Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Showing posts with label fardu ain. Show all posts
Showing posts with label fardu ain. Show all posts

Sunday, December 29, 2013

Hebatnya Nikah : Persiapan Bakal Pengantin.



Sungguh ajaib ketentuan Allah SWT,
menemukan dua hati berlainan jantina dalam sebuah ikatan pernikahan.
Di dalamnya terdapat suatu rahsia yang sungguh luar biasa.
Bagi jiwa yang mendambakan redha Rabb-Nya.

***

Bismillah,

Menarik untuk dikongsikan. Seminggu dua ini, terpapar dibanyak saluran media eletronik, media maya dan juga media cetak tentang suatu isu yang evergreen sehingga kini, iaitu tentang perkahwinan. Menurut kajian yang dibuat oleh Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) seramai 2.5 juta penduduk di negara Malaysia yang berumur 25 tahun ke atas tidak berkahwin dengan beberapa faktor yang dinyatakan.
Saya terfikir dan merenung seketika pagi tadi. Akal menerawang jauh seolah-olah mengamati realiti itu. Ya. Sebenarnya soal jodoh, perkahwinan dan pembentukan keluarga itu sangat-sangat dekat dengan kita semua. Semua orang punyai impian, hasrat dan harapan untuk melalui fasa-fasa itu bukan?
Anda pula bagaimana?
Namun, ada sesuatu yang harus dilihat ialah tentang pandangan masyarakat tentang “dunia” perkahwinan itu sendiri. Wujudnya suatu kelompok dan golongan yang menyatakan bahawa tentang kesengsaraan, kesusahan, huru hara dan pahitnya dunia perkahwinan itu. Akibatnya, kini ramai mulai bertimbang-timbang dan berkira-kira untuk tidak memilih untuk berkahwin.
Saya terbaca banyak artikel-artikel yang menonjolkan beberapa public figure, tokoh korporat dan para artis-artis yang memilih untuk hidup membujang kerana pelbagai faktor. Dan menariknya, ada dikalangan mereka begitu “teruja” dan mengesyorkan agar hidup membujang tanpa pasangan itu sebagai suatu pilihan yang baik untuk anak-anak remaja hari ini. Terdiam saya membacanya.
Lihatlah di dada akhbar hari ini, yang ditonjolkan ialah konflik rumah tangga, isu-isu pergaduhan suami isteri, cerita-cerita naik turun-naik turun mahkamah antara pasangan artis dalam menyelesaikan kemelut rumahtangga mereka, perebutan harta antara keluarga-keluarga dan sebagainya. Justeru, akhirnya imej perkahwinan itu kian tercemar dan tercalar.
Lalu, timbullah slogan-slogan dan imej-imej yang negatif tentang perkahwinan. Saya sendiri dihubungi oleh beberapa orang adik serta kenalan yang mengutarakan suatu perasaan bahawa mereka sangat-sangat takut, gerun dan bimbang untuk melalui alam perkahwinan ini.
“ Abang, saya rasa takutlah dan bimbang untuk berkahwin. Bolehkah kalau kita tak kahwin?,”
“ Ustaz, jika kita memilih untuk membujang sehingga akhir hayat agak-agak boleh diterima kah dalam pandangan Islam?,”
Lebih kurang begitu bentuk-bentuk perkongsian yang diterima. Ia membuatkan saya terfikir, termenung jauh juga. Agak sukar untuk merespon tentang hal-hal sebegini.

***
Imej Perkahwinan : Ia harus “dicerahkan” sebersih-bersihnya
Sahabat pembaca, bagaimanakah kalian memandang tentang dunia perkahwinan itu sendiri? Adakah ia suatu yang mesti dan perlu dilalui? Atau kita akan berkahwin kerana semua orang disekeliling kita berkahwin?
Atau, ada yang berpandangan ia hanya pelengkap dalam lalui kehidupan kita sahaja. Terpulang kepada kita sendiri dengan pengalaman, pendapat dan kebijaksanaan “akal” kita dalam menilainya. Justeru, usahlah kita terlalu mementingkan fasa ini dalam kehidupan. Adakah begitu?
Jika itulah yang kita fahami setakat ini, harusnya kita lihat ia dengan kacamata Islam dan bagaimana Islam meletakan perkahwinan sebagai salah satu aspek terpenting dalam peradaban kemanusiaan. Menurut, Sheikh Tariq Ismail Kakhia dalam bukunya, Az-Zauji al-Islamy(Perkahwinan di dalam Islam) menyatakan bahawa Islam sungguh-sungguh mementingkan soal perkahwinan ini. Sehingga, perkahwinanlah dapat memenuhi separuh keagamaan dan keimanan seseorang muslim. Rasulullah SAW telah bersabda dalam sebuah hadisnya yang bermaksud :
“ Apabila telah berkahwin seseorang hamba itu, maka dia telah pun melengkapi separuh daripada agamanya. Maka bertaqwalah ia kepada Allah di separuh yang belum lagi.” ( Riwayat Baihaqi)
Seruan Rasulullah SAW  kepada para pemuda-pemudi dengan suatu signal yang sangat jelas dalam sebuah hadis baginda yang bermaksud :
“ Wahai golongan pemuda-pemudi! Siapa diantara kamu yang mempunyai kemampuan, maka hendaklah dia berkahwin, kerana dari perkahwinan boleh menyelamatkan penglihatan dan kemaluan kamu. Dan siapa yang tidak mempunyai kemampuan, maka hendaklah ia berpuasa, kerana sesungguhnya puasa itu boleh melemahkan syahwatnya.” ( Riwayat Bukhari dan Muslim dari Ibnu Mas’ud)

Apa hebatnya dengan perkahwinan dan pernikahan ini?
(1) Berkahwin dapat mendekatkan dan menghampirkan kita dengan Allah SWT. Kemanisan iman itu akan tertingkat jika kita meletakkan matlamat pernikahan itu pada asasnya yang betul dan benar.
(2) Bernikah itu akan memberikan suatu jalan yang bersih, suci dan halal dalam kita melempiaskan keinginan hawa nafsu kita. Malah, hubungan suami isteri itu dikira sebagai ibadah dan diganjari pahala daripada Allah SWT.
(3) Ia juga akan memberikan suatu perasaan yang sungguh membahagiakan, menenangkan dan melapangkan bagi pasangan suami isteri. Indahnya apabila ada insan yang mencintai, menyayangi dan melindungi kita.
(4) Berkeluarga itu adalah suatu anugerah Allah SWT. Ia akan mendewasakan dan mematangkan lagi suami isteri dalam mengurus hal-hal rumah tangga secara bersama. Anugerah ini jika dilalui dengan bersama, wujudnya persefahaman dan serasian ia adalah bentuk-bentuk kejayaan yang akan membawa ahli-ahli keluarga kepada keredhaan Allah SWT.
(5) Suami isteri adalah saling melengkapi antara satu sama lain. Titik-titik kelemahan dan kekurangan yang ada akan dibantu oleh pasangan untuk sama-sama perbaiki dari satu tahap ke satu tahap. Hal ini, amat sukar difahami kecuali hanya bagi yang telah berkahwin. Nak tahu lebih lanjut? Anda kenalah kahwin dulu.
(6) Satu lagi, perkahwinan itu boleh menambahkan rezeki manusia. MasyaAllah, benar. Ini sejajar dengan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud : Dari Aisyah Radiallahu-Anha, telah bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam: Berkahwinlah kamu kerana perempuan itu juga boleh menolong kamu mencari harta atau boleh menolong kamu menjimatkan harta. (Riwayat Al-Imam Al-Bazzar).
(7) Perkahwinan itu satu perkongsian. Bak kata pepatah : Sharing is caring. Dengan berkongsi cita-cita, harapan dan impian – kita akan lebih kuat, hebat, luar bisa dan bersemangat untuk mencapai serta menggapainya. Itulah hebatnya perkahwinan, jika pasangan hidup kita adalah pasangan yang hebat maka kita akan tertempias aura atau gelombang kehebatannya.
(8) Manusia itu akan sunyi dan sepi tanpa pendamping, teman dan pasangan. Islam memberikan suatu kaedah dalam mengubati kesunyian itu melalui perkahwinan. Melaluinya, pasangan suami isteri dapat berkongsi perasaan, cerita dan segala-galanya secara bersama.
(9) Melalui perkahwinan, insyaAllah – Allah SWT akan anugerahkan cahaya mata dan anak. Ia adalah buah hati yang tidak tergambar bagaimanakah perasaan bagi yang memilikinya. Anak bukanlah bebanan, tetapi suatu amanah yang harus dipelihara dengan sebaiknya.
(10) Rumahtangga ini adalah umpama suatu bentuk organisasi berskala kecil yang di dalamnya terdapat suatu sistem pengurusan yang menyeluruh. Bagi yang berkahwin, mereka akan berusaha mengurusnya sebaik mungkin agar keluarga yang dibina dapat dikendalikan dengan seimbang, teratur dan sistematik.
MasyaAllah – inilah sunnah yang besar manfaat, pahala dan kebaikan bagi yang melihatnya melalui kacamata keimanan dan ketaqwaan.
***
Tips : Harus milik 3 kunci sebelum bernikah
Saya teringat, ketika bersembang-sembang dengan beberapa orang sahabat saya pada suatu hari. Isu yang paling diminati oleh kebanyakan orang.
“ Sebelum berkahwin, biasanya seseorang itu perlu ada tiga “kunci”,” Kata seorang sahabat saya. Ajuan pertanyaan kepada kami semua yang ada.
“ Apa tiga kunci itu?,” Sampuk seorang daripada kami.
“ Haa.. cuba teka,” Katanya.
Semua berfikir-fikir sambil berusaha menjawab. Bicara kami diteruskan sambil menikmati juadah rojak ayam dan nasi ayam di kedai D’Bagan yang sangat menyelerakan.
Terus dia berkata :
“ Pertama, kunci pejabat,”
“ Kedua, kunci kereta,”
“ Ketiga, kunci rumah,”
Kemudian dengan spontan saya berkata, :
“ Ada satu lagi, cuba teka?,”
“ Kunci Syurga!,” Ada yang cuba menambah.
Saya tersenyum sambil menyuap makan ke mulut.
“ Ada satu lagi, tahu apa dia ?,”
“ Kunci spare!,” Kata Saya.
Masing-masing ternaik kening dan riak muka sedikit teruja. – Smile -
Sejujurnya, saya sendiri tidak pasti sebelum ini adakah saya benar-benar bersedia atau tidak di saat melangkah kaki ke alam rumah tangga. Namun, dengan ilmu serta pengalaman yang amat-amat sedikit dan terbatas saya melalui dengan penuh usaha untuk lakukan yang terbaik serta meletakan sepenuhnya pergantungan hanya kepada Allah SWT. Kepada-Nya jualah diri ini kembali.
Dan, selain itu juga hasilnya ialah tanggapan saya tentang dunia perkahwinan sebelum berkahwin amat berbeza dengan tanggapan saya tentang alam perkahwinan selepas melaluinya.
Mungkin benarlah, apa yang murabbi saya sebut : “ Lalui dunia perkahwinan dengan persepsi yang sederhana, dan di saat-saat melaluinya teruslah belajar dan belajar serta perbaiki diri dengan niat untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.”
Justeru, apakah yang seharusnya kita lakukan?
Wallahu’alam, berdasarkan bual bicara bersama mereka-mereka yang telah lama dalam fasa ini – bersedialah bersungguh-sungguh sebelum melangkah ke alam berumah tangga. Ia meliputi minda, hati, fizikal dan rohani. Saya ringkaskan ia berdasarkan apa yang pernah dikongsikan oleh murabbi saya melalui cetusan pandangan oleh Sheikh Hisham al-Wady. Katanya 3 kunci persediaan yang harus ada bagi bakal pengantin sebelum mendirikan rumah tangga iaitu :
(1) Memahami dan mendalami Deen Islam sebagai cara hidup
(2) Mengamati dan fahami perbezaan antara lelaki dan perempuan (Serius : Hal ini sangat-sangat penting & ramai yang terlepas pandang)
(3) Mengutip kefahaman sedalamnya tentang dunia perkahwinan itu sendiri

Dan, antara persedian dan persiapan yang paling penting ialah persediaan kejiwaan. Di sinilah titik kekuatan yang paling utuh dan ampuh dalam menghadapi rumahtangga kelak.
3 kunci ini harus kita pegang dan miliki sebelum melangkah ke alam pernikahan atau perkahwinan. Dan, ingin saya kongsikan beberapa buah buku yang baik yang harus kita baca, fahami dan teliti sebagai rujukan untuk mendirikan rumahtangga. Antaranya ialah :

Bahagia Merayakan Cinta, Tulisan Ustaz Salim A.Fillah. Versi Melayu.
Buku ini sangat baik kupasan. Bahasanya menyentuh jiwa dan miliki sentuhan perasaan yang sangat “halus”.

Mutiara Perkahwinan Menurut Pandangan Islam, tulisan Sheikh Muhamad Ali Qutb. Tulisan asas dan basic tentang dunia perkahwinan. Hujjah, dalil dan kupasannya sangat mudah difahami.

Mencapai Pernikahan Barakah, tulisan Mohammad Fauzil Adhim. Buku ini saya baca dengan bersahaja dan sungguh menyenangkan jiwa. Salim A. Fillah ketika menulis bukunya, banyak mencatatkan point-point  penting dari buku ini.
Beginilah Seharusnya Suami Isteri Saling Mencintai, tulisan Sheikh Fathi Muhammad Ath-Thahir. Tulisan amat menarik, sesuai untuk pasangan yang baru berkahwin dan yang telah lama berkahwin. Bacalah, hati pasti berbunga-bunga.

Ini sebahagian sahaja buku yang sempat saya kongsikan saat ini. Mudah-mudahan saya boleh kongsikan pelbagai lagi rujukan dan bahan bacaan di masa-masa mendatang.
***

Penutup : Penikahan itu sebahagian daripada batu-bata kehidupan
Hebatnya kita sebagai mukmin, apabila apa sahaja kita lakukan matlamat dan niatnya jelas. Begitu juga dalam soal perkahwinan ini. Fasa-fasa yang dilalui dalam kehidupan bermula daripada bayi, kanak-kanak, remaja dan seterusnya melangkah ke alam dewasa menjadi sesuatu yang akan dilalui bagi setiap insan di dunia ini. Fasa-fasa ini adalah titik perubahan yang meninggalkan pengaruh, kesan dan bekas kepada setiap manusia yang mengalaminya.
Begitu juga, dalam konteks alam rumah tangga. Setiap manusia yang normal, secara fitrahnya memiliki hasrat dan keinginan untuk mendirikan rumah tangga. Impian untuk mempunyai pendamping hidup, peneman dan insan yang dikasihi serta disayangi secara lebih dekat itu dengan suasana hidup secara bersama. Mereka ingin dikat serta berkongsi hidup secara halal, suci, bersih dan sah. Namun, suatu persoalan yang harus jelas tertanam dalam benak kita ialah apakah sebenarnya tujuan kita mendirikan rumahtangga melalui jalan pernikahan ini?
Hebatnya Nikah, Jika Semuanya Untuk Allah!

Wallahu 'alam.

Sumber asal : Bro Hamzah, Langit Ilahi

--

p/s: Bagi yang bertanya, background instrumental blog ini ialah; Arwen's Vigil by Piano Guys. 


Friday, June 28, 2013

Asas Tentang Puasa Ramadan.




Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat Nabi junjungan Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..

Salam Jumaat penuh barokah.. :)

Ramadan kian menjelma lebih kurang 10 hari sahaja lagi, insyaAllah. Kita semua teruja menanti Ramadan kan? 


Jadi, bagaimana dengan persiapan bagi bertemunya?

Alhamdulillah... apakata mari kita ulangkaji sedikit asas-asas tentang Puasa Ramadan dalam entri kali ini. InsyaAllah, semoga bermanfaat. :)


***

Pengertian
Puasa dari segi bahasa bererti menahan diri daripada sesuatu. Manakala dari segi syara' pula ialah menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa bermula dari terbit fajar hinggalah terbenam matahari, dimulai dengan niat untuk puasa, untuk mengharapkan keredhaan Allah SWT.


1) PUASA RAMADAN

Berpuasa pada bulan Ramadan hukumnya wajib (fardu ain) berdasarkan Quran, hadis & ijmak ulama'.



Dalil al-Quran 
Firman Allah SWT;


Maksudnya: "Wahai orang yang beriman, diwajibkan ke atasmu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang sebelum kamu semoga kamu bertaqwa." [surah al-Baqarah (2) : 183]


Syarat-syarat Wajib Puasa

1) Islam : tidak wajib bagi orang bukan Islam.
2) Baligh : tidak wajib bagi mereka yang belum cukup umur, namun kanak-kanak digalakkan untuk berlatih berpuasa.
3) Berakal : tidak wajib bagi orang gila.
4) Sihat : Jika puasa akan menambah mudarat, tidak diwajibkan berpuasa kebiasaannya orang tua & terlalu uzur. Namun, hendaklah mereka membayar fidyah.
5) Bermukim : Musafir tidak wajib berpuasa tetapi wajib mengqada (menggantikan) selepas bulan Ramadan.
6) Suci : Suci daripada haid & nifas bagi wanita.


Niat Puasa


"Sengaja aku berpuasa pada esok hari dalam menunaikan fardu bulan Ramadan pada tahun ini kerana Allah taala."


Syarat-syarat Sah Puasa
1) Islam
2) Berakal & mumayyiz (tahu membezakan yang mana najis & yang mana tidak).
3) Suci daripada haid & nifas.
4) Apabila nyata masuknya bulan Ramadan.


Rukun Puasa
1) Orang yang berpuasa
2) Berniat
3) Menahan diri daripada perkara-perkara yang membatalkan puasa mulai terbit fajar hingga mulai terbit fajar hingga terbenam matahari.


Perkara-perkara yang Membatalkan Puasa
1) Makan ataupun minum dengan sengaja walaupun sedikit (jika terlupa tidak membatalkan puasa tetapi wajib berhenti sewaktu menyedari bahawa diri sedang berpuasa).
2) Memasukkan sesuatu ke dalam rongga tubuh dengan sengaja.
3) Muntah dengan sengaja.
4) Keluar haid & nifas,
5) Gila.
6) Murtad (keluar dari Islam)
7) Mengeluarkan mani dengan sengaja.
8) Bersetubuh (melakukan hubungan kelamin pada siang hari bulan Ramadan).


Perkara-perkara Sunat dalam Berpuasa
1) Segerakan berbuka puasa.
2) Berbuka puasa dengan buah tamar atau sesuatu yang manis.
3) Membaca doa sekurang-kurangnya;


"Ya Allah, bagi Engkaulah amalan puasaku ini kepada Engkau aku beriman & dengan rezeki Engkaulah aku berbuka."
4) Melambatkan waktu bersahur kerana ada keberkatan padanya.
5) Memperbanyakkan membaca al-Quran, berzikir, berselawat & membuat amal-amal yang baik.
6) Banyak bersedekah kepada fakir miskin & anak-anak yang kurang bernasib baik.
7) Jauhkan bercakap perkara yang sia-sia & tidak berfaedah.
8) Mandi junub awal sebelum masuknya waktu Subuh.


Adab Ketika Sedang Berpuasa.
1) Jauhkan diri daripada melakukan perkara yang tidak baik & maksiat.
2) Mengelak & menjauhkan diri daripada melakukan perkara yang boleh membatalkan puasa.
3) Menahan diri daripada mengikut hawa nafsu.
4) Ketika berbuka, makanlah secara bersederhana & tidak membazir.
5) Kurangkan tidur terutama pada waktu siang.
6) Sentiasa melakukan perkara-perkara yang baik seperti membaca al-Quran, berzikir & tidak membuang masa dengan mendengar muzik yang sia-sia serta terlalu banyak menonton televisyen.
7) Mengharapkan ibadat puasa yang dilakukan itu adalah sebaik-baik ibadat & akan mendapat ganjaran daripada Allah SWT.


Bagi wanita, haid & nifas ialah 2 keuzuran yang sering dialami. Ketika bulan Ramadan, jika wanita didatangi keuzuran ini, mereka tidak diwajibkan berpuasa & dikehendaki berbuka (wajib mengqada bilangan hari yang tidak berpuasa).

Mereka yang tertinggal puasa perlu menggantikan jumlah puasa yang tertinggal itu setelah habis bulan Ramadan kecuali pada hari-hari yang diharamkan berpuasa.


Hari-hari yang Diharamkan Berpuasa.
1) Hari Raya Aidilfitri pada 1 syawal.
2) Hari Raya Aidiladha pada 10 Zulhijjah.
3) Tiga hari Tasyriq iaitu; 11, 12 & 13 Zulhijjah.
4) Pada hari syak iaitu hari yang diragui antara 30 Sya'ban atau sudah masuk 1 Ramadan.





Ahlan Wasahlan Ya Ramadan! :)

Wallahu a'lam.


----
Bahagian 2 tentang Puasa Sunat akan disambung dalam entri seterusnya, insyaAllah. :)

p/s:
Salam Jumaat, saudara-saudari..!
Jangan lupa membaca al-Kahf.. :)



Saturday, March 23, 2013

Ma Ismuka?




"Siapa nama anak?"

Lamunan panjang saya tiba-tiba terbantut.

"Nama saya Asyraf."

"Nama pak cik ?"

"Anak boleh panggil pak cik, "Ahmad"

***

Kisah Pak Cik Ahmad

Orangnya sudah tua. Sosok fizikalnya sedikit rendah, namun senyuman manisnya sentiasa lekat di bibir. Saya agak 60-an umurnya, tetapi sangkaan saya meleset sama sekali.

“Uish, muda sangat tu, 74 tahun le nak oii...” sangkal pak cik Ahmad.

“Laa ye ke?"

“Erm, pak cik dari mana nak kemana ni ? ke rumah anak ke ?"

Saya sangkakan itulah jawapan beliau (Baca : Jawapan kebiasaan bagi pak cik-mak cik)

Namun, perkataan pertama yang terbit dari mulutnya itu adalah ibrah sepanjang hari saya.

“Pak Cik ada kelas nak..."

Saya kehairanan.

“Kelas apa pak cik ?"

“Kelas Bahasa Arab."

Jawapan itu diikuti dengan pertanyaan yang membuat hati ini tersentap.

"...Bahasa apa nanti kamu mahu tuturkan di syurga?"

Saya tergamam.

“Subhanallah, bukan calang-calang orang pak cik ini”

Tiba-tiba saya teringat kata-kata “Umar Telmesani” (Mursyidul Am I.Muslimin ke 3)

“Kebijaksanaan orang tua dalam semangat orang muda”

Jujur, peluang tidak harus disia-siakan.

Saya mahu kutip sebanyak-banyak butiran hikmah dari beliau !

Makanya dengan izin Allah, sesi itu pun bermula.

"Siapakah juara musabaqah Al Quran saban tahun ?"

Pak Cik itu menyoal saya.

“Malaysia ? ” “Indonesia ? ” “Brunei ?” Saya menjawab.

"Ya benar. Hebat bukan bacaannya ? Merdu bukan ? Tapi sayang, berapa ramai agak-agaknya yang faham akan maksud ayat Quran itu sendiri."

Beliau kemudiannya menceritakan sebuah kisah yang agak lucu yang terjadi saat pertama kali beliau mengerjakan haji di Tanah Suci Mekah.

Begini kisahnya.

Pada suatu hari, salah seorang jemaah Malaysia yang juga merupakan rakan beliau, di suruh oleh orang Arab untuk membacakan beberapa potong ayat Quran.

“Subhanallah !!!”

Terkesima orang Arab itu, cerita beliau. Betapa merdunya bacaan orang Melayu kita. Tapi....

"Tapi apa pakcik ?"

Dalam mereka sibuk memuji si Melayu itu tadi, salah seorang dari orang Arab itupun bertanya .

“Ma Ismuka ?"

Rakannya berbangsa Melayu itu tadi, terpinga-pinga. 
"Apa yang orang arab ni cakap ?"

Hahahaha !

Berderai-derai bunyi ketawa.

Rupanya, dia tak faham bahasa arab satu patah pun.

***

Kenapa mesti belajar? 

Umurnya sudah 74 tahun. Tetapi saya sungguh kagum dengan semangatnya menuntut ilmu. Anda bayangkan, setiap minggu, beliau akan berulang alik dari Parit Unas, Muar, ke Bukit Beruang Melaka, hanya untuk belajar bahasa Arab.

Jaraknya tidaklah terlalu dekat. Mahu-mahu sejam setengah jika menaiki kereta. Lalu, apa yang mendorongnya ?

“Anak, kita hidup di dunia ini kerana ilmu...”

“Dengan ilmu kita akan mulia. Mulia bukan sahaja di sisi manusia, tetapi juga dinaikkan darjat oleh Allah SWT..”

“Islam ini, semuanya dalam bahasa Arab..”

“Rugilah jika kita kata hendak ke syurga, tetapi tidak tahu bahasa arab.”

Agak-agaknya....... di Syurga nanti, bahasa apa ya yang jadi perantaraan?

***



Dilema masyarakat kita.

Tahukah anda, antara banyak-banyak masyarakat muslim di serata dunia, masyarakat kita adalah yang “paling hormat” akan naskhah Al Quran...? 

Tidak percaya ?

Al Quran diletakkannya cukup tinggi, hingga sukar dicapai. 

Al Quran setahun sekali je disentuh. Itupun setiap kali raya menjelma. Bukan apa, sebab bersihkan habuk.
 

InsyaAllah, Yasin ada. Al Quran kita jaga elok-elok.

"Adik kan dah khatam, tak payah la baca Quran lagi....”

Begitulah....



Kadang-kadang, saya terpaksa juga “membaca” Al Quran depan orang ramai saat di LRT atau KTM.

Saya buka naskhah itu. Saya baca perlahan-lahan.

Saya mahu masyarakat lihat, masyarakat sedar. Bahawa Al Quran itu perlu senantiasa di bawa. Jika tidak di poket, di hati sudah.

Saya mahu masyarakat lihat, bukan ustaz berkopiah, berjubah sahaja boleh buat begitu. Saya mahu mereka tahu, lelaki berbaju Padini dan berseluar jeans juga mampu buat begitu.

Saya mahu masyarakat sedar, orang yang paling style adalah orang yang membawa headphone sambil mendengar bacaan Al Quran di I-Phone 5s mereka.

Dan, saya mahu masyarakat sedar. Baca Al Quran itu seronok. Tenang dan mendamaikan jiwa. Setenang mendengar lagu korea Park Hyung Shin ataupun lagu instrumental Kitaro.

Dan.

Saya mahu mereka sedar, saya sedar dan anda semua sedar. Bahasa Al Quran dan Bahasa Syurga juga adalah bahasa Arab.

Tidak mahulah nanti bila orang tanya. "Ma Ismuka ?"

Wallahu a'lam.

Sumber : Asyraf Farique

----------
Notahati:
Jujur hati saya tersentap apabila pertama kali membaca entri ini di sini. Ia menimbulkan rasa terkilan & sesal kerana tidak memanfaatkan ruang & peluang yang Allah telah beri kepada saya sewaktu belajar Bahasa Arab di sekolah rendah & menengah dahulu. Astaghfirullahal adzhim.. ya Allah... sangat rugi rasanya.

Serta merta terbayang-bayang kenangan sesi berinteraksi bersama teman-teman sekelas bersama Ustazah Badariah.

"Ma ismuki?"

"Ismi Hani Suhaida Sulaiman."
"Ismi Nurul Intan...."
"Ismi Ezie Noor........"

 :'( 

La ilaha illa anta subhanaka inni kuntuminazzolimiin..
Tiada Tuhan selain Allah, Maha suci Allah, sesungguhnya aku telah menzalimi diriku sendiri.

----

Pesan Ustazah Norhafizzah Musa; "Beramal biar menusuk sampai ke pangkal hati. Tadabur al-Quran biar sampai menangis.. hayati, faham, amal.. insyaAllah akan beroleh ketenangan hati yang hakiki..."

Allahu a'lam.

Thursday, December 13, 2012

Syarat Bernikah Berwali Hakim.



Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Katakanlah... kita sudah berkenan dengan seorang perempuan & telahpun menemui walinya untuk meminta persetujuan untuk menikahi anaknya itu. Namun, lamaran kita ditolak. Lalu, bolehkah kiranya kita berkahwin tanpa kehadiran ayah perempuan itu tadi & bernikah hanya dengan berwalikan hakim?

***
Jawapan:

Secara dasar, jumhur ulama' menetapkan kemestian wali daripada pihak perempuan atau wakilnya dalam akad nikah. Akad nikah yang dilangsungkan tanpa keizinan daripada wali adalah tidak sah secara syarak. Walau bagaimanapun bagi kes wali enggan bersetuju atas sesuatu pernikahan, alasan keengganan wali masih boleh disemak semula terlebih dahulu.

Jika alasan penolakan itu munasabah, misalnya wali menilai calon suami terlalu muda, tidak mampu memberi nafkah, ataupun wali mengenal pasti bahawa calon suami itu seorang pemuda yang fasiq (yakni tidak menunaikan solat & mendirikan rukun-rukun islam yang lain.), maka akad nikah tidak boleh dilangsungkan kerana dikhuatiri akan merosakkan masa depan anak gadis itu.

Namun, jika alasan penolakan itu munasabah & boleh dipertikaikan, maka wali hakim boleh melangsungkan akad nikah demi menjaga kemaslahatan anak gadis tersebut. Pihak mahkamah biasanya akan membantu dalam membuat kaji selidik ini.

Walau bagaimanapun, restu orang tua sangat besar kesannya dalam keberkatan akad nikah. Seeloknya jika ibubapa kedua belah pihak masih berkeras tidak mahu bersetuju untuk menikahkan keduanya, maka, bawalah berbincang dengan terbuka, baik-baik & berterus terang. 

Bagi pihak orang tua pula, janganlah menghalang jodoh anak dengan meletakkan syarat-syarat yang meletakkan syarat-syarat yang terlampau tinggi & menyusahkan urusan tersebut. Ingatlah bahawa jika kita memudahkan pintu halal, pintu haram akan tertutup dengan sendirinya, insyaAllah.

Begitu juga adanya nikah kontrak atau lebih dikenali sebagai nikah mutaah. Nikah mutaah adalah akad nikah yang ditetapkan tempoh perkahwinannya seperti selama setahun, satu bulan bahkan ada juga yang sekadar satu hari. Sebaik sahaja masa berlaku itu habis, maka pasangan dengan sendirinya akan berpisah tanpa talak. Bentuk pernikahan seperti ini (nikah kontrak @ nikah mutaah) menyalahi sifat akad nikah yang mengikat serangkaian hak & kewajipan untuk selama-lamanya.

Nikah mutaah pernah dihalalkan pada zaman Nabi, kemudian diharamkan & dihalalkan semula sebelum diharamkan untuk selama-lamanya. Justeru, akad nikah seumpama ini tidak dikira sebagai pernikahan yang sah. 

---------

Akhirul kalam, khas buat para remaja yang masih belajar. Mari hayati pesan Ustaz Umar; 
"Para pelajar harapan bangsa & pemimpin masa hadapan. Sepatutnya mereka memanfaatkan masa & tenaga yang ada untuk membekali diri dengan ilmu sebanyak-banyaknya. Hindari segala aktiviti yang dapat merosakkan aktiviti yang dapat merosakkan matlamat pengajian anda agar semoga tiada penyesalan pada masa hadapan nanti." 

Berkata Sufyan al-Thauri: 

"Seorang pelajar yang menikah ibarat seorang yang sedang belayar di lautan. Apabila melahirkan anak, maka pecahlah kapalnya." 
-------------------------------

Ya Allah, hiduplah kami dengan iman, mati dengan iman, dihisab di alam barzakh dengan iman & memasuki syurgaMu dengan keimanan.. Amiin ya robbal 'alamiin..

Semoga Allah ampunkan semua dosa-dosa kita, memelihara masa yang sedang dilalui & bakal dilalui, menerima semua amalan kebaikan kita & sentiasa merahmati & meredhai hidup & mati kita, insyaAllah..


Allahua'lam.

----------------

*Rujukan :
- Ustaz Umar Muhammad Noor
- Ustazah Fadilah

------------


Monday, July 23, 2012

[Ramadan] : TIPS Amalan Sunat Mengikut Sunnah



Bismillahirrohmanirrohim..

Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam berbuka puasa dengan rutab (kurma basah) sebelum solat. Sekiranya tiada rutab, maka dengan tamar (kurma kering). Dan jika tiada, baginda meminum beberapa teguk air. [HR Abu Daud]

Alhamdulillah.
Segala puji-pujian hanyalah untuk Allah.

Syukur Alhamdulillah, sudah masuk 4 Ramadan. Mari kita mengkoreksi diri.

Bagaimana dengan amalan kita? Apa khabar iman kita? Sudah mendekatkah jarak Allah di dalam hati kita..?

Mari selalu tegur & ingatkan diri. Ramadan ini adalah bulan untuk berpesta ibadah & bukannya berpesta makan!

Imam Malik bin Anas menangis ketika hendak berbuka puasa. Ketika ditanya oleh muridnya, beliau berkata: "Aku sedih melihat makanan yang banyak kerana terkenangkan Rasulullah s.a.w. Baginda berbuka dengan makanan yang sedikit tetapi amalannya banyak. Sedangkan aku berbuka dengan makanan yang banyak, tetapi amalanku cuma sedikit."

Muhasabah diri.

Sudah cukuplah sudah kita merugikan diri dengan mensia-siakan Ramadan tahun-tahun yang sudah lepas. Cukup-cukuplah kita terlepas peluang untuk menambah amalan & memperbaiki iman & kecintaan kita kepada Allah.

"Hidup yang sebenarnya ialah hidupnya hati dengan iman. Berapa ramai orang yang nampak pada zahirnya hidup, hakikatnya mati. Dan berapa ramai pula orang yang zahirnya mati, akan tetapi mereka pada hakikatnya masih hidup." [Syeikh Mustafa Masyur]

Mari manfaatkan kehidupan di dunia dengan menghidupkan iman di dalam hati. Hidup dengan mengikut ajaran & syariat yang telah ditetapkan oleh Allah subhanallahu wa ta'ala. Hidup dengan menyuburkan sunnah Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Oh, alangkah indahnya hidup dalam pandangan kasih sayang Allah & Rasulullah... :)

InsyaAllah, ada sedikit perkongsian tentang amalan sunat mengikut sunnah yang diambil daripada bingkisan Dr Abdul Basit Abd Rahman di dalam majalah al-Ustaz.

Berikut adalah antara amalan-amalan sunat yang sangat digalakkan pada bulan Ramadan. Sama-sama kita mengambil pengajaran & mempraktikkan. InsyaAllah. :)

Semangat, semangat, yosh! (^^)/


---------------------------------

TIPS Amalan Sunat Menghidupkan Ramadan Mengikut Sunnah.

1) Membaca al-Quran
Abu Hurairah meriwayatkan bahawa Jibrail alahi salam membacakan al-Quran untuk baginda pada setiap tahun (pada bulan Ramadan) sebanyak sekali. Namun, pada tahun kewafatan baginda, dia membacanya sebanyak 2 kali. [HR al-Bukhari & Muslim]


2) Qiamulail
Pada Ramadan, kita akan melaksanakan 2 jihad diri:

a) Jihad di siang hari dengan berpuasa.
b) Jihad di malam hari dengan qiamulail.

Sesiapa yang berjaya melakukan 2 jihad ini dengan sebaik-baiknya, baginya ganjaran yang amat besar. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang bangun (solat) pada bulan Ramadan dengan penuh keimanan & pengharapan, maka diampunkan baginya dosa-dosa yang lepas." [HR al-Bukhari & Muslim]

Qiamulail merupakan rutin harian Nabi & para sahabat. Aisyah radiallahu anhu pernah berkata: "Jangan kamu tinggalkan qiamulail. Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam tidak pernah meninggalkannya. Jika baginda sakit atau kepenatan, baginda akan solat sambil duduk." [HR Abu Daud]


3) Bersedekah
Ibnu Abbas radiallahu anha berkata; "Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam ialah seorang yang pemurah. Baginda akan menjadi lebih pemurah pada bulan Ramadan. Pemurahnya baginda dalam kebaikan lebih daripada angin yang kencang." [HR al-Bukhari]

4) Menjaga lidah
Sabda Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud: 
"Sesiapa yang tidak meninggalkan percakapan dusta & terus mengamalkannya, maka Allah tidak berhajat pada usahanya yang tidak makan & minum (puasa)." [HR al-Bukhari]


5) Perbanyakkan doa, zikir & istighfar
Setiap saat pada bulan Ramadan adalah mulia. Justeru ambillah kesempatan ini dengan mempernbanyakkan zikir & doa khususnya pada waktu-waktu yang mustajab seperti:
a) Ketika hampir waktu berbuka. 
Nabi menyebut; 3 doa yang tidak tertolak antaranya ialah doaorang yang sedang berpuasa sehingga dia berbuka. [HR al-Tirmidzi]
b) Pada sepertiga malam ketika Allah menyeru:
"Adakah orang yang berdoa, maka Aku akan perkenankan. Adakah orang yang memohon keampunan, maka Aku akan Ampunkannya." [HR Bukhari & Muslim]


6) Memberi makan kepada orang yang berpuasa.
Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam bersabda yang bermaksud; 
"Sesiapa yang menyediakan juadah berbuka untuk orang yang berpuasa, baginya seperti pahala orang yang berpuasa sepertimana orang yang berpuasa itu, & tidak dikurangkan sedikitpun pahalanya." [HR at-Tirmidzi]


7) Umrah pada bulan Ramadan
Sabda Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam yang bermaksud;
"1 umrah pada bulan Ramadan ganjarannya menyamai 1 haji." Dalam riwayat yang lain: "Menyamai satu haji bersama-samaku." [HR Bukhari & Muslim]


8) Beriktikaf
Khususnya pada 10 malam terakhir. Aisyah radiallahu anhu meriwayatkan: 
"Pada 20 malam terawal, Nabi mencampurkan antara solat & tidur. Apabila tiba 10 malam terakhir, baginda bersungguh-sungguh & mengetatkan kainnya." [HR Ahmad]


Bahkan Rasulullah salallahu 'alaihi wasallam turut mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah supaya mereka juga tidak ketinggalan dalam mendapat kebaikan yang disediakan Allah subhanallahu wa ta'ala. Menghidupkan malam bukan sahaja dengan solat bahkan pelbagai jenis ibadah seperti membaca al-Quran, beristighfar & berdoa.

InsyaAllah, disertakan juga di sini beberapa contoh borang/checklist bagi mutaba'ah amal bagi sepanjang Ramadan ini. Mari sama-sama manfaatkan, insyaAllah. Sila 'klik' imej untuk besarkan.







And here's also top ten TIPS of productive Ramadan from ProductiveMuslim.com. Lets check it out! :)



Alhamdulillah. Setakat ini dahulu.

Mari manfaatkan Ramadan kali ini dengan bersungguh-sungguh. Ramadan adalah peluang yang jarang datang. Mungkin ini kali terakhir kita bertemu dengannya. Janganlah kita menjerumuskan diri termasuk di dalam 3 golongan celaka yang disebutkan Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam di dalam hadisnya;


"Ada 3 golongan yg celaka. 1) Celaka sungguh orang yg mendengar nama Nabi disebut tetapi tidak berselawat ke atasnya. 2) Celaka sungguh orang yang sempat bersama Ramadan & berlalunya bulan itu tetapi dia tidak mendapat keampunan. 3) Celaka sungguh orang berkesempatan berbakti kepada kedua orang tuanya, tetapi tidak dimasukkan ke syurga." [HR Ahmad]



Nauzubillahi min zaliq.
Astaghfirullahal adzhim.

Rasulullah S.A.W. bersabda:
"Seandainya umatku mengetahui apa yang ada di bulan Ramadhan, nescaya mereka akan berharap agar sepanjang tahun itu adalah Ramadhan."
[HR ibnu khuzaimah]

Minna! Selamat berpesta ibadah! InsyaAllah.