Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Tuesday, November 26, 2013

Memandang Akhirat Melalui Dunia.



Selamanya Allah adalah pemilik kita yang mutlak.

***


Bismillah,
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang.
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengampun Lagi Maha Mengasihani.

Selawat & salam buat junjungan Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wa sallam.

Hari ini sudah 22 Muharram 1435H.
Mari kita muhasabah... 
bagaimana telah kita mengisi tahun baru kita ini...

***

Demi Masa

Rasulullah sollallahu 'alaihi wa sallam pernah bersabda yang membawa maksud; 

"Allah Memberikan dunia kepada hamba yang Dia cinta & juga Dia Beri kepada hamba yang Dia tidak cinta. Namun, Allah hanya Memberikan agama kepada hamba yang dicintaiNya."

Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya, antara tandanya ialah Allah Memberikannya kefahaman agama.

Kita ini hanyalah manusia yang hina & keji. Tetapi dengan rahmat kasih sayang Allah-lah, Allah telah memuliakan kita melalui cintaNya, melalui Islam.

Kita ini Muslim bukan kerana kita dilahirkan sebagai Muslim, tetapi kerana rahmat kasih sayang Allah Memberikan petunjukNya kepada kita agar kita mencariNya, mendekatiNya, mengabdikan diri kepadaNya melalui ilmu-ilmu dan makrifatNya.

Berapa ramai yang dilahirkan sebagai Muslim namun, hanya Muslim pada namanya sahaja. Tidak menunaikan solat, tidak menutup aurat, tidak berpuasa, tidak menunaikan zakat. Astaghfirullah.

Apabila Allah tidak menghendaki kita lagi,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan dunia,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan anak-anak,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan menjalankan perniagaan,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan menambahkan harta dunia,
Allah akan sibukkan kita dengan urusan mencari pengaruh, pangkat & kuasa,
Alangkah ruginya kerana semuanya akan ditinggalkan.... akan hancur... 
Allah... 

Sekiranya kita mampu bertanya pada orang-orang yang telah pergi terlebih dahulu menemui Allah. Dan jika mereka diberi peluang hidup sekali lagi. Semestinya mereka tidak akan pilih untuk bermati-matian bagi merebut dunia, kerana tujuan kita hidup adalan untuk menyembah Allah & beribadah kepadaNya.

Tidak akan Allah ciptakan manusia sekiranya untuk merebut habuan dunia kerana sebenarnya apa yang kita perolehi hingga ke saat ini pun adalah ketentuan dari Allah SWT.

Kita mungkin cemburu melihat manusia lain lebih dari kita daripada segi pangkat, harta & sebagainya.

Kenapa 
Kita tidak pernah cemburu melihat ilmu orang lain lebih tinggi dari kita...?
Mengapa kita tidak pernah cemburu melihat amalan orang lain lebih baik dari kita...?
Kita tidak pernah cemburu melihat manusia lain bangun disepertiga malam, tahajjud & munajat kepada Allah.

Sebaliknya, kita cemburu melihat orang lain menukar kereta mewah, sedangkan jarang kita cemburu melihat orang lain khatam quran dua kali sebulan..


Kesemua petanda-petanda ini menunjukkan dunia di akhir zaman. Apabila harta, pangkat, wang mengatasi segala-galanya.

Setiap kali hari lahir kita, kita sibuk meraikannya sebaik mungkin, tetapi kita telah lupa bertambahnya umur, makin dekat kita akan dijemput Ilahi..

Muhasabah bersama wahai teman.

Masa kita kian suntuk. Umur Masihi kita mungkin baru 25 tahun sedangkan umur hijri kita sebenarnya sudah 26 tahun. Itu petandanya usia kita makin pendek. Waktu kita menyiapkan bekal semakin singkat. 

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam pernah meminta Zaid Ibn Tsabit mempelajari & menguasai bahasa, tulisan & pertuturan bangsa Yahudi kerana baginda ingin mengetahui tentang bangsa tersebut. Dengan keizinan Allah, Zaid Ibn Tsabit menguasai bahasa, tulisan & bertutur dengan baik di dalam bahasa Yahudi hanya dalam masa 14 hari!

Subhanallah.
Lihatlah betapa berkatnya masa mereka.
Lihatlah betapa bersihnya hati mereka.

Hari ini.. cuba kita renung...
Berapa banyak bibir kita mengalunkan istighfar meminta ampun.
Berapa banyak bibir kita mengucapkan syukur atas semua nikmat.
Berapa banyak selawat di panjatkan kepada Nabi memohon syafaat.

Masa kita banyak dihabiskan dengan perkara yang sia-sia.
Masa kita sekejap sahaja sudah berlalu tanpa diisikan dengan ibadah yang bermakna.

Astaghfirullah...

"Demi masa! Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian kecuali orang-orang yang beriman & beramal soleh (mengerjakan kebajikan) serta saling menasihati (berpesan-pesan) dengan kebenaran dan saling menasihati dengan kesabaran." [al-Asr (103 :1-3]

***

Hijrah & Niat

Ketahuilah. Setiap dari kita pasti bercita-cita tinggi. Memasang angan-angan yang besar untuk memanfaatkan dunia ini agar kita boleh menuai hasilnya di akhirat kelak.

Kalau boleh, kita juga mahu menggenggam segulung PhD. Mahu bergelar ilmuan & pakar di dalam bidang yang diceburi.

Namun, apabila semakin tinggi kita mencedok ilmu Allah, akan kita mengerti bahawa sesungguhnya ilmu Allah itu terlalu luas untuk ditakluki. Semakin banyak yang dipelajari semakin banyak juga yang tidak diketahui. Terasa semakin jahil.

Sungguh... kita rugi jika setinggi ini Allah telah meletakkan diri, gagal mendekatkan kita kepada Ilahi. 

Sungguh... kita rugi... jika sudah ke tahap ini Allah meletakkan diri, gagal menjadikan Dia paling tinggi di dalam hati.

Ketahuilah setinggi manapun kejayaan dunia berjaya kita takluki, jika bukan niat kita kerana Allah... maka semuanya akan jadi kosong.

Jika setahun awalan kita berjaya menggenggam title 'Dr.' di pangkal nama menjadikan kaki tidak jejak ke bumi, namun semuanya akan tawar menjelang hari-hari, apabila keterujaan itu perlahan-lahan sirna.

Mahu berjaya di dunia, mahu berjaya di akhirat... pertamanya kita mesti menjaga niat, khas hanya untuk Allah. Jika kita mahu berjaya di sisi Allah, kita mesti ingatkan diri untuk sentiasa menjaga niat. Sentiasa perlu perbetulkan niat.

Bila kita berhijrah mahu pakai tudung labuh kerana seorang lelaki yang soleh, warak. Kita akan jadi putus asa, kecewa apabila mendapat tahu Ustaz tersebut memilih gadis lain untuk menjadi suri hatinya. Begitulah sebaliknya.

Bila kita berusaha mencapai sijil dekan setiap semester kerana mahu ibu bapa sayang kita melebihi anak-anak yang lain, hati kita akan memberontak & mengeras apabila ibu bapa tetap sayangkan adik beradik lain dengan layanan yang sekata.

Apa sahaja yang kita lakukan... jika bukan kerana Allah, jika cinta bukan kerana Allah, jika menuntut ilmu bukan kerana Allah, jika beribadah bukan kerana Allah, jika bernikah bukan kerana Allah, jika berjual beli bukan kerana Allah, jika seronok & bersedap-sedap bukan kerana Allah, maka kita akan mudah merasa jemu, perasaan yang indah itu akan terhakis secara perlahan-lahan. 

Sebab apa? Sebab sandaran kita kepada yang fana. Jika kita menyandarkan segalanya kepada Allah yang kekal abadi selamanya, insyaAllah... Allah tidak akan sesekali mensia-siakan kita.

Bila Allah Menyertai kita,
Harta yang sedikit terasa banyak.
Hidup yang sempit terasa luas,
Situasi yang sukar terasa senang.
Kerana keberkatanNya melengkapi semua kekurangan & mencukupi semua kelompongan.

Allah....

Sungguh...
Mujahadah itu sukar.
Terutama sekali waktu hendak istiqomah.

Namun yakinilah bahawa tiada mujahadah yang senang kerana pasti ada kesukaran & ujian dalam setiap mujahadah yang kita lakukan. Oleh itu, berpenat-penatlah, bersakit-sakitlah untuk Allah.

Islam tidak ajar kita bergantung banyak kepada dunia, bergantung kepada manusia. Tetapi Islam ajar kita agar banyakkan bergantung kepada Allah.

Dunia tidak mampu memuliakan kita.
Harta tak mampu memuliakan kita.

Kecantikan takkan mampu memuliakan kita. 
Ketahuilah apabila manusia terpesona denganmu, sebenarnya mereka terpesona dengan kekuasaan, rahmat & kasih sayang Allah yang Menyembunyikan semua aib-aibmu. 
Tanpa Allah. Tanpa izin Allah. Tanpa rahmat Allah.

Kita ini bukanlah apa-apa.

Bila kita letakkan Allah di dalam hati kita, mencintaiNya, mempercayaiNya melebihi apapun yang ada di dunia.. kita kira Allah akan Mengecewakan & Menzalimi kitakah?

Tidak...

Allah Sedang Melihat Kita.
Dia takkan sesekali Mensia-siakan kita...

Yakin.

***

Falfasah 7P.

Untuk hijrah & istiqomah... insyaAllah 7P ini mungkin boleh menjadi pedoman kita.

1) Penuntut : 
Rajin-rajinkanlah diri untuk terus menuntut ilmu. Menuntut ilmu tak semestinya secara official mendapat program diploma, master, ijazah dan sebagainya di mana-mana universiti.

Dengan mengikuti majlis talaqqi, majlis ilmu yang dianjurkan oleh madrasah, sekolah pondok, surau, universiti, masjid tempat berdekatan kediaman apabila kita kelapangan pun sudah dikira baik. Setidak-tidaknya dilakukan 2 kali seminggu paling kurang.

Menghadiri majlis ilmu adalah antara cara untuk mengubati hati. Hal ini kerana dalam majlis ilmu ada rahmat malaikat menaungi majlis kebaikan, terdapat orang-orang soleh di dalamnya, juga terdapat rahmat Allah bersamanya. Bahkan, menambah ilmu juga adalah salah satu cara memperbaharui iman.

Suami sebagai ketua keluarga perlu menggalakkan isteri & anak-anak untuk ke majlis ilmu. Biasakan membawa anak-anak kecil sedari mereka masih bayi ke masjid & ke majlis-majlis ilmu seperti ceramah, forum, majlis tilawah, solat jemaah, khatam quran dan sebagainya agar hati yang masih lunak & suci itu dibiasakan dengan tarbiyyah islami. InsyaAllah.


2) Pengajar :
Sesungguhnya semua burung-burung, semut-semut, makhluk-makhluk Allah merata di muka bumi ini mendoakan pengajar ilmu yang membawa manusia kepada Allah. Seiring dengan usaha menyebarkan ilmu & kebaikan kepada manusia lain, si murobbi ini juga perlulah seiring melakukan pembaikan ke atas dirinya sendiri agar tidak dicela oleh Allah seperti firmanNya di dalam surah as-Saff;

"Wahai orang-orang yang beriman! Mengapa kamu mengatakan sesuatu yang tidak kamu kerjakan? Itu sangatlah dibenci di sisi Allah jika kamu mengatakan apa-apa yang tidak kamu kerjakan." [as-Saff (61) : 2-3]


3) Pemurah :
Perbanyakkanlah bersedekah. Sesungguhnya sedekah adalah magnet kepada kebaikan. Semakin banyak kita memberi di jalan Allah, semakin berganda-ganda jugalah Allah akan Membalas kebaikan kepada kita baik di dunia mahupun di akhirat.

Firman Allah;

"Barangsiapa yang meminjami (menginfakkan hartanya di jalan Allah) dengan pinjaman yang baik maka Allah akan Melipatgandakan ganti kepadanya dengan banyak. Allah Menahan & Melapangkan rezeki & kepadaNya-lah kamu akan dikembalikan." [al-Baqarah (2) : 245] 

Firman Allah;

"Perumpamaan orang yang menginfakkan hartanya di jalan Allah seperti sebutir biji yang menumbuhkan tujuh tangkai,pada setiap tangkai ada seratus biji. Allah Melipatgandakan bagi siapa yang Dia Kehendaki, & Allah Maha Luas, Maha Mengetahui." [al-Baqarah (2) : 261]


4) Peneman Yang Soleh & Solehah :
Carilah sahabat baik yang soleh, solehah hatta hanya seorang kerana yang seorang itu lebih berharga dari 10 orang teman yang membawa kita kepada maksiat dan kehancuran. Merapatlah dengan ahli keluarga yang soleh & solehah. Carilah pasangan yang soleh & solehah supaya apabila kita tergelincir dari landasan Tuhan, dia akan menghulurkan tangan menunjuki jalan pulang menemui semula Allah. insyaAllah.

Bergabunglah juga dengan jemaah yang soleh. Jemaah ini boleh jadi membentuk usrah ataupun holaqoh. Peneman kita ke majlis ilmu. Mengingatkan kita waktu kita buntu.

Bandingan sahabat yang soleh & tidak soleh ini seperti pembuat minyak wangi & tukang besi. Lihatlah kepada siapa kita menghampir.. jika teman kita soleh, maka dia seperti pembuat minyak wangi. Kita juga akan berbau wangi. Manakala bagi teman yang tidak soleh pula sepeti tukang besi, jika kita menghampir kepadanya, jika tidak baju kita terkoyak kerana terpercik api, baju kita juga busuk kerana bau bakaran besi.

Carilah, temuilah, bersamalah, cintailah sahabat-sahabiah yang membawa kita, mengingatkan kita kepada Allah. Mereka ini ibarat bintang yang menyinar di langit kala malam hari. Berjauhan pasti akan rindu, berdekatan pasti tidak jemu. Subhanallah.


5) Persekitaran yang baik (biah solehah) : 
Sama seperti point no 1 & no 3. Carilah sahabat sahabiah yang soleh solehah & sentiasalah pergi ke majlis ilmu untuk menambah ilmu pengetahuan serta memperbaharui keimanan. 

Iman adalah seperti pakaian. Jika dipakai dalam tempoh yang lama akan lusuh & berbau. Maka, kita perlu menyucikan kekotoran & memperbaharuinya. Iaitulah dengan bertemu dengan orang-orang yang soleh, pergi ke majlis-majlis ilmu yang diumpamakan sebagai taman-taman syurga.


6) Pencetus Kebaikan :
Alhamdulillah, semakin ramai anak muda yang mengorak langkah sebagai pencetus kebaikan untuk menjadi role-model kepada para remaja Islam.

Sebagai contohnya Hilal Asyraf, Aiman Azlan, Ameen Misran, Afdholul Rahman, Almarhum Ahmad Ammar yang syahid di Turki, Afiq Sazlan, Aisyah Syakirah, Dena Bahrin, Insyirah Soleha, Asma Suardi dan lain-lain (sekadar menamakan beberapa contoh). Mereka ini remaja Islam yang hebat. Alhamdulillah. Subhanallah.

Jika kita tidak mampu menjadi pencetus kebaikan pada seantero dunia, menjadi pencetus dalam dunia sekecil dunia keluarga kita sahaja pun masih dikira satu usaha yang besar. Dengan mempamerkan akhlak yang baik, menutup aurat dengan sempurna sedangkan dalam keadaan famili kita masih tidak tutup aurat, masih tidak solat, insyaAllah, moga Allah pandang usaha itu sebagai jihad di sisiNya. Amiin.

Tiada yang kecil pada sisi Allah. Hatta kebaikan sekecil zarah akan dibalas.
Tiada yang terlepas dari sisi Allah. Hatta kejahatan sebesar zarah akan dibalas.
Semuanya akan mendapat balasan setimpal.


7) Penawar :
Mesti ada ujian dalam setiap yang kita lakukan... rentetan daripada point no.6, mungkin ada yang akan tiba-tiba Allah uji dengan kemahsyuran, populariti. Dr Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman pernah berpesan bahawa populariti buat pejuang agama itu ibarat panah yang berbisa, jika tidak disediakan penawarnya nescaya kita akan hancur.

Penawarnya tentulah Allah.

Apabila kita ingat, kita sedar bahawa kita ini adalah milik Allah & akan dikembalikan kepada Allah. Bahawa dunia ini bersama isinya akan hancur berkecai seperti debu, & kita akan tergolong dalam golongan yang menerima buku amalan samada melalui tangan kanan ataupun kiri... samada akan sepantas kilat memasuki syurga tertinggi atau tergelincir di titian sirat terjatuh ke lembah neraka yang azabnya tidak terperi...

Allah sahajalah yang mampu merawat hati daripada jatuh cinta kepada duniawi. InsyaAllah.


****

Ada sebagian dari kita yang tidak sabar.... 

Menyakini hari akhirat. Menyakini adanya hari pembalasan. Tetapi merasakan semua itu terlalu jauh.

"Akhirat jauh sangat lagi... mujahadah ini sukar sangat. rasa panjang sangat... bila semua ini akan berakhir...???"

Terasa lelah sangat. Melayan onak dunia.
Terasa letih sangat. Mengharungi ujian dunia.

Mari kita selak kembali helaian sirah untuk sama-sama bermuhasabah diri, insyaAllah.

***

La Tahzan

Ketika berduaan di dalam gua... dalam ruangan yang hanya memuatkan 2 orang manusia yang seorangnya merebahkan diri ke peha seorang laginya. Sayidina Abu Bakr rasa gementar mengenangkan kalau-kalau tempat persembunyiannya & Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam diketahui oleh pihak musuh.

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam yang menyedari akan kegusaran bapa mertuanya itu merebahkan kepalanya ke peha Sayidina Abu Bakr untuk melegakan sedikit resah hati lelaki itu.

Tatkala itu tawakal Rasulullah kepada Allah melebihi segala-galanya. Apabila Allah Berkehendak, Allah Bisa Mentakdirkan apapun..

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam kemudiannya berkata kepada sahabat baiknya itu; 

"La tahzan... innallaha ma'ana."

"Janganlah engkau bersedih, sesungguhnya Allah bersama dengan kita."

Lalu Allah menurunkan ketenangan ke lubuk hati Sayidina Abu Bakr. Kata-kata itu memujuk hati Abu Bakr. Subhanallah.

Allah juga membantu mereka dengan bala tenteraNya yang tidak terlihat oleh pandangan mata kasar manusia biasa.

Firman Allah itulah Yang Maha Tinggi.
Allah-lah Yang Maha Perkasa. 
Allah-lah Yang Maha Bijaksana.

***

Syurga Merinduinya.

Ketika orang-orang bertanya kepada Nabi, siapakah pemuda cadangan Nabi untuk dinikahkan dengan anak gadis mereka. 

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam menjawab; 
"Bagaimana dengan Bilal?"

Mereka berasa berat hati dengan saranan Nabi. Lalu kemudiannya mereka balik. Dan mereka datang kembali. Bertanyakan soalan yang sama. Dengan harapan akan ada nama pemuda lain yang akan timbul dari mulut Nabi.

Namun Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam masih menjawab dengan cadangan yang sama. "Bagaimana dengan Bilal?"

Mereka kemudiannya kembali ke rumah masing-masing. Kemudian mereka datang kembali. Bertanyakan soalan yang sama. Meminta cadangan Nabi, tentang calon pemuda yang baik & soleh buat anak-anak gadis mereka.

Rasulullah sollallahu 'alaihi wasallam tetap menjawab dengan jawapan yang sama. 

"Bagaimana dengan Bilal?" 

Kali ini Nabi menjelaskan mengapa Bilal menjadi pilihannya. 

..... "Dia adalah lelaki syurga." 
"Jika kita semua merindukan syurga.... sebaliknya syurga itu merindukan Bilal..." 

"Bilal adalah pemuda syurga... Syurga rindu kepada Bilal..."

:'(
Allahuakbar.


*** 

Jika kita hanya melihat melalui pandangan nafsu. Apalah pandangan mata kasar kita ini akan nampak?
Kita hanya nampak dunia.

Kita masih menilai sesorang melalui rupa parasnya.
Warna kulitnya, hartanya, pangkatnya, kereta apa yang dia guna, jumlah gajinya, berapa tingkat & luas keluasan rumahnya.

Tetapi Allah..
Allah tidak memandang itu semua.

Syurga Allah tidak mengira hanya orang yang kaya, atau hanya yang kacak, atau hanya yang bersih licin kulitnya, atau yang kurus ramping tubuhnya yang boleh masuk ke dalamnya.

Allah memandang taqwamu.
Syurga hanya menerima engkau yang diredhai oleh Tuhanmu.

Ketika kita sibuk melihat dengan pandangan keduniaan.
Seakan lupa mengapa kita diwujudkan.
Seakan lupa kemana kita akan dikembalikan...

Bilal yang hitam, tiada rupa itu.
Yang ditolak cadangannya agar dijadikan menantu pilihan kerana rupa parasnya.
Kerana dia hanya hamba abdi atau bekas hamba abdi.

Dia itu adalah kekasih Allah.
Dia itu adalah kesayangan Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam.

Kita yang masih mengagung-agungkan dunia yang sementara, nikmat yang hanya pinjaman ini...
Siapa kita di mata Allah & Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam?

***

"Sesungguhnya orang-orang yang beriman adalah mereka yang apabila disebut nama Allah, maka gementarlah hatinya & apabila dibacakan ayat-ayatNya kepada mereka, bertambah kuat imannya & hanya kepada Tuhan mereka bertawakal." 

"Iaitu orang-orang yang melaksanakan solat & yang menginfaqkan sebahagian dari rezeki yang Kami Berikan kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang benar-benar beriman. Mereka memperolehi darjat yang tinggi di sisi Tuhannya & ampunan serta rezeki (nikmat) yang mulia." 

[surah al-Anfal (8) : 2-4]

Segala apa yang ada di dunia, dunia ini & segala isinya hanyalah alat untuk kita mencari Allah, mendapatkan keredhaan Allah. Letakkanlah cinta makhluk di tangan & biarkan hanya cinta Allah menakluki hati. 

Mudah-mudahan Allah meredhai kita semua sebagai hambaNya & menerima semua amalan kita yang compang camping itu. 

Saya menulis ini untuk peringatan diri sendiri.
Astaghfirullah.

Wallahu 'alam.

***
Notahati:
1) Sebenarnya saya semakin sukakan merah jambu tanpa saya sedari.
2) Sejak akhir-akhir ini semakin addicted dengan Nasi Ayam Penyet.
3) Mari bersemangat menulis thesis yang sudah lama tergendala.

Robbuna yusahhil. Amiin.

6 comments:

  1. Assalamualaikum...

    Datang ziarah di alam maya petang2 begini...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumussalam wbt..

      Selamat datang ke teratak yg serba kekurangan ini. Semoga beroleh manfaat. Syukran.

      Delete
  2. Assalammualaikum kak.. Subahannallah . Indahnya coretan :'D
    teringin nak jadi mcm kakak, limited edition , bertudung labuh . Allahhu :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. Wa'alaikumussalam warahmatullah.

      Alhamdulillah. semuanya dtg drp Allah..

      Astaghfirullah... akak hnylah hambaNya yg berlumur dosa dik.. masih berusaha untuk menjadi lebih baik. insyaAllah.

      insyaAllah adik akk ni boleh jd limited edition juga.. :) bahkan jauh lebih baik lagi, semoga diberikan kekuatan, insyaAllah... :)

      Delete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."