Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Tuesday, March 19, 2013

Cinta Tanpa Syarat.



"Dan hendaklah engkau merendah diri kepada kedua-duanya (ibu bapa) dengan penuh belas kasihan & kasih sayangmu, & doakanlah (untuk mereka, dengan berkata): 'Wahai Tuhanku! Cucurilah rahmat kepada mereka berdua sebagaimana mereka telah mencurahkan kasih sayangnya & memeliharaku semasa kecil." [al-Isra' (17):24]

Sudahkah kita sedekahkan al-Fatihah & mendoakan kesejahteraan serta ampunan bagi kedua ibubapa kita pada hari ini?

Alhamdulillah. Jazakumullah khairan bagi yang telah & masih belum terlambat bagi yang belum berbuat demikian. InsyaAllah. 

:)

Saya rindukan ibu & ayah saya....

Masih terngiang perbualan telefon awal pagi semalam tentang bagaimana gembiranya mereka apabila mendapat tahu bahawa SPIP MARA saya telah diluluskan. Alhamdulillah. Itu jua berkat doa tulus mereka selama ini, saya yakin.

Saya juga masih ingat, pada masa awal-awal fasa adaptasi di tempat pengajian yang baru, selalu juga saya berair mata terkenangkan kenangan bersama mereka semasa di rumah. Tidak kisahlah walau umur sudah hampir pertengahan 20-an, saya masih selalu sakit kerana merindukan mereka. Saya mengklasifikasikan diri sendiri sebagai anak yang sangat dimanjakan oleh ibu & ayah. Semenjak kecil sampailah ke saat ini. Moga Allah Membalas jasa & pengorbanan ibu ayah saya dengan syurgaNya tanpa hisab. Amiin.

Saya rindu untuk memeluk belakang ibu tatkala dia sedang menggoreng sesuatu di dapur bagi minum petang. Badannya yang hangat itu menghangatkan jiwa saya dengan kasih sayangnya yang tiada bertepi. Begitu jugalah dengan ayah. Saya rindu untuk bertanya apakah yang ingin diminumnya bagi minum petang. Hari-hari saya akan bertanya. & ayah tak pernah jemu untuk menjawab pertanyaan yang menjemukan itu.

Kalau saya hendak ke mana-mana, ayahlah yang akan menemani. Kadangkala ibu juga ikut serta jika tempahan jahitannya tidak mengekangnya bagi keluar. Hatta ingin pergi ke kenduri senior & temanan sepengajian. Selalunya ayahlah yang akan menemani saya. Bukan seperti kebiasaan orang lain yang bertemankan kawan-kawan sejantina atau bukan sejantina mereka. Saya bersyukur punyai ayah yang bersifat pelindung bagi anak-anak perempuannya. Moga Allah membalas jasa ibu & ayah dengan melindunginya daripada fitnah dunia, fitnah dajjal, azab kubur & azab neraka. Amiin.

Selama seingat saya, selama pengajian saya & semasa berada dengannya di rumah, beberapa kali sahaja saya keluar sendiri menaiki bas. Yang lain semuanya ayah yang hantar & ayah yang jemput. Begitupun semasa pengajian jauh ke utara tanah air. Ayah & ibu masih setia menunggu di Terminal 1 Seremban seawal 3, 4 pagi kerana saya dijangka sampai dalam tempoh 4-5 pagi. Subhanallah. Begitulah ibu & ayah yang sangat memudahkan semua urusan anak-anaknya. Semoga Allah juga memudahkan urusan mereka berdua di dunia & di akhirat sana. Semoga Allah memudahkan urusan ibu & ayah untuk meniti titian sirat & memasuki syurgaNya kelak. Amiin.

Banyak kali saya termenung usai solat & bertanya kepada diri sendiri. Bagaimana untuk saya membalas jasa-jasa ibu & ayah. Saya berair mata apabila mengenangkan saya masih belum mampu untuk bertanya sendiri kepada mereka; "Ibu, ayah.... In ini anak yang solehah kan? Ibu & ayah telah redhakan In sebagai anak  untuk sepanjang hidup kan...?"

Hatta tatkala menyelimutkan mereka berdua sewaktu tidur & merenung wajah keduanya juga saya tak mampu untuk bertanya sedemikian..

Allahurobbi. Saya tidak mampu. :'(
Saya malu... sebab belum sehabisnya saya menjadi anak yang baik buat ibu & ayah, keduanya.
Moga Allah juga mengampuni segala dosa-dosa saya yang selalu menghampa & melukakan hati mereka.

Begitulah dalamnya kasih sayang ibu & ayah. Begitulah besarnya pengorbanan ibu & ayah.


***
Melihat kasih sayang tanpa bersyarat ini sebenarnya membawa kita kepada cinta yang lebih besar. Itulah dia cinta Allah kepada kita, kepada para hambaNya. Bahkan kerana keEsaan & rahmat Allah, dilimpahkanNya serpihan sifat kasih sayangNya itu kepada makhluk yang bernama ibu bapa. Agar kita bermuhasabah, agar ia dapat mengingatkan kepada kita betapa Allah Mencintai & Menyayangi kita lebih-lebih lagi. Subhanallah.

Sebab itu, 3 cinta yang perlu ada di dalam jiwa setiap muslimin & muslimat adalah cinta kepada Allah, cinta kepada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam & jihad di jalan Allah.

[Dalam konteks kesannya kepada akhlak kita kepada ibu bapa]

Apabila kita mencintai Allah, kita juga akan mencintai ibu bapa kita kerana kita beriman dengan ayat-ayatNya dalam al-Quran yang menyuruh kita berbuat baik kepada keduanya.

Kerana apabila kita mencintai Rasulullah, kita akan belajar daripada baginda bagaimana menjadi manusia yang baik, bagi menjadi anak yang menggembirakan & memuliakan ibu bapa.

Kerana apabila kita cinta jihad fi sabilillah, juga menjadikan kita manusia yang dekat kepada Allah. Jika berjauhan, kita akan merindui ibubapa kita. Kala kesusahan, kita akan terkenang & mendoakan ibu bapa kita. 

Subhanallah.
Indahnya Islam.



*Sila tekan 'pause' bagi 'Opick-Rapuh' terlebih dahulu sebelum memainkan video ini.


***

Allah sebagai Tuhan yang bersifat al-Wahhab bermaksud 'Yang Maha Memberi'. Namun, memberi dengan sifat al-Wahhab itu, terkandung di dalamnya 5 sifat;

1) Memberi tanpa meminta apa-apa balasan.
Allah, Tuhan yang al-Wahhab itu Maha Kaya, tidak perlu kepada makhluk. Kerana itulah Allah SWT memberi dengan sifatNya yang al-Wahhab tanpa mengurangkan langsung perbendaharaanNya. Percikan al-Wahhab itu Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita agar mereka kaya dengan kasih sayang. Sayang kepada seorang anak tidak berbeza dengan sayangnya kepada 9 anak yang menyusul kemudian. Anak derhaka, menconteng arang ke muka, mereka masih terus memberi kasih sayang, kerana mereka beroleh kasih sayang rahmat Allah yang al-Wahhab.

2) Memberi secara berulang-ulang.
Al-Wahhab terus memberi berulang kali, tidak jemu memberi & tidak marah apabila diminta. Percikan sifat inilah yang Allah limpahkan ke jiwa ibu bapa kita. Mintalah susu setiap malam pada usia kecilmu. Ibu akan bangun meraba dinding mencari cahaya, demi anak yang diberikan hati & cinta. Dia tidak jemu, bahkan sejurus selepas kita dewasa, diberikannya pula cinta itu kepada adik kecil yang baru menjenguk datang ke duniawi.

3) Memberi tanpa diminta.
Allah SWT Tuhan yang al-Wahhab, memberi tanpa diminta. Hitunglah pelbagai nikmat yang ada di sekeliling kita. Dia memberi kita wajah yang cantik tanpa kita minta. Dia memberi sahabat yang baik, tanpa kita minta & jangka. Allah itu Maha Memberi dengan sifatNya yang al-Wahhab. Sifat inilah yang Allah tanamkan kepada naluri ibu bapa. Pelbagai keperluan & hiasan hidup diberikan walau tanpa diminta. Ibu mencium dahi, ayah menyapu kepala, semuanya demi sayang mereka kepada kita, sayang yang diberi tanpa diminta.

4) Memberi sesuatu yang amat berharga.
Allah, Dia yang al-Wahhab memberi dengan sifat itu perkara-perkara besar yang sangat berharga. Dia kurniakan kita dengan sifat al-Wahhab itu, bukanlah hiasan-hiasan dunia yang tidak berharga. Al-Wahhab, daripadaNya datang Rahmat yang menyelamatkan kita, mengampunkan kita, memelihara kita tanpa menghitung-hitung satu ketaatan dibalas nikmat, satu maksiat dibalas binasa & kiamat. Peluang demi peluang diberikan. Sehinggalah sampai masa pintu taubat itu Dia tutup ataupun kita menutupnya sendiri. Semuanya diberikan kerana kita hidup atas tujuan yang besar.

Cebis-cebis sifat inilah Allah limpahkan kepada jiwa ibu bapa kita. Diberikannya kasih sayang yang tidak mampu diberi walau oleh dua pasangan kekasih yang paling mencintai. Kasihnya ibu membawa ke syurga, kasihnya ayah adalah selama-lama. Semuanya diberi agar kita membesar penuh sempurna, menjadi insan yang berjaya & mulia.

5) Memberi sesuatu yang baik untuk menghasilkan kebaikan.
Allah jualah dengan sifat al-Wahhab-Nya itu memberikan pelbagai kebaikan kepada kita, agar dengan kebaikan itu kita sambut dengan penuh syukur & taat, berupa khidmat kepada sesama insan. DiberikanNya kita harta, agar kita bersedekah. DiberikanNya kita ilmu agar kita berdakwah. DiberikanNya kita pelbagai yang baik, agar dengan kita berbuat kebaikan.

Subhanallah..


***

"Anak-anak, jiwanya tidak sebesar ayah & bonda. Kasihnya kadang-kadang tidak sampai pun ke makam ayah & bonda." [Ustaz Hasrizal]

Kita mohon agar Allah limpahkan RahmatNya kepada kedua ibu bapa tercinta kita. Allah memberikan rahmat itu dengan sifat al-WahhabNya. 

Dengan itu jualah diberikanNya ibu & bapa kita kasih sayang tanpa syarat untuk anak-anak mereka. 

Dengan sifat al-Wahhab itu jualah mudah-mudahan Allah mengasihani kita tanpa syarat, mengampunkan kita tanpa syarat... kerana syarat Allah terlalu tinggi untuk disahut oleh kita, hambaNya yang kerdil lagi hina.



"Ya Allah, ampunkanlah dosaku, dosa kedua ibu bapaku & rahmatilah mereka dengan kasih sayangMu, sebagaimana mereka menyayangiku ketika diriku masih kecil."




Amiin-amiin ya robbal 'alamiin..

Kepada wanita yang masih bujang, adalah keji perbuatanmu jika kamu melebihkan teman lelakimu berbanding berbakti kepada ayahmu sendiri. Manfaatkanlah waktu ini untuk menjadi anak yang solehah buat kedua orang tuamu... kerana keredhaan Allah terletak pada keredhaan mereka berdua.

Kepada wanita yang telah berkahwin, jangan sesekali berfikiran bahawa ibu bapamu bukanlah lagi prioritimu. Tetaplah menjadi anak yang baik, solehah & memuliakan ibu bapamu. Kerana Allah tidak akan memandang ringan segala kebaikanmu.


Kepada lelaki yang masih bujang mahupun yang telah berkahwin, adalah keji perbuatanmu jika kamu melebihkan teman wanitamu melebihi ibumu. Jika kamu telah berkahwin, jangan sesekali melebihkan isterimu melebihi ibumu hingga mengecilkan hatinya, Kerana syurgamu masih berada di bawah telapak kakinya sehingga ke akhirnya.


Hargailah ibu bapa kita selagi mereka masih ada di dunia ini.
Berbuatlah kebaikan kepada mereka selagi kita masih bernyawa hari ini.

Sesungguhnya ibu kita hanya seorang. Ayah kita hanya seorang. Jika Allah telah mengambil kembali keduanya. Seisi dunia pun tidak mampu menjadi galang ganti mereka...

***

Peluk cium anakanda buatmu ayah & ibu yang dirindui & dicintai kerana Allah.
In sayang ibu.. In juga sayangkan ayah.. :)
Mudah-mudahan diri ini tetap Allah berikan kekuatan untuk terus berusaha menjadi anakmu yang baik & solehah..


Juga, moga dikumpulkan kita kelak  bersama-sama di dalam syurgaNya, untuk aku terus mencintai & menyayangimu lagi.. Amiin.


Wallahu a'lam.


No comments:

Post a Comment

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."