Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Saturday, March 30, 2013

Sebelum Mencemburuinya... Lihatlah Dirimu Dahulu.




Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Pertamanya.. saya menulis ini sebagai teguran, nasihat & peringatan untuk diri sendiri. Semoga bermanfaat bagi yang membacanya juga, insyaAllah. Tulisan ini merupakan sambungan daripada entri ini.

***

Kebanyakan daripada kita lebih memilih untuk melihat kejayaan & kebahagiaan orang lain serta berasa cemburu berbanding mahu menyelidiki rahsia di sebalik kejayaan, kebahagiaan itu disamping mengambil iktibar & peringatan atas rentetan ujian, onak duri, mehnah juga tribulasi yang dilalui oleh mereka sebelum mereka menjadi seperti yang kita lihat hari ini.


Kes 1

"Untungnya dia... kaya dah kan dengan berniaga ni.. Padahal baru setahun dua start bisnes online dah boleh beli kereta sendiri, siap boleh hadiahkan mak gelang emas baru. Bestnya... bestnya... nak kaya jugak..."

Kita ni.... 

Nak kaya.. nak berjaya. Tapi tak mahu usaha. Tanya tentang matlamat pun tiada, apatah lagi soal perancangan, persediaan dan sebagainya.

Saat sahabat ni tadi sibuk mengikuti pelbagai seminar menambah ilmu tentang perniagaan, meningkatkan skil bagi menjadi usahawan yang berjaya... kita masih sibuk menghadap Facebook & Twitter 24 jam.

Pada saat sahabat ini tadi penat berjalan kaki melakukan street marketing untuk mempromosikan produk jualannya. Kita pula sibuk berjimba ramba menghabiskan duit pergi Mall untuk menonton wayang, membeli pakaian-pakaian mewah untuk kepuasan diri sendiri.

Pada saat sahabat ini tadi bersengkang mata menyiapkan tempahan (katakanlah dia berniaga tudung labuh bulat yang perlu dijahit) kita sibuk melagho berbuat perkara-perkara yang tiada memberi manfaat & nilai tambah.

Pada saat dia mengikat perut untuk duit tersebut dijadikan modal perniagaan, kita sibuk mencari gajet baru untuk dibeli.

Kemudian kita kata, dia beruntung. Kemudian, kita cemburu dengan kejayaannya.

Kita lebih senang lihat sisi terangnya sahaja. Walhal, dalam setahun dua perniagaannya itu mungkin banyak kali dia kerugian, kekurangan duit, ditipu, penat & kurang tidur atas urusan mengendalikan permintaan pelanggan serta pelbagai lagi kesulitan lain.

Kita hanya lihat kejayaannya mampu membeli kereta sendiri & menghadiahkan mak gelang emas sahaja. Tetapi kita tak berminat pula untuk mengetahui & menjadikan inspirasi bagaimana dia bangun semula tatkala jatuh, apa yang memotivasikannya sewaktu dilanda kegagalan, bagaimana dia menetapkan matlamat, perancangan & persiapan serta disiplinnya dia mengejar matlamat tersebut.

Kita juga tidak berminat hendak mencontohi amalan-amalannya yang mengikut sunnah baginda; agar dimurahkan rezeki seperti istiqomah mendirikan solat sunat Dhuha, membaca surah al-waqiah setiap hari, tidak pernah tinggal al-matsurat pagi & petang, istiqomah bangun tahajjud sekurang-kurangnya 2-3 kali dalam seminggu serta rajin bersedekah kepada fakir miskin, selalu bersedekah & mewakafkan sesuatu bagi membantu pihak pengurusan pengajian pondok yang kekurangan dana & hal-hal lain.

Perkara-perkara belakang tabir begini kita tidak minat hendak tahu...

Kita suka lihat kisah gembira sahaja.
Kita jarang hendak selidik, teliti & belajar tentang kisah deritanya.

Ya. Kita suka lihat hasilnya sahaja.
Jarang hendak melihat kesusahannya yang dilalui sebelum-sebelum itu.

Memetik statement Hilal Asyraf pada salah statusnya di Page Rasminya;

"Hidup ini kalau hendak berjaya. Pertama, matlamat kena jelas. Kedua, jangan banyak merungut. Ketiga, jangan jadi pemalas. Keempat, kena ada strategi. Kelima, kena ada organisasi. Keenam, jaga hubungan dengan Ilahi (paling penting!)"


***

Kes 2

Kita cemburu salah seorang sahabiah kita yang solehah yang sungguh hebat amalannya, yang cukup mantap ilmunya padahal sahabiah ini tadi baru sahaja berhijrah. Sedangkan waktu zaman jahiliyahnya dia tidak menutup aurat, tidak jaga ikhtilat, mengaji juga tidak pandai.

Kini, lunak pula dia mengaji dari kita dengan ke mana-mana pun al-Quran pasti di tangannya, akhlaknya lebih mulia pula dari kita, kata-katanya menyentuhi hati sesiapa yang mendengar, bahkan dia lebih dihormati & disayangi pula dalam kalangan sahabiah-sahabiah berbanding kita yang lebih dahulu disapa tarbiyyah & mendapat pendidikan agama dari institusi yang lebih baik dari dia.

Kita cemburu sebab dahulu kitalah antara orang yang menarik tangannya & memperkenalkan apa itu usrah, tarbiyyah dan sebagainya. Kita tahu kisah hitamnya.. kita tidak sangka akan sehebat itu dia akan menjadi hari ini.

Kenapa jadi begitu?

Pertamanya, ingatlah... sekiranya Allah Mahu Menjadikan seseorang hamba itu baik, Dia akan memberikannya kefahaman dalam beragama.

Hidup ini berganti hari, pakaian juga sentiasa kena berganti kalau tidak tentulah akan lusuh dimakan matahari serta berbau tidak menyenangkan. Begitu juga dengan iman, ilmu & amal.

Setiap hari iman perlu diperbaharui. Dari buka mata di awal pagi sehinggalah mata itu ditutup kembali... apa yang telah kita isikan di dalamnya sepanjang 24 jam yang diberikan Allah itu?

Imannya bertambah kerana dia rajin pergi ke majlis ilmu tatkala kita sibuk menonton 'Running Man' di bilik. Di kala kita sibuk menangis lihat hero Korea mati di dalam drama cinta, dia pula menangisi segala dosa-dosanya kepada Allah di penghujung malam-malam yang sunyi.

Ilmunya bertambah kerana dia rajin bertanya jika dia tidak tahu kepada ustaz/ustazah serta memasuki kelas-kelas agama, sedangkan kita asyik masyuk melayan Facebook sehari suntuk. Dari tidak tahu langsung mengaji, akhirnya sedikit demi sedikit dia mempelajarinya dengan orang yang faqqih lalu akhirnya dia semakin mencintai al-Quran. Berbanding kita yang hanya berbangga bekas SMKA itu, madrasah ini tetapi sangat kurang digunakan ilmu itu bagi mentadabbur & mempraktikkan di dalam kehidupan.

Akhlaknya bertambah baik kerana dia bergaul dengan sahabiah yang mulia akhlaknya, serta natijah dari sikapnya yang suka mengkaji sirah isteri-isteri & anak-anak Nabi yang berakhlak mulia.

Dia juga pandai mengambil hati insan-insan yang tidak sefikrah kerana dia pernah berada dalam fasa yang sama seperti mereka. Berbanding kita yang suka menghukum orang lain tanpa ada usaha untuk memahamkan mereka tentang suruhan & tuntutan Allah yang sebenar.

Kita cemburu dia menjadi semakin baik, disayangi & dihormati. Sepatutnya kita jadikan dia sebagai perangsang untuk menjadi lebih baik lagi. Jangan jadikan cemburu itu sesuatu yang negatif, bahkan jadikan ia sebagai positif.

Jika kita memandangnya secara negatif, kecemburuan itu menjadi negatif & kita tak akan ke mana-mana melainkan hanya membuatkan hati kita menjadi busuk. Manakala, jika kita memandang perubahan & peningkatan sahabiah ini tadi sebagai sesuatu yang positif, kita akan mensyukuri Allah menjadikan dia sebaik itu, menjadikan dia dai'e yang baik bagi menyebarkan dakwah kepada orang lain disamping membuatkan kita bermuhasabah kembali tentang kekurangan kita yang perlu penambahbaikkan.

Lihat diri kita dahulu.
Lihat bagaimana usaha kita untuk memperbaiki diri.
Lihat bagaimana lajunya langkah kita untuk mendekatkan diri kepada Ilahi.

Dia menjadi dia atas usahanya dengan rahmat Allah.
Kita kekal menjadi kita kerana tiadanya usaha kita untuk menjadi lebih baik.

Kemudian kita sedar... tiada sebab untuk kita rasa tidak puas hati terhadap dia atau Allah. Yang patut kita rasa tak puas hati itu adalah kepada diri sendiri...

***

Kes 3

Pelbagai komen-komen berbaur kecemburuan & melempiaskan anganan, impian yang sama terhadap gambar sepasang pasangan pengantin yang beriringan ke majlis walimah mereka. Yang lelaki memakai jubah putih, diletakkan kain selendang (kain tabaruk) hijau di bahu kanannya lengkap dengan kopiah putih. Manakala yang perempuan ayu mengenakan pakaian longgar berwarna putih, bertudung labuh bersulam hijau di tepi tudung lengkap berpurdah warna senada.

"Best gila dapat suami soleh macam ni..."
"Untungla dapat isteri solehah gini..."
"Alangkah bahagianya kalau aku dikurniakan pasangan yang hebat seperti ini...."

Kita lebih senang mengharapkan pipih datang melayang & yang bulat datang bergolek terus ke dalam pelukan kita. Walhal, hanya Allah sahaja yang tahu betapa sukarnya insan yang dilihat tadi bermujahadah melawan nafsu sepanjang sebelum berkahwin dengan pasangan yang baik ini tadi.

Perkenalan dimulai dengan orang tengah, perhubungan diteruskan tanpa perlu bercouple, berdating seperti yang kebiasaan. Mereka menjaga pandangan, mereka menjaga ikhtilat baik di alam realiti, bahkan di alam maya selagi belum diijabkabul. Paling penting, mereka menjaga hubungan mereka dengan Allah.

Kita... sebelum kita berani membandingkan diri kita dengan mereka.. mari kita lihat kembali diri kita. Mari semak semula hubungan kita dengan Allah..

Waktu kita sibuk mengupdate status 'Wahai bakal imamku...' 'Wahai tulang rusukku yang dinanti...', mereka ini telah pun bergerak secara lebih realistik bagi mempersiapkan diri dengan memperbaiki ilmu, amal & akhlak. Bukan sekadar melontar perasaan yang terdesak di laman sosial, tetapi jarang pula meminta sendiri kepada Allah pada penghujung solat di dalam doa dengan air mata pengharapan.

Semua orang suka bab-bab ini. Jangan menafikan. Ianya fitrah. Jika tidak suka... masakan seminar, forum & ceramah yang bertajuk tentang cinta, nikah, baitul muslim selalu pesertanya melimpah ruah hingga ke luar dewan & masjid berbanding kuliah fiqh? Namun, berapa ramai dari kita yang benar-benar memahami makna 'imam' & 'makmum' itu kalau diri sendiri pun jarang menjadi makmum solat berjemaah di masjid & di rumah, apatah lagi hendak mengimamkan solat...

Bagaimana kita hendak membina ummah jika diri sendiri pun kita gagal hendak bina..
Bagaimana hendak kita bina akhirat kita, jika dunia gagal dimanfaatkan sebaiknya...

Maka bila masanya hendak bicara soal ummah, aqidah, siasah..?
Sedarkah kita...
Untuk meraih kemanisan iman itu memerlukan mujahadah, disiplin & usaha yang sangat keras bagi melawan nafsu...?


***




Bijaklah Memanipulasi Kecemburuan Itu.

Tak sepatutnya kita cemburu terhadap kejayaan & kebahagiaan orang lain sedangkan kita tidak mengetahui apa yang dilalui oleh mereka, berapa banyak yang telah dikorbankan oleh mereka untuk berada di tempat yang kita lihat mereka sekarang (dengan izin & rahmat Allah).

Saya ingin kongsikan di sini beberapa quote yang saya perolehi dari beberapa insan yang besar jiwanya, insyaAllah bermanfaat untuk kita renungkan bersama.

# "Hargailah kehidupan engkau. Engkau ada hak untuk bahagia. Sampai bila mahu terpaku di hadapan kebahagiaan orang lain?" [Ahmad Syafiq - MyIlham.com]

# "Buang masa cemburu dan dengki dengan kejayaan orang lain. Mereka berjaya sebab mereka usaha. Nak berjaya? Apa lagi, USAHA!" [Hami Asraff]

# "Usah cemburu dengan kejayaan orang lain sekiranya kita tidak tahu apa yang telah dia lalui untuk berada pada tahap itu." [Asma Suardi]

# "Berapa ramai orang yang gagal dalam hidup bukan kerana mereka tak mampu, tapi kerana mereka tak mencuba." [Syed Alwi Alatas]

:)


***

Kita juga punya kehidupan kita sendiri, yang Allah pinjamkan untuk kita tetapkan matlamat, merancang, membuat persiapan & bergerak mencapainya tanpa melupakan hakikat sebenar tujuan penciptaan manusia.

Jangan terlalu sibuk mencemburui orang lain sampaikan kita terlupa hendak bergerak mencapai cita-cita kita sendiri. 

Iya.. hargai kehidupan kita yang sementara ini. Jadi lebih hebat. Jadi lebih bermanfaat. Tiada penciptaan yang Allah ciptakan dengan sia-sia. Percayalah setiap dari kita pasti ada kelebihannya yang tersendiri yang Allah lebihkan dia daripada orang lain.. Maka, carilah kelebihan itu dan syukurilah pinjaman itu dengan menggunakannya ke jalan yang Allah redhai..

Cemburu tak salah. Tapi biarlah cemburu yang kena pada tempatnya. Contohnya, menjadikan kecemburuan itu sebagai motivasi untuk menjadi lebih baik untuk masa hadapan, menjadi hambaNya yang lebih bertaqwa. Cemburu yang menembus sampai ke dunia akhirat. Itu baru cemburu yang 'cerdik'.

Maka, apabila melihat dia & kamu cemburu, fikirkan... cemburu itu membawa kamu kepada siapa & ke mana. Jika ia membawa kamu lebih dekat kepada Allah, membawa kamu ke arah yang lebih positif, baik & maju seiring tuntutan Allah... maka, cemburu kamu itu adalah comel... :)

***

Refresh Niat, Besarkan Matlamat.

Saya terjumpa satu perkongsian yang menarik daripada seorang senior di akaun Facebook-nya. InsyaAllah bagus untuk kita renungkan bersama.

"sedar tak sedar kebahagiaan yang kita kerap paparkan mengundang duka di hati mereka yang masih belum memilikinya.... mari muhasabah.. perkongsian itu untuk apa.. untuk siapa... ada insan kesayangan selalu ingatkanku jangan semua hendak di-expose sangat....buat aku berfikir...." 

Sentiasa refresh niat.
Semoga semuanya untuk Allah, demi kemaslahatan ummah.

Sebelum share & publish apa-apa, tanya diri; 

"Apa yang aku post ni bakal mendekatkan aku & mereka kepada Allah atau tidak?"

"Segalanya yang aku buat ini masuk dalam catatan malaikat di bahu kanan ataupun kiri?"

Alangkah baiknya jika setiap apa yang kita kongsikan itu mengingatkan manusia kepada Allah. Kalau pun mereka cemburu, insyaAllah cemburu mereka itu membawa mereka pulang semula kepadaNya. Mereka akan menyedari betapalah kerana jauhnya mereka dengan Allah selama ini menyebabkan mereka sukar berjaya & bahagia. Malah, hidup juga tiada motif & tidak tenang.

Sebagai contoh, apabila adik Nik Nur Madihah berkongsi kisahnya yang sanggup menyalin kamus Bahasa Arab yang tebal itu dengan bantuan ibunya lantaran tiada wang yang untuk membeli kamus tersebut. Saya yakin, kita akan hormat dengan caranya itu. Bagaimana bersungguh-sungguhnya dia mahu menuntut ilmu. Bagaimana dia begitu menghargai sesuatu ilmu.

Sebagai contoh lagi, apabila Ustazah Fatimah Syarha berkongsi kisah mujahadahnya dengan suaminya sewaktu sesi pertunangan yang mencecah 2 tahun, begitu juga dengan Hilal Asyraf & isterinya... perkongsian begini sedikit sebanyak membuat pembaca tersentak. Bertanya pada diri; "Apakah mereka telah sedaya upaya berusaha bermujahadah seperti mereka agar kisah cinta itu menjadi sehebat mereka selama tempoh sebelum nikah." Perkongsian begini akan membuatkan kita terinspirasi untuk menjadi wanita & lelaki yang terbaik untuk pasangan masing-masing.

***

Penutup

Share, publish, tulis, letaklah gambar-gambar di laman sosial kita perkara-perkara yang apabila kita mati, ia menjadi amalan kebaikan yang terus mengalir masuk ke dalam akaun pahala kita.

Rugilah kalau followers berjuta-juta, penge'like' berjuta-juta. Tetapi gagal memanfaatkan ruang untuk menyumbang sesuatu untuk ummah & kehidupan akhirat kita. Lebih malang lagi, bila kita mati, dosa berterus-terusan dikira masuk dalam akaun catatan dosa kita. Nauzubillah.

Hati-hati.
Segalanya akan dipersoalkan kelak.

"Allah Melapangkan rezeki bagi siapa yang Dia Kehendaki & Membatasniya bagi siapa yang Dia Kehendaki. Mereka bergembira dengan kehidupan dunia, padahal kehidupan dunia hanyalah kesenangan yang sedikit dibanding dengan kehidupan akhirat." [Ar-Ra'd (13) :26]

***

Tulisan ini teguran untuk diri ini terutamanya. 
Mari kita sama-sama mengingatkan dengan kesabaran & kebenaran, insyaAllah.

Saya sayang kalian semua kerana Allah.

Semoga Allah Memberikan kita semua Hidayah TaufikNya. Amiin.



Wallahu a'lam.

----------
p/s: Tulisan ini serta kes yang ditulis di atas tiada kena mengena dengan sesiapa. Mohon maaf jika ada serba sedikit persamaan situasi. Saya menulis ini hanya kerana Allah & untuk peringatan buat saya di masa depan, insyaAllah.

-----

Notahati:
Aku 'cemburu'... sungguh terinspirasi kepada manusia yang laju menambah amalan, mempersiapkan bekalan, menyebarkan kebaikan sepanjang jalan, di saat manusia lain berebut-rebut mengejar pujian manusia di dunia-dia memburu redha Allah & anugerah di syurga. 

Aku 'cemburu'... sungguh kagum dengan insan hebat yang pertama kali bersua terus rasa sayang, kehadirannya disenangi, kepergiannya dirindui, namanya diseru Allah di langit, didoakan para malaikat akan kesejahteraannya.

Kekasih Allah sedang menghirup harumnya syurga. Aku pula masih hangat mabuk cinta dengan dunia yang fana. Kasihan.

:'(


   

2 comments:

  1. Alhamdulillah.. Senang hati membacanya.. Jazakallah dgn perkongsiannya.. =)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Alhamdulillah..

      Allahumma amiin. waiyaki. :)

      moga bermanfaat..

      Delete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."