Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)
TINTA PENULIS.
Dengan Nama Allah,
Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Saturday, January 28, 2012
Cara Menguruskan 'Rasa Rindu' Pada....
Bismillahirrohmanirrohim...
Dengan NamaMu Allah Tuhanku Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
InsyaAllah, entri kali ini menyentuh tentang bila kita rindu pada orang yang tidak patut dirindui... bagaimana cara mahu menguruskannya?
Jawapan ini dipetik daripada Blog Ustazah Fatimah Syarha.
Contoh situasi:
(Perbualan di antara Humaira & Hajar)
Humaira: “Awak padan betul dengan lelaki tu. Diapun macam sukakan awak,”
Hajar: “Astagfirullah!Bantulah saya jaga hati. Boleh kita cakap soal studi?”
“Kenapa bila saya sebut namanya, awak istighfar? Awak mesti anggap ini zina hati. Awak mesti anggap ini berdosa. Awak mendosakan diri dengan apa yang bukan dosa?”
“Saya yang anggap atau awak yang anggap? Sering kali kita dianggap dengan apa yang tidak kita maksudkan.”
“Tapi, betul tak awak anggap ia zina hati?”
“Hati kita perlu dijaga bukan sahaja daripada zina hati bahkan daripada perkara yang menghampirinya.”
“Hatipun ada dosa?”
“Jika awak tanya dari sudut feqah, feqah tidak cover soal hati. Feqah soal amalan zahir yang nampak sahaja. Tapi jika awak tanya dari sudut akhlak, tasauf dan tauhid, ia sangat erat dengan soal hati.”
“Hah? Patutlah ada orang titik beratkan soal amalan luaran sahaja, bukan soal hati.”
“Perlaksanaan hukum feqah yang ideal sepatutnya tidak terpisah daripada tasauf dan tauhid. Mengambil kira akidah, akhlak dan syariah.”
“Apa dosa hati?”
“Banyak penyakit seperti ghaflah (lalai), ujub, riyak, takbur dan lain-lain yang senang singgah pada hati. Hati kita ibarat raja[1]. Jika baik raja, baiklah rakyatnya berupa tangan, kaki, telinga dan mata. Para sahabat seperti Hanzalah[2] sensitif menjaga hati hingga menganggap diri munafik walhal tidak. Kita pula bagaimana?”
“Awak tu, sikit-sikit istighfar.”
“Istighfar saya terlalu sedikit jika nak dibandingkan dengan istighfar Rasulullah[3]. Padahal, baginda ma’sum dan saya tidak ma’sum.”
"Istighfar istighfar ni, macam haram dan berdosa je benda tu,"
"Istighfar bukan saja untuk menghapus dosa. Ia zikrullah. Tanda tunduknya hati, jiwa dan fikiran kepada Allah.Bersabda Nabi Shallallahu ‘alaihi wassalam: “Alangkah beruntungnya sesiapa yang mendapati di dalam lembarannya (amalannya), bahawa amal istighfar (nya) begitu banyak.” (Hadis riwayat Ibnu Majah). Banyak lagi fadilat istighfar dalam al-Quran dan hadis."
“Bila saya gurau-gurau gosip awak, saya sudah lalaikan awak? Apa hukumnya?”
“Ini bukan soal hukum feqah. Ini soal menjaga hubungan kita dengan Allah. Kena banyak cakap hal berfaedah. Kena sebut-sebut tentang Allah. Kena lazimi zikir dan fikir.”
“Bila saya sebut pasal dia, awak jadi teringat-ingat? Jika teringat itupun sudah termasuk zina hati?”
“Saya tidak cakap soal situasi mana termasuk dalam bab zina hati dan situasi mana yang tidak. Itu tidak membina amal. Saya cakap soal bagaimana kita nak uruskan hati apabila diuji fitrah rindu kepada bukan mahram.”
“Menguruskan fitrah?”
“Ya, fitrah itu sekelip mata boleh bertukar menjadi fitnah. Fitrah rindu boleh bertukar menjadi fitnah sobwah[4] (rindu yang cenderung kepada kebodohan). Sebab itu rindu itu elok diuruskan dengan zikrullah”
“Kalau betulpun hati awak sedang terfitnah, alah dosa kecil sahaja.”
“Ia bukan soal dosa kecil atau dosa besar. Ia soal dengan siapa kita berdosa,”
“Apa bezanya?”
“Dari sudut impak, apa terjadi jika kita tarik rambut adik kita dengan anggap ia cuma dosa kecil?” saya membuat analogi.
“Biasa sahaja. Dia nangis. Ibupun marah kita,”
“Apa pula yang terjadi jika kita tarik rambut sultan dengan anggap ia dosa kecil?”
“Sultan mesti murka. Kita kena gantung universiti. Ditarik biasiswa. Dituduh tidak beradab dan banyak lagi,”.
“Jangan main-main dengan dosa kecil,”
“Apa nak risau? Dosa kecilkan terhapus dengan wudhuk,” katanya.
“Rasulullah SAW tidak mengajar kita meremehkan dosa kecil. Sikit-sikit lama-lama jadi bukit. Baginda yang ma’sum banyak beristighfar. Lagipun, adakah wudhuk kita cukup diterima di sisi Allah? Solat kitapun, jika tidak lengkap rukun fi’li, qauli dan qalbi (perbuatan, kata-kata dan hati) belum tentu menghalang daripada perbuatan keji dan mungkar.”
"Hmm, rukun qalbi sering kita lupakan sedangkan amalan sebesar gunung boleh menjadi debu-debu berterbangan tanpa lurusnya hati."
“Jadi, persoalannya sekarang, bukan membesar-besarkan mana bab zina hati dan mana bukan. Tetapi, bertanya diri, bagaimana menjadikan rindu yang fitrah ini kekal sihat? Dengan terus melayan ingatan? Atau menyegarkan hati dengan zikrullah? Salahkah saya melazimi istighfar?” saya lontarkan lagi persoalan.
“Dalam bab couple, awak selalu berpesan supaya jaga hati. Bukankah ia fitrah. Besar sangatkah bab hati ini?”
“Ya, sudah tentu. Sebesar membaikkan seorang raja agar rakyatnya menjadi baik. Hati tempat jatuhnya pandangan Allah[5] Fitrah boleh jadi fitnah..”
“Rasululullah SAW dulu sibuk bab politik dan negara, bukan bab remeh-temeh soal hati ini.”
“Islam itu syumul, merangkumi semua. Rasulullah SAW dulu berjaya mengubah masyarakat jahiliah kerana berjaya mengubah hati. Rasulullah SAW tidak terus mengubah ‘akibat penyakit’ seperti kegawatan ekonomi yang dimonopoli Yahudi, perang saudara, minum arak, bunuh anak perempuan dan sebagainya. Tapi baginda bermula dengan ‘punca penyakit’ iaitu masalah hati. 13 tahun baginda fokus membina hubungan hati manusia dengan Allah. Menekankan akidah.“
“Kalau begitu, masalah couple yang banyak berlaku sebenarnya suatu ‘akibat penyakit’? Ia berpunca daripada ‘punca penyakit’ iaitu masalah hati?”
“Jika awak memahami begitu, barulah awak akan memahami kenapa saya selalu berpesan jagalah hati. Bukan terus-terusan menganggap saya asyik menghukum diri dengan zina hati. Firman Allah yang bermaksud: “(Hari kiamat ialah) hari yang mana tidak berguna harta dan sekalian anak pinak kecuali orang yang membawa hati yang sejahtera. (Surah al-Syu’ara 26: 88-89)”
"Saya takut awak memayah-mayahkan Islam. Tidak ambil yang pertengahan."
"Awak berniat baik. Marilah kita saling membela mana yang benar dan saling melengkap mana yang kurang. Bukan saling menjatuhkan. Saya yakin awak tidak begitu. Awak pernah belek apa kata ketua ulama sedunia, global mufti berkenaan hukum bercinta sebelum menikah? Beliau terkenal mempromosikan fikrah pertengahan kepada dunia. Apa yang kita anggap memayah-mayahkan kadang kala itulah fikrah sebenar fikrah pertengahan."
FOOTNOTE:
Temui Apa kata Prof. syeikh Dr. Yusuf al-Qaradhawi tentang Bercinta Sebelum Menikah dalam SOLUSI terbaru, belum ada di pasaran.
[1] Sabda Rasulullah SAW, “Di dalam diri manusia ada seketul daging, jika baik daging itu maka baiklah manusia tersebut. Sebaliknya, jika jahat daging itu, maka jahat pulalah orang tersebut. Daging itu ialah jantung (hati).” (HR Bukhari dan Muslim).
[2] Muslim, Sahih Muslim. Bab Kelebihan Melazimi Zikir dan Fikir dalam urusan Akhirat.
(3) Maksudnya: “Sesungguhnya tertutup hatiku, dan sesungguhnya aku memohon ampun kepada Allah setiap hari sebanyak seratus kali.” (Hadis riwayat Muslim)
[4] “Allah merasa kagum kepada pemuda yang tiada padanya (sobwah), rindu yang cenderung kepada kebodohan.” (HR Ahmad).
[5] “Sesungguhnya Allah tidak melihat kepada rupa paras kamu dan harta kamu tetapi melihat kepada hati-hati kamu dan amalan-amalan kamu.” (HR Muslim).
Semoga bermanfaat.
Allahu 'alam..
Labels:
catatan hati,
cinta,
muhasabah diri,
tazkirah,
tips
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."