Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Showing posts with label doa. Show all posts
Showing posts with label doa. Show all posts

Saturday, June 1, 2013

Belum Terlambat..



Dengan nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..


Firman Allah SWT; 

'Dan di antara mereka pula ada yang (berdoa dengan) berkata: "Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka". [2: 201]

***


Ada orang.. dia hendak sangat berubah.
Bukan tak mahu.
Bukan tak pernah terdetik.

Bila tengok kawan-kawan yang dahulu sama-sama nakal.
Panjat pagar sekolah.
Ponteng kelas.
Merokok.
Pukul junior.
Kurang ajar dengan warden & guru.
Tukar kapel setiap tahun.
Suka mengusik & bergurau senda dengan anak dara orang.

Dia yang jahat gila dari engkau itu.
Tiba-tiba sudah berhijrah & bertemu turning point.
Bukan molek lagi bahasa.
Bukan main jernih lagi wajahnya.

Allah...
Dia itu...
Membuatmu ada semacam suatu 'rasa' terdetik di dalam hati.
Untuk berubah.
Untuk kembali...

***



Engkau mabuk malam itu, kemudian engkau berzina.
Wanita itu hamil & engkau gesa dia supaya menggugurkan kandungan itu.
Kemudian engkau menyesal.
Memohon ampun kepada Allah.

Esoknya...
Engkau berjumpa dengan perempuan lain.
Engkau melakukan maksiat lagi dengannya.
Kemudian engkau menyesal.
Memohon ampun kepada Allah.

Malam itu..
Engkau tewas lagi dengan nafsumu..
Engkau melakukan lagi banyak maksiat kepada Allah.
Kemudian engkau tersedar akan kesilapanmu.
Engkau menyesal.
Bertaubat kepada Allah.

Kali ini taubat dengan benar-benar taubat.
Engkau hijrah tempat tinggalmu, tukar kerja baru, rumah baru.
Engkau meninggalkan semua teman-teman yang selalu menjebakkan engkau ke kancah hitam itu.

Engkau mula mendekati masjid.
Berusaha menunaikan hak Allah solat 5 waktu sehari semalam.
Menjaga pandangan matamu daripada memandang perempuan.

Alhamdulillah.
Allah menghadirkan teman-teman yang baru.
Lebih baik & soleh.
Mereka soleh & muslih.
Baik & membaikkanmu.

Bertahun berlalu.

Setelah lama terhindar hatimu dari fitnah wanita.
Tiba-tiba Allah menguji.
Hatimu terdetik tatkala melihat seorang gadis biasa.
Terlalu biasa jika dibandingkan dengan bekas-bekas kekasihmu.
Namun, akhlaknya memikatmu.

Alhamdulillah.
Sekali lagi Allah memudahkan jalanmu.

Dia kini bakal tunangmu.
Namun.
Malang sekali engkau sekali lagi terjebak dalam kancah menghampiri zina.
Berdua-duaan dengannya tanpa mahram bersama.
Walau atas keperluan mendesak.
Namun hatimu memberontak.
Engkau hampir sahaja tumbang lagi ke lembah zina.

Allah.
Sekali lagi engkau kalah dalam menangani fitnah wanita.
Biarpun engkau mujahadah bertahunan sebelumnya.

Engkau menyesal.
Memohon ampun kepada Allah.
Bertekad sehabis daya.
Menjaga segala-gala.
Ini hanya untuk dia yang halal saja.
Bukan untuk calon.
Belum lagi untuk bakal.
Hanya yang sudah benar sah saja.
Hanya kepada yang HALAL sahaja akan kau serahkan segala.
Biarpun pernah berkali-kali tewas ke lembah hina.

Bermaksiat.
Menyesal.
Memohon ampun.
Bermaksiat kembali.
Memohon ampun.
Kemudian kembali bermaksiat lagi.
Memohon ampun.
Kembali terjebak lagi.

Apa yang harus dilakukan selepas itu...?

Berputus asa kah?

Tidak.

Teruskan bertaubat.
Istighfar.
Memohon ampun kepada Allah.

Berdosa lagi.
Taubat lagi.
Bermaksiat lagi.
Taubat lagi.

Sampai bila?

Sampai mati.

Selagi belum mati.
Selagi itu kita punya peluang untuk bertaubat.





***



Engkau bukan sesiapa..
Untuk menelah berapa luasnya keampunan Allah.
Dia adalah Allah.
Bukan kawan engkau.
Bukan jiran engkau.
Yang boleh engkau tebak-tebak hatinya.
Yang engkau boleh anggap akan marah, akan benci, akan menjauh apabila engkau berbuat salah.

Ya.
Tentu Dia akan Murka jika engkau ingkar padaNya.
Ya.
Tentu Dia akan Cinta jika engkau taat kepadaNya.
Ya. 
Tentu Dia Cemburu jika engkau menduakanNya.

Tetapi.... Dia adalah Allah.
Dia Allah Yang Maha Pengampun.
Maha Penyayang..


Sebelum engkau menyangka bahawa Allah tidak akan Mengampunimu..
Pernah engkau mengkoreksi dirimu, sejauh mana usahamu untuk meraih ampunanNya itu?
Pernah engkau muhasabah dirimu, sekuat mana usahamu untuk meraih keredhaanNya itu?

Berapa kerap engkau sujud bertaubat kepadaNya.
Pernah engkau beristighfar kepadaNya hingga merembes keluar air mata?
Sejauh mana engkau bersungguh merapat kepadaNya?

Tanya dirimu.
Tanya!
Hati itu takkan mampu menipu.

Engkau seharus rasa malu.
Menganggap Dia takkan Mengampunimu.
Sedangkan apabila Dia mengetuk pintu hatimu berkali-kali..
Engkaulah yang enggan membuka, terus membatu diri.


***



Ada orang berkata..
Aku sudah jumpa orang yang kenal siapa aku.
Menerima aku seadanya apa aku.

Serius. Engkau dusta.
Demi Allah..
Jika Allah membongkar semua aibmu kepadanya. 
SEMUA AIBMU.
Dosa & aib yang selama ini engkau lakukan di hadapan & di belakang manusia.
Semua dosa-dosa yang selama ini engkau sangat takut jika manusia mengetahuinya....

Jika dibentangkan semua aibmu itu...
Adakah engkau masih yakin..
Bahawa dia akan menerima & mencintaimu sebegitu rupa?

Tidak bukan?

Tetapi Dia ya...
Allah sentiasa menerima taubatmu..
Taubat para hambaNya..

Subhanallah....
Maha Pengampunnya Allah!

"Ya Tuhan kami, sesungguhnya Engkau Mengetahui apa yang kami sembunyikan & apa yang kami zahirkan, & tidak ada sesuatu pun yang tersembunyi bagi Allah, baik yang ada di bumi mahupun yang ada di langit." [14 : 38]


***



Semua orang punya dosa.

Banyak sangat dosa & kesilapan..
Yang bila kita teringat akan dosa-dosa & kesilapan-kesilapan itu..
Kita akan menyesal.
Kita akan rasa sangat menyesal.

"Kenapa aku buat macam tu dulu...?"
"Kenapa aku ikut telunjuk syaitan...?"
"Aku tahu apa yang aku buat tu salah... Kenapa aku tak bertegas...?"

Menyesal.
Harap benar Allah akan memadam semua dosa silam.

Hanya Allah sahaja yang tahu betapa likatnya noda di dalam hati.
Hanya Allah juga yang tahu, betapa kotornya dosa yang melilit diri.
Hanya Allah sahaja yang nampak betapa menggunungnya maksiat & derhaka yang dikumpul setiap hari.

Allah...
Namun, hanya Allah jualah yang bisa menerima semua kehinaan ini... 
Bahkan segala aib Dia sembunyi.
Bahkan diizinkanNya ada manusia mencintai, menyanjungi...
Supaya kita yakin akan segala harapan yang Dia Beri.
Memberi peluang kita terus memperbaiki diri..

Allah..
Maha SuciNya Engkau...

Allah..
Maha PengampunNya Engkau..

Masih mahu menerima kami..

"Wahai orang yang beriman, apabila kamu bertaqwa kepada Allah, pasti Allah memberikan petunjuk serta mengampuni dosa-dosamu kerana Allah memberikan petunjuk serta menghapuskan segala kesilapanmu." [8: 29]


***

"Dijadikan terasa indah dalam pandangan manusia, cinta terhadap terhadap apa yang diinginkan, berupa perempuan-perempuan, anak-anak, harta benda yang bertumpuk dalam bentuk emas & perak, kuda pilihan, haiwan ternakan & sawah ladang. Itulah kesenangan hidup di dunia, & di sisi Allah-lah tempat kembali yang baik." [3:14]

"Katakanlah, 'Mahukah aku khabarkan kepadamu sesuatu yang lebih baik daripada itu?' Bagi orang-orang yang bertakwa (tersedia) di sisi Tuhan mereka syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai, mereka kekal di dalamnya, & pasangan-pasangan yang suci, serta redha Allah. Dan Allah Maha Melihat hamba-hambaNya." [3:15]

"Iaitu orang-orang yang berdoa, "Ya Tuhan kami, kami benar-benar beriman, maka ampunilah dosa-dosa kami & lindungilah kami dari azab api neraka." [3:16] 
"Juga orang yang sabar, orang yang benar, orang yang taat, orang yang menginfakkan hartanya, & orang yang memohon ampunan pada waktu sebelum fajar." [3:17]

----

Untuk kita semua pendosa.
Harapan itu selalu ada..

Beri peluang kepada diri sendiri...


Sesalilah segala kesilapan.
Mohon ampunan kepada Allah.

Pujuk diri sendiri...
Kisah silam bukanlah penghalang jalan..
Jalan pulang itu sentiasa terbuka untuk para hambaNya.
Peluang itu sentiasa ada untuk para hambaNya..

Berkuatlah untuk kembali.

Sungguh...
MASIH BELUM TERLAMBAT, untuk kembali, untuk mencari..

Bersungguh-sungguhlah dalam ketaatan.
Bersungguh-sungguhlah menghindar kemaksiatan.

Bersungguh-sungguh.
Berusaha sehabis daya.Kemudian, yakin sepenuh yakin.

Yakin..
Yakin bahawa..

Allah akan Mengampuni semua dosa..





Tulisan ini.. untuk peringatan & nasihat buat diriku sendiri terutamanya.

Moga Allah redha.

Wallahu a'lam..

------
Bersangkalah baik kepada Allah setiap masa. Sesungguhnya Dia menurut sangkaan para hambaNya ~


p/s: Situasi muslimin di atas hanyalah sekadar rekaan. Tiada kena mengena dengan yang hidup ataupun yang telah meninggal dunia. Harap maklum..

Notahati:



Friday, May 25, 2012

Kenapa Perlu Mencintai Nabi SAW?



Bismillahirrohmanirrohim.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.

Alhamdulillah.
Segala pujian hanya bagi Allah. 

Hari ini Hari Jumaat, Penghulu segala hari, bersamaan dengan 4 Rejab. Bagaimanakah kecintaan & kerinduan kita kepada Allah & Rasulullah SAW pada hari ini...?

Sekeras mana pun hati kita diselaputi oleh dosa, hati kita pasti akan terusik apabila disebutkan nama baginda Rasulullah SAW yang mulia, Muhammad Rasulullah SAW. Walau tidak pernah melihat wajah indahnya, atau mendengar sendiri butir bicara hikmah baginda, seluruh isi alam hingga akhir zaman ini mengakui kehebatan & kemuliaan Junjungan Mulia ini. 

Sesiapa sahaja yang mengenali baginda melalui sirah kehidupan baginda, menghayati sifat-sifat mulai baginda & menyelusuri perjalanan jalan juang dakwah baginda, pastilah akan terjatuh cinta kepada susuk agung ini.

Cinta dan rindu baginda kepada umatnya amatlah besar. Bukan sahaja terhad kepada umat pada zaman hidupnya sahaja bahkan terhadap umat selepas ketiadaan baginda, hinggalah ke akhir zaman.
Pada saat kita belum dilahirkan lagi pun Rasulullah SAW sudah pun menanggung kerinduan & kecintaan yang sangat besar & mendalam terhadap kita.

Makanya, adalah satu kekurangan, kerugian & amat menyedihkan apabila umat Nabi SAW yang tidak mempunyai rasa cinta & rindu pada baginda. Kita wajib mencintai baginda kerana;



1) Untuk Kesempurnaan & Kemanisan Iman

Mencintai Nabi SAW adalah tanda sempurnanya iman seseorang. 

Nabi bersabda; 
"Demi nyawaku di tanganNya, tidak beriman seseorang dalam kalangan kamu sehingga aku menjadi orang yang dia kasihi melebihi kasihnya terhadap ayah, anak & semua manusia yang lain." [HR Bukhari]

Dalam hadis yang lain, Nabi SAW menyebut bahawa cinta kepada Allah & Rasul adalah salah 1 daripada 3 perkara yang perlu dimiliki oleh seorang mukmin untuk mendapatkan kemanisan iman. 

Sabda baginda;
"Sesiapa yang memiliki 3 perkara ini akan dapat merasa kemanisan iman iaitu cinta kepada Allah & Rasul melebihi segala-galanya. Kedua; mencintai seseorang kerana Allah & takut kembali kepada kekufuran selepas Allah menyelamatkannya sebagaimana dia benci untuk dilemparkan ke dalam api neraka yang panas." [HR Bukhari & Muslim]



2) Manifestasi Cinta Kepada Allah

Apabila kita mencintai sesuatu, seseorang, kita juga lazimnya akan mencintai apa yang dicintainya. Makanya, apabila kita mencintai Allah, kita juga mencintai kekasihNya iaitu Nabi SAW. 

Adalah digalakkan untuk melazimi doa yang dianjurkan; 
"Ya Allah, jadikan aku cinta kepadaMu, pada orang-orang yang cinta kepadaMu & pada amalan-amalan yang membawa cinta kepadaMu."

Adalah tidak sempurna pembuktian cinta kita kepada Allah jika kita meninggalkan cinta pada Rasulullah SAW. 

Firman Allah SWT; "Katakanlah! Sekiranya kamu mencintai Allah, maka hendaklah kamu mengikuti ajaranku, nescaya Allah akan mencintaimu." [surat cinta ke-3, Ali-Imran : 31]

Hayati juga sabda Nabi SAW ini; 
"Sesiapa yang mentaatiku, maka dia telah mentaati Allah. & sesiapa yang menderhakaiku, dia telah menderhakai Allah. Begitu juga sesiapa yang mentaati petugasku, maka dia telah mentaatiku & sesiapa yang menderhakai petugasku, maka dia telah menderhakaiku." [HR Bukhari, dilaporkan oleh Abu Hurairah RA]



3) Melahirkan Rasa Syukur & Terima Kasih

Sesungguhnya Rasulullah SAw sangat menyayangi umatnya. Hal ini disebut Allah SWT di dalam surah ke-9 di dalam al-Quran, surah At-Taubah ayat 128 betapa dalamnya kasih & sayang Rasulullah SAW terhadap kita, umatnya.

Firman Allah SWT; 
"Sesungguhnya telah datang kepada kamu seorang Rasul daripada golongan kamu sendiri (Nabi Muhammad SAW) yang menjadi sangat berat kepadanya sebarang kesusahan yang ditanggung oleh kamu, yang sangat tamak (inginkan) kebaikan bagi kamu, & ia pula menumpahkan perasaan belas & kasih sayangnya kepada orang-orang beriman." [At-Taubah: 128]

Maka, wajarlah kita rasa bersyukur dijadikan Allah SWT sebagai umat Muhammad SAW & rasa syukur itu perlulah diterjemahkan dengan melahirkan rasa cinta terhadap baginda Rasulullah SAW.



4) Untuk Mengharapkan Syafaat  Nabi SAW

Pada hari Kiamat, semua manusia dihimpunkan dalam hiruk pikuk di Padang Mahsyar, setiap orang mengharapkan syafaat atau pertolongan untuk menyelamatkan diri masing-masing daripada azab api neraka. 

Dan umat Nabi Muhammad SAW, bagi mereka yang mencintai baginda & memperjuangkan sunah baginda adalah antara yang mendapat keutamaan untuk memperolehi syafaat baginda SAW. 



5) Untuk Bersama Dengan Nabi SAW Di Syurga

Rasulullah SAW bersabda;
"Seseorang itu akan bersama dengan orang yang dia cintai." [HR Bukhari & Muslim]

Untuk bersama-sama dengan Nabi SAW di syurga, mencintai baginda adalah prasyarat utama yang perlu disempurnakan. Apabila kita benar-benar mencintai Nabi SAW, kita akan mengikut sunnah atau perjalanan hidup baginda, malah akan memperjuangkannya. Seluruh hidup kita perlulah diusahakan agar selari dengan perjalanan hidup baginda. 

Mari mencontohi bagaimana Nabi beribadah, bermasyarakat, berhibur, berinteraksi, berkasih sayang, beraktiviti dan sebagainya. Itulah tandanya kita benar-benar mencintai Rasulullah SAW.



6) Untuk Mengelakkan Kemurkaan Allah SWT

Renungilah peringatan Allah SWT di dalam surah at-Taubah, ayat 24 yang memberi maksud;
"Katakanlah! Sekiranya ayah-ayah, anak-anak, adik-beradik, para isteri, kaum keluarga, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khuatirkan kerugiannya & tempat tinggal yang kamu sukai adalah lebih kamu cintai daripada Allah SWT, RasulNya, jihad pada jalanNya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya. & Allah tidak Memberikan Petunjuk kepada orang-orang yang fasik (derhaka)." 

Firman Allah di atas cukup jelas mengatakan peringatan Allah terhadap para hambaNya agar tidak melebihkan cintai duniawi melebihi kecintaan kita kepadaNya, RasulNya serta untuk berjihad di jalanNya. 

Apabila cinta kita kepada duniawi melebihi cinta kita kepadaNya, RasulNya & jihad dijalanNya, adalah dikhuatiri kemurkaan Allah akan membiarkan kita tanpa diberikan petunjuk serta mengazabi kita dengan tidak terperi sakitnya pada Hari Pembalasan kelak. Nauzubillah min zaliq.

Daripada kita sibuk mengejar cinta lelaki yang kita sukai, atau wanita yang kita minati, yang belum tentu membalas cinta kita, adalah lebih baik kita mencintai Dia (Allah SWT) yang Setia Mencintai & juga Rasulullah SAW yang sangat mencintai kita, umatnya ini.
Mudah-mudahan, dengan keberkatan bulan Rejab ini, akan bertambahlah kesyukuran, kekuatan & keikhlasan kita untuk mencintai Allah, Rasulullah SAW & juga untuk berjihad di jalanNya. Amiin.


****************************

Alhamdulillah, kita masih diizinkan Allah untuk meniti hingga ke bulan Rejab. Mudah-mudahan Allah Merahmati kita semua di dalam bulan Rejab, Sya'ban serta akan menyampaikan kita kepada kekasih yang dirindui, bulan Ramadhan yang mulia. insyaAllah.

Akhirul kalam, mari memperbanyakkan membaca doa yang dianjurkan oleh Rasulullah SAW apabila tiba bulan Rejab;

*Klik untuk besarkan*



Jumu'ah mubarak! Jangan lupa baca suratul Kahf. insyaAllah.

Alhamdulillah.
Allahu'alam.


p/s: Next week adalah minggu yang dijangkakan paling sibuk, tertekan dan memenatkan. Mohon doa kalian. Jazakumullah khairan kaseer.. 


Wednesday, October 19, 2011

Doa Paling Iblis Geruni.

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.


Muhammad bin Wasi’ mengatakan bahawa pada suatu hari ketika beliau dalam perjalanan ke masjid, Tiba-tiba, iblis muncul dihadapannya dan berkata 

“Wahai anak Wasi’ engkau kenalkah aku?” 

Beliau menjawab “ Siapa engkau ini?” 

Ujar iblis, “Aku iblis”. 

"Engkau mahu apa?", Tanya Muhammad. 

Iblis menjawab sambil merayu “Engkau jangan ajarkan kepada sesiapa pun doa itu dan aku berjanji tidak akan menganggumu."


Muhammad bin Wasi’ menjawab dengan tegas “ Demi Allah aku tidak akan halang sesiapa pun untuk mempelajarinya dan engkau buatlah apa yang engkau hendak buat.
 
Tahukah sahabat-sahabat doa apakah yang Muhammad bin Wasi’ bacakan tiap-tiap pagi hingga iblis begitu gerun mendengarnya?




Amalkan pada tiap-tiap pagi. Insyaallah, kita tidak akan diganggu iblis laknatullah. Moga kita semua dijauhkan dari tipu daya iblis laknatullah. Selamat beramal (^^,).


Rasululullah SAW bersabda; "Doa adalah senjata orang mukmin." 

Dalam kesempatan lain, baginda bersabda; "Doa adalah inti ibadah."

Dengan doa & zikir, insyaAllah seorang mukmin akan mendapatkan cinta Tuhannya, terhindar daripada pelbagai gangguan jahat & imannya semakin kuat. Dengan doa & zikir, hati menjadi hidup, tenang & bahagia.

Allahu 'alam.


sumber: SOLEHAH

Thursday, July 9, 2009

MENANGISLAH KERANA ALLAH...

BINGKISAN KHAS:
Buat mereka yang sering menangis kerana terluka dengan kekasihnya dan menangis kerana ditinggalkan oleh kekasihnya. Serta buat semua ummah yang pernah terlupa...

PERKARA:
MENANGIS KERANA TAKUT KEPADA ALLAH

Firman Allah swt dari surah Al Maidah ayat 44 yang kira-kira maksudnya:“Maka janganlah Engkau takut kepada manusia dan takutlah kepadaKu...”

--------

Diceritakan, ada seorang lelaki yang jatuh hati kepada seorang wanita. Ketika wanita itu keluar untuk satu keperluannya, maka pergilah lelaki itu bersamanya. Sampailah mereka ke satu kampung yang sunyi di mana penghuninya telah pun tidur. 

Lalu, lelaki itu pun menyampaikan hasrat hatinya. Wanita itu menyahut, “Lihatlah samada orang-orang telah tidur semuanya?” 

Lelaki itu memikirkan bahawa wanita itu bermaksud bahawa wanita itu bersetuju untuk menuruti kehendak hatinya. Dia pun mengelilingi kawasan itu untuk melihat samada semua orang telah tidur atau tidak. 
Setelah jelas bahawa semua orang-orang telah tertidur, segera dia menghampiri wanita tersebut seraya berkata, “Benar, semua orang telah pun tidur.” 

Lalu, wanita tersebut bertanya; “Bagaimanakah pendapatmu dengan Allah? Apakah saat ini Dia juga telah tidur?” 
Dan lelaki itu pun menjawab. “Sesungguhnya Allah tidak pernah tidur.” 
Wanita itu pun berkata lagi. “Sesungguhnya Zat yang tidak pernah tidur akan melihat kita meskipun manusia sedang tidur lelap dan tidak melihat kita. Oleh kerananya Dia lebih berhak untuk ditakuti.” 

Dengan segera lelaki itu meninggalkan wanita itu kerana dia takut kepada Allah. Dia telah pulang ke rumahnya dan bertaubat. Setelah dia meninggal dunia, ada orang telah bermimpi bertemu dengannya. Lalu ditanya; “Apakah yang telah Allah lakukan kepadamu?” 

Lelaki itu menjawab: “Allah telah mengampuniku kerana ketakutanku dan kerana aku meninggalkan dosa itu.”




Rasulullah saw bersabda:“Ketika tubuh seorang hamba bergetar kerana takut kepada Allah, berguguranlah dosanya bagaikan dedaunan yang jatuh dari pohonnya.


“Sesungguhnya Allah berkata: Aku tidak mengumpulkan pada hambaKu 2 ketakutan dan 2 keamanan. Barangsiapa yang takut kepadaKu di dunia, Aku amankan dia di akhirat. Dan barangsiapa yang berasa aman dariKu di dunia, Aku akan takutkan dia di akhirat.”


Disebut dalam kitab Bidayatul Hidayah. Pada hari kiamat, didatangkan api yang bergemuruh. Hinggakan menggetarkan hati setiap ummah. Ketika mereka mendekatinya, gemuruh tersebut semakin kuat. Hingga terdengar dari jarak perjalanan 500 tahun. Setiap orang sampai para nabi berkata; “Nafsi-nafsi”(sendiri-sendiri). Kecuali Rasulullah saw yang sering kau lupakan. Baginda berkata, “Umatku-umatku.”

Kemudian, keluarlah api bagaikan gunung. Umat Muhammad saw berusaha untuk menolaknya sambil berkata;
“Demi orang-orang yang bersolat, demi orang-orang yang siddiq, demi orang-orang yang khusyu’. Dan demi orang-orang yang berpuasa. Kembalilah engkau wahai api!” Malangnya, api itu tidak juga kembali.

Maka, berkatalah Jibril as:
Sesungguhnya api hendak membakar umat Muhammad.” Lalu datanglah ia sambil membawa segelas air sambil berkata lagi: “ Ambillah air ini. Dan percikkan ke api itu!” 

Rasulullah saw melakukan perkara itu. Dan seketika itu, api itu pun padam. Lalu, Nabi Muhammad saw bertanya: “Air apakah ini?”


Jibril menjawab:“Itulah air mata umatmu yang menangis kerana takut kepada Allah dan sekarang aku diperintahkan untuk memberikan air itu kepadamu supaya engkau memercikkannya kepada api sehingga padam dengan izin Allah”


Rasulullah saw seringkali berdoa:“Ya Allah, berilah aku rezeki dua mata yang menangis kerana takut kepada Engkau sebelum air mata ini habis.”

Barangsiapa yang ingin selamat daripada azab Allah serta mendapatkan pahala serta rahmatNya, hendaklah dia sabar atas kesulitan dunia, taat kepada Allah serta menjauhi maksiat.

-----

Dalam kitab Zahrir Riyadh, dirawikan dari Rasulullah saw, sesungguhnya baginda bersabda:
“Ketika masuk ahli syurga, mereka disambut oleh para malaikat dengan segala kebaikan dan kenikmatan. Dipersilakan untuk mereka singgahsana berpermaidani indah. Disajikan untuk mereka segala rupa makanan dan minuman yang lazat. Oleh itu, mereka menjadi kehairanan.”

Lantas Allah berfirman.
“Wahai hamba-hambaKu mengapakah engkau hairan? Ini bukan tempat untuk merasa hairan.” Dan mereka menjawab: “Janji untuk kami telah tiba waktunya.” Kemudian, Allah telah berfirman kepada malaikat: Bukakanlah hijab dari muka mereka. 

Malaikat menjawab: Ya Tuhanku, bagaimana mereka dapat melihat Engkau sedangkan mereka itu derhaka?

Lalu Allah menjawab;
“Sesungguhnya mereka telah berzikir, bersujud dan menangis di dunia kerana ingin bertemu denganKu.”

Lalu malaikat pun membukakan tabir sehingga mereka dapat melihat. Maka, segera mereka bersujud kepada Allah.

Tetapi Allah berfirman: “Angkatlah kepalamu. Hari ini bukanlah hari untuk kamu semuanya rukuk dan sujud kepadaKu. Tetapi hari ini adalah hari pembalasan nikmat kepada kamu semua. Sesungguhnya wahai hamba-hambaKu, syurga bukanlah tempat untuk beribadat tetapi adalah tempat mulia untuk kamu merasakan nikmat dan kesenangan yang berkekalan.” Kemudian, mereka nampak Allah tanpa kaifiyah.

Allah berfirman lagi: “Salam sejahtera bagi engkau hamba-hambaKu. Aku redha kepadamu. Apakah engkau redha kepadaKu?”

Mereka menjawab: “Bagaimana kami tidak rela wahai Tuhan kami. Engkau telah memberi kami sesuatu yang belum pernah terlihat oleh mata, belum pernah terdengar oleh telinga, bahkan belum pernah terlintas dalam hati manusia.”


Inilah yang dimaksudkan oleh Allah dalam Al Baiyinah ayat 8: Ertinya; “Allah rela kepada mereka dan mereka pun rela kepadaNya.”

Dan firman Allah dalam Yasin ayat 58 yang membawa makna: “... (Dan ucapan) perkataan selamat daripada Tuhan yang pengasih.”

Dan Rasulullah saw telah bersabda: “Api neraka tidak akan menjilat orang yang pernah menangis kerana takut kerana Allah swt. Sehingga air susu kembali ke tempat asalnya.”

*Sumber: Terjemahan Mukasyafah Al Qulub tulisan Imam Al-Ghazali.


------------------------------


Buat mereka yang seringkali menangis demi perkara yang sia-sia; menangis kerana cinta manusia, menangis kerana membaca novel cinta, menangis menonton filem cinta yang semu. Cinta! Cinta! Cinta duniawi. Istighfarlah! Sedarlah! Bangkitlah dari lenamu.

Buat mereka yang seringkali melupakan kekasih yang paling agung; Allah sedang menantimu di pintu taubatNya. Pulanglah padaNya... dan menangislah untukNya.

Menangis untuk menagih cintaNya, menangis kerana memohon taubatNya, menangis kerana berdosa padaNya, menangis kerana takut padaNya.

Kerana Allah swt telah berfirman:“Janganlah kamu seperti orang-orang yang melupakan Allah...” Al-Hasyr: 19

Ingatlah, menangislah kerana Allah, kerana hanya Allah sahaja yang layak buat semua titisan air matamu...