Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Tuesday, August 27, 2013

Hadapi Ujian Itu & Senyumlah.



Allah.... apabila aku dibangkitkan lagi pagi ini.
Dan apabila aku menyedari bahawa aku bukan lagi ada di syurgaMu..

Tahulah aku bahawa tugasku belum selesai..


***


27/8/2013
3.34 petang.



Bismillah,

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..
Selawat & salam buat junjungan mulia, Nabi Muhammad sollallahu 'alaihi wasallam..

Alhamdulillah, waktu menulis entri ini... saya baru recover dari demam selesema yang agak berat malam tadi. 

Alhamdulillah, Allah tahu saya lemah, maka Dia hanya menguji sedikit. Subhanallah, baiknya Allah... moga Allah ampunkan dosa-dosa saya. Amiin.



***


Stress & masalah hidup memang tak dapat dipisahkan. Setiap orang diuji. Ya, tentunya setiap dari kita diuji dengan pelbagai jenis ujian. Bukan saja ujian kewangan, bahkan ujian di tempat kerja, ujian persahabatan dengan teman-teman, ujian melunaskan hutang, ujian menghabiskan pengajian, ujian menyiapkan thesis, ujian mempersiapkan diri hendak berkahwin, ujian berpoligami...

Wah... macam-macam...

Serta yang paling berat... ujian dalam menghadapi ujian... bagaimana akhlak kita sewaktu menangani musibah itu. Allah hendak tengok macam mana kita menghadapi ujian yang ditimpakanNya ke atas kita. Bahkan... itulah jua motif Allah menguji kita.

Firman Allah;

"Sesungguhnya Aku jadikan apa yang di muka bumi sebagai perhiasannya, supaya Kami uji manakah di antara mereka yang lebih amalannya." [Al-Kahfi: 7]

Allah berfirman lagi.

"Dan Kami pasti akan Menguji kamu dengan sedikit ketakutan, kelaparan, kekurangan harta, jiwa & buah-buahan. Dan sampaikanlah khabar gembira kepada orang-orang yang sabar, iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata "inna lillahi wa inna 'ilaihi roji'un" (sesungguhnya kami milik Allah & kepadaNya-lah kami kembali.) Mereka itulah yang memperolehi ampunan & rahmat dari Tuhannya & mereka itulah orang-orang yang mendapat petunjuk." [surah al-Baqarah (2) : 155-157]


***





Stress, masalah & ujian. Memang rencah dalam kehidupan duniawi. Dikaitkan pula dengan soal rezeki, jodoh, pertemuan, hidup & mati.

Jika kita selidiki orang yang hatta kaya melimpah ruah, pun ada ujian yang dia hadapi. Mana kita tahu disebalik kekayaannya, dia juga stress menangani personal problem dalam kalangan ahli keluarganya yang mungkin terjebak dengan kes dadah, runtuh akhlak & sebagainya.

Apabila hati tidak tenang & bahagia.... walau tidur berbantal & berselimutkan duit, intan & permata pun tidak dapat memberi apa-apa makna..

Sebab itu... berhentilah membandingkan diri kita dengan orang lain. Barangkali sebab kita terlalu kurang bersyukur, kita tidak sedar bahawa ramai orang lain yang berdoa hendak menjadi beruntung & bahagia seperti kita...

Apabila mata kita terlalu banyak memandang & menilai orang lain... kita akan terlupa hendak memandang & mensyukuri nikmat yang Allah beri kepada kita.

Memberi rezeki adalah Hak Allah yang eksklusif. Seperti Hidayah Taufik, Dia juga Berhak beri rezeki kepada sesiapa juga yang Dia kehendaki. Tetapi hak untuk mensyukuri rezeki kurniaan Ilahi adalah kewajipan kita. Kita terlalu sibuk mempersoalkan kerja Allah dalam mengagihkan rezeki kepada kita, sedangkan kita sendiri lalai dalam menunaikan begitu banyak hak-hakNya... 

Astaghfirullah..


"Dan tidak ada satu pun makhluk bergerak (bernyawa) di bumi melainkan semuanya Dijamin Allah rezekinya. Dia Mengetahui tempat kediaman (dunia) & tempat penyimpanannya (akhirat). Semua tertulis dalam Kitab yang nyata (Lauh Mahfuz)" [surah Hud (11) : 6]


***


Allah Menguji kita berdasarkan apa yang kita mampu. Selalu bersyukur atas sifat Maha Mengasihani Allah ke atas kita, hambaNya yang lemah ini. Allah itu Maha Berkuasa, mampu diletakkan apa sahaja jika Dia Mahu, tetapi Dia hanya Menguji kita atas apa yang kita terdaya sahaja. Subhanallah, Pengasihnya Allah ke atas kita...

Sepahit mana ujian yang ditempuh, segelap mana jalan ujian yang diharungi, insyaAllah, percayalah.... ada sebab untuk kita terus tersenyum..

Tahu apa dia?

Bersyukur kerana Allah yang mengaturkan hidup kita.

Pernah tak kita bayangkan jika kita sendiri yang mengaturkan jalan hidup kita? Apa yang hendak direncanakan selepas ini, what's the next plan, next, next, & next... Tapi kita tidak.... Allah yang Menentukan segalanya untuk kita. Siap, sempurna & lengkap sejak daripada kita mula hidup menjengah dunia sehinggalah jasad dipalingkan menghadap tanah di dalam liang lahad. 

Subhanallah. Betapa cantik & tersusunnya takdir yang disusun Allah ke atas kita semua hambaNya. Dia lebih kenal diri kita berbanding kita mengenali diri kita sendiri.. 

Kita beruntung... ada Allah yang Maha Bijaksana, Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang yang bantu atur & susun hidup setiap daripada kita. Bayangkanlah jika kita yang limited knowledge, selfish, emosional, jahil, tamak & terburu-buru ini yang mengatur sendiri jalan takdir hidup kita... masyaAllah... entahlah macam mana haru biru, kacau bilau agaknya dunia ini.. 

Subhanallah.. La takilna ila anfusina torfata 'ain wala aqolla min zalika ya ni'mal mujib..

Maha Suci Allah... janganlah Engkau biarkan nasib kami ditentukan oleh kami sendiri walau dalam kadar hanya sekelip mata atau kadar yang lebih mudah & cepat, wahai Tuhan yang memperkenankan doa.. 

***


Saya pernah berkali-kali... apabila bangkit daripada tidur, rasa takut sangat apabila memikirkan kehidupan yang bakal ditempuh. Apa yang bakal dijalani di masa depan. Bagaimana saya nak hadapinya. Macam-macam bermain dalam benak. Terutamanya apabila ada insan yang senang benar meletakkan certain expectation which is really high to be fulfilled ke atas bahu jemala hamba yang hina ini.

Tetapi lagi sekali... syukur pada Allah... bila Dia Menguji kita.. Dia juga memberi solusinya.

Allah tidak pernah memberatkan kita untuk menyelesaikan ujian yang diberi dalam kadar yang kita tak mampu. Seperti filem 'Saw' yang ngeri itu, kita diminta menyelesaikan satu misi ngeri yang perlu dilaksanakan dalam masa tertentu. Jika kita gagal, kita akan kehilangan sesuatu yang kita sayang. Contohnya, kita diugut bahawa isteri kita akan dibakar jika kita tidak merobek tubuh kita dengan mata kail yang tajam & besar.

Astaghfirullah.

Berapa sangatlah musibah yang Allah timpakan berbanding banyak sungguh nikmat dilimpahkan yang tidak mampu hendak didustakan.. Subhanallah.

Bila Allah Menguji kita...

Allah cuma meminta kita bersabar.
Allah cuma meminta kita solat.


"Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar & solat. Dan solat itu sungguh berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, iaitu orang-orang yang yakin bahawa mereka akan menemui Tuhannya & bahawa mereka akan kembali kepadaNya." [surah al-Baqarah (2) : 45-46]



"Wahai orang-orang yang beriman! Mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar & solat. Sungguh, Allah beserta orang-orang yang sabar." [surah al-Baqarah (2) : 153]


Alhamdulillah.
Beruntungnya kita... ada Allah.. sandaran yang paling ampuh untuk bersandar bila kita sedih, bila kita letih, bila kita takut, bila kita bimbang... Allah selalu saja ada.

Alhamdulillah..
Beruntungnya kita... ada Allah yang sudi mendengar semua keluhan & rungutan.. biarpun sekadar bermain di dalam dada.

Subhanallah.
Untungnya kita ada Allah.. yang sedia mengampuni kita biarpun kita selalu benar terlalai & melupakanNya..

ya Allah...

Beruntungnya kami dikurniakan mata untuk melihat semua kebesaranMu. 

ya Allah...

Beruntungnya kami dikurniakan bibir untuk mengucapkan nama muliaMu. 

ya Allah...

Betapa beruntungnya kami dikurniakan telinga untuk mendengar kalam agungMu.. 


Tidakkah patut kami bersyukur ya Allah...?


***


Rabu lepas, ibu kepada ibu saya telah kembali ke rahmatullah. Insan yang saya panggil nenek itu sudah pun kembali ke pangkuan Allah.

Saya baru sahaja melelapkan mata tatkala mendapat panggilan telefon ibu awal pagi itu.

"Nenek dah takde nak..."

"Ha...?" saya terpisat-pisat.

"Nenek dah takde." 

Allahu... :'(

Hanya ada saya & ayah di rumah waktu itu. Waktu saya membantu ayah mengambil cadar, selimut & kain batik di bilik yang arwah nenek pernah diami sewaktu tinggal dengan kami, saya tak sedar bahawa mata ini sudah pun berkaca. Ayah yang memandang saya pun turut berair mata.

"Dah.. In pergi mandi. Siap-siap."

Waktu mandi & bersiap-siap seringkasnya, air mata sudah tidak lagi dapat ditahan. Saya teringat pelbagai perkara yang mengaitkan antara saya & arwah. Bicara kata yang pernah diluahkan kepada saya bagaikan terngiang-ngiang, berputar-putar seperti rakaman.

Siangnya, saya menyertai kumpulan yang memandikan jenazah, mengafankan & juga ikut ke kawasan perkuburan.

Allah lebih tahu apa yang saya lihat.
Allah lebih tahu apa yang saya rasa.
Allah lebih tahu apa yang saya dengar.
Allah lebih tahu apa yang terngiang-ngiang dalam hati & layar fikiran saya sepanjang proses itu.

Sekali lagi air mata tidak dapat ditahan sewaktu kali terakhir mencium wajah arwah yang tenang tersenyum. Subhanallah. Lain benar dengan wajahnya sewaktu menahan kesakitan di akhir-akhir momen saya menziarahnya petang itu.

"Semoga Allah mengampuni semua dosa-dosa nenek & menempatkan nenek dalam kalangan hambaNya yang Dia redhai. Terimalah nenekku ini ya Allah... setelah semua derita yang dia tanggungi dari anak-anak yang selalu melukainya." hati saya sebak waktu mengucupi dahi & pipinya yang sejuk & wangi itu.

Semoga Allah ampunkan semua dosa-dosa kami.

Inna lillahi wa inna 'ilaihi roji'un.
Sesungguhnya kami ini adalah untukMu ya Allah, & kepadaMu-lah kami akan dikembalikan.

***

Saya menulis ini sebagai pesanan & ingatan khususnya kepada diri sendiri. Sebesar mana pun kesusahan yang Allah timpakan kepada kita... janganlah sesekali kita berburuk sangka kepada Allah.

Yakinkan diri... mustahil Allah hendak menzalimi kita. Allah takkan menzalimi kita. Kitalah yang telah banyak menzalimi diri kita sendiri... 

Yakinkan diri... Allah takkan sesekali membiarkan kita terkontang kanting menempuhi musibah itu. Kitalah yang selalu menjauh daripada Allah & tidak mencuba untuk merapatiNya selama ini..

Allah Lebih Tahu apa yang terbaik buat setiap hambaNya.

Yakin... setiap ketentuan Allah buat kita, itulah yang terbaik.

Setiap kali sebelum melelapkan mata... Letakkan tangan di dada kiri... rasakan denyutan jantung itu lalu bisikkan kepada diri sendiri; 

"Allah bersamaku." 

"Allah melihatku." 

"Allah menolongku." 

Ulanglah sehingga pesanan itu tertanam di dalam hati. Mudah-mudahan 3 pesanan itu akan mengingatkan kita sewaktu hilang pertimbangan tatkala ditimpa musibah.

Saudara-saudariku...
Kehidupan ini tidak lain tidak bukan, adalah ujian.. tempat kita bersabar dengan setiap musibah. Andaikata kita melepasi musibah ini, Allah pasti menguji kita dengan ujian yang seterusnya. Begitulah kitarannya sehingga akhir nafas kita.

Mudah-mudahan, kita semua akan melepasi ujian demi ujian ini.

Dan tentunya kemenangan & kebahagiaan sebenar ialah apabila kita menjejakkan kaki ke syurga Allah, disambut oleh Allah sambil bibir kita bertasbih, bertahmid & bertakbir memuji-muji kebesaran Allah, di sisi kita ketika itu adalah orang-orang yang kita cintai & mereka juga mencintai Allah.. & lebih membahagiakan lagi... kala itu Allah juga mencintai & meredhai kita semua..

Subhanallah..
Indahnya momen itu ya Allah...

Maka, bila difikirkan hebat & indahnya balasan Allah buat hambaNya yang bersabar & bersyukur... apalah sangat sebenarnya erti semua yang kita keluh kesahkan ini... Bersabarlah sedikit lagi, untuk kemenangan & kebahagiaan yang hakiki itu..

Bersabarlah sedikit lagi.
Bersabarlah & teruskan bersyukur..

InsyaAllah, catatan hati ini saya akhiri dengan sebuah hadis Nabi yang sangat cantik untuk memujuk hati kita yang mungkin sedang berbaur menghadapi ujian.


"Luar biasa sungguh keadaan orang-orang yang beriman, semua urusannya adalah kebaikan. Tidak ada manusia yang menyamai orang yang beriman. Apabila dia beroleh kesenangan, dia bersyukur lalu memperolehi balasan pahala. Apabila dia ditimpa musibah, dia bersabar; maka dia diberikan pahala." [HR Muslim]


Subhanallah.

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang beriman & mencintai untuk melakukan ketaatan kepadaMu..

Sabar.
Sabar.
Sabar.
Sesungguhnya Allah ada di sisimu.

:)
Alhamdulillah. 

Sungguh, saya menulis ini untuk memberi semangat, teguran & nasihat buat diri sendiri terutamanya. Moga Allah meredhai saya.

Taqaballahu minni wa minkum..

Allahu a'lam.

-------------------
Notahati:
Ibu... in sedar bila ibu datang menjengah ke sisi katil, meraba kepala & memeriksa keadaan badan samada demam sudah kebah mahupun tidak. 

Ayah... In menangis ayah... sebaik saja ayah keluar pergi. Dengan air mata in simpan semua not kertas yang diberi itu.. Tebal duit yang dihulurkan, tebal lagi cinta yang ayah berikan..

Ibu... ayah.... moga bila sampai saat engkau memerlukan aku kelak... aku sungguh-sungguh berdoa mudah-mudahan Allah menjadikan aku anakmu yang paling menyenangkan hatimu & sanggup menemanimu kala sihat mahupun sakit, susah & senang, lapang & sempit, gembira mahupun sedih. 

Ibu... ayah.... in sungguh cintakan ibu & ayah kerana Allah. :') Mudah-mudahan Allah mengampuni semua dosa-dosamu & mengurniakanmu syurgaNya tanpa hisab. Amiin.



2 comments:

  1. salam.. :') tq kak intan. for the reminder. arigatou ne. fighting2!

    p/s: wish me luck too. solat n sabar. inshaAllah May Allah bless. :)

    ReplyDelete
    Replies
    1. wassalam... :') alhamdulillah 'ala kulli hal...

      catatan hati nak bg semangat utk diri sendiri sebenarnya ni dik.. :)

      insyaAllah.. semoga semua urusan anis & org2 tersayang dipermudahkan.. amiin..

      Delete

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."