Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Tuesday, October 30, 2012

Bidadari Mencemburuimu.





1/10/2012
Isnin;
15 Zulkaedah.
[Edited: 30/10/2012]


Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Alhamdulillah.. September 2012 meninggalkan diri ini dengan kebahagiaan & senyuman. Oktober juga sangat membahagiakan.. :) Mudah-mudahan November yang bakal dititi masih dalam pemerhatian & perlindungan Allah, insyaAllah.


"...Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya, & hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya..." [an-Nur: 31]

Apabila kita menyebut tentang muslimah (wanita islam), terdapat sesetengah persepsi mengatakan bahawa golongan ini wajiblah bersifat lemah lembut, ayu, sopan santun dan sebagainya. 

Tergambarlah peribadi yang indah itu menghiasi jasad yang manis menutupi aurat dengan sempurna.

Subhanallah.
Fitrah wanita itu memang sudah Allah jadikan cantik. Maka, akan bertambah cantiklah jika dihiasi pula dengan ilmu, keimanan & akhlak yang mulia.



Jilbab & Persepsi.

Saya terkesan dengan idea Akhi Salim A.Fillah di dalam bukunya 'Biar Bidadari Mencemburui Dirimu' tentang tudung bukanlah penghalang untuk setiap muslimat bagi menjadi dirinya yang sebenar. 

Renungi pertanyaan yang dikemukakan; 
"Tahukah anda peraturan-peraturan yang ditetapkan untuk orang yang bertudung kadang-kadang membebankan wanita?"

Padahal tudung bukanlah topeng yang memerlukan kita menjadi orang lain apabila memakainya. Tidak bermakna kita perlu menghapus ciri-ciri unik peribadi kita walaupun kita bergelar muslimah yang berpegang teguh kepada al-Quran dan as-Sunnah.

Memaksa diri menjadi orang lain selepas melakukan hijrah dengan memakai tudung dan menutupi aurat dengan sempurna adalah perbuatan tidak cerdik. 


Alangkah 'plain'nya dunia ini apabila semua manusia nampak seragam peribadinya. Macam robot yang sudah diset, 'perempuan bertudung sifatnya mesti begini, begini, begitu...'

Selalu benar persepsi diletakkan tidak berapa tepat dan kena pada tempatnya. Sebagai contoh; muslimat bertudung labuh jenis yang sopan santun, pemalu, keibuan, lemah lembut dan sebagainya.

Disebabkan wujudnya persepsi yang demikian, ramai muslimat yang berperibadi lebih 'outspoken', ceria, kelakar dan 'gila-gila' berasa kurang tertarik untuk mengenakan tudung labuh kerana takut akan persepsi yang bakal di'tag' kepada diri mereka.

"Ish... aku ni jenis huha-huha... mana layak pakai tudung labuh. Orang pakai tutup litup ni semua sopan santun, suara lembut gila. Aku ni spesis lain...." 
"Aku ni jenis suka lasak-lasak. Tak pasal-pasal aku bagi buruk je nama baik perempuan bertudung besar yang ayu, sopan gitu..."

Kasihannya muslimat..
Disebabkan 'tag' yang dilemparkan bahawa wanita bertudung labuh sepatutnya begini, begitu, begini.. maka, terjadilah beberapa situasi;

1) Muslimah cenderung bersikap hipokrit, tidak menjadi dirinya yang sebenar hanya kerana takut dipandang serong. 

p/s: Berubah sifat-sifat yang buruk kepada yang baik itu amatlah baik. Sebagainya contohnya; daripada panas baran menjadi lebih penyabar. Namun, hal yang tidak digalakkan adalah seperti disebabkan sudah bertutup litup, jadi segan pula untuk perkara-perkara kebaikan. Contohnya;  malu untuk kehadapan dalam public speaking, project presentation dan sebagainya dengan alasan muslimat itu sepatutnya duduk belakang tirai saja. 

Alahai.....

2) Lebih menyedihkan, sebahagiannya yang tidak mampu bertahan dengan sifat yang dibuat-buat itu akhirnya cenderung untuk kembali kepada penampilan lama kerana merasakan potensi mereka terbatas oleh penampilan yang menepati syariat itu.

"Aku rasa masa aku pakai shawl dulu aku lebih hebat dalam public speaking, debate. Aku rasa free & berkeyakinan. Tudung labuh buat aku rasa aku rendah diri pulak.." 

Eh..?
Ini lagi satu alahai...

Ya Allah.. 
Mudah-mudahan Allah tetapkan hati-hati kita terus atas jalanNya. 







Sibghah Allah.

Sahabat-teman-kawan-rakan-taulan..
Saya tak nafikan. Memang banyak ujiannya bagi muslimat yang berusaha keras menjaga auratnya ini. Pelbagai persepsi dilemparkan, tidak kiralah samada positif, negatif bahkan keterlaluan sekalipun.

Saya pernah, sedang & boleh jadi akan terus melaluinya juga pada masa mendatang. Namun, mari kita sama-sama pujuk hati. 


Jangan sesekali rasa putus asa dengan jalan (kebaikan) yang telah kita pilih..

Hidup itu sendiri adalah ujian.


Masa inilah kita kena tanya semula diri kita.
Pengorbanan ini, untuk siapa kita lakukan?

Pujuk hati, tidak kisahlah apa sekalipun yang kita lakukan, jika alasannya adalah kerana Allah, tiada sebab untuk kita berasa lemah, putus asa & tertekan. Sebab kita tahu untuk Allah-lah pengorbanan itu kita lakukan. 


Kita melakukan untuk Allah.

Adakah perkara yang lebih penting untuk kita selain Allah?

InsyaAllah, selagi mana niat kita betul, cara kita betul & matlamat kita juga betul, Allah akan permudahkan urusan kita. Tetaplah dengan variasi sifat-sifat peribadi kita yang unik selagi mana kita yakin, ia akan tetap Allah suka.

Lupakah kita akan sebarisan tokoh agama yang mengharum namanya sebagai serikandi Islam yang gemilang?

1) Nusaibah binti Ka'ab yang melindungi Rasulullah SAW ke mana-mana beliau bergerak dalam peperangan. 
2) Ummu Hani binti Abu Talib yang berkeperibadian kuat & berani adalah wujud dalam bingkisan Sirah. 
3) Tentulah ada muslimat yang mewarisi peribadi manja & ceria Sayyidatina Aisyah. 
4) Ada juga yang mampu membentak & ketawa terbahak seperti Hafshah. 
5) Begitu juga wanita yang lemah lembut dan sangat keibuan seperti Siti Khadijah. 
6) Serta jangan lupa kepantasan Khaulah al-Azwar yang hebat di dalam peperangan hingga Khalid al-Walid terpegun melihatnya kerana menyangkanya adalah lelaki!

Lalu, di mana salahnya?

Bukankah muslimin pun Allah jadikan dengan citarasa yang berbeza?


Subhanallah.
Hebatnya kebijaksanaan Allah.

"Sibghah (agama) Allah, & siapakah yang lebih baik sibghahnya daripada Allah? KepadaNya kami beribadat." [2:138]

Lalu, wahai muslimat...
Bergembiralah dengan warna warni peribadimu yang pelbagai. Namun, masih perlu berpandukan garisan syariat yang telah Allah tetapkan.

Tudung bukanlah alasan untuk kita menjadi orang lain. 

Tudung bukanlah sandiwara untuk kita menukar karekter peribadi kita. 

Muslimat yang sempurna menutupi auratnya, tidak kiralah samada dia itu orangnya ceria, pendiam, suka ketawa, suka bercakap, pandai berdebat dan sebagainya, insyaAllah, tetap masih istimewa setiap seorang daripadanya.



Tuntutan Sebagai Wanita Islam Yang Beriman.


Kewajipan sebagai wanita Islam (muslimat) secara generalnya ada 7, yakni;

1) Memelihara pandangan matanya & memelihara kesuciannya.
"Katakanlah kepada wanita yang beriman; "Hendaklah mereka menahan pandangannya & kemaluannya, & janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang biasa nampak daripadanya." [an-Nur:31]

2) Menutup aurat dengan sempurna.

"...Dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya, & hendaklah mereka menutupkan kain tudung kedadanya..." [an-Nur: 31]


3) Hendaklah tidak menampakkan perhiasan yang tersembunyi seperti rambut, leher, kedua-dua lengan & betis kaki melainkan kepada suami atau mahramnya.
"Dan janganlah menampakkan perhiasannya, kecuali pada suami mereka, atau ayah mereka, atau anak-anak mereka. atau anak-anak suami mereka, atau anak-anak saudara-saudara lelaki mereka, atau anak-anak saudara lelaki mereka, atau anak-anak saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak yang belum mengerti tentang aurat wanita." [an-Nur: 31]

4) Hendaklah sopan ketika berjalan & berbicara.
"Maka janganlah kamu tunduk (sengaja melemah lembutkan suara) dalam berbicara sehingga berkeinginanlah orang yang ada penyakit di dalam hatinya, & ucapkanlah perkataan yang baik." [al-Ahzab: 32] 
"Dan janganlah mereka menghentak kaki mereka agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan..." [an-Nur: 31]


5) Hendaklah mereka menjauhi segala sesuatu yang menarik perhatian lelaki kepada dirinya seperti berdandan (tabarruj) yang keterlaluan kerana ini bukanlah akhlak seorang wanita yang solehah.
"Setiap pandangan (kepada lawan jenis sehingga meransang syahwat) adalah zina. Seorang wanita yang memakai wangian kemudian melalui satu kumpulan (lelaki) lalu tertarik melihatnya, dia telah (dianggap) berzina." [HR Tirmidzi]


6) Wanita dilarang berdua-duaan dengan lelaki lain yang bukan suaminya & bukan mahramnya, untuk memelihara dirinya dari difitnah.
"Janganlah sekali-kali seorang lelaki berdua-duaan dengan seorang wanita & jangan seorang bermusafir melainkan dengan mahramnya." [Muttafaqun 'alaih]

7) Jangan bergaul dengan lelaki lain kecuali atas perkara-perkara yang terpaksa & kemaslahatan yang dibenarkan.

Subhanallah...
Maha suci Allah..

Indahnya Islam, sentiasa memuliakan & memelihara wanita daripada segala bentuk penindasan, penghinaan & eksploitasi. Malah Islam juga mengangkat martabat wanita tatkala maruah & martabat wanita dipermainkan & diperhambakan ketika zaman jahiliyyah.



Istimewanya Seorang Muslimah.

Hm..
Bicara tentang warna-warni keperibadian muslimat, buat saya teringat kepada usrati & naqibah; Kak Zati. 

Masing-masing dengan keunikan karekter masing-masing.

Ada yang peramah.
Ada yang sangat suka mengusik.
Ada yang sangat ceria.
Ada yang terkenal dengan sikap suka bercakap dengan suara kuatnya.
Gelabah & mudah cemas.
Keibuan & matang.
Ceria & suka ketawa.
Tak lupa juga ada yang pendiam & sangat pemalu.

Allah...
Manisnya semua muslimat ini..
Peribadinya yang pelbagai menceriakan suasana usrah.


Seorang muslimah dilahirkan ke dunia ibarat sebutir permata, apabila digilap akan memancarkan kilauan cahaya. Apabila diletak ditempat yang mulia akan disanjung sebagai pemaisuri. Apabila dibekal ilmu di dada akan menjadi cendekiawan bestari. Seorang muslimah tetap istimewa sebagai suri hati sang jejaka, menjadi ibunda kepada puteri & putera serta menjadi bualan penghuni langit dunia. Ya Allah.. alangkah indah & istimewanya muslimah yang punya Allah di dalam jiwanya..

Oleh itu, tidak perlu disembunyikan keunikan diri sungguhpun kita bertudung litup. Biar keindahan warna-warni itu hidup & meronai dunia dengan pelangi akhlak yang sangat indah.

Ya, hiasi keunikan karekter diri dengan kemuliaan akhlak.Benteng diri dengan malu dan iman yang kukuh melalui pencarian ilmu & beramal memenuhi kehendak syariat. 

Dengan adanya semua aspek ini yang menghiasi seorang muslimah, tentulah semakin manis dia dimataNya. insyaAllah.


Wahai muslimat yang dikasihi Allah..Jagalah maruah & akhlak di hadapan Allah, ibu bapa, keluarga, sahabat-teman-kawan serta kepada yang bukan mahrammu. Yang demikianlah solehahnya kamu hingga bidadari pun mencemburuimu.. 

Sebagaimana yang disebutkan di dalam hadis, sesungguhnya dunia itu adalah perhiasan & seindah perhiasan dunia adalah wanita (isteri) yang solehah..

InsyaAllah.

Allahu'alam..

--------
p/s: Jangan sesekali berputus asa untuk berdoa, berazam & mengimpikan agar Allah akan memandang kita dengan pandangan rahmat & kasih sayangNya.. 

Notakaki:
Ibadah perlu dilakukan dalam keadaan berilmu supaya sah di sisi Allah. Beramallah dengan ilmu, bukan sekadar ikut-ikutan. Jangan beramal dalam keadaan jahil.
# Sekecil-kecil perkara juga dikira ibadah hatta mengerdip kelopak mata. Maka, kerjakanlah segala apa diniatkan kerana Allah swt. Mudah-mudahan diganjarkan kebaikan yang terbaik.
# Muslimat yang memiliki barang perhiasan & hanya menyimpannya tanpa memakainya wajib membayar zakat perhiasan. Tetapi tidak wajib berzakat andai semuanya dipakai.
# Islam juga sangat menggalakkan muslimat untuk memperbanyakkan amalan berpuasa & bersedekah. 


Wednesday, October 24, 2012

Ada Suatu Ketika.




22 Oktober.
10.27 pm.

Ada suatu ketika.. 
Apabila yang aku rancangkan,
Bukanlah seperti yang Dia rencana.

Apabila yang aku kehendaki,
Tidak Dia kurnia..
Sebalik Dia Memberi,
Apa tak ku ingini.

Dia memberi,
Apa yang aku mahu jauhi.
Apa yang aku tidak sukai.

Aku merasa jatuh.
Namun, 
Yang tetap menyambut aku kembali..
Tetap adalah Dia..

Apabila Dia Memberi,
Tidak aku hargai,
Bukankah itu bermakna nikmatNya tidak kusyukuri?

Apabila yang aku mahukan.
Tidak Dia bagi..
Apakah dariNya, aku mahu berpaling pergi?

Hati aku merajuk?
Iman aku mereput?

Apakah akan serapuh itu aku menjadi?

Bukankah aku wajib memahami.

Bahawa Dia Memberi apa yang Mahu Dia Beri.
Bukannya Dia Beri apa yang Aku mahu Dia Beri...

Bila aku kecewa pada takdirNya.
Tentulah Dia kecewa kepadaku lebih-lebih lagi..


"Apakah setakat ini sahaja cintamu kepadaKu selama ini?" 
"Apakah memang benar kau akan berpaling sebaik sahaja diuji?" 
"....Walhal, ujianKu hanya sekecil ini?"

Hiba aku hiba.
Mengapa perbuatan tidak selari apa terucap.


"Aku ni sangat jahatkan Allah...?" (T.T)

Hati, pujuklah hati.
Kalam Ilahi dalam surat cintaNya yang kedua.
Banyak menjentik naluri.

Kaji,
Sila habis dulu mengkaji.
Hembus kabus jahil & duniawi,
Biar menjauhi pergi dari diri..

Allah..
Menggunung dosaku yang belum terampuni.
Tak tercapai dek taubat & doaku saban hari.

Ampuni aku yang tak layak diampuni.
Ampunilah aku Ya Robbi...




------------


Setiap kejadian,
Setiap ujian,
tiada yang sia-sia.
Kerana apapun yang datang dariNya itu tiada sia-sia.
Bukanlah kebetulan cuma.
Melainkan penuh hikmah & rahsia.

Semua dalam pengetahuanNya.
Tidak mampu tersingkap oleh sepasang mata hamba...

Tersenyumlah menerima semua.
Kerana itu datang daripadaNya.
Dan apa yang diberikan olehNya itu.. 
adalah yang terbaik buat setiap hambaNya..



--------------

Notakaki:

Maafkanlah bila hati tak sempurna mencintaiMu..
Dalam dada ku harap hanya diriMu yang bertakhta..

Saturday, October 20, 2012

Malu Yang Sangat Manis.



Dedikasi:
Sementelah kerana sukarnya bertemu lelaki pemalu, Maka, InsyaAllah, entri ini ditulis bagi menghargai & meraikan lelaki yang masih menebal malu di dalam hatinya. Malunya itu untuk Allah & kerana Allah. Subhanallah. 
Untuk kamu yang malu untuk memandang wanita yang bukan lagi mahrammu.
Lelaki yang mengalihkan pandangan sebelum sempat pandangan bertemu.
Mengalihkan pula badan & duduk bagi menjaga pandanganmu.
Subhanallah, sungguh ia membuahkan rasa hormat di dalam hatiku.
Lalu doa yang tulus kupanjatkan kepadaNya untukmu. 
Semoga Allah merahmatimu & menambahkan lagi kemanisan kepada imanmu. Amiin. 

--------------------------------------

Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


"Tidak aku tinggalkan fitnah yang lebih berbahaya bagi seorang lelaki daripada (fitnah) wanita." [HR Bukhari]


Saya masih ingat. Sewaktu masih belajar di kampus dahulu, untuk pulang ke desasiswa dari pusat pengajian ataupun makmal, saya akan melalui jalan utama yang selalu digunakan oleh pengguna jalan raya.

Umumnya, suasana akan menjadi sesak tatkala tibanya selepas solat Jumaat. 

Kadangkala kuliah mingguan Selami Dunia Hawa anjuran PMIUSM tamat betul-betul tepat pada waktu muslimin bergerak pulang daripada solat Jumaat di Masjid al-Malik Khalid. 

Waktu itu, sederetan muslimat yang menunggu di tepi jalan akan menjadi serba salah untuk melintas. Sudahlah jalan sesak. Bertubi-tubi pula pandangan yang bagaikan 'scanner machine' yang menujah wajah-wajah polos itu. 

Menakutkan. Mengerikan. Menaikkan bulu roma sampai tidak mampu mengangkat wajah.

Saya, jujurnya selaku muslimah. Sangat tidak selesa berhadapan dengan hal ini. Kadangkala, akibat kurang peka, kami tidak ingat, atau tersilap kira waktu bersurainya muslimin daripada masjid.

Muslimin yang menjaga pandangan.
Masihkah wujudkah?

Itu persoalan yang selalu singgah di telinga tatkala berdiri di sisi sahabat-sahabat muslimat yang lain. Seringkali juga kami berpatah balik kerana tidak tahan malu apabila dipandang, ditenung, direnung tanpa berkelip oleh pandangan muslimin yang sungguh menggerunkan. Terasa sungguh dahsyat sekali.

Dahsyatnya apabila dipandang begitu membuatkan malunya kami terasa seperti kami sedang berada dalam keadaan yang memalukan. Ia menimbulkan rasa takut & sangat malu kepada Allah. Terasa seperti tudung labuh bulat & jubah warna gelap yang longgar itupun seperti masih belum cukup untuk menutupi rasa malu kami.



***

"Wahai muslimin, bantu kami, jagalah pandanganmu. Begitu juga dengan muslimat. Kami akan usahakan untuk tidak menjadi fitnah buatmu. Ayuh, kita saling bantu-membantu untuk menjaga pandangan masing-masing, insyaAllah."

Saya selalu luahkan perasaan & gesaan ini di Twitter sewaktu belajar dahulu. Tatkala menempuh suatu detik di hari Jumaat yang terasa menyesakkan.

Lelaki pemalu yang kena pada tempatnya. 
Ya Allah.. sangatlah manis.

Apa yang manis?
Mereka merasai kemanisan dalam beribadah kepadaNya.
Itulah yang manis..

Keimanan mereka kepada Allah menggebu-gebu, bercambah mekar seiring ibadah yang sejahtera.

Masih wujud, namun agak sukar sebenarnya mencari muslimin yang masih kekal menjaga malu & menjaga pandangannya. 

Saya rasa, mungkin ramai muslimin juga ada terfikir yang sama terhadap para muslimat apabila bertembung dengan yang tidak menjaga aurat & akhlaknya.


Muslimat yang menjaga aurat & akhlaknya.
Masih wujudkah?









Muslimin yang menjaga pandangan.

Juga muslimat yang menjaga auratnya.

Batas pergaulan yang terjaga.


Saya pasti ramai di antara kita yang merindukan suasana soleh/solehah begini.

Jadi, kenapa tidak kita wujudkan dengan bermula daripada diri sendiri?


---------------------------------------


Sekiranya ada perkara perlu yang dijadikan sebagai mahkota sebagai kehormatan seorang manusia, tentulah al-Haya' (malu) tersenarai sebagai salah satu daripadanya. 

Hal ini adalah kerana malu merupakan salah satu perisai yang sangat ampuh untuk membenteng diri daripada mengikut nafsu untuk bermaksiat kepada Allah.

Malu untuk memandang apa yang bukan halal.
Malu untuk mencintai apa masih belum termiliki.
Malu untuk menyentuh yang bukan hak milik.
Malu untuk melakukan maksiat kerana tahu Allah sedang memerhatikan.

Malu, adalah antara benang-benang yang menyempurnakan pakaian taqwa.

Malu adalah sebahagian daripada akhlak Islam yang utama. Hal ini kerana rasa malu hanya dimiliki oleh orang yang beriman. Perempuan yang beriman & juga lelaki yang beriman.

Direkodkan bahawa Hasan al-Basri dikatakan masyhur dengan ketinggian ilmunya serta memiliki ketampanan wajah yang mencairkan hati wanita tatkala melihatnya.

Pernah seorang wanita datang bertemunya bagi meminta fatwa. 
"Wahai Abu Said...", dia memanggil kuniyah (gelaran) untuk Hasan. 
"Haruskan kaum lelaki menikahi wanita?" 
"Begitulah," jawab Hasan. 
"Bagaimana dengan diriku...?" tanyanya lagi. Rupanya wanita itu sempat melihat wajah Hasan yang tampan semasa bertanya. 
"Wahai Abu Said...," serunya sambil mengalih pandangan. 
"......Usah kau goda wanita dengan wajahmu!" 
Hasan mengulas keberanian & keagungan wanita solehah ini dengan berkata; 
"Andai kata di rumah lelaki ada wanita sepertimu, nescaya dia tidak lagi memerlukan dunia."

***

Wanita & lelaki yang menjaga hati & pandangan mata.
Allah mengurniakan kemanisan iman di dalam hati mereka.
InsyaAllah.

Mari kita susuri sirah yang lain pula. Tentang antara 10 sahabat yang dijanjikan Allah syurga; yang menebal malu di dalam hatinya; Sayyidina Uthman bin Affan.

Antara ciri mulia Uthman adalah sifatnya yang pemalu. Uthman sangat pemalu terhadap Allah. 

Sifat pemalunya Uthman pula diceritakan pada suatu hari tatkala Rasulullah sedang berehat sambil berbaring. Ketika itulah juga baju yang dipakai baginda terangkat sehingga ternampaklah sedikit betisnya. 
Pada mulanya Abu Bakr datang berbincang dengan Rasulullah. Setelah Abu Bakr pulang, datang pula Umar. Seketika kemudian Umar pun pulang lalu datanglah pula Uthman dengan tujuan untuk berbincang sesuatu dengan baginda Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam.  
Mengetahui kedatangan Uthman, Rasulullah segera bangkit daripada pembaringannya dan merapikan pakaiannya serta menutupi betisnya semula. 
Setelah Uthman pulang, Aisyah pun bertanya kepada Rasulullah;


"Ya Rasulullah, engkau tidak mengemaskan dirimu apabila kedatangan Abu Bakr dan Umar, namun tidak pula sebagaimana kedatangan Uthman?" 
Rasulullah lalu bersabda; "Uthman merupakan seorang yang pemalu. Jika dia masuk dan aku masih berbaring sudah tentu dia akan berasa malu & cepat pulang sebelum hajatnya terlaksana. Wahai Aisyah, tidakkah aku patut malu kepada seorang yang malaikat sendiri pun berasa malu kepadanya?"

MasyaAllah.
Uthman malu kepada Rasulullah saw yang merupakan sama jantina dengannya.

Mengapakah hari ini ramai muslimin yang tidak berasa malu langsung untuk merenung tatap aurat wanita yang bukan mahramnya?

Apakah mereka tidak takut di akhirat kelak Allah bertanya, mata yang dipinjamkan itu telah digunakan untuk apa selama di dunia? 


Tidak menjaga pandangan mata, 
berkuranglah kekuatan iman di dalam jiwa. 
Kemanisan beribadah kepadaNya juga tiada terasa.

Aduhai sayangnya pemuda Islam yang lemah imannya. 
Kalian adalah aset berharga yang terbazir...


"Apabila ibadah tidak terasa kemanisannya, itu petanda hati telah dibebani dosa mata." [Ustaz Pahrol Mohd Juoi]


-------------------------------------



"Malu-malu kucing macam perempuan apa hal? Tak lelaki langsung!"


Mungkin ada persepsi yang mengatakan bahawa sifat malu itu hanya sesuai untuk golongan hawa.


Oh, persepsi ini sangatlah tidak benar.


Jangan tersilap bahawa malu itu sifat yang lemah. Hal ini kerana adanya malu itu di dalam dirimu petanda imanmu yang kuat.



Sesiapa yang tidak mempunyai rasa malu, itu tandanya orang yang lemah.
Ya..
Imannya lemah.

Jangan sesekali kita lupa, 

1) Malu adalah mahkota Nabi Yusuf menangkis godaan Imraatul Aziz. 

2) Malu jugalah yang menjadi perisai bagi Abu Bakr al-Maski yang memakai 'baju besi' berlumuran kotoran manusia semasa seorang wanita cantik & kaya mengajaknya berzina.
 

3) Malu Sayyidina Uthman kepada Allah apabila terlepas pandang dalam menginfakkan hartanya di jalan Allah. Sifat pemalunya membuatkan para malaikat turut malu kepadanya.


Tanpa malu, apakah yang akan menghalang kita daripada melakukan kemungkaran & kemaksiatan?

"Sesungguhnya antara kalimah kenabian yang pertama adalah; apabila kamu tidak lagi memiliki rasa malu, maka lakukan apa-apa sahaja yang kamu mahu." [HR Bukhari]

Melakukan dosa & bermaksiat tatkala kita tahu Allah sedang Melihat. Hal itu kerana tiada malu di dalam diri kepada Allah. 

Tidak menutup aurat walaupun sudah mengetahui bahawa menutup aurat itu adalah suruhan wajib daripada Allah. Kenapa kita masih melanggarnya? Tentulah kerana kita tidak malu kepada Allah. 
 

Menggunakan kelebihan yang diberi pinjam oleh Allah seperti kekayaan, kecantikan, ketampanan & ilmu pengetahuan ke arah jalan yang tidak baik. Hal ini kerana tiadanya rasa malu kepada Allah yang Meminjamkan semua kelebihan itu.

Ia sangat berpadanan kepada hadis yang telah dinyatakan di atas tadi.


Tanpa malu, pakaian taqwa kita tidaklah sempurna.

Sesungguhnya dengan malulah seorang wanita menyempurnakan suruhan Allah swt dalam menyempurnakan penutupan auratnya daripada diratah pandangan lelaki ajnabi. Selari dengan tuntutan Allah swt yang bermaksud;

"Katakan kepada wanita yang beriman itu supaya menyekat pandangan mereka daripada perkara yang diharamkan & memelihara kehormatan mereka. Jangan mereka zahirkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya & mereka perlu menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka." [an-Nur; 24: 31]

"Tiada seorang wanita pun yang membuka auratnya (pakaiannya) di rumah atau tempat selain rumah suaminya (atau ayahnya tanpa kewujudan orang luar) kecuali dia telah merempuh tabir (sempadan yang digariskan) di antaranya & Tuhannya." [HR Ahmad]-sohih

Orang yang pemalu, hatinya begitu dekat dengan Allah. Hinggakan dia rasa takut untuk menggunakan jasad yang dipinjamkan Allah untuk berbuat maksiat kepadaNya.


Kerana dia tahu, Allah sedang Memerhatikan.



Jadi dia malu & takut kerana dia tidak tahu Allah sedang Memandangnya dengan pandangan yang bagaimana.



--------------------------------------


Tatkala saya menyelak-nyelak sebuah kitab, saya terjumpa satu hadis;


"Nabi Muhammad lebih malu daripada gadis pingitan..." [HR Bukhari]

Apabila saya terbaca hadis ini, terus saya tersenyum.

Ya Allah, comelnya Rasulullah! :)



Jadi,
Wahai muslimin yang Allah kasihi sekalian.
Janganlah segan untuk menyemai rasa malu di dalam dirimu.
Sedangkan lelaki yang paling Allah kasihi juga menebal perasaan malu di dalam hatinya.

"Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu; iaitu bagi orang yang mengharap rahmat Allah & kedatangan kiamat & yang banyak mengingati Allah." [al-Ahzab; 33:21]

Lakukanlah pengorbanan kecil dengan meninggalkan kecintaan kepada maksiat demi meraih kemanisan iman kepada Dia yang paling kita cintai; iaitu Allah.

InsyaAllah. :)


"Siapa yang menjaga pandangannya akan diberi kemantapan jiwa" [Sayidina Umar Al Khattab]

Semoga Allah merahmati kita semua.


Allahu'alam.


---------
p/s: Entri ini umum sebenarnya untuk muslimin & muslimat. Namun, saya mencatat dedikasi di atas kerana di situlah idea untuk menulis entri ini Allah cetuskan. Semoga bermanfaat.

Notakaki
# Memanfaatkan 10 terawal Zulhijjah dengan memperbanyakkan amalan-amalan sunat, memperbaiki amalan wajib. Puasa sunat yang paling digalakkan pada 9 Zulhijjah. 
# Bukan bahagia yang membuatkan kita bersyukur. Bahkan dengan memperbanyakkan kesyukuran kepada Allah-lah yang membuatkan kita lebih berbahagia.. :)
# Hargai & manfaatkan 5 nikmat sebelum diuji Allah dengan 5 ujian. Lapang sebelum sempit, sihat sebelum sakit, muda sebelum tua, kaya sebelum miskin & hidup sebelum mati.
# Kepada yang belum tahu, theme song al-adha di TV Alhijrah diambil daripada lagu 'Waiting For Call-Irfan Makki. InsyaAllah, boleh dengar di sini



Saturday, October 13, 2012

Biarlah Allah Yang Membalasmu.



Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

"Dan barangsiapa berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sungguh, Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu) dari seluruh alam." [al-Ankabut; 29: 6]


Terdapat banyak perkara yang kita lakukan di dunia ini, yang kadangkala nampak one-sidedly, seolah-olah tidak tidak dipandang kerana tidak memperolehi apa-apa respon & tidak mendapat balasan.

Hal ini buat saya teringat,
Di dalam novel Tautan Hati tulisan Ustazah Fatimah Syarha, Umar al Mujahid berasa bosan dengan halaqoh yang disertainya & keluar berdating dengan seorang wanita bukan mahram. Lalu Allah buka aib & dosanya itu lalu terlihat oleh sahabat-sahabatnya yang sedang berhalaqoh tidak jauh daripada tempat dia berdating itu.

Umar sebenarnya frust apabila Asiah Yusro (wanita idamannya) tidak memberi respon positif kepada hasrat hatinya yang cintakan muslimah itu di dalam diam-diam. 

Malang sekali, hanya sebab tidak diberi respon yang baik oleh seorang wanita, Umar yang soleh itu berpaling & hatinya memberontak.


Di dalam dunia ini... 
Banyak perkara yang kita lakukan, apabila tiba certain period of time, kita merasa letih, rasa tidak berbaloi & membazir.

Mengapa jadi begitu agaknya?

Apabila kita tidak mengetahui untuk siapa kita melakukannya, apa matlamat kita melakukan serta motif kita melakukan sesuatu itu.. 
Ya, tentulah kita akan letih.

Tambahan pula, jika kita melakukan sesuatu itu memang semata-mata kerana mahukan perhatian & balasan daripada target tertentu. Jadi, apabila kita tidak memperolehi apa yang dihajatkan, tentulah kita kecewa, sedih & frust.

"Memuaskan hati manusia itu melelahkan. Kerana manusia tidak akan pernah merasa puas."

Oleh itu...
Amatlah penting untuk kita mengetahui, mengenal pasti semula 3 perkara sebelum kita melakukan sesuatu, terutama sekali apabila kita melakukan kebaikan.



Untuk Siapa?

Pertamanya, 
Jom kita bermuhasabah kembali, untuk siapa agaknya kita melakukan kebaikan itu?

"Saya pakai macam ni untuk meraih perhatian orang yang saya cinta."  
- Jadi, bila orang itu tidak tertarik kepada kita, kita rasa kecewa. 

"Aku hadiahkan dia ini supaya next time, birthday aku dia akan balas dengan hadiah yang lebih mahal lagi." 
- Malangnya, bila si dia tak membalas hadiah kita itu, kita rasa hampa. Lebih teruk, kita putus asa untuk menghadiahinya sesuatu di masa depan. 



"Aku berjanji akan jadi lelaki yang soleh. Mulai hari ni aku akan istiqomah solat jemaah dekat masjid, buat kerja dakwah, hafaz quran supaya perempuan idaman aku akan pandang aku." 
- Bila perempuan idamanmu tidak memandangmu, malah dia menerima pinangan orang lain... maka, kamu merasa amalan kebaikanmu itu semacam sia-sia sahaja.

Oleh itu...
Amatlah perlu untuk kita perbetulkan semula niat kita dalam melakukan sesuatu.


"Tidak (diterima) amal-amal itu, melainkan menurut niat. Seseorang tidak akan dapat, melainkan apa yang ia niatkan. Lantaran itu barang siapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka pahalanya itu ialah (pahala amalan) kerana Allah dan RasulNya dan barang siapa berhijrah kerana dunia, nanti ia dapat dunia itu, atau kerana perempuan nanti ia kahwin dengan perempuan itu, (singkatnya) ganjaran hijrah itu menurut niat ia berhijrah". [HR Bukhari]

Niat, biarlah kerana Allah.

"Hm... macam mana nak niat kerana Allah? Susah nak ikhlaskan hati. Sikit sebanyak, mesti ada niat tersirat yang lain..." 

Ustaz Azhar Idrus di dalam satu kuliah maghribnya sewaktu di Masjid Negeri Penang pernah berpesan bahawa ikhlas itu sesuatu perihal yang sangat private & confidential. 

Ikhlas itu rahsia Allah. 
Jadi apa kata, yang itu kita serahkan kepada Allah?

Bahagian kita, kita usahakan untuk meniatkan segala yang kita lakukan adalah semata-mata keranaNya.

Sebelum melakukan sesuatu. Terutamanya hal kebaikan; letak tangan di dada sebelah kiri & berkatalah dengan perlahan kepada diri sendiri; 
"Ya Allah, aku melakukan ini adalah kerana inginkan redhaMu." 
        Katakanlah lagi; 
"Demi Allah, aku melakukan ini kerana Allah."

Cuba dahulu.
InsyaAllah kita akan 'terasa' satu perasaan asing di dalam hati kita.
Tak tahulah apa dia.
Tapi rasa macam manis sangat.

:)

Niat lillahi taala.
InsyaAllah tiada kecewa.

-------------------------



Motif & Matlamat Utama.

Keduanya,
Tanya semula diri; 
"Apa motif & matlamat aku buat semua ini agaknya..?"

Seseorang yang baru berjinak-jinak untuk melangkahkan kakinya untuk solat berjemaah di masjid, awalan niat & motifnya mungkinlah kerana terikut-ikut kepada  pelawaan sahabatnya.

Mungkin juga kerana dia mahu menjadi insan yang lebih baik. Lalu, sekadar terikut-ikut method orang lain yang pernah menjumpai 'turning point' dengan cara yang sama.

Apapun motif & matlamat kita melakukan sesuatu perkara, biarpun awalannya bercampur baur kerana ingin itu, kerana ingin ini..

Tetapi insyaAllah, jika niat itu kerana kebaikan, mahukan kebaikan, insyaAllah, Allah akan bukakan hati kita untuk melihat motif utama sesuatu amalan ialah semata-mata kerana mahukan keredhaanNya.

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman, dan orang-orang yang berhijrah & berjihad di jalan Allah, mereka itulah yang mengharapkan rahmat Allah. Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." [2:218]

Percaya pada Allah. 
InsyaAllah, sekali lagi kita tidak akan kecewa.

Seorang muslimah, dikatakan terbuka hati untuk menyertai usrah kerana terikut-ikut ajakan teman-temannya yang lain.

Kemudian, apabila sudah bertambah seronok, motif dia pergi ke usrah adalah kerana inginkan ilmu, berukhuwah dengan ahli-ahli usrah, meluahkan perasaan sesama ahli usrah dan sebagainya.

Namun, apabila Allah memberikannya kefahaman agama, lama kelamaan, dia sedar, bahawa sepatutnya setiap amalan kebaikan dilakukan semata-mata mahu mendekatkan diri kepada Allah & meraih keredhaanNya.

"Apabila Allah memilih seorang hamba untuk menjadi baik, Allah akan Memberikannya faqqih fiddin (kefahaman dalam agama)." 

--------------------------



Serahkan KepadaNya.

Ketiganya,
Berpeganglah bahawa hanya Allah yang berhak membalas kebaikan kepada kita. Kita juga kena yakin bahawa semua yang berlaku adalah atas keizinanNya.

Ya,
semuanya berlaku atas keizinan Allah.


Adalah tidak tepat untuk kita berpegang;  
"Jika kita mudahkan urusan orang lain, kelak orang lain juga akan selalu mudahkan urusan kita."

Juga adalah tidak tepat apabila kita beranggapan; 
"Jika melakukan kebaikan kepada orang lain, maka suatu hari nanti mereka akan membalas kebaikan juga kepada kita."


Dua statement ini adalah tidak tepat.


Percayalah, jika sandaran kita adalah kepada manusia.
Kita akan kecewa.

Kerana yang memegang & menggerakkan hati manusia itu adalah Allah.

Orang yang kamu cintai, membalas semula perasaan yang sama untuk kamu, hal itu adalah kerana Allah membuka hatinya untuk mencintaimu.

Sahabat kamu membalas hadiah kamu & berterusan menggembirakan hatimu adalah kerana Allah menginginkan hal yang sedemikian berlaku kepadamu.


Maka, betulkanlah persepsi.  
Statement yang sepatutnya kita pegang ialah; 
"Jika kita memudahkan urusan orang lain, insyaAllah Allah akan memudahkan urusan kita pada waktu yang kita tidak ketahui." 

Juga; 
"Jika kita melakukan kebaikan kepada orang lain, Allah pasti akan membalasnya dengan ganjaran yang setimpal & insyaAllah Allah akan menggerakkan hati-hati hambaNya yang lain untuk berbuat baik kepada kita di waktu yang kita sendiri tidak jangkakan."



Semuanya untuk Allah. 
Semuanya datang daripada Allah.

Maka, kembalikanlah semula semuanya kepada Allah.

Samada Allah benar-benar ingin memudahkan urusan kita & membukakan hati orang lain untuk berbuat baik kepada kita, itu adalah Hak Dia. 


Jika Allah membalas kebaikan kita dengan nikmat, kita bersyukur. Jika tiada apa-apa balasan, itu sepatutnya tidak mengurangkan sedikit pun rasa semangat kita untuk istiqomah berbuat baik. Hal ini kerana kita tahu, cepat atau lambat, Allah tetap akan membalas semua kebaikan kita hatta sebesar biji sawi.



Buat sesuatu tanpa mengharapkan balasan.
Itulah namanya keikhlasan.



Selalulah ingatkan diri sendiri & juga orang lain;

"Sebelum kita berani untuk meminta kepada Allah supaya memberikan kita perkara-perkara yang kita cinta, lakukanlah dahulu perkara-perkara yang Allah cintai."

Lakukan kebaikan yang dicintai Allah, insyaAllah Allah akan memberikan apa yang  terbaik untuk diri kita.

Maka, ingatlah 3 perkara tadi; 
1) Niatkan kerana Allah. 
2) Motif? : Untuk mendapatkan keredhaan Allah. 
3) Saranan : Buat apa yang Allah suka & Allah akan memberikan apa yang kita sukai.


"Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas berserah diri kepada Allah, sedang dia mengerjakan kebaikan, & mengikuti agama Ibrahim yang lurus? Dan Allah telah memilih Ibrahim menjadi kesayanganNya." [an-Nisa'; 4:125]

-------------------------------



Bertakwalah Hanya KepadaNya.

Apabila Allah Mengetuk semula pintu hati Umar untuk melihat motif & matlamat utama kehidupan, dia akhirnya sedar bahawa tidak mendapat cinta Asiah Yusro bukanlah apa-apa padanya. Kerana waktu itu, sibghah (celupan/agama) Allah telah pun memenuhi hatinya.

Dia sedar, matlamatnya hanyalah Allah.

"Allah Pelindung orang yang beriman. Dia Mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya (iman). Dan orang-orang kafir, pelindung mereka adalah syaitan, yang mengeluarkan mereka daripada cahaya kepada kegelapan. Mereka adalah penghuni neraka. Mereka kekal di dalamnya." [2:257] 

Hakikatnya, apabila mata hati kita telah pun memandang kepada akhirat, maka hati kita tidaklah akan begitu terkesan dengan hal-hal keduniaan yang sangat kecil & remeh.

Kerana kita tahu, hidup ini cuma untuk sementara.

Kebanyakan kita terasa lelah & penat kerana kita asyik mengejar 'sesuatu' yang sedang berlari jauh meninggalkan kita. Kita mengejar dunia yang bakal kita tinggalkan sedangkan kita mengabaikan bekalan yang bakal dibawa pergi ke akhirat yang abadi.

Perbetulkan niat, perhalusi matlamat, luaskan pandangan.


Kita terlupa barangkali selama ini, tiada apa yang kita lakukan akan terlepas daripada pandangan & perkiraan Allah SWT. 

Ya, Dia sedang Melihat kita.
Ya, Dia sentiasa Memandang kita.

Kiranya perbuatan baik kita tidak dipandang oleh manusia. Itu tidaklah apa.

Kiranya amalan baik kita tidak menyentuhi hati manusia. Itu pun bukanlah apa-apa.

Yang penting, keredhaan Allah itu kita perolehi. Kerana Dialah segala-galanya.

Tak apa kalau manusia tidak kenal kita. Tak apa kalau manusia tidak iktiraf kewujudan kita. Asalkan Allah & para penghuni langit kenal siapa kita kerana Allah mengangkat & menerima semua doa & amalan kita ke langit.

Subhanallah.
Itulah impian kita yang sepatutnya.

Sebagai penutup,
InsyaAllah, saya ingin kongsikan sesuatu yang saya perolehi sewaktu mendengar kuliah Tanyalah Ustazah di TV9 hari ini (Jumaat; 12/10/12);

"Janganlah kita menjadi seperti lalang. Apabila manusia berbuat baik, kita membalas kebaikan. Apabila manusia berbuat jahat kepada kita, kita membalas kejahatan kepadanya. Jadilah orang yang istiqomah berbuat baik, tetap memberi kebaikan & membalas kebaikan kepada orang yang berbuat baik & berbuat jahat kepada kita."


Semua yang kita lakukan, biarlah Allah sahaja yang memberikan balasannya. InsyaAllah. Mudah-mudahan Allah menerima semua amalan kita..

"Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah & hendaklah setiap orang memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok (akhirat), & bertakwalah kepada Allah. Sungguh, Allah Maha Teliti terhadap apa yang kamu kerjakan." [al-Hasyr: 59:18]

"Maka barangsiapa mengerjakan kebaikan sebesar zarah, nescaya dia akan mendapat balasannya." [az-Zalzalah; 99: 7] 

Yakin, Allah adalah sebaik-baik Penilai.
Dia tidak akan sesekali mengecewakan kita.

:) 


Allahu'alam.

p/s: Saya pernah bicara hal yang sama di sini.


Notakaki:
# Banyak perkara yang tidak berapa kita sukai, kita tetap lakukan kerana kita ingin mendekat, merapat & meraih cintaNya.
# Perbanyakkanlah selawat kepada Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam, semoga kita memperolehi syafaat baginda di akhirat kelak.
# Jika kita bersungguh-sungguh mencari kebaikan & berbuat kebaikan, tentulah kita akan bertemu dengan Allah pada penghujungnya.
# Bersihkan hati dengan memperbanyakkan istighfar kerana Allah itu letaknya hanya di dalam hati yang suci & bersih. Nur Allah tidak akan lekat di hati yang berbuat dosa & maksiat.

p/s 2: Postpone study. Ada hikmahnya, insyaAllah.