a big damage.
Kesilapan remeh, natijahnya besar.

Hubungan yang baik, menjadi retak.

Pelbagai prasangka mula muncul akibat hati yang panas & sakit.

Syaitan pula mula membakar-bakar perasaan kita. Menjadi batu api.

Malah, tambah memburukkan lagi keadaan, pihak yang kita sindir itu langsung tidak terkesan dengan ‘tembakan’ kata-kata kita tetapi ia ‘mengenai’ orang lain pula.

Maknanya, secara tidak langsung, ramai yang terasa hati dengan kita. Realistiknya, kita seolah-olah telah membuat senarai baru manusia yang tidak puas hati & memusuhi kita.

Allah.... :’(







Sebahagian daripada kita mungkin boleh berbaik sangka apabila terbaca luahan, amukan & hamburan perasaan orang lain di laman maya.

"Ah.. dia bukan tujukan dekat aku tu.."

Namun, itu tidak bermakna kita sepenuhnya boleh menganggap manusia lain juga boleh berbaik sangka kepada kita...

Hati manusia ini sangat sensitif. 

Sebagaimana kita tidak suka hati kita disakiti, begitu jugalah dengan orang lain...


Antara kita sedar atau tidak...


Ramai di antara kita cenderung untuk menjadi silent reader, silent visitor, silent stalker. Maknanya, ada orang datang senyap-senyap mengunjungi blog kita, wall Facebook & Twitter kita, membaca kata-kata yang tertulis & meninggalkan laman tersebut tanpa komen, like, jejak & reply.

Ini sangat bahaya. Bahaya untuk 'penembak' yang suka menghambur kata-kata secara rambang tadi.

Kita tidak tahu, pengunjung tadi pergi dengan hati yang bagaimana.

Mungkin dia terluka dengan status kita. Walhal, tulisan itu bukanlah untuk dia.

Mungkin dia rasa sakit hati. Mungkin juga dia geram lalu menyimpan dendam barangkali. Nauzubillah.

Tulisan yang asalnya ditujukan untuk insan X telah melukakan hati insan Xi, X2 & Xii pula. Ataupun lebih ramai lagi...

Paling kritikal, apabila dia (non-target person) yang tidak ada kena mengena tadi tiba-tiba membuat status baru untuk menghentam kita kembali. Ayat yang lebih pedas berapi, membidas ayat-ayat kita tadi dengan juga membuta tuli.

Eh... 
Kan dah kita pula yang terasa.... 
Kita pula yang sedih. Frust dan sebagainya.

Apa yang boleh dilakukan?
The damage had been done. 
Lalu, terwujudlah satu calar di dalam hubungan yang asalnya baik tadi disebabkan tindakan kita yang tidak cerdik tadi.

Namun, sedarkah kita..


Bukankah ini masalah yang kita mulakan?
Bukankah luka ini tadi kita yang carikkan dahulu?

Jadi, tiada siapa yang harus dipersalahkan melainkan kita harus akui, inilah natijah ketidakcerdikan tindakan kita.



Menjadi Manusia Yang 'Lurus'.

Jadi, apakata mulai hari ini, kita sama-sama mencuba untuk mengelak daripada menghambur emosi secara membuta tuli, menyindir tidak tentu hala, marah-marah & sebagainya di laman maya (Blog, FB, Twitter dll). Ia terbukti sebagai satu tindakan yang sangat tidak cerdik.

Jika kita tidak puas hati dengan seseorang atau sesuatu pihak, lebih bijak & baik sekiranya kita langsung pergi private message/direst message dia untuk menyelesaikan masalah yang kita hadapi secara terus & telus. Jika sakit hati pun, ianya antara kita dengan pihak yang betul. 

Bukannya mencari masalah baru dengan melukakan hati entah siapa-siapa yang lain pula. 

Astaghfirullah al adzhim..

Sabda Rasulullah salallahu ‘alaihi wasallam;“Iman seseorang tidak akan lurus sebelum hatinya lurus & hatinya tidak akan lurus sebelum lidahnya lurus (berkata benar & baik)” [HR Ahmad]

Maka, jadilah manusia yang bijak. 

Jika sakit hati, tidak puas hati, bermasalah dengan manusia, langsungkanlah penyelesaian dengan insan yang terlibat. Private message boleh. Opsyen lain, telefon ada, telefonlah. Atau tidak pun, lebih afdhol pergi bersemuka terus.

Jika mempunyai masalah di dalam kehidupan pula, sekali lagi, menulis status di laman maya bukanlah penyelesaian terbaik sebenarnya.

Ya, saya faham..

Banyak juga daripada kita yang sangat ‘dahagakan’ perhatian manusia. Sebagai contoh:
Bukan hanya setakat busy meng-upload pelbagai gambar yang tidak perlu, mulalah status tentang dia bergaduh dengan kekasih tak halal pun dia nak hebahkan di FB & twitter. Ataupun mengutuk-ngutuk pihak yang cuba merampas kekasihnya itu. Pendek kata, perang kata-kata la ni..

Ataupun, status sedih atas musibah yang melanda.

Memanglah, sesetengah daripada kita kadangkala memerlukan moral support from outsiders seperti kawan-kawan & sebagainya. Jadi, apabila mereka komen status FB atau reply TL twitter kita, kita jadi gembira kan. Terasa macam lega dapat share dengan orang lain tentang perasaan kita.

Namun, percayalah...
Kelegaan itu hanyalah seketika.

Ia takkan dapat diselesaikan pun sebenarnya.. sebab kita tidak pergi pun kepada 'punca' datangnya semua itu yang pastinya mempunyai solusi akan masalah kita itu.

Kenapa kita perlu mencari manusia walhal sebenarnya kita punya problem listener yang lebih setia & paling baik; iaitu Allah?

“Ala.... tak sama! Mengadu dengan Allah terbatas one-sidedly je! Tulis dekat FB, twitter, at least kita dapat direct feedback daripada kawan-kawan. Simple & faster...”

:)

:')

:'(

Istighfar jom. 

Sedih Allah bila kita cakap macam tu. 
Mudah-mudahan Allah ampunkan dosa-dosa kita.

"Hasbunallah wa ni’mal wakiil, ni’mal mawla wa nikmal nasiir." 
Cukuplah Allah sebagai penolong & sebaik-baik pelindung.
“Apabila kita selalu stress & bermasalah. Cuba recheck bagaimana keadaan hubungan kita dengan Allah.” [Pesan Ustazah]



Kenapa kita rasa mengadu dengan Allah tu sukar & menyukarkan? 
Sebabnya kita tiada hubungan hati ke hati yang kuat dengan Allah. Kalau kita boleh share dengan kawan baik yang kita anggap sekepala & memahami kita.. Yakinlah, Allah-lah Yang Paling Memahami kita sebenarnya...


Jom kita buat refleksi ringkas dengan menyoal diri sendiri.

1) Ada kita cuba bangun di sepertiga malam & menangis meluahkan segala yang terbuku di hati kita selama ini? 

2) Ada tak kita serahkan betul-betul pengharapan & doa kepada Dia di samping sangat yakin bahawa pertolongan itu sangatlah dekat?

“Orang yang berzikir dalam kelalaian itu lebih baik daripada orang yang melalaikan berzikir.”



Sebaik-baik Tempat Kembali. Sebaik-baik Solusi.

Sahabat-sahabat yang Allah kasihi sekalian.

Jangan tuduh Allah yang tidak-tidak bila kita belum pun mencuba lagi untuk mendekatkan diri kepadaNya. Lalu, bagaimana nak Dia kurniakan kemanisan iman & beribadah kepadaNya..?

Saya teringat, saya pernah membaca buku catatan, rahsia kecemerlangan Nik Nur Madihah. Pelajar muslimah yang hebat dari Kelantan yang mencatatkan keputusan cemerlang di dalam SPM beberapa tahun yang lalu.
Seperti yang kita lihat di dada akhbar, teratak tempat keluarga gadis solehah ini berteduh adalah sangat uzur. Tetapi mereka bahagia & terus bersyukur.

Ditanya kepadanya, apakah rahsia dia menjadi begitu tabah, kuat & tidak pernah menangis di hadapan keluarganya walau sesusah mana sekalipun ujian Allah menimpanya & keluarga. 

Ketabahan & kekuatannya itu sangat terserlah hinggakan ibubapanya menggelarkan dia gadis berhati besi.

Kalian tahu apa rahsianya?

Rahsianya adalah hubungannya yang sangat erat & hebat kepada Allah. Dia akan bangun di sepertiga malam melaksanakan ibadah qiamulail seperti solat sunat, berzikir & membaca al-Quran.

Pada waktu itulah air mata yang selama ini ditahan-tahan daripada penglihatan manusia akan ditumpahkan di hadapan Allah. Merintih, mengadu kekuatan daripada Allah. Dia menghamburkan semua kesedihan, ketidakupayaannya kepada Allah & sangat yakin Allah sedang berada dekat dengannya serta mendengar semua rintihan hatinya itu.

Subhanallah. 

Terlahirnya seseorang yang hebat, adalah hasil kehebatan hubungannya dengan Allah. Hal ini kerana jika seseorang hamba itu berusaha keras memperbaiki hubungannya dengan Allah, maka Allah akan memperbaiki segala-galanya buat dia.

MasyaAllah. 
Hebatnya. 
Hebatnya.

Jauh, longgar & lemahnya pegangan kita kepada Allah menyebabkan senang saja kita berburuk sangka kepadaNya.

Astaghfirullah al adzhim...

Kita sangka Allah tidak mendengar doa kita. Kita sangka Allah takkan selesaikan masalah kita. Kita sangka Allah takkan tolong kita. Kita sangka tiada apa-apa kesan pun jika kita mengadu & berdoa kepada Allah. Kita rasa Allah itu sangatlah jauh...

Lalu, kita memilih untuk lebih percayakan manusia.

Apabila ada khabar buruk diterima, kita akan telefon kekasih luar nikah kita dahulu. Kita akan hebah-hebahkan di laman maya dahulu. 

Yang terakhir sekali, barulah kita teringatkan Allah.

Dahsyatnya kita.

Ahklak apakah yang sedang kita pamerkan ini?

Beginikah selayaknya seorang hamba menjadi apabila menerima return-call (musibah) daripada Allah?


"Dan jika Kami Berikan manusia sesuatu pemberian rahmat dari Kami kemudian Kami tarik balik pemberian itu daripadanya, pastilah dia menjadi amat berputus asa, lagi amat tidak bersyukur." [11:9] 
"Dan jika Kami memberinya pula kesenangan sesudah ia menderita kesusahan, tentulah ia akan berkata: "Telah hilang lenyaplah dariku segala kesusahan yang menimpaku". Sesungguhnya ia (dengan kesenangannya itu) riang gembira, lagi bermegah-megah (kepada orang ramai)." [Hud : 11;10]

Cari Allah dahulu.
Mengadulah kepada Allah dahulu.
Kemudian barulah pergi kepada manusia.

Itupun, pilihlah manusia yang boleh mengembalikan semula kita kepada Allah dengan nasihat, akhlak & ilmunya.


“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang sabar.” [ali-Imran; 3: 146]

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang bertawakal kepadaNya.” [ali-Imran; 3 : 159]






InsyaAllah, saya akhiri entri kali ini dengan mutiara kata daripada Imam Syafi’e buat muhasabah (renungan) diri  bersama-sama.

“Ketika aku menjadi pemaaf & tidak mempunyai rasa dengki, hatiku lega, jiwaku bebas daripada bara permusuhan. Ketika musuhku lalu dihadapanku, aku sentiasa menghormatinya. Semua itu aku lakukan agar aku dapat menjaga diriku daripada kejahatan. Aku nampakkan keramahanku, kesopananku & rasa persahabatanku kepada orang-orang yang tidak kusukai, sebagaimana aku pamerkan akhlak yang mulia itu kepada orang-orang yang kucintai.” [Imam Syafi'e]

Subhanallah..
Apa lagi yang boleh dikatakan atas mulianya akhlak kekasih Allah ini.



Penutup.





Saya buat silap. Kalian juga mungkin pernah melakukan kesilapan yang sama. Kita insan biasa yang tidak pernah lekang & sunyi daripada melakukan khilaf & dosa.

Jadi, jom kita sama-sama perbaiki diri.

Gunakanlah kemudahan yang ada untuk menulis, berkongsi serta menyebarkan seberapa banyak kebaikan.

Sesungguhnya Allah sedang Memerhatikan kita, bukan hanya di alam realiti tetapi juga di alam maya.

Malaikat di bahu kanan & kiri juga sentiasa menemani hari-hari kita. Lalu, malaikat yang disebelah manakah kala ini yang sedang sibuk mencatat amalan kita agaknya..?


Berhati-hatilah di atas apa yang kita tulis & kongsikan di alam realiti & maya sekalipun. Pastinya, semua bait-bait itu akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah di akhirat kelak..

Allahuakbar.

Mari kembali kepada Allah & menjadi pengiklan terbaik buat Islam yang indah ini dengan memperindahkan akhlak,  menambah ilmu & mempertingkatkan ibadah kita kepadaNya. insyaAllah.


Perhebatkan habluminnallah (hubungan dengan Allah). Perbaiki habluminnannas (hubungan dengan manusia). 

Sungguh...

Saya sayang kalian semua kerana Allah.

Maafkan semua kesilapan saya di atas kata-kata yang tidak menyenangkan. Teguran, tembakan & nasihat ini tentunya ditujukan buat diri ini terlebih dahulu. Seterusnya buat muhasabah kita bersama.

Semuanya diserahkan kepada Allah untuk penilaian terbaik, insyaAllah.


"Katakanlah (Muhammad), 'Apakah perlu Kami Beritahukan kepadamu tentang orang yang paling rugi perbuatannya? iaitu orang yang sia-sia perbuatannya dalam kehidupan dunia, sedangkan mereka mengira telah berbuat sebaik-baiknya." [al-Kahf, 18: 103-104]
---
Yang terakhir..
Bila ada masalah... carilah Allah dahulu. Luahkan, kongsikan, ceritakan kepada Dia... bukannya pergi mengadu dekat Facebook, Twitter & manusia-manusia yang gagal mengingatkan kita kepadaNya.

Allahu'alam..



**************


Notakaki:
# Kurangkan merungut, banyakkan bersyukur.
# Tiada orang baik yang tidak mempunyai masa lampau. Tiada orang jahat yang tidak mempunyai masa hadapan. Setiap orang berhak mendapat peluang kedua.
# Jujur dengan diri, jujur dengan orang lain. InsyaAllah akan membawa bahagia...