Pencinta Yang Dimuliakan Allah. :)

TINTA PENULIS.

Dengan Nama Allah,

Aku hanyalah insan hina berlumur dosa yang seringkali tergelincir dari landasan iman. Aku perlukan teguran, nasihat & doa yang berpanjangan dari kalian.

Sesungguhnya aku menulis disini tujuan utamanya adalah untuk memperingatkan & menasihatkan diriku sendiri. Kala aku menulis, mungkin Allah tika itu meningkatkan keimananku. Maka, bila aku rasa lemah, aku akan kembali semula ke sini & membaca kembali catatan-catatanku; untuk aku baca, hadam & menghayati semula nasihat yang pernah aku tulis suatu masanya.

Ambillah mana yang baik & tinggalkanlah yang tidak bermanfaat. Semoga Allah Mengampuni semua dosa-dosa kita.. Amiin.

Sunday, February 5, 2012

Buktikan Kau Cinta.




Bismillahirrohmanirrohim..
Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Maha Penyayang..

Hari ini 12 Rabiulawal. InsyaAllah, hari ini hari lahir kekasih saya. Hari ini juga kekasih antum semua.. Selain Allah, insan mulia ini juga adalah satu-satunya kekasih yang wajib kita cintai bersama-sama.

Cinta & kasih ini boleh dikongsi secara sukarela. Tak perlu kamu tarik tudung saya, atau saya tarik tudung kamu kerana cemburu kita saling mencintai & berkongsi kekasih yang sama. Indah bukan..?


Dan apa yang lebih indah ialah kekasih ini juga sangat mencintai kita..


Ya. Hari ini adalah hari kelahiran insan mulia yang indah pekertinya, mulia akhlaknya, mantap ibadahnya & luas kecintaannya kepada makhluk. Insan mulia itu ialah Rasulullah saw, Nabi kesayangan kita.


Banyak status Facebook & Twitter yang ber-update-kan tentang salam maulidurrasul, perbanyakkan selawat ke atas baginda, mesej-mesej tentang kecintaan & kerinduan kepada baginda. Namun, saya tertarik dengan satu status update. InsyaAllah saya kongsikan di sini.

"Tidak cukup zahirkan cinta kepada Nabi melalui selawat semata-mata, 
Kalau masih gunapakai dalam hidup ini selain apa yang diajar baginda, 
Sebenarnya dalam diri kita masih belum ada cinta."

Kata-kata penulis itu benar. Adakah cukup dengan berselawat sudah membuktikan kita cintakan Nabi? Apakah sebenarnya bukti kita benar-benar mencintai baginda...?

Sebenarnya, tujuan Allah mengutuskan Rasulullah saw, bukanlah untuk dipuja-puja, diagung-agungkan. Tetapi, tujuan utama Allah menjadikan utusannya dalam kalangan manusia ialah supaya dapat menjadi contoh teladan (qudwah hasanah) buat mereka.

Allah swt mengutuskan baginda Rasulullah saw kepada kita, umatnya kerana mahu menyempurnakan akhlak yang mulia..

Allah swt ada berfirman;
“Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).” [surah Al Ahzab ayat 21]

Sewaktu mendengar kuliah Ustaz Azhar Idrus tempoh hari beliau juga menekankan hal ini. Bahawa Nabi & Rasul  Allah utuskan untuk mengajarkan kepada kita perkara-perkara yang perlu diajarkan kepada manusia agar mereka mentauhidkan Allah.

Nabi tidak diutus untuk mengajar kita cara-cara makan, minum & tidur. Nabi diutuskan untuk menyempurnakan lagi suruhan Allah di dalam Al-Quran seperti solat, menutup aurat, berpuasa dan sebagainya. Cara-cara kita beribadah, mengendalikan kehidupan dengan cara yang benar, cara yang Allah kehendaki. Itulah tujuan sebenar Nabi & Rasul diutuskan.

Rasulullah saw bersabda;
"Tidak sempurna iman sesiapa di kalangan kamu sehinggalah diriku lebih dikasihinya berbanding kasih kepada orang tuanya, anak-anaknya bahkan sekalian manusia." [HR al-Bukhari, Muslim, an_nasa'ie dan Ibnu Majah]

Jika benar kita cintakan Baginda Rasulullah saw, buktikan bukan hanya setakat menyelusuri lembaran sirah baginda, bahkan meneladani akhlak baginda juga. Sesungguhnya manusia yang paling mulia akhlaknya adalah baginda.

Muhammad bin Abdullah itulah manusia terbaik yang pernah dilahirkan di muka bumi ini. Oleh itu, wajarlah kita menjadikan baginda sebagai contoh teladan.

Sayangnya, kita terlalu buta, kita terlalu hipokrit dengan mengatakan kita mencintai Nabi saw. Tidak setara langsung dengan apa yang terzahir daripada perbuatan lahiriah & batiniah kita pun..

Namun, kali terakhir sirah kehidupannya kita singkap adalah sewaktu kelas KAFA tahun 5 sekolah rendah dahulu. Akhlak kita pun sangat jauh daripada apa yang Nabi ajarkan. Kita lebih kenal artis-artis, profil hidup artis-artis, malah, kita juga sangat sibuk meniru gaya artis-artis tersebut.

Kasihan kan kita ini? Contoh terbaik kita abaikan, kita tak nampak, kita lupakan..

Mari kita renungi kembali. Tanyakan kepada diri sendiri. Benarkah kita sayangkan Nabi?

Hati kita takkan dapat menipu.

Apakah bukti kita sayangkan Nabi...? Mana buktinya kalau kita betul-betul sayangkan Nabi.

Pernahkah kita hati kita bergetar kerana terlalu rindukan baginda..?

Hati kita takkan dapat menipu. Kita hanya mampu membisu.

Layakkah kita menjadi umat Nabi saw? Umat yang dikatakan paling terbaik ini?

Kita hanya mampu tertunduk lesu.




Suatu hari.. Nabi bertanya: "Siapakah hamba Allah yang mulia?"

Sahabat menjawab: "Para malaikat ya Rasulullah"
...Sahabat menjawab lagi: "Tentulah para nabi, merekalah yang mulia"

Nabi tsenyum lalu berkata: "Ya, mereka mulia tapi ada yang lebih mulia.."

Para sahabat terdiam lalu berkata: "Adakah kami yang mulia itu ya Rasulullah?"

Nabi menjawab; "Tentulah kalian mulia, kalian dekat denganku, kalian membantu perjuanganku, tetapi bukan kalian yang aku maksudkan.."

Nabi menundukkan wajahnya, baginda menitiskn air mata sehingga membasahi pipi dan janggutnya lalu berkata...

"Wahai sahabatku, mereka adalah manusia-manusia yang lahir jauh setelah wafatnya aku, mereka terlalu mencintai Allah & tahukah kalian.. mereka tak pernah melihatku, mereka hidup tidak dekat denganku seperti kalian tetapi mereka sangat rindu kepadaku & saksikanlah wahai sahabatku bahawa AKU SANGAT RINDU PADA MEREKA... MEREKALAH UMATKU!"



Kitakah yang Nabi sangat rindukan itu...? & kitakah juga yang sangat merindukan baginda itu...?


Sekiranya kita benar-benar mencintai Nabi, buktikan dengan meneladani baginda dalam setiap aspek kehidupan serta berpegang kepada Al-Quran & sunnahnya. InsyaAllah, kita takkan tersesat selamanya. Itulah wasiat Nabi kepada kita. Serta, menjadilah kita sebagai penyambung rantaian perjuangan dakwah baginda.


Buktikan kepada baginda, walaupun kita sangat jauh hidup daripada zaman baginda, Namun, kita masih mampu untuk menyempurnakan Islam & iman ini. & Mudah-mudahan Allah panjangkan cinta & kasih ini untuk bertemu baginda Rasul di syurgaNya kelak. amiin.


Salam maulidurrasul.. sollu 'alan nabi! :)

Allahu'alam..

No comments:

Post a Comment

"Dan berpesan-pesanlah kamu dengan kebenaran dan kesabaran.."