Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Monday, November 19, 2012

Gaza Berdarah Lagi.



Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Awal Muharram dikejutkan dengan serangan zionis terroris laknatullah ke atas saudara kita di Semenanjung Gaza. Sebelum itu saudara seagama kita di Syria juga terus-menerus ditindas.

Ramai ambil peduli. Alhamdulillah.

Adanya inisiatif untuk share gambar jenazah Gaza & Syria yang syahid terkorban dalam serangan demi serangan tersebut di laman maya menggambarkan masih ramai yang peduli & alert dengan apa yang sedang melanda saudara-saudara kita di pelosok lain Bumi Allah ini; walaupun saya tidak berapa selesa dengan bertempelnya gambar ngeri para syahidin tersebut yang dikongsikan secara publicly, namun, saya meraikan jika benar cara tersebut boleh mengetuk iman kita semua.

Ya.
Peduli yang mengetuk iman.
Peduli yang mengusik iman, bukan sekadar mengusik emosi.

Ya.
Ambil tahu yang mengetuk iman.
Ambil tahu yang mengusik iman, bukan sekadar mengusik emosi.

Ada beza antara mengetuk iman & sekadar mengetuk emosi.
Tentu ada bezanya.



"Terusik emosi atau iman?"

Apabila Rasulullah Salallahu 'alaihi wasallam dihina-hina tidak lama dahulu oleh non-muslim yang biadab, ramai yang bangkit secara beremosi. 

Ya mereka marah.

Salahkah kita marah?
Salahkah kita terluka.
Oh, sudah tentu tidak salah.
Kita adalah manusia, punya perasaan...
Manusia agung yang sangat kita cintai dihina-hina sebegitu. Normalnya, semua pencinta akan berasa marah & terluka.

Ya. Emosi kita dijeruk rasa.

Kini berlaku pula serangan ke atas saudara-saudara seagama kita. Sekali lagi, ia mengetuk emosi kita. Ramai yang menitiskan air mata melihat foto & cerita jenazah para syahidin yang mengerikan.

Salahkah kita menitiskan air mata?
Oh, sudah tentu tidak salah.
Kita adalah manusia... punya perasaan..
Saudara kita ditindas sebegitu kejam. Memang patutlah kita rasa sedih kerana jasad insan-insan yang kita kasihi diperlakukan dengan sebegitu rupa.

Sekali lagi. Emosi kita rasa tersentuh.



Apabila Rasulullah dihina, Agama Islam dihina, Saudara seagama kita ditindas. Ramai di antara kita yang mudah benar terusik emosi. Tetapi tidak ramai yang terusik imannya.


Ini benar.

Kita boleh rasa naik angin, berdemo-bantah atas kehinaan yang dilemparkan atas Rasulullah Salallahu 'alaihi wasallam sebagai tanda kita benci dengan penghinaan yang mereka lakukan ke atas junjungan mulia kita. Tetapi setakat itu sahajakah tanda kita cinta kepada Nabi?

Bukankah sepatutnya jika memang benar kita marah, kita geram, kita perlu lebih memanifestasikan cinta & perasaan itu dengan cara yang lebih baik & disukai oleh Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam?

Apa dia?
Praktikkanlah sebanyak mungkin sunnah Nabi salallahu 'alaihi wasallam.
Jadi umat baginda yang lebih baik. Jadi manusia yang baik. Jaga solat lima waktu. Jaga akhlak dengan mencontohi akhlak mulia baginda. Giatkan usaha untuk menyampaikan sunnah & pesanan baginda kepada orang lain.

7 amalan sunnah harian yang dilakukan oleh Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam termasuklah; 

1) menjaga wuduk, 

2) solat Tahajjud & Witir, 

3) solat sunat Dhuha, 
4) solat berjemaah, 
5) membaca & tadabbur al-Quran, 
6) bersedekah 
7) berpuasa sunat isnin-khamis.  

Adakah kita juga mempraktikkan sunnah-sunnah baginda ini di dalam kehidupan kita seharian?

Apalah maknanya kita mampu mengangkat sepanduk yang berat itu sambil berarak meluahkan perasaan marah kita kerana Nabi & agama kita dihina, walhal solat subuh pun selalu tertinggal kerana 'tidak larat' mengangkat selimut tebal yang menyelimuti diri di pagi dingin... Allah...

Kita rasa... Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam akan gembira & tersenyumkah dengan peribadi kita yang sangat rapuh & lemah sedemikian?

Betulkan diri kita. Perbaiki semula jati diri kita. Jika benar kita cinta Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam, buktikan cinta itu dengan cara yang lebih relevan. Biar orang lihat... ya, itulah dia umat Muhammad yang sangat mulia akhlaknya, telus ibadah & mantap keimanannya.
Jika solat subuh di masjid setiap hari ramainya sama seperti solat jumaat, yang demikianlah yang lebih menakutkan tentera terroris, musuh Islam yang sebenarnya. Mereka tahu kita kuat.

Bukan kuat fizikal sahaja. Bahkan kuat iman, tak cinta dunia & tak takut mati untuk memperjuangkan agama Allah. 

Pemuda Islam yang mempunyai roh Islam & semangat juang yang kuat. Itulah yang sebenarnya musuh Islam takut.



Melihat Dengan Pandangan Mata Iman.

Begitu juga dengan peristiwa sedih yang menyaksikan tertumpahnya air mata & darah pejuang Islam di Gaza & Syria.

Kita boleh menitiskan air mata keinsafan melihat foto & membaca berita tentang para syahidin yang terkorban dalam serangan ke atas tanah air mereka. Tetapi setakat itu sahajakah kita peduli kepada mereka?

Bahkan adanya manusia yang merasakan bahawa kita bertuah kerana dilahirkan di bumi yang tidak bergolak sebagaimana di Syria & Semenanjung Gaza. Itu yang kita lihat berdasarkan mata kasar kita. Namun, sebenarnya merekalah yang lebih bertuah kerana dipilih Allah untuk mati syahid. 

Mati mereka dijanjikan balasan syurga oleh Allah. Mereka berperang dengan musuh Allah dalam bentuk yang nyata; iaitu manusia jahat yang mahu menghancurkan mereka.

Sedangkan kita di sini, masih tewas dalam berperang melawan hawa nafsu sendiri. Lemas dalam 'keamanan' yang terlalu aman. Terlalu lemas dengan lautan hiburan yang melampaui batas. Roh Islam & semangat juang semakin luntur di dalam sanubari setiap daripada kita. Sampaikan lupa apa tujuan kehidupan ini yang sebenarnya.

Ada daripada di antara kita yang berasa sungguh kasihan kepada para syahidin & saudara-saudara kita yang sedang bertarung nyawa mempertahankan agama di Syria & Palestin. Namun, yang sebenarnya lebih patut kita kasihankan adalah diri kita sendiri. Mereka terlalu hebat jika hendak dibandingkan dengan kita. Sebab itulah mereka dipilih Allah untuk mati syahid di jalan Allah!

Jika mereka mati, mati mereka dimuliakan Allah. Sebaliknya, pernah kita tanya pada diri sendiri, kalau kita mati... mati kita adakah akan dimuliakan Allah?

"Saat Muslim di negara kita sibuk dengan pelbagai 'anugerah' dunia hiburan yang tak habis-habis, Muslim di Gaza dan Syria sibuk mengejar anugerah Allah yang tidak ternilai harganya - Syahid fi sabilillah!" [Imam Muda Hassan]

Kita lupa dunia ini hanya sementara.

Hayati juga status perkongsian yang saya kutip daripada Facebook milik Ustaz Hasrizal Abdul Jamil; 

"Saya tidak memberi sebarang komen tentang bencana yang sedang menimpa Gaza bukan kerana tidak prihatin. Tetapi saya rasa semua yang saya mahu cakap adalah sampah kerana ia tidak sedikit pun menguis pergi Zionis dari Bumi Isra' itu. 

Yang mampu saya buat secara signifikan sekarang ini ialah membersihkan makan minum serta amalan, agar doa saya untuk Gaza tidak terhijab oleh kecelaan diri sendiri. Doa senjata mukmin kerana jika mukmin tahu syarat doa dimaqbulkan Allah setiap kita akan berubah menjadi mukmin yang lebih baik." [Ustaz Hasrizal Abdul Jamil]

Kita fikir itu ujian buat mereka, hakikatnya ia juga adalah 'teguran' Allah untuk kita.

Mari melihat peristiwa berdarah ini dengan mata hati yang beriman.


"Orang-orang yang beriman & berhijrah serta berjihad di jalan Allah, dengan harta & jiwa mereka, adalah lebih tinggi darjatnya disisi Allah. Mereka itulah orang-orang yang memperolehi kemenangan." [at-Taubah, 9: 20]



Respon Secara Lebih Signifikan.

Perbaiki diri. Jadi muslim yang lebih baik. Tegakkan amal ma'aruf & nahi mungkar dalam diri sendiri & kepada masyarakat sekeliling. Berjuang untuk menegakkan Islam di tanah air sendiri.

Ini baru tanda peristiwa itu mengusik iman kita.
Ia refleks semula kepada diri kita.

Demo akan jadi bermusim.
Begitu juga dengan usaha boikot barangan Yahudi laknatullah.
Perasaan marah, geram & terluka akan surut.
Semangat juang juga bila-bila masa boleh padam.
Doa juga mungkin akan terlupa dipanjatkan bagi mereka.
Namun, keimanan, ibadah & akhlak yang diperbaiki, insyaAllah akan kekal bersama nafas yang terus dipinjamkan seiring hidup yang diteruskan.

Yang beginilah baru signifikan. InsyaAllah.
Tegakkanlah Islam di dalam diri sendiri sebelum mahu menegakkan Islam di seantero dunia.

"Kita bantu saudara kita di sana, tapi usah kasihan kepada mereka. Kasihanlah kepada diri kita. Kasihanlah kepada ummah kita." [Aiman Azlan]

It's a wake up call.
Maka, tiba masa untuk bangkit.
Bangkit daripada lena yang panjang.

Kita dah terlalu banyak ketawa, gembira, terleka.
Ini masanya untuk muhasabah diri semula. 
Kemana hidup ini hendak dibawa sebenarnya.

Ingat, dunia ini hanya sementara.
Jadi jangan dilalai-lekakan olehnya sampai terlupa kita bukan hidup untuk selamanya. Kita hidup sementara di dunia untuk menyiap bekalan bagi dibawa ke kampung akhirat yang kekal abadi.

Di sini saya sertakan butir maklumat untuk kita sama-sama menyalurkan bantuan kepada saudara kita di Gaza.


Kepada yang berkesempatan, bolehlah menghulurkan sumbangan ke Palestin melalui Aqsa Syarif Berhad menerusi akaun bank;  
a) Maybank Islamic : 551575-004299 
b) Bank Islam : 120920100-34904 
Tel : 03-87334636 
emel : admin@aqsasyarif.org.my

Sahabat-sahabat & saudara-saudari sekalian, 
Bagi yang berminat untuk menjadi sukarelawan, mari mendaftar sebagai sukarelawan Aman Palestin di <SINI>. Mudah-mudahan Allah meredhai niat baik kita semua, insyaAllah.

Akhirul kalam, suka untuk saya sertakan doa Qunut Nazilah untuk kita sedekahkan buat saudara-saudara kita di sana. Sumbangan kewangan, doa & usaha boikot tetap kita teruskan. 

Tak dapat banyak kita bantu, kita bantu sedikit. At least, kita buat sesuatu. InsyaAllah.


klik image untuk besarkan.


Percayalah bahawa doa itu senjata mukmin.


Hayati firman Allah dalam suratul Anfal ayat ke-9 yang bermaksud; 
"(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenanNya bagimu, "Sungguh, Aku akan Mendatangkan bala bantuan kepadamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut."

Teruskan berdoa untuk mereka kerana satu-satunya pertolongan yang mereka harapkan adalah pertolongan daripada Allah. 

Juga teruskan mendoakan serta memperbaiki diri sendiri. Ini (peristiwa-peristiwa ini) adalah teguran daripada Allah.

Mari sama-sama kita muhasabah diri.

Allahu a'lam.


--------------
p.s: Salam Ma'al Hijrah 1434. Mari menjadi hambaNya yang lebih baik, insyaAllah. :)

2 comments:

  1. sungguh ! saudari mempunyai mata iman dan roh islam yg sgt kuat di dalam diri...teruskan usha saudari dan ISTQMAH hendaknya....As Salam

    ReplyDelete
    Replies
    1. Allahuakbar. Allahumma amiin.. mudah2an hati yg sedang Allah pegang ini benar seperti yg disangkakan itu.. insyaAllah. mohon doanya. doa yg baik2 utk kamu juga. jzkk. wassalam warahmatullah..

      Delete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."