Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Monday, March 21, 2011

Allah Itu Dekat. Tersangat Dekat.



Bismillahirrohmanirrohim.. 

Alhamdulillah.. terasa lama tidak mencoretkan entri 'label-coretan hati' di ruangan kesayangan ini. Sesungguhnya hanya Allah sahaja yang tahu betapa rindunya aku untuk mencoretkan sesuatu di sini. :') Namun, ada hikmahnya mengapa Allah membiarkan semua itu seakan berkubur di dalam hati.


Pernah dengar quotation ini?


Sometimes, Allah breaks our spirit to save our soul, our heart to make us whole, sends us pain so we can be stronger, failure so we can be humble, illness so we can take better care of ourselves and takes something away from us so we can learn the value of all we have.

Kata-kata hikmah ini memang ada benarnya.

Kala kita rasa kita dihimpit masalah besar, terasa hilang daya upaya, tak tahu nak buat apa. Ketika itulah Allah mahu menguji kita. Sejauh mana kuatnya pergantungan kita padaNya.


"Ya Allah... macam mana ni.. habis la aku.. habislah aku kali ni ya Allah.." sambil ada air mata yang mula menitis ke pipi. 

Lost.

Diri terasa lemah tiada daya sewaktu dikhabarkan perancangan yang dirancang sekian lama sehabis baik telah mengalami masalah. Kesinambungannya memberi masalah yang lebih besar kepada seluruh program.

Hancur semua kepercayaan yang disandarkan kepada diri. Runtuh sudah kredibiliti diri. Oh... habislah. Habislah. Dunia dah gelap. Itu sangka kita.

Walhal, sehingga pengakirannya, pasti ada jalan keluar yang Allah sediakan buat kita. Tidak terjadi pun apa yang kita luahkan itu. Bahkan, pengakhiran yang Allah sediakan itu sangat jauh lebih baik daripada perancangan asal kita. Allahu akbar. Sesungguhnya Dia lebih Mengetahui.

Ya.. menjebakkan diri dalam kancah persatuan, dalam kancah masyarakat kampus, sahabat dan sahabiah tercinta, 'waktu-waktu kritikal' beginilah dapat kita kenal siapa sebenarnya yang benar-benar layak dinamakan sahabat. Waktu itulah Allah bukakan hijab kita semua yang sebenar-benarnya.

Bila mana yang kita sangka tidak baik itulah rupanya sahabat sebenar. Bahkan figura hebat yang kita sangkakan benar sahabat yang baik itulah yang paling banyak menikam belakang kita. Astaghfirullah hal adzhim.. Peritnya kenyataan yang mahu ditelan.


Tetapi... Allah itu lebih Mengetahui.. DIa Tahu, hanya dengan cara yang demikian, barulah dapat membuka mata, hati & minda kita betapa sahabat yang sebenar, satu-satunya yang paling boleh dipercayai hanyalah Allah semata-mata.. 

Hebatnya Allah. Hebatnya perancangan Allah. Hingga aku terduduk dalam kepiluan. Makin banyak pula air mata yang menangisi betapa selama ini diri ini telah banyak tertipu dengan helah tipuan duniawi. Astaghfirullah hal adzhim..


Sebelum ini, aku percaya, jika kita ikhlas, pasti orang juga akan ikhlas terhadap kita. 

Namun, nampaknya bukan begitu kenyataannya. Hal ikhlas ini adalah rahsia Allah. Jangan kita sesekali mengharapkan balasan yang baik daripada apa yang kita lakukan. Dengan itu, hati kita akan kecewa, hati kita akan terguris, apabila kebaikan kita dibalas dengan pengkhianatan.

Ya Allah.. mungkin itulah yang Allah rasa  bila mana diri ini selalu benar mengkhianatiNya.. ya Allah... :'(

Sandarkanlah, kesederhanaan dalam kehidupan duniamu, dengan itu kita akan menerima semua kekurangan yang ada dengan hati yang lebih terbuka. Jika kita fikir-fikirkan pun.. apalah sangat, banyak manalah sangat yang hendak diharapkan daripada dunia yang fana ini..

Pengalaman, insyaAllah akan mengajar kita lebih banyak tentang kehidupan. Percayalah & berpegang teguhlah kepada Allah. InsyaAllah kita akan dapat melalui saat-saat sukar dengan lebih tenang.. 

Hati kita, hanya Allah dan kita sahaja yang tahu. Itu rahsia kita dengan Allah. :') Biarkan apa yang manusia mahu katakan tentang kita. Biar buruk persepsi manusia pada kita, yang penting, Allah tak kita lepaskan. 

Yakinlah, tidak ada apa-apa faedahnya kita asyik fikir mahu memuaskan hati manusia. Oh, itu takkan berlaku. Manusia takkan pernah puas. Segala kebaikan kita yang bergunung akan lesap sekelip mata hanya dengan satu kelemahan & kesilapan kita. Itulah dinamakan manusia.

Ada baiknya, fikirkan.. bagaimana mahu memuaskan hati Allah. Asalkan apa yang kita lakukan itu benar di mataNya, insyaAllah persiakan & pedulikan saja apa yang dikatakan oleh manusia atau semua persepsi orang terhadap kita.

Sedar atau tidak... kerana asyik fikirkan persepsi manusia pada kita itulah yang membuatkan hati kita selalu rasa tidak tenang. Sebaliknya, jika kita buat kerja kerana Allah, insyaAllah kita akan rasa lebih lega..

Allah bagi masalah, supaya kita belajar. Allah bagi ujian supaya kita lebih kuat. Maka, jangan mengeluh & berasa lemah. Kita adalah insan terpilih yang dipilih olehNya untuk menggalas tarbiyyah itu. :') maka, bersyukurlah...

Lihat sekeliling kita.. betapa banyak manusia yang Allah tak peduli. Mereka tenggelam dengan keduniaan. Mereka berpesta & bergembira tentang hal yang hanya sementara. Mereka lemas dengan cinta yang fana. Mereka tertipu. Mereka tertipu dengan kebusukan dunia ini..

Sebaliknya kita... dalam kehidupan yang kita lalui ini, kita pula asyik merungut bila Allah menguji, sedangkan itu maknanya Allah itu sangat dekat dengan kita. Allah mahu mengingatkan kita tentang hakikat kehidupan yang sebenarnya bukan hanya indah semata-mata. 


Dari surah ke-29, ayat ke-2; Allah berfirman;

أَحَسِبَ النَّاسُ أَنْ يُتْرَكُوا أَنْ يَقُولُوا آمَنَّا وَهُمْ لا يُفْتَنُونَ (٢

Maksudnya: "Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan hanya dengan mengatakan, "Kami telah beriman," dan mereka tidak diuji?" [al-Ankabut: 2]

Dia sentiasa dekat. Dia sentiasa ada untuk kita.

Kebaikan yang kita usahakan ini adalah untuk kita. Jihad ini adalah untuk kita. Memang benar, hanya rahmat Allah yang menentukan samada tempat akhir kita di syurga ataupun neraka. Namun, berusahalah untuk memasuki syurga Allah! 


وَمَنْ جَاهَدَ فَإِنَّمَا يُجَاهِدُ لِنَفْسِهِ إِنَّ اللَّهَ لَغَنِيٌّ عَنِ الْعَالَمِينَ (٦

Maksudnya;
"Dan barangsiapa yang berjihad, maka sesungguhnya jihadnya itu adalah untuk dirinya sendiri. Sungguh Allah Maha Kaya (tidak memerlukan sesuatu pun) daripada seluruh alam" [al-Ankabut: 6]


Pandanglah dunia ini dengan pandangan akhirat.. dengan itu janganlah kita sesekali terpedaya. Teruskanlah perjuangan. teruskanlah langkah kaki menuju redhaNya.

Allah berfirman: 

مَنْ كَانَ يَرْجُو لِقَاءَ اللَّهِ فَإِنَّ أَجَلَ اللَّهِ لآتٍ وَهُوَ السَّمِيعُ الْعَلِيمُ (٥
 
"Barangsiapa yang mengharapkan pertemuan dengan Allah, maka sesungguhnya waktu (yang Dijanjikan) Allah pasti akan datang. Dan Dialah Yang Maha Mendengar, Maha Mengetahui." [al-Ankabut : 5]


Pertemuan dengan Allah di hujung perjalanan ini, itulah sebaik-baik pengharapan. :')


Allahu'alam..


p/s: Alhamdulillah.. sangat bersyukur kerana terpilih untuk menjadi diri ini. :)


Friday, March 18, 2011

LARIAN KASIH SITI HAJAR.




LARIAN KASIH HAJAR R.A

Kisah perjalanan Hajar, isteri Nabi Ibrahim a.s sewaktu ditinggalkan suaminya bersendirian bersama anaknya, Ismail di tengah-tengah padang pasir yang kering kontang bukan sahaja terkandung di dalam kitab suci Al-Quran tetapi turut disebut dalam kitab Taurat yang diturunkan kepada Nabi Musa a.s.

Isteri pertama Nabi Ibrahim a.s, Sarah telah meminta Nabi Ibrahim a.s membawa Hajar dan Ismail pergi jauh daripada pandangannya demi mengelakkan dia terus berasa cemburu kepada Hajar kerana beliau merasakan dirinya sudah tua dan tidak mampu memberikan zuriat kepada Nabi Ibrahim a.s.

Dengan petunjuk Allah SWT, Nabi Ibrahim a.s pun membawa Hajar dan anaknya ke satu kawasan padang pasir yang jauh daripada Mesir. Setelah jauh berjalan, akhirnya Nabi Ibrahim a.s meninggalkan Hajar dan anaknya, Ismail di bawah sebatang pohon di tengah sebuah lembah padang pasir yang kering kontang dan tidak berpenghuni. Lembah ini kemudiannya dikenali sebagai Mekah.

Ketika Nabi Ibrahim a.s hampir tiba di hujung lembah, Hajar telah bertanya dengan lantang jika perbuatannya itu adalah perintah daripada Allah swt. Nabi Ibrahim a.s menjawab; “Ya, benar.” 

Setelah mendengar jawapan itu barulah Hajar merasa tenang lalu dia berkata; “Kalau begitu kehendakNya, sudah tentu Allah swt tidak akan mensia-siakan kami. Aku redha.” 

Kemudian, Nabi Ibrahim pun berdoa seperti yang ditulis di dalam Al-Quran surah Ibrahim ayat 37 hingga 38 yang membawa makna;

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya aku telah menempatkan sebahagian dari zuriat keturunanku di sebuah lembah (Tanah Suci Makkah) yang tidak tanaman padanya, di sisi rumahMu yang diharamkan mencerobohinya. Wahai Tuhan kami, (mereka ditempatkan di situ) supaya mereka mendirikan sembahyang (dan memakmurkannya dengan ibadat). Oleh itu, jadikanlah hati sebahagian dari manusia tertarik gemar kepada mereka, (supaya datang beramai-ramai ke situ), dan kurniakanlah rezeki kepada mereka dari berbagai jenis buah-buahan dan hasil tanaman, semoga mereka bersyukur.

"Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau mengetahui akan apa yang kami sembunyikan dan apa yang kami zahirkan; dan tiada sesuatupun di langit dan di bumi, yang tersembunyi kepada Allah!"

Selesai berdoa, Nabi Ibrahim a.s pun meneruskan perjalanannya. 

Alhamdulillah, lama-kelamaan Hajar semakin terbiasa dengan keadaan lembah tersebut. Namun, suatu hari, bekalannya telah kehabisan. Anaknya, Ismail pula menangis tidak berhenti-henti kerana kehausan. Lalu, Hajar pun bangun dan mula berlari-lari anak menuju ke Bukit Safa dengan harapan akan bertemu dengan sedikit makanan. Namun, dia hampa. Kemudian, dia beralih pula ke Bukit Marwah dengan harapan yang sama. Namun, sekali lagi dia hampa.

Hajar mengulangi perbuatannya itu sebanyak 7 kali sehingga akhirnya dia tersungkur keletihan dalam keadaan amat lapar dan dahaga. Dia kemudiannya menangis menghampiri Ismail yang juga masih menangis. Ketika inilah Ismail yang sedang menangis itu menghentak-hentakkan kakinya, lalu, kemudiannya muncullah air mata air di bawah hentakan kaki Ismail itu. Hajar berasa sangat gembira dan bersyukur kepada Allah swt.

Tidak lama selepas itu, muncul sekawan burung berterbangan di situ. Dalam masa yang sama dengan takdir Allah sekumpulan kaum Badwi dari suku Jurhum yang sedang dalam perjalanan ke Syam telah melalui kawasan itu. Setibanya di situ, mereka terlihat Hajar dan anaknya lalu, mereka meminta izin untuk tinggal bersama-sama di situ. Hajar telah bersetuju. Suku Jurhum itu kemudiannya mengajak kaumnya berpindah ke situ. Ismail kemudiannya membesar dan berkahwin dengan salah seorang puteri mereka.

Peristiwa larian Hajar dari Bukit Safa ke Bukit Marwah ini telah dijadikan Allah sebagai rukun yang harus dikerjakan oleh semua umat Islam ketika menunaikan haji dan umrah. Hal ini demi mengenangkan kembali pengorbanan Hajar terhadap anaknya, Ismail serta untuk dijadikan iktibar oleh semua umat Islam.

Allahu 'alam..

Thursday, March 3, 2011

SEHARUM PUSARA MASYITAH.



Salam alaik semua..
Masih ingat kisah Masyitah? Salah seorang serikandi Islam yang dijanjikan syurga oleh Allah kerana tekadnya beliau memegang tauhid Allah hingga ke hujung nafasnya. InsyaAllah, mari kita susuri kisah tokoh Islam yang sangat berani ini, lalu mengambil kekuatan daripada beliau, betapa kukuh pegangannya memegang tali Allah.

SEHARUM PUSARA MASYITAH

Di antara mereka yang beriman dengan dakwah dan seruan Nabi Musa a.s ialah keluarga Masyitah dan suaminya Hazaqil. Hazaqil ialah seorang yang amat dipercayai oleh Fir’aun, manakala Masyitah pula adalah penyisir rambut anak Fir’aun. Mereka amat taat dan beriman kepada Allah SWT namun, mereka berjaya merahsiakan perkara itu daripada pengetahuan Fir’aun.

Disebabkan Hazaqil menentang Fir’aun kerana menjatuhkan hukuman mati kepada seorang ahli sihir yang menyatakan keimanannya terhadap Allah, maka beliau turut dijatuhkan hukuman mati. Hazaqil menemui ajalnya dengan tangan terikat pada pohon kurma dan tubuhnya penuh dengan ditembusi anak panah. Isterinya, Masyitah sangat bersedih atas kematian suaminya itu.

Pada suatu hari, sewaktu Masyitah sedang menyisir rambut puteri Fir’aun, tanpa sengaja sisir tersebut terjatuh ke lantai, lalu Masyitah pun berkata tanpa disangka-sangka:  

“Dengan nama Allah, binasalah Fir’aun.”

Disebabkan marah, anak Fir’aun telah mengadukan perkara tersebut kepada ayahnya. Lalu, Masyitah pun dipanggil oleh Fir’aun untuk disoal siasat.

Ketika disoal samada benar atau tidak dia menghina Fir’aun, Masyitah mengiyakan tanpa rasa takut atau gentar. Lalu, Fir’aun menjadi murka. Dua pilihan diberi kepada Masyitah, samada dia mengatakan Fir’aun adalah Tuhan yang patut disembah atau jika dia ingkar, dia dan anak-anaknya akan dimasukkan ke dalam ke dalam kuali yang sedang mendidih minyaknya.

Masyitah tetap dengan keimanannya. Namun, dia merasa sedikit ragu apabila melihat wajah kedua anaknya. Namun, dengan kekuasaan Allah SWT, anak yang masih menyusu itu berkata; 

“Jangan bimbang wahai ibuku. Ini kerana kita semua akan memperolehi ganjaran yang hebat daripada Allah SWT. Pintu syurgaNya akan terbuka luas menunggu kedatangan kita.”

Lantas, tanpa sedikit pun rasa takut, Masyitah terus terjun ke dalam kuali berisikan minyak panas yang sedang menggelegak itu bersama kedua anaknya. Tiada sebarang tangisan ataupun jeritan yang kedengaran. Malahan keajaiban telah terjadi dengan kehendak Allah. Minyak yang sedang menggelegak itu tiba-tiba mengeluarkan haruman yang semerbak.

Demikianlah kisah Masyitah. InsyaAllah, semoga kita semua akan dapat mengambil hikmah dan mengikuti jejak langkahnya, meninggal di dalam keadaan yang teguh menggenggam Kalimah Tauhid yang agung.

--------------------------------------------

Letakkanlah diri kita sekarang di dalam situasi yang dialami oleh Masyitah. Adakah kita akan tetap memegang Tauhid Allah, atau sanggup kita melepaskan Islam & Allah kerana takut dengan minyak yang mendidih & menggelegak itu?

Sesungguhnya, tetaplah berpegang teguh kepada Allah. Berpeganglah pada hukum Allah, dari Dia kita datang, maka, kepada Dia jugalah kita kembali..

Bila mana hati terasa lemah, & iman terasa rapuh, sabar terasa ingin berderai, harapan terasa sudah berkecai... renungilah kembali sirah-sirah lepas yang melakarkan kehebatan insan-insan yang meletakkan tawakal & menyerahkan seluruhnya kepada Allah, sesungguhnya kekuatan & kehebatan mereka-mereka ini datangnya adalah daripada Allah. 

Allah telah memberikan kekuatan, keyakinan & keberanian kepada mereka untuk tetap berpegang kepadaNya kerana mereka sentiasa yakin & percaya dengan kekuasaan & pertolongan Allah. Pengajaran inilah yang paling penting untuk kita semua agar iman kita akan terus dikukuhkan oleh Allah. insyaAllah.. 

Mudah-mudahan, kembalinya kita kelak, walau tidak seharum pusara serikandi agung Masyitah, sekurang-kurangnya, dapatlah kita meraih keredhaan Allah.. amiin ya robbal 'alamin..

Allahumma inni as aluka ridhoka wal jannah, ya Allah..

Allahu 'alam..


p/s: 

Kepada sahabat-sahabat sepengajian di USM, datanglah beramai-ramai ke KARNIVAL ANAK MUDA 2011 [KAMU'11] anjuran Persatuan Mahasiswa Islam PMIUSM bermula 8-13 Mac bertempat di Padang Kawad PALAPES & DUP. 

InsyaAllah akan ada aktiviti yang menarik sepanjang karnival berlangsung seperti karnival jualan, pameran, forum, pantomen, ceramah bersama Ustaz Syaari, konsert Shoutul Harokah, Pesta Buku serta banyak lagi. 

Sila lawati blog rasmi KAMU'11. http://kamu-11.blogspot.com