Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)
TINTA PENULIS.
Dengan Nama Allah,
Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Monday, February 28, 2011
Sajak Cinta Buatmu Bakal Kekasih.
Dengan Nama Allah,
Ku mulakan kalam cinta ini..
Sekiranya,
Kita cinta kepada manusia,
tidaklah semestinya manusia juga cinta kepada kita.
Tetapi sekiranya,
Kita cinta kepada Allah,
nescaya cinta Allah tiada penghujungnya...
Sekiranya,
Kita cinta kepada manusia,
Kita akan cemburu kepada orang yang mencintai dia yang kita cintai.
Tetapi sekiranya,
Kita cinta kepada Allah,
Nescaya,
Kita akan turut mencintai orang yang melabuhkan cinta & jiwanya kepada Allah juga...
Subhanallah!
Begitulah indahnya cinta Hakiki,
Cinta yang membuahkan bahagia berpanjangan..
Keindahan & keharuman sepanjang jalan..
Ya Allah,
Andainya dia adalah jodoh,
Yang ditetapkan olehMu untukku,
Maka,
Campakkanlah ke dalam hatiku,
Cinta kepadanya adalah kerana cintaku kepadaMu,
Dan campakkanlah ke dalam hatinya,
Cinta kepadaku yang juga bersandarkan hanya keranaMu.
Namun,
Andainya dia bukanlah jodoh,
Yang ditetapkan olehMu untukku,
Maka,
Berikanlah aku kekuatan padaku untuk pasrah,
Dalam mengharungi ujian yang Kau berikan kepadaku..
Sesungguhnya Allah..
Ku harapkan cinta sesama insan ini,
Bersandarkan kepada tautan redha & kasihMu ya Tuhan...
Kerna apalah adanya pada cinta yang bertaut tanpa redhaMu.
Kaku, kosong, hambar & lesu seiring pudarnya rasa cinta palsu.
Cinta yang penuh beralasan..
Bahkan cinta yang bersatu kerana ada diriMu,
sebagai pengantaranya,
Itulah sebaik-baik pilihan,
Kerana Engkaulah sebaik-baik tempat bersandar,
Tempat memohon pertolongan,
Dalam meniti titian yang rapuh,
& penuh beronak duri ini.
Tanpa iman, takwa & mahabatullah,
Akan tersungkurlah cinta itu..
Sebelum sempat dipersembahkan kepadaMu..
Sesungguhnya ku harapkan cinta yang halal ini.
Semata-mata kerana ingin menyempurnakan keimanan & ketakwaan.
Juga ku harapkan cinta yang berkah ini..
Untukku bawa dalam perjalanan menemuiMu wahai Tuhan..
Namun,
siapalah aku untuk menafsir ketentuan..
Sedangkan aku beriman padaMu,
& sangat yakin..
KetentuanMu adalah yang terbaik..
Daripada suratun-Nur, surah ke 24, ayat ke 26: Dan Maksud firmanMu ya Allah;"Perempuan-perempuan yang keji [penzina] untuk lelaki-lelaki yang keji [penzina], & lelaki-lelaki yang keji [penzina] untuk perempuan-perempuan yang keji (pula),Sedangkan perempuan-perempuan yang baik untuk lelaki-lelaki yang baik, & lelaki-lelaki yang baik untuk perempuan-perempuan yang baik (pula). Mereka itu bersih dari apa yang dituduh orang. Mereka memperolehi ampunan Allah & rezeki yang mulia [yakni syurga]."
Izinkanlah aku ya Allah..
Untuk menjadi pencintaMu yang solehah...
& memperolehi cintaMu..
& bertemuMu & rasulullah SAW..
Dalam raudhah jannahMu yang indah itu..
Untuk menjadi pencintaMu yang solehah...
& memperolehi cintaMu..
& bertemuMu & rasulullah SAW..
Dalam raudhah jannahMu yang indah itu..
Mudah-mudahan Allah meredhai..
Allahu 'alam...
Notakaki
* Mengambil inspirasi karya asal tulisan Aminah Qutb, adik perempuan as-syahid Syed Qutb yang syahid di tali gantung kerana ketajaman penanya. Terdapat beberapa rangkap yang diubah & ditambah oleh penulis.
Saturday, February 26, 2011
Sumbangan Umar Al-Khattab Kepada Islam.
Salam alaik.. Sempena perlantikan baru kepimpinan setiap universiti. Rasanya aku ingin berkongsi tentang sirah kepimpinan agung pada zaman Khulafah Ar-Rasyidin.
Semoga kemenangan yang diperolehi akan membawa kemanfaatan buat Islam khususnya. Mari kita ikuti sumbangan Khalifah Umar bin Al-Khattab pada zaman pemerintahannya memerintah Islam.
Khalifah Umar bin al-Khattab adalah khalifah ke-2 yang memerintah iaitu dari 634-644M, selepas khalifah pertama, Khalifah Abu Bakar as-Siddiq. Zaman pemerintahan Khalifah Umar ra adalah amat menyerlah dan dikenali sebagai “The Golden Age” oleh kebanyakan pengkaji sejarah.
Dalam usaha menjana system pendidikan yang lebih mantap, beliau telah menubuhkan pusat-pusat Pengajian Islam di kota-kota seperti Basrah, Kufah dan Fustat. Guru-guru agama telah dihantar ke pusat-pusat Pengajian ini sementara para imam ditempatkan di masjid-masjid. Beliau juga menubuhkan kuttab (pendidikan pra sekolah).
Umat islam diwajibkan untuk mempelajari sekurang-kurangnya 5 surah dari al-Quran iaitu; al-Baqarah, al-Nisa’, al-Ma’idah, al-Hajj dan an-Nur. Umat islam juga diwajibkan untuk menghafaz al-Quran, sekiranya tidak berusaha untuk menghafal maka akan dikenakan hukuman. Selain menenkan pelajaran al-Quran, terdapat juga subjek lain seperti memanah, menunggang kuda, membaca dan menghafal syair, madah dan peribahasa.
Dari segi politik, gerakan perluasan wilayah berlaku dengan pesat dan berjaya sehingga meliputi Afrika Utara, Asia Minor dan Khurasan. Bagi memudahkan pentadbiran, beliau membahagikan kepada 8 wilayah iaitu Madinah, Mekah, Syria, al-Jazirah, Basrah, Kufah, Mesir dan Palestin. Setiap wilayah ditadbir oleh seorang gabenor yang dibantu oleh setiausaha, ketua tentera, pemungut cukai, pegawai polis, pegawai perbendaharaan dan hakim. Terdapat juga wilayah yang ditadbir terus dari Madinah.
Beliau juga telah menubuhkan satu institusi baru yang dikenali sebagai dewan ataupun jabatan. Antara jabatan yang diwujudkan adalah Jabatan Tentera, Ganjaran dan Pengagihan, Cukai dan Pos. Di bawah Jabatan Tentera telah dibahagikan unit ketenteraan iaitu pasukan berkuda, berjalan kaki, perkhidmatan peninjau dan peninjau sayap belakang.
Dalam aspek sosial, Khalifah Umar telah menyediakan pelbagai kemudahan asas kepada rakyat. Manakala dari segi ekonomi, beliau telah menubuhkan baitulmal. Namun, pada zaman pemerintahannya kawasan jajahan takluk Islam semakin berkembang lalu beliau menubuhkan satu institusi kewangan Negara yang dikenali sebagai diwan dan khazanah yang kemudiannya dikenali sebagai baitulmal. Sistem ‘usyur (cukai perniagaan bagi Islam dan bukan Islam) juga turut diperkenalkan.
Begitulah cekap & efisiennya zaman pemerintahan Khalifah Umar bin Al-Khattab. Hinggakan begitu banyak kebaikan yang dibawanya untuk Islam.
Rasulullah SAW pernah berkata kepada Umar; "akan berlaku sesuatu yang buruk kepada Islam selepas runtuhnya satu tembok yang kukuh." Lalu, Umar bertanya kepada baginda, "siapakah tembok yang kukuh itu?" Dan Rasulullah SAW kemudiannya menjawab; "Tembok yang kukuh itu adalah kamu."
Allahu 'alam.
*Rujukan: Sejarah Pemikiran dan Tamadun Islam. Ditulis oleh Zulkifli Dahalan et al.
-------
p/s: Tahniah Kepada Pengerusi Lajnah Penerbitan & Multimedia, akhi Ahmad Muslihin bin Ahmad kerana dipilih oleh Allah dalam menjalankan amanah selaku antara MPP USM yang baru. :D [Makin bz la pengerusi kita nih...]
Labels:
tokoh islam
Tuesday, February 15, 2011
PUISI: Wahai Rasulullah..
Wahai Rasulullah,
Tika ini, jika engkau hadir bertamu,
Mungkin mengalir deras airmatamu,
Dek kesayuan mengenang umatmu,
Terlalu jauh dari Allah dan risalahmu,
Wahai Rasulullah,
Nafsu kini menjadi tuhan,
Harta dan pangkat menjadi sembahan,
Melalaikan segala arahan & janji ketuhanan,
Ibadah dirasa berat tidak tertahan,
Al Quran bukan lagi panduan kehidupan.
Wahai Rasulullah,
Kedamaian rumahtangga semakin hancur,
Sikap curang semakin subur,
Peranan ibubapa kian gugur,
Ketaatan anak-anak turut melebur,
‘Barah' di dalam keluarga menjadi parah,
Akibat solat yang tiada berarah,
Amat jauhlah keikhlasan ibadah
Wahai Rasulullah,
Kami tidak mahu lupai jasa & kesukaranmu,
Namun ramai mendustakan ajaranmu,
Harta kini lebih dicintai dari cintamu,
Cinta Allah & Rasul menjadi lafaz kaku,
Seperti khayalan yang nyata palsu,
Wahai Rasulullah,
Dosa kami ibarat lautan tidak berpenghujung,
Namun dirasa umpama lalat di hujung hidung,
Hinggapnya hanya sebentar,
Bila ditepis ia tidak lagi berkunjung...
Taubat kami kurang kekesalan,
Tiada penghayatan, tiada keinsafan
Hati kian berkarat, dipenuhi dosa tanpa Nur Tuhan,
Anehnya, kami masih merasa layak ke syurga idaman,
Wahai Rasulullah,
Aurat wanita tercemar kian,
Berbangga ditayang & dihias berlebihan,
Ditagih penghargaan dan kalam pujian,
Tidak dipeduli murka Tuhan,
Bapa & suami dayus suatu kebiasaan,
Cuaikan amanah ketua keluarga lantikan tuhan,
Wahai Rasulullah,
Bersamamu, kami merindui kehidupan,
Namun adakah diri ini punyai kelayakan,
Dibanding sahabat, tabien & solihin yang beriman,
Dimanakah tempat kami di sisi insan kesayangan Tuhan,
Dipohon syafaatmu duhai kekasih pilihan,
Wahai Rasulullah,
Belas Allah kami harapkan,
Moga , tatkala menjelang kematian,
Jiwa yang sejahtera dapat kami hamparkan.
Zaharuddin Abd Rahman
www.zaharuddin.net
Leicester, UK
31 Ogos 2010
*sumber: UZAR
Labels:
sajak
Sunday, February 13, 2011
semuanya untukMu..
Aku rindukan suasana ramadhan yang lepas. Suasana bila mana begitu pemacu untuk memperkencangkan ibadah. Hari-hari yang berlalu selepas ramadhan yang sudah menjauh ini buktinya bahawa apakah momentum istiqomah, semangat serta kekuatan untuk beribadah itu akan kekal atau hanya sekadar hangat-hangat tahi ayam atau bermusim cuma.
Alhamdulillah, sementelah ‘kerja’ku yang sudah pun berjaya disiapkan kelmarin. Terasa seperti hendak melayang dek ringannya terasa bahu, semacam benang belonku yang terikat di batu-bata beban itu sudah pun dibuka.
Doakan semoga ‘kerja’ku itu berjaya. insyaAllah.
Setelah sekian lama tidak menulis entri baru, hari ni terasa segan pula mahu menaip lagi, terasa seperti tidak ada apa-apa yang manis untuk dikongsikan. Kalau begitu, bolehkah aku bercerita sesuatu dengan kalian.? :D
Bagaimana kiranya...?
Situasi 1.
Seseorang pernah bertanya kepada salah seorang sahabatku; apakah ciri-ciri lelaki idamannya. Bagaimanakah ciri-ciri pria yang dia mahukan. Dia benar2 ingin tahu sebab musabab sahabatku itu tidak mahu berpacaran. Almaklumlah, umur pun sudah meningkat. Kalau tidak bercinta pun, sekurang-kurangnya sudah patut ada calon kata mereka.
“Apa yang kau cari? Nak yang beserban ka? 24 ke masjid? Alim waro’ macam pak imam?” nada perli di situ.
“Kau tak menyesal, tak rasa rugi ka andaikata suatu masanya nanti, kau begini sabar menahan diri, jaga itu, jaga ini. Tapi akhirnya kelak kau dapat jodoh yang biasa-biasa saja. Buaya darat. Bekas banyak perempuan. Solat pun tak sempurna. Agak-agaknya macam mana tu?”
“...... yala. Kau kata kapel pon kau tak pernah. Tapi entah-entah esok lusa suami kau tu pernah ber-kapel punyala banyak kali. Kau yang kononnya suci ni dapat bekas-bekas orang lain ja macam tu. Ha.. apa nak kata? ”
Situasi 2.
“Rajinnya belajar, tak lokek ilmu pula tu.. baik akhlak, kuat ibadah. Tak pernah sakitkan hati orang.. macam mana ea, kalaulah bila result keluar nanti, kamu tak dapat DL? Atau result kita yang jahat2 ni lagi tinggi dari kamu yang beria dok ajar kami ni. Kamu mesti sakit hati kan? Yela... macam tak adil.” Kata dia pula kepada sahabat yang ketika itu duduk di sebelahku.
Aku lihat wajah sahabatku itu. Dia memang solehah. Baik, sopan, rajin belajar & jarang menyakiti hati manusia yang berada di sisinya.
Dalam kedua-dua situasi ini, aku pasti, ada juga di antara kita semua yang pernah mengalami perkara yang sama seperti yang dialami oleh sahabatku itu.
Waktu itu, kami hanya tinggal berdua. Aku pandang wajahnya. Dia juga pandang aku. Lalu, dia senyum.
“Jangan buruk sangkalah... mereka tak tahu tu. Setiap apa yang ada di dalam hati kita, apa yang kita fikir, tidaklah sama antara satu sama lain.” Katanya lembut.
Aku senyum. Senang dengan kata-katanya. Jelas kejernihan hatinya yang tergambar melalui bicara katanya yang baik itu.
Betul. Jangan berburuk sangka tidak tentu hala. Jangan fikir apa yang kita fikir, sama dengan cara orang lain berfikir atau apa yang orang lain fikir.
Ada manusia, jadi soleh, jadi solehah, dengan niat untuk mendapatkan bakal zauj atau bakal zaujah yang soleh & solehah juga.
Ada manusia, jadi soleh, solehah, beramal banyak, berakhlak baik, berulang alik ke masjid semata-mata kerana mahu mendengar pujian daripada manusia lain di sekelilingnya. Dia mahu orang puji dia baik & sebagainya.
Ada yang kuat belajar kerana nak dapat kerja bagus. Nak capai cita-cita. Nak banggakan mak ayah, adik, family. Ataupun kerana dicabar oleh orang lain.
Ada yang buat kerana itu. Ataupun kerana ini. Ya. Mana kita tahu apa yang tersirat di hati orang lain. Jadi seboleh-bolehnya perlu letak sangka yang baik pada toplist kita. Sebab kadangkala, hati sendiri pun kita tak dapat nak tafsirkan & faham hakikatnya.
Manusia ini sifatnya suka berubah & memang sangat senang berubah. Ibarat pantai yang dihambat oleh ombak.
Mungkin saja, kita ini yang kononnya kita sangkakan benar sudah baik rupanya lebih hina dari orang yang kita buruk sangkakan itu. Nauzubillah.
Manusia ini sifatnya suka berubah & memang sangat senang berubah. Ibarat pantai yang dihambat oleh ombak.
Mungkin saja, kita ini yang kononnya kita sangkakan benar sudah baik rupanya lebih hina dari orang yang kita buruk sangkakan itu. Nauzubillah.
Aku percaya, setiap apa yang kita lakukan adalah berbalik semula kepada niat kita. InsyaAllah, kalau betul kita kenal Allah, insyaAllah kita kenal diri kita. Bila kita kenal diri kita, kita akan tahu, kita akan rasa samada dalam hati kita itu hitam kah, putihkah, kuningkah atau ungukah dia.. :D
Mudah-mudahan, hati kita & niat kita adalah jernih & lillahi taala semata-mata.
Bila Badai Melanda. Allah Mahu Menguji.
Bila mana kita lakukan sesuatu itu beralasan, yakni bukan kerana Allah. Nescaya bila kita tidak dapat apa yang kita hendak itu, kita akan kecewa. Kita akan putus asa.
“Penat aku jadi baik. Penat dah aku tahan semua keinginan aku. Mana pernah aku kapel. Mana pernah aku pegang tangan gf macam orang lain. Mana aku pernah dating, buat maksiat semua tu! Tapi kenapa last-last aku dapat kau? Aku dapat perempuan yang dah tak suci macam kau ni sebagai isteri...?” [dialog drama. Skrip semata2. :D]
Hancur berkecai sudah hati kita.
“Punyalah penat aku stay up, study 24 jam. Solat tak tinggal. Nak jawab xm pun baca doa. Solat hajat tak lupa. Yasin setiap minggu aku join kat masjid. Tapi kenapa at last aku tak dapat capai target aku...? unfair!” [sekali lagi skrip drama semata2. :D]
Bersepai sudah harapan kita.
Kesimpulan
Mari kita duduk sejenak. Renungkan sebentar hadis Rasulullah saw ini; yang bermaksud:
"Tidak (diterima) amal-amal itu, melainkan menurut niat. Seseorang tidak akan dapat, melainkan apa yang ia niatkan. Lantaran itu barang siapa berhijrah kerana Allah dan RasulNya, maka pahalanya itu ialah (pahala amalan) kerana Allah dan RasulNya dan barang siapa berhijrah kerana dunia, nanti ia dapat dunia itu, atau kerana perempuan nanti ia kahwin dengan perempuan itu, (singkatnya) ganjaran hijrah itu menurut niat ia berhijrah". (HR Bukhari)
Lalu, kita cuba fahami pula kata2 as-syahid imam Hassan al-Banna ini;
"Niat yang ikhlas adalah seluruh ucapan, perbuatan, ibadah, dakwah dan jihadnya semata-mata demi Allah & mengharap keredhaanNya serta ganjaran baik, tanpa memandang keuntungan, kemasyhuran, kedudukan (kemuliaan), gelaran, kemajuan ataupun kemunduran. Dengan demikian, ia menjadi "pejuang fikrah dan aqidah", bukan "pejuang kepentingan dan cita-cita peribadi".
Anda perasan tak, kita perasan tak..? Dalam apa jua permasalahan yang kita hadapi di dunia ini, kesudahannya tetap akan kembali kepada Allah swt.
Kembalilah pada Allah, insyaAllah, kita tidak akan kecewa.
Niatkan kerana Allah dalam setiap apa yang kita lakukan. Jadi baik, belajar, tidur, minum, mandi, solat, pergi ceramah, pergi masjid, buat kerja persatuan.. semua-semua pun, niatkanlah kerana Allah.
Ingat semula janji kita dalam doa iftitah yang kita lafazkan di dalam solat kita saban waktu. Juga telah Allah peringatkan janji itu dalam firmanNya;
Katakanlah: "Sesungguhnya solatku dan ibadatku, hidupku dan matiku, hanyalah untuk Allah Tuhan Yang memelihara dan mentadbirkan sekalian alam. Tiada sekutu bagiNya, dan Dengan Yang demikian sahaja Aku diperintahkan, dan Aku (di antara seluruh umatku) adalah orang Islam Yang awal pertama - (yang berserah diri kepada Allah dan mematuhi perintahNya)." [Al An'aam : 162-163]
Perbetulkan niat kita.
Kenapa kita sanggup lakukan apa saja demi kekasih gelap kita, sanggup bazir duit, sanggup gadai itu, gadai ini.. kita berkorban tanpa merungut & mengharapkan apa-apa balasan pun. Semuanya demi cinta itu.
Persoalannya, kenapa dengan Allah kita mahu berkira? Kenapa kita banyak merungut dan meminta balasan itu & ini daripada Allah? Sedangkan memang itu sudah tanggungjawab kita ini sebagai hambaNya. Astaghfirullah hal adzhim.. biadapnya kita...
Kalaulah kita sedar kita ini hanya hamba, tentu kita malu untuk meminta apa-apa pun daripada Allah.
Akhir kalam, kembalilah semula ke posisi kita sebagai hamba. Lakukanlah apa yang Allah suruh & jauhkan apa yang Allah larang. Selebihnya, jika Allah mahu member kita ganjaran, itu terpulanglah kepada Dia.
Ayuh semua. Berhentilah merungut, berhenti bersikap ‘demand’. Kita langsung tak layak untuk itu. Ingatlah, dunia ini hanyalah sementara. Hakikatnya, akhirat itu jualah yang kekal abadi.
Mudah2an hingga ke saat ini, Allah masih redha dengan setiap nikmat yang diberikanNya kepada kita...
ya Allah, semua ini untukMu. semuanya untukMu kerana segala-galanya adalah milikMu..
Allahu ‘alam.
p/s: salam maulidurrasul. Perbanyakkanlah selawat ke atas baginda nabi. Mudah2an termasuk kita dalam golongan yang mendapat syafaat baginda kelak. amiin.
Labels:
catatan hati
Monday, February 7, 2011
Halimatun Sa’adiah.
Halimatun Sa’adiah, Ibu Susuan Rasulullah SAW
Halimah As-Sa’adiah ialah ibu susuan Rasulullah SAW dan disifatkan sebagai ibu kedua baginda selepas Aminah. Jasa Halimah kepada Muhammad SAW sangat besar. Beliau bukan sahaja menyusukan Muhammad tetapi turut mengasuh dan membesarkannya dalam suasana kampong yang jauh daripada kesibukan Kota Makkah.
Setelah rasulullah saw lahir, ibunya Aminah telah kekeringan susu lantaran kesedihan yang dialami kerana kematian suaminya. Seperti ibu-ibu yang lain, Aminah turut menunggu untuk menyerahkan bayi mereka untuk disusukan oleh wanita-wanita dari suku Bani Sa’ad agar anak itu nanti membesar menjadi sihat dan bijak berkata-kata.
Wanita-wanita tersebut akhirnya datang ke Makkah, namun tiada siapa yang mahu menyusukan rasulullah saw kerana mereka tidak suka mengambil anak yatim dan miskin lantaran upah yang sedikit. Namun, seorang wanita bernama Halimah binti Abi-Dzu’ib Abdullah As-Sa’diyah yang mulanya menolak rasulullah saw kembali kepada keluarga baginda setelah meminta pendapat suaminya. Sebaik sahaja dia mendukung rasulullah saw, tiba-tiba mengalir susu daripada dadanya. Lalu, rasulullah saw disusukan sehingga kenyang. Anak beliau yang bernama Abdullah turut disusukan oleh Halimah dari susu yang sama.
Kehidupan Halimah yang pada mulanya sederhana berubah menjadi lebih senang. Untanya yang kurus kering tiba-tiba menjadi kuat dan boleh berlari dengan pantas sekali. Semua kambingnya yang kurus sewaktu ditinggalkan dahulu tiba-tiba mempunyai susu yang banyak hingga boleh diminum susunya sehingga kenyang. Dia bersyukur kerana keberkatan rezeki yang diperolehinya itu. Rasulullah saw telah diajar bertutur bahasa Arab dengan baik dan berjalan dengan sempurna.
Ketika Rasulullah saw menginjak usia 2 tahun, sesuatu keajaiban telah terjadi yakni peristwa 2 lelaki berpakaian putih telah datang menangkapnya lalu membaringkannya dan membelah dadanya dan mengeluarkan isi perutnya. Hal itu disaksikan oleh Abdullah anak Halimah. Halimah telah memberitahu ibu baginda tentang peritiwa tersebut. Lalu, Aminah berkata dia telah bermimpi akan hal tersebut sewaktu beliau mengandungkan rasulullah saw.
Kaum Yahudi pernah datang menemui Halimah untuk membunuh rasulullah saw. Mereka bertanya kepada beliau samada Muhammad itu anak yatim atau tidak. Halimah telah mengaku bahawa dia adalah ibunya, manakala suaminya adalah ayah kepada rasulullah saw. Lalu Yahudi tersebut berasa lebih tenang dan tidak jadi membunuh Muhammad. Mereka berkata andaikata Muhammad adalah anak yatim, mereka akan membunuhnya.
Banyak rentetan peristiwa pelik dan ajaib yang terjadi yang sentiasa dalam ingatan Halimah. Dia benar-benar yakin anak susuannya itu akan membawa keberkatan dan rahmat kepada manusia. Itulah kisah Halimah yang telah banyak berjasa kepada rasulullah saw. Beliau sentiasa dimuliakan oleh rasulullah saw dan baginda kerap menziarahinya.
Rujukan;
Riwayat Bidadari Syurga, Munif Ahmad, Hijjaz Racords Publishing.
Labels:
tokoh islam
Subscribe to:
Posts (Atom)