Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)
TINTA PENULIS.
Dengan Nama Allah,
Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.
Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.
Tuesday, November 27, 2012
Memandu Arah Cinta Dengan IMAN.
Bismillahirrohmanirrohiim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Telah disebutkan di dalam sebuah hadis Nabi Sallallahu 'alaihi wasallam bahawa sebaik-baik manusia ialah yang paling banyak manfaatnya kepada orang lain.
Begitu juga antara salah satu cara untuk mengukuhkan keimananan adalah dengan bersama-sama dengan orang yang mengingatkan kita kepada Allah.
Maka, antara cita-cita & impian saya adalah menjadi manusia yang bermanfaat kepada orang lain. Tidak mampu memberi banyak manfaat pun, sekurang-kurangnya saya masih mampu memberi sedikit, insyaAllah.
Saya berusaha menjadi hambaNya lebih baik setiap hari bagi mencapai cita-cita ini. Yang mampu mengingatkan orang lain kepada Allah bila mereka terlalai, yang bila saya mencintai mereka & mereka sayang kepada saya akan membuatkan mereka bertambah cinta kepada Allah.
Saya ingin menjadi hambaNya yang baik & saya berdoa insan-insan yang telah saya hadir di dalam hidupnya juga menjadi hambaNya yang baik & bertambah baik, insyaAllah.
Bunyinya sukar & memang sangat sukar kan, tapi insyaAllah, kita usahakan...
Di dalam hati kita, telah Allah semikan dengan satu anugerah yang sangat indah iaitu; rasa kasih & sayang.
Firman Allah swt;"Sesungguhnya orang yang beriman & beramal soleh, kelak Allah yang Maha Pemurah akan menanamkan dalam hati mereka rasa kasih & sayang." [surah Maryam : ayat 96]
Allah-lah yang menjadikan hamba yang dicintaiNya diterima oleh orang lain & mereka memujinya.
Tanda Allah cinta kepada seseorang ialah apabila hambaNya yang lain juga rasa kasih & hormat kepadanya. Itulah petanda, bahawa Allah cintakan hambaNya yang terpilih itu, Subhanallah.
Tanda Allah cinta kepada seseorang ialah apabila hambaNya yang lain juga rasa kasih & hormat kepadanya. Itulah petanda, bahawa Allah cintakan hambaNya yang terpilih itu, Subhanallah.
Balasan kasih & cinta Allah terhadap para hambaNya yang taat & patuh kepadaNya tidaklah terhad setakat di dunia sahaja bahkan berpanjangan sehingga ke akhirat yang abadi sana.
Dalam sebuah hadis, disebutkan tujuh golongan yang beroleh rahmat & perlindungan Allah di akhirat kelak;
1) Imam yang adil
2) Pemuda yang selalu beribadah kepada Allah
3) Pemuda yang hatinya selalu terikat kepada masjid4) Dua orang yang saling bertemu & berpisah kerana Allah5) Pemuda yang diajak berbuat maksiat oleh wanita bangsawan yang cantik, tetapi dia menolak lalu berkata; "Aku takut kepada Allah."6) Orang yang bersedekah secara sembunyi, sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang disedekahkan oleh tangan kanannya7) Orang yang selalu berzikir bersendirian sehingga mengalir air matanya.
Subhanallah.
Bila Allah cintakan kita, begitu sekali Allah menunjukkan rasa cintaNya kepada kita.
Bagaimana pula sikap kita apabila menerima hadiah & anugerah Allah itu?
Apakah yang kita lakukan sebagai tanda cinta kita kepada Allah..?
Apabila kita jatuh cinta kepada Allah, kita akan selalu berasa ingin bertemu dengan Allah & terasa hampir dengan Allah.
Orang yang taat kepada Allah, dia mudah mematuhi perintah Allah & menjauhi laranganNya. Tiada rungutan, tiada bantahan, tiada sebarang tentangan. Malahan, taat, patuh & redha atas turunnya pensyariatan Allah dalam kehidupan.
Orang yang taat kepada Allah, dia mudah mematuhi perintah Allah & menjauhi laranganNya. Tiada rungutan, tiada bantahan, tiada sebarang tentangan. Malahan, taat, patuh & redha atas turunnya pensyariatan Allah dalam kehidupan.
Antara tanda-tanda seseorang itu telah jatuh cinta & amat cinta kepada Allah ialah;
1) Suka bermunajat, suka membaca al-Quran & mendirikan solat sunat.
2) Sabar kepada perkara yang tidak disukai serta sabar dalam mensyukuri nikmat-nikmat Allah.
3) Mengutamakan perkara yang dicintai Allah & meninggalkan perkara yang dibenci oleh Allah.4) Selalu mengingati Allah dengan berzikir. Hatinya rasa bergetar & air matanya berlinang kerana berasa terlalu dekat dengan Allah.5) Memiliki rasa cemburu yang tinggi. Rasa marah ketika orang lain melanggar perkara yang dilarang oleh Allah kerana sewenang-wenangnya mereka ingkar kepadaNya.6) Redha pada takdir yang Allah tetapkan, serta meyakini, setiap kejadian pasti ada hikmah terbaik di sebaliknya.7) Selalu berada dalam perasaan takut & berharap supaya Allah menerima kelemahan & kekurangannya dalam beribadah kepadaNya.
Kerana cintaNya Allah kepada kita, Allah menciptakan semua manusia dengan fitrah hati yang diisi dengan cinta. Oleh itu, timbullah perasaan untuk mencintai & dicintai.
Jalan mendapatkan kecintaan itu pula bergantung kepada keteguhan iman masing-masing. Sekiranya keimanan kita teguh, bentuk kecintaan yang baik & jalan untuk mendapatkan cinta itu juga tentu mulia.
Setiap individu yang mengaku bertaqwa kepada Allah semestinya menetapkan kecintaannya. Siapa yang dicintainya, bagaimana dia mencintainya & ke mana matlamat cintanya itu.
Allah mengingatkan kita dalam surat cintaNya yang ke-3; Ali-Imran, ayat 14;
"Dijadikan indah pada pandangan manusia kecintaan kepada perkara yang diingini, iaitu wanita-wanita, anak-anak, harta yang banyak dari jenis emas, perak, kuda pilihan, binatang-binatang ternak & sawah ladang. Itu adalah kesenangan dunia & di sisi Allah tempat kembali yang lebih baik, iaitu syurga."
Ada suatu kisah ingin dikongsikan di dalam entri ini untuk muhasabah kita bersama, insyaAllah. :)
Atiqah binti Zaid bin Amru bin Nufail al-Quraisyiah adalah adik kepada Said bin Zaid, iaitu suami kepada Fatimah binti al-Khattab. Fatimah binti al-Khattab pula adalah adik kepada Umar bin al-Khattab. Seperti abangnya Said, Atiqah juga termasuk dalam kalangan barisan sahabat Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam yang awal memeluk agama Islam.
Atiqah beruntung kerana terdidik dalam suasana Islam pada usia yang masih remaja. Maruahnya terpelihara berbanding remaja jahiliyyah seusia dengannya. Di samping sifat taqwanya yang tinggi, Atiqah juga memiliki keistimewaan yang jarang dimiliki gadis lain. Beliau dikurniakan Allah kecantikan yang menawan, disertai kepetahan menyusun bait-bait syair.
Keistimewaan itu membuatkan ramai pemuda tergila-gilakan Atiqah. Oleh kerana kejelitaan, kebijaksanaan dan ketaqwaannya, mendorong beberapa pemuda yang bertaqwa untuk melamarnya termasuklah Abdullah bin Abu Bakar, iaitu anak kepada Abu Bakar as-Siddiq.
Pada usia yang masih muda, Atiqah telah menerima lamaran Abdullah bin Abu Bakar as-Siddiq. Beliau merasakan bahawa itulah sebaik-baik keputusan dengan harapan Abdullah akan menjadi pembimbing di sepanjang hayatnya. Beliau sendiri bersungguh-sungguh ingin menjadi isteri yang menghibur & menyenangkan hati suaminya.
Manakala, Abdullah pula terpikat & terpegun dengan kecantikan Atiqah sehingga melalaikannya daripada beribadah. Sehingga ingin berenggang sedikit dengan Atiqah beliau tidak sanggup.Perlahan-lahan keimanannya kian kendur, sehinggakan beliau mula meninggalkan ibadah solat berjemaah di masjid, tidak seperti sebelum beliau berkahwin dengan Atiqah.
Pada suatu hari, dalam perjalanan ke masjid, Abu Bakar melintasi rumah Abdullah. Beliau mendengar Abdullah sedang berbual & bergurau senda dengan Atiqah. Beliau telah meneruskan langkahnya ke masjid dengan harapan Abdullah akan menyusul kemudian tetapi sangkaan Abu Bakar meleset. Kelibat Abdullah tidak kelihatan bersolat di masjid.
Usai solat, Abu Bakar melintasi rumah Abdullah sekali lagi. Kedengaran sekali lagi. Kedengaran Abdullah masih bergurau senda dengan Atiqah, sedangkan waktu solat sudah lama berlalu. Abu Bakar lantas memanggil Abdullah & bertanya,
"Wahai Abdullah, apakah kamu sudah bersolat?"
Tatkala itu baru Abdullah tersedar akan kekhilafannya. Beliau tersedar akan kesalahannya, melalaikan solat sehingga habis waktunya.
Kemudian Abu Bakar berkata dengan tegas,
"Atiqah membuatkan kamu lalai daripada kewajipan, malah beliau telah melalaikan kamu daripada bersolat. Ceraikan beliau."
Begitu tegas sikap & peribadi Abu Bakar as-Siddiq dalam soal beribadah. Abu Bakar teliti mematuhi perintah Allah. Beliau rasa wajar bertindak tegas kepada anaknya. Beliau tidak mahu anaknya dipersoalkan di akhirat kelak & diseksa kerana terlalai dengan kecantikan isterinya.
Abu Bakar berpendapat lebih baik anaknya menerima hukuman di dunia daripada menerima hukuman di akhirat kelak.
Abdullah sememangnya anak yang taat & patuh kepada ibu bapanya. Walaupun hatinya berat untuk menceraikan Atiqah, tetapi disebabkan ketaatannya kepada Allah & ketaatannya kepada Allah, Abdullah menceraikan juga Atiqah. Dia menyedari bahawa arahan bapanya itu adalah semata-mata mahu mentaati Allah & mahu menyedarkannya akan dosa yang telah dilakukannya. Ujian ini memang berat untuk Atiqah & Abdullah. Tambahan pula mereka baru sahaja berkahwin & saling menyayangi.
Ketika hampir berakhir idah penceraian mereka, Abu Bakar telah terdengar rintihan anaknya, Abdullah yang terlalu merindui Atiqah. Sememangnya beliau mengetahui & memahami seksaan yang melanda hati anaknya, tetapi hukuman itu diperintahkan bagi menyedarkan mereka akan kesilapan mereka. Apabila mereka berdua telah bertaubat & benar-benar insaf, akhirnya mereka dibenarkan rujuk semula sebagai suami isteri.
Semenjak peristiwa pengajaran itu, Abdullah & Atiqah sama-sama gigih bertaubat & beribadat. Kemudian, kedua-duanya sentiasa saling ingat-mengingati akan tanggungjawab dalam beribadah kepada Allah.
Begitulah kisahnya, yang sepatutnya menjadi pengajaran bagi setiap orang yang mengakui saling bercinta kerana Allah. Hanya iman yang mendalam dapat melahirkan cinta seperti yang Allah kehendaki.
Ternyata, Allah mahu para hambaNya menetapkan cinta kepadaNya yang mencintai makhluknya sekadar mengikut acuan yang digariskanNya.
Di samping itu, setiap muslimat perlulah menyedari & mengambil ibrah daripada kisah ini bahawa muslimat juga berperanan dalam membantu kaum muslimin mentaati Allah dalam semua keadaan. Muslimat juga perlu sedaya-upaya berusaha mengelakkan dirinya daripada menjadi alat & penyebab yang mampu menjerumuskan orang lain kepada kemurkaan Allah.
Melalui kisah ini, seharusnya kita mengambil pengajaran. Tanya diri kita, kemanakah arah cinta ini hendak dihalakan?
Pandu cinta dengan keimanan, menuju ke arah ketaatan kepada Allah & mendahulukan perintahNya, & bukannya terleka dengan hawa nafsu yang mengasyikkan & melalaikan (Nauzubillah).
Tatkala hambaNya cenderung ke arah dosa di laluan cinta, Allah akan memberikan hambaNya petunjuk supaya meletakkan semula kecintaan kepadaNya adalah lebih utama. Maka, disinilah perjuangan para manusia, perjuangan cinta untuk berkorban meninggalkan yang kurang bermanfaat demi beroleh keredhaan Allah. Keampunan & keredhaanNya adalah cinta hakiki & abadi.
Jadilah, jadilah kita sebagai seseorang yang bila orang lain melihat wajah kita, akhlak kita, kata-kata kita, membuatkannya teringat kepada Allah.
Dan mudah-mudahan, dengan hadirnya kita di dalam hidup seseorang, akan membuatkannya bertambah dekat kepada Allah & bukannya membuatnya bertambah lalai daripada mengingati Allah (Nauzubillah).
Setiap dari kita, dikurniakan kisah cinta masing-masing. Maka, marilah memandu kisah cinta kita dengan keimanan & cita-cita yang besar; iaitu mahu bercinta sampai ke syurga.
Untuk memandu ke arah syurga, yang paling kita perlukan adalah keimanan kepadaNya.
Untuk memandu ke arah syurga, yang paling kita perlukan adalah keimanan kepadaNya.
Sabda Rasulullah Sallallahu 'alaihi wasallam, berdasarkan hadis yang direkodkan oleh al-Bukhari & Muslim;
"Seorang muslim hanya akan berasa kemanisan iman sekiranya;
1) Allah & Rasulullah lebih dicintai daripada dirinya sendiri.
2) Mencintai seseorang adalah kerana kecintaannya kepada Allah.3) Berasa benci untuk kembali kepada kekafiran seperti dia benci sekiranya dicampakkan ke dalam api neraka."
Subhanallah..
Kepada ibu, ibu, ibuku satu-satunya..
Ayahanda tercinta..
Kakanda-kakanda yang dihormati..
Adinda-adinda yang dikasihi..
Ahli keluarga yang diperlukan..
Sahabat-sahabat yang disayangi..
Guru-guru & semua insan yang banyak jasanya..
serta,
Saudara-saudari seakidahku semua..
Ayahanda tercinta..
Kakanda-kakanda yang dihormati..
Adinda-adinda yang dikasihi..
Ahli keluarga yang diperlukan..
Sahabat-sahabat yang disayangi..
Guru-guru & semua insan yang banyak jasanya..
serta,
Saudara-saudari seakidahku semua..
Mari, Mari kita bercinta seperti orang-orang yang beriman..
Allahua'alam..
------------------
p/s: Barakallahu lakuma wabaraka 'alaikuma wajama'a bainakuma fil khair kepada sahabat-sahabat yang telah melangsungkan perkahwinan masing-masing. Semoga bahagia hingga ke syurga. Amiin.. :)
p/s 2: Sangat rindu kepada sahabat-sahabat & adik-adik usrah di USM. Semoga Allah sentiasa merahmati mereka.. :')
p/s 2: Sangat rindu kepada sahabat-sahabat & adik-adik usrah di USM. Semoga Allah sentiasa merahmati mereka.. :')
Labels:
catatan hati,
cinta,
hikmah,
sunnah,
tazkirah
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."