Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Sunday, September 13, 2009

Kita Mampu Menjadi INSAN TERBAIK


Salam warahmatullah..
Alhamdulillah, wa syukurilah...

Masih dapatku bernafas melalui udara yang diberi olehNya..

Begitu ramai sekali hambaNya di dunia yang fana ini.. Maka, siapakah yang paling baik antaranya?

Imam Suyuthi dalam bukunya Al-Jami'us Soghir mencatatkan sepotong sabda Rasulullah saw yang bermaksud:

"Sebaik-baik manusia adalah siapa yang paling banyak bermanfaat kepada orang lain."

Darjat hadith ini menurut Imam Suyuthi tergolong hadith Hasan. Syeikh Nasirudin al-Bani dalam bukunya Sohihul Jami'us Soghir sependapat dengan penilaian Imam Suyuthi.


Pengajaran Hadith:

1) Insan yang terbaik di muka bumi ini adalah insan yang suka dan banyak memberi manfaat kepada manusia yang lain.

2) Manusia dikatakan sebagai makhluk sosial. Menurut fitrahnya, manusia akan hidup secara saling melengkapi. Saling memerlukan. Saling kuat menguatkan. Saling memberi dan menerima manfaat. Tidak ada seorang pun yang mampu hidup sendiri dan tidak ada seorang pun yang dapat menolak kenyataan ini. Sememangnya, insan terbaik dalam kalangan mereka ialah yang memberi manfaat kepada orang lain.

3) Oleh kerana manusia saling memerlukan, maka asas hubungan seseorang dengan seseorang yang lain adalah untuk saling memberi manfaat. Satu pihak memberi dan menyumbang jasa bakti dan pihak yang lain pula menerima jasa budi. Si pemberi manfaat mendapat imbalan dan penerima jasa pula menerima manfaat. Itulah hubungan yang biasa diterima pakai, masuk akal, adil dan saksama.

4) Seorang Muslim boleh menyebarkan manfaat diri kepada Muslim yang lain dalam bentuk ilmu pengetahuan, nasihat yang berguna, buah fikiran, tenaga, masa, wang ringgit dan sebagainya.



5) Iman yang kuat dan sempurna akan menjadikan seorang Muslim atau Muslimah sentiasa terpanggil untuk memberi khidmat juga manfaat kepada Islam dan hambaNya. Ketika iman kita memuncak kepada Allah swt, segala amal untuk memberi manfaat kepada orang lain terasa amat ringan untuk dilakukan. Manakala tanpa dorongan iman, seseorang itu hanya akan mementingkan dirinya sahaja.

6) Selain itu, iman akan menjadi faktor pemeliharaan dan penjaga yakni saat seseorang melakukan kebaikan atau memberikan pertolongan kepada saudara Muslimnya, dia akan melakukannya secara tulus dan ikhlas. Dia tidak akan meminta balasan daripada manusia, cukuplah balasan daripada Allah swt sahaja.

7) Allah swt memberi contoh kaum Ansar. Lihat surah al-Hasyr ayat 9. Mereka adalah sebaik-baik manusia. Sedaya upaya membantu dan menggembirakan sahabat2 Muhajirin yang amat memerlukan pertolongan dan keperihatinan mereka. Segala keperluan sahabat Muhajirin cuba diselesaikan dan disediakan sebaik mungkin walhal sebelumnya mereka tidak pernah bertemu dan bersua. Mereka melakukannya atas semangat dan kerana ingin menjadi yang terbaik di sisi Allah swt. Besar sekali manfaat kaum Ansar.

8) Agar sifat suka memberi manfaat ini menjadi amalan kecintaan dan amalan berterusan, maka, perlulah terpahat dalam fikiran kita memperlakukannya kepada orang lain, seperti itu jugalah kita akan diperlakukan.

Jika kita memuliakan tetamu yang datang ke rumah kita, maka seperti itu jugalah kita akan dimuliakan ketika bertamu...




1 comment:

  1. salam barokah,

    semoga kita saling melengkapi, saling memanfaati Lilahitaala ukhti.

    Alhamdulillah, satu rezeki Allah pinjamkan sahabat seperti syauqahwardah.sangat menenangkan jiwa.

    ReplyDelete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."