Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Sunday, April 21, 2013

Di Mana Aku Di Hatimu?




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..


***


Pernah jatuh cinta....?

Kalau pernah... kebiasaannya kita akan cenderung untuk turut menyukai apa yang kita cintai itu sukai. Sebab itu... hati-hatilah dalam meletakkan sesuatu di hati, untuk dicintai.

Sebagai contoh, katakanlah orang yang kita sukai menyukai warna kelabu. Kebiasaannya, kita akan cari benda-benda yang berwarna kelabu sebagai hadiah kepadanya, untuk menggembirakan hatinya. Sebab kita tahu, dia suka sangat dengan warna kelabu. Walaupun pada hakikatnya kita paling tidak gemar dengan warna itu pada mulanya, mungkin atas dasar suka kepada dia ini tadi menjadikan kita juga menyukai warna yang tidak pernah kita gemar itu. 

Kita akan cenderung untuk menyukai apa yang dia sukai.
Kita akan cenderung untuk melakukan apa yang dia sukai.
Sebab apabila dia gembira, kita juga bahagia..

Kita tak akan jemu menatap wajahnya jika kita sedang hangat dilamun cinta dengannya. Selalu hendak tahu khabarnya. Selalu hendak bicara tentangnya. Selalu hendak mendengar suaranya. 

Biarpun orang lain kata dia bukannya cantik sangat, bukannya kacak mana. Biasa-biasa saja. Tetapi kita tidak peduli. Sebab apa? Sebab kita cinta. Sebab kita suka..

Ini kisah hati...
Hanya hati yang mampu merasai..

Begitu jugalah dengan orang yang dilamun cinta dengan Allah..

Kerana cinta, orang yang dekat dengan Allah sangat menyukai untuk berdua-duaan dengan Allah di saat kebanyakan manusia masih nyenyak lena. Berbanding tidur, dia lebih mencintai Allah.
Kerana cinta, para sahabat berjuang bermati-matian, menyerahkan apa yang ada hanya untuk agama Allah. Berbanding ganjaran dunia, mereka lebih mengharapkan ganjaran Allah di akhirat sana.
Kerana cinta, para nabi dan rasul, para alim ulama' tidak kenal erti lelah dan jemu menyuluh umat dengan cahaya keimanan walaupun dilanda pelbagai dugaan. 
Semua itu terjadi kerana cinta mereka benar, cinta mereka benar-benar hanya kerana mahukan keredhaan Allah. Itulah cinta yang sebenar, cinta yang menghala ke syurga. 

Mana mungkin sama orang yang sedang dilamun cinta dengan orang yang tidak.

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam membaca al-Fatihah sehingga surah an-Nisa' pada rakaat pertama solat sunat baginda. Subhanallah.
Bagi orang-orang seperti kita... Kita merasa tidak mampu. Tetapi sudah tentu Rasulullah melakukan sedemikian kerana cinta baginda yang sangat mendalam kepada Allah swt walaupun baginda hakikatnya adalah manusia yang paling Allah cintai.

Sayyidina Uthman Affan, membaca surah al-Fatihah sehingga surah ke terakhir di dalam al-Quran sewaktu menunaikan solat witir. 114 surah dibaca dalam satu rakaat. MasyaAllah.. lelaki ini yang akan menjadi peneman Rasulullah di syurga nanti. Subhanallah..

Ini dia...
Para pencinta yang telah larut dalam cinta Ilahi.
Senang, tenang & bahagia beribadah kepada Allah.
Terasa kemanisan bertambah-tambah...
Subhanallah..


Semakin kita mencintai Allah, semakin itu jugalah kita mencintai kebaikan, mencintai untuk beribadah, melakukan perkara-perkara yang dicintai Allah serta membenci & menjauhi segala laranganNya..

Jika kita mencintai perkara-perkara yang dibenci Allah & merasa sulit untuk melakukan perkara-perkara yang Allah cintai, mungkin itu petandanya jambatan hati kita & Allah adalah rapuh & kita telah semakin jauh daripadaNya..

***



Saya teringat seorang sahabiah yang saya umurnya tua setahun daripada saya semasa di USM dahulu. Selama 3 tahun saya berada di sana, selama saya mengenalinya, jujur saya katakan... saya sangat mengagumi ketenangannya.

Biasalah bila kita berprogram, kebiasaannya pasti ada masalah berlaku di saat-saat akhir yang menyebabkan kita menjadi cemas.

Kakak ini tadi... dengan wajah tetap tenang, dengan suara yang lembut, dia melahirkan buah fikiran yang bernas untuk menyelesaikan masalah tadi. Kami yang cemas tak tentu hala ini tadi hanya menambah tekanan di kepala sahaja rupanya. 

Subhanallah.

Bukan sekali.

Tetapi setiap kali, begitulah dia yang saya kenali.

Dia nampak pendiam. Namun, sekali dia bercakap, masyaAllah.... setiap butir daripadanya akan membuatkan kita terpana mendengarnya. Ayatnya puitis & menyentuh hati.

Saya pernah tertanya sendiri,
Macam mana dia mengekalkan ketenangan hatinya itu agaknya ya. Macam mana dia tetap terus tenang, tersenyum, tak pernah marah dan sebagainya. Hatta dalam waktu yang sangat getir, cemas dan kalut.

Subhanallah. Inilah dia orang yang beriman...

Daripada mana datangnya kehebatan seorang hamba, kalau bukan datangnya dari kekuatan pergantungannya kepada Allah?

Hebat dia mendepani manusia, kerana hebatnya hubungan dia dengan Allah..
Teguhnya dia berdepan mehnah dunia, kerana teguhnya keyakinan & kecintaannya kepada Allah.

"Apa ya rahsia akak jadi hebat ya kak...?"

Dia segan hendak menjawab.
Dia merendah diri.

Tetapi saya mencari jawapan melalui akhlaknya.
Dia menjaga hubungannya dengan Allah.
Solat di awal waktu. Selalu menjadi imamah.
Solat rawatib, solat Dhuha & solat witir tidak pernah ditinggalkan.

Sewaktu mukhayyam..
Dia antara orang terakhir yang tidur.
Namun, dia jugalah orang yang terawal bangun & membangkitkan adik-adik.
Kurang tidur, tetapi cergas hingga ke malam hari. 

Ini dia rahsianya.
Subhanallah.

Tenangnya wajah dia bukan dibuat-buat. Tetapi lahir dari dalam. Hatinya yang tenang. 
Inner peace.

Kekuatan dalaman ini.
Dari mana hendak kita meraihnya kalau bukan daripada Allah?


***


Pernah tak kita pergi ke satu ceramah agama... berkisar tentang Allah, tentang Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam... yang kita tidak kenal sangat siapa penceramahnya. Namun, satu per satu butir bicaranya hinggap ke dalam hati, menerbitkan cinta kepada Allah, rindu membuak-buak kepada Rasulullah... lalu, tanpa disedari, kita berdoa agar janganlah majlis itu tamat. Kita hendak dengar lagi mutiara katanya, kita hendak terus disirami limpahan ilmuNya..

Penceramah itu, kita tidak kenal pun siapa dia.
Tetapi usai ceramah yang satu jam setengah itu..
Kita pun menjadi sayang kepadanya...
Seolah-olah kita kenal siapa dia.

Subhanallah.

Ini orang-orang yang dikasihi Allah.
Allah kasih kepadanya.
Rasulullah kasih kepadanya.

Lalu, Allah mencampakkan rasa kasih kita kepadanya.

***

"Dan apabila hamba-hambaKu bertanya kepadamu (Muhammad) tentang Aku, maka sesungguhnya Aku dekat. Aku kabulkan permohonan orang yang berdoa apabila dia berdoa kepadaKu. Hendaklah mereka itu memenuhi (perintah)Ku & beriman kepadaKu, agar mereka memperolehi kebenaran." [al-Baqarah (2) : 186]

Ramai orang mencari-cari di mana Allah...
Sedangkan Allah itu sangat dekat.
Carilah Allah di dalam hati.

Sayangnya kita tidak berjumpa kerana hati kita telah rosak, terlalu hitam kerana dosa-dosa yang menyeliputi. Ataupun yang lebih menyedihkan, kita tidak bertemu Allah kerana hati kita telah pun mati...

Bagaimana mahu menghidupkan kembali hati tersebut...?
Tentulah dengan bertaubat & kembali kepada Allah.

"Dan barangsiapa yang berbuat kejahatan & menganiaya dirinya sendiri, kemudian dia memohon ampunan kepada Allah, nescaya dia akan mendapatkan Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang." [an-Nisa' (4) : 110]

Subhanallah.. 
Baiknya Allah...
KeampunanNya melimpah ruah mengatasi kemurkaanNya biarpun para hambaNya sering bermaksiat kepadaNya..


***

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah (menyebut sifat-sifat yang mengagungkan & memuliakanNya), gementarlah hatinya & apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah (kuat) imannya & hanya kepada Tuhan mereka bertawakal." [surah al-Anfal (8): 2]

Mari jaga hati, jangan sampai ia mati. 
Kerana hati itu adalah tempat di mana jatuhnya pandangan Allah..

Hati, tempat terbaik untuk mencintai, & patut diisi dengan perihal yang terbaik iaitu; 
Cinta Ilahi..

Allah.... :')

Jom koreksi diri~

Wallahu'alam..


---------------

p/s: Sediakan borang mutaba'ah amal setiap hari sebagai checklist. InsyaAllah.

kredit :
- Muslimin muslimat yang soleh, solehah.
- PMIUSMkkj.

2 comments:

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."