Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Showing posts with label bisikan nurani. Show all posts
Showing posts with label bisikan nurani. Show all posts

Wednesday, June 19, 2013

"Alhamdulillah, Allah 'Hadiah'kan Tudung Labuh Untuk Aku."


Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan mulia Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..

***

Saya masih ingat.. ketika adinda tercinta saya menggunting kain berwarna turqoise lembut untuk dijahit tudung untuk dipakai di hari konvokesyennya hujung tahun lepas. Wajahnya nampak bahagia tatkala menggunting kain ela koshibo yang dihadiahkan oleh tunangnya itu.

"Cantik warna ni... Pandai dia pilih warna yang sesuai dengan kamu." puji saya.

Waktu itu, saya juga rasa gembira sekali untuknya & mendoakan bagi kebaikan Allah limpahkan bagi kedua-duanya agar dipermudahkan urusan & diperkuatkan jodoh jika itu yang terbaik dari sisiNya untuk mereka berdua.

Kemudian kan.. waktu itu, spontan hati saya terdetik.

"Ya Allah... tak ada sesiapa ke nak hadiahkan aku sehelai tudung labuh...?"

Allah...

Eh.
Cepat-cepat saya beristighfar & berlalu ke dapur.

***


Hari ini (ketika draf artikel ini ditulis),
16/6/2013

Ada yang menghadiahkan saya tudung labuh.
Tahu siapa?

Kekasih saya.
:) 
Allah telah menghadiahkan saya sehelai tudung labuh.

Subhanallah.
Kala ini, saya rasa sungguh bahagia. 
Alhamdulillah.


***




Berdasarkan petikan daripada timeline photos 'Sufy Solehah Collection'.

Bismillah...

Pertama sekali kami ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang telah menyertai peraduan yang kami anjurkan. Sehingga, ada yang dari Indonesia dan ada juga kaum adam yang berminat menyertai peraduan ini. Namun, keutamaan diberikan kepada muslimah (Malaysia) sahaja.

Ramai yang sangat berbakat dan dapat menulis dengan baik, kisahnya terkesan dan menyentuh hati. Tapi, pihak kami telah memutuskan untuk memilih hanya 2 orang pemenang sahaja selepas memastikan peserta tersebut mengikuti syarat-syarat yang telah ditetapkan (asalnya cuma seorang). Antaranya, hendaklah menulis PENGALAMAN sendiri, bermakna bukan hanya cerita/cerpen, tetapi kisah hidup penulis tersebut.

Berikut adalah 5 senarai yang terbaik pada penilaian dan pemerhatian pihak kami. :)


Dan pemenang bertuah yang menjadi pilihan kami adalah:
>> Ukhti Syauqah Nur
>> Ukhti Waznah Alhamra

Manakala hadiah saguhati untuk perkongsian yang mendapat 'like' terbanyak dimenangi oleh:
>> Ukhti Menang atau Syahid

Kepada pemenang yang bertuah, sila PM nama penuh, alamat & no hp anda untuk tujuan penghantaran hadiah. Insyaallah, jika ada ruang & peluang, pihak kami akan menganjurkan peraduan lain pula nanti, biiznillah.

Tahniah semuanya dan teruskan berkarya! :)

p/s: sila klik pada nama untuk membaca perkongsian.


***

:') 


Subhanallah. Alhamdulillah.

Siapa sangka, pertama kali Allah bukakan pintu hati ini untuk menyertai pertandingan buat julung-julung kali & Alhamdulillah, terpilih pula sebagai peserta yang bertuah yang menjadi pilihan juri. Maha suci Allah yang semua pujian hanya layak ke atasNya.

Saya sedang berbual-bual dengan roommate sewaktu notification daripada Sufy Solehah Collection naik ke Home Wall Facebook saya.

Baca sekilas. 
Saya nampak nama saya.

Eh.
Saya langsung baca sekali lagi.

Subhanallah.. terus tersenyum.
Ya Allah... MasyaAllah..
Macam tak percaya Allah rezekikan sehelai tudung labuh percuma untuk saya.

Langsung saya PM manager Sufy Solehah Collection untuk pengesahan. 


Alhamdulillah. :)

Daripada Allah-lah punca segala-galanya...

1) Allah gerakkan hati saya untuk menghantar perkongsian.
2) Allah juga gerakkan hati sahabat-sahabat untuk 'like' (walaupun jumlah 'like' saya taklah sebanyak perkongsian akhowat lain) ;p.
3) Allah jugalah yang menggerakkan hati juri pertandingan memilih perkongsian saya di antara 48 peserta yang menghantar perkongsian.

Subhanallah, baiknya Allah pilih saya yang banyak kekurangan ini... padahal banyak lagi penulisan yang lebih hebat & menyentuh hati.

Saya bukan berbangga kerana menang. Bahkan sejujurnya saya tidak menyangka pun saya akan dipilih Allah kerana jujurnya saya tidak beria-ia pun berharap & promote penyertaan saya itu kerana rasa rendah diri apabila membaca kisah hijrah akhowat lain yang jauh lebih mantap, menyentuh kalbu serta telah dibaca & di'like' oleh beratus-ratus 'likers'. 

Sungguh, yang membuatkan saya tersenyum & sungguh gembira sebenarnya apabila hati ini tak henti berbisik berkali-kali;
"Alhamdulillah. Allah hadiahkan tudung labuh untuk aku. Allah yang hadiahkan untuk aku.." :')

Tak fasal-fasal teringat persoalan hati sewaktu peristiwa bersama adinda tercinta tahun lepas. Seperti yang dicoretkan di awal catatan.
;D
Alhamdulillah..


***
 Saudara-saudari yang dikasihi Allah sekalian,

Jangan rasa segan hendak berkongsi pengalaman bagaimana kita berhijrah. Siapa tahu perkongsian kita boleh menjadi pengantaraan untuk Allah membuka hati hambaNya yang lain untuk berubah menjadi hambaNya yang lebih baik. Mudah-mudahan. 


Bercerita tentang kisah hijrah kita, bagaimana kita membebaskan diri dari jahiliyyah adalah tidak sama dengan mencerita & membuka aib serta dosa silam. Sila bezakan. Maka, hati-hati, pastikan apa yang bakal dikongsi demi meraih redha Ilahi, mengingatkan yang mendengar kepada kekuasaan Ilahi... bagi menjadi teladan buat hati-hati yang mahu disentuhi, insyaAllah..
 

Maka, jangan rasa segan hendak berkongsi. Setiap orang punya kisah hijrah masing-masing, yang membawa kita kembali semula kepada Allah. Setiap orang punya kisah silam masing-masing. Kisah gelap masing-masing. Sebab semua orang pernah buat silap, buat dosa. Kita hanyalah manusia biasa. Jadi jangan sesekali rasa malu.  
 
Kita sendiri rasa sangat sayang & bersyukur setiap kali mengenangkan saat-saat kali pertama Allah menyentuh hati kita untuk berhijrah kan..? MasyaAllah, manis kan...


Yakinkan diri (supaya tidak berputus asa dengan hambatan dosa lalu), Allah judge kita bukan berdasarkan masa lalu kita (yang telah kita pun memohon ampun & bertaubat sungguh-sungguh kepadaNya. Moga Allah terima taubat kita. Amiin.) Allah judge kita hari ini, saat ini.. jadi, bagaimana lebih baik telah kita berusaha menjadi? 

Ingatkan diri, masa lalu tak dapat diubah, tapi kita boleh kenang & learn something from it. Focus on betterment of ourselves. InsyaAllah, kita boleh berubah...
 

Setiap orang punya masa lalu, dosa & silap. Ingat, sesungguhnya bulan yang terang menderang bercahaya di waktu malam pun punya sisi gelapnya yang tersendiri. Setiap orang ada sisi gelap masing-masing. Kita buat salah, pernah buat salah, kita pernah gagal... semua itulah yang membuatkan kita menjadi sebagaimana kita hari ini kan..? 

Bersyukurlah.
Alhamdulillah.



***


Di kesempatan ini, saya ingin mengucapkan jazakumullah khairan kaseero kepada para penge-'like' yang sudi baca & 'like' perkongsian saya termasuklah sahabat-sahabat yang dikenali, yang baru dikenali, followers blog ini & yang sudi request 'friend' di akaun Facebook saya (tetapi maaf saya tak menerima request orang yang tidak dikenali. Asif jiddan).

Saya menghantar perkongsian kisah hijrah saya ke pertandingan ini awal bulan lepas. Hasrat hati saya  sekadar mahu berkongsi kisah hijrah saya kepada semua muslimat, mudah-mudahan boleh dijadikan contoh teladan ataupun 'spirit booster' untuk sama-sama merasai rasa manis saat pertama kali memakai tudung labuh. 

Selain itu, saya juga teruja sebenarnya untuk meraikan niat baik pihak Sufy Solehah Collection yang menganjurkan pertandingan yang sangat bagus pada pengamatan saya untuk menggalakkan muslimat memakai tudung labuh, insyaAllah. Saya tak dapat menahan rasa excited daripada turut serta. Moga Allah rahmati niat & usaha baik mereka. Amiin.

Kalian boleh membaca semua kisah hijrah daripada 43 peserta yang lain (5 peserta telah saya sertakan link pada nama mereka di atas) yang Allah bukakan hatinya untuk berkongsi kisah hijrah masing-masing, pengalaman bagaimana mereka dibukakan hati oleh Allah untuk mengenakan tudung labuh & memakai niqob : lillahi ta'ala di <SINI>. 

Dialu-alukan untuk membacanya. InsyaAllah perkongsian akhowat lain juga sangat menginsafkan & menyentuh hati. Moga Allah rahmati mereka semuanya, amiin. 

Oh ya.... jangan lupa untuk 'like' Page 'Sufy Solehah Collection' untuk mendapatkan koleksi kelengkapan pakaian Muslimah & barangan kesihatan yang lain, insyaAllah.

Alhamdulillah.
Jazakumullah khairan kaseero kepada kalian semua.


***



Secebis catatan. Renungan buat peringatan.

Buat si tudung labuh... Memakai tudung labuh bukan bererti seorang perempuan itu benar-benar telah solehah. Makna solehah itu bukan maqam kita sebagai hamba untuk menilainya. Selayaknya hanya kepada Dia kita serah & sandarkan segala. 

Perempuan bertudung labuh, maklumilah bahawa mereka bukanlah insan maksum suci daripada dosa & khilaf. Solehah itu mahal harganya. Bukan semudah mengeja, menaip atau menyebutnya.

Pemakai tudung labuh juga adalah manusia biasa yang sedang bertatih menuju ke arah Tuhannya. Kita yang melihat, jangan sesekali menghakimi mereka.. bahkan tolong sama-sama doakan mereka. InsyaAllah, mudah-mudahan kejayaan itu milik mereka akhirnya. 


Kejayaan meraih mardhotillah.

InsyaAllah.

***

Sungguh, saya menulis coretan ini kerana ingin berkongsi betapa saya bersyukur Allah mendatangkan kebahagiaan di dalam hati ini. Minggu ini, banyak peristiwa yang mentarbiyyah diri. Membuatkan hamba kerdil ini berasa sungguh-sungguh bersyukur ke hadrat Ilahi. :')

Alhamdulillah ya Allah..
Hamba rasa sungguh dicintai..

Ya robbi.. berilah hamba kekuatan untuk membalas cintaMu itu kembali.

Allahumma tsabits qolbi 'ala deenik.
Allahumma amiin.

Wallahu a'lam. 

-----------
Notahati:
Perkongsian saya berdasarkan entri Kisah Hijrah Seorang Syauqah
Moga bermanfaat, moga Allah meredhai. 

Doakan agar Allah terus memberi saya kekuatan, ilmu & ilham untuk menulis kebaikan, menyeru kebaikan & melakukan kebaikan untuk menjadi hambaNya yang baik. InsyaAllah. Amiin. Jzkk.

---

p/s: 


Kepada semua follower blog ini a.k.a 'Para Pencinta' yang dirahmati Allah, di sini saya ingin menghadiahkan sesuatu untuk kalian. :)

Nah!

  
 < klik imej untuk besarkan >

Sudilah jika kalian menerimanya..  walaupun tak berapa kreatif. huhu.
:)

Barakallahufikum.

Tuesday, July 17, 2012

The Moon That Embraces The Sun.



Astaghfirullahal adzhim..

Terlalu banyak ketawa aku hari ini..
Ketawa yang banyak ini membuatkan jauh di sudut hatiku merasa takut kepadaNya.

Apakah tawa yang terlalu banyak mengisi ruang hariku ini akan membuat Dia memurkaiku?

Janganlah tawa yang galak ini membuatkan hatiku mati, membuatkan aku banyak menangis 'disana' nanti.
Nauzubillah.

Pada hujung-hujung waktu aku masih mengaji di USM..
Aku selalu terfikir..
Aku selalu membayangkan bagaimanalah kehidupanku setelah meninggalkan medan tarbiyyah terbesar aku selama ini kelak.

Bagaimana aku selepas berpisah daripada sahabat-sahabat yang dimuliakan Allah itu agaknya.
Yang selalu menjadi perantara 'teguran' Allah kepadaku apabila akhlakku memburuk, tutur bicaraku tidak elok..
Mesti nanti aku merindui mereka yang selalu mengingatkan aku kepada Allah, hanya dengan bersuara sedikit & hanya sekadar melihat wajahnya. Subhanallah.

Aku selalu risau dan bimbang...
Bagaimanalah dapat ku harungi hari-hari tanpa langkahan ke majlis ilmu bersama sahabat-sahabat yang dicintai Allah itu...
Apakah iman, hati, akhlak dan peribadiku akan merosot dan memburuk tanpa keharuman 'taman-taman syurga' yang diserikan lagi dengan doa daripada para malaikat itu..

Apakah Allah akan menarik kembali nikmat tarbiyyah, hidayah, taufik, & sahabat yang soleh solehah itu daripadaku apabila aku meninggalkan bumi Minden itu...? Nauzubillah. T_T

Lalu, hatiku tersentuh dalam, terasa sangat besar nikmat & melimpahnya rezeki yang Allah Berikan kepadaku selama ini..

Lalu, mengalirlah air mata di dalam hati ini merayu agar Dia tidak melupakan hambaNya yang masih kekurangan ini..

Ya Allah.. diri ini masih memerlukan Hidayah & TaufikMu.
Jangan diserahkan aku kepada diriku sendiri walau hanya sedetik masa.

Bagaimanalah agaknya keadaan aku. Bagaimanalah aku akan mengharunginya.


------------------------------------------


Alhamdulillah..
Sudah lebih seminggu aku menghirup udara bumi Allah, bumi Negeri Sembilan.
Bersama ibu, ayah, adik & 2 orang sepupu kecil.

Ya... aku merindui bumi Minden. 
Aku rindukan tarbiyyah, ilmu, ukhuwah yang Allah Limpahkan di sana. 
Terasa berkah melaut & harum untuk ku hirup udaranya, lantas membuatkan hati ini seakan begitu dekat sekali kepadaNya.

Lalu, ku soal pula kepada diri ini.


"Apakah Allah itu hanya ada di bumi Penang...?"
"Apakah barokah itu hanya ada di Minden?"
"Apakah kebaikan itu hanya tinggal kenangan di USM...?"


Aku kesal pula dengan diriku.
Manusia seperti aku selalu sahaja memandang hal yang jauh-jauh.
Tanpa menghargai & menikmati rezeki & nikmat yang Dia Limpahkan di depan mataku.

Dekatnya aku dengan ibu bapaku, petanda ruang untukku menimba pahala & kebaikan juga meluas.
Dekatnya aku dengan rumah, maknanya itulah medan terbesar untuk aku gali & suburkan tarbiyyah yang selama ini aku kecapi di bumi Minden.

Jangan menyempitkan peluang & ruang yang Allah beri untuk berbuat kebaikan, menyebar kebaikan & menjadi hambaNya yang baik itu dengan pelbagai alasan!

Ibadah itu luas konsepnya. Pesanan ustaz & ustazah bagai terngiang di telinga.

Apapun perkara yang boleh mengingatkan, mendekatkan, menambahkan kecintaan aku kepada Allah, itu juga dikira ibadah.
 

Allah itu ada di mana-mana.
Allah itu letaknya terlalu dekat.
Dekat di dalam hati.


Jika alasanku mengatakan jauhnya aku daripada sahabat-sahibah, majlis ilmu, tarbiyyah & ukhuwah adalah punca imanku menurun, alasan untuk aku tidak mampu istiqomah..
Itu petandanya aku sendiri yang menyempitkan pandangan & peganganku.

Ingatlah wahai diri...
Pejuang Islam yang terpenjara itu,
Tanpa sahabat, majlis ilmu, atau terma-terma 'ilmu, hidayah, tarbiyyah & ukhuwah' yang kau gariskan sebagai 'punca' kehebatan mukmin itu..
Masih mampu istiqomah menulis tinta-tinta bukti kebesaran Allah.
Masih tetap istiqomah menitipkan bait-bait kecintaan & munajatnya kepada Ilahi.
Yang terus terwaris kepada umat hingga hari ini..

Kerana Allah itu letaknya di hati.

Hendak jadi baik,
Hendak jadi lebih baik,
Hendak berusaha memperbaik,
Hendak menyebarkan hal-hal baik,
Yang perlunya adalah usaha, gerak langkah.
Bukanlah mencari alasan untuk memperbantutkan peluang & ruang.

Mengapa mengharapkan orang, suasana, program-program yang membentuk kita untuk menjadi apa yang kita patut jadi (jadi baik)?
Jika kita terlalu bergantung kepada perkara-perkara itu barulah kita mahu menjadi baik & hebat, makanya rugilah kita.


---------------------------------


The Moon That Embraces The Sun.
Aku baru tengok siri drama korea ni. 
Heronya hensem & heroinnya cantik.
Abang heroinnya cool & peribadinya menarik.
Ok tiada kaitan dengan entri. Sila abaikan.

Please get back on the track.

Baik.

Apa kaitan matahari & bulan daripada sudut kehidupan kita sebagai hamba & dai'e?

Pada waktu siang, matahari menyinarkan cahayanya kepada alam,
Bulan akan menyerapi semua cahaya itu.
Tatkala malam menjelma,
Tidaklah dia masih mengharapkan kehadiran matahari untuk memberikan cahaya.
Bahkan bulanlah yang memantulkan semula cahaya matahari tadi kepada seisi alam.
Walau tak secerah siang, namun, bulan masih bisa membiaskan cahaya dengan saiznya yang kecil itu. 

Matahari itu ibarat Islam.
Kita pula ibarat bulan.
Yang buruk pada hakikatnya.
Namun menjadi indah di malam hari kerana memantulkan cahaya Islam.

Kita ini pun...
Jadilah bulan.

Waktu Allah letakkan kita dalam biah (suasana) soleh, solehah, islamik, barokah.
Serapilah seberapa banyak kebaikan yang kita mampu.
Apabila tercampak pula kita dalam biah yang berbeda,
Jika tidak mampu mengislahkan kesuraman biah itupun..
Setidak-tidaknya masih mampu kita istiqomah menjaga diri.
Sekurang-kurangnya.

Atau setidak-tidak istiqomah kita menjaga & mempamer akhlak baik itu..
Menjadi dakwah & islah kecil buat masyarakat sekeliling.


Mainkan peranan. Walaupun kecil.
Tetap istiqomah. Walaupun terasing.

Alone is not the reason for being astray from the right path.
Because at Yaumul Mahsyar,
Don't you realize that;
You also will be judged by Him;
Alone?

So, stay strong & keep moving on.

Allah ada. 
& Dia sangatlah dekat.
Ingat tu...

:)

Asif kiranya entri ini tiada manfaat bagi yang berkunjung & sudi membaca.

Entri ini untuk memujuk & menaikkan semangatku yang dilanda kerinduan ini.. :')
Doakan diri ini selalu di dalam rahmat, redha & cinta Allah. Moga diri ini sentiasa dikuatkan oleh Allah, insyaAllah, amiin.. :')
 
Semoga kita selamat untuk bertemu dengan ramadhan yang mulia itu sekali lagi tahun ini. InsyaAllah.
Selamat meniti kemuliaan, keampunan & rahmat di bulan ramadhan.
Mudah2an Allah akan permudahkan..

:)

Allahu'alam.

Saturday, June 9, 2012

Bantu Aku Menjadi SOLEHAH..




Bismillahirrohmanirrohim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Aku kira, tiada manusia yang masih bujang terkecuali daripada mengangankan kehidupan berbaitul muslim/rumah tangga islam (BM) yang sakinah mawaddah dan rahmah. Baik ikhwah mahupun akhowat.

Sebagai wanita, aku tidak terkecuali daripada kelompok yang mengimpikan keindahan untuk meniti fasa tersebut, sepanjang proses untuk mempersiapkan diri, proses untuk ke arah matlamat BM, melangkah ke fasa BM, membinanya & menitinya.

Aku mengimpikan & cuba mengusahakan agar seluruh proses itu dijalani di dalam keredhaan Allah SWT. InsyaAllah.

Tidak ada.. tidak ada aku kira, manusia yang bernama wanita yang tidak mahu disunting dengan cara yang paling mulia, terjaga, diberkati & terhormat.

Oleh itu, catatan ini ditulis dari ruang reluk hati seorang wanita biasa yang mungkin boleh memberi gambaran apakah sebenarnya yang diharapkan oleh seorang wanita (mungkin tidak semua sependapat dengan penulis), ketika kamu telah berhajat untuk menyuntingnya.



Tujuan, perancangan & matlamat Berbaitul Muslim.

Pertama sekali wahai pemuda tiang agama,
Muhasabahlah kembali... apakah tujuan berbaitul muslim ini.? 
Apakah tujuan kita berumah tangga ini? Adakah sudah cukup bersedia mental, fizikal, ilmu & perancangan ke arah BM ini?
Ke mana nak dibawa hubungan yang halal ini? 
Adakah semata hanya untuk kamu halal memegang tangan wanita idamanmu?
Atau hanya sekadar memenuhi tuntutan nafsumu? 

Baitul muslim ini, tujuannya bukanlah semata-mata mahu menghalalkan perhubungan antara lelaki & wanita yang bukan mahram. Namun, ia adalah lebih besar & mulia daripada itu. Ia adalah medan terbaik untuk melahir & mendidik para pelapis pejuang Islam yang hebat...! 

Sekiranya kamu tahu, kamu sedang mencari seorang calon isteri, ibu & pendidik yang bakal mendidik para pejuang Islam yang hebat ini... 
...pastilah kamu akan lebih mengerti betapa pentingnya untuk mencari, memilih calon serta meneliti proses untuk membina dirimu sendiri selaku Imam besar di dalam rumah tangga yang bakal dibina ini.

Sememangnya ia bukan hal yang kecil & sematanya indah penuh mimpi...!

Sebelum kamu berani melirik matamu ke arah muslimat dengan niat mahu mencari-cari calon isteri, apakah kamu telah benar-benar menyiapkan dirimu dengan asas-asas untuk menjadi Imam Besar baitul muslim yang bakal dibina nanti?

Mari mempersiapkan diri.
Jadi soleh & solehah. 

Menurut Ustazah Fatimah Syarha, dalam proses penyediaan diri ke arah BM, sekurang-kurangnya kamu telah menghadiri 5 seminar berkenaan asas-asas pembinaan Baitul Muslim. Juga sekurang-kurangnya kamu telah membaca 50 buah catatan orang soleh & solehah/buku/kitab yang membincangkan tentang BM sebelum bernikah. 

Contoh Seminar Baitul Muslim : catatannya DI SINI ; juga boleh menyertai KULIAH BAITUL MUSLIM secara online secara berkala di sini >> KULIAH BM Bersama Ummu Atifah.

Lengkapkan pengetahuan tentang BM, tujuannya, bagaimana ke arahnya, membinanya, apakah perkara yang diperlukan untuk membinanya. Semuanya perlu diketahui terlebih dahulu dengan jelas & nyata.

Selain itu, pemuda yang berhasrat mahu berkeluarga lebih baik sekiranya mempunyai perancangan masa hadapan yang jelas untuk dirinya sendiri & keluarga yang bakal dipimpinnya.
Nakhoda yang baik untuk mengetuai sesebuah perjalanan bahtera haruslah terlebih dahulu mengetahui arah tujuan, arah perjalanan, strategi & ilmu membaca cuaca & menghadapi badai di lautan yang bakal ditempuhi itu.

Kamu berkenan dengan seorang gadis, & kamu berniat baik mahu menikahinya. Namun, kamu terlupa bahawa kamu & dia adalah manusia yang perlu makan, tidur & berehat.

Kamu terlupa bahawa kamu memerlukan persiapan atau sekurang-kurangnya perancangan untuk menyediakan semua itu untuk kamu berdua sebaik sahaja melangkah ke alam BM yang diidam-idamkan sebelum itu.

Apa perancangan kamu untuk menyediakan kelengkapan bagi bakal isterimu & keluargamu kelak? Baik dari segi nafkah, tempat tinggal dan sebagainya.

Firman Allah SWT;
"Dan kahwinlah orang bujang dalam kalangan kamu, & orang yang soleh daripada hamba-hamba kamu, lelaki & perempuan. Jika mereka miskin, Allah akan memberi kekayaan kepada mereka & limpah kurniaNya, kerana Allah Maha Luas RahmatNya, lagi Maha Mengetahui." [An-Nur 24: 32]

Jaminan rezeki Allah berikan buat mereka yang bernikah kerana mahukan redhaNya. Cumanya, kamu tetap perlu merancang & berusaha.

Bukanlah bermakna kami perlukan banglo, kereta, makanan mewah-mewah. Tidak begitu. Namun, sekurangnya-kurang kesediaan asas-asasnya & persiapan ke arah itu menunjukkan kamu bersungguh-sungguh & telah bersedia untuk memikul tanggungjawab besar sebagai seorang bakal suami.

Maka, tolonglah sekurang-kurangnya telah tergambar the whole big picture di dalam fikiranmu, sebelum, semasa & selepas kehidupan BM itu. 
Peranan, keperluan & strategi yang perlu dilakukan. Bukannya terjebak ke dalam fasa merisik, taaruf (berkenalan) & khitbah (meminang) tanpa usaha, perancangan & strategi kehidupan setelah itu. 

Kegagalan perancangan & gagal membuat gambaran the whole view inilah yang membuatkan usaha untuk ber-BM tadi terbengkalai & membuatkan gadis tadi tawar hati & menjadi ragu-ragu kepada niat murnimu kerana kegagalanmu menunjukkan kesungguhan itu.



Menyunting Mawar Agama Dengan Cara Yang Mulia & Terpelihara.

Keduanya, wahai peminang calon bidadari,

Pilihlah jalan/saluran yang betul untuk menyunting bidadari yang telah dipilih itu mengikut langkah demi langkah yang diajarkan Rasulullah SAW, yang disarankan oleh Islam. 

Terdapat pelbagai cara lelaki meminang wanita pilihannya. 

Ada yang mengikut cara lamaran dari Barat, melutut sambil mempamerkan cincin dengan melafazkan kalam lamaran cinta, melamar melalui video yang dipostkan di youtube, melamar sewaktu valentine's day, melamar di hadapan orang ramai, melamar sewaktu siaran langsung rancangan televisyen.

Ya, pelbagai cara lamaran yang dikatakan & dianggap sebagai manis-manis, indah-indah, eksklusif dan sebagainya. 

Namun, insyaAllah, bagi wanita yang beriman, tiada lamaran yang lebih manis, indah & eksklusif melainkan kamu langsung terus merisik, melamar & menawan hati wali tercintanya.
Niatmu kerana inginkan keredhaan Allah, dibuktikan melalui caramu yang terjaga, menjadikan kamu nampak sebagai pemuda yang berakhlak mulia di matanya. 
Ya, demi Allah, yang demikianlah lebih manis & diberkatiNya.

Hal ini kerana mereka tahu, keberkatan & kebahagiaan kehidupan perkahwinan setelah itu bukanlah bergantung kepada berapa manisnya lamaran yang kamu buat sebelum nikah. Namun, ia bergantung bagaimana ia dilayari setelah itu.

Maka, jangan membuatkan si dia keliru dengan niat baikmu dengan melamarnya melalui SMS terus kepadanya, email panjang berjela, ayat-ayat manis yang mahu 'berkenal-kenalan', 'berkawan-kawan' dahulu tanpa pengetahuan ibu bapanya.
Kamu langsung terus kepada mawar yang sekuntum tanpa meminta dahulu kebenaran tuan empunya taman bunga itu. 
Sesungguhnya, untuk pengetahuanmu, cara ini meragukan, kelihatan tidak ikhlas, tidak budiman, pengecut & kurang beradab sebenarnya.

Lakukan sesuatu supaya wali si dia meyakini agama & akhlakmu. Buktikan bahawa kamu lelaki yang beriman, beradab, & diyakini akhlaknya..!

Jika kamu serius mencintainya, ingin menyuntingnya. Mengapa kamu takut mahu menghubungi ayahnya yang merupakan walinya?
Seharusnya kamu patut lebih takut berhubung terus dengannya & berlagho-lagho dengan SMS, email tanpa keperluan. Kamu hanya berdua dengannya. Ini seperti berkhalwat. & berkhalwat itu pastinya akan ada pihak ke-3; iaitu syaitan yang tidak pernah jemu untuk menyesatkan.

Ditakuti, niat yang murni akan berakhir dengan sesuatu yang menghinakan seperti zina. Nauzubillahi min zaliq.

Mungkin ada yang tidak puas hati,
"Kenapa pula nak memikat hati bapanya? Bukankah aku nak bernikah dengan anaknya?"

Jika kamu lelaki soleh yang bijak, kamu pasti mengerti, hanya dengan memikat hati walinya-lah kamu akan segera mendapat tempat di hati wanita tersebut. InsyaAllah.
Lelaki yang sopan & gentleman begini, siapalah yang tidak mahu untuk menjadi pendampingnya...?

Di sini, sedikit perkongsian yang diambil & diadaptasi dari tulisan Dr Farhan Hadi (Cintaku Kerana Agamamu) tentang langkah-langkah asas untuk meminang bidadari pilihanmu. InsyaAllah, langkah-langkah ini sangat bersopan & praktikal.
 
MERISIK CALON PEMILIK CINTA
1) Merisik agama & akhlaknya melalui ustaz/ustazah/orang tengah yang soleh, solehah & dipercayai.

2) Bertaaruf (berkenalan) di dalam Majlis Taaruf bertemankan ustaz, ustazah, orang tengah ataupun di samping ahli keluarga sendiri. Proses ini juga boleh dilakukan tanpa berjumpa secara langsung, yakni dengan bertukar biodata yang mencerita perihal diri masing-masing tanpa berselindung yang dilakukan dengan bantuan orang tengah juga.

3) Berkenalan dengan bakal ayah & ibu mertua. Mengambil berat tentang kesihatan mereka. Bina tautan hati & ukhuwah melalui panggilan telefon.

4) Memujuk ibubapa untuk berukhuwah dengan keluarga bakal isteri melalui telefon. Digalakkan bapa berhubung dengan bapa wanita kerana suara bapa lebih mendominasi.

5) Membawa keluarga menziarahi keluarga pihak bakal isteri. Risikan dapat diteruskan dengan lebih sempurna apabila bersemuka. 

6) Bertunang. Menjaga adab-adabnya. Tidak mencuri fokus bakal isteri dengan mesej kosong atau panggilan telefon tanpa urusan. Berhubung hanya untuk keperluan.
7) Bernikah dengan kemenangan tanpa melakukan apa-apa yang menghampiri zina dalam tempoh merisik & bertunang. Indahnya!

Kurangkan berhubung dengan calon isterimu. Muliakanlah mereka selaku seseorang yang bakal menyempurnakan agamamu. Jangan kamu calarkan ke-solehah-an mereka sebelum tiba waktunya.

Selagi belum diijabkabulkan, mohon jaga diri, iman, hati, akhlak si dia & juga dirimu sendiri. Mari tetap menjaga ikhtilat & mantapkan pergantungan & doa kepada Ilahi.
Bantu si dia untuk menjadi hambaNya yang solehah. InsyaAllah, si dia juga akan akan berusaha untuk tidak menjadi fitnah buatmu.



Tetapkan Pilihan, Siapa Bakal Penghuni Hatimu?

Ketiganya, wahai pemuda calon penghuni syurga,

Istikharahlah kamu sebelum menetapkan pilihan hatimu untuk bertaaruf.

"Sesungguhnya, tidak akan menyesal seseorang yang beristikharah kepada Allah & beristisyaroh kepada makhlukNya." 

Adalah menghairankan & mengelirukan apabila seorang lelaki yang mengambil keputusan untuk bertaaruf, berkenal-kenalan, berkawan-kawan dengan ramai calon lain di samping wanita ini tadi. 
Kamu mungkin menyangka perbuatan ini adalah baik. Yelah, memilih yang terbaik di kalangan yang baik-baik. Namun, kamu mungkin terlepas pandang, apa perasaan wanita-wanita yang telah kamu taaruf.

Mereka bukannya peti ais di kedai barangan eletrik yang kamu boleh buka tutup pintu, sentuh itu, periksa ini. Kemudian, tidak berkenan, kamu pilih yang lain pula.

Jika kamu memang berhajat untuk memilih di antara ramai calon. Apakata kamu merisik melalui orang tengah dahulu tentang agama, akhlak & peribadi mereka serta elakkan dari bertaaruf terus dengan wanita itu bagi mengelakkan salah faham. Haruslah kamu sedar bahawa wanita ini fitrahnya hatinya mudah tersentuh.

Oleh itu, jangan lupa untuk beristikharah & tetapkanlah yang mana satu pilihan hatimu. Jangan berlama-lama dengan 'permainan' yang sebegini.

Hati wanita bukanlah untuk dipermainkan. Sekiranya kamu mengambil keputusan untuk bertaaruf dengannya, pastilah seorang wanita senang tersalah sangka bahawa kamu sudah serius untuk ke fasa seterusnya.
 
Janganlah kamu berani menyentuhi sekeping hati wanita jika kamu tidak berniat untuk menjaga apa yang telah kamu sentuhi itu. Janganlah kamu berani mencuri hati wanita, jika kamu tidak berniat pun untuk menjaga apa yang telah kamu curi itu. Ini adalah peringatan & juga amaran.

Taaruf ertinya berkenalan. Bukannya mengajak bercinta. Jika tersilap langkah memahami makna 'taaruf' ini, kamu & dia boleh terjebak ke lembah menghampiri zina pula. SMS, phone call, email, FB inbox, chat & sebagainya tanpa batasan & bukannya atas dasar keperluan, apa bezanya tabiat ini dengan kelaziman pasangan yang bercinta di luar nikah (couple)?

Maka, hati-hatilah.

Pesanan Imam Hassan al-Banna;
"Walaupun seorang lelaki atau wanita mendampingi pasangannya 20 tahun sekalipun tetap dia tidak akan mengenalinya. Ini kerana ia akan cuba menyembunyikan keaibannya (zahir & batin). Setelah berkahwin, barulah keaiban itu akan terserlah." [Hadis al-Sulasa']

Jika kamu & si dia boleh bermujahadah mengawal ikhtilat semasa masih bujang. Mengapa tidak dilangsungkan mujahadah itu di dalam tempoh taaruf & bertunang ini? InsyaAllah, pastinya boleh.




Bait al-muslim (keluarga Islam) impian. 

"Jika niat kita mahu bernikah kerana Allah, Allah akan Membantu kita dalam menyempurnakan hasrat tersebut." [Ustaz Pahrol Mohd Juoi]

Kita sedang merencanakan untuk membina sebuah rumah. Yakni rumah tangga Islam. Maka, bahan binaannya haruslah daripada keimanan, kejujuran, kesungguhan & tawakal kepada Allah. Tiangnya dibuat daripada doa (istikharah) & usaha (istisyarah).

Terdapat cara yang baik, cara yang kurang baik, cara yang terjaga, cara yang kurang terjaga. Maka, usahakanlah untuk menggunakan cara yang terbaik & paling terjaga.

Firman Allah SWT;
"Dan di antara tanda-tanda (kebesaranNya) ialah Dia Menciptakan pasangan-pasangan untukmu daripada jenismu sendiri, agar kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan Dia Menjadikan di antaramu rasa kasih & sayang. Sungguh, pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda (kebesaran Allah) bagi kaum yang berfikir." [surah Ar-Rum (30): ayat 21] 
  


"Marriage is not about LOVE. It's all about making UMMAH." 




Monolog & Permintaan Kecilku Sebagai Seorang Wanita.

Aku sedar, pernikahan bukanlah semata-mata khayalan indah yang ditaburi mawar merah bahkan ia penuh dengan mehnah & onak duri.

Pernikahan bukan hanya setakat untuk menghalalkan hubungan wanita & lelaki yang bukan mahram, bahkan ia adalah medan terbaik untuk melahirkan mujahid & mujahidah Islam. Bukan hanya untuk menerima & menerima, bahkan untuk memberi. 

InsyaAllah, untuk suami yang taat kepada Ilahi, yang aku redha agamanya, akhlaknya, kesetiaan & kejujurannya serta high-class dalam menjaga maruah dirinya (ikhtilat-pergaulan dengan bukan mahram), aku akan usahakan untuk ikhlas menemani di waktu senang mahupun susah, lapang mahupun sempit selagi mana keimananmu terus teguh buat Robbul 'Izzati. 
InsyaAllah, semua ini bukan untuk diri ini mahupun demimu, melainkan matlamatnya hanyalah kerana Allah SWT.

InsyaAllah, baitul muslim ini bukan hanya di dunia, bahkan ingin bercinta sampai ke syurga. Mudah2an Allah memanjangkan jodohku dengan pasangan yang soleh, yang meminangku, menjadi sahabatku bukan hanya di dunia bahkan juga di syurgaNya kelak. InsyaAllah.

Oleh itu, sesungguhnya, risiklah aku, taaruflah denganku, pinanglah aku & nikahilah aku dengan cara yang terbaik. Cara yang terjaga & diberkati. Cara yang menghormati & memuliakanNya. 
Kerana sesungguhnya peribadi & akhlakmu kelak, ditentukan oleh akhlak & keperibadianku kini, maka, bantulah aku menjadi hambaNya yang solehah. Untuk aku menjadi bidadari di dunia & di syurgaNya nanti. Amiin.

Bantulah aku menjadi solehah, semata-mata untuk meraih redhaNya..

Allahu'alam. 


-----------------------------------------------------------------

p/s: Catatan ini adalah catatan & pandangan peribadi daripada hati penulis. Mungkin tidak semua pembaca sependapat dengan penulis, oleh itu, berlapang dada & raikanlah pandangan hambaNya dhoif ini. InsyaAllah, saya berlapang dada kepada mana-mana pihak yang tidak bersetuju dengan catatan ini.  :)

Ambillah mana yang baik, tegurlah & maafkanlah mana yang salah serta berlepas dirilah daripada mana2 yang tidak bersesuaian. InsyaAllah, sesungguhnya yang sempurna & benar itu hanyalah daripada Allah, & pandangan yang selalu tersilap & salah itu datangnya dari hambaNya yang hina ini..

KLIK 'LIKE' UNTUK SHARE.

Jazakumullah khaira kaseero di atas kunjungan. 



NOTAKAKI: 

BERUSAHA MENJADI SOLEHAH KERANA ALLAH. BUKAN UNTUK MENGEJAR JODOH YANG SOLEH. BACA DI [SINI]




Tuesday, September 8, 2009

TERIMA KASIH SEMUA... :)


Salam warahmatullah...

Hari ini.... bermula seperti biasa. Namun, jiwaku kini lebih tenang. Rasa sakit hati, kecewa, marah... semuanya cuba ku buang jauh-jauh... Sudah tiba masanya untukku bangkit dari mimpi sedihku itu...

3 hari menyepi dari meng'update' blog yang selama ini bagaikan teman rapat diriku... Aku lebih banyak menyendiri dan...

bermuhasabah tentang kekhilafan diri..

Hasil muhasabah itu... aku temui sesuatu... seharusnya selepas ini, aku bergantung sepenuhnya kepada Allah.. Kerana Allah sahaja yang ada di sisiku. Tidak kira waktu senang, susah, gembira atau sedih.. Allah selalu sahaja ada tiap kali aku memerlukan teman berbicara.

Saat aku sedih... aku mencari sahabat y sudi mendengar masalahku. Ada. Tetapi... baru sahaja aku mahu menaip mukadimah...

'... kau okey ke ni?'
'........'
'Ada masalah ke? cakapla. Mana tau aku boleh tolong ang...'
'Aku tengah sedih...'

Diam. satu. dua. tiga saat. Tiba2...

BUZZ!

'.... sori.. kita chat lain kali. aku nak kua makan jap. lapa la. penat baru balik keje...'

Hm... Silap aku. Buat apa mengadu pada manusia? Apa yang manusia boleh tolong? Mengadulah pada Allah.. Dia satu-satunya penolong... Hish.. aku mengutuk diri sendiri. Kesal tentang silapku kali ini..




Saat ini... baru aku sedar betapa pentingnya sahabat yang kukuh pegangan agamanya. Kerana setiap jawapan dan nasihat y diberikan akan tetap kembali padaNya...

Aku senyum setiap kali membaca komen2 y diberikan oleh sahabat2 di kotak 'gmail'ku. Sesekali aku menyeka air mata tatkala membaca firman2 Allah yang turut diselitkan dalam nasihat mereka.

Semua tafsir surah itu aku tahu... tapi aku jadi lupa hanya kerana kecewa.. Hm... haish... apalah kan...

Apapun, sebenarnya, tujuanku publish post ini adalah untuk mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada sahabat2 yang sudi memberikan nasihat. Walau sebaris ayat... aku tetap menghargainya..

Terima kasih ummi, bazliah rodzi, yana, emrullah, salju dan kembara salju.. terima kasih ana ucapkan... semoga Allah membalasnya berlipat kali ganda..

InsyaAllah...

Kepada Ummi... ana juga sayang anti... :)

Serta tidak lupa kepada Bazliah Rodzi, nasihat anti memang dapat mengubat sedikit kelukaan di hati ana... :)

Terima kasih ya semua... Ana sudah ok sekarang...

Mendung2 pun telah berarak pergi...

Firman Allah;

"Barangsiapa yang bertakwa kepada Allah,
nescaya Dia akan membukakan jalan keluar baginya.
Dan Dia memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya.
Dan barangsiapa yang bertawakal kepada Allah,
nescaya Allah akan mencukupkan keperluannya."
(Surah At-Thalaq: 2-3)


............................................ syukur Alhamdulillah.. :)