Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Thursday, April 25, 2013

Menjadi Insan 'High Class'- Part 2




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan tercinta, Rasulullah sollallhu 'alaihi wasallam..


InsyaAllah, saya mulakan entri ini dengan sebuah hadis Nabi untuk kita renung-renungkan bersama..


Dari Abu Hurairah, Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam pernah berpesan;

"Sentiasa wasiatkan kebaikan kepada para wanita, kerana mereka diciptakan daripada tulang rusuk. Bahagian yang paling bengkok daripada jalinan tulang rusuk ialah tulang rusuk bahagian atas. Sekiranya kalian memaksa diri bagi meluruskannya, tulang itu pasti patah. Tetapi sekiranya kalian mendiamkannya sahaja, tulang itu akan tetap bengkok. Oleh itu, wasiatkanlah kebaikan kepada para wanita." [HR al-Bukhari] 


Subhanallah. Betapa Islam sangat memelihara & mengasihi kaum wanita. :') Oleh itu, hendaklah kita berbahagia dilahirkan sebagai wanita Islam. Hendaklah kita bertambah bahagia tatkala menjalankan tuntutan-tuntutan yang disyariatkan Allah kepada kita, yang tentunya bukan untuk menyusahkan kaum hawa, bahkan untuk mengangkat maruah & kehormatan mereka, insyaAllah. :) 

InsyaAllah, entri kali ini adalah sambungan bagi entri 'Menjadi Insan "High-Class" - Part 1'. Kali ini saya kongsikan bahagian soalan & jawapan oleh yang berbahagia al-fadhilah Ustazah Laila Aniza pula, insyaAllah.

Semoga bermanfaat.. :)


***

Soalan:
Adakah perempuan punca kerosakan? Perempuan dikatakan punca lelaki terjebak ke dalam maksiat. Malah, jika jenayah zina & membunuh bayi dimediakan, yang ditangkap adalah wanita. Yang ditonjolkan di dalam berita di muka televisyen & akhbar adalah wajah wanita yang terlibat. Wanita ditonjolkan sebagai pesalah melebihi lelaki yang terlibat sama dalam hal itu. Mohon penjelasan.

Jawapan: 
(Ustazah Laila Aniza)

Pertamanya; Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam telah pun berpesan sebelum baginda wafat; “Bahawa tiada fitnah yang lebih besar setelah ketiadaanku melainkan fitnah wanita.”

Rasulullah telah pun memberi peringatan, memberi amaran kepada kita semua bahawa wanita adalah fitnah (ujian) terbesar bagi lelaki kerana minat & keinginan utama lelaki adalah terhadap wanita. Maka, wanita boleh menjadi aset untuk lelaki memasuki syurga ataupun menjadi fitnah lelaki yang mengheretnya ke neraka.

Oleh itu amatlah perlu untuk lelaki & wanita mengetahui, memahami & menjayakan amanah & tanggungjawab masing-masing untuk mengelakkan fitnah & kerosakan seperti yang diperingatkan Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam di dalam hadis di atas.

Siapa yang bercinta sekarang, sedangkan dia dengan kekasihnya itu tiada ikatan akad nikah yang sah, sesungguhnya dia sedang mengalami kerugian yang sangat besar.

Semua orang jatuh cinta. Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam juga sangat mencintai isteri-isterinya. Mencintai & dicintai adalah fitrah. Namun, lihatlah bagaimana kita menguruskan fitrah tersebut. Jika kita bermujahadah untuk mengelakkan fitnah, maka tentu ada jalannya. Islam menganjurkan pertunangan, taaruf untuk mengenali bakal pasangan, bukannya dengan bercinta tanpa pengawasan orang yang lebih tua & faqqih agama.

Tentunya dalam fasa berkenalan (bertunang) itu juga masih perlu menjaga ikhtilat (batas pergaulan antara lelaki & perempuan bukan mahram) dengan sebaiknya kerana hubungan tersebut masih belum halal.

Jangan memandang bab ikhtilat ini sebagai perkara yang remeh, terlalu mengongkong & menyekat.

Sesungguhnya, yakinlah bahawa tidak rugi menjaga ikhtilat. Bukan sahaja maruah terjaga, bahkan pandangan lebih terjaga, bahkan hati juga tetap terpelihara. Dengan maruah, pandangan & hati yang masih terpelihara itulah yang kita bawa menghadap Allah ketika solat kita. Demikianlah caranya untuk memperolehi kemanisan beribadah kepadaNya.

Hayatilah Hadis Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam ini;
“Syaitan akan menyesatkan kamu dalam perkara yang kamu rasa perkara itu betul, padahal hal itu adalah salah sebenarnya.”

Perempuan selalu tertipu apabila melihat seorang lelaki itu nampak beragama, pandai baca al-Quran, fasih membahaskan hadis, tapi bila lelaki itu menghantar SMS, mengajak bertemu yang mana semuanya adalah tanpa keperluan, apabila lelaki itu bergurau dengannya tanpa keperluan, memandangnya tanpa rasa segan seperti pandangannya itu telah menembusi tubuh gadis itu, gadis itu tidak tahu bahawa perkara itu adalah SALAH. Kerana ia telah dibutakan dengan kelebihan lelaki itu.

Untuk mengetahui siapa seorang lelaki itu, lihatlah dengan siapa dia berkawan. Semak siapa sahabat-sahabatnya. Semak rutin hariannya. Semak akhlaknya.

Lelaki yang gagal menunaikan solat Subuh, masih belum boleh dikira sebagai lelaki yang baik kerana jika hubungannya dengan Allah juga dia gagal sempurnakan, bagaimana dikira dia sebagai lelaki yang baik?

Lelaki yang berkasar dengan ibu & adik perempuannya juga bukan lelaki yang baik kerana jika dia tidak menghormati wanita melahirkannya & wanita yang lahir dari rahim yang sama, bagaimana dia mahu menghormati wanita lain, menghormati isterinya kelak?

Lelaki yang tidak menjaga pandangan, tidak menjaga kehormatan & tidak menjaga ikhtilat juga masih belum boleh dikategorikan sebagai lelaki yang baik. Maka, jangan tertipu dengan lelaki yang sebegini.

Ingatlah bahawasanya wanita tidak akan mampu menjadi high-class jika suaminya low-class. Wanita hanya akan mampu menjadi high-class apabila suaminya high-class. Maka, berhati-hatilah dalam membuat pilihan siapa suamimu. Ia menentukan soal agamamu, menentukan soal akhiratmu..

Jika kita tidak mampu bermujahadah melawan nafsu iaitu dengan mengikuti apa yang Allah syariatkan di dalam al-Quran untuk menjaga pergaulan dengan bukan mahram, menjaga pandangan, menjaga kemaluan melainkan hanya untuk yang halal, maka janganlah salahkan orang lain sedangkan kesilapan yang lebih besar datangnya dari diri kita sendiri.

Tips: Kepada lelaki yang bercita-cita mahu memperbaiki diri & menjadi lelaki yang lebih baik & soleh, maka konsistenlah untuk solat berjemaah di masjid setiap kali, selama mana kedudukannya boleh mendengar laungan azan, maka bersegeralah pergi ke masjid. Rajin-rajinkan diri ke majlis ilmu, merapati murobbi yang soleh, sekali sekala apabila berkelapangan, pergilah menuntut ke mana-mana pengajian di pondok, madrasah, majlis taklim dan sebagainya untuk menambah ilmu hatta walau mampu cuma sekali dua dalam seminggu. InsyaAllah, amalan-amalan ini boleh menghadang diri daripada maksiat.


***


Soalan:
Wanita bekerjaya menyebabkan wanita menjadi low-class?

Jawapan:
(Ustazah Laila Aniza)

Bagaimanakah caranya untuk seorang wanita itu mengangkat darjatnya meskipun dia bekerjaya? Pertamanya, lihatlah kepada Khadijah binti Khuwailid, isteri pertama baginda Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam. Beliau adalah wanita yang bekerjaya, usahawanita yang sangat berjaya pada zamannya. Beliau juga merupakan isteri pertama, wanita yang sangat dicintai baginda Nabi. 25 tahun perkahwinannya bersama Nabi, Khadijah adalah satu-satunya isteri yang menghiasi hidup & jiwa Nabi; perkahwinan tanpa poligami.

Lihat bagaimana selama perkahwinannya, bagaimana ‘high-class’nya Khadijah di sisi Nabi hingga membuatkan Nabi terus mencintai, merindui & selalu menyebut-nyebut Khadijah walaupun setelah lama dia meninggal dunia, hingga menerbitkan kecumburuan kepada isteri baginda yang lain, terutamanya Aisyah. Subhanallah.

Wanita yang beriman, yang taatkan Allah, Nabi, taat kepada suaminya, samada dia bekerjaya mahupun tidak tentu tidak akan mengekangnya daripada menjadi high-class.

Allah mengangkat darjat wanita dengan menamakan salah satu surah di dalam al-Quran yang mulia dengan nama wanita; surah an-Nisa’ (surah ke-4 di dalam al-Quran). Sampai begitu sekali Allah memuliakan para wanita. Maka, wanita perlulah mencintai al-Quran, menghayati panduan-panduan serta syariat yang telah digariskan Allah di dalam al-Quran yang mendidik wanita agar menjadi high-class. InsyaAllah.

Sebagaimana yang disebut di dalam hadis Nabi yang mahsyur tentang 4 syarat utama bagi seorang wanita untuk memasuki syurga Allah; melalui solat, puasa, menjaga maruah serta taat kepada suami.

Namun, sekali lagi diingatkan. Solat yang didirikan itu mestilah dilakukan atas kesedaran bahawa kita adalah hamba Allah yang mahu menunaikan hak Allah. Solat yang didirikan dapat mencegah perbuatan keji & mungkar (seperti mengumpat, buruk akhlak dan sebagainya), menjaga ikhtilat, menutup aurat dengan sempurna agar tidak dipandang & menarik perhatian lelaki yang bukan mahramnya.

Sebelum keluar ke mana-mana; bertanyalah kepada diri sendiri sewaktu sedang melihat cermin;
“Ya Allah… adakah pakaianku ini pakaian wanita syurga ataupun pakaian wanita neraka?”
Wanita yang high-class ialah wanita yang memegang kalimah 2 syahadah dengan kukuh melalui tutur kata, perbuatannya & cara dia melalui hidupnya seharian. Solatnya dijaga agar sentiasa di awal waktu. Jika sudah masuk waktu solat, yang muslimin teruslah pergi solat berjemaah di masjid. Manakala, para muslimat segera menunaikan solat di biliknya. Bersegeralah menunaikan hak Allah, jangan bertangguh, jangan berlengah.

Wanita yang high-class berdisiplin di dalam kehidupannya, mengamalkan undang-undang patuh syariah (mengikut garis panduan yang ditetapkan Allah) kerana dia yakin Allah sedang melihatnya. Membaca doa setiap kali mahu melakukan sesuatu bermula dari dia bangun tidur hingga tidur semula; termasuklah melihat cermin, makan, pergi ke tandas, naik kenderaan. Semuanya dimulakan dengan doa atau sekurang-kurangnya dimulakan dengan ‘Bismillah’. Ini akhlak & adab wanita yang high-class. Sudah tentu lelaki yang high-class juga begitu.

Jika kita menyedari, hakikatnya bahawa segala perlakuan kita memerlukan adab. Ini yang diajarkan oleh Rasulullah. Bahkan untuk minum air juga punya adabnya yang tersendiri. Melihat bibir gelas sahaja sudah dapat pahala (memastikan jangan minum gelas sumbing). Melihat air juga adalah pahala (memastikan minuman yang diminum tidak bersemut). Tidak bernafas di dalam gelas sewaktu sedang minum. Rasulullah juga mengajar kita agar jangan minum daam keadaan tergesa-gesa yang mana boleh mengakibatkan sifat tidak sabar, tergopoh-gopoh & tergesa-gesa.

Belajar juga daripada sirah, di mana kala Sayidina Umar & Sayidina Abu Bakr bertengkar di hadapan rumah Nabi dengan suara yang agak kuat, hingga turun ayat yang menegah perkara tersebut. “Janganlah kamu meninggikan suara kamu melebihi suara Nabi.”

Lihat… sampai begitu sekali Allah menyuruh kita menjaga adab kita. Walhal kedua sahabat itu bukanlah benar-benar bertengkar di hadapan Nabi...

Bersuaralah dengan suara yang sekadarnya sahaja. Tidaklah perlu melebihi keperluan. Tak perlulah menempik-nempik, ataupun ketawa terbahak-bahak. Itu semua mencerminkan siapa diri kita. Adakah kita benar-benar telah menginterpretasikan cinta kita kepada baginda Nabi melalui adaptasi sunnah baginda dalam hidup seharian kita?

Wanita, jangan banyak bermasam muka. Banyakkanlah senyuman, berdoa banyak-banyak, ingat & puji Allah selalu serta berkatalah yang baik-baik. Lelaki juga sama. Mari sama-sama menjadi high-class… untuk Allah, untuk Nabi, insyaAllah.


Selalulah tersenyum. InsyaAllah, dapat pahala. Ia juga adalah sunnah.

Senyum sikit.... 
Ha... kan manis tu... 

:)

Wallahu a’lam.

----------

Notahati:
# Kehidupan & keperibadian kita di dunia adalah antara cerminan hidup & peribadi kita di akhirat kelak. Mari koreksi diri; apakah kita sedang berakhlak sebagai para penghuni syurga ataupun seperti ahli neraka (Nauzubillah)? :'(

# Perbanyakkan taubat (istighfar), selalu bersyukur, kurangkan merungut. Mari menjadi hamba Allah, bukan menjadi hamba dunia. InsyaAllah.. Robbuna Yusahhil.


No comments:

Post a Comment

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."